26 Ogos 2011

ISU KENEGARAAN : PATRIOTISME BUKAN SEKADAR KIBAR JALUR GEMILANG SAHAJA


Oleh Lee Lam Thye
bhnews@bharian.com.my


Kita masih berada dalam bulan kemerdekaan dan pada 31 Ogos ini, negara kita menyambut ulang tahun kemerdekaan ke-54. Inilah masa rakyat Malaysia terutama generasi muda berbilang kaum mempamerkan semangat patriotik dan kasih sayang terhadap negara. Bukan dengan paksaan, tetapi secara sukarela menyambut kelahiran Malaysia sebagai negara merdeka dan berdaulat. Tiada yang lebih berharga daripada mengecapi nikmat kemerdekaan ini dalam keadaan aman dan sejahtera. Tidak semua bangsa dapat mengecapi nikmat ini walaupun mereka mungkin sudah bebas daripada cengkaman penjajah. Kita perlu memelihara dan melindungi apa yang sudah kita capai setakat ini dengan persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecahbelahkan negara yang kita cintai kerana ini tempat kita dilahirkan, tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita disemadikan. Justeru, kita harus bersyukur atas nikmat kemerdekaan yang sudah membawa kesejahteraan dan kemakmuran kepada bangsa dan negara Malaysia.

Ketika kita menyambut kemerdekaan ke-54 pada 31 Ogos ini, kita perlu bersama menilai erti kemerdekaan dan patriotisme supaya dapat menghayati nilai sebenar kebebasan yang dikecapi pada hari ini. Patriotisme bererti perasaan dan sifat menyintai dan bersedia mempertahankan tanah air. Patriotisme bukan sekadar mengibar bendera ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan atau beruniform kemas serta aksi berkawad dengan gaya segak dan wajah serius. Ia suatu komitmen, perasaan mendalam, semangat yang dihayati, menyerlah serta berkobar-kobar apabila dituntut keadaan. Dalam konteks masa kini, patriotisme boleh ditafsirkan sebagai sikap, semangat dan tindak-tanduk yang menjurus kepada gagasan dan usaha mengawal kepentingan, maruah dan kedaulatan bangsa dan negara dalam pelbagai bidang kehidupan - ekonomi, politik, sosial, hubungan antarabangsa, kedaulatan, kebudayaan, agama, keselamatan, undang-undang dan sebagainya. Sifat patriotik juga harus merangkumi usaha meningkatkan martabat bangsa dan negara serta menyumbang kepada ketamadunan manusia, keadilan sosial, keamanan dan kesejahteraan sejagat.

Patriotisme digalakkan kerana ia menjamin ketahanan nasional. Ia juga dilihat sebagai satu-satunya tenaga yang mampu mempertahankan negara daripada sebarang bentuk ancaman (dari dalam dan luar negeri) dan dengan itu memastikan kestabilan, keutuhan dan kelangsungan sesebuah negara-bangsa.  Sejarah masa lampau adalah cermin masa depan kita. Kita banyak belajar daripada apa yang sudah berlaku pada masa lampau. Bangsa yang tidak mengetahui sejarahnya tidak mampu membangunkan masa depannya. Justeru, kita wajar menghayati sejarah perjuangan kemerdekaan yang dikemudi oleh pejuang terdahulu supaya dapat menyumbang demi mencapai kejayaan pada masa depan. Bagi memastikan semua warga dapat hidup aman dan sejahtera, kita semua mempunyai peranan masing-masing. Tidak kira sama ada sebagai pelajar, pendidik, mahupun pekerja biasa, kita ialah individu dan organisasi yang boleh memainkan peranan membangunkan negara.  31 Ogos adalah tarikh bersejarah yang harus diingati oleh setiap lapisan masyarakat kerana tarikh inilah negara kita mencapai kemerdekaan, bebas daripada belenggu dan cengkaman penjajah British.

Ini membawa makna bahawa negara kita adalah negara merdeka dan berdaulat yang dapat berdiri atas kaki sendiri dan menjalankan pemerintahannya sendiri tanpa pengaruh pihak penjajah. Kemerdekaan sewajarnya menyedarkan rakyat bahawa negara kita bebas daripada penjajahan tanpa membabitkan tumpah darah. Rakyat Malaysia harus bersyukur dengan kemerdekaan yang dicapai kerana melalui kemerdekaan rakyat dapat mencapai kegemilangan dalam semua aspek kehidupan. Sambutan hari ulang tahun kemerdekaan mempunyai makna mendalam dan hanya mereka yang mengerti dan mempunyai rasa cinta kepada tanah air dapat mentafsirkan maksud ulang tahun kemerdekaan ini dengan tepat. Sesungguhnya 31 Ogos tarikh begitu bermakna yang tidak ada tandingannya. Kemerdekaan harus diambil berat dan dihayati dengan sebaik-baiknya supaya penghayatan itu tidak lari daripada landasan sebenarnya. Sambutan ulang tahun hari kebangsaan ke-54 pada tahun ini diharap dapat memantap dan memperkukuhkan lagi semangat patriotisme dan perpaduan seluruh rakyat Malaysia, selaras dengan konsep 1Malaysia.

Kita perlu memelihara dan melindungi apa yang sudah kita capai setakat ini dengan persefahaman dan tolak ansur. Janganlah kita membenarkan fahaman ekstrem dalam bentuk apa pun, memecahbelahkan negara yang kita cintai kerana ini tempat kita dilahirkan, tinggal dan bekerja dan akhirnya tempat kita disemadikan. Ramai mengambil mudah soal perpaduan. Ini adalah perkembangan yang tidak sihat kerana dalam masyarakat majmuk, negara pelbagai kaum, agama dan budaya seperti Malaysia, usaha berterusan perlu dilakukan untuk memelihara dan mengukuhkan perpaduan. Menyemai kebanggaan pada bendera antara ciri penting dalam pembinaan negara. Rakyat Malaysia harus berbangga dengan bendera kebangsaan mereka kerana lambang kemegahan dan patriotisme kepada negara yang dapat membantu usaha ke arah mempromosikan dan mengukuhkan lagi proses pembinaan negara kita yang berbilang kaum, agama dan budaya ini. Jalur Gemilang melambangkan kesetiaan, kesatuan dan patriotisme adalah penting untuk kita menanam semangat dan nilai nasionalisme dan patriotisme ini dalam kalangan generasi muda.

Antara cara menjadikan generasi muda patriotik ialah mendidik mereka menghormati dan menyintai bendera. Menganjurkan kempen Cintakan Bendera Kita di sekolah, mustahak memberikan anak muda kefahaman mengenai kepentingan Jalur Gemilang dan maksud di sebaliknya dan adakan sepanjang tahun. Lebih banyak usaha harus diambil untuk menerangkan dan menjadikan mereka peka serta menghayati erti sebenar hari kemerdekaan. Rakyat boleh memaparkan semangat patriotik dalam kehidupan seharian seumpamanya, dalam pemikiran, percakapan dan tindakan mereka dalam membela dan mempertahankan kepentingan negara. Umpamanya, pelajar boleh menunjukkan semangat patriotik dan kasih sayang kepada negara dengan memastikan mereka melindungi alam sekitar dan tidak terbabit dalam gejala dan tabiat negatif seperti melakukan vandalisme atau membuang sampah di merata tempat. Rakyat juga boleh menyumbangkan pandangan dan pendapat dalam apa yang mereka rasakan baik dan sihat untuk negara. Menyatakan perasaan melalui saluran yang betul adalah hak yang harus diamalkan semua rakyat yang patriotik, cintakan negara dan inginkan yang terbaik untuk negara.

Dalam pada memperingati 54 tahun kemerdekaan, kita hendaklah mengimbas segala usaha dalam pembinaan negara pada zaman silam dan bersedia untuk mengharungi cabaran yang datang. Rakyat Malaysia yang mempunyai latar belakang bangsa dan agama yang berlainan seharusnya memperbaharui azam mereka untuk membina negara yang harmoni, bersatu padu dan progresif selaras dengan semangat kemerdekaan. Sambutan Hari Kemerdekaan sepatutnya menjadi tenaga perpaduan yang boleh membawa rakyat yang berbilang kaum bersatu padu ke arah satu matlamat dan bagi merealisasikan 1Malaysia sebenar. 1Malaysia seharusnya mempunyai elemen utama seperti persefahaman, saling menghormati serta kepercayaan antara satu sama lain dalam masyarakat majmuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Penulis ialah Ahli Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia

SUMBER
BERITA HARIAN
26 OGOS 2011

25 Ogos 2011

ISU SOSIAL : OPS SIKAP MASIH RELEVAN UNTUK KURANGKAN KEMALANGAN MAUT

Oleh Wan Faizal Ismayatim


Walaupun pada mulanya timbul ura-ura Ops Sikap ke-24 yang bermula Selasa lalu hingga 6 September ini akan ditukar kepada nama baru dengan pelbagai pendekatan berbeza selepas 10 tahun dilancarkan, ia tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih mengekalkan Ops Sikap yang masuk siri ke-24 sempena Aidilfitri kali ini dengan pendekatan yang tidak banyak bezanya sejak kali pertama dilancarkan pada 8 Disember 2001 oleh Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Norian Mai bagi menggantikan Ops Statik. Ada pihak menganggap Ops Sikap tidak lagi menggerunkan pengguna jalan raya dan kaedah pelaksanaannya perlu diberi nafas baru, namun apa yang penting sebenarnya bukan pada nama kerana tukarlah kepada apa-apa nama atau apa juga pendekatan sekalipun, kemalangan maut tetap berlaku setiap kali musim perayaan jika mentaliti dan sikap pemandu tidak berubah. Ops Sikap ke-24 selama 15 hari bermula 23 Ogos hingga 6 September ini menyaksikan lebih 10,000 anggota polis bertugas di seluruh negara dengan matlamat memastikan perjalanan selesa dan selamat buat pengguna jalan raya pulang ke kampung halaman menerusi sasaran pengurangan lima peratus kemalangan maut berbanding sebelumnya.

Walaupun ia lebih bertujuan mendidik serta memberi ingatan kepada pengguna jalan raya agar lebih berhemah ketika memandu, PDRM awal-awal lagi memberi amaran tidak akan berkompromi sesiapa saja yang melakukan kesalahan hingga membahayakan nyawa diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain. Sempena Ops Sikap kali ini, PDRM akan menggunakan kamera perangkap laju berteknologi tinggi terbarunya yang dipasang di kebanyakan laluan utama dikenal pasti berisiko tinggi berlaku kemalangan maut di seluruh negara. Pengguna jalan raya yang dikesan melakukan kesalahan akan dirakam oleh kamera berkenaan yang dikendalikan seorang anggota sebelum notis saman bersama bukti bergambar kesalahan yang dilakukan itu dihantar ke alamat pemandu secepat mungkin.  Menerusi Ops Sikap kali ini, PDRM sekali lagi menggunakan pendekatan yang memastikan orang ramai merasai kehadiran anggota polis (omnipresence) di sepanjang laluan pulang ke kampung melalui konsep Ronda dan Statik di 40 lokasi lebuh raya serta 160 lokasi jalan Persekutuan seluruh negara. 


Konsep itu menggunakan kanopi di R&R sebagai tempat pertemuan petugas polis trafik dan agensi lain selain dijadikan pusat sumber maklumat asas bagi pengguna jalan raya yang menghadapi masalah sepanjang perjalanan. Malah, ia juga menjadi pusat ‘tindakan pantas bantuan’ sekiranya berlaku kecemasan. Bagi memudahkan orang ramai membuat laporan kesesakan atau kemalangan serta mendapatkan maklumat trafik dan bantuan, PDRM dengan kerjasama Telekom Malaysia Berhad (TM) menyediakan talian bebas tol 1800 88 1412 yang boleh dihubungi 24 jam.  Sesuatu kelainan pada ciri Ops Sikap kali ini, PDRM turut melancarkan Kempen Rumah Selamat yang menekankan keselamatan harta benda atau rumah yang ditinggalkan selama beberapa hari bagi tujuan balik kampung.  Bagi memudahkan orang ramai, PDRM menyediakan Borang Maklumat Balik Kampung yang boleh dimuat turun menerusi laman facebook rasmi PDRM sebelum maklumat itu dihantar ke IPD tempat tinggal pemilik rumah bagi membolehkan polis membuat rondaan dan ‘memerhatikan’ rumah mereka sepanjang musim perayaan.

SUMBER
BERITA HARIAN
25 OGOS 2011

ISU UMUM : MEMBACA PEMIKIRAN RAKYAT MERDEKA

Oleh LUKMAN ISMAIL


Tinggal kurang seminggu negara kita bakal meraikan ulang tahun kemerdekaan ke-54. Jangan tanya soal kemeriahan sambutan sebab jelas kali ini amat lesu. Saya tidak tahu di mana silapnya tetapi ramai yang mengaitkan merdeka kali ini serentak dengan bulan Ramadan maka ramai yang tidak begitu bersemangat untuk menyambut merdeka. Mereka lebih teruja untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri. Mungkin ada yang berfikir lebih baik wang yang ada dibelikan pakaian baru untuk anak-anak atau diri sendiri berbanding Jalur Gemilang untuk dikibar di luar kediaman atau pada kenderaan. Mereka membuat pilihan, kibar Jalur Gemilang atau berbaju baru 1 Syawal nanti. Tapi berapa kerat yang berfikiran seperti ini? Inilah pemikiran orang kita. Walaupun kita sudah merdeka selama 54 tahun tapi masih ramai di kalangan kita dibelenggu pemikiran seolah-olah kita masih di bawah penjajah. Mungkin ketaksuban kepada politik kepartian menjadi penyumbang pemikiran kalangan orang kita yang masih terikat dengan akal dan buah fikiran yang jumud. Masakan tidak, mereka anggap negara Malaysia yang merdeka sejak 31 Ogos 1957 ini sudah hancur musnah dek angkara kezaliman pemerintahan kerajaan sekarang.

Katanya selama kita merdeka, banyak kemusnahan berlaku di sana-sini. Tapi bila saya minta tiga perkara yang dinyatakan itu sampai hari ini masih gagal beri jawapan. Saya tidak mahu banyak, cukup senaraikan tiga kehancuran yang disebabkan kezaliman pemerintahan kerajaan yang memerintah tapi saya boleh senaraikan berpuluh-puluh kemajuan dan pembangunan yang sudah dibawa kerajaan sejak merdeka. Peliknya, mereka yang asyik menuduh ini sebenarnya bersenang-lenang hasil makan gaji dengan kerajaan yang dimaki-hamun setiap hari. Anak-anak mereka masih selesa ke sekolah dengan selamat, bersekolah di sekolah yang lengkap dengan kerusi-meja dan ada yang berhawa dingin. Buku-buku tak perlu dibeli sebab semuanya sudah disediakan oleh kerajaan. Zalim kan kerajaan kita? Bila kita tegur mereka begitu emosi sebab katanya itulah perjuangan... perjuangan untuk rakyat. Membebaskan rakyat daripada belenggu kezaliman kerajaan. 


Tapi bila diberi bonus waima setengah bulan gaji, masing-masing terdiam sambil berkira-kira untuk membelanjakan wang bonus mereka. Perjuangan konon! Itu mereka yang makan gaji kerajaan yang zalim ini. Mereka yang bercucuk tanam pula tidak susah untuk mengusahakan tanaman mereka asalkan sedikit rajin. Sebabnya bila tak ada baja, mereka akan diberi baja. Bila susah nak pasarkan hasil tanaman, ada pihak yang sudi mengambil hasil tanaman mereka untuk dijual di pasaran. Inilah hasil kemerdekaan negara yang kita capai selama ini. Andai kita masih di bawah penjajah apakah kita mampu menikmati semua ini. Tapi mereka tidak nampak atau sengaja membutakan mata mereka sebabnya mereka meletakkan kebenaran berdasarkan politik kepartian mereka. Maknanya jika mereka tidak menyokong parti kerajaan maka apa yang kerajaan buat selama ini semuanya tak betul. Payah... Cubalah sesekali kita menjenguk nasib negara-negara lain di sekeliling kita. 


Cubalah lihat betapa sukarnya kehidupan mereka sehinggakan terpaksa merantau ke negara kita untuk mencari sesuap nasi. Bukan setakat gaji kerajaan yang hanya cukup untuk pakai sebuah basikal malah mereka yang bercucuk tanam pun sekadar cukup untuk mengisi perut sendiri. Rakyat kita beruntung sebab walaupun kita baru merdeka 54 tahun berbanding negara-negara lain yang jauh lebih lama merdeka, tetapi nyata kita berjaya membangunkan negara kita dalam masa yang singkat. Dan hasil kemerdekaan ini kini dikongsi oleh seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum serta rakyat-rakyat negara asing yang mencari rezeki yang melimpah-ruah di bumi Tanah Melayu ini. Bertuah kan? Itu mereka yang pemikiran mereka masih dibelenggu tapi ada juga yang benar-benar memanfaatkan kemerdekaan. Mereka ini kebanyakannya golongan muda dan remaja tapi tak kurang juga yang sudah berusia. Bagi mereka sebagai negara merdeka dan sebagai rakyat yang merdeka kita boleh buat apa saja. Nah kau!  


Bagi mereka batasan agama, adat resam dan budaya bangsa serta kadang kala undang-undang negara sudah tak penting lagi, sebaliknya apa yang penting ialah kebebasan. Bebas melakukan apa sahaja termasuk dalam pergaulan, ucapan, penulisan dan lain-lain. Mereka semua ini meredah apa sahaja di hadapan mereka asalkan apa yang mereka inginkan tercapai. Itu pemikiran remaja dan anak muda biasanya. Pergaulan bebas sehingga meningkatnya kes-kes pembuangan bayi, remaja-remaja beruniform sekolah yang merokok atau meneguk minuman keras, pengambilan syabu dan ekstasi adalah contoh-contoh permasalahan sosial di kalangan generasi merdeka di negara kita. Mereka sudah tidak kenal hukum haram-halal kerana kebebasan mengatasi segalanya. Bila ditegur atau dilarang, mereka akan kata "kami anak-anak merdeka!" Mereka ini sebenarnya golongan yang tidak faham erti kemerdekaan atau menyalahgunakan kemerdekaan itu sendiri. Bila keadaan itu berlaku ramai yang menuding jari kepada mak atau bapa. Puak-puak yang taksub kepada politik kepartian pula tak habis-habis nak salahkan kerajaan atau parti yang memerintah. 


Tapi masalahnya bertindak salah, tak bertindak lagilah salah! Susah... Ada juga yang kaitkan kemerdekaan dengan demokrasi. Sebab demokrasi mereka boleh berbuat apa sahaja asalkan atas nama rakyat. Menghuru-harakan negara, memporak-perandakan ekonomi, politik dan perpaduan rakyat bagi mereka itu semua adalah demokrasi dan undang-undang konon tidak dapat diatasi dengan demokrasi. Malaysia negara merdeka dan kita boleh buat apa sahaja demi rakyat. Konon... Jadi inilah antara sebahagian pemikiran rakyat kita selepas 54 tahun merdeka. Banyak lagi sebenarnya yang perlu dilakukan jika mahu melihat negara khususnya pemikiran rakyat kita mencapai kemerdekaan dalam erti kata yang sebenarnya. Mengisi kemerdekaan bukan hanya sekadar menegakkan pembangunan fizikal tetapi lebih payah adalah pembangunan rohani.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
25 OGOS 2011

24 Ogos 2011

ISU KESIHATAN : PROGRAM SEKOLAH DALAM HOSPITAL MERUPAKAN SINAR MASA DEPAN UNTUK PESAKIT CILIK



Antara perkara yang saya anggap paling sukar dalam tugas ialah melihat penderitaan yang dilalui kanak-kanak yang menghidap penyakit kronik. Saya amat tersentuh apabila melihat lemahnya keadaan mereka, manakala kita pula sebagai orang dewasa tidak mampu berbuat apa-apa untuk melindungi mereka daripada ancaman penyakit itu.  Sejak beberapa tahun saya menziarahi ramai kanak-kanak di hospital atau di rumah mereka, tubuh mereka lemah tidak bermaya untuk melawan kanser, penyakit kongenital atau kronik yang menyebabkan mereka terlantar di atas katil berbulan-bulan atau bertahun-tahun lamanya. Saya masih ingat wajah dan kisah sedih mereka. Ada seorang kanak-kanak perempuan dari Santubong, Sarawak, yang terlantar di Institut Jantung Negara selama empat bulan sementara menunggu giliran dibedah akibat menghidap sakit jantung sejak lahir. Seterusnya ada seorang remaja lelaki berusia 15 tahun dari Johor yang memerlukan sumbangan sel stem untuk merawat penyakit lukemia yang dihidapinya dan adik perempuannya yang berani secara sukarela menawarkan diri mendermakan sel stem untuk si abang.  

Selain itu, pernah seorang budak lelaki di wad pediatrik Hospital Kuala Lumpur bertanya kepada saya: “Tuan, bila agaknya saya boleh kembali ke sekolah? Di sini membosankan.”  Pada saat itu, jawapan saya sekadar mengusap tangannya sambil berjanji, “Sabarlah, tidak lama lagi.” Tetapi sekarang, jika dia bertanyakan kembali soalan itu, saya akan beritahu kepadanya yang dia boleh meneruskan persekolahannya di wad itu, hasil daripada projek Hati Nurani melalui program Sekolah Dalam Hospital.  Program itu diilhamkan Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, isteri Timbalan Perdana Menteri. Beliau menyaksikan bagaimana kanak-kanak yang dimasukkan ke hospital untuk tempoh jangka sederhana hingga jangka panjang tercicir dalam pembelajaran kerana mereka tidak dapat hadir ke sekolah.  Beliau amat prihatin dan memandang berat nasib kanak-kanak yang terlantar di hospital dan berputus asa kerana harapan masa depan semakin pudar.  Di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur daripada 17,135 pesakit tahun lalu ada 300 kanak-kanak yang menduduki peperiksaan di hospital. Saya percaya anda pernah membaca laporan akhbar mengenai kegigihan mereka belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya, walaupun dalam keadaan sakit.

Saya masih ingat menunjukkan laporan itu kepada anak saya, dan sejak itu mereka tidak pernah merungut lagi apabila disuruh belajar.  Program Sekolah Dalam Hospital amat penting kerana ia menawarkan dua perkhidmatan yang sangat berharga yang dapat kita berikan kepada kanak-kanak – rawatan kesihatan dan pendidikan. Satu daripadanya menjamin kesejahteraan mereka, manakala satu lagi menjamin masa depan mereka, tanpa mengambil kira tentang latar belakang atau keadaan mereka. Kementerian Kesihatan menyokong penuh pelancaran program ini, dengan kerjasama Kementerian Pelajaran dan Yayasan Nurul Yaqeen, iaitu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan melaksanakan inisiatif ini.  Bagi kanak-kanak, kesinambungan dan rutin amat penting untuk memupuk disiplin dan motivasi kepada mereka untuk belajar. Kanak-kanak yang keluar masuk dalam sistem persekolahan akan tercicir dalam pembelajaran mereka, tidak mendapat inspirasi mengasah potensi mereka.  Untuk memastikan pendidikan mereka terima berkesan, mereka perlukan pendekatan sistematik, dengan segala kemudahan, prasarana dan kepakaran mendidik yang betul.

Secara tradisi, semua ini ada di sekolah, bukan di hospital. Namun, mengapakah hospital tidak boleh menyediakan persekitaran yang diperlukan itu?  Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Ampang dan Hospital Serdang adalah tiga hospital perintis di bawah fasa pertama program ini. Lapan guru ditempatkan di HKL, setiap empat orang di Hospital Ampang dan Hospital Serdang.  Ketika melawat hospital berkenaan selepas program itu dilancarkan, saya kagum melihat kanak-kanak terbabit begitu bersemangat untuk ‘pergi sekolah’. Mereka bukan saja sangat gigih belajar, malah datang ke kelas dua jam lebih awal! Guru yang dilantik mengajar di hospital ini turut bersemangat untuk melaksanakan tugas. Bagi mereka tugas ini sangat bererti kerana mampu memberi kesedaran kepada kanak-kanak terbabit bahawa keadaan kesihatan mereka tidak harus dijadikan halangan untuk mencapai kejayaan dalam bidang pelajaran.  Ketika berbual-bual dengan guru terbabit, jelas kepada saya bahawa mereka serius melaksanakan tanggungjawab bagi membantu kanak-kanak berkenaan memenuhi masa persekolahan yang ‘hilang’ supaya mereka boleh bergaul dengan rakan sebaya apabila kembali ke sekolah kelak.  Sekiranya kita semua sama-sama berusaha, kita boleh memastikan program ini berjaya dan melaksanakannya di hospital seluruh negara.  Dengan kemajuan canggih yang dicapai dalam bidang penjagaan kesihatan hari ini, kita mampu memberikan prognosis lebih baik terhadap penyakit dialami kanak-kanak. Alangkah malangnya jika selepas kesihatan mereka pulih, mereka dapati terlepas peluang dalam bidang pendidikan.

Penulis ialah Menteri Kesihatan www.liowtionglai.com/blog atau twitter@liowtionglai

SUMBER
BERITA HARIAN
24 OGOS 2011

ISU UMUM : SYARIKAT DI MALAYSIA DIGESA BELI KEPENTINGAN ESSO MALAYSIA DEMI MARUAH DAN KEPENTINGAN NEGARA


Oleh AZMAN ANUAR


Belum pun reda isu AirAsia dan MAS, tiba -tiba satu lagi kejutan apabila isu penjualan 65 peratus pegangan ExxonMobil International Inc. kepada San Miguel Corp. (SMC) sebuah syarikat pengilangan arak yang berpusat di Filipina yang disifatkan oleh banyak pihak sebagai amat merugikan kerana ia melibatkan industri minyak dan gas negara. Keputusan ExxonMobil mahu melupuskan pegangannya di dalam Esso Malaysia sekali gus menutup operasi runcitnya di negara ini dikatakan berpunca daripada margin keuntungan yang rendah. Cadangan pengambilan alihan pegangan itu akan menyediakan San Miguel dengan peluang unik untuk meluaskan portfolio peniagaan penapisan dan pemasaran minyak di luar Filipina. Hebat cadangan itu. Tetapi jika syarikat Malaysia tidak bertindak segera, ia boleh menggambarkan syarikat tempatan tidak layak untuk mengambil alih Esso. Bahkan, tidak perlu pihak badan bukan kerajaan (NGO) membuat 'bising' tentang isu penjualan pegangan saham ini.

NGO berkenaan mahu kerajaan atau syarikat gergasi Malaysia masuk urus niaga itu untuk menyelamatkan Esso Malaysia daripada jatuh ke tangan individu dan syarikat asing. Ini kerana, kita ada banyak syarikat yang berpengalaman luas dalam bidang penapisan dan pemasaran minyak, namun tidak diberi perhatian sewajarnya. Esso Malaysia mempunyai prospek pertumbuhan yang baik. Ia memiliki syarikat penapisan minyak di Port Dickson, Negeri Sembilan serta 560 stesen minyak Esso dan Mobil di seluruh negara. Apa pun, pastinya ExxonMobil mempunyai alasan yang kukuh untuk berbuat demikian dan sudah tentu menguntungkan kedua-dua pihak, namun Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perlis, Mohammad Ismail percaya semua pihak di Malaysia mengecam dan tidak bersetuju kerana banyak persoalan yang memerlukan jawapan. "Esso Malaysia perlu peka kepada sensitiviti negara kita, saya percaya pasti ada syarat-syarat atau terma yang memerlukan syarikat itu memberi tawaran kepada syarikat tempatan terlebih dahulu. 

Kita mempunyai beberapa individu yang tersenarai sebagai individu terkaya di Malaysia. Apakah mereka ini tidak berminat? Atau tidak ditawarkan. "Begitu juga kita mempunyai syarikat tempatan atau syarikat milik kerajaan (GLC) yang mampu untuk membeli dengan harga RM3.50 yang ditawarkan. Mustahil syarikat kita tidak mampu melainkan tidak berminat atau tidak ditawarkan? Atau mereka terlepas pandang?," komen Mohammad. Beliau hairan mengapa harga yang ditawarkan kepada San Miguel adalah lebih rendah darpadai harga pasaran. "Saya difahamkan pihak Boustead Holdings Bhd. yang dimiliki oleh LTAT ada membuat tawaran yang sekitar RM5.20 berbanding harga pasaran RM4.07 sesaham. "Persoalannya kenapa syarikat asing yang ditawarkan dengan harga yang begitu rendah iaitu RM3.50 sesaham atau jumlah keseluruhannya RM614.25 juta, sedangkan LTAT menyatakan hasrat untuk membeli ekuiti Esso Malaysia dengan tawaran keseluruhan RM1 bilion?" tanya beliau. 

Dalam soal ini, Mohammad berpendapat kerajaan perlu memainkan peranan dalam memastikan agar syarikat tersebut tidak jatuh ke tangan syarikat asing apatah lagi syarikat tersebut melibatkan arak. "Jika tidak ditangani dengan baik, isu ini akan menjadi modal Pilihan Raya Umum Ke-13 dan ia akan menjadi 'bola tanggung' di mana akan menjadi pukulan smash yang amat sukar untuk dikembalikan. "Penjualan tersebut juga boleh menjatuhkan imej Malaysia kerana San Miguel merupakan syarikat pengilangan arak dan ini sudah tentu melibatkan kepentingan dan sensitiviti rakyat Malaysia kerana ramai pekerja Esso Malaysia ialah rakyat tempatan," kata Mohammad. Kerajaan juga perlu berfikiran jauh ke hadapan. Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Suruhanjaya Sekuriti serta agensi kerajaan yang berkaitan perlu berwaspada agar perkara seumpama ini tidak berulang. Bagi Mohammad, syarikat tempatan perlu diberi keutamaan berbanding syarikat asing. Syarikat tempatan perlu diberi tawaran terlebih dulu, malah jika perlu satu akta diwujudkan bagi mengatasi masalah tersebut. 

Kini, pelbagai pihak mendesak kerajaan campur tangan agar ExxonMobil tidak terlepas ke dalam tangan syarikat asing. Apa pun terima kasih kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang berusaha menghubungi pihak Esso di Amerika Syarikat bagi menyuarakan hasrat LTAT untuk membeli 65 peratus ekuiti dalam Esso Malaysia. Walaupun pihak kementerian tidak boleh terlalu mencampuri urusan tersebut kerana dibimbangi ia akan memberi gambaran buruk kepada pelabur dari luar. Namun sokongan itu selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu melihat lebih banyak syarikat tempatan dipilih menguasai Esso yang mahu mengundur diri daripada perniagaan runcit petroleum di negara ini. Esso Malaysia sebelum ini dilaporkan akan melepaskan kepentingannya di negara ini dan menumpukan pasaran baru, selain gagal muncul sebagai syarikat peruncitan minyak utama dan ketinggalan jauh di belakang dua pesaing utamanya iaitu Petronas dan Shell. 

Industri membabitkan petroleum di negara ini adalah sensitif kerana ia disubsidikan oleh kerajaan untuk rakyat Malaysia. Sebarang tindakan yang dilihat boleh menyebabkan industri itu dimiliki oleh orang asing adalah amat sensitif dan mampu menjejaskan reputasi negara terutama yang membabitkan dasar-dasar kerajaan. Sebab itu tugas membeli kepentingan dalam Esso Malaysia mungkin boleh dilakukan oleh syarikat berpengalaman seperti Kencana, Sapura dan Sime Darby. Jika tidak mampu bersendirian, lakukan melalui usaha sama. Syarikat-syarikat ini mempunyai modal dan reputasi dalam bidang perniagaan petroleum. Kerjasama ini penting agar kepentingan pengguna serta industri minyak di negara ini terjaga.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OGOS 2011

ISU UMUM : RAKYAT MALAYSIA MENJADI TUAN DI KELAB BOLA SEPAK QUEENS PARK RANGER

Oleh AZNAN BAKAR



Ketibaan 31 Ogos ini menandakan sudah 54 tahun negara kita merdeka. Ini bermakna sudah 54 tahun juga kita bebas daripada cengkaman penjajah. Bukan Inggeris sahaja yang pernah menjajah negara ini. Portugis, Belanda dan Jepun juga pernah merasa menjadi tuan kepada kita. Tetapi yang paling lama ialah Inggeris. Tentunya, masih ada generasi yang tidak dapat melupakan bagaimana semua yang berhidung tinggi dan berkulit putih di panggil tuan. Sana sini mereka dipanggil tuan, yang perempuannya pula 'mem'. Tidak kira sama ada mereka orang Melayu atau Cina dan India yang baru berhijrah ke bumi bertuah ini. Semuanya mempertuankan bangsa Inggeris. Boleh dikatakan setiap rakyat bekerja untuk Inggeris ketika itu. Orang India bekerja untuk Inggeris di ladang, orang Cina di lombong. Melayu pula orang suruhan seperti menjadi budak pejabat atau pegawai kerajaan yang bertuankan orang putih. Tetapi selepas 54 tahun merdeka, rakyat Malaysia sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa yang menjadi tuan. Jika dulu Inggeris menguasai kerajaan, syarikat, ladang dan lombong, tetapi sekarang semua itu dilakukan sendiri oleh rakyat Malaysia.

Mereka menjadi tuan di bumi sendiri selepas negara mencapai kemerdekaan. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 ini ada beberapa peristiwa penting yang membuktikan rakyat Malaysia kini benar-benar bangkit selepas merdeka. Jika dulu Inggeris menjadi tuan kini rakyat Malaysia menjadi tuan dan majikan kepada orang Inggeris. Itu yang boleh dilihat di sebalik urus niaga Tan Sri Tony Fernandes bersama dua lagi rakannya - Datuk Kamarudin Meranum dan Ruben Gnanalingam - yang mengambil alih kelab bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Ranger (QPR). Mereka kini adalah tuan baru kepada kelab tersebut dan tuan kepada para pemain, pengurus, pekerja malah penyokong kelab itu. Mungkin ada yang mengkritik. Ada yang melihat pembelian kelab itu oleh Tony dan rakan-rakan sebagai membazir. Atau bagi tujuan menunjuk-nunjuk. Tetapi dengan mengambil semangat merdeka, pembelian dan pengambilalihan itu boleh dilihat sebagai masa untuk orang Malaysia yang dulu dijajah kini menjadi tuan kepada bangsa kolonial. Rakyat Malaysia yang dulu terpaksa tunduk dan akur atas apa sahaja kehendak penjajah kini bangkit hanya selepas 54 tahun merdeka.

Malah mereka bangkit menguasai kepentingan bangsa yang satu ketika dahulu pernah menjadi 'tuan' kepada penduduk negara ini. Untuk mengusai negara tidak mungkin akan berlaku dalam dunia moden ini. Tetapi dengan menguasai entiti perniagaan dan ekonomi sudah cukup untuk menaikkan imej rakyat negara ini yang satu ketika dahulu hanya dipandang sebagai hamba oleh Inggeris. QPR mungkin tidak segah Manchester United, Chelsea, Manchester City, Arsenal atau Liverpool. Tetapi kelab yang berpangkalan di Loftus Road, barat London itu bukan calang-calang. Walaupun baru dinaikkan ke EPL, tetapi kelab itu mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam EPL. Usianya kini mencecah 125 tahun. Ia ditubuhkan pada 1882, iaitu zaman kegemilangan empayar Inggeris. Zaman di mana para penjelajah Inggeris merantau ke seluruh pelosok dunia untuk mencari tanah jajahan dan kekayaan baru. Zaman di mana Inggeris ghairah untuk menjarah dan menjajah negara-negara yang lemah. Selain QPR seorang lagi rakyat Malaysia, Tan Sri Vincent Tan turut menguasai sebuah lagi kelab bola sepak di bumi Inggeris iaitu Cardiff yang beraksi di League One.

Semua ini membuktikan keupayaan bekas penduduk bumi yang pernah dijajah oleh Inggeris untuk menguasai dunia. Apa yang lebih penting, pengambilalihan kepentingan di bumi Inggeris sama ada kelab bola sepak atau entiti perniagaan lain memberi gambaran keupayaan Malaysia bangkit. Ia memberi semangat dan dorongan kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil bersaing di pentas antarabangsa. Jika dilihat kepada senario hari ini, kelab-kelab bola sepak EPL yang merupakan antara liga yang paling popular di dunia banyak dikuasai oleh entiti luar.Pemilik-pemilik kelab itu sama ada daripada keluarga di raja Arab yang kaya raya ataupun bilionaire Rusia selain tokoh perniagaan Amerika Syarikat. Jadi, penampilan Tony bersama Kamarudin dan Ruben di persaingan EPL turut meletakkan nama Malaysia dalam radar sukan dunia. Tetapi yang penting, sempena dengan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang tinggal tidak berapa hari ini, itu tanda kejayaan Malaysia untuk bangkit selepas sekian lama menjadi hamba kepada Inggeris. Diharapkan Tony dan rakan-rakan menjadi tuan yang baik dan seterusnya menjadikan QPR sebuah pasukan yang disegani dalam EPL. Tanggungjawab kini ialah memastikan QPR di bawah kendalian usahawan Malaysia mampu cemerlang sebagaimana Malaysia bangkit selepas bebas daripada pengaruh penjajahan Inggeris 54 tahun lalu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OGOS 2011


23 Ogos 2011

ISU PERPADUAN : ISU KAUM SERING JADI PENGHALANG PEMBENTUKAN MALAYSIA HARMONI

Oleh Imlan Adabi


Seorang doktor perubatan yang kembali bertugas di negara ini merungut; “Saya dikenali sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Saya bangga dengan sebutan itu kerana saya lahir dan dibesarkan di Malaysia. Hanya apabila tamat belajar di luar negara, saya berkhidmat di sana kerana Malaysia menghadapi masalah ekonomi ekoran spekulasi mata wang pada 1998.  “Jiwa saya tetap Malaysia di perantauan. Saya menyokong Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David ketika mereka beraksi di kota penghijrahan. Saya tidak segan silu mengarak Jalur Gemilang kerana menyokong atlit sukan dari Malaysia. “Kini saya kembali ke Malaysia dan bertugas di sebuah klinik. Malangnya saya tetap dianggap sebagai orang luar. Inilah dilema saya. Dianggap sebagai rakyat Malaysia di luar negara, tetapi rasa diketepikan di tanah kelahiran sendiri.” Suara kesal doktor berusia 40 tahun itu bukan cerita lama. Ia berulang kali berlaku apabila membabitkan isu kaum dan semangat patriotik. Jurang kaum masih menebal dan kita tidak tahu siapakah yang sepatutnya meredakan keadaan selaras konsep 1Malaysia.  

Hari ini menjelang 54 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia masih lagi berada di ambang isu kaum yang saling berentetan. Kajian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendapati jurang kaum semakin menebal selepas Pilihan Raya Umum 2008. Pelbagai isu dipolitikkan dan dikaitkan dengan sentimen perkauman walaupun pada asasnya kehidupan ini bukan semata-mata membabitkan isu ras, etnik, agama dan cara hidup. Orang politik sering membuat jenaka kononnya Malaysia sebuah negara bangsa. Mereka menyebut bangsa Malaysia. Kita hairan bagaimana bangsa Malaysia boleh disebut sedangkan dalam kalangan kita ada Melayu, India dan Cina serta pelbagai etnik lain lagi. Selama 54 tahun Malaysia berusaha membina persamaan dan persefahaman, tetapi amat mustahil untuk mewujudkan sebuah negara bangsa kerana kepelbagaian yang ada. Keadaan di Malaysia seperti juga di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Singapura yang tidak mungkin melahirkan negara bangsa kerana keragaman kaum, agama dan cara hidup. Kita berbeza dengan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja kerana kewujudan bangsa teras.

Negara itu hanya mengutamakan sebuah bahasa pengantar di sekolah dan perlembagaan negara serta tidak membiarkan kelainan etnik menimbulkan jurang kaum yang tinggi.  Berbeza dengan Malaysia yang bukan saja bahasa rasminya boleh dipertikai nilai ekonomi dan sosial, malah ada dalam kalangan Melayu sendiri yang merendahkan bahasa ibunda untuk subjek Sains dan Matematik di sekolah. Aneh sekali apabila sebuah negara yang 54 tahun merdeka tidak mahu mengiktiraf kepentingan lingua franca yang jutaan tahun diguna pakai di perairan Nusantara. Isu kaum dan agama sering merumitkan. Perasaan saling curiga hatta membabitkan hal remeh dipolitikkan. Sepanjang tempoh merdeka, kita saling bergeser isu agama walaupun ada pihak yang cuba mewaraskan keadaan. Kita bimbang isu Melayu di gereja dan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian bakal menjadi api yang merebak tanpa melihat kepada persekitaran sebenar.  Seperti telahan doktor yang berasakan dirinya ‘rakyat asing’ di negara sendiri, kita terlalu banyak berpolitik dan menjadikan isu kaum sebagai halangan untuk membentuk Malaysia yang harmoni.

Ketika kaum Melayu berasakan sudah terlalu banyak memberi kepada pihak lain, kaum Cina dan India pula masih menuduh kerajaan berat sebelah dan menyisih mereka dalam pelbagai sektor pembangunan dan prasarana ekonomi. Selagi perasaan ini muncul, isu kaum seperti yang dikaji selidik Merdeka Centre tidak akan mudah berakhir. Apa saja cetusan bakal memberi riak yang berbeza. Lebih parah apabila setiap isu yang timbul, diledakkan pula oleh orang politik yang akhirnya menambahkan lagi jurang perbezaan dalam kalangan kita.

SUMBER
BERITA HARIAN
22 OGOS 2011

ISU SOSIAL : KESELAMATAN NEGARA TARUHAN UTAMA

Oleh Manja Ismail


Seperti dijangka, tempoh pendaftaran Program Penyelesaian Menyeluruh Pendatang Asing Tanpa Izin (Program 6P) yang sepatutnya berakhir semalam dilanjutkan seminggu lagi sehingga 31 Ogos ini.  Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam ketika mengumumkannya berkata, langkah itu dibuat ekoran sambutan berterusan daripada majikan dan pendatang tanpa izin (PATI) di semua kaunter pendaftaran Program 6P sejak dibuka 1 Ogos lalu. Lanjutan itu juga dibuat selepas mengambil kira inisiatif beberapa syarikat pengurus yang turun ke ladang-ladang di kawasan pedalaman untuk memujuk pendatang tanpa izin supaya berdaftar. Memang tempoh dua minggu ditetapkan sebelum ini tidak mencukupi jika jumlah pendatang haram yang ada di negara ini sekarang mahu didaftarkan. Malah kita tidak terkejut jika ia dilanjutkan lagi selepas 31 Ogos jika pihak berkuasa benar-benar mahu menyelesaikan masalah kebanjiran rakyat asing yang semakin membimbangkan rakyat tempatan.  Walaupun mereka dijanjikan pengampunan jika datang mendaftar, hakikatnya bukan saja ramai pendatang haram enggan berbuat demikian, malah ada majikan lebih suka mengaji pekerja tanpa permit kerana ia lebih menguntungkan.

Setakat Jumaat lalu, 2,088,358 pekerja asing berdaftar melalui Program 6P dan lebih daripada separuh, iaitu 1,135,499 orang ialah pendatang haram. Walaupun perkara ini bukanlah sesuatu yang mengejutkan, ia menimbulkan kebimbangan kerana pelbagai gejala buruk yang ditimbulkan oleh pendatang asing semakin menjadi-jadi sekarang.  Jika dulu pendatang atau pekerja asing di negara ini hanya dari Indonesia dan Bangladesh, kini boleh dikatakan hampir semua rakyat dunia ketiga datang untuk tinggal di Malaysia, manakala sebahagian besarnya datang dengan niat mencari rezeki halal, tidak kurang juga datang untuk menipu, merompak, mengedar dadah dan melacurkan diri.  Saban hari kita membaca berita mengenai jenayah yang dilakukan pendatang asing ini. Malah beberapa kawasan apartmen tertentu di sekitar Lembah Klang sekarang dikuasai oleh pendatang asing, terutama dari Afrika dan Asia Barat, yang kononnya datang untuk belajar di negara ini, tetapi ramai yang bekerja. Contoh paling jelas ialah apabila kita mengunjungi restoran atau pusat beli-belah yang mana pelayan atau jurujual tidak lagi dari Indonesia India, Bangladesh atau Filipina saja.

Apabila ditanya, jawapannya bekerja sambilan. Setahu kita di kebanyakan negara tidak membenarkan pemegang visa pelajar bekerja, walaupun sambilan dan mereka cukup tegas dalam perkara ini. Kita tidak tahu sama ada Malaysia mempunyai pengecualian dalam hal ini. Yang jelas, berbanding negara lain dasar kita terhadap pendatang asing agak lembut.  Dalam usaha menarik pelancong atau pelajar asing memenuhi universiti swasta tempatan, pintu masuk ke negara ini dibuka kepada semua tanpa usul periksa. Bagi membantu industri perladangan dan perkilangan pula, tidak cukup rakyat Indonesia, Bangladesh dan Thailand, warga China, Vietnam, Nepal dan Afrika dibawa masuk. Proses membawa masuk pekerja asing ini sendiri sudah menjadi satu industri lumayan dan menjadi rebutan. Dalam hal ini pun, walaupun permit diberi kepada syarikat tempatan, sebahagian pekerja ialah rakyat asing. Alasan majikan yang memerlukan pekerja asing ialah rakyat tempatan enggan bekerja di ladang, kilang atau restoran. Benarkah anggapan itu atau majikan mahukan jalan mudah dengan membayar upah rendah tanpa perlu menjaga aspek lain yang mesti dilakukan jika mengambil rakyat tempatan?

Antara faktor rusuhan di London dan beberapa kota di England baru-baru ini ialah kemarahan rakyat negara itu yang terpendam sekian lama terhadap dasar imigrasi British yang agak terbuka kepada pendatang. Memang sebahagian besar pekerjaan serta perniagaan kecil dan sederhana di negara itu kini dikuasai oleh rakyat British keturunan Asia Selatan atau Afrika, yang menjadi generasi kedua pendatang ke negara itu. Belia Inggeris sendiri kecuali yang berkelulusan, tidak bekerja dan hanya mengharapkan bantuan kerajaan. Justeru, rusuhan belia berkulit putih di London dikatakan reaksi spontan kesan perasaan terpendam mereka terhadap kaum pendatang di negara itu. Keadaan yang sama tidak mustahil berlaku di Malaysia jika masalah kebanjiran rakyat asing ini tidak ditangani secara menyeluruh. Program 6P yang membabitkan pendaftaran, pemutihan, pengampunan, pemantauan, penguatkuasaan dan pengusiran memang mahu menangani masalah ini dan kerana itu, ia perlu diberikan waktu secukupnya dan tidak harus dipolitikkan.

SUMBER
BERITA HARIAN
22 OGOS 2011