17 September 2012

ISU GLOBAL : AMERIKA SYARIKAT HARUS BERTANGGUNGJAWAB


Rencana ini ditulis oleh
Ku Seman Ku Hussain


Ketika Duta Amerika Syarikat (AS) di Libya Christopher Stevens dibunuh semasa demonstrasi membantah filem menghina Nabi Muhammad, kita menganggap itu tindakan keterlaluan. Ini kerana pada prinsipnya filem itu dibuat oleh individu di AS dan tidak mewakili AS. Maka AS tidak wajar dipersalahkan. Tetapi beberapa hari selepas itu, tindakan membunuh Duta AS itu bukan sahaja wajar malah sangat wajar. Ada beberapa sebab yang mewajarkan tindakan itu antara yang paling ketara sekali ialah sikap dan pendirian AS terhadap penerbitan filem yang menyinggung umat Islam. Isunya sekarang ini bukanlah penerbit filem berkenaan. Sebaliknya sudah menjadi isu AS apabila Setiausaha Negara Hillary Clinton mengambil sikap lepas tangan terhadap isu berkenaan. Hillary mewajarkan penerbitan filem Innocence of Muslims itu kerana bersandarkan hak kebebasan bersuara rakyat AS.

Maka pembunuhan Duta AS itu adalah mesej Islam dari seluruh dunia supaya AS bertanggungjawab dengan mengenakan tindakan ke atas penerbit filem berkenaan. Kalau AS tidak mengambil tindakan, pembunuhan Duta itu bukanlah suatu yang kejam. Sebabnya AS lebih kejam memberi kelonggaran kepada individu memberi fakta yang salah sama sekali mengenai Nabi Muhammad. Fakta itu pula lebih kepada provokasi supaya umat Islam supaya memperlihatkan tindakan dan itu kemudiannya dilihat sebagai pelampau dari sudut pandangan AS. Melontarkan provokasi agama dengan menggambarkan tokohnya dengan keburukan bukanlah kebebasan bersuara. Maksud kebebasan bersuara lebih kepada perkara-perkara yang berkaitan dengan ideologi, sosial atau politik. Kalau isu filem ini dianggap kebebasan bersuara, ternyata ini tidak memberi keadilan sama sekali kepada pihak majoriti atau umum. Sebabnya hujah tentang Nabi Muhammad tidak bersandarkan fakta tetapi rekaan semata-mata.

Kalau provokasi seperti ini dianggap kebebasan bersuara, maka jelaskan AS memberi kebebasan yang tidak membawa kebaikan malah memberi kerosakan kepada umum. Apabila sesuatu itu tidak memberi kebaikan kepada umum ia dengan sendirinya bertentangan dengan kepentingan umum. Apakah ini membuktikan AS yang mendakwa demokratik sebenarnya mengenepikan kepentingan umum untuk menjaga kepentingan individu?

Kebebasan

Maka isu penerbit filem sudah tidak penting lagi. Individu seperti ini ada di mana-mana, bukan sahaja di AS malah di negara-negara Islam sendiri. Mereka ini samalah dengan penulis Salman Rushdie yang menulis The Satanic Verses atau Irshad Manji yang menghina Islam dengan lesen kebebasan bersuara. Individu seperti ini mempunyai agenda tertentu atau sekadar melontarkan provokasi untuk mempopularkan diri. Tetapi yang menjadi isu adalah pihak yang berkuasa seperti AS kerana tidak mahu bertanggungjawab seterusnya mengambil tindakan tegas. Individu seperti ini tidak akan muncul kalau mereka tidak diberi laluan merosakkan kepentingan umum atas prinsip kebebasan individu. Sekarang ini penerbit filem yang entah siapa-siapa dulunya, kini menjadi figura penting apabila dilindungi oleh AS. Provokasi terhadap agama sudah banyak kali berlaku. Tetapi bezanya di negara lain provokasi seperti ini diambil tindakan untuk menghentikan dan mengambil tanggungjawab.

Tetapi sikap AS dalam isu filem ini adalah kesinambungan diskriminasi AS terhadap masyarakat Islam. Ini bukan perkara baru. Lihatlah isu pembinaan sebuah pusat Islam berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC) yang hancur dalam tragedi 11 September 2001 di mana Islam menjadi mangsa diskriminasi. AS juga secara psikologi mencipta istilah baru "Islamofobia" untuk menggambarkan kebimbangan masyarakat dunia terhadap Islam.

Islamofobia diciptakan oleh AS untuk memberikan gambaran buruk kepada Islam. Ini ditambah lagi dengan serangan ke atas WTC dalam tragedi 11 September 2001. Lama sebelum itu Islam juga sudah dilabelkan sebagai "pelampau". Apa sahaja yang berkaitan dengan Islam adalah pelampau. Semua ini dirancang dengan rapi untuk memerangi Islam secara psikologi. Maka penerbitan filem yang menghina Nabi Muhammad bukanlah suatu yang mengejutkan. Ia mungkin dirancang untuk dijadikan bom jangka yang sengaja dipasang untuk mencuit umat Islam termasuk pelampau bertindak. Ini dapat dilihat apabila pemimpin seperti Hillary lebih menyanjung hak kebebasan bersuara daripada hak untuk hidup harmoni.

Pelampau

Selepas ini sudah pasti Islam akan dilabelkan sebagai pelampau apabila Duta AS di Libya dibunuh. Pembunuhan ini akan digunakan sebaik-baiknya oleh AS untuk membuktikan Islam bersekutu dengan keganasan. Kematian Duta itu akan diperbesarkan hingga menenggelamkan isu kenapa pembunuhan itu berlaku. Kepada sesiapa juga yang mengikuti strategi AS memerangi Islam akan setuju bahawa pembunuhan Duta AS adalah mesej daripada umat Islam. Pada sisi yang lain, Hillary sebenarnya berbohong apabila berkata filem adalah ekspresi kebebasan bersuara dan kerajaan tidak boleh menghalangnya. Buktinya AS telah mengharamkan banyak filem sebelum ini kerana memberi kesan buruk kepada pemerintah dan kelompok Yahudi. Buktinya filem The Profit pada 2007 dan The Yes Men Fix The World (2010) antara yang diharamkan. Siapa kata filem sebuah ekspresi kebebasan bersuara dan tidak boleh diharamkan?

Bagaimana Hillary boleh berkata AS menjunjung prinsip kebebasan bersuara dan tidak boleh mengharamkan filem yang menghina Nabi Muhammad? Hillary adalah wanita yang paling berkuasa di AS dan boleh mengarahkan supaya penerbit filem diambil tindakan. Hillary tentu akan berkira-kira sokongan Yahudi kepadanya kalau mengambil tindakan ke atas penerbitan filem yang menghina Islam. Apabila Hillary menganggap filem itu sebagai kebebasan bersuara, maka tidak hairanlah penerbitnya mengeluarkan kenyataan yang angkuh dan anti Islam. Malah enjin carian terbesar, Google juga selari dengan kenyataan Hillary dan bertegas tidak akan mengeluarkan filem itu dari Youtube kecuali di Mesir dan Libya.

Bagaimanapun mendepani AS yang penuh taktikal itu tidak boleh semata-mata menyahut provokasi dengan provokasi. Tindakan menganjurkan tunjuk perasaan termasuk membunuh Duta adalah salah satu cara untuk memprovokasi AS. Tetapi kaedah lain yang perlu dilakukan ialah umat Islam mesti bersatu dan memulaukan AS. Pemimpin-pemimpin di negara Islam mesti menunjukkan teladan yang baik kepada dunia untuk menafikan Islamofobia ciptaan AS. Tetapi apabila pemimpin-pemimpin Islam di negara Islam sendiri menunjukkan pekerti yang buruk, diktator, membunuh rakyat dan paling malang sanggup ditunggang oleh AS untuk terus berkuasa, inilah ruang untuk AS memperendahkan Islam.

Sumber :
Mingguan Malaysia
17 September 2012

16 September 2012

ISU WANITA : KUASA WANITA PACU EKONOMI KELUARGA DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
Nor Affizar Ibrahim


Kehadiran Hari Wanita Kebangsaan kali ini sememangnya istimewa ketika seri Syawal masih berbahang dan aura sambutan kemerdekaan negara ke-55 kian terasa. Bertemakan Wanita Pencetus Ekonomi Baru, ia ternyata selaras dengan manifestasi kerajaan terhadap sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga. Hakikatnya, dalam memastikan pembangunan berjalan lancar, peranan wanita tidak boleh diketepikan. Sumbangan wanita dalam pelbagai aspek kehidupan meliputi ekonomi, sosial dan politik di kebanyakan negara bukan lagi sekadar bualan kosong, tetapi kenyataan.  Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu” - Wan Hasmah Wan Mohd, Ketua Pengarah JPW

Di Malaysia misalnya, dulu wanita hanya dikaitkan dengan status suri rumah tetapi segala-galanya berubah seiring pembangunan negara. Dalam bidang ekonomi, pembabitan wanita tidak hanya ‘bertarung’ membebaskan diri daripada prasangka dan kongkongan, malah mereka sudah menjadi sebahagian penggerak ekonomi diri dan negara. Isu diskriminasi wanita tidak lagi mencengkam golongan Hawa pada hari ini, sebaliknya, integrasi ekonomi dunia seiring dengan kemajuan teknologi yang pesat, sudah membentuk realiti ekonomi wanita dalam pelbagai cara.  Wanita terus mengorak langkah mengharungi cabaran memastikan kehadiran dan bakat mereka disedari dan diiktiraf. Dengan kebanjiran tenaga kerja wanita serta meningkatnya pendapatan dan kekayaan golongan ini, peranan wanita semakin berpengaruh baik dalam hal rumah tangga, organisasi mahupun negara.

Yang pasti, sumbangan wanita boleh dibanggakan sejak kebelakangan ini. Penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat daripada 44.7 peratus pada 1995 kepada 46.4 peratus pada 2009 dan sasaran sehingga 55 peratus menjelang akhir Rancangan Malaysia Kesepuluh-10 (RMKe-10).  Perumpamaan ‘tangan wanita yang menghayun buaian boleh menggegarkan dunia’ dapat dilihat sebagai gambaran paling tepat untuk menggambarkan kesungguhan wanita di negara ini, khususnya dalam memastikan kestabilan negara dan kedudukan ekonomi. Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita (JPW), Wan Hasmah Wan Mohd, berkata hakikatnya sudah ramai menyedari potensi wanita dan memanfaatkan kehadiran mereka dalam pembangunan dan kemajuan ekonomi di negara ini. Atas alasan itu, sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012 memilih tema Wanita Pencetus Ekonomi Baru yang mengiktiraf peranan dan sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi keluarga.

“Kedudukan dan pencapaian wanita di Malaysia pada hari ini amat membanggakan jika dibandingkan 10 tahun atau 20 tahun lalu. Usaha mencapai taraf negara maju dan berpendapatan tinggi melalui Model Baru Ekonomi (MBE) menjadikan wanita berperanan besar menggalas cabaran dalam era globalisasi dan terus menyokong pembangunan negara. Justeru, inilah signifikan tema itu dipilih. Ketika ini, wanita membentuk 49.1 peratus atau 14.03 juta populasi daripada 28.55 juta penduduk Malaysia. Seramai 9.03 juta (64.3 peratus) wanita adalah pada usia produktif iaitu 15 hingga 64 tahun,”

Wan Hasmah berkata, dalam tiga tempoh Rancangan Malaysia, sumbangan wanita ketara dalam pembangunan sosial dan ekonomi negara. Sepanjang tempoh itu, pelbagai usaha diambil kerajaan dengan menyediakan persekitaran kondusif bagi memastikan penyertaan wanita lebih berkesan dalam pembangunan negara.  Golongan wanita kian terserlah sebagai usahawan berjaya, turut dilengkapkan dengan pakej sesuai supaya mampu bersaing dalam persekitaran ekonomi moden. Sehubungan itu, sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, ada isu khusus yang bakal dibincangkan seperti sumbangan wanita dalam pembangunan ekonomi negara, pembabitan wanita dalam pasaran kerja dari pelbagai perspektif, prospek kembali bekerja dan aturan kerja fleksibel.

Jika dibandingkan negara lain seperti Vietnam dan China, peratusan jumlah tenaga kerja wanita di Malaysia masih rendah. Ini berlaku kerana ramai wanita berhenti kerja atas faktor tertentu. Ini tidak boleh dibiarkan berlaku dan kita perlu pastikan, menjelang 2015 dianggarkan 55 peratus wanita produktif berusia 18 hingga 60 tahun mesti berada dalam pasaran kerja. Wan Hasmah berkata, menyedari permasalahan itu sempena sambutan Hari Wanita Kebangsaan 2012, portal Microsite TalentWanita akan dilancarkan. Portal berkenaan berfungsi sebagai pengantara kepada wanita yang meninggalkan pasaran pekerjaan untuk kembali bekerja.

SUMBER
Berita Harian Online
14 September 2012

ISU NEGARA : USAH KOMPROMI LAGI PERILAKU CELUPAR "BUDAK NAKAL"


Rencana ini ditulis oleh :
Datuk Dzulkifli Abdul Razak
Naib Canselor Universiti Antarabangsa Albukhary (AiU)
Bekas Naib Canselor USM


Tidak beberapa lama dulu, seorang pelajar Malaysia di Taiwan mempersendakan lagu kebangsaan, Negaraku, melalui lagunya yang disebar di YouTube. Hal ini membangkitkan banyak bantahan daripada pelbagai pihak yang menyoal keangkuhan pelajar berkenaan. Apa yang dilakukan dianggap sebagai perbuatan 'kurang ajar' bagi seorang warga negara Malaysia, apa lagi dilakukan ketika berada di seberang laut. Namun, kesudahannya perkara itu 'diselesaikan' begitu saja atas andaian ini adalah perbuatan seorang ‘budak nakal lagi dangkal'. ‘Kenakalan’ sama nampaknya timbul lagi baru-baru ini secara ‘live’ pada ambang kemerdekaan ke-55 di ibu kota. ‘Kedangkalan’ kali ini membabitkan belia dan pelajar tempatan yang ghairah mengibarkan apa yang disebut sebagai Sang Saka Malaya berwarna merah putih.

Mereka umpama pacat yang menghisap segala nikmat tetapi tidak pandai menyumbang balik kepada negara," Khoo Kay Kim, Pakar Sejarah Hasrat mereka adalah untuk menggantikan bendera rasmi negara, Jalur Gemilang yang dikatakan hampir serupa dengan bendera Amerika Syarikat yang berjalur merah dan putih. Anehnya, Sang Saka Malaya yang hampir sama dengan corak bendera dua negara jiran seolah-olah tidak menjadi masalah bagi mereka. Perbuatan mereka mengibarkan bendera baru itu umpama adegan lawak tidak bertempat. Mungkin mereka tersalah hitung yang perbuatan sumbang itu boleh dimaafkan berpandukan kepada peristiwa di Taiwan sebelum ini. Mungkin mereka juga menyangkakan tindakan mempersendakan satu lagu simbol negara boleh ‘diselesaikan’ seperti klip video di YouTube itu.

Apapun yang tersilap langkah ternyata adalah kita yang sentiasa memandang ringan keceluparan perilaku sedemikian sehingga rela ia dilenyapkan begitu. Sanjungan diletakkan kepada lagu kebangsaan, bahasa kebangsaan, bendera kebangsaan, jati negara, institusi Raja-Raja dan Perlembagaan kian terhakis.  Kita tidak berani seperti dikatakan Professor Emeritus, Tan Sri Khoo Kay Kim, dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris. Kata beliau: “Jika mereka tidak sukakan negara ini, serahkan kewarganegaraan dan nyah saja ke tempat lain.”

Duri dalam daging

Bagi Prof Khoo, logiknya mudah kerana mereka inilah yang menjadi duri dalam daging atau gunting dalam lipatan. Atau lebih tepat lagi musuh dalam selimut atau tali barut kepada orang lain. Kewujudan begitu banyak peribahasa seumpama ini menunjukkan perbuatan sedemikian pernah berlaku dalam masyarakat dan memporak-perandakan kesejahteraan negara. Malah, Prof Khoo pernah melahirkan kebimbangannya mengenai mereka yang buta sejarah walaupun lahir dan membesar di negara ini. Mereka umpama pacat yang menghisap segala nikmat yang ada tetapi tidak pandai menyumbang balik kepada negara kerana sanubarinya tidak langsung tersentuh untuk berbuat demikian. Sebaliknya, mereka lebih mudah mencaci-cela gejala daripada kejahilannya akan sejarah tanah air.

Bibit perpecahan ini turut berlaku di beberapa aliran sekolah di negara ini yang enggan mengiktiraf peri pentingnya perspektif kebangsaan diajar atau diseragamkan pada semua peringkat persekolahan. Ramai masih sempit pemikirannya tatkala menduga bahawa tindakan sedemikian akan melunturkan dan mengubah corak pendidikan mereka. Kefahaman mengenai sejarah dan latar negara dikorbankan, begitu juga penguasaan bahasa kebangsaan. Ini adalah satu kelompangan yang mampu mengancam sesebuah negara majmuk kerana pendidikan sedemikian gagal membina penyatuan kukuh.

Fahaman berpuak

Sebaliknya fahaman berpuak semakin menebal dan perspektif lebih lumrah tanggap mengeruhkan keadaan. Mencari titik pertemuan menjadi perkara amat sukar sekali kerana jiwa mereka sudah dilatih asas berbeza. Ia melahirkan satu bentuk syak wasangka kepada apa dan siapa saja yang berlainan. Malah niat yang baik lazim diputar-belitkan kepada sesuatu yang negatif dan hodoh. Masanya sudah sampai kita perlu menangani kemelut nilai ini usia negara mencecah 55 tahun. Kita masih belum terlambat untuk menegaskan landasan kukuh dengan meletakkan simbol negara pada tempat sewajarnya. Kita tidak perlu lagi berlembut dan berkompromi kerana 55 tahun adalah jangka masa cukup lama untuk membawa kepada perubahan dalam konteks bernegara.

Sempena menyambut Hari Malaysia kali ini, tiada risalah paling sesuai selain merenung kembali sejarah pembentukan negara dan bertekad mempertahankan kemerdekaannya serta menyanjung tinggi segala simbol negara yang menaunginya.

SUMBER
Berita Harian Online
13 September 2012

ISU UMUM : HUKUM NGO JADI KELEDAI KUASA ASING



Keraguan semakin meningkat apabila sebuah lagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) luar negara dikaitkan dengan Suara Rakyat Malaysia (SUARAM). NGO yang dikatakan diasas penyangak mata wang, George Soros sebagai penyumbang dana SUARAM tentu menimbulkan persoalan ramai mengenai kewujudan pengaruh asing dalam gerakan NGO dan pertubuhan sosial tempatan.  Isu kemanusiaan, hak asasi, demokrasi dan kebebasan semakin banyak diperkatakan. Tidak terkecuali juga isu alam sekitar seperti projek nadir bumi di Kuantan dengan NGO kononnya memperjuangkan soal keselamatan penduduk setempat. Jika sebelum ini Siasatan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) mendapati NGO itu menerima dana daripada empat sumber antarabangsa iaitu Open Society Institute, di New York; National Endowment for Democracy, di Washington, Southeast Asian Centre for e-Media dan Kedutaan Jerman di Kuala Lumpur, pendedahan terbaru tentu lebih memeranjatkan.

Sebagai badan yang mendakwa bebas memperjuangkan isu sosial dan hak asasi, SUARAM sepatutnya bebas daripada campur tangan asing. Sumbangan yang tentu membabitkan jumlah besar dana boleh memesongkan perjuangan sesebuah NGO untuk berkiblat kepada golongan tertentu di luar negara. Sebagai negara yang bebas dan berkecuali, Malaysia tidak memerlukan badan asing campur tangan dalam isu setempat. Tindakan NGO dan segelintir ahli politik berkiblatkan Barat terpaksa tunduk kepada kehendak pihak tertentu supaya mengikut telunjuk mereka walaupun ia bertentangan dengan aspirasi negara. Keadaan ini amat berbahaya dan mereka ini sebenarnya masih terjajah dan tidak merdeka dalam erti kata sebenar.

Pengaruh asing sentiasa menular di dunia ketiga menerusi pelbagai bentuk. Kesan pasca Perang Dingin dan dasar langit terbuka menyebabkan banyak badan asing menghulurkan dana ke negara kecil bagi mengekalkan pengaruh. Kita bimbang pengaruh luar ini bakal meracuni fikiran dan tindak-tanduk rakyat sehingga menggugat kesejahteraan dan keharmonian kaum di negara ini. Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan sehingga kini mengenal pasti lima kes membabitkan SUARAM yang didakwa melanggar Akta Syarikat 1965.  Kita berharap siasatan lanjut dapat membongkar punca kemasukan dana asing. Pihak berkuasa juga wajar memeriksa akaun pertubuhan lain yang menganjurkan pelbagai perhimpunan haram secara terancang di beberapa tempat sejak April hingga malam 30 Ogos lalu.

SUMBER
Minda Pengarang
Berita Harian Online
11 September 2012

ISU SOSIAL : BUDAYA KITA MANGSA GLOBALISASI


Rencana ini ditulis oleh :
Mohamad Abdullah
Timbalan Pendaftar Pejabat Naib Canselor,
Universiti Sains Malaysia


Muzik video Gangnam Style oleh penyanyi rap Korea Selatan dikatakan mencapai lebih 130 juta tontonan di YouTube sejak dimuat naik pada 15 Julai lalu. Malah lagu itu dikatakan menjadi satu kejutan apabila berupaya menembusi pasaran dunia termasuk negara Barat yang selama ini menjadi tumpuan dalam segala bentuk budaya hiburan dunia. Selama ini kita percaya bahawa budaya Barat adalah segala-galanya dalam hidup kita walaupun dalam banyak keadaan ada yang marah dan membencinya. Budaya Barat sering dilabelkan sebagai mengancam budaya murni dan merosakkan nilai tradisional dalam kehidupan.

Apabila media melalui proses globalisasi dan langit terbuka, budaya Barat sering dipersalahkan dalam apa juga permasalahan. Malah apa saja yang datang dari Barat dianggap budaya hedonisme yang merosakkan akidah. Malangnya seperti kata seorang penganalisis, marah macam mana pun kita kepada Barat, tarikan masih sentiasa kepada budaya, universiti, wayang, makanan, pakaian dan teknologi mereka.  Ini amat benar kerana kita cepat saja menerima sesuatu apabila mendapat pujian dan pengiktirafan daripada Barat. Sebahagian besar negara di dunia, terutama negara Islam dan dunia ketiga, mengiktiraf apa juga yang datang dari Barat dan sekutunya sebagai kebanggaan dan pengiktirafan terhadap apa yang dilakukan.

Sanjung nilai Barat

Lihat saja apabila umat Islam dibuli dan dipandang serong Barat, kita akan marah tetapi pada masa sama kita tetap menganggap ia sebagai rujukan utama. Nilai budaya, ilmu, hiburan, makanan dan teknologinya dipandang tinggi, dibanggakan dan menjadi satu cara hidup walau pun kita tahu sesetengahnya boleh dipertikaikan. Kita tahu dan sedar bahawa sesetengah ilmu dan teknologi terdapat di negara lain yang kurang kita terokai. Malah negara yang disisihkan dan dikatakan terasing daripada pembangunan ekonomi dalam konteks Barat, mempunyai institusi ilmu yang cemerlang dalam pelbagai bidang termasuk penghasilan vaksin untuk faedah umat manusia seluruhnya.

Penjajahan bentuk baru yang amat kuat menguasai minda dan persepsi kita terhadap budaya ini payah ditembusi kerana ia ditanam amat kukuh. Sebarang cubaan yang berpandangan sebaliknya dianggap sebagai anti kemajuan dan pembangunan serta tidak realistik. Dalam banyak hal, apa yang dikatakan hebat dan baik oleh Barat dianggap sebagai kayu ukur dalam menentukan kedudukan kebanyakan institusi kita walau pun sebahagiannya mengancam jati diri dan kelangsungan geopolitik sesuatu negara. Gangnam Style, satu citra baru dari satu daerah di Korea Selatan mengajar bahawa jika caranya betul, persepsi itu mampu berubah bukan saja dalam seni dan budaya tetapi juga aspek lain. Tentunya bukan daripada aspek moral ada pandangan mengatakan Gangnam Style satu lagi budaya hampas yang berasaskan pergerakan kuda yang boleh merosakkan ummah.

Cari kekuatan seni budaya

Namun, jika kita kurangkan bertelingkah dalam hal remeh temeh dan hanya mencari salah dan kekurangan, kita mempunyai banyak masa untuk bermuhasabah diri dan mencari kekuatan dalam seni budaya serta akar umbi ilmu dan tamadun yang sudah lama berada di kalangan kita. Pelbagai kearifan tempatan yang ada perlu diteliti semula bagi mendorong kreativiti dan penambahbaikan untuk disesuaikan dengan nilai masa hadapan. Banyak yang boleh kita ketengahkan untuk dikongsi dengan dunia. Bahasa dan budaya bukanlah halangan.

Raihan misalnya pernah menjadi satu fenomena dalam mengetengahkan nasyid sebagai satu budaya alternatif bukan saja di kalangan orang Melayu dan umat Islam tetapi juga masyarakat keseluruhannya. Ia berlaku dengan cemerlang dan beberapa ikon lain turut menyumbang ke arah pembentukan fenomena baru. Kebijaksanaan inilah yang harus dijadikan cabaran dalam mengetengahkan kekuatan dan kearifan dimiliki dalam kepelbagaian dunia. Globalisasi termasuk media sosial dan YouTube membuka laluan dan peluang yang sangat besar dan berguna untuk dimanfaatkan kita.

Ketengah ilmu, budaya tempatan

Sama ada untuk mengetengahkan dalam konteks agama dan moral mahu pun keilmuan lain-lainnya, ia harus dilakukan sebaik mungkin. Selagi kita tidak berupaya membina persepsi dan model baru dalam pelbagai perkara, selama itulah kita hanya akan marah dan menuding jadi menyalahkan semua orang kecuali diri sendiri.  Gangnam Style barangkali bukan contoh terbaik tetapi ia menunjukkan bagaimana globalisasi budaya boleh berlaku dengan pantas dan menembusi dunia tanpa sempadan. Mampukah kita memanfaatkan dan menghadapinya atau kita hanya mampu menjadi pemerhati walaupun kita mempunyai kekuatan jika bersungguh-sungguh untuk melakukannya? Masalahnya bukanlah Barat atau Timur tetapi nilai yang boleh mengancam tamadun ummah yang perlu dihadapi bukan dengan membenci tetapi kebijaksanaan.

SUMBER
Berita Harian Online
16 September 2012

15 September 2012

ISU NEGARA : NARATIF IDEAL HARI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
Khairuddin Mohd. Zain
Penganalisis sosial


Hari Malaysia - sememangnya wajar disambut dengan semangat yang positif dan baik. Memang mungkin ada, di kalangan kita, mereka yang gemar memberikan irama politik kepada semua perkara, untuk mendendangkan rentak Hari Malaysia mengikut suasana dan iklim politik yang ada. Ironinya, mereka gemar menarik dan menggunakan nama 'rakyat' dalam mengemukakan naratif pesimis lagi merosakkan mengenai Hari Malaysia. Kepada mereka, Hari Malaysia adalah hari untuk menjurang perbezaan sejarah, mendahulukan parameter kuasa, menggunakan sentimen dan faham jumud untuk menggambarkan mereka sebagai 'hero baru' yang bercakap mengenai kuasa mutlak dan peluang meletakkan diri sendiri di puncak kuasa. Sentimen ini sememangnya menghangat apabila suasana pilihan raya semakin hampir.

Bersesuaian dengan niat politik yang ada, mereka perlu membugar semangat anti-Persekutuan. Meletakkan hijab politik di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak. Semangat anti-Persekutuan dan meletakkan hijab politik kepada hubungan baik Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya dirasakan mereka mampu memberikan pulangan politik yang setimpal. Kepedulian mereka terhadap semangat Rukunegara berada di tahap yang sangat rendah. Malahan ini boleh kita sama-sama rasai dengan kesungguhan mereka menampilkan banyak insiden anti-negara dan kepimpinan yang dilaksanakan kebelakangan ini. Apa yang penulis khuatir, semangat mendapat pulangan dan dividen politik sudah menyebabkan mereka kalangan yang sangat Machiavellian di dalam pendekatan politik. Segalanya dibolehkan, asalkan niat mereka mendapat kuasa dapat direalisasikan secepat mungkin.

Mereka tidak sangsi untuk menggunakan apa sahaja bahan untuk mengemukakan pelbagai hujah kononnya apa yang kita nikmati ketika ini bukanlah satu bentuk ikatan politik yang 'ideal' pada hemat dan pandangan mereka. Bukanlah lagi satu rahsia, keinginan mereka membuka dokumen sejarah mempunyai niat yang sangat mencurigan. Kumpulan yang kecil ini gemar menggunakan dokumen sejarah sebagai alat membina sentimen kebencian kepada orang lain. Niat, semangat, iltizam, kesungguhan - generasi terdahulu dalam mencari 'titik persamaan' dan meletakkan 'semangat Malaysia' mendahului perkara-perkara yang lain, tidak mereka hayati dan hargai. Yang lebih mereka cari, adalah sebarang kelemahan yang boleh memberikan ruang mereka berpolitik dan menabur janji. Inilah naratif politik yang mahu mereka budayakan. Naratif politik berdasarkan kebencian dan semangat kenegerian sempit. Naratif politik yang menjurus kepada usaha merosak dan meruntuh.

Generasi muda Malaysia secara keseluruhannya memerlukan naratif yang lebih ideal tentang Hari Malaysia. Naratif yang lebih ideal ini akan memberikan gambaran yang lebih tepat mengenai hubungan kita di bawah naungan Perlembagaan. Dalam mencari naratif ideal ini, seharusnya kita tidak lagi terlalu memberatkan elemen dendam dan kecam. Sebaliknya membina pandangan bahawa semua daripada kita adalah anak Malaysia. Pandang kenegerian yang kadang kala terlalu ekstrem akan mengehadkan interaksi yang lebih positif dan bermakna.

Mendahulukan Semangat Malaysia

Secara keseluruhannya, tidak ada usaha mana-mana pihak sekalipun untuk menidakkan sebarang kuasa dan keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh Sarawak dan Sabah. Yang nyata, kerjasama, rasa saling percaya, gerak rasa sejarah - kesemuanya menjurus kepada pengisian 'makna' kepada apa yang telah dipersetujui oleh generasi peneroka kepada ikatan kekeluargaan Malaysia yang terbina dahulu. Penulis yakin, apa sahaja yang terjelma di dalam mana sahaja dokumen perjanjian - pada hakikatnya telah didahului dengan semangat Malaysia yang sebenar. Sebarang perbezaan, kalaupun ada, mestilah dijernihkan dalam semangat kekeluargaan 1Malaysia yang sebenar. Bukannya semangat kebencian, dendam lama dan sebarang interpretasi politik yang kurang matang.

Rakyat Malaysia secara keseluruhannya perlu melihat 'sikap politik' ekstrem sesetengah pihak untuk mengintai dan meninjau peluang untuk mendapatkan dividen politik daripada sebarang permainan janji yang ada. Kepada mereka, sebarang perjanjian sebelum ini hanyalah satu penzahiran kerjasama yang hanya wujud di atas kertas dan bukan dalam bentuk semangat kekeluargaan yang sebenar. 16 September 1963 wajarlah diraikan bukan sahaja sebagai legasi sejarah yang pasif - namun sebagai hubungan dinamik Sabah dan Sarawak, di dalam 'keluarga' Perlembagaan Malaysia.

Kesediaan generasi pimpinan dan rakyat Sabah dan Sarawak terdahulu untuk berkongsi 14 jalur sama lebar yang ada di atas Jalur Gemilang adalah satu langkah politik yang luar biasa hebat dan berpandangan jauh. Sememangnyalah, generasi terdahulu mempunyai 'hikmah politik' yang luar biasa hebat. Hikmah politik inilah yang kita sama-sama nikmati sehingga ke hari ini. Sentimen yang terlalu dibaluti dengan irama politik kadangkala kedengaran sangat ekstrem dan membawa elemen yang menjauhkan hubungan dalam keluarga Malaysia yang ada. Apakah mereka ini mahu membawa janji baru sebagai taruhan mendapat keuntungan politik semata-mata? Di mana letaknya keikhlasan sekiranya apa yang sering kali diungkapkan adalah soal parameter kuasa? Kadang kala ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ini sebagai kaedah mereka untuk membulatkan kuasa di tangan mereka?

Generasi muda Malaysia, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak - perlu membuka naratif politik yang lebih berpandangan jauh. Sewajarnyalah, kita perlu mengetepikan sedikit sebarang isu dan sentimen kenegerian yang ekstrem dan mula membuka wadah politik Malaysia yang lebih murni. Lebih baik lagi, sekiranya kita tidak terlalu terbawa- bawa dan terikut-ikut dengan sentimen yang cuba dimainkan oleh pihak tertentu. Kita perlu melihat, cubaan demi cubaan untuk meluas jurang sesama kita sebagai model politik yang tidak bertanggungjawab. Wajar agaknya, generasi muda Sabah dan Sarawak memberikan mesej yang jelas, bahawa zaman politik adu domba dan meruntuh negara, sudah tidak lagi berada dalam zamannya. Kumpulan yang gemar memporak-perandakan kestabilan politik ini perlu diajar dengan tamparan politik yang lebih besar.

Mengisi Makna 1Malaysia

Tidak mustahil, daripada sudut 'semangat dan gerak rasa', mungkin sahaja idea 1Malaysia sudah difikirkan lama antara tempoh 1957-1963. Mungkin sahaja, jurang masa enam tahun itulah juga memberikan ilham dan menjelmakan keyakinan, bahawa Sabah dan Sarawak - lebih molek ditampilkan dalam keluarga Malaysia yang lebih besar. Hubungan akrab inilah yang akhirnya memberikan kita kesempatan meraikan Hari Malaysia dalam erti kata yang sebenar. Kita perlu merancang untuk membawa Malaysia ke tahapnya yang lebih baik dan berjaya. Segala perancangan ini mungkin sahaja gagal, sekiranya rakyat terus ditaburi dengan janji politik yang kasar dan meruntuh hubungan. Percayalah, kerjasama politik yang ibarat 'enau dalam belukar - gemar melepaskan pucuk masing-masing', tidak akan membawa kita jauh ke hadapan.

Rakyat perlu memperbandingkan secara ikhlas dan jujur, naratif politik Hari Malaysia mana yang lebih merealisasikan harapan dan berpandangan jauh. Sikap politik yang mengibaratkan Sabah dan Sarawak sebagai 'taruhan dan komoditi politik' semata-mata adalah hubungan yang tidak jujur. Yang nyata, semangat 1Malaysia sudah hampir sahaja menipiskan perbezaan antara kita. Sabah dan Sarawak tidak pernah tertinggal dalam parameter kepentingan nasional. Malahan, ada ketikanya, Sabah dan Sarawak menjadi bata-bata penting untuk kita sama-sama melonjak dengan lebih jauh.

Secara idealnya, Hari Malaysia patut menjadi tarikh keramat untuk kita membuang rasa sangsi, kurang percaya, benih kebencian sesama kita. Slogan-slogan yang gemar mengungkap semangat kenegerian dan sebagainya perlu dimurnikan dengan pandangan yang lebih besar mengenai masa hadapan Malaysia. Hikmah politik 1963 ini perlu diperjelaskan lagi kepada anak muda Malaysia seluruhnya. Apa sebenarnya semangat dan rasionalnya? Apa cita-cita jangka panjangnya? Hikmah politik yang turut dikongsi oleh 80 % penduduk Sabah dan Sarawak di dalam Laporan Suruhanjaya Cobbold ini pastinya bukanlah keputusan semberono dan sesuka hati. Hikmah politik inilah yang hendak dipijak-pijak oleh kumpulan politik yang tidak bertanggungjawab.

Moga-moga Hari Malaysia Ke-49 ini memberikan kita naratif yang lebih ideal tentang hubungan kita sebagai sebuah negara. Mungkin masanya sudah tiba untuk kita memberikan komitmen jelas bahawa kita sudah semakin matang dan tidak mudah terbuai dengan sentimen kenegerian yang terlalu ekstrem.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 September 2012

ISU NEGARA : ANTARA HARI KEMERDEKAAN DENGAN HARI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh
SOFI RAHMAN


Ramai di kalangan anak muda yang sedikit terkeliru di antara Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia. Ramai yang tidak sedarkan kewujudan Hari Malaysia kerana apabila dilontarkan tarikh keramat itu ramai yang akan memberikan jawapan 31 Ogos. Tidak adil untuk kita sekadar membebankan kekeliruan itu di atas bahu mereka semata-mata tanpa kita memikirkan apakah kita telah mengambil pendekatan yang cukup untuk menyedarkan mereka tentang kewujudan tarikh Hari Malaysia. Benar, kita menyediakan segala bentuk kemudahan dan kemodenan untuk dinikmati oleh mereka dan generasi akan datang tetapi khuatir yang disediakan itu akan menyebabkan mereka menjadi lalai kepada sejarah. Sama ada suka atau tidak, hakikat yang harus kita terima bahawa sejarah menjadikan Malaysia sesempurna ini hasil pengemblengan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung mahupun Sabah dan Sarawak.

Jika diimbas kembali kepada sambutan Hari Kemerdekaan Ke-55 pada 31 Ogos lalu, renung-renungkanlah sama ada kita mampu menarik anak-anak muda ini untuk merenung kembali setiap titisan peluh yang dititiskan oleh generasi terdahulu dalam usaha mencapai kemerdekaan atau kita sekadar mampu membuatkan mereka menjeritkan perkataan merdeka dan membulatkan mata mereka merenung setiap percikan bunga api di angkasa pada detik 12 tengah malam. Kerisauan ini dirasakan apabila saban hari berbanding tahun sebelumnya, kemeriahan rakyat terutamanya anak muda dalam meraikan hari kemerdekaan semakin dingin. Lihatlah di sekeliling anda apakah masih ada lagi bendera-bendera yang digantungkan atau dikibarkan di kereta-kereta mahu pun premis-premis? Jika ada pun sekadar menghiasi yang kebanyakannya adalah kenderaan rasmi dan premis kerajaan.

Teringat pula kepada kata-kata Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan(KPKK), Datuk Seri Dr. Rais Yatim bahawa menyambut apa jua acara sambutan yang berkisar kepada sejarah Malaysia tidak boleh hanya dinilai kepada bilangan yang hadir dan bilangan yang mengibarkan bendera semata-mata tetapi jauh daripada itu adalah melahirkan jiwa yang penuh kecintaan kepada negara. Tentunya kata-kata yang lahir daripada seorang Menteri apatah lagi daripada orang berpengalaman luas haruslah difikirkan secara bersama pendekatan bagaimanakah yang harus diambil untuk memberikan rasa cinta itu kepada anak-anak muda. Walaupun sehebat itu dan sebenderang angkasa yang kita warnakan pada detik 12 malam 31 Ogos pun kita masih tertanya-tanya apakah anak muda benar-benar menjiwai rasa cinta kepada negara inikan pula berhubung Hari Malaysia yang mungkin masih samar-samar pengertiannya di jiwa mereka.

Kita tidak mahu kekeliruan berhubung Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang semakin bersawang di minda anak muda diburukkan lagi oleh mereka yang berkepentingan dalam politik. Pelbagai dakyah palsu dilontarkan mereka kepada anak-anak muda di Sabah khususnya semata-mata mahu menyemai rasa benci mereka kepada kerajaan. Minda anak muda di Sabah dan Sarawak terus disogokkan dengan dakwaan bahawa kerajaan sekarang meminggirkan dan tidak membela nasib rakyat Sabah dan Sarawak. Hujah yang agak dangkal yang mereka gunakan itu dikhuatiri akan ditelan mentah-mentah oleh anak muda biarpun hakikatnya Sabah dan Sarawak tidak pernah dipinggirkan mahupun dianaktirikan.

Lihat sahaja barisan Jemaah Menteri dalam pentadbiran kerajaan. Sejak dari dahulu sehinggalah ke detik hari ini, anak-anak Sabah dan Sarawak tidak pernah dikecualikan daripada memegang jawatan Jemaah Menteri. Kemudahan di Malaysia diselaraskan di seluruh negara termasuklah Sabah dan Sarawak. Hospital kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan pelbagai lagi kemudahan yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan diperluaskan ke Sabah dan Sarawak. Justeru, bagaimana boleh kita menerima bahawa Sabah dan Sarawak dianak tiri dan dipinggirkan? Ramai anak-anak muda Sabah dan Sarawak yang berjaya mendapatkan pekerjaan yang baik di negeri kelahiran mereka sendiri dan tidak kurang juga ada di kalangan anak muda daripada tanah Semenanjung yang berhijrah ke Sabah dan Sarawak untuk mencari rezeki.

Begitu juga jawatan penting di peringkat Persekutuan, Sabah dan Sarawak yang diisikan oleh rakyat dari kedua-dua negeri itu. Semangat integrasi nasional segala-galanya berjalan dengan baik dan tidak ada sebarang rasa buruk sangka di antara anak Semenanjung dengan anak Sabah dan Sarawak. Kebersamaan inilah yang sememangnya diidam-idamkan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak apabila memperkenalkan Gagasan 1Malaysia ketika mengambil alih tampuk pemerintahan. Biarpun sebenarnya perjuangan menyatukan seluruh rakyat Malaysia bukanlah perkara baru tetapi Perdana Menteri tampaknya sentiasa berwaspada kepada sebarang tindakan yang sengaja mahu memecah-belahkan rakyat Malaysia.

Mengenai kecelaruan Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia, adalah diharapkan kerajaan mengambil pendekatan lebih proaktif untuk menerangkan fakta sebenar perihal peristiwa itu secara menyeluruh kepada rakyat Malaysia. Tanggungjawab ini dilaksanakan oleh Jabatan Penyiaran dan Jabatan Penerangan KPKK. Hanya dengan fakta yang benar akan dapat melahirkan rasa kecintaan yang mendalam kepada negara dan dapat menjadi benteng kepada sebarang asakan daripada mereka yang ingin melihat kehancuran negara demi kuasa. Semoga detik 16 September akan menjadi sepenting detik 31 Ogos di dalam kalendar tahunan Malaysia. Kita mahu kepentingan bersama rakyat Malaysia sama ada di Semenanjung, Sabah dan Sarawak akan menjadi seperti aur dengan tebing dan cubit peha kanan, peha kiri turut terasa sakitnya.

Di bawah kibaran Jalur Gemilang, ayuh kita mengorak langkah bersama untuk menuju ke arah yang cemerlang. Sesungguhnya tidak ada yang mustahil untuk kita gapai sekiranya kita bersatu dan dengan semangat Malaysia Boleh, Pendelela Rinong telah menzahirkan bahawa kita sebenarnya hidup dalam rumpun 1 Malaysia.

Sumber :
Utusan Malaysia
15 September 2012

14 September 2012

ISU SOSIAL : LINDUNGI GENERASI MUDA DARIPADA JENAYAH SIBER



Beberapa ibu bapa telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai ketagihan anak-anak muda kepada fantasi siber melalui permainan komputer atau computer games yang terdapat di kafe siber yang mereka kunjungi. Menurut ibu bapa tersebut, bukan ketagihan dadah yang dihadapi anak-anak muda ini tetapi sebaliknya ialah ketagihan kepada permainan siber. Tidak lama dulu terdapat laporan yang meluas dalam media mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpakaian seragam sekolah didapati berada di dalam kafe siber tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh ketika dilakukan pemeriksaan oleh Jabatan Pelajaran.

Inilah hakikatnya pada hari ini. Semakin ramai anak-anak muda telah menjadi penagih kepada fantasi siber. Dan ini adalah masalah yang perlu ditangani oleh sekolah, ibu bapa dan pihak-pihak yang berkenaan. Tidak ada salahnya permainan komputer ini digunakan untuk merehatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar yang sederhana. Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutamanya kepada pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan. Apa yang lebih buruk lagi ialah apabila ketagihan terhadap “computer games” ini membawa kepada perjudian yang merupakan punca utama kepada banyak keburukan. Walaupun saya tidak memusuhi kafe siber, tetapi peraturan yang mengekang operasi mereka terutamanya bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya hendaklah diperketatkan bagi mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial lain.

Bagaimanakah pengusaha kafe siber seperti itu membenarkan pelajar sekolah memasuki premis mereka sedangkan notis di depan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang memakai seragam sekolah tidak dibenarkan masuk. Kafe siber telah tumbuh bagaikan cendawan di serata pelosok negara dan penguat kuasa tempatan yang mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber ini tidak mampu untuk memantau kesan buruk kepada masyarakat yang diwujudkan oleh operasi kafe siber ini. Untuk mengharapkan para pengusaha kafe siber ini beretika dan melakukan pengawalan kendiri untuk menyekat remaja yang di bawah umur 18 tahun daripada memasuki kafe siber ini adalah mustahil kerana pengusaha mempunyai kepentingan kewangan terhadap perkara tersebut.

Semua penguat kuasa tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat-syarat yang dikenakan terhadap permit lesen mereka seperti menghadkan operasi kepada waktu yang tertentu dan tidak membenarkan anak-anak di bawah umur memasuki premis mereka. Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda kita daripada pengaruh negatif yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini. Dengan perkembangan dan kemajuan pendidikan pintar, mendapatkan ilmu dan pengetahuan perlu dilakukan dengan pendidikan moral yang mencukupi. Walaupun kita perlu menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman teknologi maklumat dan komunikasi ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorbankan atau mengabaikan keperluan penerapan nilai-nilai moral yang baik. Dengan kemajuan maklumat tanpa sempadan, lebih penekanan hendaklah diberikan terhadap penerapan nilai-nilai moral dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak jenayah siber.

SUMBER
Utusan Malaysia
14 September 2012

ISU PENDIDIKAN : MENGANJAK PENDIDIKAN NEGARA



KEMAJUAN DAN KEJAYAAN

Sistem pendidikan di Malaysia telah menempa banyak kemajuan sepanjang lebih lima dekad yang lalu. Hasil daripada Laporan Razak (1956), kemudiannya Laporan Rahman Talib (1960), Laporan Jawatankuasa Kabinet (1979), penggubalan Akta Pendidikan 1996, sehinggalah yang terakhir Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (2006-2010), sistem pendidikan kita telah mencatat beberapa kejayaan yang membanggakan.

Enrolmen murid pada peringkat pendidikan rendah, termasuk di sekolah swasta, telah mencapai tahap hampir sejagat, iaitu 96 peratus (%) berbanding hanya 40% pada tahun 1950. Kadar enrolmen pada peringkat menengah rendah pula telah mencapai 91%, dan menengah atas 82%. Peningkatan yang signifikan dalam enrolmen disusuli oleh peningkatan dalam pencapaian murid. Kadar literasi remaja telah meningkat daripada 88% pada tahun 1990 kepada kadar hampir sejagat sebanyak 99% masa kini. Kadar literasi dewasa juga telah meningkat secara mendadak, iaitu daripada 52% semasa negara mencapai kemerdekaan kepada 93% pada tahun 2010. Kesemua pencapaian ini amat membanggakan kita.

Kerajaan juga telah memperuntukkan secara tekal sebanyak 16% daripada bajet negara setiap tahun untuk Kementerian Pelajaran. Pelaburan yang besar telah dibuat dalam latihan guru, emolumen dan pembinaan infrastruktur serta kemudahan asas pendidikan yang telah berhasil meningkatkan penyertaan murid pada peringkat pendidikan rendah dan menengah, termasuk di kawasan luar bandar dan pedalaman. Hasilnya, jurang pencapaian antara sekolah bandar dan luar bandar telah berkurangan. Dalam peperiksaan UPSR, jurang pencapaian murid bandar dan luar bandar telah berkurangan daripada 8% pada tahun 2005 kepada 4% pada tahun 2011.

Mutakhir ini, berkat usaha gigih warga pendidik dan kerajaan melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara bagi sektor pendidikan, enrolmen murid prasekolah juga telah berjaya ditingkatkan daripada 67% pada tahun 2009 kepada 77% pada tahun 2011. Penguasaan Literasi dan Numerasi murid juga telah menunjukkan pencapaian yang memberangsangkan. Berdasarkan keputusan ujian LINUS 2011, kadar literasi murid kohort Tahun1 telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010, kepada 95% apabila mereka berada di Tahun 2 pada tahun 2011. Begitu juga dengan kadar numerasi murid kohort yang sama telah meningkat daripada 87% pada tahun 2010 kepada 97% pada tahun 2011.

Semua kejayaan ini adalah hasil komitmen dan usaha gigih para guru, ibu bapa, anggota masyarakat dan kerajaan untuk meningkatkan pencapaian murid di negara kita. Namun, di sebalik lakaran kejayaan ini, masih banyak lagi yang perlu kita capai. Ketika sistem pendidikan kita menempa beberapa kemajuan penting sepanjang lebih lima dekad yang lalu, sistem pendidikan di negara-negara lain juga telah bergerak pantas dalam perlumbaan untuk menjadi sistem yang terbaik di dunia. Dalam persaingan global yang semakin sengit ini, negara kita perlu bergerak lebih pantas ke hadapan. Walau bagaimanapun, pentaksiran pada peringkat antarabangsa menunjukkan pencapaian murid kita dalam beberapa bidang penting seperti Bacaan, Matematik dan Sains masih rendah berbanding murid di negara-negara maju. Misalnya, daripada 74 buah negara yang mengambil bahagian dalam ujian Programme for International Student Assessment atau PISA 2009, murid Malaysia berada di tempat sepertiga terbawah bagi Bacaan, Matematik dan Sains.

Hal ini perlu diatasi segera sekiranya negara kita ingin mengorak langkah lebih pantas dalam perlumbaan menuju negara maju. Tidak ada jalan pintas untuk kita melakukannya. Tidak ada tongkat ajaib yang boleh menjelmakan hasil yang terbaik dalam sekelip mata. Sebaliknya, kita perlu akur dengan realiti semasa, jujur melakukan pembetulan dan mengambil langkah berani untuk melonjakkan prestasi pendidikan negara.

PENYEDIAAN PELAN PEMBANGUNAN PENDIDIKAN, 2013-2025

Bertitik tolak daripada kesedaran ini, Kementerian Pelajaran telah memulakan usaha mengkaji semula sistem pendidikan negara pada bulan Oktober 2011. Panel Dialog Nasional Pendidikan Negara telah dibentuk untuk mengumpul pandangan masyarakat umum mengenai langkah-langkah yang perlu diambil oleh kerajaan untuk meningkatkan kualiti pendidikan. Menerusi satu siri jelajah dialog pendidikan yang diadakan di seluruh negara, sebanyak 7,039 syor telah diterima daripada hampir 12,000 orang peserta yang mengambil bahagian. Kementerian juga telah menerima 156 memorandum daripada pelbagai pertubuhan dan individu. Selain itu, pandangan daripada Panel Penilai Bebas Malaysia dan Antarabangsa telah diperolehi dalam menyediakan Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan. Kementerian juga telah mendapatkan input daripada kajian-kajian yang dilakukan oleh UNESCO, OECD, Bank Dunia dan Institusi-Institusi Pendidikan Tinggi Awam tempatan.

Hari ini, ketika kita masih lagi dalam semangat sambutan ulang tahun kemerderkaan negara yang ke-55, tercatat satu lagi peristiwa penting dalam lembaran sejarah negara kita. Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang akan memacu pendidikan negara ke arah pendidikan yang berkualiti dan bertaraf antarabangsa. Pelan ini tidak ubah seperti satu referendum bersejarah yang melambangkan cita-cita dan pengharapan rakyat terhadap sistem pendidikan negara.

MATLAMAT DAN PENDEKATAN

Kementerian Pelajaran akan mengorak langkah dalam menghasilkan suatu sistem pendidikan negara yang berteraskan lima ciri aspirasi utama iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan. Di samping itu, pada peringkat murid-murid pula, pelan ini menyasarkan 6 ciri aspirasi utama iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran memimpin, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian, serta identiti nasional.

Dalam merangka Pelan ini, 9 bidang keutamaan yang dikenal pasti hasil daripada Laporan Penilaian Pendidikan Negara telah diperhalusi. Sembilan perkara tersebut ialah:

* Pertama, memartabatkan profesion keguruan;

* Kedua, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah;

* Ketiga, meningkatkan kualiti sekolah;

* Keempat, memantapkan kualiti kurikulum dan pentaksiran;

* Kelima, meningkatkan penguasaan pelbagai bahasa;

* Keenam, mengukuhkan pelibatan ibu bapa, sektor swasta dan masyarakat sebagai rakan kongsi dalam pendidikan;

* Ketujuh, meningkatkan kesediaan murid untuk merebut peluang dalam pendidikan tinggi dan pasaran kerja;

* Kelapan, memperbaiki kecekapan dan keberkesanan pengurusan sumber; dan

* Kesembilan, membina kemampuan serta keupayaan sistem penyampaian pendidikan.

Daripada keseluruhan 9 bidang keutamaan ini, Kementerian telah mengenal pasti 11 anjakan yang perlu dilakukan bagi menghasilkan perubahan yang diingini oleh seluruh rakyat Malaysia. Sebahagian daripada anjakan ini merupakan perubahan strategi dan hala tuju pendidikan, manakala anjakan yang lain merupakan perubahan operasi yang telah dan sedang dilaksanakan. Sama ada perubahan bersifat strategi atau operasi, semuanya menggambarkan perubahan amalan semasa.

11 ANJAKAN

ANJAKAN PERTAMA (1) ialah Menyediakan Kesamarataan Akses Kepada Pendidikan Berkualiti Bertaraf Antarabangsa. Hakikatnya, hari ini, murid dikatakan telah berjaya menguasai ilmu apabila mereka berupaya menganalisa maklumat, berfikir secara kritis, mengaplikasi ilmu secara kreatif dan berkomunikasi dengan berkesan. Inilah ciri-ciri kemahiran berfikir aras tinggi yang telah pun dimiliki oleh murid di negara-negara maju. Sehubungan dengan itu, Kementerian akan melancarkan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang disemak semula pada tahun 2017. Kementerian juga akan menimbang pindaan kepada peraturan sedia ada untuk memberikan kelonggaran kepada sekolah mengamalkan jadual anjal selagi sekolah boleh menyampaikan hasil pembelajaran dan kandungan yang digariskan dalam kurikulum.

Seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu ini, kementerian akan mengkaji kemungkinan melaksanakan laluan pembelajaran pintas selain pendidikan arus perdana. Ini termasuklah membenarkan murid berpencapaian tinggi menamatkan pengajian sekolah menengah dalam masa empat tahun berbanding lima tahun sekarang, dan menamatkan sekolah rendah dalam masa lima tahun berbanding enam tahun. Selanjutnya, peperiksaan dan pentaksiran kebangsaan akan dirombak untuk meningkatkan tumpuan terhadap kemahiran berfikir aras tinggi, seiring dengan pelaksanaan kurikulum baharu. Sebagai contoh menjelang tahun 2016, peperiksaan UPSR akan mengandungi 80 peratus soalan berbentuk pemikiran aras tinggi.

Selain itu, tempoh pendidikan wajib juga akan dilanjutkan daripada 6 tahun sekarang kepada 11 tahun, dengan disokong oleh pelbagai inisiatif untuk mengekalkan murid dalam sistem pendidikan, termasuk memperluaskan laluan pendidikan dan latihan teknik dan vokasional. Untuk menjamin akses pendidikan berkualiti dan bertaraf antarabangsa kepada semua murid, kerajaan akan meningkatkan pelaburan bagi sumber fizikal dan pengajaran kepada murid dengan keperluan khusus. Murid Orang Asli dan kumpulan minoriti, serta murid kurang upaya fizikal dan pembelajaran, akan menerima bantuan tambahan supaya mereka juga menikmati peluang yang sama seperti murid lain.

Dari segi penguasaan bahasa, Kementerian akan melaksanakan AJAKAN YANG KEDUA (2), iaitu memastikan setiap murid profisien dalam Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris. Menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, Kementerian akan memperluas program LINUS supaya meliputi literasi Bahasa Inggeris. Kementerian juga akan meningkatkan kemahiran bahasa Inggeris guru dengan memastikan semua 70,000 orang guru bahasa Inggeris lulus Cambridge Placement Test (CPT) dalam tempoh dua tahun. Guru yang tidak mencapai standard yang ditetapkan akan mengikuti latihan intensif untuk meningkatkan kemahiran. Di samping itu, murid akan diberi pendedahan yang lebih meluas terhadap bahasa Inggeris dengan memperkenalkan modul Sastera Inggeris yang akan diwajibkan kepada murid sekolah menengah.

Bagi memantapkan penguasaan bahasa Malaysia di semua jenis sekolah, kementerian akan memperkenalkan kurikulum Bahasa Malaysia yang standard pada peringkat rendah, merangkumi sekolah jenis kebangsaan. Dengan pelaksanaan kurikulum standard ini, Kelas Peralihan di sekolah menengah kebangsan akan dimansuhkan mulai tahun 2017. Selain itu, Kementerian juga akan menggalakkan setiap murid mempelajari bahasa tambahan seperti bahasa Cina, bahasa Tamil atau bahasa Arab serta bahasa ibunda atau bahasa antarabangsa yang lain.

Seterusnya, Kementerian akan melaksanakan ANJAKAN yang ketiga (3), iaitu melahirkan rakyat Malaysia yang menghayati nilai. Dalam mengharungi dunia yang semakin mencabar hari ini, anak-anak kita perlu memiliki nilai-nilai murni sejagat yang selaras dengan tuntutan moral, etika dan agama. Pada masa yang sama, sebagai warganegara, anak-anak kita juga perlu sentiasa dipupuk dengan semangat patriotisme untuk membina satu identiti nasional yang kukuh dan jitu.

Untuk itu, menerusi Pelan Pembangunan Pendidikan ini, kementerian akan memperkukuhkan Pendidikan Islam, Pendidikan Moral dan elemen Sivik menjelang tahun 2017. Pedagogi untuk Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral juga disemak semula untuk melibatkan lebih banyak aktiviti main peranan (role play), simulasi, perbincangan, dan tugasan dalam kumpulan kecil. Selanjutnya, Kurikulum Pendidikan Islam akan melibatkan tumpuan terhadap pemahaman nilai teras dan falsafah Islam serta agama-agama yang lain. Bagi murid bukan Islam pula, Pendidikan Moral akan mengandungi pemahaman tentang nilai teras semua agama utama di Malaysia. Kementerian juga akan mengkaji kemungkinan murid Islam dan bukan Islam berkongsi kelas yang sama apabila nilai-nilai sejagat diajar. Program-program yang sedia ada seperti Rancangan Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) dan program 1Murid 1Sukan 1Kelab dan 1Badan Berunifom juga akan diteruskan.

Segala langkah yang akan diambil ini tidak akan berhasil tanpa sokongan dan dokongan guru-guru yang berkualiti. Sehubungan dengan itu, kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEEMPAT (4), iaitu meningkatkan kualiti guru dan menjadikan profesion keguruan sebagai profesion pilihan. Anjakan ini adalah selari dengan pandangan sebahagian besar peserta Dialog Nasional Pendidikan Negara yang mahukan kualiti guru diberikan keutamaan. Untuk itu, kementerian akan mengetatkan syarat kemasukan ke latihan perguruan dengan menyasarkan hanya 30% teratas daripada kelompok pelajar cemerlang menyertai profesion keguruan. Selain itu, bagi guru-guru yang sudah berada dalam sistem, kementerian akan mengukuhkan pembangunan kerjaya berterusan guru-guru dengan melaksanakan program pembangunan kerjaya secara in-situ di sekolah.

Untuk menyokong peningkatan prestasi guru, kementerian akan menyediakan laluan kerjaya guru berasaskan kompetensi dan prestasi. Dalam hal ini, guru berprestasi tinggi akan berpeluang menikmati kenaikan pangkat bermula daripada gred DG41 sehingga DG54 dalam tempoh yang lebih singkat, iaitu kurang daripada 25 tahun yang merupakan purata tempoh kenaikan pangkat secara time-based yang baru. Selain itu, kementerian akan memastikan guru memberikan tumpuan kepada fungsi teras pengajaran dengan mengurangkan beban pentadbiran; memperluaskan laluan kerjaya guru untuk peranan kepimpinan, pakar pengajaran dan pakar bidang khusus; dan mempertimbangkan untuk mewujudkan satu skim pensijilan yang dikaitkan dengan penguasaan kecekapan guru.

Seterusnya, ANJAKAN YANG KELIMA (5) ialah memastikan pemimpin berprestasi tinggi ditempatkan disetiap sekolah. Untuk itu, kKementerian akan memperkenalkan kriteria pemilihan pengetua dan guru besar berasaskan kompetensi, serta memperkukuhkan proses perancangan penggantian pengetua dan guru besar mulai tahun 2013. Selain itu, kementerian juga akan menempatkan pengetua atau guru besar cemerlang di sekolah-sekolah luar bandar dan di kawasan-kawasan miskin bandar bertujuan untuk meningkatkan prestasi sekolah.

Kementerian juga akan menyediakan sokongan yang secukupnya kepada pengetua dan guru besar untuk membantu mereka meningkatkan prestasi sekolah. Untuk itu, Kementerian akan melakukan ANJAKAN YANG KEENAM (6), iaitu mengupaya JPN, PPD dan sekolah untuk menyediakan penyelesaian khusus berasaskan keperluan. Kementerian akan menempatkan Jurulatih Mata Pelajaran Khusus Program Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Specialist Coaches atau SISC+) dan Jurulatih Pengetua Rakan Penambahbaikan Sekolah (School Improvement Partners atau SiPartners) secara sepenuh masa di Pejabat Pelajaran Daerah. Para jurulatih ini bertanggungjawab memberikan bimbingan secara terus kepada sekolah berprestasi rendah, iaitu sekolah yang berada dalam band 5, 6 dan 7. Satu projek rintis akan dilaksanakan di negeri Sabah dan Kedah mulai Januari 2013, manakala pelaksanaan seluruh negara akan bermula Januari 2014.

Selain itu, untuk meningkatkan autonomi sekolah, kementerian akan membenarkan fleksibiliti pengoperasian ke atas pengagihan bajet dan pelaksanaan kurikulum, dimulai dengan Sekolah Berprestasi Tinggi, Sekolah Kluster, Sekolah Amanah dan sekolah-sekolah yang menunjukkan peningkatan prestasi yang ketara. Dari semasa ke semasa, lebih banyak sekolah akan diberikan hak membuat keputusan dan akauntabiliti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan.

Dalam dunia yang pantas berkembang hari ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT mempunyai potensi yang besar untuk memacu proses pembelajaran. Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KETUJUH (7), iaitu memanfaatkan (ICT) bagi meningkatkan kualiti pembelajaran. Kementerian akan meningkatkan akses internet dan persekitaran pembelajaran maya melalui pelaksanaan 1BestariNet bagi kesemua 10,000 buah sekolah yang dijangka selesai sepenuhnya pada penghujung tahun 2013. Dalam masa yang terdekat, semua murid akan mempunyai akses kepada rangkaian 4G di sekolah yang akan menyediakan landasan untuk pelaksanaan pembelajaran secara interaktif.

Seterusnya, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KELAPAN (8), iaitu mentransformasi kebolehan dan keupayaan penyampaian Kementerian Pelajaran. Struktur organisasi kementerian akan disusun semula agar fungsi bahagian tidak bertindih. Lebih ramai tenaga kerja akan ditempatkan di PPD, iaitu agensi utama dalam rantaian penyampaian pendidikan. Dalam konteks ini, PPD bukan lagi semata-mata berperanan sebagai saluran penghubung antara kementerian dan sekolah, tetapi sebagai agensi penting yang terlibat secara langsung dalam memantau dan mengurus prestasi sekolah. Kementerian akan mengekalkan fungsinya dalam perancangan makro dan penggubalan dasar, manakala JPN akan memberikan tumpuan kepada penyelarasan dan penyampaian segala perancangan, serta menjadi penghubung yang penting antara penggubal dasar dan pelaksana di peringkat bawah.

Menyedari hakikat bahawa proses pembelajaran tidak hanya berlaku di sekolah, tetapi turut merangkumi aktiviti-aktiviti di luar sekolah yang melibatkan penyertaan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEMBILAN (9), iaitu memperluaskan jalinan kerjasama dengan ibu bapa, komuniti, dan sektor swasta. Kementerian akan memperluaskan capaian Sistem Analisis Peperiksaan Sekolah (SAPS), untuk membolehkan ibu bapa memantau kemajuan anak mereka di sekolah secara atas talian. Perhatian khusus akan diberikan kepada usaha membantu ibu bapa luar bandar dan miskin bandar meningkatkan prestasi anak masing-masing.

Selain itu, pihak kementerian akan mendapatkan maklum balas daripada setiap PIBG mengenai pelaksanaan kurikulum setempat dan kualiti guru mulai tahun 2016. Untuk menggalakkan pelibatan sektor swasta dan komuniti, kementerian akan menambah bilangan Sekolah Amanah kepada 500 buah menjelang tahun 2025 dengan turut melibatkan kumpulan alumni dan pertubuhan bukan kerajaan yang berpotensi sebagai penganjur. Saban tahun, sekitar 16% daripada bajet negara diperuntukkan kepada Kementerian Pelajaran, dan jumlah ini merupakan yang terbesar antara semua kementerian. Bajet pendidikan di Malaysia, sebagai sebahagian daripada KDNK juga merupakan satu daripada yang tertinggi di dunia.

Untuk itu, kementerian akan melaksanakan ANJAKAN YANG KESEPULUH (10), iaitu memaksimumkan pulangan bagi setiap ringgit yang dibelanjakan. Kementerian akan mengaitkan setiap program yang dilaksanakan dengan keberhasilan murid yang hendak dicapai dan merasionalisasi program berimpak rendah pada setiap tahun, seiring dengan anjakan pengurusan kewangan negara ke arah Bajet Berasaskan Keberhasilan (Outcome-Based Budgeting). Kementerian juga akan meningkatkan kecekapan dalam mengurus perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada bidang paling kritikal seperti peningkatan kemahiran dan latihan guru.

ANJAKAN YANG KESEBELAS (11), iaitu yang terakhir, ialah meningkatkan ketelusan akauntabiliti awam. Sepanjang pelaksanaan Pelan ini, semua pihak berkepentingan akan mempunyai akses yang tetap dan telus berkenaan tahap kemajuan setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh kementerian. Laporan Tahunan mengenai kemajuan sasaran dan inisiatif Pelan ini akan diterbitkan untuk tatapan umum mulai tahun 2013. Kementerian juga akan melaksanakan semakan komprehensif pada tahun 2015, 2020 dan 2025 bagi memastikan pelan ini sesuai dengan sifat dinamis dan perkembangan semasa sektor pendidikan.

Pelan Pembangunan Pendidikan ini adalah satu dokumen komprehensif yang bukan sahaja mengenal pasti bidang-bidang keutamaan dan meletakkan sasaran-sasaran yang hendak dicapai, malah turut menyenaraikan inisiatif-inisiatif penting yang akan dilaksanakan, melakar pelan tindakan yang jelas, dan menetapkan jangkamasa tertentu untuk mencapai setiap sasaran yang ditetapkan. Misalnya, rakyat boleh menjangkakan dalam Gelombang Pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015, akan berlaku peningkatan dalam kemahiran guru, kualiti pengajaran, keupayaan pegawai di peringkat negeri dan daerah, dan mutu kepimpinan sekolah.

Dalam Gelombang Kedua pula, iaitu dari tahun 2016 hingga 2020, akan berlaku perubahan struktur sistem pendidikan negara yang menyaksikan kesemua 410,00 guru dan 10,000 pengetua atau guru besar menikmati pakej kerjaya baharu; bahagian-bahagian di Kementerian distruktur semula untuk menjajarkan dengan peranan yang direncanakan menerusi Gelombang Pertama; dan kurikulum sekolah rendah dan menengah disemak semula untuk memastikan ia sejajar dengan perkembangan sosial dan ekonomi dunia hari ini. Manakala dalam Gelombang Ketiga, iaitu dari tahun 2021 hingga 2025, semua sekolah, guru dan pengetua atau guru besar akan menunjukkan prestasi melebihi standard minimum. Kementerian akan memberikan tumpuan kepada usaha meningkatkan keluwesan operasi dan menganjakkan kebanyakan sekolah kepada model pengurusan berasaskan sekolah, serta membangunkan model kejayaan sekolah berdasarkan inovasi dalam pengajaran.

Keseluruhan anjakan ini akan memberikan impak yang besar kepada peningkatan kualiti pendidikan negara. Sekiranya kesemua 11 anjakan yang terkandung dalam Pelan ini dilaksanakan dengan cekap dan berkesan, untuk tempoh 13 tahun akan datang kita akan menyaksikan satu anjakan besar dalam sistem pendidikan negara, iaitu daripada pendidikan yang berfokuskan akses kepada pendidikan yang berfokuskan kualiti. Untuk itu, sepanjang tempoh pelaksanaan, pegawai-pegawai di Kementerian, khususnya kumpulan pengurusan tertinggi, mempunyai KPI masing-masing yang dikaitkan dengan pencapaian setiap sasaran yang ditetapkan. KPI ini akan disebarkan ke peringkat bawah, dari Kementerian hingga ke sekolah, untuk memastikan matlamat yang hendak dicapai adalah tekal dan selari.

Selain itu, Kementerian akan mewujudkan Unit Penyampkian Pendidikan (Education Delivery Unit) untuk memacu pelaksanaan Pelan ini. Unit ini akan bertanggungjawab memantau kemajuan, menyelesaikan isu pelaksanaan, menguruskan komunikasi dengan pihak berkepentingan dan mengumpul maklumbalas secara berterusan. Pegawai yang ditempatkan di unit ini akan terdiri daripada mereka yang berbakat besar dan berpengalaman luas dalam mengurus transformasi, baik dalam sektor awam mahupun sektor swasta. Dalam konteks ini, Pelan ini agak berbeza daripada laporan-laporan pendidikan yang terdahulu. Di samping menghuraikan hasrat dan sasaran yang hendak dicapai, Pelan ini lengkap dengan kaedah pelaksanaan, dan strategi penyampaian yang jelas.Kementerian dimaklumkan oleh Panel Penilai Bebas Antarabangsa bahawa kajian semula sistem pendidikan kita telah dilakukan dengan amat teliti, dan kualiti analisanya menepati standard antarabangsa.

Inilah julung-julung kali dalam sejarah negara kita, satu pelan pembangunan pendidikan untuk rakyat disediakan hasil rundingan awam secara telus dan terbuka. Sukacita saya maklumkan di sini bahawa sehingga kini, lebih 90 peratus pandangan yang dikemukakan oleh orang ramai menerusi siri jelajah Dialog Nasional Pendidikan Negara telah diambilkira dalam Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan yang saya bentangkan pada hari ini.

Selepas ini, kementerian akan mengadakan Hari Terbuka untuk membolehkan masyarakat umum meneliti kandungan Pelan ini, mendapatkan penjelasan dan mengemukakan maklum balas lanjut kepada kerajaan. Saya percaya, apabila pelan ini dibentangkan kepada Kabinet kelak dan dimuktamadkan pada bulan Disember nanti, apa yang terhasil adalah satu pelan pendidikan yang sarat dengan cita-cita dan harapan rakyat. Inilah tanda kesungguhan Kerajaan Barisan Nasional bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, untuk menzahirkan matlamat Dasar Transformasi Nasional yang berasaskan jangkaan dan pengharapan rakyat.

SUMBER
Utusan Malaysia
13 September 2012