06 September 2011

ISU PENDIDIKAN : MEMBETULKAN MATLAMAT SEKOLAH BERASRAMA PENUH

TAN SRI ALIMUDDIN MOHD DOM 
Bekas Ketua Pengarah Pelajaran.


Ramai  yang merasa lega dan sangat bersetuju apabila Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, mengumumkan kriteria baru bagi pelajar miskin dan luar bandar untuk memasuki Sekolah Berasrama Penuh (SBP) mulai tahun 2012. Kelulusan UPSR 3A dan 1B bagi pelajar daripada keluarga miskin dan 4A dan 1B bagi pelajar luar bandar sangat berpatutan dan sesuai dengan kekurangan yang mereka alami jika dibandingkan dengan pelajar lain yang dikira lebih bernasib baik. Ini memberi peluang kepada pelajar yang kurang mampu tetapi berkebolehan untuk mendapat pendidikan yang sempurna dan seterusnya dapat mengubah nasib serta masa depan mereka. SBP yang terawal ditubuhkan ialah Kolej Melayu Kuala Kangsar yang didirikan pada tahun 1905. Tujuan penubuhannya adalah untuk memberi pendidikan terbaik kepada anak-anak Melayu dan setelah menamatkan pengajian mereka diserapkan dalam pentadbiran kerajaan Inggeris. Kejayaan Kolej Melayu yang dihuni sepenuhnya oleh pelajar lelaki telah membawa kepada penubuhan sebuah lagi SBP iaitu Kolej Tengku Khursiah, Seremban.

Sekolah ini menempatkan sepenuhnya pelajar perempuan dan ke semua mereka tinggal di asrama. Dengan kemudahan dan kelengakapan pendidikan yang mencukupi termasuk guru yang terlatih, sekolah ini telah melahirkan ramai pelajar yang berjaya dalam pelbagai bidang. Sesungguhnya untuk memahami perkembangan pendidikan SBP kita seharusnya merujuk kepada sejarah kedatangan penjajah ke negara ini. Penjajah Inggeris bukan sahaja memperkenalkan sistem pentadbiran negara yang moden tetapi turut membawa bersama mereka sistem pendidikan yang baru. Sekolah rendah dan menengah mula didirikan dengan menggunakan kurikulum pengantar bahasa Inggeris. Sekolah-sekolah ini dikendalikan oleh badan-badan mubaligh Kristian yang berpusat di England, Belanda, Perancis dan Itali. Sesungguhnya penubuhan sekolah-sekolah Inggeris ini telah melebarkan lagi jurang pendidikan di kalangan kanak-kanak pelbagai kaum kerana kebanyakan pelajar di sekolah tersebut adalah terdiri daripada pelajar keturunan Cina dan India. Sementara itu kebanyakan kanak-kanak Melayu lebih berpusat di sekolah-sekolah Melayu atau sekolah aliran agama yang menggunakan sistem Pondok.

Terdapat beberapa sebab mengapa jumlah pelajar Melayu sangat sedikit bilangannya yang belajar di sekolah Inggeris jika dibandingkan dengan pelajar bukan Melayu. Faktor utama ialah kerana lokasi atau kedudukan sekolah-sekolah tersebut terletak di kawasan bandar, misalnya Penang Free School, Victoria Institution Kuala Lumpur, St. Micheal Ipoh, Malacca High School, Muar High School dan puluhan sekolah yang lain. Kekurangan pelajar Melayu disebabkan juga faktor persepsi. Kebanyakan ibu bapa Melayu merasa kurang selesa dan bimbang terhadap pengaruh agama Kristian. Pada hakikatnya pelajar-pelajar yang belajar di sekolah Inggeris ini sangat beruntung kerana mendapat pendidikan akademik yang baik berasaskan kurikulum dan sistem pendidikan di United Kingdom. Pelajar-pelajar lepasan sekolah ini dapat menguasai bahasa Inggeris dengan baik dan mereka diajar oleh guru-guru terlatih yang pada peringkat awalnya kebanyakan berasal dari India dan Sri Lanka. Sementara itu kebanyakan pengetua dan guru besar sekolah adalah terdiri daripada orang Inggeris yang mempunyai pengalaman luas dalam pengurusan sekolah di negara asalnya. Kenyataannya ramai pelajar lepasan sekolah tersebut berpeluang melanjutkan pelajaran ke luar negara khususnya ke England, Australia atau New Zealand.

Di samping itu pelajar-pelajar lain mempunyai pilihan yang luas dalam memilih bidang kerjaya masing-masing. Dengan kebolehan menguasai bahasa Inggeris yang baik amat mudah mereka diserapkan dalam pentadbiran penjajah atau bekerja di syarikat-syarikat swasta kepunyaan Inggeris yang menguasai ekonomi negara ketika itu. Datuk Abdul Razak Hussain yang ketika itu menjadi Menteri Pelajaran sangat menyedari situasi tersebut dan implikasinya terhadap pembinaan negara bangsa. Itulah sebabnya dalam Laporan Razak (1956) beliau mencadangkan ditubuhkan SBP untuk memberi peluang kepada anak-anak Melayu yang miskin dan tinggal di luar bandar tetapi berbakat untuk diberikan pendidikan yang terbaik dan setaraf dengan sekolah-sekolah Inggeris. Melalui cadangan dan pengakuan dalam Laporan Razak itu maka tertubuhlah Sekolah Tuanku Abdul Rahman di Ipoh pada tahun 1956 untuk menempatkan pelajar luar bandar yang berkebolehan. Kemudian diikuti SBP lain seperti Sekolah Alam Shah, Cheras; Sekolah Dato' Abdul Razak, Seremban; Sekolah Seri Puteri Jalan Kolam Ayer, Kuala Lumpur; Sekolah Sultan Abdul Halim, Jitra dan Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru.

Dengan tertubuhnya SBP di awal era kemerdekaan ini telah memberi peluang kepada ribuan pelajar-pelajar miskin dan mereka yang datang daripada luar bandar mendapat pendidikan yang terbaik. Semua pelajar tinggal di asrama dengan mendapat makanan yang berzat, kehidupan di asrama yang teratur, diajar oleh guru-guru yang terlatih dan pengurusan sekolah sentiasa dipantau oleh Unit SBP, Kementerian Pelajaran. Penubuhan SBP yang lebih banyak berlaku selepas terlaksananya Dasar Pendidikan Kebangsaan (1970) di mana sekolah tersebut dikenali sebagai Sekolah Menengah Sains. Kejayaan yang dibuktikan melalui pendidikan SBP menyebabkan ramai ibu bapa yang mengharapkan anak-anak mereka bersekolah di sana. Permintaan yang tinggi untuk memasuki SBP dan pencapaian pelajar yang telah terbukti menyebabkan Kementerian Pelajaran menambah bilangan SBP setiap tahun. Hingga kini bilangannya lebih 60 buah yang terdapat di seluruh negara. Kini isu yang dihadapi oleh Kementerian Pelajaran sejak beberapa tahun yang lepas ialah terlalu ramai bilangan permohonan untuk memasuki sekolah itu. 


Walaupun kelulusan minimum yang ditetapkan ialah 4A dan 1B dalam peperiksaan UPSR tetapi bilangan pelajar yang mendapat 5A adalah jauh lebih besar daripada tempat yang disediakan di SBP. Pelbagai cara digunakan oleh ibu bapa untuk memastikan agar anak mereka dapat ditempatkan di sekolah berkenaan. Dasar meritokrasi yang diamalkan dalam pemilihan untuk memasuki SBP telah melenyapkan peluang anak-anak daripada keluarga miskin dan mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Secara logiknya anak-anak dari golongan berada dan sederhana serta tinggal di kawasan bandar mempunyai peluang lebih besar untuk mendapat keputusan yang baik dalam peperiksaan. Oleh itu perubahan dasar seperti yang diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri sudah lama dinantikan dan ada berkaitan dengan usaha untuk memperbetulkan semula matlamat asal penubuhan SBP. Diharapkan peluang ini membolehkan pelajar miskin dan pelajar daripada kawasan luar bandar mendapat pendidikan yang lebih baik melalui sistem pendidikan di SBP. Inilah yang dinamakan 'pendemokrasian dalam pendidikan.' Moga-moga anak-anak yang kurang bernasib baik ini akan terbela nasib mereka dan mempunyai masa depan yang lebih cerah melalui peluang pendidikan yang disediakan di SBP.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
6 SEPTEMBER 2011
Catat Ulasan
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Related Posts with Thumbnails