Oleh Barack Obama
Penulis ialah Presiden Amerika Syarikat
Pada Ulang Tahun Ke-10 serangan pengganas 11 September 2001, kita memperingati 11 September (9/11) bukan saja sebagai satu serangan ke atas Amerika Syarikat tetapi juga ke atas dunia dan kemanusiaan serta harapan yang kita kongsi bersama. Kita memperingati hampir 3,000 orang tidak bersalah yang kehilangan nyawa pada hari itu di kalangan ratusan rakyat daripada lebih 90 negara lelaki dan wanita, tua dan muda daripada pelbagai kaum dan agama. Pada ulang tahun hiba ini, kami bersama-sama dengan keluarga dan negara mereka memberi penghormatan memperingati mereka. Kita memperingati dengan penuh penghargaan bagaimana 10 tahun yang lalu dunia bergabung sebagai satu. Bagaimana bandar di seluruh dunia berhenti seketika untuk bertafakur, orang ramai berdoa di gereja, masjid, saumaah dan tempat ibadat lain. Kami di Amerika Syarikat tidak akan lupa bagaimana setiap orang di seluruh dunia berdiri bersama kami dan bersatu memegang lilin yang menyala dan memberikan kalungan bunga yang diletakkan di kedutaan kami. Kami memperingati pada minggu-minggu selepas 9/11, kita bertindak sebagai satu masyarakat antarabangsa.
Sebagai sebahagian daripada gabungan meluas negara, kita mengusir keluar al-Qaeda daripada kem latihan di Afghanistan, menggulingkan Taliban dan memberikan rakyat Afghanistan peluang untuk hidup bebas daripada keganasan. Bagaimanapun, tahun yang berikutnya adalah sukar dan semangat perkongsian global yang kita rasakan selepas 9/11 berada dalam keadaan rapuh. Sebagai Presiden, saya sudah berusaha untuk memperbaharui kerjasama global yang kita perlu untuk menangani pelbagai cabaran yang kita hadapi. Melalui era pembabitan baru, kita sudah menjalin kerjasama dengan negara dan rakyat berdasarkan kepentingan bersama dan sikap saling hormat menghormati. Sebagai masyarakat antarabangsa, kita sudah menunjukkan bahawa pengganas tidak dapat melawan kekuatan dan daya tahan rakyat kita. Saya sudah menjelaskan bahawa Amerika Syarikat bukan dan tidak akan berperang dengan Islam, sebaliknya, dengan sekutu dan rakan-rakan kita bersatu menentang al-Qaeda, yang telah menyerang berpuluh-puluh negara dan membunuh berpuluh-puluh ribu orang yang tidak berdosa, wanita dan kanak-kanak yang majoriti mereka ialah orang Islam. Minggu ini, kita memperingati semua mangsa al-Qaeda dan keberanian dan daya tahan yang ditunjukkan oleh keluarga mereka dan orang ramai dari Asia Barat hingga Eropah, dari Afrika hingga Asia.
Dengan bekerja bersama-sama, kita telah mengekang komplot al-Qaeda, menghapuskan Osama bin Laden dan kepemimpinannya dan menunjukkan jalan kekalahan untuk al-Qaeda. Sementara itu, rakyat di seluruh Asia Barat dan Afrika Utara menunjukkan bahawa jalan ke arah keadilan dan maruah adalah kuasa moral tanpa keganasan, bukannya kekejaman dan terorisme yang tidak berperikemanusiaan. Adalah jelas bahawa pelampau keganasan tidak diendahkan dan masa depan adalah milik orang yang mahu membina dan bukan memusnahkan. Bagi negara dan rakyat yang mencari masa depan yang aman dan makmur, anda mempunyai rakan kongsi di Amerika Syarikat. Walaupun kami menghadapi cabaran ekonomi di negara kami, Amerika Syarikat akan terus memainkan peranan kepemimpinan yang unik di dunia. Dalam pada kami mengundurkan tentera kami dari Iraq dan memindahkan tanggungjawab kami di Afghanistan, kami akan menyokong Iraq dan Afghanistan dalam usaha mereka untuk menjadikan negara mereka selamat dan memberikan peluang kepada rakyat mereka. Di dunia Arab dan rantau lain, kami akan berjuang untuk maruah dan hak sejagat untuk semua manusia.
Di seluruh dunia, kami akan terus bekerja keras untuk keamanan, menggalakkan pembangunan yang membantu manusia keluar daripada kemiskinan dan memajukan bidang keselamatan makanan, kesihatan dan tadbir urus yang baik yang berpotensi memberi manfaat kepada rakyat dan masyarakat. Pada masa sama, kami menekankan komitmen untuk hidup dalam nilai yang ada di negara kami. Sebagai sebuah negara pendatang, Amerika Syarikat mengalu-alukan orang dari setiap negara dan budaya. Rakyat Amerika yang baru ini seperti semua mangsa tidak berdosa yang pergi meninggalkan kita sepuluh tahun yang lalu mengingatkan kita bahawa walaupun ada perbezaan kaum atau etnik, latar belakang atau kepercayaan, kita semua disatukan dengan harapan yang sama bahawa kita boleh menjadikan dunia ini tempat yang lebih baik untuk generasi sekarang dan akan datang. Ia mesti menjadi warisan untuk mereka yang telah meninggalkan kita. Mereka yang menyerang kami pada 11 September ingin melaga-lagakan Amerika Syarikat dengan dunia. Mereka gagal. Pada ulang tahun ke-10 ini, kami bersatu dengan rakan-rakan dan teman-teman kami dalam mengingati semua orang yang kita telah hilang dalam perjuangan ini. Dalam memperingati mereka, kita mengukuhkan lagi semangat perkongsian dan hormat menghormati yang kita perlu untuk merealisasikan sebuah dunia di mana semua orang hidup dalam maruah, kebebasan dan keamanan.
SUMBER
BERITA HARIAN
Tiada ulasan:
Catat Ulasan