21 Mei 2012

ISU UMUM : BINA KEKAYAAN BARU MELALUI ANGKASA


Rencana ini ditulis oleh :
NAZRUL AZIM SHARUDDIN
nazrul.sharuddin@utusan.com.my


Malaysia mula mengorak langkah serius dalam arena aeroangkasa pada tahun 1997 menerusi pembentukan Pelan Induk Pembangunan Industri Angkasa Malaysia. Ketika itu, pelan yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad secara tidak rasminya menggariskan harapan sektor tersebut mampu memacu pertumbuhan bidang sosial dan ekonomi negara ke peringkat lebih baik. Rentetan inisiatif berkenaan, sebuah syarikat yang menjurus ke arah teras penyelidikan dan pembangunan (R&D) bidang sains angkasa, Astronautics Technology Sdn. Bhd. (ATSB) telah ditubuhkan. ATSB secara asasnya berperanan membawa Malaysia menyertai persaingan dalam industri teknologi angkasa global menerusi pelaksanaan aktiviti seperti mereka bentuk dan merangka sistem satelit berteknologi tinggi.

Kejayaan satu-satunya syarikat tempatan yang terlibat secara langsung dalam industri itu terbukti apabila satelit mikro pertama Malaysia, TiungSAT-1 dilancarkan pada tahun 2006. Tidak menunggu lama untuk terus mengatur langkah cemerlang memacu industri satelit dan angkasa negara secara lebih konsisten, ATSB pada tahun 2009 melancarkan pula satelit remote sensing dikenali RazakSAT. Selepas 15 tahun, ATSB hari ini perlu berbangga dengan pencapaian serta kepakaran yang dimiliki mereka sehingga mampu melaksanakan pembangunan bidang aeroangkasa secara bersepadu. Ketua Pegawai Eksekutif ATSB, Datuk Dr. Ahmad Sabirin Arshad berkata, teknologi satelit dan angkasa di Malaysia telah mencapai peringkat matang. ‘‘Tanpa disedari, kita sebenarnya telah menerima teknologi ini sebagai sebahagian daripada kehidupan kita. Ia termasuk aktiviti menonton siaran televisyen secara langsung, berkomunikasi menerusi telefon bimbit dan mengaplikasi peranti navigasi perjalanan, semuanya dibantu oleh teknologi satelit.

‘‘Bagaimanapun, daripada segi pendedahan dan penerimaan masyarakat terhadap teknologi itu masih berada di peringkat permulaaan,’’ katanya ketika di temui di pejabatnya di Shah Alam baru-baru ini. Ini kerana menurutnya, rakyat masih menganggap teknologi angkasa sebagai industri yang mahal tanpa melihat faedah yang ditawarkan kepada orang ramai. Faedah yang dimaksudkan adalah termasuk membantu operasi pemantauan remote sensing untuk jangkaan cuaca lebih tepat, kejadian hujan, kemarau dan banjir. Ini kerana, dengan adanya data-data yang dibekalkan oleh satelit, ia dapat membantu perjalanan aktiviti seperti pertanian sekali gus memberi manfaat kepada para petani. Bagi menyemarakkan aktiviti R&D pula, Ahmad Sabirin berkata, Malaysia belum meletakkan komitmen yang besar daripada segi dana untuk memperluas teknologi angkasa.

Tidak seperti negara-negara yang komited dengan pembangunan industri tersebut seperti Amerika Syarikat (AS), India, Korea Selatan, China dan Jepun yang sanggup melabur sekurang-kurangnya RM2 bilion setahun untuk tujuan R&D. ‘‘Kekangan dana bagi tujuan R&D seperti inilah yang menyebabkan ATSB sukar untuk memperluaskan aktiviti penyelidikan. Di samping itu, dalam usaha memastikan industri ini terus dijana secara proaktif, kita perlu meletakkan hala tuju yang jelas bermula sekarang demi memastikan Malaysia mempunyai produk teknologi angkasa yang unggul dalam masa 30 tahun akan datang,’’ katanya. Dalam perkembangan sama, ATSAB juga ada menjalankan kerjasama pintar dengan universiti-universiti tempatan dalam bentuk R&D dan keusahawan. Matlamatnya adalah untuk memupuk minat pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) sebagai usahawan teknologi bermula dari peringkat awal pengajian.

Antara universiti terlibat adalah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM). ‘‘Kita ada mengambil pelajar dan graduan daripada universiti-universiti ini untuk menjalankan R&D secara maya di mana pihak universiti akan menggaji mereka untuk melakukan penyelidikan manakala ATSB pula menjalankan urusan pengkomersialan. Menerusi cara itu, kedua-dua pihak akan dapat memperoleh keuntungan secara bersama,’’ katanya. Menurut Ahmad Sabirin lagi, modul pengajian universiti sekarang perlu diubah dengan menerapkan nilai serta atmosfera seperti dalam industri sebenar demi merealisasikan fokus pembangunan bidang tersebut.

Bagi tujuan sama juga, ATSB turut menyokong program yang dilaksanakan TalentCorp Malaysia untuk memanggil pakar-pakar tempatan dalam bidang teknologi yang berkhidmat di luar negara untuk kembali semula ke negara ini dengan syarat mereka perlu disediakan dengan program pembangunan yang jelas. Melihat ATSB untuk jangka masa 10 tahun akan datang, Ahmad Sabirin berkata, organisasi itu bukan bakal sahaja bersaing di peringkat Asia tetapi juga dunia melalui medium perkongsian pintar serta perniagaan strategik bersama rangkaian syarikat-syarikat global. ATSB turut akan memberi tumpuan terhadap pembangunan sub sistem dalam teknologi angkasa merangkumi sistem komunikasi, navigasi, perkakasan dan perisian berbanding pembinaan satelit yang memakan masa terlalu lama.

‘‘Jika kita ingin maju pada tahun 2020, kita perlu mengorak langkah menjana teknologi angkasa ini sebagai sumber kekayaan baru dengan memberi fokus terhadap transformasi perniagaan serta mengubah pemikiran tradisi kepada yang baru. Komitmen daripada pihak kerajaan daripada segi dana dan kesinambungan aktiviti R&D juga mampu menyediakan masa depan yang cerah untuk sektor ini sekali gus memberi pulangan ekonomi cukup lumayan kepada negara,’’ ujarnya. Dengan segala kesungguhan yang ditunjukkan, ATSB kini berada pada posisi paling hadapan dalam persaingan inovasi teknologi satelit dan angkasa diikuti rapat oleh syarikat-syarikat dari negara Thailand dan Vietnam.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
21 Mei 2012

ISU SOSIAL : BELIA HARUS TEKANKAN KEJAYAAN DIRI DAN NEGARA


Rencana ini ditulis oleh :
EZARUDDIN ABD RAHMAN
Naib Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung.


Terpegun melihat banting-banting di merata tempat dan papan iklan besar terpampang Himpunan Jutaan Belia 2012 di Putrajaya. Belia Malaysia telah diiktiraf oleh pihak kerajaan dan ia satu sambutan terbesar di dunia untuk belia. Pelbagai syarikat swasta turut tampil bersama meraikan sambutan Hari Belia Negara pada tahun ini dan ia pasti sambutan yang paling meriah dan hebat. Sejarah membuktikan belia Malaysia mampu menjadi pendesak seperti menentang Malayan Union dan bersama dengan kerajaan untuk menuntut kemerdekaan. Di mana-mana sahaja di dunia golongan muda adalah kumpulan pendesak terhadap negara dan mampu bangkit untuk menuntut hak-hak mereka. Belia Malaysia telah banyak memberikan bakti mereka seperti dalam aktiviti pertubuhan belia, sukrelawan, inovasi, sukan sebagai bukti kemampuan mereka.

Di samping itu, belia diibaratkan hujung tombak bangsa Malaysia yang akan menjadi barisan hadapan dalam menangkis segala tohmahan dan krtikan terhadap negara kita. Pada masa yang sama belia Malaysia tidak harus terlena dalam buaian yang menidurkan mereka dengan permainan pihak-pihak luar. Baru-baru ini kita sangat sedih apabila melihat anak-anak muda diheret ke jalan raya semasa perhimpunan Bersih 3.0 dengan mempamerkan budaya samseng yang tentunya bercanggah dengan budaya timur kita. Mereka telah dicandu dengan provokasi oleh pihak-pihak tertentu agar mereka boleh bertindak ganas sehingga sanggup melakukan keganasan. Kita ingin melahirkan mentaliti kelas pertama kepada belia Malaysia. Mereka harus mengembangkan personaliti tinggi, karisma, daya saing serta kemahiran diri agar kita mampu membina kemampuan hebat anak muda Malaysia. Kita tidak harus memandang penglibatan anak muda dalam menyertai demonstrasi dianggap kebangkitan anak muda, sebaliknya kita harus memandang kebangkitan belia apabila anak muda berjaya menguasai pelbagai bidang termasuk menjadi pemimpin di usia yang muda.

Membina negara ini bukannya mudah apabila menyaksikan negara kita pernah dijajah oleh negara asing hingga kita terpaksa merempat dan hidup dalam ketakutan. Percayalah bahawa untuk membina kembali sebuah negara yang musnah bukannya boleh dilakukan dalam masa setahun malah ia bertahun-tahun. Belia mempunyai kekuatan mereka tersendiri. Dalam usia muda David Cameron menjadi Perdana Menteri (Britain) pada usia 45 tahun, Barack Obama menjadi Presiden Amerika Syarikat pada usia 47 tahun dan bekas Presiden Rusia, Dmitry Medvedev jadi presiden pada usia 45 tahun. Parlimen Belia yang bakal dilaksanakan sepenuhnya di Malaysia akan dapat membenihkan ciri-ciri pemimpin muda yang hebat dan matang. Mengambil kata-kata Perdana Menteri: "Kita Mahu Hari Esok Lebih Baik Dari Hari Ini" sempena tema sambutan Hari Belia tahun 2012 dan kita harus menyahut seruan ini untuk bersama-sama dengan pihak kerajaan melonjakkan prestasi belia yang berprestasi tinggi dan hebat.

Belia boleh memimpin dalam organisasi tanpa timbul prasangka di atas kemampuan mereka kerana mereka mempunyai stamina serta idea-idea yang baru yang boleh dikembangkan. Belia jangan menjadi tawanan kepada politik murahan sebaliknya harus menjadi pengerak transformasi politik baru dengan menawarkan khidmat untuk memimpin parti politik agar mereka boleh membentuk kepimpinan hebat. Pada minggu ini dijangka jutaan belia akan berkumpul di Putrajaya dalam meraikan hari mereka. Ini bukannya sebuah pesta belia sebaliknya ia adalah perhimpunan anak-anak muda yang ingin membuktikan kepada dunia bahawa belia Malaysia hebat dan mempunyai kepelbagaian kemahiran dan kemampuan. Sertailah aktiviti sempena hari belia dan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung Malaysia dan bersama Majlis Belia Malaysia dan Malaysian Indian Youth Council akan menganjurkan Konvensyen Belia Negara 1Malaysia pada 24 Mei 2012 dan diharapkan anak-anak muda dapat menyertainya. Ia sebuah forum santai untuk mendengar padangan suara anak muda Malaysia.

Biarlah kita bangun pada hari ini untuk kita berazam menjadi rakyat yang menabur bakti bukannya memikirkan bagaimana kita ingin merosakkan negara ini. Selamat Hari Belia 2012!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
21 Mei 2012

20 Mei 2012

ISU UMUM : TANDAS MODEN



Pertubuhan Tandas Dunia (WTO) yang menggabungkan serta membincangkan masalah penggunaan tandas dan sistem pembuangan sisa pernah mengutarakan kebimbangan mengenai kekurangan asas keperluan sanitasi. Ia berikutan kajian yang menunjukkan 40 peratus penduduk di dunia kini kekurangan asas sanitasi serta keperluan untuk mencari penyelesaian yang berkekalan bagi isu membabitkan tandas moden. Seperti biasa, Jepun mempelopori teknologi yang digelar ‘tandas moden’ apabila menghasilkan teknologi yang memberi manfaat kepada manusia khususnya masyarakat negara ini bagi mengelakkan pembaziran serta menyalurkan najis kepada sistem lebih baik.

Konsep tandas moden yang direkacipta di Jepun hanya memerlukan pengguna duduk di atas tandas dan selepas selesai membuang air besar, mereka dikehendaki menekan butang dan air serta sabun akan terpancut dari depan dan belakang untuk membasuh bahagian yang kotor. Boleh dikatakan, penggunaan tandas moden sekarang diaplikasi meluas di Jepun, Eropah, Amerika Syarikat, Hong Kong dan Korea Selatan sesuai bagi mereka yang mementingkan aspek kebersihan tandas. Menariknya, tandas moden dikawal oleh sistem mikrokomputer bagi membolehkan ia berfungsi secara automatik. Di kanan tandas dipasang beberapa butang yang berfungsi mengawal kekuatan pancutan air, kawalan suhu air, sumber kuasa dan butang memanaskan tempat duduk tandas. Manakala di sebelah kiri tandas pula dilengkapi butang yang berfungsi menghentikan pancutan air, mengubahsuai arah dan jenis pancutan, mengawal pancutan air di bahagian depan dan belakang tandas serta satu tempat sabun.

Sememangnya, keperluan tandas moden juga mengelakkan kekotoran yang bersepah akibat pancuran air tidak stabil apabila kita memegang paip di tangan kanan. Sering sekali lantai tandas menjadi kotor dengan air seterusnya dipijak kasut yang dipakai sehingga boleh mengakibatkan tandas tersumbat dan mengganggu sistem sanitasi.  Teknologi Jepun memang mampu membantu apatah lagi mereka sudah memulakan langkah menerusi syarikat bernama Toto yang mempunyai inovasi berdasarkan konsep ‘washlet’. Tandas moden washlet, yang dapat membersih mangkuk tandas dan pengguna secara automatik dikhabarkan mampu menjimatkan sehingga 50 peratus penggunaan bagi kerja pembersihan serta menjadikan lantai bersih. Ia didatangkan dengan pancutan air suam atau sejuk bagi tujuan membersihkan diri, selain pelapik tandas yang boleh diselaraskan suhu mengikut keselesaan pengguna.

Lebih mengagumkan, kawalan suhu dan pancutan air itu mudah dikawal menerusi butang khas yang disediakan membolehkannya dianggap sebagai inovasi paling maju di dunia. Malah, ia pernah disenaraikan dalam Guinness Book of Records sebagai tandas paling canggih di dunia apabila diperkenalkan pada 1997 menerusi model Zoe. Sekali imbas washlet kelihatan seperti tandas biasa, tetapi jika dilihat teliti barulah kita menyedari ia bukan sekadar tandas biasa apabila butang digital ditempatkan sekurang-kurangnya di dua lokasi strategik mudah capai. Antara ciri tambahan yang disertakan pada mangkuk tandas ini termasuk alat pengering, pemanas tempat duduk, pilihan pancutan air dengan tiga fungsi berlainan untuk buang air besar atau kecil, serta basuh keseluruhan, pancutan air boleh selaras, arah air serta pelapik tandas dibuka secara automatik.

Tidak dilupakan, curahan air (flush) automatik selepas guna, panel kawalan tanpa wayar dan pendingin hawa dalam bilik tandas yang beroperasi secara automatik sebaik pintu dibuka berdasarkan tempoh penggunaan tandas. Baru-baru ini, Toto mencapai satu kegemilangan global dengan warisan washlet terbaru selepas berjaya menjual kira-kira 30 juta tandas moden terbabit sejak pelancarannya pada 1980. Bagi meraikan kejayaan itu, Toto memperkenalkan tiga model baru iaitu Washlet G500 bersepadu, Washlet S350e dan S300e yang dipertingkat­kan dengan E-Water baru yang inovatif serta berteknologi tinggi. Washlet model ini menggunakan air tulen dan bersih serta pelbagai inovasi teknologi untuk membuatkan pengguna merasai aspek kebersihan tambahan yang lebih baik de­ngan mencipta semula tempat duduk tandas sebagai sistem pembersihan peribadi. Apabila butang pembersihan diaktifkan, sistem akan membuka Wonderwave iaitu teknologi khas Toto yang menyediakan aliran air hangat untuk pembersihan lengkap mengikut bentuk badan manusia. 

Disebabkan air diambil terus dari bekalan air mentah rumah, Washlet mengalirkan air suam yang sentiasa bersih dan tulen.  Sebaik pembersihan selesai, pengguna mula menerima aplikasi pengeringan di sekitar ruang yang menggunakan udara panas untuk mengering­kan kawasan terbabit secara perlahan sekali gus melindungi alam sekitar dengan mengurangkan keperluan tisu tandas.

Teknologi eWater+

Berdasarkan idea ‘Inovasi Pertama Masyarakat’, Toto memenuhi keperluan dunia sebenar berasaskan teknologi apabila memperkenalkan penggunaan air yang elektrolit direka untuk membuatkan mangkuk tandas lebih mudah untuk kerja pembersihan.  Udara secara elektrolit akan membasmi kuman lama yang melekat walaupun ia tidak kelihatan pada mata kasar. Ia biasanya digunakan dalam pembersihan penyediaan makanan. Manakala bagi mewujudkan eWater+, jurutera Toto hanya menggunakan bekalan air masuk ke rumah dan memprosesnya berasaskan teknologi yang dipatenkan syarikat.

eWater+ digunakan dalam mangkuk selepas butang pancuran air ditekan dan diaktifkan setiap lapan jam sekali semasa tidak digunakan.  Ia akan kembali kepada keadaan asal dalam tempoh dua jam selepas diaktifkan yang mana wap air kosong disalurkan meningkatkan kebersihan mangkuk dengan memeteraikan permukaan menerusi bakteria positif. Sistem terbabit 80 peratus lebih baik daripada sistem ‘porselin’ kering sedia ada. Malah, eWater+ baik untuk bumi apabila ia mengurang­kan keperluan untuk bahan kimia toksik yang digunakan untuk membersihkan tandas seterusnya membantu untuk melindungi alam sekitar serta menjimatkan wang ringgit pengguna.

Washlet G500

G500 menggabungkan sistem pembersihan jenis washlet peribadi yang mempunyai reka bentuk moden serta padat dengan pengesan automatik yang dikendalikan. Toto memperkenalkan sistem flush Dual Max Cyclone baru membolehkan pengguna untuk memilih isipadu air yang diperlukan untuk mengosongkan mangkuk tandas berdasarkan kapasiti 1.28gpf untuk sisa pepejal atau 0.9gpf untuk cecair yang menjimatkan penggunaan wang dan air.  Sistem flush Dual Max Cyclon menggabungkan pembersihan siklon pada mangkuk dengan tindakan nanoteknologi SanaGloss yang direka sendiri Toto untuk meningkatkan kebersihan mangkuk dan mengurangkan keperluan untuk membersihkan.

Washlet S300e dan S350e

Boleh dipasang pada hampir mana-mana tandas yang sedia ada, kombinasi duo yang dinamik menawarkan reka bentuk yang kompak kerana mereka boleh melaraskan mangkuk tandas lebih rendah menghampiri unit pembersihan. Sememangnya dalam kehidupan moden, manusia mementingkan kebersihan khususnya tandas apatah lagi ia sangat dituntut agama.  Cuma, kita perlu berusaha mendidik masyarakat untuk menggunakan tandas moden berkenaan bagi memastikan mereka benar-benar yakin serta mampu memelihara kebersihan yang bermula di tandas.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Metro Ahad
20 Mei 2012


ISU ANTARABANGSA : POL POT - MENGUKUR DARJAH KEZALIMAN


Coretan Marhaen


Bagi sesiapa yang pernah ke Phnom Penh dan berpeluang mengunjungi dua pasar tersebut, satu lama, panas dan berdebu manakala satu lagi moden dan teratur - pasti bertemu lelaki-lelaki Kemboja agak berumur yang kudung sebelah kaki atau kedua-dua belah kaki. Dengan baju lusuh, bertongkat atau bertopang, mereka pantas mendekati pelancong atau sesiapa sahaja yang kelihatan seperti warga asing. Namun mereka bukan pengemis. Mereka ialah mangsa jerangkap samar semasa rejim Pol Pot. Rata-ratanya akan membawa kotak kayu seumpama bekas mamak menjual kacang putih sekitar tahun 70-an di Malaysia, yang didalamnya tersusun buku-buku - semuanya tentang kisah penderitaan rakyat Kemboja di bawah pemerintahan zalim rejim Pol Pot.

Jika 10 tahun lalu, penulis tak ambil pot mengenai lelaki-lelaki ini, maklumlah apa yang ada dalam kepala ketika itu hanya lah delima merah dan nilam biru - dua batu berharga yang cukup popular di negara itu untuk dibawa pulang. Entah kenapa, mungkin faktor usia membuatkan penulis cepat simpati melihat kelibat mereka. Dalam keadaan bertopang, berpeluh-peluh dalam cuaca panas , mereka bersusah payah menjual buku. Tiada tajuk lain. Semuanya eksklusif tentang penderitaan di bawah rejim Pol Pot. Siapa Pol Pot? Bagi yang tak tahu, Pol Pot atau nama sebenarnya Saloth Sar ialah ahli revolusi, pengikut pemimpin komunis China, Mao Tse Tung (Maoist), bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Kemboja yang memimpin rejim Khmer Rouge dari 1963 hingga 1998.

Walaupun hanya menjadi Perdana Menteri selama tiga tahun, dasar pemerintahan kuku besinya menyebabkan kematian 800,000 hingga tiga juta rakyat negara itu iaitu lebih 20 peratus populasi penduduk Kemboja, sama ada ketika menjadi buruh paksa di ladang-ladang yang dibukanya, akibat kebuluran atau dihukum mati. Selepas membelek beberapa tajuk, buku First They Killed My Father tulisan seorang wanita Kemboja 'menangkap' mata penulis untuk membelinya. Ternyata berbaloi, buku yang hanya berharga lima dolar Amerika itu sarat dengan kisah benar penulisnya Loung Ung, kanak-kanak yang hanya berusia lima tahun (pada 1975) ketika tentera Khmer Rouge pimpinan Pol Pot 'menceroboh' bandar Phnom Penh termasuk rumahnya yang didiami bersama 13 ahli keluarga.

Pada usia sekecil itu, anak keenam daripada tujuh beradik ini terpaksa menempuh trauma maha dahsyat apabila terpaksa berpisah dengan bapa dan dua abangnya yang 'diculik' tentera Khmer Rouge di depan mata. Ibu dan adik beradiknya yang lain dihantar ke kem buruh paksa dengan abangnya yang baru berusia 10 tahun terpaksa memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga. Loung sendiri dilatih menjadi tentera kanak-kanak di kem anak yatim. Menyelak beberapa helai pertama buku itu membuatkan penulis teruja untuk mengunjungi Killing Fields - tapak pembunuhan ribuan rakyat Kemboja yang menjadi sasaran rejim termasuk sami Buddha, orang Islam/Melayu Champa, golongan intelek, orang kurang upaya dan etnik Cina, Laos dan Vietnam.

Dikatakan di situ, mangsa diarah menggali kubur mereka sendiri sebelum dipukul hingga mati atau ditanam hidup-hidup. Hasrat ke Killing Fields hampir-hampir terbantut gara-gara rakan serombongan enggan ke sana - antaranya takut. Mujurlah ada yang sanggup menemani ke sana. Perjalanan ke situ mengambil masa 45 minit dari pusat bandar Phnom Penh. Kami melalui jalan yang sesak dipenuhi motosikal dan motor teksi atau tuktuk. Lori-lori terlebih muatan dengan beberapa lelaki bertenggek selamba di atasnya - turut menambah kesibukan jalan yang padat dan berselirat. Selepas hampir kebas terhentak-hentak melalui jalan berbatu kerikil dan berlubang, kami sampai ke destinasi. Kawasan berpagar dan pondok tiket menyambut ketibaan kami. Selepas membayar dua dolar Amerika seorang (terima kasih Zainab Yatim) kami melangkah masuk ke kawasan Killing Fields. Masing-masing ternganga. Inikah dia? Hanya ada satu binaan seumpama menara dengan enam anak tangga di dalam kawasan itu.

Sekitarnya sunyi-sepi, malah para pelancong yang ramai juga senyap tak berbunyi. Mendekati binaan menara tunggal itu, kami tersenyum melihat hamparan Welcome dengan tiga pasu bunga yang tersusun di hadapan pintu kaca. Sesudah membuka kasut - syarat memasuki binaan tersebut dan menolak pintu kaca, kami tergamam melihat apa yang ada di depan mata. Almari kaca bertingkat-tingkat dipenuhi tengkorak manusia yang tersusun rapi dalam rak mengikut usia. Dalam hati berkata - patutlah semua senyap! Tanpa dipaksa-paksa, perasaan sebak menyebu. Kami melangkah keluar dari situ dalam senyap. Berjalan di sekeliling Killing Fields dan melalui pokok besar, lembah dan busut tempat seksaan - terbayang penyeksaan mangsa. Jika tiada ukuran kezaliman, inilah dianya! Tanpa dipaksa-paksa juga penulis terus teringatkan tanah air dan rasa cukup bertuah, lalu cepat-cepat bersyukur!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mei 2012

19 Mei 2012

ISU PENGGUNA : REKOD KEJAYAAN TRIBUNAL TUNTUTAN PEMBELI RUMAH


Rencana ini ditulis oleh :
Oleh HASHNAN ABDULLAH


Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mungkin boleh dianggap sebagai 'hero yang dilupakan' walaupun telah beroperasi sejak 2003 dan sehingga kini mengendalikan lebih 6,000 kes. Juga dilaporkan bahawa kadar penyelesaian kes tuntutan yang difailkan kepada TTPR sejak ia ditubuhkan hingga Disember tahun lalu adalah sekitar 96.28 peratus. Jelas sekali dalam mana-mana pameran perumahan sama ada berskala kecil atau besar, kaunter TTPR jarang sekali dikunjungi atau diberikan perhatian oleh bakal pembeli, walaupun ia terletak di satu sudut yang agak strategik. Mungkin bakal pembeli 'sibuk' memenuhi impian memiliki rumah sendiri, sehingga terlupa peranan TTPR yang boleh membela mereka jika kediaman yang dihajati indah khabar dari rupa terutamanya apa yang diuar-uarkan dalam risalah promosi.

Rumah tidak dibina menurut pelan asal, ukuran kawasan tanah tidak menurut keluasan dalam perjanjian, projek rumah terbengkalai, kerosakan bahagian bangunan rumah, kemudahan tidak disediakan atau tidak lengkap dan rumah disiapkan lewat. Selepas berhadapan dengan masalah, barulah TTPR yang ditubuhkan berikutan pindaan Akta Pemajuan Perumahan (kawalan dan pelesenan) 2002 terlintas di fikiran selain mengadu kepada media massa atau orang politik. Pengerusinya, Shamsulbahri Ibrahim yang ditemui di pejabatnya, di Putrajaya baru-baru ini mengakui, biar pun sering dilupakan namun pihaknya tidak pernah jemu turun padang menyedarkan orang ramai tentang peranan TTPR. ''Bila kami pergi kempen atau promosi, barulah orang ramai tahu adanya TTPR dan kita juga buka kaunter pada pameran perumahan atau Ekspo Harta Malaysia (Mapex) tetapi pada masa itu, orang ramai tidak perasan kerana mereka sibuk nak beli rumah.

''Kurang kesedaran itu telah menyebabkan ada kes-kes tuntutan tertentu yang terpaksa kami tolak kerana ia difailkan selepas tempoh 12 bulan daripada tamatnya tempoh jaminan," katanya. Mulai 2007, tempoh jaminan sesebuah rumah adalah 24 bulan selepas tarikh serah kunci dan pembeli masih mempunyai tempoh 12 bulan lagi untuk membuat sebarang tuntutan selepas tempoh jaminan itu tamat. Dengan kata lain, pembeli mempunyai tempoh untuk membuat sebarang tuntutan selama tiga tahun iaitu 24 bulan dalam tempoh jaminan dan 12 bulan lagi selepas tempoh jaminan itu tamat. Bagaimanapun, Shamsulbahri tidak menyalahkan orang ramai dalam hal itu kerana bagi beliau, sudah menjadi lumrah setiap manusia teruja mahu memiliki rumah sendiri. Beliau berkata, ia sejajar dengan langkah kerajaan mewujudkan dasar pembelian rumah mengikut pendapatan penduduk iaitu kos rendah, sederhana dan mewah.

''Kini setiap orang mampu membeli rumah dan kemampuan itu turut menyebabkan harga rumah meningkat setiap tahun. Ditambah pula apabila pemaju memberi nilai tambah lain pada rumah yang dijual seperti percuma pendingin hawa, pemanas air, kolam mandi dan sebagainya," katanya. Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya bidang kuasa TTPR diperkasakan lagi sebagai satu usaha mendidik pemaju agar bersifat jujur dalam membina rumah. Langkah itu, katanya, amat perlu kerana bidang kuasa TTPR kini hanyalah RM50,000 ke bawah dan ia dilihat tidak lagi sesuai dengan harga rumah yang kebanyakannya RM300,000 ke atas. ''Mungkin jumlah yang sesuai adalah sekitar RM70,000 hingga RM90,000 dan ia sejajar dengan peranan TTPR sebagai alternatif kepada pembeli yang tidak mahu menggunakan mahkamah untuk membuat tuntutan ganti rugi daripada pemaju,'' katanya.

Menurut Shamsulbahri, pembeli rumah yang teraniaya boleh membawa kes ke mahkamah tetapi tribunal boleh menjadi alternatif yang bagus kerana ia mudah, murah dan cepat sejajar dengan akta. Seperkara lagi, katanya, khidmat peguam tidak dibenarkan dalam perbicaraan TTPR kecuali dalam dua keadaan iaitu isu undang-undang yang rumit dan ada pihak akan mengalami keadaan kewangan yang teruk. Selaku individu yang mengetuai TTPR, Shamsulbahri mempunyai impian mewujudkan satu sayap yang akan menguatkuasakan perintah tribunal. Ini kerana, katanya, sejak Januari 2003, TTPR merekodkan sebanyak 4,431 kes ingkar perintah dan kesemuanya telah diserahkan kepada penguatkuasa Jabatan Perumahan Negara KPKT. ''Sejauh manakah ia selesai, kami tidak tahu kerana ia jabatan yang lain," katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Mei 2012

18 Mei 2012

ISU SOSIAL : FACEBOOK MEDIUM DAKWAH MODEN


Rencana ini ditulis oleh :
Muhamad Farid Yusof
Pelajar Fakulti Pengajian Bahasa Utama,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).


Facebook (FB) merupakan laman sosial paling popular dalam kalangan remaja sekarang. Ada sokongan bagi menguatkan kenyataan ini adalah, 34 peratus daripada jumlah pengguna FB di Malaysia adalah generasi muda yang berumur antara 18 hingga 24 tahun. Di peringkat dunia pula, Malaysia menduduki tangga ke-17 pengguna FB sebagaimana dilaporkan oleh laman www.socialbakers.com. FB yang dilancarkan pada 2004 diilhamkan oleh Mark Zuckerberg, ketika berumur 21 tahun seorang lulusan Harvard umumnya bertujuan memudahkan penggunanya untuk bersosial secara aktif dengan kenalan mereka serta menyatakan pendirian terhadap sesuatu isu secara cepat dan berkesan. Oleh demikian, FB mempunyai kelebihan yang perlu digarap oleh umat Islam untuk meluaskan jaringan dakwah serta menerokanya dalam ertikata untuk memperbaiki persepsi terhadap Islam itu sendiri.

Namun, persoalannya, sejauh mana laman sosial popular seperti FB ini boleh digunakan sebagai medium dakwah dalam kalangan umat Islam dan bukannya sebagai satu alat yang melekakan dan mengurangkan produktiviti masyarakat? Jawapan kepada persoalan ini sebenarnya memanggil pendakwah zaman moden kini berdepan dengan cabaran baru yang jauh lebih sengit daripada era media massa tradisional yang terbatas kepada radio, televisyen dan akhbar sahaja apabila sesetengah masyarakat tidak lagi terpikat dengan cara ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 1970-an, 1980-an dan 1990-an. Oleh yang demikian, umat Islam perlu mula memikirkan jawapan kepada cabaran baru ini agar Islam tidak ketinggalan dalam peredaran zaman globalisasi kini.

Antara langkah utama setiap muslim dalam menyebarkan dakwah di FB adalah setiap informasi mestilah bersandarkan ilmu dan pendekatan yang diolah dengan bijaksana agar mencetuskan perubahan kepada diri manusia sebagaimana mafhum daripada Surah An Nahl ayat 125. Sebagai contoh, dakwah boleh disebarkan dengan kita mendisiplinkan diri semasa 'berFB' iaitu menulis status menggunakan perkataan dan gaya bahasa yang baik. Justeru, setiap muslim haruslah mengambil faedah dengan menggunakan segala kelengkapan yang ada pada FB tersebut seperti Wall Post, Notes, Pictures Sharing sebagai medium untuk menyampaikan fikrah dakwah kepada pengguna Facebook.

Selain itu , kita boleh kongsikan aktiviti harian dan pengalaman berbentuk pengajaran yang disulami dengan ayat-ayat Allah SWT dan Hadis Rasulullah SAW sebagai bahan dakwah yang berkesan kerana ia boleh di likes dan di-share kan oleh semua pengguna FB serata dunia hanya dalam beberapa saat. Contohnya, status FB berunsur dakwah yang diselitkan mafhum ayat al-Quran dan hadis oleh bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin di-likes dan di-share oleh beribu-ribu pengguna laman sosial itu. Bahkan "page Dr.Maza.com di-likes hampir 111 ,000 pengguna laman sosial itu. Ini menunjukkan bahawa dakwah melalui FB juga mendapat tempat di hati masyarakat namun ia memerlukan kaedah dan metod yang sesuai.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman dalam laporan Utusan Malaysia Online yang bertajuk "Capaian dakwah maya lebih meluas" berkata bahawa media baru kini umpama ribut tsunami kerana ia berupaya mempopularkan seseorang serta menyebarkan pengaruh dalam masa yang amat singkat. Beliau juga berkata hampir, semua orang mempunyai akaun FB sendiri, semestinya mereka mempunyai jumlah rakan tersendiri dalam laman sosial tersebut. Oleh itu, setiap status yang dikemas kini akan dibaca oleh setiap rakan maka pendakwah perlu segera merancang dan mengambil kesempatan daripada kemudahan ini untuk menyebarkan Islam melalui pendekatan yang santai dan digemari tersebut. Strategi yang digunakan untuk menyampaikan dakwah perlulah bersifat fleksibel dan praktikal agar relevan dengan peredaran semasa.

Sekiranya kita sebagai pendakwah mampu memanfaatkan FB dengan memaksimumkan kreativiti, pengisian serta gaya penulisan yang baik, maka ia akan menjadi tarikan kepada pembaca serta medium berguna untuk kita sebarkan link blog dan mempromosikan artikel dakwah yang ditulis. Sebagai contoh, laman web iluvislam.com mempunyai pengikut hampir satu juta di laman sosial FB, bahkan setiap artikel dan hasil penulisannya sering di-likes dan di-copy serta di-share oleh pengguna FB dalam masa beberapa minit ia dikeluarkan. Kini, ia menjadi tempat rujukan utama oleh pengguna FB untuk mendapatkan bahan-bahan dakwah. Penguasaan FB oleh umat Islam mampu merubah fenomena 'kegilaan' masyarakat daripada perkara yang tidak bermanfaat kepada pengetahuan ilmu agama dengan mengislamkan dunia siber.

Jika hal ini menjadi kenyataan, maka aktiviti-aktiviti yang 'menjolok mata' dan melemahkan minda seperti kenyataan yang melampaui batas, penyebaran hadis-hadis palsu, penyebaran fitnah dan kongsi gambar-gambar yang bersalahan dengan syariat yang berlaku dalam pengisian FB dapat dikurangkan. Sewajarnya, FB boleh dijadikan medium untuk merapatkan lagi hubungan interaksi sesama kaum serta mendekatkan masyarakat bukan islam dengan Islam itu sendiri. Buktinya, banyak 'status' tentang hukum-hukum Islam tersebar dalam laman FB mereka, bahkan ia turut dikongsi oleh mereka. Fenomena ini dapat dilihat dengan jelas dalam akaun laman sosial seseorang yang mempunyai rakan pelbagai kaum sama ada Cina, India mahupun Melayu dimana hubungan interaksi antara kaum menjadi semakin rapat dalam FB, walaupun secara lumrahnya masing-masing segan untuk bertegur sapa. FB menjadi tunjang dalam menyebarkan dakwah di era millennium ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Mei 2012

17 Mei 2012

ISU UMUM : KE MANA LAGI HALA TUJU MAS?


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Banyak pengajaran boleh diambil daripada sejarah korporat tempatan dan antarabangsa. Sesetengah apabila syarikat mengalami masalah, pihak lain dipersalahkan dan pada masa yang sama pihak satu lagi terus dengan sikap 'nafi'. Dalam isu pembatalan pertukaran saham Malaysian Airline System Bhd. (MAS) dengan AirAsia Berhad, kesatuan dan kakitangan MAS berasa lega. Tetapi tanpa perjanjian itu lagi bukan bermakna syarikat mereka bekerja menjadi bertambah baik. Laluan di hadapan masih panjang dan berliku serta berlubang-lubang sana sini yang perlu dibaikpulih dan ditambah baik supaya MAS kembali catat keuntungan. Hakikatnya luka-luka MAS masih berdarah dan memerlukan rawatan daripada doktor pakar. MAS juga perlukan bantuan kakitangan sebagai pembantu perubatan. Preskripsi atau cara mengambil ubat-ubatan yang tidak betul juga boleh memudaratkan lagi MAS.

Dalam konteks ini, Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan, Pusat Pengajian Perakaunan (SOA), Universiti Utara Malaysia (UUM), Rohami Shafie berpendapat pembatalan pertukaran saham MAS dengan AirAsia menggambarkan suara para pekerja didengari. "Perkara pokoknya adalah kebajikan para pekerja. Sebab itulah Kesatuan Pekerja-pekerja Sistem Penerbangan Mas (MASEU) menyifatkan keputusan kerajaan untuk membatalkan pertukaran saham dengan AirAsia tepat sama sekali. Sebelum ini kedudukan para pekerja samar-samar dan tidak menentu dan mereka bimbang apa akan terjadi kepada mereka. Kesan ini tidak baik bagi mana-mana organisasi dari sudut motivasi dan produktiviti para pekerja. Apabila suara mereka didengar, maka segala usaha oleh MASEU telah berjaya. Para pekerja boleh fokus pada urusan kerja mereka tanpa perlu rasa bimbang lagi kedudukan mereka," kata penganalisis ekonomi ini melalui emel.

Pada hakikatnya MAS ada masalah, bukan kerana ia ketinggalan daripada pembangunan industri penerbangan tetapi kerana 'kenyataan penafian' yang dibuat hinggakan perubahan yang hendak diterapkan berjalan perlahan dan wujud pula tentangan terhadap pembaharuan. Kemunculan pesawat baru A380 bagi laluan KL-London pada Julai akan datang ini hadir lima tahun selepas Singapore Airlines melancarkan Superjumbonya dalam perkhidmatan komersial. Kini Singapura sudah mempunyai 74 pesawat A380. Dalam masa yang sama, apabila AirAsia melancarkan kemudahan tempahan tiket secara dalam talian pada 2002, ia menjadi syarikat penerbangan kedua di Asia menggunakan perkhidmatan tanpa tiket sepenuhnya. Namun, sehingga 2004 akhirnya MAS melancarkan kemudahan tempahan tiketnya secara dalam talian. Nampaknya, MAS lambat membuat perubahan yang diperlukan supaya seiring dengan perkembangan industri semasa.

Maaf jika dikatakan masalah MAS boleh menjadi sama dengan pengalaman syarikat kereta General Motors Co. (GM). "Setiap organisasi harus berubah atau mati. Maka kamu hilang daya saing. Pada akhirnya, kamu harus mencipta budaya yang bukan sahaja menerima perubahan tetapi mencari-cari bagaimana hendah berubah," kata CEO dan Pengerusi General Motors Co., Dan Akerson. Apabila GM memfailkan perlindungan Chapter 11 daripada peminjam-peminjamnya pada 2009, ia merupakan kes terbesar dalam sejarah bangkrap. Dalam sebahagian pelan pemulihan GM menutup 14 kilang, 2,400 pengedar, 21,000 jam kerja berbayar, 8,000 kerja kolar putih dan menanggung AS$79 bilion hutang. Sejak GM membuat 'turnaround' secara drastik, ia mencatatkan keuntungan AS$4.7 bilion pada 2010 diikuti rekod keuntungan AS$7.6 bilion pada 2011 dan baru-baru ini mengumumkan keuntungan AS$1.35 bilion pada suku pertama 2012.

Jika GM boleh dan mampu melakukan pusingan 360 darjah, begitulah diharapkan kepada syarikat penerbangan kebangsaan MAS. Baru-baru ini MAS mencatatkan kerugian RM2.5 bilion bagi tahun kewangan 2011 yang berakhir pada 31 Disember lalu. Lebih 40 peratus laluannya mencatatkan kerugian, malah kurang penumpang. Apakah yang patut MAS dan kakitangan lakukan untuk pastikan syarikat penerbangan Negara kembali catat untung. Menurut Rohami, MAS perlu mencari ahli lembaga pengarah terbaru bagi mengisi kekosongan yang ada dan mereka mestilah di kalangan yang benar-benar pakar dan terbaik dalam industri penerbangan. Kata Rohami yang juga Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan (IMBRe), Kolej Perniagaan (COB) Universiti Utara Malaysia, MAS juga perlu ada model perniagaan yang bagus kerana model yang sedia ada mungkin tidak sesuai untuk industri penerbangan yang semakin kompetitif. Lebih-lebih lagi Dasar Langit Terbuka pada tahun 2015 membuatkan industri penerbangan semakin kompetitif.

"Daya saing MAS perlu ditingkatkan. Fokus utama adalah bagaimana untuk melaksanakan pelan dan model perniagaan baru yang boleh menjadikan operasi MAS lebih cekap bagi mencapai misi dan visi MAS. Satu elemen yang cukup penting adalah dari sudut pengurusan risiko MAS. MAS perlu mengurus risiko-risikonya dengan lebih baik agar segala pelaksanaan daripada pelan dan model perniagaan yang baru dapat dilaksanakan dengan lebih kukuh lagi," jelas Rohami. Beliau berpendapat, MAS dan kakitangan tidak boleh lagi menoleh ke belakang. Perlu ke depan dengan berusaha lebih gigih lagi. Tingkatkan produktiviti, rangka perancangan dengan lebih jitu dan dilaksanakan perancangan tersebut seperti yang dirancangkan. Pengurusan atasan dan para pekerja perlu berani ke hadapan, dinamik dalam merebut peluang sedia ada umpamanya Program Transformasi Ekonomi (ETP) dalam bidang perkhidmatan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan juga bidang pelancongan.

"MAS juga perlu merangka semula laluan-laluan penerbangan di samping melihat balik pasaran tujahan (niche market) di luar negara. Kerjasama erat dengan AirAsia dalam bidang-bidang tertentu satu lagi usaha yang boleh meningkatkan prestasi MAS. Persaingan sihat di antara MAS dan AirAsia juga boleh meningkatkan prestasi MAS. MAS boleh mengambil peluang dalam Dasar Langit Terbuka 2015 dengan meningkatkan lagi prestasi Firefly sebagai satu lagi alternatif penerbangan tambang murah. Dengan cara ini, keuntungan bakal dicatatkan dalam tahun-tahun mendatang," kata pensyarah itu lagi. Kepada Rohami, MAS perlu lebih banyak kerjasama dengan pelbagai pihak dan tidak semestinya dengan AirAsia sahaja. Kerjasama seperti berkongsi kepakaran dengan syarikat antarabangsa boleh menjadikan transformasi perniagaan MAS lebih ketara.

Ambil contoh bagaimana Petronas bekerjasama dengan Shell dan Exxon dalam industri minyak dan gas dan akhirnya membawa keuntungan yang lebih baik kepada Petronas. Rundingan demi rundingan perlu dibuat dengan pelbagai syarikat penerbangan antarabangsa bagi meningkatkan lagi penguasaan pasaran MAS di peringkat antarabangsa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012

ISU BAHASA : KEDUDUKAN BAHASA MELAYU DI SEKTOR AWAM!


Rencana ini ditulis oleh :
Azman Anuar


Sekarang, walaupun ramai orang besar kata mereka sentiasa mendaulatkan bahasa Melayu tetapi hakikatnya tidaklah sedemikian. Dalam bab memartabatkan bahasa rasmi negara ini, ia masih meragukan. Bukan sahaja ‘pembesar-pembesar’ dalam dunia korporat Melayu tidak mengutamakan pengiklanan dalam bahasa Melayu di media dan akhbar tempatan, malah program-program anjuran jabatan kerajaan pun ada dibuat dalam bahasa Inggeris. Cuba tinjau program yang dianjurkan oleh kementerian atau jabatan kerajaan, ada yang tanpa rasa malu mengetengahkan bahasa Inggeris pada program atau tayangan video/slide. Sepatutnya sebagai jabatan kerajaan, mereka mengutamakan bahasa Melayu. Kalau pun program bersama bukan Melayu, semua pihak wajib tahu berbahasa Melayu.

Kalau sebilangan pegawai atasan kerajaan pun ‘malu-malu’ untuk guna bahasa kebangsaan, apatah lagi orang swasta. Nampak sangat pegawai-pegawai kerajaan sebegini tidak menjiwai semangat cintakan bahasa sendiri. Memang mereka terdiri daripada orang Melayu, boleh berbahasa Melayu dan Inggeris. Tapi keutamaan bahasa diletak pada tempat yang salah. Kalau pegawai tertinggi kerajaan tidak menghormati dan memartabatkan bahasa Melayu, janganlah kita terlampau mengharapkan syarikat bukan Melayu akan mematuhinya. Agak-agaknya bila kita tidak perlu lagi bercakap soal mendaulatkan bahasa kebangsaan? Saban tahun kita asyik membicarakan tentang bahasa kebangsaan yang semakin hilang tempatnya.

Jangan kita salahkan orang bawahan jika orang atasan terutama pemimpin kerajaan sendiri ‘malas’ untuk mengangkat bahasa ibundanya sendiri. Sebab itu masyarakat Cina dan India mempertahankan bermati-matian sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil daripada ditutup. Mereka tidak mahu perkembangan bahasa dan tulisan ibunda masing-masing terhapus sebagaimana sedang dialami oleh tulisan jawi yang menjadi warisan orang Melayu. Kita asyik menafikan bahasa Melayu tidak diabaikan dalam segala urusan terutama sektor awam tetapi hakikatnya tanpa disedari bahasa itu menjadi ‘eksklusif’ hinggakan malu untuk dipertuturkan. Kadangkala dalam majlis rasmi kerajaan dan mesyuarat pun bahasa Inggeris yang dikumandangkan.

Bukan tetamu yang hadir tidak tahu bahasa Melayu, tetapi mulut mudah memantulkan bicara dalam bahasa Inggeris. Mengapa jadi begini? Mungkin kita harus terima hakikat, generasi berpendidikan aliran Inggeris masih ada dalam tampuk pimpinan kerajaan dan swasta. Jadi mereka masih kurang peka dan ‘terbiasa.’ Saf-saf kepimpinan ini akan bersara dalam beberapa tahun mendatang. Tempat mereka akan diambil pula oleh generasi aliran bahasa Melayu sepenuhnya. Entahlah, apakah saf kepimpinan aliran bahasa Melayu ini boleh diharapkan atau tidak untuk mengembalikan martabat penggunaan bahasa Melayu dalam segala urusan kerajaan. Tunggulah...

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012

ISU KEWANGAN : NILAI MAKLUMAT RAHSIA PERBANKAN


Rencana ini ditulis oleh :
NURUL ANUAR KARI


Sejajar dengan perkembangan teknologi moden, sistem perbankan negara dan dunia kini bergerak ke arah aplikasi digital bagi memudahkan urusan pelanggan. Secara positif, langkah ini bukan sahaja menjimatkan penggunaan kertas dan meringkaskan proses dokumentasi rekod, malahan mempercepatkan lagi urusan aliran tunai. Umum juga sedar teknologi moden turut mendedahkan pelanggan bank kepada risiko pencurian identiti mahupun mencuri duit di dalam akaun yang semakin kerap dilaporkan media dari hari ke hari. Dari segi kewangan, kebanyakan simpanan dan pelaburan pelanggan bank-bank dan institusi kewangan dilindungi dan kebiasaannya wang yang hilang akan dipulangkan jika bukan atas kesalahan pelanggan. Bagaimanapun, timbul pula persoalan tentang rekod kewangan dan maklumat pelanggan yang sepatutnya menjadi rahsia sulit antara pemilik akaun dan pegawai bank sahaja.

Pembangunan sistem komunikasi moden telah membolehkan pihak tertentu mengaut keuntungan besar secara mudah dengan mengumpul dan menjual maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran, walaupun cuma nombor telefon dan alamat e-mel. Beberapa tahun lalu, timbul isu pihak tertentu menjalankan urus niaga menjual maklumat kewangan individu milik orang awam di negara ini dan menjualnya kepada bank-bank kononnya untuk memudahkan penilaian permohonan pinjaman mereka. Walaupun lebih kerap melibatkan orang persendirian, baru-baru ini maklumat kewangan beberapa individu berprofil tinggi pula didedahkan kepada umum oleh pihak dengan agenda politik, melibatkan perincian aliran tunai dan pegangan milik peribadi dan juga syarikat. Sekali lagi timbul persoalan, bagaimana maklumat sulit pelanggan yang disimpan oleh pihak bank dan institusi kewangan begitu mudah disalin dan diperoleh pihak luar tanpa kebenaran, sama ada secara digital mahupun hitam putih?

Bukankah ini pelanggaran kepercayaan serta amanah pelanggan dan pencabulan privasi mereka? Bagaimana pula dengan tanggungjawab yang perlu dipikul pihak perbankan dan pegawainya dalam kes sebegini terutamanya jika sistem perlindungan yang disediakan begitu mudah diceroboh? Walaupun adanya saluran dan sistem perundangan seperti Akta Bank dan Institusi-institusi Kewangan (BAFIA) 1989 dan Akta Perbankan Islam serta Biro Perantaraan Kewangan (BPK) dan Biro Pengantaraan Perbankan (BPP), kebimbangan umum masih berlegar apabila kes serupa berterusan dilaporkan media massa. Tanpa penguatkuasaan dan tindakan tegas terhadap institusi dan kakitangannya yang terlibat dengan kebocoran maklumat sulit ini, orang ramai mungkin akan hilang kepercayaan untuk melabur mahupun berurus niaga dengan bank-bank di negara ini kelak.

Pensyarah Undang-Undang dan Perlembagaan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr. Shamrahayu Abd. Aziz menjelaskan, setiap pelanggan perbankan dilindungi dari segi hak asasi dan hak privasi. “Sebarang kebocoran maklumat tanpa kebenaran adalah pelanggaran hak pengguna yang serius dan pelanggan berhak mengambil tindakan undang-undang sewajarnya. Negara kita juga mempunyai kawalan melalui akta-akta khusus untuk melindungi pengguna termasuk dalam aspek maklumat peribadi," katanya. Menurutnya lagi, Bank Negara dan Kementerian Kewangan juga boleh memantau mahupun menyiasat institusi kewangan terbabit tetapi terhad kepada tahap tertentu dan banyak bergantung kepada komitmen pegawai dan institusi kewangan itu sendiri.

Beliau memaklumkan, perbuatan membocorkan maklumat peribadi kewangan tanpa kebenaran melibatkan kes sivil dan undang-undang peribadi yang boleh dibawa terus ke mahkamah. “Seperti mana jika ada pelanggan yang rasa teraniaya dengan contohnya syarikat telekomunikasi yang didakwa menyebarkan nombor telefon mereka, mangsa boleh terus mengupah peguam untuk membawa tuntutan ke mahkamah. Walaupun perlu membuat laporan polis, kes sebegini kebiasaannya tidak melibatkan siasatan polis mahupun Jabatan Peguam Negara dan mangsa boleh terus ke mahkamah jika merasakan diri mereka teraniaya," jelasnya.

Bagi Profesor Ekonomi, Fakulti Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Datuk Amir Baharuddin, membocorkan maklumat strategik dan peribadi tanpa kebenaran pemiliknya adalah satu kesalahan dari semua sudut moral dan perundangan. “Tindakan disiplin perlu diambil, bukan sahaja terhadap mereka yang mendedahkan maklumat sulit itu malahan kepada institusi dan pegawai yang terlibat. Bank Negara perlu menyiasat sebaiknya kes membocorkan maklumat kewangan sebegini kerana jika terus berlaku, lama kelamaan akan menggugat sistem perbankan negara," tegasnya.

Menurut beliau, orang ramai dan juga organisasi luar akan hilang kepercayaan jika maklumat sulit yang sepatutnya hanya diketahui pegawai bank kerap kali bocor ke tangan pihak ketiga tanpa kebenaran pemiliknya. Dalam kes terbaru melibatkan individu berprofil tinggi, beliau turut berharap disiasat jika ada pegawai di institusi kewangan terbabit yang menyalahgunakan kedudukannya untuk agenda peribadi parti politik atau individu tertentu. “Jika kerana politik dibocorkan maklumat pelanggan institusi kewangan, ini satu kesalahan etika kerja yang besar, tiada siapa berhak berbuat demikian. Bank dan institusi kewangan adalah pemegang amanah kepada rekod dan tunai pelanggan mereka, perlulah bertanggungjawab dan menjaga amanah itu," katanya.

Tambahnya, urus niaga perbankan juga sebenarnya amat sensitif kerana melibatkan amanah duit dan harta milik orang. Beliau menyamakan sebarang tindakan pegawai atau institusi itu sendiri yang dianggap mengkhianati kepercayaan pelanggan mereka umpama rasuah kerana dilakukan atas tujuan tidak elok. “Bukannya senang untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang daripada institusi kewangan tetapi lebih elok jika sebarang keperluan mendapatkan maklumat sulit sedemikian diletakkan di bawah Bank Negara. Seperti mana sebelum ini ada pihak yang menjual maklumat peribadi orang ramai kepada pihak bank, apa hak mereka untuk bermain dengan maklumat rahsia rakyat," soal beliau.

Amir menegaskan, mana-mana individu ataupun syarikat tiada hak untuk menjual sebarang maklumat peribadi orang lain tanpa kebenaran dan adalah lebih elok jika urusan melibatkan maklumat sedemikian diuruskan Bank Negara sahaja. Beliau juga berharap pihak media sama ada media utama mahupun alternatif mengelak daripada terlibat dalam menyebarkan maklumat sulit rekod kewangan individu demi menjaga hak dan privasi mereka. “Pihak bank juga perlu bertanggungjawab jika berlaku kesilapan atau salah laku di kalangan pegawai mereka termasuk menyiasat dan memberi pampasan sewajarnya tanpa perlu pelanggan ke mahkamah. Jika tidak, setiap pelanggan yang merasakan amanah itu telah dilanggar, berhak mengambil tindakan undang-undang bagi menuntut ganti rugi terhadap pihak yang terlibat," ujarnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
16 Mei 2012

16 Mei 2012

TEKS UCAPAN YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN


TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI GURU KALI KE-41
PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA KANGSAR, PERAK



Saudara dan saudari yang saya hormati sekalian,

2. Malaysia sedang berada di ambang negara maju. Untuk tempoh lapan  tahun dari sekarang, negara  kita akan melalui satu fasa transformasi penting  yang akan menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda  dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk memacu kemajuan negara dalam  persekitaran global yang lebih mencabar.

3. Sepanjang perjalanan kita melalui liku zaman transformasi, bukan sedikit  cabaran yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling  getir adalah  bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti pendidikan dalam tempoh yang  terdekat. Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita  mampu melahirkan insan yang berupaya memacu kemajuan pesat negara dan  mengisi keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di  negara kita, tanpa mengira kaum, agama, wilayah dan status sosial berpeluang  untuk mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.

4. Lantaran itu, kerajaan memberikan tumpuan utama  kepada usaha  meningkatkan kualiti pendidikan negara secara menyeluruh. Ini kerana kita tahu  bahawa menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya wadah bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan,  berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan berdaya saing. Modal insan inilah yang  akan memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah letaknya harapan kita untuk melihat kemajuan dan pembangunan  negara dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan  kemakmuran masa depan kita bersama.

5. Usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan negara telah kita mulakan.  Sejak tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah  Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi sektor pendidikan, yang  bertujuan untuk memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan  berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan para guru di segenap pelusuk  negara dan sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa  kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang singkat, kadar penyertaan  murid pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan  numerasi murid mampu kita capai, bilangan sekolah berprestasi tinggi  bertambah dan bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan  tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan warga kementerian yang telah  menggerakkan seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan  pendidikan negara.

6. Kita pastinya berbangga dengan kejayaan besar yang dicipta oleh guruguru kita. Selama lebih lima dekad berada di persada pendidikan negara, guruguru kita telah memberi sumbangan yang amat bermakna kepada kemajuan dan  pembangunan yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya  insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab, yang kini berada di setiap  lapangan ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk  menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa. Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan ekonomi pertanian kepada sebuah negara  perindustrian baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana  jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada sesiapapun yang boleh memandang  rendah dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap  kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari ini.

7. Sementara kita menghargai segala jasa guru, kita tidak mengambil sikap  mudah berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi  persaingan global yang semakin sengit, kita tahu bahawa sistem dan amalan  pendidikan di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu  dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu ditingkatkan, kurikulum dan sistem  pentaksiran perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik,  sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu diurus dengan lebih cekap.  Pendek kata, keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan  dimantapkan kualitinya secara bersepadu.

8. Sehubungan itu, Kementerian telah memulakan proses Kajian Semula  Pendidikan Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama  yang perlu diberi perhatian telahpun disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga  telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk mempelawa  pandangan dan saranan daripada seluruh rakyat, tentang cara bagaimana  kita  boleh meningkatkan mutu dan tahap pendidikan negara kita agar setanding  dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk  mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan negara dan tanpil dengan  idea-idea bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.

9. Apatah lagi, aspek paling penting dalam proses kajian semula pendidikan  ini ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan  yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang telah lama berkecimpung dalam  bidang pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana  kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan pembelajaran, dapat kita tingkatkan.

GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI

10. Dalam menempuh era globalisasi yang semakin diwarnai oleh ekonomi  berteraskan ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti  adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya memberi sedikit huraian tentang apa  yang dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru  berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan untuk melengkapkan murid  dengan kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis,  kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya kreativiti yang tinggi. Dalam  konteks ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi  akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan yang ingin dicapai.  Ketika berada di dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan  sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk mencari kaedah dan  pendekatan baru yang lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran  dicapai.

11. Selanjutnya, seorang guru berinovasi juga akan memberi tumpuan  kepada kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir  dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi ialah untuk memastikan  murid berupaya menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan  semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan, tetapi untuk membolehkan  mereka menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud,  guru berinovasi ialah guru yang mampu menyediakan persekitaran pembelajaran  paling kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk  mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya, guru berinovasi juga berupaya  menilai pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil  langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan murid supaya mereka  dapat bersaing di dunia yang semakin mencabar.

12. Ini bermakna, guru berinovasi ialah guru yang sentiasa memikirkan  apakah cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah  keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu yang dipelajari di sekolah  mampu memberi kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk  itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan pelbagai kaedah dan cara  untuk mengasah daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya  menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan berakhlak mulia. Sekiranya  semua guru di negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita  untuk melahirkan modal insan yang berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan  berketrampilan akan tercapai.

KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI

13. Keyakinan saya berasaskan kepada fakta bahawa pada masa ini di  sekolah-sekolah kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang  bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah Menengah Kebangsaan USJ 4,  Subang Jaya telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic Please check against delivery Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan November tahun lalu.  Kejayaan ini membuktikan pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu  melahirkan murid yang berjaya menempa kecemerlangan di peringkat  antarabangsa. Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4,  Subang Jaya.

14. Saya juga mengucapkan tahniah kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar  dari Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat  Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik dalam pertandingan ASEAN  Camp for Gifted In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji  kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah Sains Kepala Batas telah meraih  banyak kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan  antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan The Second APEC Conference for  the Gifted In Science di Korea.

15. Saya juga ingin merakamkan ucapan tahniah kepada Cikgu Khairuddin  bin Nasa dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari, Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul  Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan anda berdua akan mendorong  guru-guru di seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan  tema Hari Guru tahun ini.

MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH

16. Kementerian akan terus berusaha untuk meningkatkan pembudayaan  inovasi di sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan  Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang menekankan aspek  pemikiran kritis, kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya  yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan akan membuka peluang kepada  guru untuk mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan  pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap menjadi landasan kepada guru  untuk menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah  murid lemah menerusi teknik pembelajaran secara intervensi. 

17. Kementerian Pelajaran juga telah bekerjasama dengan Agensi Inovasi  Malaysia (AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program iThink. Program ini adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai  oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam kalangan murid.  Program ini  telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan dapat diperluaskan ke  seluruh negara untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Please check against delivery

18. Selain itu, Kementerian Pelajaran dan Kementerian Pengajian Tinggi  sedang merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk  membudayakan inovasi dan kreativiti dalam kalangan murid. Melalui pelan ini,  sekolah akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran  dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan modal insan yang inovatif.  Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan  sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan untuk mencapai hasrat negara  meningkatkan keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan  kemampuan rakyat untuk berinovasi.

MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN

19. Usaha membudayakan inovasi di sekolah tidak akan tercapai tanpa guruguru yang berkualiti. Oleh itu, Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan  kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam hubungan ini,  Kementerian komited untuk mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di  sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah menjelang  tahun 2015. Sehingga kini, program pensiswazahan guru telah berjalan lancar  dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang disasarkan telah menerima  tawaran mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.

20. Biarpun mengharap dedikasi guru yang tidak terhingga dalam mendidik  anak bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru  yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam memastikan kelancaran dan  keberkesanan organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana  Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang melaksanakan 28 perakuan bagi  menangani 14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang  merupakan satu sistem tunggal kemasukan data untuk mengurangkan beban  tugas guru yang menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini.  Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis di 88 buah sekolah, dan dijadualkan  semua sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru  ini menjelang tahun 2013.

21. Selain itu, KPM juga sedang menjalankan kajian rintis bagi penempatan  Pembantu Tadbir N17 sehingga  Jun 2012 untuk melihat impak penempatan  Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas perkeranian guru. Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak Jabatan  Perkhidmatan Awam bagi perluasan penempatan Pembantu Tadbir N17 di  sekolah-sekolah di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian  dan peperiksaan setara serta menambahbaik pengendalian ujian dan  peperiksaan di peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu  peperiksaan setara sahaja dibenarkan. Pemansuhan sepenuhnya ujian dan Please check against delivery peperiksaan setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian  akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan pembelajaran.

22. Selaras dengan usaha kerajaan untuk menambah baik Skim  Perkhidmatan Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya 8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54. Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya 8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke DGA34, dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.

23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri, seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012. Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari ini.

24. Selaras dengan komitmen kerajaan untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan, saya ingin memaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48 ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua  dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum atau pada 31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1 Januari 2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai 430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48 seramai 2,655  orang akan diperakukan secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

25. Bagi melaksanakan semua urusan kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan 934 juta ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi.

26. Saya yakin guru berinovasi akan dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat.

27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.

28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan mengangkat  martabat nusa. Kepada guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan  kepada murid nasihat saya, hormatilah dan hargailah jasa guru anda.

Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!
Wabillahi al-taufik walhidayah wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.