10 Ogos 2012

ISU GLOBAL : NASIB ROHINGYA UMPAMA ETINK BOSNIA


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Penindasan yang dihadapi etnik Rohingya bukannya sesuatu yang baru dan telah diketahui dunia sejak sekian lama, termasuk di Malaysia yang telah menerima berpuluh ribu pelarian Myanmar sejak beberapa dekad lalu. Etnik Rohingya yang memohon suaka politik di Malaysia jauh lebih bernasib baik berbanding saudara mereka di Myanmar yang masih diserang dan dihalau dari tempat tinggal mereka tanpa sebarang pembelaan. Walaupun masyarakat Rohingya telah hidup sebagai pelarian selama beberapa generasi di negara ini dan beberapa negara anggota ASEAN lain, hak kerakyatan etnik minoriti itu masih disekat kerajaan Myanmar kerana dikatakan tidak termasuk dalam 130 etnik asal. Sekitar 750,000 warga Rohingya yang tinggal di kawasan barat negeri Rakhine diklasifikasikan kerajaan Myanmar sebagai masyarakat Islam Bengali yang masuk dari Bangladesh tetapi tiada negara sendiri.

Bangladesh pula dilaporkan menolak pelarian Rohingya yang ingin menyelamatkan diri daripada penindasan di Myanmar dan terbaru telah menghalang pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antarabangsa menyampaikan bantuan kepada pelarian berkenaan. Kesal dengan sikap masyarakat antarabangsa menangani isu tersebut, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan meminta kebenaran kerajaan Myanmar bagi menghantar misi pencarian fakta ke negara itu untuk mencari penyelesaian terbaik. Dengan jumlah kematian yang semakin meningkat dan lebih 100,000 etnik Rohingya kehilangan tempat tinggal, masyarakat Islam seluruh dunia tertanya-tanya apakah agenda kerajaan Myanmar dan mengapa tragedi melibatkan masyarakat Islam sering dipandang enteng masyarakat antarabangsa.

Walaupun sistem pemerintahan di Myanmar kini dikatakan semakin baik tetapi mampukah perubahan ke arah demokrasi yang dilaung-laungkan itu menyelesaikan masalah penindasan etnik yang telah berpuluh tahun berlarutan? Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Azmi Hassan menjelaskan, masalah Rohingya telah lama berlarutan sejak zaman junta tentera sehingga di bawah kerajaan awam kini. "Apa pun, Myanmar tidak mahu dan tidak akan mengiktiraf etnik Rohingya, yang datang dari Bangladesh, sebagai rakyat mahupun pelarian. Ini berlaku sejak negara itu dikenali sebagai Burma dahulu lagi. "Kini di bawah kerajaan baru, etnik asal Myanmar mempunyai motivasi baru untuk menghapuskan etnik minoriti itu tanpa sekatan daripada pihak pemerintah," katanya.

Menurut beliau, Myanmar sememangnya dalam proses ke arah demokrasi tetapi dalam hal ini, pihak pemerintah dan pembangkang termasuk Aung San Suu Kyi sendiri sepakat untuk tidak mengiktiraf etnik Rohingya. Tambahnya, masalah tidak akan selesai selagi dibiar Myanmar menguruskan situasi itu sendirian sementara Amerika Syarikat (AS) dan Eropah pula melihat perkembangan tersebut sebagai sesuatu yang tidak penting. Oleh itu, beliau menganggap langkah OIC menghantar pasukan sendiri sebagai langkah terbaik untuk campur tangan bagi mengelakkan situasi semakin melarat. "OIC badan terbaik untuk campur tangan memandangkan ASEAN tidak boleh diharap kerana memegang pendirian tidak campur tangan politik dalaman anggotanya sementara Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pula dikawal AS dan Eropah. OIC dapat memberi pendedahan dan membuka mata dunia terhadap penindasan berterusan etnik Rohingya serta situasi mereka yang ditolak oleh Bangladesh dan negara ketiga," ujarnya.

Jelasnya, etnik Rohingya yang dilihat tiada kemahiran untuk menyumbang kepada ekonomi sesebuah negara menjadi punca mereka ditolak semua pihak termasuk negara asal dan kerajaan Myanmar sendiri. Tegasnya lagi, setelah berpuluh tahun ditindas, situasi mereka tidak diendahkan lagi dunia kerana ia tidak memberi keburukan kepada geopolitik antarabangsa. Menurut Azmi, berbeza dengan situasi rakyat Palestin yang memberi impak kepada dunia, apa yang berlaku kepada warga Rohingya kini tiada kesan besar kerana jumlah mereka kecil dan tiada negara sendiri. "Cara terbaik dalam jangka pendek adalah untuk memaksa Myanmar sekurang-kurangnya mengiktiraf etnik minoriti ini sebagai pelarian dan melalui konvensyen khas pelarian PBB, kerajaan negara itu perlu membantu warga Rohingya. Malaysia dan Thailand selaku penerima pelarian Rohingya terbanyak boleh menunjukkan contoh baik layanan adil kepada pelarian terbabit sebagai satu langkah simbolik dalam ASEAN," jelasnya.

Namun, beliau secara peribadi merasakan campur tangan OIC itu tidak akan membawa penyelesaian mahupun kesan kesan positif dalam jangka pendek. "ASEAN sendiri perlu campur tangan tetapi masalahnya mereka tidak mahu merencatkan proses demokrasi di Myanmar. Persoalannya kini, yang mana lebih penting - Rohingya atau demokrasi," soal beliau. Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Proffesor Datuk Dr. Mohamed Mustafa Ishak juga bersetuju ASEAN sendiri yang sepatutnya menyelesaikan masalah di depan 'halaman' mereka itu. "Ini bukannya campur tangan politik dalaman, ini tragedi kemanusiaan yang menjejaskan imej ASEAN sendiri kerana selama ini mereka paling banyak membela Myanmar daripada campur tangan Barat. ASEAN tidak boleh cuci tangan dan membiarkan OIC membuat kerja mereka. Jika terus berdiam diri, tiada bezanya ASEAN dan Kesatuan Eropah (EU) yang membiarkan Serbia menyembelih etnik Bosnia dahulu," tegasnya. Beliau juga tidak bersetuju dengan tindakan ASEAN terlalu 'menghormati' Myanmar dan mengekalkan dasar tidak campur tangan sedangkan pelanggaran hak asasi manusia dan mungkin juga pembersihan etnik sedang berlaku di depan halaman mereka sendiri.

Tambahnya, pemerintah Myanmar juga memang dikenali berkeras dalam mengawal tindak-tanduk etnik asal negara itu, inikan pula terhadap etnik-etnik minoriti lain yang ingin disingkirkan seperti masyarakat Rohingya. Beliau turut mempersoalkan motif penindasan etnik minoriti itu memandangkan masyarakat Rohingya tidak menuntut wilayah sendiri mahupun memberontak tetapi hanya mahukan perlindungan dan keadilan. "Motif keganasan terbaru ini kurang jelas tetapi mungkin kerana mereka takut dengan sokongan etnik minoriti akan cenderung kepada penentang kerajaan serta pejuang demokrasi. Sudahlah hidup serba kekurangan dalam kedaifan dan kini penindasan sistematik oleh kerajaan yang mahu singkirkan mereka. Apabila Bangladesh dan negara ketiga juga menolak mereka, Rohingya mungkin berhadapan dengan pembersihan etnik pula," katanya. Beliau berharap ASEAN segera mencari jalan untuk membantu atau kredibiliti mereka akan terjejas kerana membiarkan etnik Rohingya seperti mana EU mengabaikan etnik Bosnia. "Persoalannya kini, adakah ASEAN akan terus berdiam diri dan melihat pembersihan etnik seperti mana EU lakukan dalam perang Bosnia dahulu," ujarnya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012

ISU SOSIAL : KEMBALIKAN KASIH SAYANG KELUARGA


Rencana ini ditulis oleh :
MOHAMAD ABDULLAH
PENULIS ialah Timbalan Pendaftar
Pejabat Naib Canselor
Universiti Sains Malaysia.


Laporan akhbar baru-baru ini tentang beberapa berita yang mengaitkan kejadian jenayah yang melibatkan keluarga terdekat agak mengganggu fikiran kita. Dalam satu kejadian di Kuching, Sarawak seorang anak dilaporkan memukul ayahnya yang berusia 77 tahun hingga mati. Pada halaman yang sama, di Johor Bahru, Johor seorang anak dikatakan menyamar sebagai ah long untuk mengugut bapanya sebanyak RM3,000. Ini hanyalah sebahagian besar daripada kejadian yang berlaku kebelakangan ini yang tidak harus dipandang kecil. Sedikit masa lalu kita pernah dikejutkan dengan berita ibu bapa yang menyaman anak yang mengabaikan mereka setelah diagihkan harta dan mereka menang kes mahkamah tersebut. Anaknya seorang pensyarah dilaporkan dijatuhi hukuman kerana kesalahan tersebut.

Menjelang Aidilfitri nanti akan banyaklah lagi laporan kesedihan ibu bapa yang menanti kepulangan anaknya atau mereka mereka yang disisihkan lalu hidup dalam kesunyian dan kesepian sama ada di rumah orang tua-tua atau pun bersendirian di rumah usang bertemankan air mata dan kenangan melihat kepulangan anak cucu jiran tetangga dengan linangan air mata yang barangkali amat payah difahami oleh sesetengah anak-anak muda yang dibesarkan melalui generasi high technology dan makin kurang high touch-nya, menggunakan istilah penulis Megatrends, John Naisbitt. Kes-kes jenayah yang berlaku begitu menakutkan, apatah melibatkan warga emas dan sanak saudara yang amat rapat di luar jangkauan pemikiran. Ke manakah hilangnya belaian kasih sayang yang ada sehingga kita gagal merasai perasaan mereka sebagai saudara, suami isteri apatah lagi ibu bapa yang melahir dan membesarkan kita.

Ini belum lagi melihat kepada nasib orang tua uzur yang kerap diabaikan oleh anak-anak semata-mata kerana jurang pemisah yang besar untuk memahaminya. Seorang tua, bukan sekadar memerlukan wang ringgit tetapi jauh dari itu adalah kasih sayang dan perhatian. Seorang anak muda pernah bercerita kepada penulis bagaimana datuknya yang tua dan dianggap menyusahkan keluarga dengan sikap cerewet dan memberontak tiba-tiba tersenyum apabila dia memandi, membedak dan menyisir rambutnya. Selepas beberapa hari, datuknya menghembuskan nafas terakhir sebagai kesudahan dari episod bebanan anak-anak yang tidak pernah cuba memahami perasaan kesunyian yang dilalui oleh bapa mereka.

Seorang ibu atau bapa sering melihat anak-anak dalam bayangan masa lalunya, mengharapkan anak itu tidak pernah besar dan dapat dimanjakan seperti mana usia kecil dan remajanya kerana apabila dewasa dan berkeluarga sendiri, ibu bapa akan mula terasing dan kesunyian, walau pun dia terpaksa menerima hakikat itulah fitrah kehidupan yang harus ditempuhi. Sudah sampai masanya kita lebih prihatin terhadap hal ini. Jangan hanya mengharapkan kerajaan dan pihak berkuasa yang menyelesaikannya. Sebaliknya berusahalah untuk lebih mendekati dan meningkatkan kasih sayang dalam keluarga. Anggota keluarga juga perlu lebih prihatin terhadap nasib dan keadaan mental dan fizikal mereka yang ada di sekeliling. Jika terdapat petanda-petanda adanya kemungkinan seperti ini berlaku, berusahalah mencegahnya dari awal.

Dalam menghadapi tekanan kerjaya, masalah ekonomi dan apa jua yang terjadi, fikirlah dengan tenang dan lakukan muhasabah dengan ikhlas untuk menyelesaikan masalah yang timbul. Kekerasan dan jenayah bukan cara yang terbaik apatah lagi melibatkan orang kita sayang. Setiap masalah tentu ada penyelesaiannya jika kita jujur dan benar-benar ingin menyelesaikannya. Jika perlu mereka yang berhadapan dengan tekanan dan masalah peribadi boleh merujuk dirujuk kepada kaunselor yang bertauliah, mereka yang lebih disegani atau pihak-pihak yang boleh membantu. Perasaan malu dan bimbang dicemuh harus diatasi demi menyelamatkan nyawa dan berlakunya keadaan yang tidak seharusnya. Satu sistem sokongan yang kuat dalam masyarakat perlu diwujudkan. Masyarakat dan jiran tetangga perlu memainkan peranan dalam menangani isu ini dan meningkatkan sikap siap siaga terhadap insiden tidak diingini ini. Tidak ada salahnya mempunyai sedikit perasaan curiga apabila berlaku hal-hal atau tingkahlaku yang di luar kebiasaan dengan membuat laporan kepada pihak berkuasa.

Menjaga tepi kain orang barangkali tidak wajar, namun dalam situasi tertentu yang bukan umpat keji, ia perlu diamalkan demi membantu dari mengelakkan tragedi buruk berlaku. Namun begitu, pada akhirnya, kasih sayang sejati yang ditanam dalam kalangan kaum keluarga dan tentunya pegangan agama, akan menjadi benteng yang sangat berguna untuk mengatasinya. Agama menyediakan garis panduan yang jelas dan sangat menekankan kepada sikap berkasih sayang. Tatkala umat Islam mengerjakan ibadah untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT sepanjang Ramadan dan syawal yang akan datang, adalah wajar kita kembali kepada nilai-nilai kasih sayang ini, membuat muhasabah dan melakukan penambahbaikan dengan mengukuhkan persaudaraan dalam keluarga. Sebesar mana pun masalah yang ada dan sehebat mana pun perselisihan yang terjadi, kita perlu kembali kepada agama dan saling memaafkan tanpa perlu terus menuding jari. Air dicincang tidak akan putus. Hancur hati ibu bapa yang diabaikan apatah lagi melihat berlakunya perselisihan sesama keluarga yang bakal meruntuhkan satu institusi utama dalam agama.

Kenanglah masa kecil dalam dakapan dan pelukan ibu dan ayah. Ingati kembali detik-detik manis dibelai dan dihantar belajar di sekolah malah ke kolej dan universiti. Bayangkan detik-detik manis suami isteri, derai tawa satu keluarga dan jernihnya air mata ibu dan ayah yang menanti kepulangan kita, yang menunggu dakapan putera-puterinya yang barangkali itulah terakhir kalinya. Kejayaan hidup, kesibukan kerjaya dan berhadapan dengan masalah tidak harus menjadikan kita cuai dan lalai terhadap tanggungjawab kepada keluarga apatah lagi ibu bapa kita. Merekalah syurga kita. Mereka mungkin tidak sehebat anak-anaknya, nilainya mungkin agak berbeza, pemikirannya juga tidak sama, namun hakikatnya merekalah permulaan kita dan keluargalah segalanya.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Jumaat, 10 Ogos 2012

09 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : IJAZAH PALSU, JALAN MUDAH MAHU CARI REZEKI


Oleh Ruhaiza Rusmin


Ketika kerajaan berusaha mencapai status cemerlang dan profesional dalam industri pendidikan, imejnya sedikit tercalar dengan isu ijazah dan graduan palsu, baru-baru ini. Biarpun dianggap kes terpencil, isu berkenaan masih dianggap besar dan perlu ditangani segera bagi memastikan imej institusi pendidikan tinggi lain tidak terjejas atau dipersoalkan. Penipuan itu juga menimbulkan tanggapan lebih memalukan dengan memperlihatkan betapa terdesaknya masyarakat memperoleh status tinggi walaupun melalui jalan salah. Mengapa ia berlaku sedangkan pengawalan ketat diberikan tanpa kompromi. Adakah pihak berkenaan hanya memikirkan keuntungan dan kepentingan diri semata-mata hingga melanggar tatasusila serta undang-undang?

Timbalan Rektor Perancangan dan Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Datuk Dr Md Tahir Md Azhar berkata, persoalan perlu ditekankan ialah soal etika yang menjadi kata kunci terhadap segala tindakan. Beliau berkata, jika seseorang mempunyai nilai etika yang tinggi, mereka tidak mungkin tergamak melakukan kesalahan dengan mengambil jalan pintas bagi memperoleh ijazah ataupun menyediakan institusi palsu. “Malangnya, mereka yang ‘terdesak’ ini tidak mahu memikirkan soal itu, sebaliknya bersikap ambil mudah dan sanggup melanggar etika, nilai moral serta melakukan kesalahan undang-undang demi memuaskan kehendak hati. Yang penting, keuntungan, mempunyai kelulusan hebat setara orang lain hingga mampu mengagumkan masyarakat dan dipandang tinggi kerana kelebihan pada diri,” katanya.

Beliau mengakui, fenomena itu ada kaitan dengan persaingan sengit dalam kerjaya sehingga mendorong seseorang itu melakukan apa saja, apatah lagi dengan sikap majikan yang terlalu memilih. Kebiasaannya, katanya, ijazah dari luar negara selalu dipandang tinggi menyebabkan ada yang mengambil kesempatan untuk menawarkan sesuatu secara mudah. “Mereka menggunakan peluang ini untuk meraih keuntungan manakala pihak terdesak pula tidak peduli latar belakang institusi yang dipilih. Asalkan ada bukti kelayakan luar negara sudah memadai. Adanya permintaan dan penawaran ini menyebabkan perkara ini berlaku biarpun apa ditawarkan itu ada kalanya tidak masuk akal, ia salah di sisi undang-undang selain ‘mengotorkan’ nama industri pendidikan,” katanya.  Enggan mengaitkannya dengan kesalahan pihak tertentu, apa lebih dibimbangi ialah ijazah atau graduan palsu itu boleh memberi kesan tidak terduga terhadap profesionalisme sesuatu institusi.

Memberi contoh institusi pengajian tinggi, katanya, mereka yang ‘palsu’ ini boleh menjejaskan kredibiliti, nama baik juga kewibawaan institusi juga warga keseluruhannya terutama mahasiswa. “Misalnya, pensyarah palsu biarpun mempunyai kelayakan berjela-jela atau gah, belum tentu mampu menjadi pensyarah berwibawa dan memenuhi standard universiti. Pensyarah palsu biasanya gagal menjalankan tugasan dengan baik tetapi lebih bahaya kesannya kepada pelajar yang mereka didik. Justeru, ia bukan perkara kecil yang boleh dipandang sebelah mata kerana kesannya sangat besar dalam mempengaruhi sistem sedia ada,” katanya mengakui kes pemalsuan ijazah atau graduan bukanlah baru di negara ini namun lebih ketara berlaku di negara luar. Di sini, ia boleh dianggap terpencil dan masih dalam kawalan namun di negara luar, keadaannya berbeza terutama jika pemohonnya datang dari negara yang mempunyai universiti tidak dikenali. Bagaimanapun, setiap negara ada polisi sendiri bagaimana menanganinya dan kepekaan itu penting bagi memastikan penipuan dilakukan itu mampu disekat,” katanya.

Katanya, bidang bukan profesional antara berpotensi tinggi melakukan penipuan kerana kurang mempunyai badan profesional yang memantau. “Bidang yang mempunyai badan profesional seperti perubatan, kejuruteraan dan perundangan jarang dipalsukan kerana mereka mempunyai polisi ketat dan sentiasa dikawal. Yang sering menjadi mangsa ialah bidang seperti pengurusan dan pentadbiran kerana bukan saja penawaran terhadap program sangat luas, malah membabitkan banyak institusi. Jadi, pemantauan sukar dilakukan dan membolehkan bidang berkenaan ‘diceroboh’ mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya. Bagi memastikan kesahihan dan ketulenan ijazah atau graduan, ada pendekatan tertentu boleh digunakan. Kami sentiasa peka, berhubungan dengan universiti asal, menyertakan sijil kelayakan asli selain mendapatkan maklumat daripada rakan terdekat juga pandangan ahli profesional sealiran. Jika ia dilakukan dengan tegas, saya percaya masalah ini boleh dibendung dan mereka yang bersalah tentu tidak yakin mahu melakukan kesalahan. Masalahnya, bukan semua bersikap seperti itu dan mudah percaya pada kelayakan yang tertera pada sekeping kertas,” katanya.

Pada masa sama, beliau juga berpesan agar majikan tidak terlalu taksub jika disogokkan dengan kelayakan berjela-jela. “Jangan ada sikap ambil mudah dan taksub dengan kelebihan calon. Selidik dulu kebenaran terutama jika disertakan dengan kelayakan tidak masuk akal. Jika ada pencegahan dan pengawalan ketat, saya percaya mereka ini juga tidak berani meneruskan langkah sumbang menggunakan ijazah atau menjadi graduan palsu,” katanya.

Bahan ini diperoleh dari :
Akhbar Harian Metro,
Isnin, 6 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : NILAI P.HD HANYA RM200 SAHAJA


Rencana ini ditulis oleh :
SITI NOR AFZAN KASIMAN


Presiden Hungary, Pal Schmitt melepaskan jawatannya selepas didapati memplagiat tesis sarjana kedoktoran (Ph.D) yang ditulisnya 20 tahun lalu. Tesis mengenai Sukan Olimpik itu dihantar kepada Universiti Budapest Semmelweis di Hungary untuk dinilai bagi membolehkan Schmitt meraih gelaran doktor falsafah. Bagaimanapun, ia telah disahkan diciplak bulat-bulat. Jawatankuasa universiti berkenaan melucutkan gelaran tersebut dan mendedahkan kepada media bahawa ia bukan kajian tulen. Sebaliknya, tesis setebal 200 halaman itu sebenarnya hasil terjemahan kajian dua penyelidik Bulgaria, Nikolai Georgiev dan Klaus Heineman pada tahun 1987. Isu plagiat khususnya di kolej dan universiti sering dianggap sebagai kesalahan akademik semata-mata. Ramai berpendapat ia bukanlah satu kesalahan di sisi undang-undang atau dengan bahasa mudahnya, bukan satu jenayah. Tanggapan ini sebenarnya salah sama sekali. Di Malaysia, mereka yang terlibat dengan aktiviti plagiat boleh dikenakan tindakan tatatertib termasuklah disingkirkan, dilucut kelayakan malah penciplak boleh disabitkan sebagai pesalah mengikut Akta Hak Cipta 1987.

Jika puluhan tahun dahulu, ada yang mengambil jalan pintas untuk mendapatkan ijazah dengan meniru, situasi pada hari ini lebih teruk lagi. Menurut Presiden Persatuan Pemeriksa Penipuan Bertauliah (ACFE) Malaysia, Datuk Akhbar Satar. Membeli ijazah terutamanya Ph.D melalui Internet sudah menjadi satu trend baharu khususnya melibatkan segelintir ahli perniagaan dan pakar motivasi di negara ini.  Beliau yang berpengalaman mengendalikan antara 40 hingga 50 kes penipuan ijazah Ph.D setahun sejak tahun 2004, beliau memberitahu, kesemua pemegang pangkat doktor palsu itu mempunyai personaliti yang hampir sama. Menurut beliau, mereka manusia yang dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi daripada orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk dalam sesuatu bidang. Disebabkan itu, mereka bangga memperkenalkan diri sebagai ‘Dr.’ sedangkan ada dalam kalangan mereka tamat tingkatan lima sahaja. Dengan gelaran ‘Dr.’ yang dijaja itu juga mereka diberi lebih peluang dan keutamaan untuk menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam sesebuah organisasi.

Cetak Ph.D sendiri

Rumusan Akhbar itu ada benarnya. Kes penipuan ijazah semakin berleluasa malah ia sukar dibendung. Malah, ijazah itu boleh dibeli melalui Internet. Difahamkan, ramai ahli politik, ahli perniagaan, pakar motivasi, ahli akademik, penulis, serta perunding pelaburan dan insurans yang menggunakan taktik sama untuk mendapatkan kepercayaan pihak tertentu dan masyarakat. Walaupun Kementerian Pengajian Tinggi dalam kenyataanya menafikan tiada institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini yang mengeluarkan sijil palsu, tinjauan di enjin carian Google mendapati terdapat 2,680,000 laman berkaitan penjualan transkrip diploma, ijazah, sarjana dan Ph.D palsu. Boleh dikatakan hampir kesemua sindiket ijazah palsu Internet itu menawarkan sijil daripada peringkat diploma hingga ke Ph.D. Ia boleh dibeli secara dalam talian, tanpa perlu menghadiri kelas, tidak perlu menjalankan kaji selidik untuk penulisan tesis malah tidak perlu berjumpa dengan pensyarah seperti program pengajian biasa.

“Jangan asyik sangat hendak 
mengejar nama dan pangkat 
dengan cara menipu, 
akhirnya nanti ludah terpalit 
ke muka sendiri,”

Laman-laman sesawang yang kebanyakannya beroperasi dari luar negara itu juga saling bersaing dengan menawarkan harga paling murah untuk mendapatkan transkrip ijazah. Malah, ada yang menawarkannya pada harga serendah AS$69 (RM200) sahaja. Pembeli juga diberi pilihan untuk memilih sendiri bidang, tahun pengajian dan lokasi universiti seperti Universiti Concordia, Universiti St. Regis, Universiti St. Lourdes, Universiti All Saints American dan Universiti Heartland, semuanya didakwa terletak di Amerika Syarikat (AS) dan Kanada. Kebanyakan universiti ini tidak wujud. Ada juga yang wujud tetapi program yang ditawarkan tidak mendapat akreditasi di negara mereka sendiri apatah lagi di Malaysia. Isu membeli sijil palsu sudah banyak kali diketengahkan tetapi setakat ini saya belum lihat ada tindakan drastik yang diambil. Ramai yang lebih suka pejamkan mata.

Pada tahun 2009, akhbar Spokesmen Review di Washington, AS melaporkan penjualan ijazah palsu di negara itu dalam sebulan mampu menarik hingga 10,000 pembeli. Daripada angka itu, lebih daripada 50 pembeli adalah rakyat Malaysia. Dianggarkan AS$7.3 juta (RM22.4 juta) dibelanjakan untuk membeli ijazah palsu tersebut. Pembeli tidak perlu tunggu sehingga empat ke lima tahun pengajian, sebaliknya sijil ijazah atau Ph.D akan mereka peroleh selepas tujuh hari pembayaran dibuat. Malah, mereka juga boleh mencetak sendiri sijil tersebut. Tambah Akhbar, sungguhpun ada pihak yang menganggap pembelian Ph.D palsu ini sebagai perkara remeh, tetapi setiap individu perlu memiliki sikap integriti, jujur dan telus.

Bahan ini diperoleh dari :
Harian Kosmo
Khamis, 9 Ogos 2012

ISU PENDIDIKAN : POLIS AKAN SIASAT VVIP BELI IJAZAH PALSU



Polis sedang mengenal pasti identiti beberapa kenamaan termasuk individu bergelar Tan Sri dan ahli politik, yang dipercayai membeli ijazah palsu daripada sebuah syarikat di Subang Jaya. Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Hamzah berkata, kenamaan itu merupakan sebahagian daripada 525 graduan palsu yang memperoleh ijazah dengan jalan mudah tanpa perlu menghadiri kuliah, mengambil ujian dan menghantar kertas kerja. Kita tidak menolak kemungkinan ada beberapa individu yang mempunyai status dalam masyarakat telah membeli ijazah ini, namun kita tidak boleh mengulas mengenainya sehinggalah polis mengenal pasti individu itu. Polis juga akan memanggil graduan lain untuk memberi keterangan bagi membantu siasatan kes ini. Beliau berkata, ijazah terbabit dikeluarkan atas nama lima universiti luar negara termasuk tiga yang disahkan tidak wujud. Lima universiti itu ialah :

01. University Of Rockhampton (tidak wujud)
02. Harvey International University (tidak wujud),
03. Cannington Brook University (tidak wujud),
04. Glastonbury University (United Kingdom)
05. Charles Molnar University (Hungary)

Sumber : BERNAMA

ISU PENDIDIKAN : IJAZAH PALSU BERLAKU DI SELURUH DUNIA


Rencana ini ditulis oleh :
Akhbar Satar
Penulis ialah Pakar Kriminologi,
Institut Jenayah & Kriminologi Universiti HELP


Tidak lama dulu, Laura Callahan, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Penerangan, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat di bawah pentadbiran Presiden  Barack Obama, meletakkan jawatan selepas beliau disiasat dan didapati membeli Ijazah, Sarjana dan Ijazah Kedoktoran (PhD) daripada online. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak melakukan semakan latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. Mengikut kajian di Amerika Syarikat, pada tahun lalu saja, kes pemalsuan ijazah membabitkan AS$1 bilion (RM3 bilion) setahun.  Amerika Syarikat juga mengeluarkan sebanyak 50,000 PhD palsu ke seluruh dunia setiap tahun. Kebanyakan daripada laman web ini beroperasi di Alabama, Mississippi dan Wyoming memandangkan undang-undang di negeri berkenaan masih longgar dalam menangani isu itu.

Amerika adalah negara pelopor dalam penipuan dan pemalsuan sijil kelulusan seperti ini. Ia merebak ke negara lain seperti India, Singapura, Russia, Pakistan, Indonesia dan Filipina.  Di Malaysia, ia hanya mula dikesan dengan penipuan untuk mendapat kelulusan daripada Universiti Sains Malaysia (USM). Situasi ini perlu dibendung agar ia tidak merebak dan kelak diambil alih oleh pendatang Afrika yang terkenal dalam jenayah penipuan. India mempunyai banyak pusat pengajian tinggi, termasuk 350 yang tidak diiktiraf kerajaan manakala di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor yang memperoleh kelulusan PhD dengan cara membeli kelulusan palsu. Pembabitan ‘Profesor Segera’ ini merosakkan imej dan mutu pembelajaran di Pakistan, terutama dalam bidang perubatan. Beberapa bulan lalu, di Singapura, penipuan sijil dikaitkan dengan sebuah institusi terkemuka dan kelulusan bidang yang popular masa kini ialah pengurusan bisnes dan pelancongan. Sijil palsu ini dijual dengan RM30,000 sekeping, termasuk transkrip mengandungi keputusan yang baik.

Hukuman tegas patut jadi pengajaran

Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000 sekeping. Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu University Havard, sebuah universiti terbaik di dunia dengan harga RM120,000. Filipina juga tidak ketinggalan, mereka hanya mengenakan bayaran sekali gus RM30 hingga RM200 bagi sebarang sijil atau ijazah dalam masa dua jam. Kira-kira sebulan lalu, Kementerian Pelajaran Tinggi Arab Saudi membongkar kegiatan 110 agensi yang menjual ijazah palsu daripada universiti asing sejak beberapa tahun lalu. Dalam beberapa minggu lalu, Polis Indonesia menumpaskan satu sindiket pengeluaran sijil palsu yang dijual dengan harga RM2,000 sekeping.  Apa yang menyedihkan ada sebuah laman web yang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu daripada pusat pengajian tinggi dengan hanya perlu membayar RM240. Tawaran ini menjadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa saja bidang yang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi di dalam ijazah palsu terbabit.

Beberapa hari lalu, selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu bernilai lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara, turut mendedahkan pembelinya terdiri daripada ahli politik dan individu bergelar Tan Sri.  Syarikat menawarkan sijil palsu dengan harga RM6,500 bagi ijazah, RM8,500 (sarjana) dan RM10,500 (doktor falsafah) dalam pelbagai jurusan yang kononnya diiktiraf oleh lima universiti luar negara, antaranya University of Rockhampton, Harvey International University, Cannington Brook University dan Charles Molnar University. Adalah wajar sesiapa yang menipu menggunakan sijil palsu boleh dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya sekali. Impak hukuman ini bukan saja boleh menjatuhkan maruah seseorang bahkan juga memusnahkan masa depan mereka.

Ramai orang yang sakit jiwa, pemalas dan suka menipu cuba mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah dalam tujuh hari, sedangkan pelajar yang belajar di universiti terpaksa belajar antara tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma, ijazah, sarjana atau PhD.  Satu pusat menyimpan data mengenai seseorang graduan mesti ditubuhkan untuk mengelakkan kes pemalsuan ijazah, mengadakan ciri keselamatan atau semua sijil dicetak oleh Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti yang tinggi. Seseorang yang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi adalah tidak berintegriti dan patut berasa jijik jika memiliki ijazah palsu.

Bahan ini diperoleh dari :
Akhbar Berita Harian
Khamis, 9 Ogos 2012

ISU SUKAN : SUKAN ALAT PERPADUAN DI MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh :
Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan
Universiti Sains Malaysia


Seringkali ketika berlangsungnya temasya sukan yang besar, masing-masing sanggup bersengkang mata untuk menonton dan memberikan sokongan walaupun di depan televisyen ataupun di pelbagai lokasi strategik seperti kedai makan. Baik sukan bola sepak Piala Dunia ataupun bola sepak liga Inggeris, Sepanyol dan Itali; lumba kereta F1, dan bola keranjang; penyokongnya bukan sekadar di stadium atau litar perlawanan tetapi juga ditonton merata dunia. Ini menunjukkan setiap sukan ada penyokong dan peminatnya. Sukan Olimpik juga tidak terkecuali lebih-lebih lagi apabila jaguh sukan negara turut bertanding. Sorakan demi sorakan diberikan atas nama wakil negara tercinta, Malaysia. Bergegarnya ruang di luar kadang-kadang lebih meriah dari dalam stadium apatah lagi ia diadakan di London sudah pasti turut menjadi keterbatasan sokongan yang mahu diberikan.

Sekiranya ia diadakan di Malaysia, saya percaya stadium akan dipenuhi untuk memberikan sokongan kepada Datuk Lee Chong Wei ataupun Khairul Anuar mahupun Mohd. Azizulhasni Awang serta Pandelela Rinong, Noraseela Mohd. Khalid, Nur Suryani Mohd. Taibi dan Peng Kean Yu. Malaysia diwakili oleh 30 atlet dalam sembilan acara sukan di London 2012. Sukan tidak pernah mengira latar belakang agama, keturunan, kepercayaan dan batasan yang boleh menghalang interaksi antara pemain, penyokong, pengurusan dan massa. Zaman bola sepak negara tahun 1980-an pasti tidak akan lupa kepada Allahyarham Mokhtar Dahari, Hassan Sani, V Arumugam, Soh Chin Aun, James Wong, Torai Raju, Wan Jamak, V Gunalan, Zainal Abidin dan Khalid Ali.

Walaupun tidak dinafikan sukan juga menjadi ancaman provokasi perkauman sebagaimana yang berlaku dalam liga bola sepak luar negara, namun seringkali kita melihat sukan akan menjadi alat perpaduan dalam kalangan masyarakat umum walaupun mempunyai pelbagai perbezaan termasuk fahaman politik masing-masing. Ketika Perang Dunia Kedua, sukan menjadi alat untuk mengetepikan perbezaan masing-masing dan tempat penyatuan negara-bangsa yang boleh bersama walaupun mempunyai latar belakang pemerintahan dan struktur tadbir-urus berbeza. Sukan diakui oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bahawa ia merupakan medium perpaduan negara dan ia dekat dengan diri beliau yang gemar sukan bola sepak. Najib pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan pada 1986 sehingga 1990 yang juga melihat perkembangan pesat dalam proses membangun dan meningkatkan tahap aktiviti dan penyertaan sukan dalam kalangan masyarakat.

Dasar Sukan Negara yang menjadi asas memurnikan dan memakmurkan dunia sukan terbentuk sewaktu Najib memimpin Kementerian Belia dan Sukan. Beliau juga menjadi 'penggerak' dalam mengkaji semula fungsi Majlis Sukan Negara untuk melahirkan atlet bermutu dan berkualiti. Beberapa insentif dan skim diperkenalkan termasuklah untuk jurulatih, atlet dan staf sebagaimana menyediakan biasiswa sukan dalam dan luar negara. Ini tidak ketinggalan program di peringkat sekolah seperti program Kem Bakat dan Tunas Cemerlang untuk mengenal pasti kebolehan bersukan dari peringkat awal lagi. Penglibatan Najib dalam sukan bersifat menyeluruh. Di samping mengutamakan dasar dan pembentukan agenda pembangunan sukan, Malaysia juga berjaya dari penganjuran sukan di bawah kepimpinan beliau. Ini termasuklah Sukan Malaysia (Sukma) yang diperkenalkan olehnya dan kini menjadi temasya sukan terbesar dalam negara. Sukma XV baru-baru ini diadakan di Pahang bertemakan 'Sukan Menjana Perpaduan'.

Begitu juga dengan kejayaan menganjur Sukan SEA 1989 yang melihat Malaysia memenangi pingat emas terbesar (69 pingat emas) untuk sukan itu; yang juga merupakan pencapaian terbaik yang pernah diduduki oleh Malaysia di arena antarabangsa. Di samping itu, dalam sukan badminton, Malaysia melayakkan diri dalam perlawanan akhir Piala Thomas 1988 dan 1990; sejarah yang masih terpahat dalam pencapaian secara keseluruhan aktiviti sukan negara. Sumbangan Najib diiktiraf di dalam negara apabila menerima Anugerah Emas Kepimpinan SAM-Benson & Hedges 1983 sebagai menghargai sumbangan dalam dunia sukan. Najib juga pernah dianugerahkan Ijazah Kehormat Sains Sukan dari Akademi Sukan Amerika Syarikat kerana kewibawaan serta usaha berterusan untuk meningkatkan tahap pembangunan sukan tempatan dan antarabangsa sepanjang mentadbir Kementerian Belia dan Sukan.

Peranan kepimpinan arus perdana amat penting dalam menerokai alam sukan sebagai alat perpaduan di samping nilai komersial lain. Yang nyata, sokongan berterusan ke atas sukan akan membolehkan kepelbagaian negara turut menjadi tumpuan. Ia boleh dibangunkan sebagai satu industri yang membawa pulangan besar kepada negara dalam jangka panjang terutama dalam sektor pelancongan dan pelaburan. Pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad melangkaui zaman dengan memperkenalkan litar kereta F1 di Malaysia, menjadi penganjur lumba basikal Tour de Langkawi, mengelilingi dunia dengan kapal layar, dan pendakian Gunung Everest; menyemarakkan semangat 'Malaysia Boleh'. Imej negara terpapar di seluruh dunia dan kesemua ini hanya dapat dilakukan jika negara terus kekal stabil, masyarakatnya tidak terhakis semangat jati diri dan berjiwa Malaysia.

Perpaduan dalam negara yang rencam menjadi indikator penting agar sukan tidak menjadi alat politik tetapi menjadi alat 'penghubung' keseluruhan warganya. Sukan sebagai alat perpaduan harus diketengahkan dengan lebih tersusun di pelbagai ruangan termasuk sekolah dan kawasan penempatan. Pencapaian di kesemua peringkat yakni kampung, daerah, negeri dan nasional serta antarabangsa mesti diperluaskan supaya Malaysia akan menjadi gah sebagaimana Jepun dan Korea Selatan yang satu ketika dahulu di belakang Malaysia. Mutu pencapaian di peringkat antarabangsa banyak bergantung kepada organisasi dan bukan semata-mata atlet yang terlibat.

Apa gunanya atlet memiliki keupayaan dan kecergasan tetapi permusuhan dalam organisasi menyebabkan atlet hilang motivasi dan keazaman. Keistimewaan seseorang dalam sukan jangan disekat hanya kerana kepentingan diri ke atas kedudukan dalam organisasi. Maka, perpaduan bukan sekadar dalam kalangan masyarakat; tetapi juga segenap lapisan stratifikasi kepimpinan dan organisasi sukan agar perpaduan tidak dikompromi tetapi dijadikan sebagai benteng pembinaan jati diri menyeluruh. Ini kerana sukan merupakan antara mekanisme penting dalam melentur semangat 'kekitaan'. Misalnya, anugerah Kalung Perpaduan kepada Kelab Sukan Sportsunite oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) menunjukkan komitmen kerajaan dalam meningkatkan tahap penerimaan ke atas konsep Satu Malaysia.

Yang penting adalah usaha menganjurkan karnival sukan termasuklah badminton, hoki, futsal, bola sepak, boling, bola jaring, ping pong, taekwando, bola keranjang dan kabadi. Perpaduan sebegini boleh diperpanjangkan ke dalam kehidupan harian kita. Dalam membangunkan prestasi sukan, ia sekali gus juga dapat memaparkan usaha memupuk penerimaan ke atas kepelbagaian sukan yang wujud dari masyarakat pelbagai etnik. Sukan mampu memecah tradisi dominasi oleh sesuatu etnik terutama dengan penampilan 'kemajmukan' bukan sahaja dari segi penyertaan tetapi lebih dari itu, menghargai dan mencipta 'semangat satu negara, satu Matlamat'.

Sukan mempunyai nilai murni yang boleh melahirkan generasi cergas, sihat bukan sahaja dari segi fizikal dan rohani tetapi keupayaan mengukuhkan kesejahteraan pelbagai masyarakat dalam memastikan perpaduan terus utuh juga mampu menjadi sebahagian dari proses meraikan kepelbagaian kelompok etnik yang ada di negara ini. Sukan adalah 'penjana' dalam mempertahankan keharmonian, kemuafakatan dan perpaduan dalam kalangan masyarakat negara ini di bawah prinsip 1Malaysia. Apabila Chong Wei melangkah masuk ke gelanggang badminton pertandingan akhir sukan Olimpik, apakah yang mahu kita lihat; bukankah kejayaan memenangi pingat emas pertama dalam sejarah penyertaan Malaysia di Sukan Olimpik?

Sokongan padu dan harapan setiap warga Malaysia pasti akan dihargai oleh beliau kerana Chong Wei bukan sekadar mewakili dirinya tetapi beliau juga menjunjung semangat jati diri 28 juta populasi Malaysia. Beliau dan atlet lain adalah milik Malaysia sebagaimana kita mempunyai tanggungjawab mempertahankan apa sahaja yang boleh mengancam keselamatan negara, biarlah 'yang ringan sama dijunjung, yang berat sama dipikul' kerana kita rakyat Malaysia. Ia boleh dimanfaatkan secara berterusan melalui sukan.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 07 Ogos 2012
Hari : Selasa

ISU UMUM : INDAHNYA KERANAMU MALAYSIA


Rencana ini ditulis oleh :
Ku Seman Ku Hussain


Setiap kali menjelang ulang tahun kemerdekaan tanah air ini, saya pasti teringat pada lagu Keranamu Malaysia. Lagu ini menjadi lagu tema ulang tahun kemerdekaan selama enam tahun bermula 2000. Lagu yang dicipta oleh Datuk Suhaimi Mohd Zain (Pak Ngah) dan lirik oleh anggota kumpulan Kopratasa, Syed Indera Syed Omar (Siso) membuatkan siapa sahaja mendengarnya akan tumpah kasih dan cinta pada Malaysia yang bertuah ini. Selama enam tahun, Keranamu Malaysia berjaya menyusupi urat nadi dan hati nurani rakyat seterusnya sanggup berkorban kerananya. Lagu yang indah di telinga dan lirik yang sedap di jiwa membuatkan lagu ini menjadi malar segar hingga hari ini. Malah boleh dianggap Keranamu Malaysia lagu tema ulang tahun kemerdekaan yang terbaik.

Menghayati lagu ini pasti membuatkan kita yang mengaku rakyat negara ini rasa bangga dan bertuah. Kemakmuran dan persefahaman dalam konteks negara multiracial dirasakan sangat luar biasa pencapaian kita. Semua ini dialirkan dalam lirik yang membawa rakyat lebihnya kita berbanding negara orang. Inilah patriotik namanya kerana mampu membuatkan rakyat berbangga dengan tempat dia dilahirkan dan mungkin di situlah juga semadinya nanti. Kuasa sebuah lagu terhadap rakyat yang hidup dan matinya di negara ini sangat besar. Bukan sekadar ritual mesti ada lagu tema ulang tahun kemerdekaan tetapi lebih daripada itu ialah menyuntik rasa terhutang budi yang berganda kepada negara.

Semua itu ada dalam lirik Keranamu Malaysia yang menggambarkan rakyat sanggup berkorban nyawa kerananya. Lagu ini diterima oleh semua rakyat, melampaui batas ideologi politik, kaum, budaya dan agama. Tetapi sayang sekali lagu itu hanya digunakan sehingga 2006 sahaja. Kita tidak perlu menghasilkan lagu tema yang baru pada setiap tahun. Alangkah baiknya kalau Keranamu Malaysia terus dimanfaatkan seperti kita memiliki satu lagu kebangsaan sahaja. Keranamu Malaysia bukanlah dibina oleh lirik yang terlampau puitis hingga maksud tidak tertangkap oleh orang kebanyakan. Pada masa yang sama tidaklah hilang seni berbahasa hingga merendahkan tahap pemikiran rakyat.

Sejak 2006 setiap kali angin bulan Ogos meniupkan semula sejarah jatuh bangun negara dan bangsa, saya kehilangan lagu malar segar yang pernah mengisi ledak patriotik ulang tahun kemerdekaan negara. Judulnya sahaja pun sudah cukup melakarkan maksud kebergantungan kita semua sebagai rakyat kepada negara yang satu ini. Hayati bait ini dan akuilah kebenarannya:

Keranamu kami mendakap tuah
Keranamu kami bangsa berjaya
Keranamu kami hidup selesa
Limpah budi kemakmuran negara

Keranamu kami bebas merdeka
Keranamu myawa dipertaruhkan
Keranamu rela kami berjuang
Demi bangsa kedaulatan negara

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 07 Ogos 2012
Hari : Selasa

06 Ogos 2012

ISU GLOBAL : CARA NEGARA CHINA CIPTA ATLET


China memiliki 3,000 sekolah sukan 
untuk kanak-kanak seawal 
usia enam tahun.


Perenang muda China, Ye Shiwen, 16, yang memecahkan rekod dunia dalam acara 400 meter (m) rampaian individu wanita pada Sukan Olimpik London 2012 mula berenang selepas gurunya melihat dia mempunyai saiz tangan dan kaki yang lebih besar berbanding kanak-kanak seusianya. Dia menjadi sensasi apabila memenangi pingat emas dalam gaya dramatik dengan catatan masanya pada 100m terakhir lebih pantas berbanding juara acara 400m rampaian individu lelaki, Ryan Lochte dari Amerika Syarikat. Shiwen, yang menyertai sukan renang pada tahun 2003, melepasi jangkaan China untuk mengekalkan kejuaraan dalam acara itu. Sebelum bermulanya Sukan Olimpik London 2012, dia pernah menjadi model untuk bulan renang di negara itu selepas juara dunia, Li Zhesi diuji positif dadah dan diharamkan bertanding.

Akhbar People's Daily turut memuji populariti gadis yang berasal dari Wilayah Zhejiang itu yang naik mencanak seperti roket. Selepas menyertai pasukan Zhejiang pada tahun 2007, dan pasukan kebangsaan pada tahun 2008, Shiwen telah meraih beberapa kemenangan."Program latihan saya adalah mencabar tetapi diatur secara saintifik. Saya tidak perlu menghabiskan masa selama berjam-jam di dalam kolam renang setiap hari. Ia juga tidak terlalu mendesak saya," katanya. Dia yang mendapat latihan di Australia dengan dilatih oleh dua jurulatih terkenal, Ken Wood dan Cotterell Denis pernah memenangi medley individu dalam acara 200m dan 400m pada Sukan Asia 2010 di Guangzhou dan 200m medley individu pada Kejohanan Dunia 2011 di Shanghai. Keluar daripada kolam renang, dia juga seperti remaja lain yang gemar membaca novel detektif dan memenuhi masa lapang dengan menonton televisyen.

Jurulatihnya, Wood, yang mengendalikan sebuah akademi renang di Brisbane, Autralia, tempat yang banyak melahirkan perenang handalan China, memberitahu, salah satu faktor yang menyumbang kepada kelajuan Shiwen dalam 50m terakhir berenang ialah faktor nisbah tenaga kepada berat tubuh selain rejim latihan serius yang perlu dijalani oleh remaja di China. Sementara itu, Pengarah Sukan di Universiti Bedfordshire dan ahli Persatuan Olimpik British, Prof. John Brewer berkata, pada usia remaja, tubuh sangat aktif mengeluarkan hormon yang merangsang perkembangan otot yang sangat berguna dalam sukan kerana ia membantu meningkatkan tenaga dan daya tahan seseorang atlet. "Dalam masa yang singkat, badan boleh mengalami perubahan secara besar-besaran. "Semasa tempoh ini atlet muda kadang-kadang tertekan, tetapi akhirnya ia dapat menyebabkan tubuh mencapai prestasi yang lebih tinggi," ujarnya.

Brewer juga percaya ada sesuatu tentang sifat renang yang menjadikan ia lebih mudah bagi atlet muda mempamerkan aksi cemerlang. "Ia adalah mengenai kuasa dan daya tahan, yang bermaksud perenang muda dapat berlatih dengan lebih kuat," tambah Brewer. Seorang pakar dalam bidang kesihatan dan senaman di Universiti Exeter, Britain, Prof. Craig Williams yang telah bekerja dengan atlet remaja turut bersetuju dengan pendapat Brewer. "Peningkatan dalam prestasi juga berkaitan dengan ketahanan mental dan fizikal. Jelas sekali perubahan dalam badan bukan sahaja dari segi kekuatan dan daya tahan, bahkan aspek psikologi juga penting. "Anda dapat mengendalikan tekanan dan tahu bagaimana untuk melakukannya. Itu boleh membawa perbezaan yang besar," katanya sambil memberitahu, prestasi Shiwen boleh dijelaskan oleh sesuatu yang lebih asas dahulu.Saiz populasi negara China turut memainkan peranan. China mempunyai bakat yang ramai untuk dipilih. Jadi kita tidak boleh terlalu terkejut apabila ada seseorang individu dengan bakat yang luar biasa muncul," jelas Craig.


Di China, perenang, ahli gimnastik, peninju, pemain badminton dan atlet lain dilatih melalui satu program yang direka kerajaan khusus untuk mendapatkan pingat emas dalam Sukan Olimpik. Sememangnya China ingin menjadi nombor satu dalam banyak bidang termasuk sukan. Sejak empat dekad lalu, kanak-kanak seawal usia enam tahun diuji dari segi saiz, kecergasan dan kemahiran sebagai sebahagian daripada program strategi pengenalan bakat negara. Dengan jumlah penduduk sebanyak 1.3 bilion untuk disaring, lebih daripada 400,000 orang dipilih dan dihantar ke 3,000 sekolah sukan atau kem latihan. Di situ, mereka tertakluk kepada latihan harian yang tegas dan diet yang ketat. Kanak-kanak itu dipisahkan daripada keluarga selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan, dengan satu tujuan sahaja iaitu untuk memenangi pingat emas.

Bekas Ketua Prestasi Sukan, Jawatankuasa Olimpik Amerika Syarikat, Steve Roush, telah melawat China lebih daripada 20 kali pada misi untuk mencari fakta seperti yang didakwa. Menurutnya, China mempunyai bakat muda yang mahir dan sentiasa ada orang lain yang akan memberikan semangat untuk mereka mencapai apa yang diingini. "Anda hanya perlu menjadi lebih baik atau keluar daripada jalan yang anda pilih," katanya. Rejim latihan China yang ketat dan disifatkan sebagai kejam sering disebarkan di internet. Antaranya termasuk gambar seorang kanak-kanak yang menjalani latihan gimnastik menangis kerana terpaksa mengharungi penyeksaan dalam melakukan senaman regangan. Mereka juga berlatih ketahanan tangan selama 30 minit pada satu masa bagi memperbaiki keseimbangan dan kekuatan badan.

Semua sekolah itu dihias bendera besar China sebagai peringatan bahawa murid-murid adalah harta negara dan simbol yang mengandungi satu perkataan iaitu emas bagi mengukuhkan semangat cintakan negara. Menjelang Sukan Olimpik Beijing 2008, pemerhati asing diberi peluang melawat sekolah-sekolah sukan di China. Begitupun, sepanjang lawatan itu mereka tidak menyaksikan penderaan atau ugutan semasa latihan. Bagaimanapun, legenda Olimpik Britain, Matthew Pinsent, yang membuat dua lawatan ke China menjelang acara sukan itu berkata, dia perlu bersiap sedia dari segi emosi untuk melihat kekejaman rejim latihan yang ditemui semasa lawatan itu.

"Saya tidak mengamalkan rejim latihan yang kejam seperti cara jurulatih di sana berurusan dengan murid-murid. Saya berjaya bercakap dengan beberapa kanak-kanak yang berusia antara lima dan 11 tahun yang mengakui mereka dipukul oleh jurulatih.Selepas mendengar pengakuan itu, saya ada memanjangkan perkara ini kepada pihak berkaitan dan diberitahu bahawa perkara itu sebenarnya tidak terjadi kerana di China, latihan yang dijalani atlet muda mereka dikira sebagai sebahagian daripada proses mencipta kejayaan," jelas Pinsent.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Harian Kosmo
Tarikh : 06 Ogos 2012
Hari : Isnin

Rejim latihan sukan yang keras ke atas kanak-kanak China 
dilihat daripada persepsi negatif oleh masyarakat luar.

Pemain badminton China, Lin Dan yang digelar 'Super Dan' 
oleh peminat merupakan pemain badminton No. 1 dunia.

Latihan yang adakalanya disifatkan kejam sering 
dilalui kanak-kanak di China.

Seorang kanak-kanak menangis semasa 
sesi latihan gimnastik.

ISU GLOBAL : OIC PERLU PROAKTIF TANGANI KRISIS


Rencana ini ditulis oleh :
Ezaruddin Abd Rahman
Timbalan Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS)


Menggeleng kepala saya melihat pertempuran dan kepulan asap di sana sini di Syria dan menyaksikan negara Arab terus bergolak dalam YouTube. Negara Islam caca marba dengan pelbagai peristiwa seperti yang berlaku di Mesir, Afghanistan, Libya dan yang terbaru, penghapusan etnik Rohingya di Myanmar. Kejadian ini membuktikan pertubuhan Islam terbesar iaitu Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) terpaku dan diselimuti kesejukan daripada bersuara dan bertindak. Tugas menamatkan sengketa umat Islam di seluruh dunia seolah-olah membuktikan mereka masih retorik dan tidak berpadu dalam menghadapi cabaran umat Islam sedunia. OIC seolah-olah teratai layu di tasik madu kerana ketiadaan iltizam politik menghadapi pelbagai isu semasa umat Islam serta menanganai isu mendesak.
Kita terpaku apabila melihat keamanan Syria musnah. Kita juga menjadi penonton televisyen apabila etnik Rohingya dibunuh dan ditembak sesuka hati. Di mana OIC ketika umat Islam memerlukannya?

Selagi negara Islam gagal bertindak sebagai entiti yang kuat maka selamanya kita diperlekehkan Amerika Syarikat dan Israel. Sebenarnya perjuangan OIC sudah lama terbabas dan tidak diendahkan Barat, Iraq pernah diganyang Amerika kerana tiadanya sepakatan di kalangan mereka. Dunia Islam kehilangan arah. Mereka perlu menilai kembali peranan yang tidak bertaring. OIC bukan lagi singa perjuangan kepada negara Islam disebabkan banyak pemimpin Arab kini mengikut telunjuk Barat.  Lihat saja etnik Rohingya yang dibiarkan menyerahkan nasib kepada takdir. Pemimpin dunia Islam tidak bersuara kerana tidak mendatangkan kepentingan kepada mereka.

Selagi negara Arab bergantung pada dunia Barat, selagi itu OIC terus lemah. Pemimpin Arab begitu takut selepas Iraq jatuh ke tangan AS dalam masa singkat. Tiada siapa boleh menghalang jika AS berkeliaran di mana-mana negara Arab untuk menekan mereka. Israel berjaya secara tidak langsung dalam menyebarkan psikologi kepada negara Arab supaya mengalah dan membuatkan jiwa mereka tertanam slogan negara Arab tidak akan menang. AS dan Israel seolah-olah mempunyai pelan sangat besar kepada dunia Arab. Masalah umat Islam adalah kekurangan kesedaran memajukan kehebatan tamadun Islam kembali, kita tiada daya saing akibat ketinggalan dalam bidang sains dan teknologi. Jika berlaku konflik, kita tidak mempunyai kekuatan ketenteraan dan senjata yang hebat.

Selepas jatuhnya Empayar Uthmaniah, dunia Islam semakin lemah dan kehilangan penguasaan ekonomi, teknologi, ketenteraan dan kekurangan cendiakawan. Lihat saja kekuatan Kesatuan Eropah (EU) dan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang rata-rata terdiri daripada kuasa besar bukan Islam kecuali Turki, membuktikan mereka bersedia menghadapi sebarang kemungkinan untuk terus mendepani Islam.  Negara Arab yang kaya dengan minyak perlu banyak menghasilkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan melahirkan saintis daripada berlumba-lumba membina bangunan tertinggi yang sekadar simbol kebanggaan semata-mata. Negara Arab harus membangunkan industri pertahanan supaya tidak bergantung pada Barat.

Tiba masa OIC berhenti daripada mengeluarkan resolusi, sebaliknya perlulah mempunyai iltizam politik yang kuat. OIC memerlukan koordinasi mantap untuk bertindak dengan cepat dalam banyak isu yang berlaku kepada umat Islam. OIC perlu membentuk penyatuan yang kuat, negara Arab perlu menolak kepentingan sendiri jika tidak mahu mereka diperkotak katikkan dan menjadi hamba kepada AS dan Israel. Kekuatan OIC akan menghapuskan penindasan terhadap umat Islam sedunia. Kita jangan lupa kita perlukan senapang, roket, pesawat pejuang yang hebat, kapal perang dan kereta kebal untuk mempertahakankan diri jika berdepan dengan konflik. Adakah lebih 1.5 bilion umat Islam di seluruh dunia tidak mampu menyekat penindasan dan penghinaan terhadap umat Islam?

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Berita Harian
Tarikh : 06 Ogos 2012
Hari : Isnin

ISU SUKAN : PESONA BINTANG BOLA SEPAK NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
Hafizahril Hamid


Sukan bola sepak adalah sukan nombor satu bukan sahaja di Malaysia tetapi di kebanyakan negara di dunia. Ia bukan sahaja menjadi pilihan kebanyakan anak muda yang mahu mencipta nama sebagai pemain terkenal malah mencipta fenomenanya yang tersendiri setiap kali sukan berkaitan bola sepak dianjurkan. Namun di sebalik keghairahan peminat sukan bolasepak tempatan tidak tidur malam menanti masa pasukan pilihan mereka bermain pada musim Euro 2012, hakikatnya sukan bola sepak di negara ini sama ada dari segi kualiti mahupun kemahiran masih jauh ketinggalan. Namun ini tidak bermakna kita tidak mempunyai pemain yang berbakat dan bersemangat tinggi cumanya masih banyak yang perlu dilakukan dalam membentuk mahupun menggilap bakat-bakat muda ini.

Persatuan-persatuan yang bertanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak di negara ini perlu menerima hakikat satu langkah drastik perlu dilakukan apatah lagi dengan ranking terbaru Malaysia yang jatuh satu anak tangga berbanding sebelumnya. Malaysia turun ke kedudukan 154 dunia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini. Hakikatnya negara ini tidak pernah 'kering' daripada melahirkan pemain-pemain berbakat yang turut mencipta nama di kelab-kelab luar negara. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bakat-bakat bola sepak negara ini telah mula 'diimport' oleh negara luar sejak dari tahun 1970-an lagi.

Sejak itu beberapa pemain tempatan mula mencipta nama dan sekaligus memasyhurkan nama negara apabila terpilih mewakili kelab di luar negara. Walaupun kebanyakan kelab yang diwakili tidaklah segah dan sehebat kelab-kelab ternama seperti Liverpool, AC Milan, Chelsea, Real Madrid dan banyak lagi namun kehadiran mereka di kelab yang diwakili mencetuskan ilham dan pesona yang tersendiri. Ia sekaligus membuktikan bahawa Malaysia tidak kering bakat dalam sukan nombor satu di negara ini. Cumanya adalah diharapkan pembangunan sukan ini dapat dikembangkan seperti dilakukan oleh negara-negara Korea Selatan dan Jepun yang satu ketika dahulu jauh ketinggalan berbanding kita.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 06 Jun 2012
Hari : Rabu