JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



24 Ogos 2011

ISU UMUM : RAKYAT MALAYSIA MENJADI TUAN DI KELAB BOLA SEPAK QUEENS PARK RANGER

Oleh AZNAN BAKAR



Ketibaan 31 Ogos ini menandakan sudah 54 tahun negara kita merdeka. Ini bermakna sudah 54 tahun juga kita bebas daripada cengkaman penjajah. Bukan Inggeris sahaja yang pernah menjajah negara ini. Portugis, Belanda dan Jepun juga pernah merasa menjadi tuan kepada kita. Tetapi yang paling lama ialah Inggeris. Tentunya, masih ada generasi yang tidak dapat melupakan bagaimana semua yang berhidung tinggi dan berkulit putih di panggil tuan. Sana sini mereka dipanggil tuan, yang perempuannya pula 'mem'. Tidak kira sama ada mereka orang Melayu atau Cina dan India yang baru berhijrah ke bumi bertuah ini. Semuanya mempertuankan bangsa Inggeris. Boleh dikatakan setiap rakyat bekerja untuk Inggeris ketika itu. Orang India bekerja untuk Inggeris di ladang, orang Cina di lombong. Melayu pula orang suruhan seperti menjadi budak pejabat atau pegawai kerajaan yang bertuankan orang putih. Tetapi selepas 54 tahun merdeka, rakyat Malaysia sudah boleh berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan bangsa yang menjadi tuan. Jika dulu Inggeris menguasai kerajaan, syarikat, ladang dan lombong, tetapi sekarang semua itu dilakukan sendiri oleh rakyat Malaysia.

Mereka menjadi tuan di bumi sendiri selepas negara mencapai kemerdekaan. Sempena ulang tahun kemerdekaan yang ke-54 ini ada beberapa peristiwa penting yang membuktikan rakyat Malaysia kini benar-benar bangkit selepas merdeka. Jika dulu Inggeris menjadi tuan kini rakyat Malaysia menjadi tuan dan majikan kepada orang Inggeris. Itu yang boleh dilihat di sebalik urus niaga Tan Sri Tony Fernandes bersama dua lagi rakannya - Datuk Kamarudin Meranum dan Ruben Gnanalingam - yang mengambil alih kelab bola sepak dalam Liga Perdana Inggeris (EPL), Queens Park Ranger (QPR). Mereka kini adalah tuan baru kepada kelab tersebut dan tuan kepada para pemain, pengurus, pekerja malah penyokong kelab itu. Mungkin ada yang mengkritik. Ada yang melihat pembelian kelab itu oleh Tony dan rakan-rakan sebagai membazir. Atau bagi tujuan menunjuk-nunjuk. Tetapi dengan mengambil semangat merdeka, pembelian dan pengambilalihan itu boleh dilihat sebagai masa untuk orang Malaysia yang dulu dijajah kini menjadi tuan kepada bangsa kolonial. Rakyat Malaysia yang dulu terpaksa tunduk dan akur atas apa sahaja kehendak penjajah kini bangkit hanya selepas 54 tahun merdeka.

Malah mereka bangkit menguasai kepentingan bangsa yang satu ketika dahulu pernah menjadi 'tuan' kepada penduduk negara ini. Untuk mengusai negara tidak mungkin akan berlaku dalam dunia moden ini. Tetapi dengan menguasai entiti perniagaan dan ekonomi sudah cukup untuk menaikkan imej rakyat negara ini yang satu ketika dahulu hanya dipandang sebagai hamba oleh Inggeris. QPR mungkin tidak segah Manchester United, Chelsea, Manchester City, Arsenal atau Liverpool. Tetapi kelab yang berpangkalan di Loftus Road, barat London itu bukan calang-calang. Walaupun baru dinaikkan ke EPL, tetapi kelab itu mempunyai sejarah yang cukup panjang dalam EPL. Usianya kini mencecah 125 tahun. Ia ditubuhkan pada 1882, iaitu zaman kegemilangan empayar Inggeris. Zaman di mana para penjelajah Inggeris merantau ke seluruh pelosok dunia untuk mencari tanah jajahan dan kekayaan baru. Zaman di mana Inggeris ghairah untuk menjarah dan menjajah negara-negara yang lemah. Selain QPR seorang lagi rakyat Malaysia, Tan Sri Vincent Tan turut menguasai sebuah lagi kelab bola sepak di bumi Inggeris iaitu Cardiff yang beraksi di League One.

Semua ini membuktikan keupayaan bekas penduduk bumi yang pernah dijajah oleh Inggeris untuk menguasai dunia. Apa yang lebih penting, pengambilalihan kepentingan di bumi Inggeris sama ada kelab bola sepak atau entiti perniagaan lain memberi gambaran keupayaan Malaysia bangkit. Ia memberi semangat dan dorongan kepada rakan-rakan yang lain untuk tampil bersaing di pentas antarabangsa. Jika dilihat kepada senario hari ini, kelab-kelab bola sepak EPL yang merupakan antara liga yang paling popular di dunia banyak dikuasai oleh entiti luar.Pemilik-pemilik kelab itu sama ada daripada keluarga di raja Arab yang kaya raya ataupun bilionaire Rusia selain tokoh perniagaan Amerika Syarikat. Jadi, penampilan Tony bersama Kamarudin dan Ruben di persaingan EPL turut meletakkan nama Malaysia dalam radar sukan dunia. Tetapi yang penting, sempena dengan ulang tahun kemerdekaan negara ke-54 yang tinggal tidak berapa hari ini, itu tanda kejayaan Malaysia untuk bangkit selepas sekian lama menjadi hamba kepada Inggeris. Diharapkan Tony dan rakan-rakan menjadi tuan yang baik dan seterusnya menjadikan QPR sebuah pasukan yang disegani dalam EPL. Tanggungjawab kini ialah memastikan QPR di bawah kendalian usahawan Malaysia mampu cemerlang sebagaimana Malaysia bangkit selepas bebas daripada pengaruh penjajahan Inggeris 54 tahun lalu.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
24 OGOS 2011


Tiada ulasan: