Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my
Kementerian Penerangan telah mencadangkan prosedur operasi standard (SOP) diwujudkan bagi menjayakan misi kemanusiaan di luar negara terutama di negara sedang bergolak atau berlaku perang saudara. SOP akan menjadi panduan kepada sesiapa saja yang menyertai misi kemanusiaan termasuk sukarelawan dan wartawan yang membuat liputan mengenai misi itu bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku termasuk terkena tembakan curi kumpulan bertelagah. Saranan itu terbit selepas jurukamera BERNAMATV, Noramfaizul Mohd Nor, 40, maut akibat terkena peluru sesat pada Jumaat lalu ketika membuat liputan misi kemanusiaan selama 10 hari bermula 29 Ogos hingga 8 September lalu bagi membantu mangsa kebuluran di Somalia anjuran Kelab Putera 1Malaysia. Kematian Noramfaizul membuka mata banyak pihak mengenai langkah wajar perlu diambil sebelum mengikuti misi kemanusiaan, lebih-lebih lagi di negara diklasifikasi sebagai tidak selamat untuk dikunjungi. Keberanian 55 sukarelawan termasuk 17 wakil media ke Somalia bagi menjayakan misi kemanusiaan terutama menjelang Aidilfitri wajar dihargai kerana ia satu pengorbanan berjauhan dengan keluarga di samping membawa nama Malaysia di luar negara.
Pelbagai persiapan juga perlu diambil kira pengamal media sebelum mengikuti misi kemanusiaan. Antaranya mengikuti kursus khas dikendalikan pakar keselamatan atau peperangan yang biasanya veteran tentera berpengalaman. Pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata menghantar peserta misi kemanusiaan mengikuti kursus khas satu kemestian jika negara dituju itu berdepan konflik termasuk perang saudara atau perbalahan berpanjangan. Kursus itu penting supaya peserta mendapat pengetahuan am dan asas keadaan geografi, lokasi dan risiko berada di kawasan itu, sekali gus membolehkan mereka membuat persediaan rapi. “Pakar yang memberi kursus perlu mahir selok-belok sesuatu negara atau kawasan, memberi tunjuk ajar menyelamatkan diri jika diserang termasuk memilih tembok atau tempat berlindung,” katanya. Beliau yang juga Pengarah Institut Jenayah dan Kriminologi, Kolej Universiti HELP menjelaskan, segala input dan maklumat dibekalkan pakar perlu dijadikan pedoman kepada anggota misi kerana ia menentukan hidup mati mereka. “Memang ajal dan maut adalah ketentuan Allah, namun persediaan rapi membantu mengurangkan risiko kematian atau kecederaan jika berlaku kejadian tidak diingini,” katanya.
Anggota misi juga wajar dibekalkan peralatan khas seperti jaket dan topi kalis peluru. Sambil mengakui jaket dan topi kalis peluru tidak dapat menjamin 100 peratus keselamatan pemakainya kerana masih mempunyai kelemahan, ia juga banyak membantu mengurangkan kematian dan kecederaan. “Jaket kalis peluru mempunyai jenis dan kualiti berbeza. Jaket kalis peluru diperbuat daripada seramik dan besi mampu menahan peluru mesingan dan jaket biasa mampu kalis tembakan pistol. “Tidak semua tempat selamat untuk memakai jaket kalis peluru kerana negara Amerika Selatan seperti di Colombia, pemakainya dianggap ejen pihak berkuasa dan tidak akan terlepas daripada sasaran penembak,” katanya. Selain itu, penganjur misi kemanusiaan perlu menjalin hubungan rapat dengan kumpulan pemerhati antarabangsa dan NGO kemanusiaan negara asing yang sudah lama bertapak di sesuatu kawasan. Kumpulan atau NGO ini biasanya sudah ‘masak’ dengan kegiatan pihak tertentu termasuk pemberontak atau penembak hendap, sekali gus membolehkan penganjur menyusun jadual perjalanan lebih selamat. Paling penting, anggota misi kemanusiaan tidak terlalu menonjolkan diri kepada penduduk setempat bagi mengelak menjadi sasaran pihak yang tidak senang dengan kehadiran mereka.
“Sebolehnya, kita bersikap pasif, merendah diri dan tidak terlalu ghairah menonjolkan kehadiran di tempat berisiko tinggi. “Bukan semua orang di tempat yang kita hantar bantuan itu suka dengan kita. Mungkin puak yang berperang tidak suka kehadiran kita kerana dianggap menjejaskan kepentingan dan pengaruh mereka. Berbaik dengan pasukan pemerhati antarabangsa kerana mereka lebih tahu bila masa terbaik boleh keluar. Hubungan dengan wartawan tempatan juga penting kerana mereka mahir keadaan di sana,” katanya. Akhbar turut mencadangkan supaya SOP atau apa juga panduan yang ditetapkan itu mewajibkan sukarelawan mengikuti kursus kaunseling sebelum dan selepas misi bagi mengatasi masalah trauma yang mungkin dilalui. “Aspek emosi dan tekanan mereka juga perlu diambil kira. Dalam kes Noramfaizul, ada wartawan trauma dengan kejadian itu dan perlu diberi kaunseling. Trauma mungkin sehingga enam atau lapan minggu. Jika tidak dirawat, ia memberi kesan seperti hilang selera makan dan lemah semangat kerana tidak dapat melupakan peristiwa berdarah menimpa rakan mereka,” katanya.
Paling penting wartawan yang membuat liputan di kawasan bergolak perlu bersikap neutral dan tidak menyebelahi mana-mana pihak selaras dengan Protokol Tambahan, Konvensyen Geneva 1949, berkaitan Perlindungan Terhadap Mangsa Konflik Bersenjata Antarabangsa (Protokol I) 1977. Protokol itu menetapkan wartawan yang membuat liputan dalam misi profesional berbahaya di kawasan konflik senjata dianggap sebagai orang awam, mereka dilindungi mengikut konvensyen dan protokol berkenaan dan memiliki kad pengenalan yang sah dikeluarkan kerajaan di mana wartawan itu menetap.
SUMBER
BERITA HARIAN
6 SEPTEMBER 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan