JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 September 2011

ISU PENDIDIKAN : UNIVERSITI PENYELIDIKAN MAMPU MERAPATKAN JURANG BUDAYA AKADEMIA DAN PASARAN TEKNOLOGI

Oleh Dr Sharifah Hapsah
bhnews@bharian.com.my


Universiti penyelidikan diharap membantu kerancakan ekonomi dipacu inovasi menerusi pemindahan ilmu dan teknologi yang mampu mentransformasi pengeluaran dan perkhidmatan sedia ada atau melancar syarikat baru berteraskan teknologi. Pemindahan ini melonjak pertumbuhan perniagaan dan dalam proses mencipta pekerjaan berpendapatan tinggi dan kehidupan yang lebih berkualiti. Untuk mencapai matlamat berkenaan, universiti penyelidikan semestinya melaksanakan sekurang-kurangnya empat perkara secara berkesan. Yang pertama, kita mesti menyediakan pendidikan berkualiti untuk melahirkan sumber manusia berkeusahawanan dan berinovasi tinggi, terutama pada peringkat sarjana dan kedoktoran yang arif dalam penyelidikan dan pembangunan (P&P), inovasi, pengurusan teknologi dan memiliki pengalaman dalam keusahawanan.  Yang kedua, kita mesti mencipta laluan yang berjaya membawa P&P kepada inovasi dan pengkomersialan. Pelancaran syarikat terbitan universiti (university start-ups) atau STU sudah dibuktikan memberi pulangan yang lebih lumayan berbanding kaedah pelesenan, melainkan bagi beberapa produk perubatan yang menakjubkan. Ini memerlukan pembangunan usahawan berteknologi (technostarters) daripada kalangan ahli akademik dan penyelidik.

Yang ketiga, kita mesti terbabit sama dengan pihak kerajaan, badan korporat dan industri, institusi akademik lain serta masyarakat pada peringkat lokal dan global kerana inovasi tidak berlangsung dalam keadaan terasing. Nilai kewangan dan manfaat sosial inovasi dinikmati oleh pelbagai pemegang taruh yang merangkai ikatan dalam suatu sistem inovasi yang berkesan. Melalui pembabitan dan kerjasama berkesan kita dapat mengenal pasti kekuatan rakan dan mengumpil segala sumber untuk menambah baik peluang ekonomi berasaskan inovasi.  Contohnya, pihak swasta dan yayasan memainkan peranan utama dalam kerjasama penyelidikan universiti-industri dari segi menaja kursi penyelidikan, membiayai P&P, malah terbabit secara langsung dalam aktiviti keusahawanan dan pembangunan inisiatif berasaskan teknologi.  Yang keempat, kita perlu menyediakan sistem pelaksanaan berkesan dari segi tadbir urus baik dan infrastruktur sokongan mencukupi, kepemimpinan berketrampilan dan pengurusan bakat yang adil dan telus.  Harapan terhadap kemampuan melancar STU dan menghasilkan siswazah berorientasi baru memerlukan perubahan minda dari segi penerimaan inovasi dan keusahawanan (I&E) sebagai nilai utama akademik atau budaya universiti.

Ini bermakna kita menyepadukan I&E dalam P&P dan kurikulum pada peringkat pra dan pascasiswazah.  Dalam budaya I&E, ahli akademik sudah mula memikirkan kebolehpasaran teknologi yang bakal dihasilkan daripada awal penyelidikan lagi. Penyelidik dan pelajar dibantu dalam pembangunan prototaip dan model perniagaan yang boleh menarik pelabur. Kurikulum menghasilkan bukan saja siswazah inovatif, terutama jurutera, saintis dan pakar pembangunan produk, tetapi juga pengurus keusahawanan atau kumpulan bakat ketua pegawai eksekutif (CEO) yang mahir menjana nilai STU.  Syarikat terbitan milik universiti dan pelabur dilancarkan oleh CEO yang memberi pulangan kepada institusi, fakulti dan pelajar. Bagaimanapun, kita sedar bahawa dunia akademia dan pasaran sangat berbeza dari segi sekitaran, nilai dan budaya.  Contohnya, ada isu berkaitan penggunaan masa fakulti untuk mengejar matlamat pengkomersialan daripada hasil penyelidikan universiti. Begitu juga berlaku konflik ketara antara keperluan akademik untuk bebas menerbit dengan kehendak perniagaan bagi kerahsiaan perniagaan.  

Untuk membina budaya I&E kita perlu merapatkan jurang budaya antara akademia dengan pasaran di samping mengukuhkan kekuatan masing-masing. Tapak pertemuan yang dibina subur untuk pelancaran STU demi perkembangan perniagaan dan industri – sama ada perniagaan kecil, sederhana atau besar-besaran. Kita boleh mewujudkan lebih banyak pekerjaan, kumpulan bakat baru dan menarik pelabur.  Setiap universiti mestilah mempunyai inisiatif membina keupayaan dalam inovasi teknologi dan keusahawanan. Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) contohnya, bekerjasama dengan rakan yang mempunyai pengalaman luas dalam I&E. Salah satu rakan ialah Stevens Institute of Technology, di New Jersey, institusi ketiga terbaik dalam kalangan universiti di Amerika Syarikat yang menjana pendapatan daripada penyelidikan.  Bengkel intensif diadakan bagi membimbing penyelidik UKM bagaimana menilai teknologi mereka dan mendapat bantuan berniaga menerusi khidmat nasihat, kejurulatihan, kajian pasaran dan pengenalan kepada pelabur berpotensi atau rakan industri. Peserta membangunkan pelan perniagaan yang berkemungkinan berjaya di samping membangunkan produk ke arah menubuhkan STU.  

Dalam proses berkenaan, mereka mempelajari banyak kemahiran, seperti rundingan strategik dengan pelanggan, pembiaya, pelabur, rakan kongsi dan pesaing. Mereka juga mempelajari bagaimana merangka strategi melepaskan STU dari segi merancang peluang pelaburan yang dapat mengoptimumkan pendapatan daripada perniagaan menerusi kefahaman perspektif pelabur yang lebih baik. Lebih penting lagi, mereka belajar bagaimana membuat keputusan yang lebih berkesan dalam menghadapi pelbagai cabaran sebagai usahawan. Dengan memanfaatkan kekuatan yang dimiliki Stevens, UKM kini menggubal kurikulum yang memperkayakan pengalaman pembelajaran pelajar melalui paduan perniagaan dengan pengurusan teknologi. Bermula dari tahun pertama, sehingga projek STU pada tahun akhir, pelajar akan menempuh pengalaman membawa konsep penyelidikan kepada tahap produk dan penjanaan hasil. Mereka juga berpeluang menyelesaikan masalah sebenar syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dengan mengenal pasti kehendak pasaran. Pada peringkat pascasiswazah pula, pelajar MBA bekerjasama dengan penyelidik dan teknologi mereka bagi menghasilkan idea perniagaan.

Pada akhirnya pelajar akan keluar dengan keupayaan membangun dan melancarkan syarikat. Jika mereka diambil sebagai pekerja, mereka memiliki keterampilan inovasi untuk meningkatkan produktiviti firma mereka. Inisiatif membina keupayaan harus juga disasarkan kepada kepemimpinan universiti, seperti dekan dan pengarah yang menjadi elemen genting dalam transformasi menjadi universiti penyelidikan yang dipacu inovasi. Mereka perlu memahami kenapa dan bagaimana membina iklim I&E, contohnya melalui kejelasan mengenai kekuatan dan fokus asas penyelidikan, memberi kepemimpinan mantap, dan menyediakan insentif dan ganjaran yang bersesuaian. Mereka mesti memahami perkara berkaitan pembiayaan tahap permulaan dan modal benih, kemudahan makmal dan inkubator, bantuan perundangan, pengurusan sumber pembinaan keupayaan dan peluang jaringan. Universiti harus juga mengukuhkan keperluan prasarana dan dasar harta intelek serta insentif hak milik yang menyokong usaha pemindahan teknologi universiti. Di UKM contohnya, Pusat Inovasi Kolaboratif menerusi Pejabat Pemindahan Teknologi dan UKM Technology Bhd menyediakan bantuan yang sangat diperlukan untuk meniti ‘Lembah Maut’ yang berada di antara hasil penyelidikan universiti dengan pasaran.

Pusat Keusahawanan dan Pembangunan PKS bersama-sama Graduate School of Business ialah tempat menyokong keusahawanan pelajar. Hingga kini, UKM sudah menguruskan 15 lesen dan melancarkan 33 STU, 20 diuruskan UKM Technology Bhd dan 10 di bawah perkongsian pintar UKM-MTDC Symbiosis Graduate Entrepreneurship Programme. Bakinya diusahakan bersama Multimedia Development Corporation dan BiotechCorp. Kerjasama dengan Agensi Inovasi Malaysia (AIM) mengenal pasti 15 teknologi yang berpotensi dikomersialkan bersama syarikat berkaitan kerajaan atau GLC dan PKS. Pemindahan teknologi universiti ialah proses yang kompleks. Namun kita sudah memulakan perjalanan membentuk bakat muda menjadi saintis dan teknousahawan serta menubuh STU yang dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara dan menjamin kedudukan Malaysia dalam ekonomi berteraskan inovasi. Pastinya kita akan menemui kegagalan tetapi kita beriltizam mempelajari darinya sebagai prinsip asas demi terus membawa inovasi dan keusahawanan melangkah ke hadapan.

Penulis ialah Naib Canselor, Universiti Kebangsaan Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
5 SEPTEMBER 2011

Tiada ulasan: