Beberapa ibu bapa
telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai ketagihan anak-anak muda kepada
fantasi siber melalui permainan komputer atau computer games yang terdapat di
kafe siber yang mereka kunjungi. Menurut ibu bapa tersebut, bukan ketagihan
dadah yang dihadapi anak-anak muda ini tetapi sebaliknya ialah ketagihan kepada
permainan siber. Tidak lama dulu terdapat laporan yang meluas dalam media
mengenai pelajar sekolah rendah dan menengah yang berpakaian seragam sekolah
didapati berada di dalam kafe siber tertentu di sekitar Kuala Lumpur dan Ipoh
ketika dilakukan pemeriksaan oleh Jabatan Pelajaran.
Inilah hakikatnya
pada hari ini. Semakin ramai anak-anak muda telah menjadi penagih kepada
fantasi siber. Dan ini adalah masalah yang perlu ditangani oleh sekolah, ibu
bapa dan pihak-pihak yang berkenaan. Tidak ada salahnya permainan komputer ini
digunakan untuk merehatkan minda tetapi ia hendaklah dilakukan dengan kadar
yang sederhana. Sebarang bentuk penagihan adalah tidak baik terutamanya kepada
pelajar yang perlu belajar dan menduduki peperiksaan. Apa yang lebih buruk lagi
ialah apabila ketagihan terhadap “computer games” ini membawa kepada perjudian
yang merupakan punca utama kepada banyak keburukan. Walaupun saya tidak
memusuhi kafe siber, tetapi peraturan yang mengekang operasi mereka terutamanya
bersangkutan dengan tempat ia beroperasi dan penguatkuasaan terhadapnya
hendaklah diperketatkan bagi mengelak ia menjadi punca kepada penyakit sosial
lain.
Bagaimanakah
pengusaha kafe siber seperti itu membenarkan pelajar sekolah memasuki premis
mereka sedangkan notis di depan pintu dengan jelas menyatakan pelajar yang
memakai seragam sekolah tidak dibenarkan masuk. Kafe siber telah tumbuh
bagaikan cendawan di serata pelosok negara dan penguat kuasa tempatan yang
mengeluarkan lesen kepada pengusaha kafe siber ini tidak mampu untuk memantau
kesan buruk kepada masyarakat yang diwujudkan oleh operasi kafe siber ini. Untuk
mengharapkan para pengusaha kafe siber ini beretika dan melakukan pengawalan
kendiri untuk menyekat remaja yang di bawah umur 18 tahun daripada memasuki
kafe siber ini adalah mustahil kerana pengusaha mempunyai kepentingan kewangan
terhadap perkara tersebut.
Semua penguat kuasa
tempatan perlu memastikan pengusaha kafe siber mematuhi syarat-syarat yang
dikenakan terhadap permit lesen mereka seperti menghadkan operasi kepada waktu
yang tertentu dan tidak membenarkan anak-anak di bawah umur memasuki premis
mereka. Walaupun kita mengalu-alukan zaman teknologi maklumat dan komunikasi
(ICT), kita juga perlu melindungi generasi muda kita daripada pengaruh negatif
yang dibawa oleh kemajuan teknologi maklumat dan komunikasi ini. Dengan
perkembangan dan kemajuan pendidikan pintar, mendapatkan ilmu dan pengetahuan
perlu dilakukan dengan pendidikan moral yang mencukupi. Walaupun kita perlu
menghasilkan pekerja yang mempunyai kepakaran komputer dalam zaman teknologi
maklumat dan komunikasi ini, ia perlu dilakukan tanpa mengorbankan atau
mengabaikan keperluan penerapan nilai-nilai moral yang baik. Dengan kemajuan
maklumat tanpa sempadan, lebih penekanan hendaklah diberikan terhadap penerapan
nilai-nilai moral dalam pendidikan untuk mengelakkan munculnya lebih banyak
jenayah siber.
SUMBER
Utusan Malaysia
14 September 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan