Rencana ini ditulis oleh :
Hafizahril Hamid
Sukan bola sepak adalah sukan nombor
satu bukan sahaja di Malaysia tetapi di kebanyakan negara di dunia. Ia bukan
sahaja menjadi pilihan kebanyakan anak muda yang mahu mencipta nama sebagai
pemain terkenal malah mencipta fenomenanya yang tersendiri setiap kali sukan
berkaitan bola sepak dianjurkan. Namun di sebalik keghairahan peminat sukan
bolasepak tempatan tidak tidur malam menanti masa pasukan pilihan mereka
bermain pada musim Euro 2012, hakikatnya sukan bola sepak di negara ini sama
ada dari segi kualiti mahupun kemahiran masih jauh ketinggalan. Namun ini tidak
bermakna kita tidak mempunyai pemain yang berbakat dan bersemangat tinggi
cumanya masih banyak yang perlu dilakukan dalam membentuk mahupun menggilap
bakat-bakat muda ini.
Persatuan-persatuan yang
bertanggungjawab terhadap pembangunan bola sepak di negara ini perlu menerima
hakikat satu langkah drastik perlu dilakukan apatah lagi dengan ranking terbaru
Malaysia yang jatuh satu anak tangga berbanding sebelumnya. Malaysia turun ke
kedudukan 154 dunia dalam ranking terbaru yang dikeluarkan Persekutuan Bola Sepak
Antarabangsa (FIFA) baru-baru ini. Hakikatnya negara ini tidak pernah 'kering'
daripada melahirkan pemain-pemain berbakat yang turut mencipta nama di
kelab-kelab luar negara. Mungkin ramai yang tidak mengetahui bahawa bakat-bakat
bola sepak negara ini telah mula 'diimport' oleh negara luar sejak dari tahun
1970-an lagi.
Sejak itu beberapa pemain tempatan
mula mencipta nama dan sekaligus memasyhurkan nama negara apabila terpilih
mewakili kelab di luar negara. Walaupun kebanyakan kelab yang diwakili tidaklah
segah dan sehebat kelab-kelab ternama seperti Liverpool, AC Milan, Chelsea,
Real Madrid dan banyak lagi namun kehadiran mereka di kelab yang diwakili
mencetuskan ilham dan pesona yang tersendiri. Ia sekaligus membuktikan bahawa
Malaysia tidak kering bakat dalam sukan nombor satu di negara ini. Cumanya
adalah diharapkan pembangunan sukan ini dapat dikembangkan seperti dilakukan
oleh negara-negara Korea Selatan dan Jepun yang satu ketika dahulu jauh
ketinggalan berbanding kita.
Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
Tarikh : 06 Jun 2012
Hari : Rabu
Tiada ulasan:
Catat Ulasan