Oleh Imlan Adabi
Seorang doktor perubatan yang kembali bertugas di negara ini merungut; “Saya dikenali sebagai rakyat Malaysia ketika berada di luar negara. Saya bangga dengan sebutan itu kerana saya lahir dan dibesarkan di Malaysia. Hanya apabila tamat belajar di luar negara, saya berkhidmat di sana kerana Malaysia menghadapi masalah ekonomi ekoran spekulasi mata wang pada 1998. “Jiwa saya tetap Malaysia di perantauan. Saya menyokong Datuk Lee Chong Wei dan Datuk Nicol David ketika mereka beraksi di kota penghijrahan. Saya tidak segan silu mengarak Jalur Gemilang kerana menyokong atlit sukan dari Malaysia. “Kini saya kembali ke Malaysia dan bertugas di sebuah klinik. Malangnya saya tetap dianggap sebagai orang luar. Inilah dilema saya. Dianggap sebagai rakyat Malaysia di luar negara, tetapi rasa diketepikan di tanah kelahiran sendiri.” Suara kesal doktor berusia 40 tahun itu bukan cerita lama. Ia berulang kali berlaku apabila membabitkan isu kaum dan semangat patriotik. Jurang kaum masih menebal dan kita tidak tahu siapakah yang sepatutnya meredakan keadaan selaras konsep 1Malaysia.
Hari ini menjelang 54 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia masih lagi berada di ambang isu kaum yang saling berentetan. Kajian sebuah badan bukan kerajaan (NGO) mendapati jurang kaum semakin menebal selepas Pilihan Raya Umum 2008. Pelbagai isu dipolitikkan dan dikaitkan dengan sentimen perkauman walaupun pada asasnya kehidupan ini bukan semata-mata membabitkan isu ras, etnik, agama dan cara hidup. Orang politik sering membuat jenaka kononnya Malaysia sebuah negara bangsa. Mereka menyebut bangsa Malaysia. Kita hairan bagaimana bangsa Malaysia boleh disebut sedangkan dalam kalangan kita ada Melayu, India dan Cina serta pelbagai etnik lain lagi. Selama 54 tahun Malaysia berusaha membina persamaan dan persefahaman, tetapi amat mustahil untuk mewujudkan sebuah negara bangsa kerana kepelbagaian yang ada. Keadaan di Malaysia seperti juga di Amerika Syarikat, Kanada, Australia dan Singapura yang tidak mungkin melahirkan negara bangsa kerana keragaman kaum, agama dan cara hidup. Kita berbeza dengan Thailand, Indonesia, Vietnam, Laos dan Kemboja kerana kewujudan bangsa teras.
Negara itu hanya mengutamakan sebuah bahasa pengantar di sekolah dan perlembagaan negara serta tidak membiarkan kelainan etnik menimbulkan jurang kaum yang tinggi. Berbeza dengan Malaysia yang bukan saja bahasa rasminya boleh dipertikai nilai ekonomi dan sosial, malah ada dalam kalangan Melayu sendiri yang merendahkan bahasa ibunda untuk subjek Sains dan Matematik di sekolah. Aneh sekali apabila sebuah negara yang 54 tahun merdeka tidak mahu mengiktiraf kepentingan lingua franca yang jutaan tahun diguna pakai di perairan Nusantara. Isu kaum dan agama sering merumitkan. Perasaan saling curiga hatta membabitkan hal remeh dipolitikkan. Sepanjang tempoh merdeka, kita saling bergeser isu agama walaupun ada pihak yang cuba mewaraskan keadaan. Kita bimbang isu Melayu di gereja dan penggunaan nama Allah oleh penganut Kristian bakal menjadi api yang merebak tanpa melihat kepada persekitaran sebenar. Seperti telahan doktor yang berasakan dirinya ‘rakyat asing’ di negara sendiri, kita terlalu banyak berpolitik dan menjadikan isu kaum sebagai halangan untuk membentuk Malaysia yang harmoni.
Ketika kaum Melayu berasakan sudah terlalu banyak memberi kepada pihak lain, kaum Cina dan India pula masih menuduh kerajaan berat sebelah dan menyisih mereka dalam pelbagai sektor pembangunan dan prasarana ekonomi. Selagi perasaan ini muncul, isu kaum seperti yang dikaji selidik Merdeka Centre tidak akan mudah berakhir. Apa saja cetusan bakal memberi riak yang berbeza. Lebih parah apabila setiap isu yang timbul, diledakkan pula oleh orang politik yang akhirnya menambahkan lagi jurang perbezaan dalam kalangan kita.
SUMBER
BERITA HARIAN
22 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan