JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 September 2011

ISU UMUM : PEMERGIAN NORAMFAIZUL JADI TITIK TOLAK

Oleh Manja Ismail
manja@bharian.com.my


Kematian wartawan dan pengamal media ketika bertugas, terutama di medan perang atau di negara yang menghadapi perang saudara bukan perkara baru. Ratusan wartawan, jurugambar dan jurukamera televisyen terkorban ketika membuat liputan perang saudara di Amerika Selatan dan beberapa negara di Afrika serta pergolakan di Asia Barat, peperangan di Bosnia, Iraq dan Afghanistan. Badan pemerhati media, Reporters Without Borders (RSF) melaporkan 38 wartawan terkorban ketika melaksanakan tugas mereka di seluruh dunia tahun ini. Di Somalia saja, negara yang dikategorikan oleh RSF sebagai paling berbahaya untuk pengamal media, 23 wartawan dilaporkan terbunuh ketika membuat liputan perang saudara di negara itu sejak 2007. Statistik itu tidak termasuk Allahyarham Noramfaizul Mohd Nor, jurukamera BERNAMA TV yang terkorban terkena tembakan curi ketika menyertai Misi Kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia di Mogadishu, Jumaat lalu.  Tahun lalu, 57 wartawan terkorban ketika bertugas termasuk tiga di Somalia, manakala setahun sebelum itu, 75 wartawan terbunuh dan sembilan daripadanya berlaku di Somalia.

Di Somalia jugalah lima tentera Malaysia terkorban ketika menyertai misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) antara 1993 hingga 1994.  Yang jelas, kerjaya wartawan sama seperti polis, tentera dan bomba, terdedah kepada risiko dan bahaya.  Dalam mengejar berita muka depan atau mendapatkan gambar dan visual yang menarik untuk dipilih sebagai tajuk utama, wartawan dan jurukamera terpaksa berdepan dengan bahaya, terutama di kawasan berisiko tinggi.  Malah di negara aman seperti Malaysia pun, wartawan berdepan dengan risiko lain seperti diancam, disaman dan dimusuhi oleh pihak yang berasakan sesuatu laporan itu tidak menyebelahi mereka.  Kejadian menimpa Allahyarham Noramfaizul dan jurukamera TV3, Aji Saregar Mazlan, yang cedera di lengan terkena tembakan itu, mengejutkan semua pihak kerana mereka ke sana bukan membuat liputan perang, tetapi mengenai usaha rakyat Malaysia menghulur bantuan kepada rakyat Somalia yang menderita kebuluran.  Berdasarkan cerita daripada rakan wartawan yang berada dalam kenderaan itu ketika kejadian, ia berlaku secara tiba-tiba ketika mereka sudah hampir ke pusat penginapan dengan diiringi sendiri oleh tentera kerajaan.

Mereka tidak diberikan jaket kalis peluru kerana pihak berkuasa di sana sudah memberi jaminan keadaan terkawal dan keselamatan peserta misi itu sentiasa diawasi oleh tentera.  Kepada masyarakat pengamal media tempatan, kejadian ini menyedihkan kerana ia pertama kali membabitkan kematian rakan seperjuangan ketika bertugas di luar negara. Wartawan Malaysia pernah diserang hendap ketika menyertai misi kemanusiaan seperti di Iraq pada 2003 dan apabila tentera Israel menyerang kapal Mavi Marmara yang membawa bantuan untuk Gaza tahun lalu, tetapi semuanya terselamat.  Sementara bersedih atas pemergian beliau, kita juga berbangga dengan ciri wartawan sejati yang ditunjukkan Allahyarham ketika melaksanakan tugas ketika hayatnya untuk menyajikan laporan terbaik kepada rakyat negara ini. Walaupun kejadian yang menimpa Noramfaizul ini diharap tidak akan mematahkan usaha Misi Kemanusiaan Kelab Pemuda 1Malaysia ke luar negara dan semangat wartawan untuk terus membuat liputan di negara berisiko tinggi, ia juga harus menjadikan kita lebih berhati-hati dan mengetatkan prosedur keselamatan pada masa depan.


Seperti kata Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak semalam, kejadian yang menimpa Allahyarham Noramfaizul itu sesuatu yang tidak diduga dan dikategorikan sebagai ‘collateral damage.’ Namun tidak salah untuk semua pihak – penganjur dan agensi media – mengkaji semula prosedur sedia ada bagi memastikan keselamatan peserta dan wartawan yang menyertai misi seumpamanya pada masa akan datang. Kepada keluarga Noramfaizul, kita berharap mereka reda dengan ketentuan Allah ini. Hanya mereka yang pernah kehilangan orang tersayang dapat memahami kesedihan atas pemergian Allahyarham. Bagaimanapun, satu hari nanti anak Allahyarham boleh berbangga kerana ayah mereka terkorban ketika menyertai misi untuk membantu insan yang memerlukan. 

Al-Fatihah.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: