Rencana ini ditulis
oleh
Khairuddin Mohd. Zain
Penganalisis sosial
Hari Malaysia -
sememangnya wajar disambut dengan semangat yang positif dan baik. Memang
mungkin ada, di kalangan kita, mereka yang gemar memberikan irama politik
kepada semua perkara, untuk mendendangkan rentak Hari Malaysia mengikut suasana
dan iklim politik yang ada. Ironinya, mereka gemar menarik dan menggunakan nama
'rakyat' dalam mengemukakan naratif pesimis lagi merosakkan mengenai Hari
Malaysia. Kepada mereka, Hari Malaysia adalah hari untuk menjurang perbezaan
sejarah, mendahulukan parameter kuasa, menggunakan sentimen dan faham jumud
untuk menggambarkan mereka sebagai 'hero baru' yang bercakap mengenai kuasa
mutlak dan peluang meletakkan diri sendiri di puncak kuasa. Sentimen ini
sememangnya menghangat apabila suasana pilihan raya semakin hampir.
Bersesuaian dengan
niat politik yang ada, mereka perlu membugar semangat anti-Persekutuan.
Meletakkan hijab politik di antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.
Semangat anti-Persekutuan dan meletakkan hijab politik kepada hubungan baik
Sabah, Sarawak dan Malaysia secara keseluruhannya dirasakan mereka mampu
memberikan pulangan politik yang setimpal. Kepedulian mereka terhadap semangat
Rukunegara berada di tahap yang sangat rendah. Malahan ini boleh kita sama-sama
rasai dengan kesungguhan mereka menampilkan banyak insiden anti-negara dan
kepimpinan yang dilaksanakan kebelakangan ini. Apa yang penulis khuatir,
semangat mendapat pulangan dan dividen politik sudah menyebabkan mereka
kalangan yang sangat Machiavellian di dalam pendekatan politik. Segalanya
dibolehkan, asalkan niat mereka mendapat kuasa dapat direalisasikan secepat
mungkin.
Mereka tidak sangsi
untuk menggunakan apa sahaja bahan untuk mengemukakan pelbagai hujah kononnya
apa yang kita nikmati ketika ini bukanlah satu bentuk ikatan politik yang
'ideal' pada hemat dan pandangan mereka. Bukanlah lagi satu rahsia, keinginan
mereka membuka dokumen sejarah mempunyai niat yang sangat mencurigan. Kumpulan
yang kecil ini gemar menggunakan dokumen sejarah sebagai alat membina sentimen
kebencian kepada orang lain. Niat, semangat, iltizam, kesungguhan - generasi
terdahulu dalam mencari 'titik persamaan' dan meletakkan 'semangat Malaysia'
mendahului perkara-perkara yang lain, tidak mereka hayati dan hargai. Yang
lebih mereka cari, adalah sebarang kelemahan yang boleh memberikan ruang mereka
berpolitik dan menabur janji. Inilah naratif politik yang mahu mereka
budayakan. Naratif politik berdasarkan kebencian dan semangat kenegerian
sempit. Naratif politik yang menjurus kepada usaha merosak dan meruntuh.
Generasi muda
Malaysia secara keseluruhannya memerlukan naratif yang lebih ideal tentang Hari
Malaysia. Naratif yang lebih ideal ini akan memberikan gambaran yang lebih
tepat mengenai hubungan kita di bawah naungan Perlembagaan. Dalam mencari
naratif ideal ini, seharusnya kita tidak lagi terlalu memberatkan elemen dendam
dan kecam. Sebaliknya membina pandangan bahawa semua daripada kita adalah anak
Malaysia. Pandang kenegerian yang kadang kala terlalu ekstrem akan mengehadkan
interaksi yang lebih positif dan bermakna.
Mendahulukan Semangat
Malaysia
Secara
keseluruhannya, tidak ada usaha mana-mana pihak sekalipun untuk menidakkan
sebarang kuasa dan keistimewaan yang selama ini dinikmati oleh Sarawak dan
Sabah. Yang nyata, kerjasama, rasa saling percaya, gerak rasa sejarah -
kesemuanya menjurus kepada pengisian 'makna' kepada apa yang telah dipersetujui
oleh generasi peneroka kepada ikatan kekeluargaan Malaysia yang terbina dahulu.
Penulis yakin, apa sahaja yang terjelma di dalam mana sahaja dokumen perjanjian
- pada hakikatnya telah didahului dengan semangat Malaysia yang sebenar. Sebarang
perbezaan, kalaupun ada, mestilah dijernihkan dalam semangat kekeluargaan
1Malaysia yang sebenar. Bukannya semangat kebencian, dendam lama dan sebarang
interpretasi politik yang kurang matang.
Rakyat Malaysia
secara keseluruhannya perlu melihat 'sikap politik' ekstrem sesetengah pihak
untuk mengintai dan meninjau peluang untuk mendapatkan dividen politik daripada
sebarang permainan janji yang ada. Kepada mereka, sebarang perjanjian sebelum
ini hanyalah satu penzahiran kerjasama yang hanya wujud di atas kertas dan
bukan dalam bentuk semangat kekeluargaan yang sebenar. 16 September 1963
wajarlah diraikan bukan sahaja sebagai legasi sejarah yang pasif - namun
sebagai hubungan dinamik Sabah dan Sarawak, di dalam 'keluarga' Perlembagaan
Malaysia.
Kesediaan generasi
pimpinan dan rakyat Sabah dan Sarawak terdahulu untuk berkongsi 14 jalur sama
lebar yang ada di atas Jalur Gemilang adalah satu langkah politik yang luar
biasa hebat dan berpandangan jauh. Sememangnyalah, generasi terdahulu mempunyai
'hikmah politik' yang luar biasa hebat. Hikmah politik inilah yang kita
sama-sama nikmati sehingga ke hari ini. Sentimen yang terlalu dibaluti dengan
irama politik kadangkala kedengaran sangat ekstrem dan membawa elemen yang
menjauhkan hubungan dalam keluarga Malaysia yang ada. Apakah mereka ini mahu
membawa janji baru sebagai taruhan mendapat keuntungan politik semata-mata? Di
mana letaknya keikhlasan sekiranya apa yang sering kali diungkapkan adalah soal
parameter kuasa? Kadang kala ia membuatkan kita tertanya-tanya, apakah ini
sebagai kaedah mereka untuk membulatkan kuasa di tangan mereka?
Generasi muda
Malaysia, baik di Semenanjung, Sabah mahupun Sarawak - perlu membuka naratif
politik yang lebih berpandangan jauh. Sewajarnyalah, kita perlu mengetepikan
sedikit sebarang isu dan sentimen kenegerian yang ekstrem dan mula membuka
wadah politik Malaysia yang lebih murni. Lebih baik lagi, sekiranya kita tidak
terlalu terbawa- bawa dan terikut-ikut dengan sentimen yang cuba dimainkan oleh
pihak tertentu. Kita perlu melihat, cubaan demi cubaan untuk meluas jurang
sesama kita sebagai model politik yang tidak bertanggungjawab. Wajar agaknya,
generasi muda Sabah dan Sarawak memberikan mesej yang jelas, bahawa zaman
politik adu domba dan meruntuh negara, sudah tidak lagi berada dalam zamannya.
Kumpulan yang gemar memporak-perandakan kestabilan politik ini perlu diajar
dengan tamparan politik yang lebih besar.
Mengisi Makna
1Malaysia
Tidak mustahil,
daripada sudut 'semangat dan gerak rasa', mungkin sahaja idea 1Malaysia sudah
difikirkan lama antara tempoh 1957-1963. Mungkin sahaja, jurang masa enam tahun
itulah juga memberikan ilham dan menjelmakan keyakinan, bahawa Sabah dan
Sarawak - lebih molek ditampilkan dalam keluarga Malaysia yang lebih besar.
Hubungan akrab inilah yang akhirnya memberikan kita kesempatan meraikan Hari
Malaysia dalam erti kata yang sebenar. Kita perlu merancang untuk membawa
Malaysia ke tahapnya yang lebih baik dan berjaya. Segala perancangan ini
mungkin sahaja gagal, sekiranya rakyat terus ditaburi dengan janji politik yang
kasar dan meruntuh hubungan. Percayalah, kerjasama politik yang ibarat 'enau
dalam belukar - gemar melepaskan pucuk masing-masing', tidak akan membawa kita
jauh ke hadapan.
Rakyat perlu
memperbandingkan secara ikhlas dan jujur, naratif politik Hari Malaysia mana
yang lebih merealisasikan harapan dan berpandangan jauh. Sikap politik yang
mengibaratkan Sabah dan Sarawak sebagai 'taruhan dan komoditi politik'
semata-mata adalah hubungan yang tidak jujur. Yang nyata, semangat 1Malaysia
sudah hampir sahaja menipiskan perbezaan antara kita. Sabah dan Sarawak tidak
pernah tertinggal dalam parameter kepentingan nasional. Malahan, ada ketikanya,
Sabah dan Sarawak menjadi bata-bata penting untuk kita sama-sama melonjak
dengan lebih jauh.
Secara idealnya, Hari
Malaysia patut menjadi tarikh keramat untuk kita membuang rasa sangsi, kurang
percaya, benih kebencian sesama kita. Slogan-slogan yang gemar mengungkap
semangat kenegerian dan sebagainya perlu dimurnikan dengan pandangan yang lebih
besar mengenai masa hadapan Malaysia. Hikmah politik 1963 ini perlu
diperjelaskan lagi kepada anak muda Malaysia seluruhnya. Apa sebenarnya
semangat dan rasionalnya? Apa cita-cita jangka panjangnya? Hikmah politik yang
turut dikongsi oleh 80 % penduduk Sabah dan Sarawak di dalam Laporan
Suruhanjaya Cobbold ini pastinya bukanlah keputusan semberono dan sesuka hati.
Hikmah politik inilah yang hendak dipijak-pijak oleh kumpulan politik yang
tidak bertanggungjawab.
Moga-moga Hari
Malaysia Ke-49 ini memberikan kita naratif yang lebih ideal tentang hubungan
kita sebagai sebuah negara. Mungkin masanya sudah tiba untuk kita memberikan
komitmen jelas bahawa kita sudah semakin matang dan tidak mudah terbuai dengan
sentimen kenegerian yang terlalu ekstrem.
Sumber :
Utusan Malaysia
15 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan