08 September 2011

ISU PENDIDIKAN : KEMELUT PENDIDIKAN TINGGI DI AMERIKA SYARIKAT


Peningkatan mendadak yuran pengajian di Amerika Syarikat (AS) menjadi masalah serius dalam kalangan pelajar dan penduduk di negara itu yang kini berdepan krisis ekonomi terburuk sejak 1930-an. Dalam tempoh sebulan yang lalu, pengurusan Universiti Michigan mengumumkan peningkatan yuran pengajian sebanyak tujuh peratus, Universiti Oklahoma menaikkan yuran sebanyak 4.8 peratus dan Universiti Nebraska pula sebanyak lima peratus untuk kemasukan pelajar-pelajar baharu. Kos yuran pengajian meningkat pantas berbanding kos-kos lain dalam eknomi negara ini, malah ia lebih pantas berbanding kos penjagaan kesihatan, kadar inflasi dan pendapatan keluarga,” kata Pengasas National Center for Public Policy and Higher Education, Patrick Callan. “Apa yang kita lalui dalam kemelesetan ekonomi hari ini ialah peningkatan trend yang berlaku sejak tiga dekad lalu menyebabkan kos itu terpaksa ditanggung oleh rakyat.” Kemarahan rakyat terhadap pemotongan bajet pendidikan menyaksikan berlakunya tunjuk perasaan pada Mac dan April lalu. 


Situasi itu jelas memberi tekanan kepada golongan pelajar yang kini bergelut dalam menangani beban kewangan yang kian bertambah. Situasi yang sama turut dirasai seorang penuntut baharu di Universiti Middle Tennessee, Natalie Papini. Menurut penerbitan online, Inside Higher Ed, pengurusan universiti itu telah mencadangkan peningkatan yuran pengajian dan kemasukan sebanyak 9.8 peratus tahun ini. “Saya berpendapat peningkatan ini tidak akan berhenti begitu sahaja. Ia akan terus meningkat pada masa-masa hadapan dan tidak akan turun,” kata Papini yang mendapat tawaran beberapa biasiswa namun, lebih rela membuat pinjaman buku-buku teks berbanding membelinya sendiri. “Kami tidak akan membuka alat pemanas pada musim sejuk nanti untuk menjimatkan wang dan kami juga tidak akan memandu ke mana-mana sekiranya tidak perlu,” katanya kepada AFP. Daripada lebih 2,000 universiti yang menawarkan kursus ijazah di AS, terdapat pelbagai kadar yuran yang ditawarkan, kata ahli ekonomi kanan di Pew Research Center, Richard Fry kepada AFP. Kadar terbaik yang ditawarkan setiap universiti, kebanyakannya terletak di negeri-negeri dan daerah yang jauh dari pusat bandar dengan kos mencecah antara AS$3,000 (RM9,000) hingga AS$9,000 (RM27,000) setahun.

Bagaimanapun, bagi universiti swasta dan yang berlokasi di kawasan urban, yuran pengajian yang dikenakan mencecah antara AS$21,000 (RM63,000) hingga AS$42,000 (RM126,000) setahun. Sementara itu, terdapat kurang daripada dua peratus universiti yang mengenakan yuran pengajian melebihi AS$42,000 (RM126,000) setahun. Menurut CollegeBoard, yang memantau trend di peringkat pendidikan tinggi, hanya terdapat satu pertiga dalam kalangan pelajar-pelajar sepenuh masa yang mampu meneruskan pengajian mereka tanpa menerima bantuan kewangan. Sebaliknya lebih ramai pelajar kini terpaksa membuat pinjaman untuk meneruskan pengajian mereka. “Salah satu cara golongan sederhana untuk berhadapan dengan peningkatan yuran pengajian ini adalah melalui pinjaman. “Tidak hairanlah, pinjaman yang melibatkan golongan ini meningkat mendadak. Sekiranya mereka melanjutkan pengajian di peringkat lebih tinggi seperti sarjana, lebih banyak wang yang perlukan,” kata Callan. Menurut CollegeBoard, jumlah pinjaman pendidikan meningkat sebanyak 10 peratus antara tahun 2009 hingga 2010.

Data pada tahun 2008 pula menunjukkan sebanyak 61 peratus pelajar-pelajar daripada keluarga sederhana yang bergantung dengan pendapatan antara AS$60,000 (RM180,000) hingga AS$90,000 (RM270,000) mempunyai hutang pendidikan sekitar AS$17,000 (RM51,000). Angka itu terus meningkat melibatkan institusi swasta yang tidak bersandarkan keuntungan di mana 75 peratus pelajar-pelajarnya mempunyai hutang pendidikan sekitar AS$21,000 (RM63,000). Bagi kolej yang bersandarkan keuntungan pula, lebih 99 peratus pelajar-pelajarnya kini terbeban dengan hutang pendidikan sehingga AS$34,600 (RM103,800) seorang. “Kebanyakan orang sudah mula bersuara: ‘Adakah berbaloi belajar di tempat yang mahal atau adakah ia mampu memberikan pendidikan terbaik jika menuntut di sana nanti?’,” katanya. Berdasarkan kajian dilakukan Pew Research pada Mei lalu, sebanyak 57 peratus rakyat AS berpendapat sistem pendidikan tinggi di negara itu gagal memberikan pelajar dan keluarga mereka pulangan setimpal daripada wang yang telah dilaburkan. “Walaubagaimanapun, adalah lebih baik memasuki kolej atau universiti terutama ketika krisis ekonomi yang melanda di mana kadar pengangguran dalam kalangan mereka yang bergraduasi adalah rendah berbanding mereka yang tidak bergraduasi,” ujar Callan.

Sementara itu, Fry pula memberitahu yuran pengajian di kolej dan universiti masih tinggi disebabkan masyarakat bersedia membayarnya kerana lazimnya, peluang pekerjaan yang dijanjikan lebih cerah jika menuntut di pusat-pusat pengajian tinggi yang mahal itu. Bagaimanapun, kadar yuran pengajian yang tinggi menjadi halangan terhadap usaha negara itu mencapai kejayaan yang diidamkan. “Keseluruhan sistem ini menjadi bersusun lapis mengikut pendapatan,” jelas Callan.


SUMBER
HARIAN KOSMO
8 SEPTEMBER 2011


ISU PENDIDIKAN : GAGAL DALAM AKADEMIK, TAK PERLULAH MERENDAH DIRI, PENDIDIKAN VOKASIONAL ADALAH PENYELAMAT

Susunan Ruhaiza Rusmin
ruhaizarusmin@hmetro.com.my
         

Di tengah kekalutan masyarakat antarabangsa yang asyik mahukan kecemerlangan akademik semata-mata, mereka terlupa mengenai sumbangan pendidikan vokasional menjadi penyelamat kepada golongan pelajar tertentu. Hakikatnya, pendidikan vokasional tidak segah pendidikan konvensional yang tampak lebih berjaya dalam melahirkan pelajar cemerlang serta mendapat pengiktirafan namun kehebatan pendidikan vokasional tidak boleh diketepikan begitu saja. Kegagalan atau kejayaan pelajar perlu diterima dengan hati terbuka, namun tidak semua mampu melakukannya menyebabkan kebanyakan yang tercicir mudah membabitkan diri dengan jenayah dan samseng. Pendidikan ini adalah penyelamat dan harus dibanggakan. Usah malu andai kata anda berpendidikan vokasional kerana sumbangannya tiada nilai meskipun sering kali dianggap sebagai kelas kedua. Kalaulah bukan kerana pendidikan ini, saya tidak tahu apa akan terjadi, mungkin saya masih makan gaji, hidup terumbang-ambing atau hanya menikmati kehidupan sederhana, bukan kemewahan seperti ini, kata presiden Corbin Building Inc, Oakland, Josef Corbin.

Dia adalah contoh kejayaan pelajar vokasional di negara berkenaan yang bukan saja mampu keluar daripada kepompong kegagalan akademik empat dekad lalu malah menjadi antara usahawan berjaya di negeri berkenaan. Corbin, 54, mengakui pendidikan vokasional sering kali diperlekehkan kerana dianggap kelas kedua selain tidak mampu menjadi jaminan memperoleh pekerjaan yang baik. Menurutnya, tanggapan itu juga menjadikan masyarakat terus menganggap pendidikan itu tiada nilai selain tidak menyedari sebenarnya pandangan skeptikal itulah yang memberi kejayaan kepada pelajar. Masyarakat lebih senang bercerita mengenai kejayaan anak mereka dalam akademik meskipun pencapaiannya tidaklah cemerlang. Mereka berpendapat kecemerlangan itu sudah cukup menjadi aset memasuki kolej atau universiti. Manakala pelajar yang tidak cemerlang dan memilih memasuki aliran vokasional dipandang sinis selain tidak diberi harapan untuk berjaya. Apakah tanggapan itu betul apabila mereka melihat kejayaan beliau kini? Bagi beliau , vokasional adalah sesuatu yang hebat bukan untuk diperlekehkan.

Pelajar yang mengikutinya tidak perlu rasa rendah atau susah hati kerana masing-masing mempunyai kelebihan. Yang penting bagaimana kita menentu atau mencorakkan pilihan itu dan menjadikan seseorang itu bergelar manusia berjaya sehingga mampu mengatasi kekecewaan lalu,” katanya. Mengikut fakta yang dikeluarkan Jabatan Pendidikan Bersatu Oakland, kadar keciciran pelajar semakin menunjukkan kebimbangan dan memerlukan pendekatan segera untuk mengatasinya. Data terbaru menunjukkan 18.2 peratus pelajar di California tercicir daripada pengajian peringkat menengah iaitu dua kali ganda meningkat dari 2010. Sukarelawan di jabatan berkenaan, Troy Flint, berkata peningkatan itu menunjukkan masyarakat perlu bertindak pantas membantu pelajar tercicir supaya masalah tidak semakin melarat. Kini masanya untuk membantu mereka supaya tidak terus tercicir dan menjadi mangsa percaturan pihak tertentu. Tidak perlu lagi bersikap saling menyalah kerana keadaan semakin membimbangkan. Masanya sudah tiba untuk memberi tumpuan kepada aspek yang boleh membantu mereka. Jikalau akademik menjadi puncanya, masih ada alternatif lain boleh membantu.

Yang penting berikan mereka peluang mencorakkan masa depan. Jika sudah tidak suka pada akademik, fokuskan pula pada vokasional kerana ia juga berguna. Percayalah, sikap prejudis dan ego tidak akan membantu. Bolehkah kita hanya berpeluk tubuh semata-mata tidak bersetuju dengan dasar atau tanggapan yang belum tentu benar sedangkan pelajar itu sedang mencari arah hidup. Paling menakutkan, katanya, apabila mereka dengan mudah terpengaruh dengan anasir membinasakan seperti terbabit dengan samseng dan jenayah sekali gus meningkatkan lagi kadar gejala sosial sedia ada. Menurutnya, masyarakat tidak boleh terlalu terkongkong dengan tanggapan pendidikan vokasional tidak mempunyai masa depan kerana sekurang-kurangnya ia boleh membantu membina kemahiran bagi mencari pekerjaan kelak. Masyarakat mahu hidup selamat dan menolak jenayah tapi tahukah mengapa ia berlaku? Kerana semuanya memerlukan duit untuk meneruskan kehidupan. Bayangkan sekiranya kita tidak memberi peluang kepada mereka, apakah yang akan terjadi?

Sekurang-kurangnya mereka perlu mencari arah hidup dan tidak memulangkan kesusahan itu semula kepada masyarakat,” katanya mengakui penolakan itu disebabkan kegagalan memahami fungsi sebenar sistem pendidikan diperkenalkan. Mereka muda tapi tidak berpelajaran juga tanpa kemahiran pekerjaan, jika mereka terbabit dalam jenayah, adakah masyarakat mahu mempertikaikannya? Sistem pendidikan luas konsepnya namun hairan mengapa masih ada pihak yang tidak boleh menerimanya? Adakah ini kerana beranggapan akademik adalah tiket paling besar untuk menjadi gah dan terkenal ataupun sememangnya aliran lain tidak bagus hingga ditolak begitu saja. Bagaimanapun, beliau mengakui kekurangan sistem pendidikan vokasional mungkin menjadi punca terhadap pandangan serong itu sekali gus mengakibatkan usaha atau penerangan semakin sukar. Di sini (Oakland) hanya ada beberapa buah sekolah vokasional dengan tumpuan dalam penjagaan kesihatan. Itu sudah tentu tidak memadai kerana keperluan mencakupi kepelbagaian aspek dan kehendak. Memang kami memerlukan penambahan sekolah namun tentu pula berdepan pelbagai masalah lain, bajet, misalnya. Ini cabaran dan dilema paling kritikal kerana membabitkan peruntukan malah tekanan masyarakat juga tidak sehebat ini. Tiadanya peruntukan menyebabkan masalah semakin meruncing. Pelajar ini perlu diselamatkan namun jika sekolah tidak ditambah, sudah tentu segalanya gagal begitu saja sekali gus memperjudikan nasib mereka di jalan raya serta jenayah.

SUMBER
HARIAN METRO
5 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : OPS SIKAP KE-24, REKOD TERBURUK PERNAH DICATAT


Ops Sikap ke-24 selama 15 hari sempena Aidilfitri yang berakhir semalam, mencatatkan rekod kematian terburuk sejak operasi itu dilancarkan 11 tahun lalu dengan 289 kematian dicatatkan dalam tempoh itu. Rekod terburuk pernah direkodkan sebelum ini ialah ketika Ops Sikap ke-3 pada musim Aidilfitri 2002 yang menyaksikan 285 pengguna jalan raya terkorban. Hari ke-15 Ops Sikap ke-24 kelmarin menyaksikan sembilan lagi kematian dicatatkan membabitkan empat penunggang motosikal, dua pengguna kereta dan masing-masing satu kematian membabitkan pengguna basikal, pemandu lori dan lain-lain kenderaan. Rekod sembilan kematian yang dicatatkan kelmarin adalah jumlah kematian terendah sehari yang dicatatkan sepanjang Ops Sikap ke-24 dilancarkan pada 23 Ogos lalu.  Seramai 248 orang terkorban dalam nahas jalan raya pada Ops Sikap sempena musim perayaan Aidilfitri tahun lalu.  Daripada 289 kematian dilaporkan sejak 15 hari lalu, 178 kematian atau 62 peratus membabitkan penunggang dan pembonceng motosikal. 


Hari terakhir juga turut menyaksikan penurunan kes kemalangan iaitu sebanyak 1,186 kes berbanding 1,400 kes kemalangan pada hari sebelumnya dengan 503 kemalangan berlaku di jalan bandaran, 275 di jalan persekutuan, 212 di jalan negeri, 115 kes di lebuhraya dan 81 kes di lain-lain jalan. Sebanyak 19,606 kemalangan dilaporkan sepanjang Ops Sikap ke-24, manakala 113,392 dikeluarkan bagi pelbagai kesalahan dalam tempoh sama.

SUMBER
BERITA HARIAN
8 SEPTEMBER 2011

07 September 2011

ISU SOSIAL : HENTIKAN TABIAT LIAT BAYAR HUTANG

Oleh ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan Perakaunan dan Kewangan,
Kolej Perniagaan (COB), Universiti Utara Malaysia


Sepanjang  Hari Raya Aidilfitri ini terdapat beberapa iklan raya yang mengamit lagi kemeriahannya. Antara iklan di televisyen yang menarik perhatian penulis ialah iklan Hari Raya Aidilfitri Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Yang membuatkan penulis tertarik kerana mesejnya yang tersendiri agar peminjam PTPTN membayar hutang mereka selepas tamat belajar. Selalunya iklan promosi pemberian pinjaman kepada bakal peminjam seperti mana yang banyak kita lihat iklan-iklan yang ditampal oleh "ah long tidak berlesen" dan "berlesen" di merata-rata tempat. Jarang sekali ada iklan yang menyuruh si peminjam membayar kembali hutang mereka. Ia seolah-olah menggambarkan betapa ada di antara peminjam PTPTN cukup liat untuk membayar hutang mereka sehinggakan terpaksa menyediakan satu iklan khas di televisyen bagi memujuk mereka membayar kembali hutang PTPTN. Perkara ini terbukti benar apabila sehingga 31 Julai lalu, PTPTN telah bertindak menyaman 184,083 peminjam disebabkan mereka gagal menjelaskan hutang PTPTN. Angka ini cukup besar sama sekali kerana ia menggambarkan sejauh manakah peminjam PTPTN melaksanakan tanggungjawab, amanah dan kewajipan mereka sebagai peminjam.

Ini baru pinjaman pelajaran, bagaimana pula hutang-hutang lain seperti hutang peribadi, kad kredit dan sebagainya? Penulis penuh yakin terdapat kes yang mana si peminjam memang sejak dari awal lagi tidak mahu membayar pinjaman. Wang pinjaman diambil, tetapi tidak mahu membayar kembali. Rakyat Malaysia sememangnya diketahui suka berhutang. Maklumlah biar papa asalkan bergaya. Sebab itulah "ah long berlesen" tumbuh bagaikan cendawan selepas hujan. Nak salahkan mereka seratus peratus pun tidak kena gayanya kerana diri sendiri juga bersalah, meminjam wang sesuka hati. Jika tidak, mustahil "ah long berlesen" dan "ah long tidak berlesen" mampu hidup mewah dek kerana bisnes pinjaman. Lagipun strategi kekerasan mereka membuatkan si peminjam terpaksa membayar hutang mereka. Mungkin ini satu-satunya cara untuk "mengajar" mereka yang degil membayar hutang. Sudah tentu PTPTN tidak akan menggunakan cara yang sama, tetapi natijahnya kepada generasi yang akan datang. Dana pinjaman akan berkurangan, si peminjam yang liat membayar hutang tidak memikirkan perkara ini. Yang mereka fikirkan diri sendiri, walhal mereka sebenarnya menyusahkan generasi akan datang termasuklah anak mereka sendiri.

Tetapi ini tidak bermakna PTPTN tidak boleh mengutip hutang si peminjam secara cekap. Antara yang boleh dilakukan ialah dengan memotong gaji si peminjam secara automatik menggunakan modus operandi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Dengan kata lain, sejak hari pertama mereka bekerja, majikan diwajibkan memotong gaji peminjam PTPTN secara automatik. Dalam kes KWSP, 11 peratus daripada pendapatan. PTPTN boleh mengambil tindakan yang sama sebagai penanda aras. Selepas perayaan Aidilfitri, ada yang tidak nyenyak tidur memikirkan hutang-hutang yang telah dibuat bagi meraikan Hari Raya secara bergaya dan bermewah-mewah. Ada yang sanggup berhutang beribu-ribu semata-mata untuk menunjuk-nunjuk kepada orang-orang kampung betapa hebatnya mereka. Kereta baru, telefon bimbit terkini dan tidak kurang juga pakaian serba mahal. Ini tidak termasuk kasut dan beg tangan yang harganya hanya yang bergaji enam angka sahaja mampu membeli. Tetapi masih memaksa diri untuk membelinya. Alasan mudah setahun sekali. Memanglah setahun sekali tetapi apa guna merana bertahun-tahun.  Hidup tidak tenteram dengan hutang keliling pinggang. Walhal, bagi penulis perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Peminjam sudah semestinya memahami tanggungjawab untuk membayar hutang mereka.

Menyusahkan diri sendiri sahaja disebabkan terpaksa berhutang untuk berlagak dan menunjuk-nunjuk. Ada yang umur sudah menjangkau 40 tahun pun masih tidak sedar. Simpanan kosong. Apabila dinasihati pandai pula menjawab, "Duit KWSP kan ada, boleh guna untuk persaraan nanti, lagipun masa muda-muda inilah nak bergaya". Memang susah untuk menyedarkan golongan sebegini. Bahkan, lagi susah untuk mengubah mentaliti si peminjam yang liat membayar hutang mereka. Pelbagai alasan diberi. Yang belajar tinggi-tinggi sehingga ke menara gading dalam bidang perakaunan dan kewangan pun ramai tidak mengamalkan ilmu yang dipelajari. Mereka juga terjebak dalam perangkap hutang. Tidak mengapalah jika berhutang dan akhirnya menunaikan janji untuk membayar kembali. Yang menjadi masalah, berhutang tetapi liat membayar. Tidakkah Islam menyuruh umatnya menyegerakan pembayaran hutang selain menyegerakan urusan pengebumian jenazah dan menyegerakan perkahwinan anak perempuan yang dipinang orang?  Azab bagi sesiapa yang liat membayar hutang bukan sahaja ketika hidup tetapi juga selepas meninggal dunia. Roh si peminjam akan tergantung-gantung sehinggalah dijelaskan hutangnya. Jika masih tidak dibayar, hutang tersebut akan diadili di akhirat nanti. Justeru, buang tabiat liat membayar hutang. Jika tidak mampu, lebih baik tidak berhutang. Hati senang dan fikiran pun tenang.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 SEPTEMBER 2011

ISU SOSIAL : HEBATNYA PEMANDU TEKSI KITA


Pada 6 September 2011 tersiar satu surat dalam akhbar NST bertajuk Taxi drivers not using meter atau pemandu teksi tidak guna meter. Di Malaysia, negara kita tercinta ini, terutamanya di kota raya Lembah Klang, ia bukan sesuatu yang luar biasa. Ia sudah biasa. Di negara lain, pemandu-pemandu teksinya takut kepada pihak penguat kuasa. Di negara kita, pemandu tidak takut dengan pihak penguat kuasa. Mungkin, penguat kuasa yang takut dengan mereka? Atau mungkin kerana pihak penguat kuasa tidak menguatkuasakan kekuatan mereka ke atas pemandu-pemandu berkenaan. Jika tidak sudah tentu masalah begitu tidak akan berlaku? Banyak ketika, penumpang yang mengadu kepada pemandu teksi, mengapa tak pakai meter, mereka pula kena herdik: ''Pergilah repot!'' Wow, begitu berani sekali mereka. Untuk berlaku adil bukan semua pemandu teksi berkelakuan begitu. Tapi banyak yang berkelakuan begitu. Penulis surat di NST itu memberi nama Steenk dari Hong Kong. Tulisannya berbunyi: "Saya amat tertarik membaca rencana dalam akhbar tuan mengenai pemandu-pemandu teksi yang mengenakan caj tanpa menggunakan meter. Saya berada di Kuala Lumpur lebih tiga minggu dan menghadapi situasi itu setiap hari. Ia menakutkan dan memenatkan. Ia bukan sahaja berlaku di perhentian kereta api atau bas, tapi berlaku di seluruh bandar raya, dan bagi saya yang paling teruk ialah di Subang Parade, terutama di luar pusat membeli-belah Carrefour.

Pemandu-pemandu yang kasar mengancam penumpang yang enggan membayar apa yang mereka tuntut. Sungguh mengecewakan kerana gelagat seperti ini masih berlaku." Itulah kisah pelawat dari negara luar itu. Saya pernah ke Hong Kong, pemandu teksinya sama seperti negara-negara maju lain. Mereka tidak menganiaya penumpang. Mereka ikut peraturan. Baru-baru ini saya ke Dubai selama seminggu. Selama itu juga banyak kali saya menggunakan teksi. Kebanyakan pemandu ialah dari India, Pakistan dan Yaman. Kesemua mereka cukup mesra dengan penumpang asing, seperti saya. Pemandu-pemandu itu semuanya makan gaji dengan pengusaha teksi yang dikendalikan oleh Pihak Berkuasa Pengangkutan Dubai. Mereka tidak 'kongkalikong' dengan penumpang kerana takut kena pecat. Kalau kena pecat kena hantar balik kampung. Mereka juga takut dengan pihak berkuasa sekiranya mereka didapati menyeleweng dengan penumpang, mereka boleh masuk penjara. Di dalam teksi tertera pelekat tertulis: ''Jika pemandu tidak menggunakan meter, penumpang tidak perlu membayar tambang." Namun, bagi pemandu kita di sini, para pelancong asing, terutamanya pelancong Arablah yang sering menjadi mangsa mereka. Kita pun tidak terkecuali.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 SEPTEMBER 2011

06 September 2011

ISU UMUM : MISI KEMANUSIAAN PERLU PROSEDUR OPERASI STANDARD

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Kementerian Penerangan telah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara terutama di negara sedang bergolak atau berlaku perang saudara. SOP akan menjadi panduan kepada sesiapa saja yang menyertai misi kemanusiaan termasuk sukarelawan dan wartawan yang membuat liputan mengenai misi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk terkena tembakan curi kumpulan bertelagah. Saranan itu terbit selepas jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, maut akibat terkena peluru sesat pada Jumaat lalu ketika membuat liputan misi kemanusiaan selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 8 September lalu bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia. Kematian Noramfaizul membuka mata banyak pihak mengenai langkah wajar perlu diambil sebelum mengikuti misi kemanusiaan, lebih-lebih lagi di negara diklasifikasi sebagai tidak selamat untuk dikunjungi. Keberanian 55 sukarelawan termasuk 17 wakil media ke Somalia bagi menjayakan misi kemanusiaan terutama menjelang Aidilfitri wajar dihargai kerana ia satu pengorbanan berjauhan dengan keluarga di samping membawa nama Malaysia di luar negara.

Pelbagai persiapan juga perlu diambil kira pengamal media sebelum mengikuti misi kemanusiaan. Antaranya mengikuti kursus khas dikendalikan pakar keselamatan atau peperangan yang biasanya veteran tentera berpengalaman.  Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata menghantar peserta misi kemanusiaan mengikuti kursus khas satu kemestian jika negara dituju itu berdepan konflik termasuk perang saudara atau perbalahan berpanjangan. Kursus itu penting supaya peserta mendapat pengetahuan am dan asas keadaan geografi, lokasi dan risiko berada di kawasan itu, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan rapi.  “Pakar yang memberi kursus perlu mahir selok-belok sesuatu negara atau kawasan, memberi tunjuk ajar menyelamatkan diri jika diserang termasuk memilih tembok atau tempat berlindung,” katanya.  Beliau yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi, Kolej Universiti HELP menjelaskan, segala input dan maklumat dibekalkan pakar perlu dijadikan pedoman kepada anggota misi kerana ia menentukan hidup mati mereka. “Memang ajal dan maut adalah ketentuan Allah, namun persediaan rapi membantu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.

Anggota misi juga wajar dibekalkan peralatan khas seperti jaket dan topi kalis peluru. Sambil mengakui jaket dan topi kalis peluru tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan pemakainya kerana masih mempunyai kelemahan, ia juga banyak membantu mengurangkan kematian dan kecederaan.  “Jaket kalis peluru mempunyai jenis dan kualiti berbeza. Jaket kalis peluru diperbuat daripada seramik dan besi mampu menahan peluru mesingan dan jaket biasa mampu kalis tembakan pistol. “Tidak semua tempat selamat untuk memakai jaket kalis peluru kerana negara Amerika Selatan seperti di Colombia, pemakainya dianggap ejen pihak berkuasa dan tidak akan terlepas daripada sasaran penembak,” katanya. Selain itu, penganjur misi kemanusiaan perlu menjalin hubungan rapat dengan kumpulan pemerhati antarabangsa dan NGO kemanusiaan negara asing yang sudah lama bertapak di sesuatu kawasan. Kumpulan atau NGO ini biasanya sudah ‘masak’ dengan kegiatan pihak tertentu termasuk pemberontak atau penembak hendap, sekali gus membolehkan penganjur menyusun jadual perjalanan lebih selamat. Paling penting, anggota misi kemanusiaan tidak terlalu menonjolkan diri kepada penduduk setempat bagi mengelak menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan kehadiran mereka.

“Sebolehnya, kita bersikap pasif, merendah diri dan tidak terlalu ghairah menonjolkan kehadiran di tempat berisiko tinggi.  “Bukan semua orang di tempat yang kita hantar bantuan itu suka dengan kita. Mungkin puak yang berperang tidak suka kehadiran kita kerana dianggap menjejaskan kepentingan dan pengaruh mereka. Berbaik dengan pasukan pemerhati antarabangsa kerana mereka lebih tahu bila masa terbaik boleh keluar. Hubungan dengan wartawan tempatan juga penting kerana mereka mahir keadaan di sana,” katanya. Akhbar turut mencadangkan supaya SOP atau apa juga panduan yang ditetapkan itu mewajibkan sukarelawan mengikuti kursus kaunseling sebelum dan selepas misi bagi mengatasi masalah trauma yang mungkin dilalui.  “Aspek emosi dan tekanan mereka juga perlu diambil kira. Dalam kes Noramfaizul, ada wartawan trauma dengan kejadian itu dan perlu diberi kaunseling. Trauma mungkin sehingga enam atau lapan minggu. Jika tidak dirawat, ia memberi kesan seperti hilang selera makan dan lemah semangat kerana tidak dapat melupakan peristiwa berdarah menimpa rakan mereka,” katanya.

Paling penting wartawan yang membuat liputan di kawasan bergolak perlu bersikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selaras dengan Protokol Tambahan, Konvensyen Geneva 1949, berkaitan Perlindungan Terhadap Mangsa Konflik Bersenjata Antarabangsa (Protokol I) 1977. Protokol itu menetapkan wartawan yang membuat liputan dalam misi profesional berbahaya di kawasan konflik senjata dianggap sebagai orang awam, mereka dilindungi mengikut konvensyen dan protokol berkenaan dan memiliki kad pengenalan yang sah dikeluarkan kerajaan di mana wartawan itu menetap.

SUMBER
BERITA HARIAN
6 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : MEMBETULKAN MATLAMAT SEKOLAH BERASRAMA PENUH

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM 
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran.


Ramai  yang merasa lega dan sangat bersetuju apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kriteria baru bagi pelajar miskin dan luar bandar untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun 2012. Kelulusan UPSR 3A dan 1B bagi pelajar daripada keluarga miskin dan 4A dan 1B bagi pelajar luar bandar sangat berpatutan dan sesuai dengan kekurangan yang mereka alami jika dibandingkan dengan pelajar lain yang dikira lebih bernasib baik. Ini memberi peluang kepada pelajar yang kurang mampu tetapi berkebolehan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan seterusnya dapat mengubah nasib serta masa depan mereka. SBP yang terawal ditubuhkan ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar yang didirikan pada tahun 1905. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak Melayu dan setelah menamatkan pengajian mereka diserapkan dalam pentadbiran kerajaan Inggeris. Kejayaan Kolej Melayu yang dihuni sepenuhnya oleh pelajar lelaki telah membawa kepada penubuhan sebuah lagi SBP iaitu Kolej Tengku Khursiah, Seremban.

Sekolah ini menempatkan sepenuhnya pelajar perempuan dan ke semua mereka tinggal di asrama. Dengan kemudahan dan kelengakapan pendidikan yang mencukupi termasuk guru yang terlatih, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya untuk memahami perkembangan pendidikan SBP kita seharusnya merujuk kepada sejarah kedatangan penjajah ke negara ini. Penjajah Inggeris bukan sahaja memperkenalkan sistem pentadbiran negara yang moden tetapi turut membawa bersama mereka sistem pendidikan yang baru. Sekolah rendah dan menengah mula didirikan dengan menggunakan kurikulum pengantar bahasa Inggeris. Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh badan-badan mubaligh Kristian yang berpusat di England, Belanda, Perancis dan Itali. Sesungguhnya penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini telah melebarkan lagi jurang pendidikan di kalangan kanak-kanak pelbagai kaum kerana kebanyakan pelajar di sekolah tersebut adalah terdiri daripada pelajar keturunan Cina dan India. Sementara itu kebanyakan kanak-kanak Melayu lebih berpusat di sekolah-sekolah Melayu atau sekolah aliran agama yang menggunakan sistem Pondok.

Terdapat beberapa sebab mengapa jumlah pelajar Melayu sangat sedikit bilangannya yang belajar di sekolah Inggeris jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. Faktor utama ialah kerana lokasi atau kedudukan sekolah-sekolah tersebut terletak di kawasan bandar, misalnya Penang Free School, Victoria Institution Kuala Lumpur, St. Micheal Ipoh, Malacca High School, Muar High School dan puluhan sekolah yang lain. Kekurangan pelajar Melayu disebabkan juga faktor persepsi. Kebanyakan ibu bapa Melayu merasa kurang selesa dan bimbang terhadap pengaruh agama Kristian. Pada hakikatnya pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Inggeris ini sangat beruntung kerana mendapat pendidikan akademik yang baik berasaskan kurikulum dan sistem pendidikan di United Kingdom. Pelajar-pelajar lepasan sekolah ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan mereka diajar oleh guru-guru terlatih yang pada peringkat awalnya kebanyakan berasal dari India dan Sri Lanka. Sementara itu kebanyakan pengetua dan guru besar sekolah adalah terdiri daripada orang Inggeris yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan sekolah di negara asalnya. Kenyataannya ramai pelajar lepasan sekolah tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya ke England, Australia atau New Zealand.

Di samping itu pelajar-pelajar lain mempunyai pilihan yang luas dalam memilih bidang kerjaya masing-masing. Dengan kebolehan menguasai bahasa Inggeris yang baik amat mudah mereka diserapkan dalam pentadbiran penjajah atau bekerja di syarikat-syarikat swasta kepunyaan Inggeris yang menguasai ekonomi negara ketika itu. Datuk Abdul Razak Hussain yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran sangat menyedari situasi tersebut dan implikasinya terhadap pembinaan negara bangsa. Itulah sebabnya dalam Laporan Razak (1956) beliau mencadangkan ditubuhkan SBP untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang miskin dan tinggal di luar bandar tetapi berbakat untuk diberikan pendidikan yang terbaik dan setaraf dengan sekolah-sekolah Inggeris. Melalui cadangan dan pengakuan dalam Laporan Razak itu maka tertubuhlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pada tahun 1956 untuk menempatkan pelajar luar bandar yang berkebolehan. Kemudian diikuti SBP lain seperti Sekolah Alam Shah, Cheras; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur; Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Dengan tertubuhnya SBP di awal era kemerdekaan ini telah memberi peluang kepada ribuan pelajar-pelajar miskin dan mereka yang datang daripada luar bandar mendapat pendidikan yang terbaik. Semua pelajar tinggal di asrama dengan mendapat makanan yang berzat, kehidupan di asrama yang teratur, diajar oleh guru-guru yang terlatih dan pengurusan sekolah sentiasa dipantau oleh Unit SBP, Kementerian Pelajaran. Penubuhan SBP yang lebih banyak berlaku selepas terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970) di mana sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains. Kejayaan yang dibuktikan melalui pendidikan SBP menyebabkan ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka bersekolah di sana. Permintaan yang tinggi untuk memasuki SBP dan pencapaian pelajar yang telah terbukti menyebabkan Kementerian Pelajaran menambah bilangan SBP setiap tahun. Hingga kini bilangannya lebih 60 buah yang terdapat di seluruh negara. Kini isu yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran sejak beberapa tahun yang lepas ialah terlalu ramai bilangan permohonan untuk memasuki sekolah itu. 


Walaupun kelulusan minimum yang ditetapkan ialah 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSR tetapi bilangan pelajar yang mendapat 5A adalah jauh lebih besar daripada tempat yang disediakan di SBP. Pelbagai cara digunakan oleh ibu bapa untuk memastikan agar anak mereka dapat ditempatkan di sekolah berkenaan. Dasar meritokrasi yang diamalkan dalam pemilihan untuk memasuki SBP telah melenyapkan peluang anak-anak daripada keluarga miskin dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Secara logiknya anak-anak dari golongan berada dan sederhana serta tinggal di kawasan bandar mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Oleh itu perubahan dasar seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah lama dinantikan dan ada berkaitan dengan usaha untuk memperbetulkan semula matlamat asal penubuhan SBP. Diharapkan peluang ini membolehkan pelajar miskin dan pelajar daripada kawasan luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik melalui sistem pendidikan di SBP. Inilah yang dinamakan 'pendemokrasian dalam pendidikan.' Moga-moga anak-anak yang kurang bernasib baik ini akan terbela nasib mereka dan mempunyai masa depan yang lebih cerah melalui peluang pendidikan yang disediakan di SBP.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 SEPTEMBER 2011

05 September 2011

ISU UMUM : PEMERGIAN NORAMFAIZUL JADI TITIK TOLAK

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my


Kematian wartawan dan pengamal media ketika bertugas, terutama di medan perang atau di negara yang menghadapi perang saudara bukan perkara baru. Ratusan wartawan, jurugambar dan jurukamera televisyen terkorban ketika membuat liputan perang saudara di Amerika Selatan dan beberapa negara di Afrika serta pergolakan di Asia Barat, peperangan di Bosnia, Iraq dan Afghanistan. Badan pemerhati media, Reporters Without Borders (RSF) melaporkan 38 wartawan terkorban ketika melaksanakan tugas mereka di seluruh dunia tahun ini. Di Somalia saja, negara yang dikategorikan oleh RSF sebagai paling berbahaya untuk pengamal media, 23 wartawan dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan perang saudara di negara itu sejak 2007. Statistik itu tidak termasuk Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BERNAMA TV yang terkorban terkena tembakan curi ketika menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Jumaat lalu.  Tahun lalu, 57 wartawan terkorban ketika bertugas termasuk tiga di Somalia, manakala setahun sebelum itu, 75 wartawan terbunuh dan sembilan daripadanya berlaku di Somalia.

Di Somalia jugalah lima tentera Malaysia terkorban ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara 1993 hingga 1994.  Yang jelas, kerjaya wartawan sama seperti polis, tentera dan bomba, terdedah kepada risiko dan bahaya.  Dalam mengejar berita muka depan atau mendapatkan gambar dan visual yang menarik untuk dipilih sebagai tajuk utama, wartawan dan jurukamera terpaksa berdepan dengan bahaya, terutama di kawasan berisiko tinggi.  Malah di negara aman seperti Malaysia pun, wartawan berdepan dengan risiko lain seperti diancam, disaman dan dimusuhi oleh pihak yang berasakan sesuatu laporan itu tidak menyebelahi mereka.  Kejadian menimpa Allahyarham Noramfaizul dan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, yang cedera di lengan terkena tembakan itu, mengejutkan semua pihak kerana mereka ke sana bukan membuat liputan perang, tetapi mengenai usaha rakyat Malaysia menghulur bantuan kepada rakyat Somalia yang menderita kebuluran.  Berdasarkan cerita daripada rakan wartawan yang berada dalam kenderaan itu ketika kejadian, ia berlaku secara tiba-tiba ketika mereka sudah hampir ke pusat penginapan dengan diiringi sendiri oleh tentera kerajaan.

Mereka tidak diberikan jaket kalis peluru kerana pihak berkuasa di sana sudah memberi jaminan keadaan terkawal dan keselamatan peserta misi itu sentiasa diawasi oleh tentera.  Kepada masyarakat pengamal media tempatan, kejadian ini menyedihkan kerana ia pertama kali membabitkan kematian rakan seperjuangan ketika bertugas di luar negara. Wartawan Malaysia pernah diserang hendap ketika menyertai misi kemanusiaan seperti di Iraq pada 2003 dan apabila tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk Gaza tahun lalu, tetapi semuanya terselamat.  Sementara bersedih atas pemergian beliau, kita juga berbangga dengan ciri wartawan sejati yang ditunjukkan Allahyarham ketika melaksanakan tugas ketika hayatnya untuk menyajikan laporan terbaik kepada rakyat negara ini. Walaupun kejadian yang menimpa Noramfaizul ini diharap tidak akan mematahkan usaha Misi Kemanusiaan Kelab Pemuda 1Malaysia ke luar negara dan semangat wartawan untuk terus membuat liputan di negara berisiko tinggi, ia juga harus menjadikan kita lebih berhati-hati dan mengetatkan prosedur keselamatan pada masa depan.


Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, kejadian yang menimpa Allahyarham Noramfaizul itu sesuatu yang tidak diduga dan dikategorikan sebagai ‘collateral damage.’ Namun tidak salah untuk semua pihak – penganjur dan agensi media – mengkaji semula prosedur sedia ada bagi memastikan keselamatan peserta dan wartawan yang menyertai misi seumpamanya pada masa akan datang. Kepada keluarga Noramfaizul, kita berharap mereka reda dengan ketentuan Allah ini. Hanya mereka yang pernah kehilangan orang tersayang dapat memahami kesedihan atas pemergian Allahyarham. Bagaimanapun, satu hari nanti anak Allahyarham boleh berbangga kerana ayah mereka terkorban ketika menyertai misi untuk membantu insan yang memerlukan. 

Al-Fatihah.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU UMUM : INSTITUSI MEDIA TEMPATAN PATUT RANGKA LATIHAN BERDEPAN NEGARA KONFLIK


Kematian  jurukamera BERNAMA TV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, ketika bertugas di Somalia, Jumaat lalu, secara pilu menggambarkan kepada kita bahawa bahayanya tugas wartawan di zon konflik. Noramfaizul – menjadi wartawan pertama Malaysia terbunuh dalam zon konflik pada era moden ini – ditembak mati oleh penembak curi ketika dalam perjalanan bersama kumpulan wartawan yang membuat liputan misi bantuan Malaysia ke negara Afrika utara bergolak itu yang dilanda kebuluran. Seorang lagi jurugambar, Aji Saregar Mazlan daripada TV3 yang berada dalam kenderaan sama dengan Allahyarham cedera di bahu. Kejadian malang berkenaan menambahkan lagi jumlah kematian wartawan ketika bertugas di seluruh dunia. April lalu, dua wartawan masing-masing dari Britain dan Amerika Syarikat mati ketika membuat liputan di Libya, manakala pada November 2009, dunia dikejutkan dengan pembunuhan 29 orang wartawan dalam satu serang hendap di selatan Filipina. Menurut perangkaan Committee to Protect Journalists (CPJ) atau Jawatankuasa Perlindungan Wartawan, 40 wartawan terbunuh ketika bertugas dalam zon konflik tahun lalu, menyusuli 72 yang terbunuh pada tahun sebelumnya. Statistik berkenaan kemungkinan akan terus dicatatkan pada masa akan datang. Bagaimanapun, ia tidak akan melunturkan semangat institusi media untuk terus menghantar wartawan masing-masing bagi memberi laporan langsung dari medan konflik.

Institusi media di negara kita tidak terkecuali. Sejak perang Iraq, bencana alam tsunami, keganasan Israel di Lubnan, Gaza dan perang di Bosnia, Afghanistan serta Somalia berpuluh-puluh wartawan Malaysia sudah menyabung nyawa membuat liputan di zon konflik terbabit. Walaupun serba kekurangan, wartawan Malaysia tidak hanya terperuk di hotel seperti dilakukan oleh sesetengah wartawan ternama dari agensi berita Barat. Walaupun tidak dibekalkan baju kalis peluru, topi besi mahupun perlindungan insurans perang seperti dinikmati rakan sejawatan mereka dari negara Barat, wartawan Malaysia ini tetap cekal membuat liputan dari tempat berbahaya. Institusi media Barat tidak mungkin akan menghantar wartawan mereka ke zon konflik tanpa kemudahan berkenaan, selain memastikan wartawan mereka menjalani latihan ‘suasana ganas’ terlebih dulu. Mungkin sudah tiba masa institusi media negara ini merangka latihan sedemikian serta membekalkan wartawan mereka dengan kemudahan keselamatan dan perlindungan insurans yang memadai bagi mengurangkan risiko terkorban di medan konflik. Bagi memperingati pengorbanan Noramfaizul, ada baiknya juga jika Institut Akhbar Malaysia pada masa depan memperkenalkan anugerah jurugambar zon konflik cemerlang atas nama Allahyarham.

SUMBER
RUANGAN MINDA PENGARANG
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN MAMPU MERAPATKAN JURANG BUDAYA AKADEMIA DAN PASARAN TEKNOLOGI

Oleh Dr Sharifah Hapsah
bhnews@bharian.com.my


Universiti penyelidikan diharap membantu kerancakan ekonomi dipacu inovasi menerusi pemindahan ilmu dan teknologi yang mampu mentransformasi pengeluaran dan perkhidmatan sedia ada atau melancar syarikat baru berteraskan teknologi. Pemindahan ini melonjak pertumbuhan perniagaan dan dalam proses mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan kehidupan yang lebih berkualiti. Untuk mencapai matlamat berkenaan, universiti penyelidikan semestinya melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara secara berkesan. Yang pertama, kita mesti menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber manusia berkeusahawanan dan berinovasi tinggi, terutama pada peringkat sarjana dan kedoktoran yang arif dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P), inovasi, pengurusan teknologi dan memiliki pengalaman dalam keusahawanan.  Yang kedua, kita mesti mencipta laluan yang berjaya membawa P&P kepada inovasi dan pengkomersialan. Pelancaran syarikat terbitan universiti (university start-ups) atau STU sudah dibuktikan memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah pelesenan, melainkan bagi beberapa produk perubatan yang menakjubkan. Ini memerlukan pembangunan usahawan berteknologi (technostarters) daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik.

Yang ketiga, kita mesti terbabit sama dengan pihak kerajaan, badan korporat dan industri, institusi akademik lain serta masyarakat pada peringkat lokal dan global kerana inovasi tidak berlangsung dalam keadaan terasing. Nilai kewangan dan manfaat sosial inovasi dinikmati oleh pelbagai pemegang taruh yang merangkai ikatan dalam suatu sistem inovasi yang berkesan. Melalui pembabitan dan kerjasama berkesan kita dapat mengenal pasti kekuatan rakan dan mengumpil segala sumber untuk menambah baik peluang ekonomi berasaskan inovasi.  Contohnya, pihak swasta dan yayasan memainkan peranan utama dalam kerjasama penyelidikan universiti-industri dari segi menaja kursi penyelidikan, membiayai P&P, malah terbabit secara langsung dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan inisiatif berasaskan teknologi.  Yang keempat, kita perlu menyediakan sistem pelaksanaan berkesan dari segi tadbir urus baik dan infrastruktur sokongan mencukupi, kepemimpinan berketrampilan dan pengurusan bakat yang adil dan telus.  Harapan terhadap kemampuan melancar STU dan menghasilkan siswazah berorientasi baru memerlukan perubahan minda dari segi penerimaan inovasi dan keusahawanan (I&E) sebagai nilai utama akademik atau budaya universiti.

Ini bermakna kita menyepadukan I&E dalam P&P dan kurikulum pada peringkat pra dan pascasiswazah.  Dalam budaya I&E, ahli akademik sudah mula memikirkan kebolehpasaran teknologi yang bakal dihasilkan daripada awal penyelidikan lagi. Penyelidik dan pelajar dibantu dalam pembangunan prototaip dan model perniagaan yang boleh menarik pelabur. Kurikulum menghasilkan bukan saja siswazah inovatif, terutama jurutera, saintis dan pakar pembangunan produk, tetapi juga pengurus keusahawanan atau kumpulan bakat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mahir menjana nilai STU.  Syarikat terbitan milik universiti dan pelabur dilancarkan oleh CEO yang memberi pulangan kepada institusi, fakulti dan pelajar. Bagaimanapun, kita sedar bahawa dunia akademia dan pasaran sangat berbeza dari segi sekitaran, nilai dan budaya.  Contohnya, ada isu berkaitan penggunaan masa fakulti untuk mengejar matlamat pengkomersialan daripada hasil penyelidikan universiti. Begitu juga berlaku konflik ketara antara keperluan akademik untuk bebas menerbit dengan kehendak perniagaan bagi kerahsiaan perniagaan.  

Untuk membina budaya I&E kita perlu merapatkan jurang budaya antara akademia dengan pasaran di samping mengukuhkan kekuatan masing-masing. Tapak pertemuan yang dibina subur untuk pelancaran STU demi perkembangan perniagaan dan industri – sama ada perniagaan kecil, sederhana atau besar-besaran. Kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kumpulan bakat baru dan menarik pelabur.  Setiap universiti mestilah mempunyai inisiatif membina keupayaan dalam inovasi teknologi dan keusahawanan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman luas dalam I&E. Salah satu rakan ialah Stevens Institute of Technology, di New Jersey, institusi ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang menjana pendapatan daripada penyelidikan.  Bengkel intensif diadakan bagi membimbing penyelidik UKM bagaimana menilai teknologi mereka dan mendapat bantuan berniaga menerusi khidmat nasihat, kejurulatihan, kajian pasaran dan pengenalan kepada pelabur berpotensi atau rakan industri. Peserta membangunkan pelan perniagaan yang berkemungkinan berjaya di samping membangunkan produk ke arah menubuhkan STU.  

Dalam proses berkenaan, mereka mempelajari banyak kemahiran, seperti rundingan strategik dengan pelanggan, pembiaya, pelabur, rakan kongsi dan pesaing. Mereka juga mempelajari bagaimana merangka strategi melepaskan STU dari segi merancang peluang pelaburan yang dapat mengoptimumkan pendapatan daripada perniagaan menerusi kefahaman perspektif pelabur yang lebih baik. Lebih penting lagi, mereka belajar bagaimana membuat keputusan yang lebih berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan. Dengan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Stevens, UKM kini menggubal kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui paduan perniagaan dengan pengurusan teknologi. Bermula dari tahun pertama, sehingga projek STU pada tahun akhir, pelajar akan menempuh pengalaman membawa konsep penyelidikan kepada tahap produk dan penjanaan hasil. Mereka juga berpeluang menyelesaikan masalah sebenar syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenal pasti kehendak pasaran. Pada peringkat pascasiswazah pula, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan teknologi mereka bagi menghasilkan idea perniagaan.

Pada akhirnya pelajar akan keluar dengan keupayaan membangun dan melancarkan syarikat. Jika mereka diambil sebagai pekerja, mereka memiliki keterampilan inovasi untuk meningkatkan produktiviti firma mereka. Inisiatif membina keupayaan harus juga disasarkan kepada kepemimpinan universiti, seperti dekan dan pengarah yang menjadi elemen genting dalam transformasi menjadi universiti penyelidikan yang dipacu inovasi. Mereka perlu memahami kenapa dan bagaimana membina iklim I&E, contohnya melalui kejelasan mengenai kekuatan dan fokus asas penyelidikan, memberi kepemimpinan mantap, dan menyediakan insentif dan ganjaran yang bersesuaian. Mereka mesti memahami perkara berkaitan pembiayaan tahap permulaan dan modal benih, kemudahan makmal dan inkubator, bantuan perundangan, pengurusan sumber pembinaan keupayaan dan peluang jaringan. Universiti harus juga mengukuhkan keperluan prasarana dan dasar harta intelek serta insentif hak milik yang menyokong usaha pemindahan teknologi universiti. Di UKM contohnya, Pusat Inovasi Kolaboratif menerusi Pejabat Pemindahan Teknologi dan UKM Technology Bhd menyediakan bantuan yang sangat diperlukan untuk meniti ‘Lembah Maut’ yang berada di antara hasil penyelidikan universiti dengan pasaran.

Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS bersama-sama Graduate School of Business ialah tempat menyokong keusahawanan pelajar. Hingga kini, UKM sudah menguruskan 15 lesen dan melancarkan 33 STU, 20 diuruskan UKM Technology Bhd dan 10 di bawah perkongsian pintar UKM-MTDC Symbiosis Graduate Entrepreneurship Programme. Bakinya diusahakan bersama Multimedia Development Corporation dan BiotechCorp. Kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenal pasti 15 teknologi yang berpotensi dikomersialkan bersama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan PKS. Pemindahan teknologi universiti ialah proses yang kompleks. Namun kita sudah memulakan perjalanan membentuk bakat muda menjadi saintis dan teknousahawan serta menubuh STU yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteraskan inovasi. Pastinya kita akan menemui kegagalan tetapi kita beriltizam mempelajari darinya sebagai prinsip asas demi terus membawa inovasi dan keusahawanan melangkah ke hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011