18 Februari 2012

ISU UMUM : SIKAP PENENTU KESERONOKAN BEKERJA ?

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Benarkah kunci kecemerlangan dalam organisasi itu adalah keseronokan bekerja? Ini mungkin ada kebenarannya apabila gambaran keseronokan bekerja terhasil daripada sikap yang ditunjukkan oleh para pekerjanya dalam bentuk keceriaan, ketenangan, kegembiraan dan keselesaan apabila melaksanakan tugas seharian sehingga memberi kesan kepada kerja yang berkualiti, peningkatan produktiviti dan mutu perkhidmatan yang memuaskan. Sudah tentu keseronokan bekerja yang dicapai inilah akan menjadi nadi serta tonggak kepada kecemerlangan organisasi. Slogan 'pekerja gembira adalah pekerja yang produktif' seringkali dikaitkan dengan situasi di mana pekerja yang menyukai atau berasa seronok dalam kerjayanya. Suasana kerja yang didukung oleh sikap dan nilai keseronokan bekerja mampu mewujudkan amalan positif yang menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, komitmen yang tinggi di kalangan pekerja, dapat menyuntik semangat seharian bekerja serta sedia bekerjasama antara majikan dan pekerja.

Hubungan baik ini juga mampu menyelesaikan kerja secara bermuafakat dan bekerjasama. Pepatah Melayu menyebut, 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'. Pun begitu, dalam keseronokan bekerja jangan kita lupa nasihat-menasihati rakan sejawat dan budaya tegur-menegur (budaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) lakukannya secara berhikmah supaya rakan sejawatan dapat menerima teguran dengan baik. Apabila para pekerja berjaya mewujudkan suasana yang seimbang, dalam kehidupan di tempat kerja secara tidak langsung ia akan memberi kesan baik juga kepada kesihatan mental dan fizikal, pekerja tidak akan berasa tertekan apatah lagi dalam memenuhi tuntutan hidup yang semakin mencabar. Walau bagaimanapun, di sebalik keseronokan bekerja ini ada pekerja yang tidak selama-lamanya berada dalam keadaan seronok dalam pekerjaan. Ini kerana sudah menjadi satu trend perilaku manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan seperti malas, jemu, segan, bosan dan sebagainya terhadap kerja mereka.

Jika ditanya berkaitan dengan diri pekerja terhadap kerja yang dilakukan, tentu sekali ada yang menyatakan bahawa mereka sangat meminati kerja yang dilakukan. Tidak kurang juga ada yang menganggap kerja itu satu bebanan dan membosankan. Malah ada berfikir untuk mendapat pekerjaan yang baharu. Kesemua perkara ini adalah berkaitan dengan sikap terhadap kerja. Barangkali perasaan ini dialami ekoran sikap terhadap pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi. Bagi sesetengah pekerja yang telah menghabiskan setengah usianya dalam organisasi sering dapat kita lihat tiga situasi yang berbeza. Yang pertama, apabila pekerja itu dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan nilai komitmen yang cemerlang dalam organisasi manakala kategori pekerja yang berikutnya ialah pekerja yang semakin menurun prestasi serta nilai komitmennya, manakala satu lagi kategori, pekerja yang masih berada pada tahap sama sejak awal penglibatan sebagai pekerja.

Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Barangkali sikap negatif terhadap kerja ini berpunca dari sikap pekerja itu sendiri terhadap majikan atau sikap pekerja sesama rakan sejawatan atau pendirian mereka terhadap gaji dan imbuhan yang diberi tidak setimpal dengan kerja yang diusahakan, kebajikan terabai, penghargaan yang tidak diiktiraf atau kemungkinan skim persaraan yang tidak menarik dan macam-macam lagi. Lazimnya, sikap itu berkaitan dengan komponen penilaian yang boleh menggambarkan sejauh mana perasaan pekerja terhadap kerjayanya. Hasil sikap negatif ini maka akan lahirlah pekerja yang bersikap menentang dan mula berasa tidak lagi seronok untuk bertugas. Dan di sinilah menunjukkan perkaitan yang jelas tentang sikap dan perilaku. Apabila ini berlaku maka kita akan dapat melihat kesan kepada penghasilan kerja yang kadang-kalanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa sikap terhadap kerja adalah merupakan satu-satunya punca yang menentukan nilai keseronokan bekerja. Barangkali ada yang tidak seronok bekerja antara lain kerana faktor kesesakan; perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, dan sebagainya. Begitu juga, kesan persekitaran kerja turut mengundang persepsi terhadap keseronokan di tempat kerja. Apabila persekitaran di tempat kerja tidak kondusif, sesak, gelap, dan kualiti peredaran udara tidak baik ia menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja. Malah menurut satu kajian, terdapat perkaitan antara keseronokan dan kepuasan terhadap persekitaran mampu mempengaruhi perilaku pekerja dalam organisasi dalam mewujudkan kesan terhadap hubungan sosial dan kerjasama. Justeru, bagi mewujudkan keseronokan bekerja kita sebagai pekerja Muslim cubalah mulakan dengan memupuk nilai dan sikap keseronokan bekerja dalam diri kita terlebih dahulu.

Kesimpulannya, memang benar sikap, tindakan dan amalan kita menjadi penentu kepada keseronokan bekerja di samping beberapa faktor persekitaran lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi serta mampu meletakkan pekerja maju dalam pelbagai bidang diceburinya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012

ISU UMUM : REMAJA CEDERAKAN MUKA RAKAN

Oleh AMIRUDDIN HARUN


Tidak dapat digambarkan apa yang bermain pada fikiran seorang remaja semasa mencederakan muka seorang remaja yang dua tahun lebih tua daripadanya. Luka berukuran kira-kira 20 sentimeter itu bermula dari atas dahi melalui tepi mata dan hidung sehingga ke dagu. Malangnya luka yang dialami oleh Jack Berry dari Plymouth, United Kingdom itu bukannya perbuatan penjenayah yang tidak dikenali, sebaliknya dilakukan oleh rakan karibnya sendiri, Daniel Reader, 18, yang turut dianggap sebagai adiknya. Perbuatan Reader itu menyebabkan seorang hakim yang berpengalaman selama 41 tahun dalam bidang guaman menggambarkan bahawa kecederaan muka Berry itu adalah yang paling dahsyat pernah dilihatnya. Dalam kejadian pada hari 'April Fool' tahun lalu, Reader telah menyerbu lalu menyerang Berry yang terlebih dahulu dikepung di rumahnya berhubung pertelingkahan mengenai wang yang didakwa dicuri oleh mangsa.

Sewaktu perbicaraan kes tersebut pada awal tahun ini, Berry menyatakan, dia masih tidak tahu mengapa dia diperlakukan sedemikian rupa dengan sebilah pisau. ''Dia seperti adik saya. Pada masa itu, saya tidak akan memanggilnya selain daripada sebagai adik saya. Saya berhasrat untuk menemuinya dan bertanya mengapa dia melakukannya,'' kata Berry. Meskipun melakukan perbuatan yang tidak masuk akal itu, Berry memberitahu, Reader masih gagal melihat apa yang dilakukannya itu salah. ''Saya masih fikir bahawa dia mahu berjumpa ibu dan bapa saya. Dia menghantar kad Krismas kepada kami sekeluarga dan dalam kad sambutan ulang tahun kelahiran ibu saya, dia menulis 'with love' (dengan kasih sayang),'' katanya. Hakim Francis Glibert yang mendengar kes itu memberitahu pihak juri bahawa beliau memahami perasaan ngeri mereka apabila melihat gambar yang memaparkan kecederaan sepanjang lebih 20 sentimeter itu.


Semasa perbicaraan, Berry juga menyatakan bahawa keluarganya mengalami kesengsaraan ekoran ugutan bom petrol yang dilemparkan di rumah mereka. Di penghujung perbicaraan selama enam hari, panel juri di Mahkamah Plymouth Crown sebulat suara memutuskan bahawa Reader bersama seorang rakannya, Paul Courtney, 39, bersubahat atas tuduhan menyebabkan kecederaan parah terhadap mangsa. Reader juga disabitkan atas tuduhan dengan niat menyebabkan cedera parah ke atas Berry dan memiliki pisau. Seorang lagi rakan sejenayah mereka, Mark Masher dari Liverpool yang turut dituduh bersubahat melakukan kesalahan itu, berjaya melarikan diri selepas dibebaskan dengan ikat jamin. Jatuh hukum terhadap kedua-dua lelaki itu ditangguhkan sehingga 23 Mac depan sementara menunggu laporan psikiatri terhadap Reader. Kedua-duanya kini diletakkan dalam tahanan.

Namun Hakim Gilbert telah mengingatkan Reader bahawa dia bakal menjalani hukuman penjara dalam tempoh yang panjang. Semasa keputusan tersebut dibacakan, Courtney yang merupakan seorang penagih dadah dilihat terketar-ketar dan mukanya pucat. Mereka meninggalkan kandang tertuduh dengan linangan air mata. Pada tarikh yang sama, hukuman turut dijatuhkan ke atas Kurtis Kirk, 23, dan teman wanita Reader, Astra Widdicombe, 22, setelah kedua-duanya mengaku bersalah atas pertuduhan yang berkaitan kes tersebut. Widdicombe terlibat sama selepas Reader yang ketika itu dalam tahanan telah meminta gadis itu melupuskan pisau tersebut. Widdicombe kemudian menemui Berry untuk menyerahkan pisau itu tanpa menyedari Berry merupakan mangsa dalam kes berkenaan setelah Berry berjaya mereka cerita sebagai helah berhubung kecederaan mukanya itu.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012

ISU UMUM : BACA MAKLUMAT SEBELUM SETUJU TRANSAKSI


Sebelum menekan butang setuju dalam sesebuah laman maya ketika menjalankan transaksi pembelian dalam talian (online), sebagai pengguna kita seharusnya membaca sepenuhnya maklumat berkenaan urusan jual beli tersebut. Jika menekan butang setuju tanpa membaca syarat-syarat pembelian terlebih dahulu, kita akan menerima pesanan yang salah dan akhirnya akan merugikan diri kita sendiri. Kisah ini berlaku kepada pemuda, Jacky Cheong Shian Bon, 30, yang menyewa sebuah pangsapuri di ibu negara untuk tempoh 15 hari yang berjumlah RM1,520 termasuk deposit RM500. Ketika Jacky datang untuk menginap di pangsapuri tersebut, pemuda itu terkejut apabila mendapati ada penghuni yang menyewa di sebuah bilik di unit pangsapuri itu, padahal dia mendakwa menyewa keseluruhan kediaman berkenaan.

Bagaimanapun, Jacky tetap menginap di dalam sebuah bilik lain di pangsapuri tersebut dalam tempoh tujuh hari, selain menggunakan kemudahan yang terdapat di situ. Tidak lama kemudian, dia meminta ejen yang menguruskan penyewaan pangsapuri itu untuk memulangkan wang tunai RM1,520 kepadanya semula tetapi ejen terbabit enggan berbuat demikian. Tanpa berlengah lagi, Jacky kemudian mengemukakan aduan kepada Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) di Kuala Lumpur baru-baru ini. Ketika kes itu didengar di hadapan Presiden Maznah Haron, ejen yang menguruskan urusan penyewaan pangsapuri itu tampil mengemukakan pembelaan.

Ejen terbabit memberitahu tribunal tersebut, Jacky tidak membaca sepenuhnya entri maklumat yang dipaparkan pada laman maya tersebut yang menyatakan urusan berkenaan melibatkan sebuah bilik dalam pangsapuri terbabit, bukannya keseluruhan kediaman. Dia selepas itu mengemukakan salinan transaksi urusan yang telah dilakukan Jacky kepada Maznah. Selepas mengambil kira aduan Jacky dan pembelaan yang dikemukakan, Maznah memutuskan agar syarikat yang menguruskan penyewaan itu memulangkan wang sebanyak RM1,204 kepada pemuda tersebut. Jumlah terbabit adalah baki lapan hari yang tidak didiami oleh Jacky termasuk wang deposit bernilai RM500.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012

15 Februari 2012

ISU SOSIAL : BSKN SEMAI SIKAP BELIA BERMASYARAKAT

TAN SRI LEE LAM THYE
Bekas Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN)


Sebagai bekas Pengerusi Majlis Latihan Khidmat Negara (MLKN), saya mengalu-alukan penubuhan Briged Sukarelawan Khidmat Negara (BSKN) yang dilancarkan baru-baru ini. Penubuhannya bagi membolehkan bekas pelatih-pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) menyumbang bakti kepada masyarakat dengan menjalankan kerja-kerja sukarela. Sehingga kini kira-kira 650,000 belia dari seluruh negara telah menyertai PLKN sejak pelancarannya pada 2004. Sebelum saya bersara daripada PLKN, saya pernah menyuarakan keperluan untuk menggerakkan semua bekas pelatih untuk menggunakan pengetahuan yang mereka perolehi dari program itu untuk memanjangkan perkhidmatan secara sukarela kepada negara dan membantu dalam waktu yang amat memerlukan. Saya percaya penubuhan BSKN boleh membantu untuk mempromosi konsep sukarelawan di kalangan belia Malaysia dalam bidang khidmat kemasyarakatan.

Melalui briged ini kita boleh mengukuhkan semangat sukarelawan untuk berkhidmat kepada masyarakat dan negara dalam masa yang amat memerlukan. Sebagai contohnya briged tersebut boleh menghulurkan bantuan kepada mangsa bencana alam seperti banjir, kebakaran, tanah runtuh dan bencana yang lain. Sukarelawan ini boleh digerakkan bukan sahaja untuk membantu mangsa-mangsa bencana tetapi juga mengadakan program gotong-royong di tempat-tempat awam dan aktiviti-aktiviti membantu melindungi alam sekitar. Melalui pengukuhan semangat sukarelawan kita boleh membantu menggerakkan anak muda Malaysia untuk merealisasikan masyarakat penyayang yang sebenar di samping memupuk integrasi kaum demi perpaduan negara. Melalui briged ini, mereka boleh menganjurkan dan mengambil bahagian dalam aktiviti-aktiviti untuk memupuk kasih sayang dan semangat patriotik untuk negara ini dalam pelbagai cara.

Sebagai contoh, penanaman pokok atau mengambil langkah-langkah untuk membersihkan tempat-tempat awam adalah amalan yang patriotik untuk menunjukkan cinta sayang kita kepada negara. Apa yang saya ingin mencadangkan adalah BSKN perlu diberikan latihan dalam bantuan bencana dan pendedahan kepada semua aspek keselamatan serta kesihatan supaya tatkala menjalankan tugas murni ini, mereka akan lebih berpengetahuan demi menjamin keselamatan dan kesihatan mereka . Walaupun mereka telah didedahkan kepada modul latihan khidmat komuniti sebagai sebahagian daripada program Latihan Khidmatan Negara selama tiga bulan di Kem Khidmat Negara, ia masih menjadi keperluan bagi ahli-ahli briged untuk diberi pengetahuan tambahan dari semasa ke semasa dalam semua aspek kerja-kerja sukarela.

Kerajaan harus memantau dengan rapat aktiviti-aktiviti BSKN dan tidak perlu teragak-agak untuk memberikan sokongan untuk memastikan kejayaan briged tersebut dan mampu memberi sumbangan penting kepada Negara. Masa telah tiba bagi Malaysia menubuhkan satu angkatan sukarelawan nasional seperti "PEACE CORPS" di Amerika Syarikat untuk menjalankan aktiviti-aktiviti sukarelawan. Dalam hubungan ini saya mengalu-alukan cadangan untuk menubuhkan Kor 1 Malaysia untuk menggembleng dan menyatukan para sukarelawan badan kerajaan dan bukan Kerajaan yang terdiri daripada pelbagai kaum untuk melaksanakan aktiviti sukarela menurut semangat 1Malaysia demi kepentingan rakyat dan negara. Usaha seperti ini juga akan membantu memperkukuhkan hubungan antara kaum dan menyumbang kepada perpaduan negara.

Kejayaan untuk menjadi sebuah negara maju banyak bergantung kepada keupayaan kepimpinan generasi muda sekarang. Generasi muda merupakan aset terpenting yang akan mewarisi kepimpinan negara pada masa depan. Oleh itu, generasi muda hari perlu dibimbing dan dipersiapkan mengikut kehendak arus pembangunan negara. Kemajuan yang berteraskan kemajuan material perlu diselarikan dengan kemajuan kerohanian. Bagi mencapai hasrat ini, pembangunan insan yang menekankan penghayatan nilai-nilai murni wajar diterapkan dalam pembangunan generasi muda.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Februari 2012

ISU PENDIDIKAN : ISTILAH SAINS DAN TEKNOLOGI PERLU TEPAT

Oleh SHAIKH MOHD. SAIFUDDEEN SHAIKH MOHD SALLEH
PENULIS ialah Pengarah Eksekutif, Yayasan Ilmuwan.


Satu cabaran dalam bidang berkaitan sains dan teknologi adalah menggunakan istilah yang tepat, apa lagi jika istilah itu dipinjam daripada bahasa asing. Inisiatif memperkenalkan istilah-istilah bahasa Melayu dalam bidang sains dan teknologi sudah berjalan sejak sekian lama dengan usaha awal dilihat berlaku semasa penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1970. Cabaran menjalankan program sains dan teknologi dalam bahasa kebangsaan turut merangkumi aspek pengistilahan. Hari ini kita boleh merujuk pelbagai bahan rujukan berhubung istilah sains dan teknologi di dalam kamus dan glosari seperti yang diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP). Malah portal Pusat Rujukan Persuratan Melayu (PRPM) yang dikelolakan oleh DBP juga menjadi rujukan popular dewasa ini bagi memastikan istilah yang digunakan tepat.

Dengan pelbagai platform yang boleh dicapai oleh sesiapa sahaja (baik bahan elektronik atau cetak), masih ada pihak yang nampaknya mengambil mudah soal penggunaan istilah yang tepat. Ramai daripada kita yang pastinya masih ingat isu penterjemahan kandungan portal Kementerian Pertahanan yang menterjemahkan frasa bahasa Melayu ke bahasa Inggeris secara harfiah. Jika dalam isu itu, banyak pihak yang cepat melenting kerana penggunaan bahasa Inggeris yang salah, saya melihat tidak banyak pihak pula yang prihatin dan peka terhadap kesalahan penggunaan bahasa Melayu yang amat berleluasa. Ini memberikan gambaran yang penggunaan bahasa Melayu yang tepat seolah-olah tidak penting. Saya terpanggil memberikan pandangan mengenai isu ini apabila terbaca di dalam portal sebuah akhbar tempatan (bukan Utusan Malaysia) bertarikh 11 Februari 2012 yang melaporkan mengenai kempen yang dilancarkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

Kempen MPSJ ini yang dipanggil "Kempen Penggunaan Plastik Mampan" mahu menggalakkan masyarakat menggunakan plastik biodegradable yang diistilahkan oleh MPSJ sebagai 'plastik mampan'.Istilah 'mampan' itu, menurut Portal PRPM, membawa maksud 'mampu terus berkembang dan mencapai tahap prestasi yang baik'. Saya yakin MPSJ tidak maksudkan plastik yang mampu terus berkembang atau plastik yang boleh mencapai tahap prestasi yang baik apabila melancarkan kempen ini. Seandainya MPSJ maksudkan mampan, istilah ini membawa makna 'tidak berubah-ubah dan sudah diterima umum'. Saya juga yakin bukan ini yang dimaksudkan oleh MPSJ. Jika dilihat kepada mesej yang hendak disampaikan adalah mengenai penggunaan plastik biodegradable. Sepatutnya istilah yang digunakan adalah "plastik biorosot" atau "plastik terbiodegradasi". Memang tidak dinafikan bahawa istilah yang lebih tepat ini nampak asing dan mungkin janggal bagi sesetengah orang.

Walau bagaimanapun, sekiranya kita tidak membiasakan diri dengan menggunakan istilah yang tepat, maka kita akan selama-lamanya terbiasa dengan istilah-istilah yang salah. Bagi saya, tanggungjawab menggunakan istilah yang tepat adalah tanggungjawab semua pihak. Kita sebagai pengguna bahasa seharusnya lebih peka dengan istilah-istilah yang kita gunakan. Hari ini sebenarnya tiada alasan bagi kita untuk tidak menggunakan istilah yang betul. Ini kerana capaian kepada rujukan istilah boleh diperolehi dengan mudah apa lagi dengan kepelbagaian fungsi telefon pintar sedia ada. Ramai yang sudah boleh mencapai Internet sama ada menggunakan telefon pintar atau komputer. Keluasan capaian Internet juga sudah semakin baik di negara kita. Jadi, apabila berhadapan dengan situasi untuk memilih istilah yang tepat, kita dengan mudah boleh mencapai Portal PRPM bagi membuat rujukan. Alternatif lain sudah tentulah dengan merujuk kepada kamus dan glosari yang sepatutnya dijadikan rujukan dalam memilih istilah yang sesuai dan tepat.

Pastinya cabaran yang berat digalas oleh DBP dalam aspek pemantauan bahasa. Namun, sekiranya semua pihak boleh berganding bahu, pastinya tugas memastikan penggunaan istilah dan bahasa yang baik, betul dan tepat dapat direalisasikan. Jika ramai yang prihatin dengan penggunaan bahasa Inggeris yang tepat, saya berpandangan kita juga perlu prihatin dengan penggunaan bahasa Melayu yang bukan sahaja baik tetapi tepat. Perhatian yang lebih perlu diberikan kepada istilah sains dan teknologi dalam bahasa Melayu supaya tidak berlaku penggunaan istilah yang salah. Memang merugikan apabila niat kempen itu baik dan murni tetapi istilah yang digunakan tidak melambangkan mesej sebenar yang hendak disampaikan menerusi kempen tersebut.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
15 Februari 2012

14 Februari 2012

ISU KESIHATAN : CANTIK TAPI BAHAYA

Oleh RABIATUL ADAWIYAH KOH ABDULLAH


Implan adalah sebatian polimer berasaskan getah. Implan bertujuan untuk kosmetik atau pemulihan imej akibat kanser. Tidak hairanlah pembedahan implan menjadi trend di Barat untuk menonjolkan aset kecantikan badan seperti payu dara dan punggung. Di Amerika Syarikat, semakin ramai remaja dilaporkan mahukan implan payu dara sebagai hadiah hari jadi. Namun, tahukah anda tiga peratus wanita yang melakukan pembedahan implan silikon mengalami kebocoran implan dalam tempoh tiga tahun. Menurut Pakar Estetik dan Antipenuaan, Dr. Alice Prethima, kebanyakan pembedahan implan silikon menyebabkan payu dara berlekuk di bahagian atas, menghasilkan bentuk yang tidak asli. Lebih teruk lagi, ia berisiko tinggi mengakibatkan kontraksi kapsular, iaitu reaksi tidak normal tubuh terhadap benda asing. Ia juga menyebabkan implan pecah atau pemindahan implan yang perlu dilakukan berulang kali. "Saya paling risau apabila ada yang mengatakan mereka mendapatkan pembedahan implan silikon pada harga bawah RM300. "Ia tentunya satu pembedahan yang bakal memberi masalah kerana pembedahan kecantikan seperti ini lazimnya melibatkan kos yang tinggi, sekurang-kurangnya RM7,000," ujarnya.

Jangan ambil mudah

Justeru, Dr. Alice menasihatkan orang ramai supaya jangan ambil mudah apabila ia melibatkan anggota badan seperti payu dara. Menurut Alice, rawatan menambah baik payu dara antara yang paling tinggi permintaannya di Malaysia. Namun beliau memberitahu kebanyakan pesakit yang mendapatkan rawatan untuk mencantikkan payu dara khusus untuk membesarkannya ialah orang asing. "Orang Malaysia sangat penyabar. Mereka hanya datang untuk mendapatkan rawatan seperti ini apabila keadaan benar-benar serius. "Contohnya apabila payu dara mereka tidak menepati saiz tubuh seperti terlalu besar atau berat untuk tubuh yang kecil sehingga boleh menjejaskan kesihatan," ujarnya.

Dalam pada itu, Dr. Alice berpendapat, rawatan kecantikan sepatutnya memberi hasil yang hampir menyamai kecantikan semula jadi termasuk dalam pembedahan implan payu dara. "Ia bukan sekadar tentang membesarkan atau mengecilkan payu dara. Sebaliknya ia juga tentang memiliki payu dara yang lembut, penuh dan berbentuk semula jadi," jelasnya. Selain implan silikon, katanya, implan saline (menggunakan air atau larutan bergaram menggantikan silikon) turut digunakan. Tambah beliau, implan jenis ini turut memberi kesan buruk termasuk bunyi implan seperti air yang mungkin boleh didengar dan risiko pecah. Justeru, Dr. Alice memperkenalkan alternatif yang lebih sihat berbanding silikon iaitu suntikan hyaluron, sejenis polisakarida dan lemak yang wujud secara semula jadi di bawah permukaan kulit manusia. Namun, ia tidak boleh membesarkan payu dara dengan kadar segera seperti implan.

Situasi kronik

Dalam pada itu Perunding radiologi, Dr. Sulaiman Tamanang memberitahu, tiada kajian khusus yang mengatakan penggunaan secara terus terang bahawa implan penyebab kepada kanser payu dara. "Tetapi penggunaan implan boleh menyebabkan situasi kronik. Sekiranya ada kanser di dalam payu dara, sukar untuk dikesan kerana ia menutup gambaran imej payu dara semasa mamogram," ujarnya. Ujar beliau, implan berfungsi sebagai penggunaan kosmetik bagi mereka yang terpaksa membuat pembedahan payu dara termasuk akibat kanser. Beliau turut menasihati wanita yang menggunakan implan untuk pembesaran payu dara supaya mengetahui risiko yang bakal dihadapi. "Penggunaan implan untuk pembesaran payu dara tidak digalakkan kerana risiko untuk implan pecah adalah agak biasa. "Apabila ini terjadi pembedahan ulangan untuk kes seperti ini boleh menimbulkan lebih komplikasi dan keadaan payu dara adalah lebih buruk," ujarnya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012

ISU KESIHATAN : MANIS BERACUN

Susunan KHAIRUNNISA SULAIMAN


Rasanya tidak lengkap hidup tanpa kemanisan. Apa rasanya air kopi atau teh jika tidak ditambah gula? Sirap yang tawar atau sambal tumis yang hambar. Setiap hari kita pasti mengambil gula sama ada dalam makanan seperti kuih-muih, lauk-pauk dan teh tarik semasa sarapan atau sirap semasa makan tengahari. Tapi bolehkah kita hidup tanpa kristal putih yang membawa 'kemanisan' itu? Gula sebenarnya adalah kimia tulen. Dalam menjalani pemprosesan, semua nutrisi makanan semula jadi yang asalnya terkandung di dalam tumbuhan telah dikeluarkan. Gula yang ada di meja makan sekarang bukan lagi dalam bentuk jisim semula jadi kerana ia dikeluarkan melalui proses industri dengan melakukan penapisan sehingga menjadi sukrosa atau fruktosa tulen. Walaupun kebanyakan gula terhasil daripada pokok tebu atau ubi bit. Semasa proses industri semua vitamin, mineral, protein, enzim dan nutrien bermanfaat yang lain dikeluarkan daripadanya.

Justeru pengambilan gula yang berlebihan boleh mengurangkan tahap kesihatan dengan meningkatkan tekanan darah dan paras kolestrol. Itu belum lagi dikira penyakit kronik lain seperti risiko kegagalan hati, obesiti, sakit jantung dan diabetes. Gula dan pemanis sebenarnya amat toksik kepada badan manusia dan sepatutnya dikelaskan sebagai alkohol oleh kerajaan seluruh dunia. Komen ini diberikan sekumpulan penyelidik Universiti California, San Francisco, Amerika Syarikat (AS) bertajuk The Toxic Truth About Sugar dalam jurnal Nature bertarikh 2 Februari 2012. Kumpulan penyelidik yang diketuai oleh Profesor Dr. Robert Lustig juga pakar pediatrik yang terkenal kerana kuliahnya di YouTube menyarankan penguatkuasaan seperti cukai ke atas semua makanan dan minuman yang ditambah gula, melarang penjualan makanan bergula di dalam atau berhampiran sekolah dan letakkan had umur untuk membeli gula. Menurut beliau, gula membawa kepada perkembangan sindrom metabolik, obesiti, meningkatkan risiko tekanan darah tinggi, diabetes dan penyakit jantung.

Beliau menganggap fruktosa dan sukrosa menjadi penyebab masalah ini kerana ketoksikan meningkat jika dibandingkan dengan glukosa. Justeru dengan sejumlah kecil kalori dalam gula, kesan negatifnya amat jelas. Menurutnya, setelah gula memasuki aliran darah, kandungan gula dalam darah akan meningkat menyebabkan pankreas melepaskan insulin - yang diperlukan untuk mengubah gula menjadi tenaga. Apabila lebih banyak gula diambil bermakna lebih banyak insulin dilepaskan. Setelah paras insulin yang tinggi dilepaskan, kadar gula darah mulai berkurang dengan cepat sehingga menimbulkan pelbagai masalah tidak lama selepas mengambil makanan manis. Selain mengubah gula menjadi tenaga, insulin juga merangsang penyimpanan lemak. Akibatnya, besar kemungkinan anda akan mengalami kenaikan berat badan dengan pengeluaran insulin. Disebabkan bahaya gula, ada yang meletakkan keburukan gula setaraf dengan tembakau dan alkohol.

Misalnya di negara maju seperti AS, lebih dua pertiga daripada populasinya lebih berat badan dengan separuh daripadanya mengalami obesiti. Menurut Dr. Robert, kira-kira 80 peratus mereka yang obes mengalami diabetes atau keadaan metabolik tidak seimbang. Malah kira-kira 75 peratus dana penjagaan kesihatan dibelanjakan bagi diet berkaitan dengan obesiti. Di seluruh dunia, obesiti adalah masalah kesihatan paling umum dalam banyak negara dan berkaitan penyakit kronik dengan diet seperti sakit jantung, diabetes dan beberapa jenis kanser. Kebanyakan penyelidik melihat gula bukan hanya kalori kosong tetapi juga bahan kimia yang toksik jika diambil berlebihan. Dr. Robert membandingkan gula tambahan dengan tembakau dan gula yang toksik, membuatkan ketagih dan mempunyai kesan negatif kepada masyarakat. Tapi apa rasanya dunia tanpa gula? Tentu saja tawar dan hambar.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
12 FEBRUARI 2012

ISU UMUM : SUARA YANG MENGUBAH DUNIA

Oleh SHAZRYN MOHD. FAIZAL

Whitney Houston (kanan) bersama, Elizabeth Taylor (kiri), 
Liza Minnelli dan Michael Jackson dalam salah satu majlis pada tahun 1988.

Dilahirkan pada 9 Ogos 1963 di New Jersey, Amerika Syarikat (AS), permulaan kerjaya seni Whitney Houston adalah dengan menyanyi di gereja dan kelab-kelab kecil bersama ibunya, Cissy Houston. Houston boleh dikatakan agak bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga seni kerana sepupunya, Dionne Warwick juga merupakan seorang penyanyi terkenal. Di zaman remajanya, Houston juga pernah menjadi penyanyi pengiring bagi artis-artis popular antaranya Chaka Khan dan Jermaine Jackson. Bukan hanya berbakat besar dalam bidang nyanyian, Houston juga dikurniakan dengan wajah jelita yang jarang ada pada wanita kulit hitam yang lain. Tidak hairanlah atas faktor itu, Houston mendapat peluang menjadi gadis penghias kulit majalah dengan salah satunya adalah majalah Seventeen dan dianggap sebagai salah seorang wanita kulit hitam untuk mendapat penghargaan setinggi itu. Kehidupannya berubah pada tahun 1983 apabila mogul muzik, Clive Davis yang menjadi ketua syarikat rakaman, Artista Records di bawah syarikat BMG Music ketika itu hadir menonton persembahan Houston di salah sebuah kelab malam di New York, AS.

Terpukau dengan vokal Houston yang menakjubkan dan segar, Davis tidak menunggu lama untuk menjadikan Houston sebagai artis rakaman di bawah Arista. Pada tahun 1985, Houston muncul dengan album perdananya, Whitney Houston yang serta-merta mendapat sambutan luar biasa dan kritikan positif daripada pengkritik muzik malah membolehkannya meraih anugerah Grammy pertamanya bagi Vokal Pop Wanta Terbaik . Memuatkan lagu-lagu popular seperti How Will I Know, All At Once, Saving All My Love For You dan Greatest Love Of All, ia dengan pantas meletakkan nama Houston sebagai bintang baru yang wajar diberi perhatian ketika itu. Perlahan-lahan dia mendaki puncak populariti sehingga menjadi bintang pop pujaan ramai dek kemantapan dan kehebatan vokal yang sukar ditandingi. Sehinggakan Davis sendiri pernah memberitahu bahawa suara Houston telah mengubah dunia. Meneruskan legasinya, Houston muncul dengan dua album selepas itu, Whitney (1987) dan I'm Your Baby Tonight (1990) yang menampilkan banyak lagu-lagu popular serta hits di seluruh dunia. Antaranya I Wanna Dance with Somebody (Who Loves Me), Where Do Broken Hearts Go, So Emotional, Didn't We Almost Have It All, I'm Your Baby Tonight, All The Man That I Need dan Miracle telah meletakkan nama Houston di mercu kejayaan.

Menyedari popularitinya yang luar biasa itu, Houston mengorak langkah sebagai seorang pelakon dengan membintangi filem semi muzikal, The Bodyguard bersama Kevin Costner pada tahun 1992. Impak yang terhasil daripada filem itu cukup besar apabila album runut bunyinya menjadi fenomena di seluruh dunia. Semuanya gara-gara lagu I Will Always Love You yang menjadi lagu tema filem tersebut. Rata-rata pengkritik dan pencinta muzik dunia bersetuju bahawa nyanyian dan penyampaian Houston dalam lagu itu cukup memukau dan luar biasa sekali. Penangan populariti lagu itu juga telah menjadikan album runut bunyi The Bodyguard sebagai album runut bunyi terlaris sepanjang zaman dengan penjualan sebanyak 17 juta unit di AS dan 44 juta salinan di seluruh dunia. Malah album itu juga telah memenangi tiga anugerah Grammy termasuk Album Terbaik serta Rakaman Terbaik dan Persembahan Vokal Pop Terbaik untuk Houston bagi lagu I Will Always Love You. Ekoran daripada kejayaan lagu itu juga, kontroversi mula tercetus apabila Houston telah mengeluarkan kenyataan yang telah menyinggung perasaan komposer dan penyanyi asal lagu itu, Dolly Parton.

Houston dikatakan telah membuat kenyataan yang menyatakan dia menyanyikan lagu itu jauh lebih baik daripada Parton di mana kebenaran itu memang jelas terbukti. Namun Houston menafikan perkara itu dengan memuji Parton sambil menyatakan lagu itu telah ditulis begitu indah oleh Parton. Begitu juga Parton yang berterima kasih kepada Houston yang telah memperkenalkan lagu itu kepada masyarakat dengan lebih meluas selain dapat meningkatkan royaltinya. Selepas itu, Houston telah membintangi dua buah filem lagi iaitu Waiting To Exhale (1995) dan The Preacher's Wife (1996) dengan album runut bunyinya juga sukses biarpun tidak sehebat The Bodyguard. Pada ketika dia berada di kemuncak kegemilangan itulah juga Houston mula terlibat dengan dadah dan alkohol. Dua kali memasuki pusat pemulihan, Houston membuat pengakuan terbuka kepada Oprah Winfrey mengenai keadaan dirinya yang sudah bebas pengaruh tersebut pada 2010.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
14 FEBRUARI 2012

13 Februari 2012

ISU UMUM : "3.7 JUTA YANG MENAKUTKAN"

Oleh ZULKIFLI JALIL


Pihak yang bertanggungjawab tidak boleh lagi mengharapkan parti-parti politik, agensi kerajaan atau Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mendaftarkan pengundi baru. Ini apa lagi untuk memujuk kalangan orang Melayu mendaftar diri. Bukan niat untuk memperkecil atau memperlekehkan komitmen parti, agensi atau suruhanjaya berkenaan, tetapi kalau dilihat daripada 3.7 juta orang yang layak mendaftar namun tidak berbuat demikian, kita semua maklum majoriti hampir 2 juta ialah orang Melayu. Untuk orang Melayu, pihak yang akan pergi kepada mereka dalam memujuk termasuk merayu supaya mendaftar tidak lagi boleh bersandarkan kaedah lama - 'anda kena mengundi untuk negara atau di manalah tanggungjawab anda'. Tidak, tidak lagi pendekatan cara itu. Sebaliknya, mereka kenalah menerjah kedai-kedai kopi, restoran, khutbah-khutbah Jumaat dengan menggunakan saluran-saluran NGO, Jawatankuasa Kawalan dan Keselamatan Kampung atau apa sahajalah cara yang melibatkan sentuhan dari hati ke hati untuk menggesa mereka mendaftar. Sebab - realitinya politik masa depan Malaysia banyak bergantung kepada orang Melayu, lantaran bilangan mereka sudah melebihi 54 peratus.

Namun malang sekali, sikap sebilangan besar orang Melayu dikesan tidak ambil peduli tentang kepentingan mendaftar sebagai pengundi apabila mencapai usia 21 tahun atau lebih. Padahal mendaftar sebagai pengundi hanya mengambil masa kurang dari 15 minit. Apatah lagi kali ini meskipun bilangan orang Melayu sudah melebihi 54 peratus tadi namun kaum itu berpecah pula kepada UMNO, Pas dan PKR. Dalam aluran ini, Melayu kena wajib berfikir secara tuntas kalau terus mahu mengepalai kepimpinan kerajaan di negara ini. Antara yang turut risau dengan sikap longlai lesu orang Melayu bila tiba 'bab mendaftar ini' ialah Mohd. Jurit Ramli yang mengetuai Gabungan NGO Malaysia (GNM) selaku setiausahanya. Beliau mengirimkan coretan menerusi SMS kepada penulis, yang katanya perlu direnung-renungkan oleh orang Melayu. "Orang Melayu Islam yang tidak mengundi menanggung dosa dan perlu bertanggungjawab atas sebarang kehilangan kuasa orang Melayu dan sebarang penghinaan terhadap Islam apabila orang Melayu kehilangan kuasa politik.

"Ini disebabkan 3 juta orang Melayu yang belum berdaftar, maka seluruh orang Melayu harus bertanggungjawab memberi penjelasan kepada setiap orang Melayu yang tidak mengundi. Rayu dan jelaskanlah kepada mereka," kata Mohd. Jurit yang juga bekas anggota MALBATT yang pernah bertugas di Bosnia Herzegovina dalam kancah perang Balkan pada era 1990-an. Hakikatnya, kalau diimbas balik kenyataan Pengerusi SPR tempoh hari tentang pendedahannya bahawa sebahagian besar orang Melayu yang layak tetapi enggan mendaftar - memang menakutkan. Alasan terlalu sibuk dengan urusan harian sehingga tiada masa untuk mendaftar dan lebih teruk dan dangkal lagi 'tidak ada perubahan besar akan berlaku dengan hanya satu undi' memang agak sukar untuk diterima rasionalnya. Jika secara sinis dan kritis, kita boleh sebutkan di sini kepada orang Melayu tentang real politik dan keadaan politik semasa negara yang memang menyaksikan orang Melayu semacam cemas, bimbang dan keliru dengan politik semasa. Kerana itu, orang Melayu harus insaf, sedar tentang masa depan yang tidak menentu dan di kala pecahan parti-parti Melayu ketika ini yang dibimbangi akhirnya akan gagal mempertahankan hak dan keistimewaan Melayu dan agama.

Dan walaupun politik di negara ini sedang merangka pembaharuan atau transformasi, namun kematangan politik dilihat masih pada tahap yang rendah. Dengan jelas lagi - ia masih lagi berada dalam kerangka politik perkauman. Apabila melihat perkembangan parti tertentu mengatur sokongan kaum Cina termasuk dikatakan berlaku 'penghijrahan atau sebenarnya pemindahan besar-besaran pengundi ke Selangor', maka jelaslah 'mereka' masih berpaksikan kepada politik perkauman yang dimanipulasikan sebagai demokrasi total. Sedangkan BN atau UMNO dikatakan masih terikat kepada perjuangan realiti untuk mengubah negara dengan kemajuan yang lebih pesat. "Sehingga hari ini, dominan Cina dalam politik semakin terserlah. Kehadiran parti berkenaan dikatakan sudah diterima dan mereka telah dikatakan sebagai pejuang kaum yang lebih signifikan daripada parti-parti komponen dalam BN sendiri," kata seorang pemerhati kepada penulis. Kata pemerhati itu lagi: "Banyak petunjuk telah ada. Memberi mereka apa yang mereka mahu tidak menjamin sokongan. Dan toleransi Melayu dilihat pula masih di tahap tertinggi dan sanggup sekali lagi akur kepada kehendak.

"Dengan parti terbabit yang semakin jelas membawa sentimen perkauman dan mendapat sokongan kaum Cina, maka BN perlu segera mencari formula bagi mengaut kembali sokongan khususnya orang Melayu bagi mengimbangi sokongan menyeluruh kaum Cina terhadap parti berkenaan." Realitinya, orang Melayu masih belum terlambat untuk mendaftar diri sebagai pengundi. Tetapi anda kenalah 'bergerak terus ke pejabat pos' mulai pagi ini. Berdasarkan rekod terkini SPR, dianggarkan kira-kira 300,000 berdaftar sebagai pengundi baru termasuk menukar alamat bermastautin dalam setiap suku tahun. Namun itu bukan bermakna apabila mereka berdaftar, terus serentak atau sekali gus disahkan untuk menjadi pengundi pada PRU13. Dan katakanlah Parlimen dibubarkan sekitar bulan depan atau April ini untuk memberi laluan kepada PRU-13, maka mereka yang mendaftar dalam suku keempat 2011 akan menjadi pengundi yang paling bernasib baik untuk menentukan pucuk kepimpinan negara masa depan. Tetapi bagi 300,000 orang yang baru berbuat demikian pada Januari, bulan ini dan Mac depan, 'alamatnya wasalamlah'.

Sebabnya, apabila habis pendaftaran dalam tiga bulan ini, nama mereka hanya boleh dipamerkan pada Mei dan pada hujung bulan itu sahaja, senarai nama berkenaan akan disahkan sebagai pemilih berdaftar. Itupun kalau bernasib baik jika nama tidak ada dalam proses bantahan. Dalam erti kata lain, mereka yang baru mendaftar dalam bulan ini (Januari), memerlukan sekurang-kurangnya lima bulan setengah, yakni pada Jun nanti untuk disahkan sebagai pengundi. Jadi, janganlah kata tidak ada makluman mengenai perkara ini atau sememangnya sengaja tidak mahu cari maklumat. Kalau tiba-tiba Parlimen dibubarkan, jangan nak membising pula. Realitinya juga, lagi dekat 'tarikh' PRU13, akan lagi banyak proses bantahan terhadap daftar pemilih. Meskipun tarikhnya itu masih belum pasti, namun daftar pemilih mutakhir suku keempat 2011 dan daftar pemilih suku pertama 2012 kini menjadi tumpuan parti-parti politik dan orang ramai di seluruh negara. Ingatan mengenai peri pentingnya mendaftar sebagai mengundi oleh setiap warganegara telah diperingkatkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kata beliau, kegagalan rakyat Malaysia mendaftar sebagai pengundi secara langsung telah menafikan hak mereka untuk terlibat dalam proses demokrasi negara. Perkara itu tidak seharusnya berlaku kerana hak mengundi adalah satu keistimewaan yang diberikan oleh Perlembagaan negara dan semua rakyat wajar menggunakan hak tersebut dengan sebaik-baiknya. Ini penting supaya golongan terbabit tidak ketinggalan untuk turut sama mencorak kerajaan serta menentukan parti yang bakal memerintah pada pilihan raya umum akan datang. Mohd. Jurit semalam menutup SMSnya dengan kata-kata: "Wahai ketua keluarga, ibu bapa, ketua kampung, ketua jabatan, polis dan tentera, kedai kopi, surau, masjid dan khutbah. "Ini (mendaftar sebagai pengundi) tuntutan amanah. Janganlah diharapkan apa-apa bayaran tetapi haraplah ganjaran pahala di atas usaha ini. Berjihad ke jalan Allah."

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : BERDAKWAH MELALUI FILEM

Oleh MANSOR PUTEH


Ia bukan sebuah pesta filem antarabangsa yang sebarangan. Tidak mengikut corak yang diguna oleh penganjur pesta filem antarabangsa lain. Ia adalah pesta filem yang paling besar dan berprestij di seluruh dunia Islam. Malangnya, Pesta Filem Antarabangsa Fajr yang sudah menjangkau 30 tahun Februari lalu seperti tidak menghargai penerbitan filem-filem tempatan, iaitu dari Malaysia. Kurang sangat filem Melayu yang dijemput menyertainya walaupun bukan untuk pertandingan tetapi tayangan biasa. Tahun ini cuma sebuah dokumentari saya sahaja yang dijemput, sedangkan pada tahun sebelum ini boleh dikira filem yang diterima. Masalahnya, kebanyakan filem Melayu yang diterbit sejak kebangkitan pertumbuhan perusahaan industri filem Melayu atau Malaysia tidak menepati hukum syarak. Di Iran penerbitan filem tidak terlepas dari hukum ini; dan ia bukan seperti di negara yang mengaku Islam lain yang mengendahkannya. Mereka anggap filem adalah filem. Di Iran filem bukan filem kalau ia tidak ada unsur dakwah atau pengajaran bukan sahaja dari segi agama tetapi dari segi akhlak dan keperibadian.

Malangnya, atau yang sedihnya, inilah yang membuat banyak filem dari Iran diterima oleh pesta filem antarabangsa di Barat. Sedangkan filem-filem dari negara Islam lain yang tidak mempamerkan nilai ini tidak dianggap penting. Kebetulan pula semasa di Tehran dari Januari dan Februari lalu tersiar berita sebuah filem Iran berjudul, 'A Separation' mendapat pencalonan filem asing terbaik oleh Anugerah Akademi yang memberi Oskar. Ia mungkin filem Iran pertama yang mendapat pengiktirafan ini setelah beberapa buah filemnya yang lain kecundang. Tetapi tidak menghairankan pula ada anggapan maupun tohmahan yang mengecam filem ini yang dikatakan tidak mengangkat nilai Islam yang baik; maka itu ia disenangi pula oleh pihak Anugerah Akademi di Los Angeles . Tidak menghairankan pula filem ini tidak dipilih oleh pesta filem Cannes tetapi Berlin yang memberinya anugerah filem terbaik. Jadi apa yang baik di Cannes atau mana-mana pesta filem antarabangsa itu, tidak semestinya baik untuk pesta filem lain yang bersaing, yang sengaja atau dengan tidak sengaja tidak mahu beri pengiktirafan kepada filem yang diberi anugerah oleh pesta filem pesaing untuk menyatakan sesuatu.

Sebagai peserta dan pelawat ke pesta filem Fajr saya sempat bergaul dengan ramai pengarah filem, pengkritik dan pengarah filem dari banyak negara yang mengambil bahagian dalam pesta filem Fajr ini. Ia dibahagikan kepada filem asing yang mana malam anugerahnya berlangsung pada 6 Februari dan bahagian tempatan untuk filem Iran sahaja pada 11 Februari lalu. Pemenang filem tempatan diberi trofi dan sijil dan setiap mereka juga menerima sebuah kereta tempatan berjenama Saba yang diletak sederet di luar Dewan Vahdat. Sudah 30 kali pesta filem Fajr dilangsungkan dan setiap tahun mereka mendapat ratusan filem yang dihantar seluruh dunia. Tahun ini sahaja mereka terima 553 filem yang mana cuma 60 buah filem, termasuk satu sahaja dari Malaysia . Acara sampingan diadakan adalah tayangan. Dan peserta yang dijemput menonton enam buah filem setiap hari yang ditayang di dewan di Menara Milad yang terletak satu jam dari Hotel Parsian Azadi di mana tetamu diletakkan sepanjang pesta filem itu.

Tidak tahu pula bila filem dari Malaysia disenangi oleh penganjur pesta filem Fajr, sama ada yang akhirnya mendapat pengiktirafan darinya sebelum ada pengarah mahu berangan-angan membawa balik Oscar yang kini merupakan angan-angan Mat Jenin bagi hampir semua pengarah filem tempatan. Tetapi tidak mengapa, sehingga ini berlaku, sekurang-kurangnya pihak penganjur secara tidak langsung memberi penghargaan dengan menjemput seorang dari Malaysia untuk menjadi ahli juri bagi bahagian filem-filem negara Islam, iaitu Dato Mahyiddin Mustakim, bekas Ketua Pengarah Finas. Beliau beserta dengan pelakon terkenal dari Indonesia, Christine Hakim yang pernah menjadi juri di beberapa pesta filem di Eropah. Terdapat juga wakil dari Pejabat Presiden Republik Timor-Leste, iaitu Jose Turquel yang menyertai pesta filem Fajr ini untuk mencari pandangan dan idea sebab negara beliau dijangka akan menganjur sebuah pesta filem pertama mereka lewat Ogos depan.

Sebenarnya Pesta Filem Fajr bukan sebuah pesta filem kecil; mereka menjemput ratusan peserta dari banyak negara seluruh dunia dan filem yang dipilih juga sering dijemput ke pesta filem lain. Cuma yang berbezanya pesta filem ini dengan yang lain adalah ia tidak disaluti dengan glamor. Pelakon dan pengarah tidak berlagak. Mereka tidak berpakaian yang menjolok mata dan penuh bergaya. Pelakon bergaul dengan khalayak sama seperti biasa. Dan tidak pula ada liputan meluas sebelum, semasa atau selepas pesta filem ini.Ini disebabkan pembuat filem di Iran sibuk; mereka tidak ada masa untuk dibuang begitu sahaja. Adakah apa yang dapat pengarah filem dari Malaysia belajar dari pengarah filem di Iran? Tentu sekali. Malangnya, suatu usaha tidak pernah dilakukan untuk merapatkan perhubungan dan menjalinkan kerjasama di antara pengarah filem kedua buah negara. Pernah pengarah terkenal mereka Majid Majidi dan pelakon terkenal mereka, Fatemah Mohammed-Aria berkunjung ke Finas. Malangnya, kehadiran mereka tidak disambut dengan mesra oleh penggiat filem di Malaysia; jadi kunjungan adalah cuma lawatan biasa. Kebetulan pula beberapa bulan lalu, pelakon Fatemah mendapat penghargaan khas dari pesta filem Austria . Dan tidak tahu berapa ramai pengarah dan pelakon filem dari Iran yang mendapat penghargaan dari seluruh dunia. Untuk mengetahuinya, kita perlu membuat lawatan ke Museum of Cinema di mana semua trofi yang dimenangi oleh penggiat mereka disimpan untuk tatapan khalayak ramai.

Ramai beranggapan bahawa dasar politik Barat tidak selari dengan dasar dipegang oleh masyarakat awam di Barat juga yang tidak menaruh sebarang kesangsian terhadap Iran mahupun rakyat dan agama Islam. Yang menjadi mainan politik antarabangsa tidak lain dari pengaruh lobi Zionis di Amerika. Kalau tidak kenapa filem dari Iran masih boleh mendapat pencalonan Oscar untuk filem asing terbaik dalam keadaan dimana Amerika dan kuncu-kuncunya mahu mempersenda negara Iran dengan mengugut untuk menyerangnya? Tentu sekali ada peranan sinema Iran yang telah memainkan tempat yang berkesan untuk membuat pihak masyarakat awam di barat tidak berfikir seperti pemimpin politik mereka yang telah berjaya merubah pandangan mereka terhadap Iran dan juga Islam. Malangnya, usaha atau tanggungjawab ini hanya dibebankan kepada sebuah negara Islam iaitu Iran, sedangkan negara Islam lain hanya berpeluk tubuh tidak tahu guna 'senjata' filem ini untuk berdakwah dan merubah pandangan mereka di Barat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 FEBRUARI 2012

ISU SOSIAL : HARI KEKASIH MENGUNDANG DOSA

Oleh MOHD. RADZI MOHD. ZIN


Entah di mana silapnya, masih ada remaja Islam yang menunggu-nunggu kedatangan 14 Februari setiap tahun untuk meraikan Hari Kekasih atau Valentine's Day. Walhal sudah terang lagi bersuluh bahawa perayaan sedemikian haram disambut oleh umat Islam. Majoriti tokoh agama menyatakan bahawa menyambut atau meraikan Hari Kekasih adalah bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Akidah dan Panel Kajian Syariah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam. Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan amalan merayakan Hari Kekasih tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.

Malangnya, tahap iman yang nipis di kalangan remaja Islam menyebabkan mereka terpedaya dan termakan hasutan syaitan sehinggakan amat gembira menyambut Hari Kekasih. Dalam bab meniru perbuatan kaum terutama yang bukan Islam, ingatlah sabda Nabi SAW yang bermaksud: "Barang siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia adalah dari kalangan mereka". (riwayat Abu Daud) Ringkas cerita, golongan begini masih tidak yakin akan janji Allah tentang seksaan api neraka bagi golongan yang membantah dan mengingkari perintah Allah. Islam memang menggalakkan umatnya berkasih sayang. Namun, Islam menyediakan garis panduan dalam berbuat demikian. Yang jelas, sambutan Hari Kekasih tidak termasuk dalam senarai tersebut. Dengan yang demikian, orang mukmin akan berusaha agar tidak terperangkap atau terpedaya dengan sebarang tipu muslihat ke arah itu.

Kasih sayang yang diajar oleh Islam itu sifatnya suci. Ia membawa umatnya kepada lebih mendekatkan diri kepada Allah. Bukannya mendorong kepada perbuatan maksiat atas nama cinta. Kalau diperincikan, sambutan Hari Kekasih mendorong kepada hal yang berikut iaitu memandang wanita yang tidak halal baginya. Apabila memandang timbul keinginan syahwat untuk menyentuh wanita yang bukan mahram, berkhalwat dan berpacaran (couple). Adegan-adegan ini kemudiannya 'dihangatkan' lagi oleh syaitan sehingga berakhir dengan perbuatan zina. Kononnya sebagai membuktikan rasa kasih sayang antara pasangan tersebut. Nabi SAW bersabda yang maksudnya: Janganlah seorang lelaki berkhalwat dengan seorang wanita kecuali dia disertai mahramnya, kerana yang ketiga di antara keduanya adalah syaitan. (riwayat Muslim) Menzahirkan kasih sayang kepada kekasih perlu ada batasan selaras dengan fitrah manusia. Kasih sayang di antara lelaki dan perempuan tidak boleh hanya dengan janji manis di bibir.

Sebaliknya, ia perlu diikat dengan ikatan akad yang mampu menyimpul ikatan kukuh bagi menjamin zuriat, akhlak dan peribadi. Ikatan itu dinamakan sebagai perkahwinan. Lelaki yang bergelar suami apabila kasihkan isteri dan anak-anaknya sanggup melakukan pelbagai cara untuk menyelamatkan mereka daripada kesulitan dan kepayahan hidup. Inilah perintah Allah dalam firman-Nya yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman! Selamatkan diri kamu dan anggota keluarga kamu daripada api neraka. (at-Tahrim: 6) Malangnya, tidak ramai suami dan juga bapa yang mampu melakukan hal yang serupa untuk menyelamatkan ahli keluarganya daripada azab api neraka yang pasti menimpa golongan yang mengingkari perintah Allah. Mereka gagal melihat kaitan antara perbuatan di dunia dengan balasan di akhirat. Ini antara lain akibat tidak yakin dengan azab neraka Allah.

Ibu bapa yang reda membenarkan anak-anak tidak kira lelaki atau perempuan berdua-duaan menyambut Hari Kekasih secara tidak langsung tidak sayang kepada anak-anak. Bagi anak-anak yang barangkali 'rimas' dengan leteran ibu bapa kerana menghalang mereka menyambut Hari Kekasih, ingatlah hidup di dunia ini hanya sementara sedangkan kehidupan di akhirat itu adalah abadi. Apa yang kita lakukan sama hayat ini adalah pelaburan yang akan kita nikmati dividennya di akhirat. Justeru, jangan disia-siakan umur yang Allah kurniakan kepada kita. Jangan kerana keseronokan selama satu dua jam bersama pasangan kekasih menyebabkan kita diseksa dan diazab selama beratus-ratus tahun lamanya dalam neraka Allah kelak. Lebih teruk lagi, jika membawa kepada zina, bayangkan nasib malang yang bakal menimpa diri dan anak tersebut.

Sudahlah 'ibu bapa' anak zina itu tidak sah nasabnya - bermakna status anak itu dengan 'ibu bapa' tadi adalah seperti orang biasa. Mereka bukan mahram, 'bapanya' tidak boleh mewalikan anak perempuannya, tidak boleh mewarisi harta dan akan menghadapi tekanan emosi yang amat hebat untuk berdepan dengan masyarakat kelak. Untuk itu, marilah kita bersama-sama berusaha membanteras budaya yang bertentangan dengan ajaran Islam. Ia supaya umat Islam dan generasi muda kita khususnya tidak membesar dengan amalan-amalan yang sengaja diada-adakan oleh musuh-musuh Islam. Sebagai ibu bapa, inilah antara masa dan peluang bagi kita menyelamatkan anak-anak daripada terus dihanyutkan oleh kehidupan yang melalaikan. Ingatlah, hanya anak-anak yang soleh akan mendoakan kita selepas kematian kita kelak.

Sila berikan komen anda. Terima kasih

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
13 FEBRUARI 2012