Oleh NORDIN ABDUL MALEK
NORDIN ABDUL MALEK
Pengerusi Eksekutif Institut Skill-Tech.
Tiada yang lebih menakutkan dunia pada masa depan melainkan krisis makanan. Pada hari ini, krisis tenaga dan krisis ekonomi yang sedang melanda dunia Arab dan negara Barat sudah cukup untuk meresahkan dunia. Namun begitu, krisis makanan yang sudah mula dirasai kesannya, semakin menuju kepada masa depan yang sangat mencabar akibat pertambahan penduduk dunia, bencana alam akibat pemanasan global dan jumlah tanah subur dunia yang semakin berkurangan pada masa depan. Maka tidak hairanlah perlumbaan untuk menguasai pertanian tanah subur sudah menjadi satu lagi trend baru ekonomi dunia yang sedang meresap pantas seperti yang berlaku di Amerika Selatan iaitu Brazil, Argentina dan Uruguay apabila tanah-tanah subur mereka sudah mula didominasi tokoh-tokoh kewangan dan pelaburan dunia seperti George Soros dengan penguasaan ekuiti saham syarikat pertanian terkemuka Adecoagro.
Negara-negara besar dunia seperti China, Arab dan Korea sudah melihat keselamatan makanan negara masing-masing dengan mengalihkan pengeluaran makanan terutama ke nagara-negara Afrika. Matlamat utama mereka adalah bagi mengelakkan kesan tekanan ekonomi dan kestabilan politik akibat krisis makanan. Dalam hal ini, negara kita tidak terkecuali untuk bersiap sedia dengan sebarang kemungkinan bagi mengelakkan krisis makanan berada pada tahap yang tidak terkawal. Seperti mana negara lain, sudah pasti langkah utama yang perlu digerakkan ialah transformasi pertanian. Bagi mendepani suasana masa depan yang sangat mencabar, sektor pertanian memerlukan satu tranformasi kepada pembangunan sumber manusia berasaskan kemahiran teknikal pertanian, penguasaan teknologi dan inovasi untuk meningkatkan produktiviti. Transformasi pertanian juga perlu digerakkan secara komersil (business driven) iaitu memastikan semua dasar baru pertanian berteraskan kehendak pasaran global dengan meletakkan fungsi pengeluaran serta aktiviti pertanian kepada masyarakat usahawan tani sepenuhnya.
Manakala tugas dan tanggung jawab kerajaan adalah untuk menjadi pemudah cara (fasilitator) terutama dalam mewujudkan insentif dan inisiatif industri pertanian dan sebagai pengawal untuk mengelakkan manipulasi pasaran yang boleh menggugat kestabilan harga. Impian di atas hanya akan terlaksana sekiranya peranan utama menggerakkan transformasi pertanian diberikan kepada generasi muda. Sebenarnya, sejarah transformasi pertanian Malaysia pernah berlaku secara radikal terutama semasa peringkat awal pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) pada awal tahun 1970-an. Kewujudan kolej-kolej dan institut latihan pertanian hingga membawa kepada penubuhan Universiti Pertanian Malaysia, telah memperlihatkan dengan jelas dan nyata bagaimana tenaga muda mahir dan berpengetahuan tinggi diberi keutamaan untuk membangunkan sektor pertanian. Pada zaman itulah kita melihat graduan-graduan pertanian institusi latihan dan pusat pengajian tinggi menggerakkan keperluan pertanian negara secara hands-on.
Daripada pegawai peringkat tinggi hinggalah juruteknik pertanian akan berada di lapangan pertanian di seluruh pelosok kampung hingga ke pedalaman untuk memajukan tanah-tanah pertanian. Walaupun kegemilangan itu menjadi suram pada pertengahan tahun 1980-an hingga penghujung tahun 1990-an, hasil transformasi pertanian era DEB itu masih banyak yang dirasai dan masih kekal hingga kini. Asas yang dibina oleh generasi era tersebut hingga berjaya menjadi institusi yang begitu besar dan hebat pada hari ini. Malah ada yang menjadi konglomerat bertaraf dunia seperti Felda. Begitu juga projek-projek rancangan pertanian lain seperti pengeluaran padi yang masih wujud di bawah agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani adalah hasil kerja tangan generasi muda era 1970-an yang sebahagian mereka kini sudah bersara dari sektor pertanian berkenaan. Oleh kerana tenaga muda adalah nadi pembangunan dan transformasi pertanian, apakah persepsi generasi muda masa kini terhadap masa depan sektor tersebut?
Adakah mereka masih mempunyai keyakinan dengan hala tuju pertanian dan masih berminat terhadap ekonomi berasaskan pertanian? Berdasarkan kepada pengamatan Institut Skill-Tech (satu-satunya kolej latihan pertanian swasta terbesar di Malaysia) sememangnya generasi muda khususnya dan masyarakat Malaysia amnya masih mempunyai kepercayaan yang tinggi terhadap masa depan sektor pertanian. Kenyataan ini dirumuskan berlandaskan pengalaman Institut Skill-Tech menjalankan pelbagai aktiviti berasaskan pertanian yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat iaitu bermula daripada peringkat pelajar sekolah hinggalah golongan masyarakat umum lain. Berdasarkan sambutan dan respon hebat yang diberikan, jelas sekali sektor pertanian sangat diyakini sebagai sumber kekayaan yang mempunyai potensi yang sangat cerah. Lebih penting lagi ialah keberhasilan yang dibuktikan oleh graduan pertanian Institut Skill-Tech dengan keboleh pasaran kerja, menjadi usahawan dan keinginan menyambung pengajian ke peringkat tinggi.
Dalam hal ini, kajian keberkesanan graduan pertanian di Sabah memperlihatkan hasil yang sangat membanggakan. Daripada 300 orang yang terdiri daripada kumpulan pelatih pertama cursus Penyeliaan Perladangan Institut Skill-Tech cawangan Sabah yang bakal menerima sijil masing-masing dalam konvokesyen pada 10 September ini, sebanyak 50 peratus sudah bekerja di estet-estet perladangan di Sabah sebaik-baik sahaja tamat latihan. Manakala hampir 20 peratus sudah memulakan perniagaan terutama sebagai pengusaha kebun kecil kelapa sawit dan tanaman makanan. Bakinya pula sedang menunggu peluang untuk menyambung latihan ke peringkat tinggi dengan institusi pengajian awam yang mempunyai kerjasama dengan Institut Skill-Tech. Angka ini juga dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa. Sejarah penubuhan Institut Skill-Tech cawangan Sabah juga adalah signifikasi daripada minat yang mendalam golongan muda Sabah dalam sektor pertanian dan industri asas tani.
Sejak tahun 2008, hampir 1,200 orang pelatih dari Sabah telah dilatih di kampus utama Melaka dan cawangan di Keningau, Sabah. Permintaan yang tinggi setiap tahun telah mendorong Institut Skill-Tech menubuhkan cawangan Sabah bagi memenuhi keperluan perladangan dan pertanian di negeri tersebut. Kebetulan pula, etnik-etnik pelbagai kaum di Sabah kebanyakannya berlatar belakangkan budaya masyarakat pertanian seperti Kadazan Dusun, Murut dan lain-lain. Anjakan paradigma belia Sabah ini adalah sebahagian transformasi pertanian yang sudah terbukti benar-benar berjaya. Ini sekali gus dapat memenuhi hasrat kerajaan untuk melihat keberhasilan pelan transformasi ekonomi (PTE) yang antara lain untuk mencapai status negara maju dengan melahirkan masyarakat berpendapatan tinggi serta keterangkuman dalam agihan pendapatan negara termasuk rakyat Sabah dan Sarawak.
Apa yang penting sekarang ialah peranan semua pihak terutama agensi kerajaan untuk bersama-sama Institut Skill-Tech dan para graduannya bagi mengisi pembangunan pertanian di kalangan mereka pada peringkat post-latihan mengikut acuan transformasi ekonomi negara. Agenda ekonomi Bumiputera ini memerlukan penghayatan penuh ikhlas, dengan pelbagai usaha luar biasa serta menuntut kesabaran untuk mewujudkan pencapaian berganda. Memandangkan konvokesyen sulong Institut Skill-Tech Sabah diadakan pada hari Sabtu ini ketika negara dalam suasana sambutan kemerdekaan yang ke-54 serta perayaan Hari Malaysia pada 16 September, kejayaan para graduan telah membuktikan bahawa mereka mengisi telah kemerdekaan yang sudah dinikmati dengan menggalas tanggungjawab untuk mencemerlangkan lagi transformasi pertanian, seterusnya melangkah ke hadapan secara radikal mencapai mencapai status negara maju menjelang tahun 2020. Kejayaan mereka juga menepati pengertian tema sambutan hari kemerdekaan tahun ini iaitu 1Malaysia: Transformasi Berjaya, Rakyat Sejahtera. Tahniah buat semua graduan Institut Skill-Tech, cawangan Sabah!
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
9 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan