10 September 2011

ISU EKONOMI : SYARIKAT TELEKOMUNIKASI TIADA SEBAB KENAKAN CUKAI PERKHIDMATAN PRABAYAR


Pada 9 September 2011 pengguna telefon bimbit prabayar dikejutkan dengan pengumuman bersama syarikat telekomunikasi bahawa mereka akan mengenakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus bagi pembelian pek atau kad SIM prabayar, berkuat kuasa 15 September ini. Banyak pihak, termasuk persatuan pengguna membantah langkah ini dan menyifatkannya sebagai tidak masuk akal, terutama ketika syarikat terbabit turut mengumumkan keuntungan berlipat ganda bagi tempoh enam bulan berakhir 30 Jun lalu. Pendapatan sebuah syarikat telekomunikasi itu juga meningkat 1.5 peratus dalam tempoh berkenaan dengan mencatatkan 3.2 juta pelanggan pascabayar dan 9.5 juta prabayar. Selain itu syarikat berkenaan terus mencatat pertumbuhan kukuh bagi segmen bukan suara dengan mencatat pertumbuhan 20 peratus didorong perkhidmatan internet dan data. Prestasi syarikat telekomunikasi terbabit adalah bukti bahawa ia tidak mempunyai sebarang alasan atau sebab munasabah untuk mengenakan cukai perkhidmatan, sekali gus membebankan pengguna yang memberi sokongan kepada kemajuan syarikat. Kesan caj tambahan itu sudah tentunya lebih membebankan jika dalam satu keluarga ada tiga hingga lima orang menggunakan perkhidmatan prabayar.

Sepatutnya keuntungan yang diperoleh hasil penggunaan telefon mudah alih oleh 15 juta rakyat tempatan dan empat juta rakyat asing itu dikembalikan kepada pengguna dalam bentuk pemotongan caj panggilan, khidmat pesanan ringkas (SMS) percuma, data internet dan sebagainya. Dalam keadaan mana pengguna terpaksa menanggung pelbagai kenaikan kos, termasuk barangan keperluan harian, adalah tidak adil sekiranya mereka turut dibebankan pula dengan caj perkhidmatan bagi setiap pek atau kad SIM prabayar. Justeru, syarikat terbabit tidak harus mengambil kesempatan daripada peningkatan jumlah pengguna telefon semata-mata untuk mengaut keuntungan berlebihan. Sebaliknya dengan keuntungan berlipat ganda dan jumlah pelanggan yang semakin meningkat, kos panggilan prabayar mahupun talian tetap hendaklah dikongsi secara bersama dengan pelanggan, agar perkhidmatan mereka menjadi lebih kompetitif berbanding saingan mereka. Menyedari betapa pentingnya alat telekomunikasi pada zaman ini, adalah diharapkan kerajaan akan melakukan sesuatu agar rakyat tidak sentiasa terpaksa menanggung kos kehidupan tinggi, akibat kenaikan harga sesuatu perkhidmatan atau barangan.

SUMBER
BERITA HARIAN
10 SEPTEMBER 2011

ISU ANTARABANGSA : MASYARAKAT DUNIA TOLAK KEGANASAN

Oleh Barack Obama
Penulis ialah Presiden Amerika Syarikat


Pada Ulang Tahun Ke-10 serangan pengganas 11 September 2001, kita memperingati 11 September (9/11) bukan saja sebagai satu serangan ke atas Amerika Syarikat tetapi juga ke atas dunia dan kemanusiaan serta harapan yang kita kongsi bersama. Kita memperingati hampir 3,000 orang tidak bersalah yang kehilangan nyawa pada hari itu di kalangan ratusan rakyat daripada lebih 90 negara lelaki dan wanita, tua dan muda daripada pelbagai kaum dan agama. Pada ulang tahun hiba ini, kami bersama-sama dengan keluarga dan negara mereka memberi penghormatan memperingati mereka. Kita memperingati dengan penuh penghargaan bagaimana 10 tahun yang lalu dunia bergabung sebagai satu. Bagaimana bandar di seluruh dunia berhenti seketika untuk bertafakur, orang ramai berdoa di gereja, masjid, saumaah dan tempat ibadat lain. Kami di Amerika Syarikat tidak akan lupa bagaimana setiap orang di seluruh dunia berdiri bersama kami dan bersatu memegang lilin yang menyala dan memberikan kalungan bunga yang diletakkan di kedutaan kami. Kami memperingati pada minggu-minggu selepas 9/11, kita bertindak sebagai satu masyarakat antarabangsa.

Sebagai sebahagian daripada gabungan meluas negara, kita mengusir keluar al-Qaeda daripada kem latihan di Afghanistan, menggulingkan Taliban dan memberikan rakyat Afghanistan peluang untuk hidup bebas daripada keganasan. Bagaimanapun, tahun yang berikutnya adalah sukar dan semangat perkongsian global yang kita rasakan selepas 9/11 berada dalam keadaan rapuh. Sebagai Presiden, saya sudah berusaha untuk memperbaharui kerjasama global yang kita perlu untuk menangani pelbagai cabaran yang kita hadapi. Melalui era pembabitan baru, kita sudah menjalin kerjasama dengan negara dan rakyat berdasarkan kepentingan bersama dan sikap saling hormat menghormati. Sebagai masyarakat antarabangsa, kita sudah menunjukkan bahawa pengganas tidak dapat melawan kekuatan dan daya tahan rakyat kita. Saya sudah menjelaskan bahawa Amerika Syarikat bukan dan tidak akan berperang dengan Islam, sebaliknya, dengan sekutu dan rakan-rakan kita bersatu menentang al-Qaeda, yang telah menyerang berpuluh-puluh negara dan membunuh berpuluh-puluh ribu orang yang tidak berdosa, wanita dan kanak-kanak yang majoriti mereka ialah orang Islam. Minggu ini, kita memperingati semua mangsa al-Qaeda dan keberanian dan daya tahan yang ditunjukkan oleh keluarga mereka dan orang ramai dari Asia Barat hingga Eropah, dari Afrika hingga Asia.

Dengan bekerja bersama-sama, kita telah mengekang komplot al-Qaeda, menghapuskan Osama bin Laden dan kepemimpinannya dan menunjukkan jalan kekalahan untuk al-Qaeda. Sementara itu, rakyat di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara menunjukkan bahawa jalan ke arah keadilan dan maruah adalah kuasa moral tanpa keganasan, bukannya kekejaman dan terorisme yang tidak berperikemanusiaan. Adalah jelas bahawa pelampau keganasan tidak diendahkan dan masa depan adalah milik orang yang mahu membina dan bukan memusnahkan. Bagi negara dan rakyat yang mencari masa depan yang aman dan makmur, anda mempunyai rakan kongsi di Amerika Syarikat. Walaupun kami menghadapi cabaran ekonomi di negara kami, Amerika Syarikat akan terus memainkan peranan kepemimpinan yang unik di dunia. Dalam pada kami mengundurkan tentera kami dari Iraq dan memindahkan tanggungjawab kami di Afghanistan, kami akan menyokong Iraq dan Afghanistan dalam usaha mereka untuk menjadikan negara mereka selamat dan memberikan peluang kepada rakyat mereka. Di dunia Arab dan rantau lain, kami akan berjuang untuk maruah dan hak sejagat untuk semua manusia.

Di seluruh dunia, kami akan terus bekerja keras untuk keamanan, menggalakkan pembangunan yang membantu manusia keluar daripada kemiskinan dan memajukan bidang keselamatan makanan, kesihatan dan tadbir urus yang baik yang berpotensi memberi manfaat kepada rakyat dan masyarakat.  Pada masa sama, kami menekankan komitmen untuk hidup dalam nilai yang ada di negara kami. Sebagai sebuah negara pendatang, Amerika Syarikat mengalu-alukan orang dari setiap negara dan budaya. Rakyat Amerika yang baru ini seperti semua mangsa tidak berdosa yang pergi meninggalkan kita sepuluh tahun yang lalu mengingatkan kita bahawa walaupun ada perbezaan kaum atau etnik, latar belakang atau kepercayaan, kita semua disatukan dengan harapan yang sama bahawa kita boleh menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk generasi sekarang dan akan datang. Ia mesti menjadi warisan untuk mereka yang telah meninggalkan kita. Mereka yang menyerang kami pada 11 September ingin melaga-lagakan Amerika Syarikat dengan dunia. Mereka gagal. Pada ulang tahun ke-10 ini, kami bersatu dengan rakan-rakan dan teman-teman kami dalam mengingati semua orang yang kita telah hilang dalam perjuangan ini. Dalam memperingati mereka, kita mengukuhkan lagi semangat perkongsian dan hormat menghormati yang kita perlu untuk merealisasikan sebuah dunia di mana semua orang hidup dalam maruah, kebebasan dan keamanan.

SUMBER
BERITA HARIAN
10 SEPTEMBER 2011


ISU ANTARABANGSA : SEDEKAD DASAR AS SELEPAS TRAGEDI 11 SEPTEMBER

DR. SHAKILA YACOB
Fakulti Sains Sosial dan Sastera
Universiti Malaya


Tragedi 11 September 2001 (911) sedekad yang lalu mendorong kita untuk meninjau implikasi tragedi tersebut ke atas perjalanan politik dan ekonomi negara kuasa besar Amerika Syarikat (AS) dan yang paling penting impaknya ke atas dunia. Implikasi utama 911 adalah tindakan polisi pentadbiran George W. Bush (Januari 2001 - Januari 2009). Sepanjang dua penggal pentadbiran Bush, kita lihat tindak balas pentadbiran tersebut terhadap tragedi itu amat merugikan rakyat dan negara AS serta dunia amnya. Perang anti-keganasan terhadap Afghanistan yang dilancarkan pada Oktober 2001 dan diikuti dengan perang ke atas Iraq pada Mac 2003 telah meninggalkan kesan hebat ke atas kedudukan kewangan AS dan juga reputasi negara tersebut. Kesan buruk ini adalah hasil dasar Bush dan bukannya akibat tragedi 911. Seandainya Al-Gore berjaya dalam pilihan raya presiden AS tahun 2000, sudah tentu perjalanan politik AS akan jauh berbeza dan besar kemungkinan Iraq tidak akan diserang. Hampir sejuta nyawa manusia hilang dalam perang anti-keganasan global yang dilancarkan oleh negara kuasa tunggal ini selepas berlaku tragedi 11 September.

Mengikut jurnal perubatan The Lancet, di Iraq sahaja 655,000 orang awam terkorban. Lebih 6,200 askar AS maut sepanjang dekad lalu. Sepanjang dua penggal pentadbiran Bush perbelanjaan pertahanan mencapai rekod paling tinggi di mana kerajaan persekutuan AS dipercayai membelanjakan jumlah wang yang besar melalui pelbagai polisi yang dilaksanakan demi memastikan AS bebas daripada serangan keganasan. Sememangnya pasca-911, tiada sebarang insiden serangan berlaku ke atas AS. Tetapi ketaksuban AS dalam perang terhadap keganasan dan obsesinya dengan Al-Qaeda menyebabkan hutang negara tersebut meningkat berlipat kali ganda. Penubuhan Department of Homeland Security dan perbelanjaan keselamatan sepanjang dekad lalu telah mencapai AS$360 bilion. Ditambah dengan perang di Iraq yang juga dikenali sebagai The Three Trillion Dollar War maka kos menentang keganasan ini telah mencapai hampir AS$4 trilion mengikut sumber yang dipercayai. Ini termasuk perbelanjaan di Pentagon, kos faedah hutang peperangan, kos kesihatan untuk veteran perang dan sebagainya. Di samping itu, salah urus ekonomi telah memberi kesan buruk kepada kehidupan rakyat AS.

Keadaan diburukkan lagi dengan pengurangan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan sehingga mewujudkan gelembung hartanah yang sehingga kini tidak dapat ditangani. Kesan kewangan ini terus menghantui penggal kedua pentadbiran Bush dan penggantinya Barack Obama. Pentadbiran Obama terus terbelenggu dalam krisis ekonomi yang tiada penghujung. Kadar pengganguran yang enggan berganjak dari 9.1 peratus (%), kadar inflasi yang terus melonjak naik pada 3.65%, kejatuhan harga rumah kesemuanya menghimpit rakyat AS. Kegagalan pentadbiran Obama memperbaiki ekonomi AS memburukkan lagi keadaan. Pakej rangsangan ekonomi Obama jelas gagal mempertingkatkan ekonomi AS mahupun peluang pekerjaan. Pelan penjagaan kesihatan yang melibatkan perbelanjaan persekutuan yang begitu besar terus menekan ekonomi AS. Krisis had hutang AS dan perbezaan pendapat antara pihak Demokrat dan Republikan di Kongres menyebabkan pasaran saham dunia jatuh merudum. Ini ditambah lagi dengan agensi penarafan yang menurunkan peringkat kredit negara itu. Kedua-dua peristiwa ini meninggalkan kesan besar ke atas pasaran kewangan global.

Jelas AS dan sekutunya telah melakukan kesilapan besar apabila menyerang Afghanistan dan Iraq. Sehingga kini keadaan di Iraq masih porak peranda dengan pelbagai masalah. Senario yang sama bakal menanti di Afghanistan apabila tentera AS dan Nato dijangka berundur sepenuhnya pada tahun 2014. Sebagaimana di Iraq keganasan puak-puak akan berterusan di Afghanistan. Jelas polisi luar AS terhadap kedua-dua negara itu gagal mencapai matlamat pendemokrasian tetapi mewujudkan keadaan yang semakin meruncing yang telah membuka ruang kepada aktiviti keganasan di negara Asia Barat dan juga Pakistan contohnya. Maka apabila kita berbicara mengenai satu dekad selepas 911 kita harus menilai tindak balas polisi pentadbiran Bush dan Obama. Oleh sebab permasalahan ekonomi yang gagal diatasi, justeru rakyat AS mula menukar haluan dan menyokong pihak konservatif atau sayap kanan yang ekstrem. Ini jelas terbukti apabila pilihan raya Kongres 2010 memperlihatkan kejayaan wakil Republikan memenangi kerusi majoriti di Dewan Perwakilan sehingga menyukarkan Obama untuk memperkenalkan sebarang polisi kerana harus berhadapan dengan tentangan pihak Republikan.

Pelampau politik dan agama ini pasti akan terus mendapat sokongan sesetengah rakyat AS yang tidak mampu berfikir dengan rasional akibat tekanan ekonomi. Tambahan lagi, penerimaan terhadap golongan kanan yang ekstrem dan juga golongan fundamentalis Kristian ini begitu jelas di Eropah dan di negara sekutu AS seperti Perancis dan Britain. Maka trend ini akan berterusan dan menjadi semakin ketara di AS. Semangat Islamofobia di Eropah jelas bersemarak di AS juga. Dari segi politik, strategi mendampingi dunia Islam yang juga merupakan sebahagian daripada diplomasi 'lembut' Obama gagal merentasi batasan Timur-Barat yang wujud selama ini. Dalam hal ini apa yang nyata adalah Islamofobia atau Arabfobia yang semakin menyemarak kesan daripada tragedi 911 telah menyukarkan kehidupan masyarakat muslim di AS khususnya dan dunia amnya. Bagaimanapun dalam senario politik antarabangsa yang lebih luas, 911 bukanlah suatu peristiwa yang besar sepanjang dekad yang telah berlalu ini. Apa yang telah mentransformasi dunia adalah pertumbuhan pesat yang dialami oleh negara China, India dan Brazil terutamanya. Pertumbuhan pesat negara-negara inilah yang telah mengubah senario politik dunia.

Dengan terhakisnya kuasa hegemoni AS dan perselisihan antara pihak Barat dengan sesetengah negara Islam hanyalah side show dalam senario politik yang lebih besar ini. Negara maju dan kaya di Barat dan dunia Islam terutamanya akan menghadapi risiko peminggiran politik dan ekonomi yang serius dalam orde baru dunia ini. Dalam order baru dunia ini, Israel juga akan bangkit sebagai satu kuasa unggul di rantau Asia Barat yang dilanda pergolakan politik. Bermula dari sini kuasa Israel akan mengukuhkan kedudukannya di dunia sebagaimana kita lihat sebelum ini Israel telah pun secara senyap membina kekuatan militernya. Keunggulan Israel menjadi semakin ketara apabila AS dan kuasa-kuasa Eropah seperti Sepanyol, Portugal dan Itali mula goyah kedudukan ekonominya akibat krisis kewangan. Dalam konteks orde baru dunia ini, amat penting bagi Malaysia untuk mempelbagaikan hubungan luarnya dalam usaha mengelak kebergantungan kepada sesuatu negara. Malaysia harus terus mengambil kesempatan daripada hubungan bersejarahnya dengan mengukuhkan hubungan dengan negara China serta juga negara India dibawah pergerakan negara-negara berkecuali (NAM) dan Komanwel. Pada masa yang sama terus mengekalkan hubungan baik dengan AS sebagaimana wujud dalam pentadbiran Najib-Obama setakat ini bagi mengimbangi kuasa China di Asia Tenggara. Kepimpinan Malaysia masa kini telah melaksanakan strategi yang tepat dengan mempelbagaikan hubungan luarnya di samping meneruskan kerjasama selatan-selatan lanjutan dari inisiatif yang dimulakan oleh pentadbiran Tun Dr. Mahathir Mohamad.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 SEPTEMBER 2011

ISU ANTARABANGSA : MENILAI TRAGEDI 9/11 SELEPAS SATU DEKAD

Oleh NURUL ANUAR KARI
anuar.kari@utusan.com.my


Selepas 10 tahun kejadian serangan pengganas ke atas Amerika Syarikat (AS) yang menyaksikan sebahagian daripada bangunan Pentagon di Virginia dan kedua-dua menara berkembar Pusat Dagangan Dunia (WTC) di New York tumbang, masih banyak persoalan tidak dijawab. Media AS yang dikawal orang Yahudi dilihat berterusan menanam Islamofobia dan menghasut rakyatnya menyimpan prasangka terhadap masyarakat Islam selepas kejadian 11 September 2001 (9/11) itu. Bagi penduduk Islam pula, masih ramai tidak mempercayai ada pengganas Islam yang mampu melancarkan serangan sedemikian mahupun begitu bodoh membuka pintu untuk Barat menyerang negara-negara Islam. Keraguan itu ditambah dengan pelbagai persoalan yang menyelubungi serangan itu di samping teori konspirasi melibatkan pasukan risikan AS dan Israel, jumlah kematian terlalu kecil untuk serangan begitu besar serta dakwaan Osama bin Laden, cuma satu watak rekaan semata-mata. Teori konspirasi Osama sebagai boneka juga semakin menular sejak laporan kematiannya pada 2 Mei lalu berikutan tindakan tentera AS yang tergesa-gesa melupuskan mayatnya di satu kedudukan rahsia di tengah-tengah laut sebelum dihebahkan kepada dunia lima hari kemudian.

Simpati masyarakat Islam terhadap tragedi yang mengorbankan sekitar 3,000 orang itu juga semakin luntur berikutan tindakan berterusan Barat terutamanya AS menjarah bumi Arab dan campur tangan dalam negara-negara Islam lain. Selepas satu dekad berlalu, hakikatnya tentera AS dan Barat telah membunuh berkali ganda lebih ramai masyarakat Islam di seluruh dunia daripada mangsa tragedi 9/11. Mengimbau kembali fakta mengenai individu yang bertanggungjawab merancang dan melaksanakan serangan itu, beberapa individu telah dikaitkan dan hanya seorang telah didakwa di mahkamah AS atas penglibatan mereka. Osama, 54, selaku ketua pergerakan militan Al-Qaeda mula dikaitkan dengan kejadian serangan 9/11 sejak dari awal kejadian tetapi tidak pernah mengakuinya. Beliau akhirnya dilaporkan media Barat sebagai mengakui penglibatannya melalui satu rakaman video pada 2004, tidak lama sebelum Pilihan Paya Presiden AS. Selepas AS menjajah Afghanistan dan Iraq, Osama memulakan perang gerila di Afghanistan, Pakistan dan beberapa negara lain dengan mensasarkan kepentingan tentera dan ekonomi AS. Siasatan awal risikan AS selepas serangan 9/11 dengan pantas mengaitkan 19 perampas pesawat dengan Al-Qaeda, Osama dan beberapa individu lain.

Ini seterusnya membuka pintu kepada AS menyerang Afghanistan yang melindungi Osama dan Al-Qaeda, seterusnya dijadikan alasan untuk mereka menyerang Iraq dan campur tangan di beberapa negara lain. Walaupun Osama gagal ditangkap di Afghanistan, beberapa individu lain yang dikait merancang serangan 9/11 ditahan di seluruh dunia dan ditahan tanpa perbicaraan di Teluk Guantanamo, Cuba. Antaranya ialah Khalid Sheikh Mohammed, pemimpin nombor tiga Al-Qaeda yang ditangkap pada 2003 di Pakistan. Selain itu, Ramzi bin al-Shibh, Tafiq bin Attash dan Mustafa Ahmed al-Hawsawi yang dikait selaku perancang bersama kini ditahan di Teluk Guantanamo bersama beberapa suspek lain. Seorang ketua tentera Al-Qaeda, Mohammed Atef yang turut dikait merancang serangan 9/11 dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara tentera AS di Kabul, Afghanistan pada November 2001. Zacarias Moussaoui, seorang warga Perancis keturunan Morocco pula merupakan satu-satunya individu yang didakwa di mahkamah di negara Uncle Sam itu atas penglibatan merancang serangan 9/11 dan dijatuhi hukuman penjara seumur hidup walaupun ketika kejadian itu, dia berada di sebuah penjara di Minnesota. Cubaannya membuat rayuan pada 2006 atas alasan pengakuan bersalah yang dibuat sebelum itu adalah kerana tidak yakin akan menerima perbicaraan yang adil ditolak atas alasan teknikal.

Pada 20 November 2007, Leonie Brinkema yang menjadi hakim perbicaraan Zacarias menyatakan beliau tidak boleh lagi mempercayai agensi risikan atau agensi kerajaan AS yang lain berikutan cubaan menyorok beberapa bukti rakaman video dan audio berkaitan kes tersebut terbongkar beberapa hari sebelum itu. Individu lain yang didakwa terlibat dalam merancang serangan 9/11 ialah ketua perampas penerbangan 11 American Airlines, Mohamed Atta yang dikatakan memilih tarikh serangan tersebut sebelum merampas dan menghempas pesawat itu ke menara pertama WTC. Marwan al-Shehhi pula merupakan perancang bersama yang merampas dan memandu penerbangan 175 United Airlines merempuh menara kedua WTC. Ziad Samir Jarrah dikenal pasti sebagai suspek perancang terakhir yang merampas penerbangan 93 United Airlines tetapi gagal merempuh sebarang sasaran penting dan akhirnya pesawat itu terhempas di Shankville, pedalaman Pennsylvania. Walaupun sasaran utama dikatakan terhadap Presiden George W. Bush, ketua tentera dan anggota Senat AS, namun serangan empat pesawat itu dilihat hanya berjaya membunuh rakyat biasa dan kakitangan rendah di Pentagon kerana dilakukan pada awal pagi. Serangan itu juga nyata sekali tidak membawa sebarang makna dan keuntungan kepada ‘pengganas Islam’ yang didakwa merancangnya sebaliknya digunakan Barat untuk menjajah kembali beberapa negara serta digunakan pihak tertentu untuk mempromosikan Islamofobia di seluruh dunia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
10 SEPTEMBER 2011


09 September 2011

ISU ANTARABANGSA : PERSENGKETAAN DAN KEMARAU DI SOMALIA AKHIRNYA JADI BENCANA

DATUK AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).


Hampir  seluruh rakyat Malaysia mengakui ada kesedihan yang menyelubungi emosi ketika Hari Raya Aidilfitri pada tahun ini. Kesedihan kerana dua tragedi yang menyebabkan rakyat Malaysia terkorban, iaitu tragedi kemalangan maut yang berlaku sepanjang Ops Sikap 24. Namun demikian, tragedi ini tidaklah meruntun emosi secara meluas berbanding gugurnya seorang wira negara ketika menyertai misi kemanusiaan di Somalia pada 2 September 2011. Noramfaizul Mohd Noor yang telah menyertai beberapa kali misi kemanusiaan melaksanakan tugasnya dengan baik sehingga rakan-rakan media yang bersamanya memuji sikap itu. Sesungguhnya Allahyarham Noramfaizul adalah ikon sebuah keberanian dan kesukarelawaan anak Malaysia yang akan dibanggakan oleh seluruh lapisan masyarakat. Menariknya, beberapa komen yang turut digambarkan oleh rakan-rakan media yang menyertai misi itu mengenai apa yang berlaku di Somalia.  Somalia berhadapan dengan konflik dan sengketa kaum sejak 20 tahun lalu. Sejak tahun 1991, bumi Somalia tidak pernah aman, sentiasa berkonflik dan ada kematian kerana terkena tembakan sama ada peluru sesat ataupun sasaran puak-puak yang bersengketa.

Beberapa bulan lalu, Somalia menjadi bertambah buruk apabila kemarau panjang telah menyebabkan enam buah wilayah telah diisytiharkan berada dalam zon maut. Anggaran pihak tertentu adalah setiap hari ada kematian sehingga tiga ratus orang akibat kebuluran. Jika hujan tidak turun menjelang Oktober ini, lebih 3 juta rakyat Somalia akan berhadapan dengan krisis makanan yang lebih parah. Gambaran sedemikian, sebagaimana dinilai oleh seorang anak watan yang telah mengungsi selama lebih 22 tahun ke negara asing mencari kehidupan yang lebih baik, Abdi Salam Hussein, 52, jelas membuktikan betapa tidak aman lagi kehidupan yang terpaksa ditanggung oleh rakyat negara tersebut. Beliau turut mengingati bahawa Mogadishu bukan lagi sebuah syurga, tetapi neraka dan bandar berhantu. Ini sesuai dengan gambaran Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: "Selain dari itu, tidakkah mereka telah berjalan dan mengembara di muka bumi, dengan itu tidakkah mereka memerhatikan bagaimana kesudahan orang-orang yang dahulu dari mereka (yang telah dibinasakan dengan sebab dosa-dosanya)?

"Orang-orang itu lebih ramai dari mereka, dan lebih dari mereka tentang kekuatan tenaga dan tentang kesan-kesan usaha pembangunan di muka bumi. Dalam pada itu apa yang telah diusahakan oleh orang-orang itu, tidak dapat menolongnya sedikit pun. (Maksud al-Quran Surah Al-Mukmin ayat 82). Peristiwa ini dapat memberi pelajaran dan pengajaran yang boleh rakyat Malaysia pelajari dari kesukaran hidup rakyat Somalia ialah demi mendapatkan sesuap nasi, mereka sanggup keluar dari kampung halaman berhari-hari dan mengharungi batas-batas kepedihan dan kelaparan. Malah rumah dan apa yang dimiliki sebelumnya ditinggalkan kerana yang penting ialah perut mahu diisi, anak-anak sentiasa menangis kelaparan dan tidak sanggup lagi melihat kematian. Tragedi tersebut akan membuka mata hati dan fikiran orang yang berfikir kecuali mereka yang kering hatinya. Kepedihan itu sepatutnya tidak beralun begitu panjang, kematian sebahagian besarnya mungkin boleh dikurangkan jika antara rakyat dan pemimpin bersatu iltizam untuk mengatasi apa sahaja masalah. Tetapi, kerana konflik kepentingan, sebahagian kumpulan rakyat atas nama perjuangan politik sanggup menyiksa rakan-rakan senegaranya dengan tidak membenarkan sebarang bentuk bantuan kemanusiaan tiba.

Sikap sedemikian adalah satu petunjuk bahawa manusia sudah hilang nilai-nilai kemanusiaan dalam dirinya sendiri. Sejak kejatuhan kerajaan pimpinan Mohammed Siad Bare pada tahun 1991, Somalia tidak pernah lekang daripada perebutan kuasa di mana beberapa suku kaum saling bertindak balas sesama mereka. Hakikat ini telah dijelaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran Surah al-Baqarah ayat 251. Laporan wartawan Malaysia turut memberikan kita gambaran betapa sukarnya menjalani hidup di Somalia sehingga penduduknya tidak mempunyai wang untuk membeli kain kafan. Mereka yang mati sebahagian besarnya terpaksa dibungkus dengan kotak sebelum dikebumikan. Inilah realiti kehidupan yang tidak sanggup kita alami di Malaysia. Realiti ini tentunya tidak sampai ke peringkat yang paling menyayat hati jika kita sentiasa mengingatkan diri kita agar hidup dalam suasana saling persefahaman dan bersatu padu. Pendedahan media mengenai apa yang berlaku di Somalia jelas menggambarkan satu suasana yang amat menakutkan, setelah bersengketa negara porak peranda dan kemarau pun tiba. Betapa siksanya kalau setiap hari bergelumang dengan konflik dan peperangan ini.Kepada Noramfaizul sebenarnya telah membuka banyak pengajaran kepada rakyat Malaysia mengenai erti keamanan dan kasih sayang, maka sewajarnya kita sedekahkah al-Fatihah kepadanya. Jika tragedi tidak menimpa Noramfaizul, mungkin ramai di antara kita kurang memberikan perhatian kepada kebuluran yang berlaku di Somalia, dan bagaimana siksanya hidup dalam kemelut kepentingan kuasa.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 SEPTEMBER 2011


ISU EKONOMI : TRANSFORMASI PERTANIAN MENGISI KEMERDEKAAN

Oleh NORDIN ABDUL MALEK
NORDIN ABDUL MALEK
Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech.


Tiada yang lebih menakutkan dunia pada masa depan melainkan krisis makanan. Pada hari ini, krisis tenaga dan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia Arab dan negara Barat sudah cukup untuk meresahkan dunia. Namun begitu, krisis makanan yang sudah mula dirasai kesannya, semakin menuju kepada masa depan yang sangat mencabar akibat pertambahan penduduk dunia, bencana alam akibat pemanasan global dan jumlah tanah subur dunia yang semakin berkurangan pada masa depan. Maka tidak hairanlah perlumbaan untuk menguasai pertanian tanah subur sudah menjadi satu lagi trend baru ekonomi dunia yang sedang meresap pantas seperti yang berlaku di Amerika Selatan iaitu Brazil, Argentina dan Uruguay apabila tanah-tanah subur mereka sudah mula didominasi tokoh-tokoh kewangan dan pelaburan dunia seperti George Soros dengan penguasaan ekuiti saham syarikat pertanian terkemuka Adecoagro.

Negara-negara besar dunia seperti China, Arab dan Korea sudah melihat keselamatan makanan negara masing-masing dengan mengalihkan pengeluaran makanan terutama ke nagara-negara Afrika. Matlamat utama mereka adalah bagi mengelakkan kesan tekanan ekonomi dan kestabilan politik akibat krisis makanan. Dalam hal ini, negara kita tidak terkecuali untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan bagi mengelakkan krisis makanan berada pada tahap yang tidak terkawal. Seperti mana negara lain, sudah pasti langkah utama yang perlu digerakkan ialah transformasi pertanian. Bagi mendepani suasana masa depan yang sangat mencabar, sektor pertanian memerlukan satu tranformasi kepada pembangunan sumber manusia berasaskan kemahiran teknikal pertanian, penguasaan teknologi dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti. Transformasi pertanian juga perlu digerakkan secara komersil (business driven) iaitu memastikan semua dasar baru pertanian berteraskan kehendak pasaran global dengan meletakkan fungsi pengeluaran serta aktiviti pertanian kepada masyarakat usahawan tani sepenuhnya.

Manakala tugas dan tanggung jawab kerajaan adalah untuk menjadi pemudah cara (fasilitator) terutama dalam mewujudkan insentif dan inisiatif industri pertanian dan sebagai pengawal untuk mengelakkan manipulasi pasaran yang boleh menggugat kestabilan harga. Impian di atas hanya akan terlaksana sekiranya peranan utama menggerakkan transformasi pertanian diberikan kepada generasi muda. Sebenarnya, sejarah transformasi pertanian Malaysia pernah berlaku secara radikal terutama semasa peringkat awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada awal tahun 1970-an. Kewujudan kolej-kolej dan institut latihan pertanian hingga membawa kepada penubuhan Universiti Pertanian Malaysia, telah memperlihatkan dengan jelas dan nyata bagaimana tenaga muda mahir dan berpengetahuan tinggi diberi keutamaan untuk membangunkan sektor pertanian. Pada zaman itulah kita melihat graduan-graduan pertanian institusi latihan dan pusat pengajian tinggi menggerakkan keperluan pertanian negara secara hands-on.

Daripada pegawai peringkat tinggi hinggalah juruteknik pertanian akan berada di lapangan pertanian di seluruh pelosok kampung hingga ke pedalaman untuk memajukan tanah-tanah pertanian. Walaupun kegemilangan itu menjadi suram pada pertengahan tahun 1980-an hingga penghujung tahun 1990-an, hasil transformasi pertanian era DEB itu masih banyak yang dirasai dan masih kekal hingga kini. Asas yang dibina oleh generasi era tersebut hingga berjaya menjadi institusi yang begitu besar dan hebat pada hari ini. Malah ada yang menjadi konglomerat bertaraf dunia seperti Felda. Begitu juga projek-projek rancangan pertanian lain seperti pengeluaran padi yang masih wujud di bawah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah hasil kerja tangan generasi muda era 1970-an yang sebahagian mereka kini sudah bersara dari sektor pertanian berkenaan. Oleh kerana tenaga muda adalah nadi pembangunan dan transformasi pertanian, apakah persepsi generasi muda masa kini terhadap masa depan sektor tersebut?

Adakah mereka masih mempunyai keyakinan dengan hala tuju pertanian dan masih berminat terhadap ekonomi berasaskan pertanian? Berdasarkan kepada pengamatan Institut Skill-Tech (satu-satunya kolej latihan pertanian swasta terbesar di Malaysia) sememangnya generasi muda khususnya dan masyarakat Malaysia amnya masih mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap masa depan sektor pertanian. Kenyataan ini dirumuskan berlandaskan pengalaman Institut Skill-Tech menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan pertanian yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat iaitu bermula daripada peringkat pelajar sekolah hinggalah golongan masyarakat umum lain. Berdasarkan sambutan dan respon hebat yang diberikan, jelas sekali sektor pertanian sangat diyakini sebagai sumber kekayaan yang mempunyai potensi yang sangat cerah. Lebih penting lagi ialah keberhasilan yang dibuktikan oleh graduan pertanian Institut Skill-Tech dengan keboleh pasaran kerja, menjadi usahawan dan keinginan menyambung pengajian ke peringkat tinggi.

Dalam hal ini, kajian keberkesanan graduan pertanian di Sabah memperlihatkan hasil yang sangat membanggakan. Daripada 300 orang yang terdiri daripada kumpulan pelatih pertama cursus Penyeliaan Perladangan Institut Skill-Tech cawangan Sabah yang bakal menerima sijil masing-masing dalam konvokesyen pada 10 September ini, sebanyak 50 peratus sudah bekerja di estet-estet perladangan di Sabah sebaik-baik sahaja tamat latihan. Manakala hampir 20 peratus sudah memulakan perniagaan terutama sebagai pengusaha kebun kecil kelapa sawit dan tanaman makanan. Bakinya pula sedang menunggu peluang untuk menyambung latihan ke peringkat tinggi dengan institusi pengajian awam yang mempunyai kerjasama dengan Institut Skill-Tech. Angka ini juga dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa. Sejarah penubuhan Institut Skill-Tech cawangan Sabah juga adalah signifikasi daripada minat yang mendalam golongan muda Sabah dalam sektor pertanian dan industri asas tani.

Sejak tahun 2008, hampir 1,200 orang pelatih dari Sabah telah dilatih di kampus utama Melaka dan cawangan di Keningau, Sabah. Permintaan yang tinggi setiap tahun telah mendorong Institut Skill-Tech menubuhkan cawangan Sabah bagi memenuhi keperluan perladangan dan pertanian di negeri tersebut. Kebetulan pula, etnik-etnik pelbagai kaum di Sabah kebanyakannya berlatar belakangkan budaya masyarakat pertanian seperti Kadazan Dusun, Murut dan lain-lain. Anjakan paradigma belia Sabah ini adalah sebahagian transformasi pertanian yang sudah terbukti benar-benar berjaya. Ini sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat keberhasilan pelan transformasi ekonomi (PTE) yang antara lain untuk mencapai status negara maju dengan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi serta keterangkuman dalam agihan pendapatan negara termasuk rakyat Sabah dan Sarawak.

Apa yang penting sekarang ialah peranan semua pihak terutama agensi kerajaan untuk bersama-sama Institut Skill-Tech dan para graduannya bagi mengisi pembangunan pertanian di kalangan mereka pada peringkat post-latihan mengikut acuan transformasi ekonomi negara. Agenda ekonomi Bumiputera ini memerlukan penghayatan penuh ikhlas, dengan pelbagai usaha luar biasa serta menuntut kesabaran untuk mewujudkan pencapaian berganda. Memandangkan konvokesyen sulong Institut Skill-Tech Sabah diadakan pada hari Sabtu ini ketika negara dalam suasana sambutan kemerdekaan yang ke-54 serta perayaan Hari Malaysia pada 16 September, kejayaan para graduan telah membuktikan bahawa mereka mengisi telah kemerdekaan yang sudah dinikmati dengan menggalas tanggungjawab untuk mencemerlangkan lagi transformasi pertanian, seterusnya melangkah ke hadapan secara radikal mencapai mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Kejayaan mereka juga menepati pengertian tema sambutan hari kemerdekaan tahun ini iaitu 1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera. Tahniah buat semua graduan Institut Skill-Tech, cawangan Sabah!

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 SEPTEMBER 2011

08 September 2011

ISU PENDIDIKAN : KEMELUT PENDIDIKAN TINGGI DI AMERIKA SYARIKAT


Peningkatan mendadak yuran pengajian di Amerika Syarikat (AS) menjadi masalah serius dalam kalangan pelajar dan penduduk di negara itu yang kini berdepan krisis ekonomi terburuk sejak 1930-an. Dalam tempoh sebulan yang lalu, pengurusan Universiti Michigan mengumumkan peningkatan yuran pengajian sebanyak tujuh peratus, Universiti Oklahoma menaikkan yuran sebanyak 4.8 peratus dan Universiti Nebraska pula sebanyak lima peratus untuk kemasukan pelajar-pelajar baharu. Kos yuran pengajian meningkat pantas berbanding kos-kos lain dalam eknomi negara ini, malah ia lebih pantas berbanding kos penjagaan kesihatan, kadar inflasi dan pendapatan keluarga,” kata Pengasas National Center for Public Policy and Higher Education, Patrick Callan. “Apa yang kita lalui dalam kemelesetan ekonomi hari ini ialah peningkatan trend yang berlaku sejak tiga dekad lalu menyebabkan kos itu terpaksa ditanggung oleh rakyat.” Kemarahan rakyat terhadap pemotongan bajet pendidikan menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan pada Mac dan April lalu. 


Situasi itu jelas memberi tekanan kepada golongan pelajar yang kini bergelut dalam menangani beban kewangan yang kian bertambah. Situasi yang sama turut dirasai seorang penuntut baharu di Universiti Middle Tennessee, Natalie Papini. Menurut penerbitan online, Inside Higher Ed, pengurusan universiti itu telah mencadangkan peningkatan yuran pengajian dan kemasukan sebanyak 9.8 peratus tahun ini. “Saya berpendapat peningkatan ini tidak akan berhenti begitu sahaja. Ia akan terus meningkat pada masa-masa hadapan dan tidak akan turun,” kata Papini yang mendapat tawaran beberapa biasiswa namun, lebih rela membuat pinjaman buku-buku teks berbanding membelinya sendiri. “Kami tidak akan membuka alat pemanas pada musim sejuk nanti untuk menjimatkan wang dan kami juga tidak akan memandu ke mana-mana sekiranya tidak perlu,” katanya kepada AFP. Daripada lebih 2,000 universiti yang menawarkan kursus ijazah di AS, terdapat pelbagai kadar yuran yang ditawarkan, kata ahli ekonomi kanan di Pew Research Center, Richard Fry kepada AFP. Kadar terbaik yang ditawarkan setiap universiti, kebanyakannya terletak di negeri-negeri dan daerah yang jauh dari pusat bandar dengan kos mencecah antara AS$3,000 (RM9,000) hingga AS$9,000 (RM27,000) setahun.

Bagaimanapun, bagi universiti swasta dan yang berlokasi di kawasan urban, yuran pengajian yang dikenakan mencecah antara AS$21,000 (RM63,000) hingga AS$42,000 (RM126,000) setahun. Sementara itu, terdapat kurang daripada dua peratus universiti yang mengenakan yuran pengajian melebihi AS$42,000 (RM126,000) setahun. Menurut CollegeBoard, yang memantau trend di peringkat pendidikan tinggi, hanya terdapat satu pertiga dalam kalangan pelajar-pelajar sepenuh masa yang mampu meneruskan pengajian mereka tanpa menerima bantuan kewangan. Sebaliknya lebih ramai pelajar kini terpaksa membuat pinjaman untuk meneruskan pengajian mereka. “Salah satu cara golongan sederhana untuk berhadapan dengan peningkatan yuran pengajian ini adalah melalui pinjaman. “Tidak hairanlah, pinjaman yang melibatkan golongan ini meningkat mendadak. Sekiranya mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi seperti sarjana, lebih banyak wang yang perlukan,” kata Callan. Menurut CollegeBoard, jumlah pinjaman pendidikan meningkat sebanyak 10 peratus antara tahun 2009 hingga 2010.

Data pada tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 61 peratus pelajar-pelajar daripada keluarga sederhana yang bergantung dengan pendapatan antara AS$60,000 (RM180,000) hingga AS$90,000 (RM270,000) mempunyai hutang pendidikan sekitar AS$17,000 (RM51,000). Angka itu terus meningkat melibatkan institusi swasta yang tidak bersandarkan keuntungan di mana 75 peratus pelajar-pelajarnya mempunyai hutang pendidikan sekitar AS$21,000 (RM63,000). Bagi kolej yang bersandarkan keuntungan pula, lebih 99 peratus pelajar-pelajarnya kini terbeban dengan hutang pendidikan sehingga AS$34,600 (RM103,800) seorang. “Kebanyakan orang sudah mula bersuara: ‘Adakah berbaloi belajar di tempat yang mahal atau adakah ia mampu memberikan pendidikan terbaik jika menuntut di sana nanti?’,” katanya. Berdasarkan kajian dilakukan Pew Research pada Mei lalu, sebanyak 57 peratus rakyat AS berpendapat sistem pendidikan tinggi di negara itu gagal memberikan pelajar dan keluarga mereka pulangan setimpal daripada wang yang telah dilaburkan. “Walaubagaimanapun, adalah lebih baik memasuki kolej atau universiti terutama ketika krisis ekonomi yang melanda di mana kadar pengangguran dalam kalangan mereka yang bergraduasi adalah rendah berbanding mereka yang tidak bergraduasi,” ujar Callan.

Sementara itu, Fry pula memberitahu yuran pengajian di kolej dan universiti masih tinggi disebabkan masyarakat bersedia membayarnya kerana lazimnya, peluang pekerjaan yang dijanjikan lebih cerah jika menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi yang mahal itu. Bagaimanapun, kadar yuran pengajian yang tinggi menjadi halangan terhadap usaha negara itu mencapai kejayaan yang diidamkan. “Keseluruhan sistem ini menjadi bersusun lapis mengikut pendapatan,” jelas Callan.


SUMBER
HARIAN KOSMO
8 SEPTEMBER 2011


ISU PENDIDIKAN : GAGAL DALAM AKADEMIK, TAK PERLULAH MERENDAH DIRI, PENDIDIKAN VOKASIONAL ADALAH PENYELAMAT

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         

Di tengah kekalutan masyarakat antarabangsa yang asyik mahukan kecemerlangan akademik semata-mata, mereka terlupa mengenai sumbangan pendidikan vokasional menjadi penyelamat kepada golongan pelajar tertentu. Hakikatnya, pendidikan vokasional tidak segah pendidikan konvensional yang tampak lebih berjaya dalam melahirkan pelajar cemerlang serta mendapat pengiktirafan namun kehebatan pendidikan vokasional tidak boleh diketepikan begitu saja. Kegagalan atau kejayaan pelajar perlu diterima dengan hati terbuka, namun tidak semua mampu melakukannya menyebabkan kebanyakan yang tercicir mudah membabitkan diri dengan jenayah dan samseng. Pendidikan ini adalah penyelamat dan harus dibanggakan. Usah malu andai kata anda berpendidikan vokasional kerana sumbangannya tiada nilai meskipun sering kali dianggap sebagai kelas kedua. Kalaulah bukan kerana pendidikan ini, saya tidak tahu apa akan terjadi, mungkin saya masih makan gaji, hidup terumbang-ambing atau hanya menikmati kehidupan sederhana, bukan kemewahan seperti ini, kata presiden Corbin Building Inc, Oakland, Josef Corbin.

Dia adalah contoh kejayaan pelajar vokasional di negara berkenaan yang bukan saja mampu keluar daripada kepompong kegagalan akademik empat dekad lalu malah menjadi antara usahawan berjaya di negeri berkenaan. Corbin, 54, mengakui pendidikan vokasional sering kali diperlekehkan kerana dianggap kelas kedua selain tidak mampu menjadi jaminan memperoleh pekerjaan yang baik. Menurutnya, tanggapan itu juga menjadikan masyarakat terus menganggap pendidikan itu tiada nilai selain tidak menyedari sebenarnya pandangan skeptikal itulah yang memberi kejayaan kepada pelajar. Masyarakat lebih senang bercerita mengenai kejayaan anak mereka dalam akademik meskipun pencapaiannya tidaklah cemerlang. Mereka berpendapat kecemerlangan itu sudah cukup menjadi aset memasuki kolej atau universiti. Manakala pelajar yang tidak cemerlang dan memilih memasuki aliran vokasional dipandang sinis selain tidak diberi harapan untuk berjaya. Apakah tanggapan itu betul apabila mereka melihat kejayaan beliau kini? Bagi beliau , vokasional adalah sesuatu yang hebat bukan untuk diperlekehkan.

Pelajar yang mengikutinya tidak perlu rasa rendah atau susah hati kerana masing-masing mempunyai kelebihan. Yang penting bagaimana kita menentu atau mencorakkan pilihan itu dan menjadikan seseorang itu bergelar manusia berjaya sehingga mampu mengatasi kekecewaan lalu,” katanya. Mengikut fakta yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Bersatu Oakland, kadar keciciran pelajar semakin menunjukkan kebimbangan dan memerlukan pendekatan segera untuk mengatasinya. Data terbaru menunjukkan 18.2 peratus pelajar di California tercicir daripada pengajian peringkat menengah iaitu dua kali ganda meningkat dari 2010. Sukarelawan di jabatan berkenaan, Troy Flint, berkata peningkatan itu menunjukkan masyarakat perlu bertindak pantas membantu pelajar tercicir supaya masalah tidak semakin melarat. Kini masanya untuk membantu mereka supaya tidak terus tercicir dan menjadi mangsa percaturan pihak tertentu. Tidak perlu lagi bersikap saling menyalah kerana keadaan semakin membimbangkan. Masanya sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada aspek yang boleh membantu mereka. Jikalau akademik menjadi puncanya, masih ada alternatif lain boleh membantu.

Yang penting berikan mereka peluang mencorakkan masa depan. Jika sudah tidak suka pada akademik, fokuskan pula pada vokasional kerana ia juga berguna. Percayalah, sikap prejudis dan ego tidak akan membantu. Bolehkah kita hanya berpeluk tubuh semata-mata tidak bersetuju dengan dasar atau tanggapan yang belum tentu benar sedangkan pelajar itu sedang mencari arah hidup. Paling menakutkan, katanya, apabila mereka dengan mudah terpengaruh dengan anasir membinasakan seperti terbabit dengan samseng dan jenayah sekali gus meningkatkan lagi kadar gejala sosial sedia ada. Menurutnya, masyarakat tidak boleh terlalu terkongkong dengan tanggapan pendidikan vokasional tidak mempunyai masa depan kerana sekurang-kurangnya ia boleh membantu membina kemahiran bagi mencari pekerjaan kelak. Masyarakat mahu hidup selamat dan menolak jenayah tapi tahukah mengapa ia berlaku? Kerana semuanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan. Bayangkan sekiranya kita tidak memberi peluang kepada mereka, apakah yang akan terjadi?

Sekurang-kurangnya mereka perlu mencari arah hidup dan tidak memulangkan kesusahan itu semula kepada masyarakat,” katanya mengakui penolakan itu disebabkan kegagalan memahami fungsi sebenar sistem pendidikan diperkenalkan. Mereka muda tapi tidak berpelajaran juga tanpa kemahiran pekerjaan, jika mereka terbabit dalam jenayah, adakah masyarakat mahu mempertikaikannya? Sistem pendidikan luas konsepnya namun hairan mengapa masih ada pihak yang tidak boleh menerimanya? Adakah ini kerana beranggapan akademik adalah tiket paling besar untuk menjadi gah dan terkenal ataupun sememangnya aliran lain tidak bagus hingga ditolak begitu saja. Bagaimanapun, beliau mengakui kekurangan sistem pendidikan vokasional mungkin menjadi punca terhadap pandangan serong itu sekali gus mengakibatkan usaha atau penerangan semakin sukar. Di sini (Oakland) hanya ada beberapa buah sekolah vokasional dengan tumpuan dalam penjagaan kesihatan. Itu sudah tentu tidak memadai kerana keperluan mencakupi kepelbagaian aspek dan kehendak. Memang kami memerlukan penambahan sekolah namun tentu pula berdepan pelbagai masalah lain, bajet, misalnya. Ini cabaran dan dilema paling kritikal kerana membabitkan peruntukan malah tekanan masyarakat juga tidak sehebat ini. Tiadanya peruntukan menyebabkan masalah semakin meruncing. Pelajar ini perlu diselamatkan namun jika sekolah tidak ditambah, sudah tentu segalanya gagal begitu saja sekali gus memperjudikan nasib mereka di jalan raya serta jenayah.

SUMBER
HARIAN METRO
5 SEPTEMBER 2011