JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



18 Februari 2012

ISU UMUM : SIKAP PENENTU KESERONOKAN BEKERJA ?

PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Benarkah kunci kecemerlangan dalam organisasi itu adalah keseronokan bekerja? Ini mungkin ada kebenarannya apabila gambaran keseronokan bekerja terhasil daripada sikap yang ditunjukkan oleh para pekerjanya dalam bentuk keceriaan, ketenangan, kegembiraan dan keselesaan apabila melaksanakan tugas seharian sehingga memberi kesan kepada kerja yang berkualiti, peningkatan produktiviti dan mutu perkhidmatan yang memuaskan. Sudah tentu keseronokan bekerja yang dicapai inilah akan menjadi nadi serta tonggak kepada kecemerlangan organisasi. Slogan 'pekerja gembira adalah pekerja yang produktif' seringkali dikaitkan dengan situasi di mana pekerja yang menyukai atau berasa seronok dalam kerjayanya. Suasana kerja yang didukung oleh sikap dan nilai keseronokan bekerja mampu mewujudkan amalan positif yang menjadikan kerja yang dibuat itu sebagai ibadat, komitmen yang tinggi di kalangan pekerja, dapat menyuntik semangat seharian bekerja serta sedia bekerjasama antara majikan dan pekerja.

Hubungan baik ini juga mampu menyelesaikan kerja secara bermuafakat dan bekerjasama. Pepatah Melayu menyebut, 'Bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat'. Pun begitu, dalam keseronokan bekerja jangan kita lupa nasihat-menasihati rakan sejawat dan budaya tegur-menegur (budaya menyeru ke arah kebaikan dan mencegah kemungkaran) lakukannya secara berhikmah supaya rakan sejawatan dapat menerima teguran dengan baik. Apabila para pekerja berjaya mewujudkan suasana yang seimbang, dalam kehidupan di tempat kerja secara tidak langsung ia akan memberi kesan baik juga kepada kesihatan mental dan fizikal, pekerja tidak akan berasa tertekan apatah lagi dalam memenuhi tuntutan hidup yang semakin mencabar. Walau bagaimanapun, di sebalik keseronokan bekerja ini ada pekerja yang tidak selama-lamanya berada dalam keadaan seronok dalam pekerjaan. Ini kerana sudah menjadi satu trend perilaku manusia tidak lekang mengalami pelbagai perasaan seperti malas, jemu, segan, bosan dan sebagainya terhadap kerja mereka.

Jika ditanya berkaitan dengan diri pekerja terhadap kerja yang dilakukan, tentu sekali ada yang menyatakan bahawa mereka sangat meminati kerja yang dilakukan. Tidak kurang juga ada yang menganggap kerja itu satu bebanan dan membosankan. Malah ada berfikir untuk mendapat pekerjaan yang baharu. Kesemua perkara ini adalah berkaitan dengan sikap terhadap kerja. Barangkali perasaan ini dialami ekoran sikap terhadap pelbagai faktor dalaman dan luaran atau persekitaran organisasi. Bagi sesetengah pekerja yang telah menghabiskan setengah usianya dalam organisasi sering dapat kita lihat tiga situasi yang berbeza. Yang pertama, apabila pekerja itu dapat menunjukkan prestasi yang tinggi dan nilai komitmen yang cemerlang dalam organisasi manakala kategori pekerja yang berikutnya ialah pekerja yang semakin menurun prestasi serta nilai komitmennya, manakala satu lagi kategori, pekerja yang masih berada pada tahap sama sejak awal penglibatan sebagai pekerja.

Persoalannya mengapa keadaan ini berlaku? Barangkali sikap negatif terhadap kerja ini berpunca dari sikap pekerja itu sendiri terhadap majikan atau sikap pekerja sesama rakan sejawatan atau pendirian mereka terhadap gaji dan imbuhan yang diberi tidak setimpal dengan kerja yang diusahakan, kebajikan terabai, penghargaan yang tidak diiktiraf atau kemungkinan skim persaraan yang tidak menarik dan macam-macam lagi. Lazimnya, sikap itu berkaitan dengan komponen penilaian yang boleh menggambarkan sejauh mana perasaan pekerja terhadap kerjayanya. Hasil sikap negatif ini maka akan lahirlah pekerja yang bersikap menentang dan mula berasa tidak lagi seronok untuk bertugas. Dan di sinilah menunjukkan perkaitan yang jelas tentang sikap dan perilaku. Apabila ini berlaku maka kita akan dapat melihat kesan kepada penghasilan kerja yang kadang-kalanya sekadar melepaskan batuk di tangga.

Walau bagaimanapun, ini tidaklah bermaksud bahawa sikap terhadap kerja adalah merupakan satu-satunya punca yang menentukan nilai keseronokan bekerja. Barangkali ada yang tidak seronok bekerja antara lain kerana faktor kesesakan; perjalanan yang terlalu panjang untuk sampai ke tempat kerja, arahan kerja tidak jelas dan di luar kemampuan, masalah kesihatan, masalah dengan rakan sejawat dan majikan, tiada jaminan kerja, dan sebagainya. Begitu juga, kesan persekitaran kerja turut mengundang persepsi terhadap keseronokan di tempat kerja. Apabila persekitaran di tempat kerja tidak kondusif, sesak, gelap, dan kualiti peredaran udara tidak baik ia menjejaskan prestasi dan produktiviti pekerja. Malah menurut satu kajian, terdapat perkaitan antara keseronokan dan kepuasan terhadap persekitaran mampu mempengaruhi perilaku pekerja dalam organisasi dalam mewujudkan kesan terhadap hubungan sosial dan kerjasama. Justeru, bagi mewujudkan keseronokan bekerja kita sebagai pekerja Muslim cubalah mulakan dengan memupuk nilai dan sikap keseronokan bekerja dalam diri kita terlebih dahulu.

Kesimpulannya, memang benar sikap, tindakan dan amalan kita menjadi penentu kepada keseronokan bekerja di samping beberapa faktor persekitaran lain yang turut menyumbang kepada kecemerlangan organisasi serta mampu meletakkan pekerja maju dalam pelbagai bidang diceburinya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
18 Februari 2012

Tiada ulasan: