TEKS UCAPAN
YAB TAN SRI DATO’ HJ MUHYIDDIN HJ MOHD
YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI
MERANGKAP MENTERI PELAJARAN MALAYSIA
DI MAJLIS PELANCARAN PERAYAAN HARI
GURU KALI KE-41
PADA 16 MEI 2012; PUKUL 10.00 PAGI
BERTEMPAT DI DEWAN JUBLI PERAK, KUALA
KANGSAR, PERAK
Saudara dan saudari yang saya hormati
sekalian,
2. Malaysia sedang berada di ambang
negara maju. Untuk tempoh lapan tahun
dari sekarang, negara kita akan melalui
satu fasa transformasi penting yang akan
menentukan samada kita berjaya melangkah ke gerbang negara maju apabila fajar
tahun 2020 menyinsing. Dalam era transformasi ini, seluruh minda dan kudrat rakyat perlu digembleng untuk
memacu kemajuan negara dalam persekitaran
global yang lebih mencabar.
3. Sepanjang perjalanan kita melalui
liku zaman transformasi, bukan sedikit cabaran
yang bakal kita hadapi. Bagi para guru, cabaran paling getir adalah bagaimana untuk melonjakkan kualiti dan ekuiti
pendidikan dalam tempoh yang terdekat.
Tujuannya ialah, pertama, supaya sistem pendidikan negara kita mampu melahirkan insan yang berupaya memacu
kemajuan pesat negara dan mengisi
keperluan sebuah masyarakat maju. Dan kedua, supaya setiap murid di negara kita, tanpa mengira kaum, agama,
wilayah dan status sosial berpeluang untuk
mengecap nikmat pendidikan yang berkualiti secara adil dan saksama.
4. Lantaran itu, kerajaan memberikan
tumpuan utama kepada usaha meningkatkan kualiti pendidikan negara secara
menyeluruh. Ini kerana kita tahu bahawa
menyediakan pendidikan yang berkualiti untuk rakyat adalah satusatunya wadah
bagi melahirkan modal insan yang berpengetahuan, berkemahiran tinggi, kreatif, inovatif dan
berdaya saing. Modal insan inilah yang akan
memacu kemajuan negara kita ke tahap yang lebih tinggi. Di pundak merekalah letaknya harapan kita untuk
melihat kemajuan dan pembangunan negara
dijana dengan lebih pesat dan mapan, demi kesejahteraan dan kemakmuran masa depan kita bersama.
5. Usaha untuk meningkatkan kualiti
pendidikan negara telah kita mulakan. Sejak
tiga tahun yang lalu, kita telah melaksanakan empat inisiatif di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) bagi
sektor pendidikan, yang bertujuan untuk
memperluas akses kepada pendidikan yang berkualiti dan berkemampuan. Alhamdulillah, berkat kegigihan
para guru di segenap pelusuk negara dan
sokongan padu seluruh warga Kementerian, kita telah menempa kejayaan yang membanggakan. Dalam tempoh yang
singkat, kadar penyertaan murid
pra-sekolah berjaya kita tingkatkan, sasaran penguasaan literasi dan numerasi murid mampu kita capai, bilangan
sekolah berprestasi tinggi bertambah dan
bai’ah dengan pengetua dan guru besar terlaksana. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru dan
warga kementerian yang telah menggerakkan
seluruh kudrat dan ikhtiar untuk meningkatkan kemerlangan pendidikan negara.
6. Kita pastinya berbangga dengan
kejayaan besar yang dicipta oleh guruguru kita. Selama lebih lima dekad berada
di persada pendidikan negara, guruguru kita telah memberi sumbangan yang amat
bermakna kepada kemajuan dan pembangunan
yang kita kecapi hari ini. Berkat sentuhan para gurulah, lahirnya insan-insan yang terdidik dengan ilmu dan adab,
yang kini berada di setiap lapangan
ekonomi, sosial, budaya, pendidikan dan sebagainya untuk menggerakkan kemajuan bangsa dan nusa.
Kejayaan negara kita beralih daripada sebuah negara berasaskan
ekonomi pertanian kepada sebuah negara perindustrian
baru yang pesat berkembang, sebahagian besarnya adalah kerana jasa dan bakti para guru. Justeru, tidak ada
sesiapapun yang boleh memandang rendah
dan memperleceh peranan serta sumbangan besar para guru terhadap kemajuan yang dicapai oleh negara kita hari
ini.
7. Sementara kita menghargai segala
jasa guru, kita tidak mengambil sikap mudah
berpuashati dengan pencapaian sedia ada. Dalam menghadapi persaingan global yang semakin sengit, kita
tahu bahawa sistem dan amalan pendidikan
di negara kita perlu ditransformasi. Kualiti guru-guru kita perlu dimantapkan, mutu kepimpinan sekolah perlu
ditingkatkan, kurikulum dan sistem pentaksiran
perlu diperkemaskan, prasarana sekolah perlu ditambahbaik, sumber dan sistem penyampaian pendidikan perlu
diurus dengan lebih cekap. Pendek kata,
keseluruhan sistem pendidikan kita perlu disemak dan dimantapkan kualitinya secara bersepadu.
8. Sehubungan itu, Kementerian telah
memulakan proses Kajian Semula Pendidikan
Negara. Satu laporan awal yang menggariskan aspek-aspek utama yang perlu diberi perhatian telahpun
disediakan oleh kumpulan pakar. Kita juga
telah memulakan proses Dialog Nasional Pendidikan Negara untuk
mempelawa pandangan dan saranan daripada
seluruh rakyat, tentang cara bagaimana
kita boleh meningkatkan mutu dan
tahap pendidikan negara kita agar setanding
dengan negara-negara maju. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengundang guru-guru menyertai dialog pendidikan
negara dan tanpil dengan idea-idea
bernas untuk meningkatkan mutu pendidikan kita.
9. Apatah lagi, aspek paling penting
dalam proses kajian semula pendidikan ini
ialah kualiti guru. Hanya guru yang berkualiti dapat mewujudkan pendidikan yang berkualiti. Saya percaya, guru-guru yang
telah lama berkecimpung dalam bidang
pendidikan dapat mengemukakan saranan terbaik tentang bagaimana kualiti guru, termasuk kualiti pengajaran dan
pembelajaran, dapat kita tingkatkan.
GURU BERKUALITI, GURU BERINOVASI
10. Dalam menempuh era globalisasi
yang semakin diwarnai oleh ekonomi berteraskan
ilmu dan inovasi, maka pada hemat saya, guru yang berkualiti adalah guru yang berinovasi. Izinkan saya
memberi sedikit huraian tentang apa yang
dimaksudkan dengan guru berinovasi. Pada pengamatan saya, guru berinovasi ialah guru yang mempunyai kebolehan
untuk melengkapkan murid dengan
kemahiran alaf baru seperti keupayaan berfikir secara kritis, kebijaksanaan menyelesaikan masalah dan daya
kreativiti yang tinggi. Dalam konteks
ini, sebelum melangkah masuk ke bilik darjah, seorang guru berinovasi akan menekuni kurikulum dan menilai apakah keberhasilan
yang ingin dicapai. Ketika berada di
dalam bilik darjah, guru berinovasi tidak akan terikat dengan sesuatu cara dalam melaksanakan pengajaran
dan pembelajaran, tetapi sentiasa berfikir di luar kotak pemikiran biasa untuk
mencari kaedah dan pendekatan baru yang
lebih berkesan. Yang penting, objektif pembelajaran dicapai.
11. Selanjutnya, seorang guru
berinovasi juga akan memberi tumpuan kepada
kaedah pengajaran dan pembelajaran yang boleh merangsang daya fikir dan daya kreativiti murid. Keutamaan guru berinovasi
ialah untuk memastikan murid berupaya
menggunakan ilmu yang diajar di dalam bilik darjah bukan semata-mata untuk berjaya dalam peperiksaan,
tetapi untuk membolehkan mereka
menyelesaikan permasalahan yang dihadapi di dunia nyata. Bermaksud, guru berinovasi ialah guru yang mampu
menyediakan persekitaran pembelajaran paling
kondusif dan memberi ruang seluas-luasnya kepada murid untuk mengasah kebijaksanaan berfikir. Seterusnya,
guru berinovasi juga berupaya menilai
pencapaian dan potensi murid secara holistik, serta sentiasa mengambil langkah proaktif untuk meningkatkan kecemerlangan
murid supaya mereka dapat bersaing di
dunia yang semakin mencabar.
12. Ini bermakna, guru berinovasi
ialah guru yang sentiasa memikirkan apakah
cabaran yang bakal dihadapi oleh murid setelah mereka melangkah keluar dari lingkungan sekolah, dan apakah ilmu
yang dipelajari di sekolah mampu memberi
kelebihan kepada mereka untuk bersaing di alam nyata. Untuk itu, guru berinovasi akan sentiasa menggunakan
pelbagai kaedah dan cara untuk mengasah
daya fikir, daya kreativiti dan daya tahan murid, dan seterusnya menjadikan mereka insan yang berdaya saing dan
berakhlak mulia. Sekiranya semua guru di
negara kita adalah guru berinovasi, saya yakin matlamat kita untuk melahirkan modal insan yang
berpengetahuan tinggi, kreatif, inovatif dan
berketrampilan akan tercapai.
KEJAYAAN GURU DAN SEKOLAH BERINOVASI
13. Keyakinan saya berasaskan kepada
fakta bahawa pada masa ini di sekolah-sekolah
kita di segenap ceruk tanah air, terdapat mutiara inovasi yang bergemerlipan. Antaranya, murid Sekolah
Menengah Kebangsaan USJ 4, Subang Jaya
telah merangkul pingat emas dalam Pertandingan World Robotic Please check
against delivery Olympiad di Abu Dhabi, Emeriah Arab Bersatu pada bulan
November tahun lalu. Kejayaan ini membuktikan
pendidikan berteraskan kreativiti dan inovasi mampu melahirkan murid yang berjaya menempa
kecemerlangan di peringkat antarabangsa.
Tahniah saya ucapkan kepada murid dan guru SMK USJ 4, Subang Jaya.
14. Saya juga mengucapkan tahniah
kepada Cikgu Harris Ganae bin Nanar dari
Sekolah Menengah Sains Kepala Batas yang berjaya memenangi Pingat Emas bagi kategori Modul Pengajaran Terbaik
dalam pertandingan ASEAN Camp for Gifted
In Science pada tahun 2011. Cikgu Harris juga patut dipuji kerana hasil inovasi beliau, Sekolah Menengah
Sains Kepala Batas telah meraih banyak
kejayaan dalam Pertandingan Rekacipta di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Ini termasuk Pertandingan
Inovasi Sains SBP Kelapa Sawit anjuran Lembaga Minyak Sawit Malaysia
dan The Second APEC Conference for the
Gifted In Science di Korea.
15. Saya juga ingin merakamkan ucapan
tahniah kepada Cikgu Khairuddin bin Nasa
dan Cikgu Abdul Razak bin Haron dari Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari,
Sungai Sumun Perak, yang telah berjaya merangkul Anugerah Guru Inovatif 2012. Semoga kejayaan
anda berdua akan mendorong guru-guru di
seluruh negara untuk menjadi guru berinovasi, bersesuaian dengan tema Hari Guru tahun ini.
MEMANTAPKAN BUDAYA INOVASI DI SEKOLAH
16. Kementerian akan terus berusaha untuk
meningkatkan pembudayaan inovasi di
sekolah. Bermula tahun 2011, Kementerian telah melaksanakan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang
menekankan aspek pemikiran kritis,
kreatif dan inovatif sejak peringkat awal persekolahan. Saya yakin transformasi kurikulum yang dilaksanakan
akan membuka peluang kepada guru untuk
mengenalpasti strategi penambahbaikan proses pengajaran dan pembelajaran secara berterusan. KSSR diharap
menjadi landasan kepada guru untuk
menjana pelbagai kaedah pengajaran dan seterusnya mengatasi masalah murid lemah menerusi teknik pembelajaran
secara intervensi.
17. Kementerian Pelajaran juga telah
bekerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia
(AIM) untuk membudayakan kemahiran berfikir melalui Program iThink. Program ini
adalah antara pendekatan baru yang sesuai diguna pakai oleh guru untuk meningkatkan pena’akulan dalam
kalangan murid. Program ini telah dirintis di sepuluh buah sekolah dan diharapkan
dapat diperluaskan ke seluruh negara
untuk meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran. Please check against
delivery
18. Selain itu, Kementerian Pelajaran
dan Kementerian Pengajian Tinggi sedang
merangka Pelan Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif untuk membudayakan inovasi dan kreativiti dalam
kalangan murid. Melalui pelan ini, sekolah
akan bertindak sebagai agensi pelaksana yang menjalankan pengajaran dan pembelajaran secara kreatif bagi melahirkan
modal insan yang inovatif. Pelan
Tindakan Pembangunan Modal Insan Inovatif diharap akan digunakan sepenuhnya oleh guru sebagai garis panduan
untuk mencapai hasrat negara meningkatkan
keupayaan daya saing negara yang diukur berdasarkan kemampuan rakyat untuk berinovasi.
MEMARTABAT PROFESYEN KEGURUAN
19. Usaha membudayakan inovasi di
sekolah tidak akan tercapai tanpa guruguru yang berkualiti. Oleh itu,
Kementerian sentiasa berusaha meningkatkan
kualiti guru melalui sokongan dasar, latihan dan insentif. Dalam
hubungan ini, Kementerian komited untuk
mencapai sasaran 60 peratus guru siswazah di
sekolah rendah dan 90 peratus guru siswazah di sekolah menengah
menjelang tahun 2015. Sehingga kini,
program pensiswazahan guru telah berjalan lancar dengan 69.6 peratus daripada 66,124 guru yang
disasarkan telah menerima tawaran
mengikuti pengajian di institusi pengajian tinggi.
20. Biarpun mengharap dedikasi guru
yang tidak terhingga dalam mendidik anak
bangsa, kerajaan tetap mengambil perhatian serius terhadap keluhan guru yang terbeban dengan pelbagai tugas dalam
memastikan kelancaran dan keberkesanan
organisasi sekolah. Oleh itu, Jawatankuasa Kerja Pelaksana Menangani Isu Beban Tugas Guru sedang
melaksanakan 28 perakuan bagi menangani
14 isu yang memberi kesan terhadap beban tugas guru. Antaranya, Jawatankuasa
Kerja ini memperkenalkan Sistem Pengurusan Sekolah yang merupakan satu sistem tunggal kemasukan data
untuk mengurangkan beban tugas guru yang
menggunakan pelbagai sistem kemasukan data pada masa ini. Sistem ini telah dilaksanakan secara rintis
di 88 buah sekolah, dan dijadualkan semua
sekolah di bawah Kementerian Pelajaran akan menggunakan sistem baru ini menjelang tahun 2013.
21. Selain itu, KPM juga sedang
menjalankan kajian rintis bagi penempatan Pembantu Tadbir N17 sehingga Jun 2012 untuk melihat impak penempatan Pembantu Tadbir bagi mengurangkan beban tugas
perkeranian guru. Seterusnya satu cadangan akan dikemukakan kepada pihak
Jabatan Perkhidmatan Awam bagi perluasan
penempatan Pembantu Tadbir N17 di sekolah-sekolah
di bawah Kementerian. Bagi menangani isu beban tugas guru ini juga, semua
Jabatan Pelajaran Negeri telah melaksanakan pemansuhan ujian dan peperiksaan setara serta menambahbaik
pengendalian ujian dan peperiksaan di
peringkat sekolah. Oleh itu, pada tahun ini hanya satu peperiksaan setara sahaja dibenarkan.
Pemansuhan sepenuhnya ujian dan Please check against delivery peperiksaan
setara akan dikuatkuasakan mulai tahun 2013, di mana semua ujian akan dijalankan dalam waktu pengajaran dan
pembelajaran.
22. Selaras dengan usaha kerajaan
untuk menambah baik Skim Perkhidmatan
Pendidikan, peruntukan tempoh minimum kenaikan pangkat secara Time-Based
berasaskan kecemerlangan dikekalkan sebagaimana diumum oleh YAB Perdana Menteri
pada 8 Mac yang lalu. Bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah gred DG41, hanya
8 tahun diperlukan untuk kenaikan ke gred DG44, 8 tahun untuk gred DG44 ke
DG48, 6 tahun untuk gred DG48 ke DG52, dan hanya 3 tahun untuk DG52 ke DG54.
Manakala bagi Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Lepasan Diploma gred DGA29, hanya
8 tahun diperlukan untuk naik ke gred DGA32, 8 tahun untuk gred DGA32 ke DGA34,
dan hanya 5 tahun untuk gred DGA34 ke DGA38.
23. Lanjutan pengumuman YAB Perdana Menteri,
seramai 390 orang guru telah dinaikkan ke gred DG54, manakala 676 orang ke gred
DG52, 3,938 orang ke gred DG48 dan 19,805 orang ke gred DG44. Bagi Guru Bukan
Siswazah pula, seramai 399 orang dinaikkan ke gred DGA38, manakala 2,639 orang dinaikkan
ke gred DGA34 dan 9,519 orang ke gred DGA32. Dianggarkan seramai 8,222 orang
Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah dan 15,831 orang Pegawai Perkhidmatan Pendidikan
Lepasan Diploma akan dipertimbangkan untuk kenaikan pangkat apabila memenuhi
syarat tempoh perkhidmatan mulai 1 Jun 2012 sehingga 31 Disember 2012.
Guru-guru boleh membuat semakan di laman web Kementerian Pelajaran mulai hari
ini.
24. Selaras dengan komitmen kerajaan
untuk meningkatkan kecemerlangan pendidikan dan memartabatkan profesion keguruan,
saya ingin memaklumkan bahawa proses kenaikan pangkat Pengetua dari gred DG48
ke DG52 dan Penolong Kanan dari DG44 ke DG48 telah dilaksanakan oleh
Kementerian. Setakat ini seramai 854 orang Pengetua telah dinaikkan pangkat
dari DG48 ke DG52 dan 4,270 orang Penolong Kanan telah dinaikkan pangkat dari
DG44 ke DG48. Kenaikan pangkat ini melibatkan Pengetua dan Penolong Kanan yang merupakan penyandang
sedia ada sebelum atau pada 31 Disember 2011, dan yang memangku jawatan sebelum
atau pada 31 Disember 2010. Tarikh kuatkuasa kenaikan pangkat ini adalah pada 1
Januari 2012. Baki penyandang jawatan Pengetua dari gred DG48 ke DG52 seramai
430 orang dan baki penyandang jawatan Penolong Kanan Gred DG44 ke Gred DG48
seramai 2,655 orang akan diperakukan
secara berperingkat mulai Jun 2012 setelah calon-calon memenuhi syarat-syarat
yang ditetapkan.
25. Bagi melaksanakan semua urusan
kenaikan pangkat Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, kerajaan telah memperuntukkan
934 juta ringgit, iaitu satu jumlah besar yang membuktikan kesungguhan kerajaan
memberi pengiktirafan kepada usaha para guru dalam membentuk modal insan yang berpersonaliti
unggul. Justeru, saya berharap agar peluang kenaikan pangkat ini akan memberi
semangat dan dorongan kepada semua guru untuk meningkatkan prestasi.
26. Saya yakin guru berinovasi akan
dapat mentransformasi pengajaran dan pembelajaran bagi melahirkan murid yang
berdaya saing, berakhlak mulia dan bersemangat waja. Saya berharap guru juga
sentiasa memelihara kemuliaan akhlak dan ketinggian budi pekerti supaya guru terus
dihormati dan menjadi suri teladan kepada murid dan masyarakat.
27. Untuk memastikan ilmu pengetahuan
dapat diterima dengan sebaiknya oleh murid, saya amat berharap agar guru bukan
sahaja menyampaikan ilmu, tetapi bertindak sebagai murabbi yang berperanan
mendidik rohani, jasmani, akal dan emosi murid supaya mereka dapat menghayati
dan mengamalkan ilmu yang dipelajari. Maka, guru menggalas amanah yang amat
mulia dalam memperbaharui dan memperbaiki kehidupan manusia. Tajdid pendidikan
akan terhasil apabila guru dapat membangun jiwa, membina akal dan membentuk akhlak
manusia dengan asuhan ilmu dan adab yang mulia.
28. Sesungguhnya, tidak terhitung jasa
dan bakti guru kepada bangsa dan negara. Justeru, saya bagi pihak kerajaan ingin
mengucapkan jutaan terima kasih kepada para guru dan semua insan yang bergelar
pendidik, baik yang berada di sekolah, di institut pendidikan guru, di kolej-kolej
matrikulasi, di institusi pengajian tinggi, di institusi-institusi latihan atau
di mana jua anda berada, samada yang masih berkhidmat atau telah bersara. Saya
mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas segala sumbangan dan
pengorbanan anda semua dalam menggalas amanah mulia mendidik anak bangsa dan
mengangkat martabat nusa. Kepada
guru-guru pesan saya, sayangilah murid anda, dan kepada murid nasihat saya, hormatilah dan
hargailah jasa guru anda.
Selamat Hari Guru! Terima Kasih Cikgu!
Wabillahi al-taufik walhidayah
wassalamu’alaikum warahmatullahi wabarakatuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan