01 Ogos 2011

ISU PENYAKIT : MASYARAKAT MALAYSIA TAK ENDAH BAHAYA HEPATITIS B, C

Oleh Ratinawati Rasidi
ratinawati@bharian.com.my


Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan dua bilion penduduk dunia dijangkiti virus Hepatitis B, manakala 130 juta pada tahap kritikal jangkitan Hepatitis C. Disebabkan kedua-dua virus itu, 350,000 pesakit dijangka meninggal dunia setiap tahun di seluruh dunia. Sukar mengenal pasti sama ada kita pembawa virus atau tidak jika tidak melalui pemeriksaan pengesan yang kini boleh dilakukan di hospital kerajaan atau swasta. Pembawa virus tidak sedar mereka ialah pembawa sehingga mendapat tanda status serangan virus pada tahap kritikal dan proses ini sebenarnya berlaku dalam masa puluhan tahun. Agak membimbangkan tahap kesedaran orang ramai yang kebanyakannya tidak sedar kepentingan menjalani ujian hepatitis. Hakikatnya, kebanyakan rakyat negara ini tidak mengamalkan gaya hidup sihat.  Pesakit mula merasai kesakitan dan kesengsaraan apabila hepatitis pada tahap kritikal dan kebiasaannya sudah menjadi barah. Umum pasti sedar, hepatitis ialah penyakit hati dan tidak asing kepada masyarakat Asia. Mungkin kerana penyakit ini tidak menunjukkan tanda menyakitkan punca ramai tidak mengendahkannya, apatah lagi melakukan pemeriksaan untuk memastikan diri bebas virus itu.

Dua bilion penduduk dunia dijangkiti Hepatitis B dan antara 300 hingga 400 juta pesakit pada tahap kronik. Lebih membimbangkan apabila 75 peratus daripada jumlah itu ialah penduduk Asia dengan 25 peratus (satu daripada empat pesakit) ialah mereka yang terdedah kepada kesan jangkitan untuk tempoh lama. Mereka yang dijangkiti juga berisiko tinggi mengalami kerosakan hati serius seperti sirosis, kegagalan fungsi hati dan barah hati. Kebanyakan virus hepatitis adalah jangkitan tersembunyi dan ia tidak memberi petanda mahupun kesan sampingan bertahun-tahun kepada pesakit sehingga ia sudah tidak berfungsi. Kebanyakan pesakit hanya sedar dijangkiti hepatitis selepas pemeriksaan doktor, namun dalam kebanyakan kes, pesakit berada pada tahap kritikal (barah) dan peluang untuk sembuh tipis Perunding Hematologi, Pusat Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Rosmawati Mohamed, berkata pesakit dijangkiti virus hepatitis kebiasaannya tidak menampakkan kesakitan atau menderita.  Katanya, hepatitis terbahagi kepada A, B, C, D dan E. WHO setakat ini menggariskan jenis B dan C yang perlu diberi penekanan kerana angka jangkitan meningkat saban tahun dan dikelaskan antara ancaman terbaru dunia.

“Penularan jangkitan virus secara meluas berlaku di negara ini sebelum 1990-an kerana Malaysia mula menguatkuasakan pemeriksaan ke atas setiap bekalan darah yang diterima baik daripada individu mahupun organisasi hanya selepas itu,” katanya yang mengharapkan kesedaran orang ramai untuk segera melakukan pemeriksaan. Jangkitan virus hepatitis mengambil masa 30 hingga 50 tahun sebelum merosakkan sepenuhnya hati. Ia melalui beberapa peringkat bermula daripada jangkitan dengan pesakit tidak merasakan perubahan. Peringkat kedua iaitu jangkitan kronik dan kemudian membentuk sirosis (garisan atau kerosakan hati) dan akhirnya ia berakhir dengan barah hati yang agak dirawat. “Punca mahupun agen utama masalah jangkitan virus hepatitis ialah kepada golongan perokok. Tembakau antara punca yang boleh menyebabkan pengguna mengalami jangkitan. Mereka yang mengambil minuman keras berlebihan juga mempunyai risiko tinggi untuk dijangkiti hepatitis B. Hepatitis B boleh merebak menerusi sentuhan darah, cecair utama badan termasuk air mani dan bendalir faraj.

Hepatitis C boleh tersebar dengan hubungan terus antara darah yang dijangkiti, namun agak jarang merebak menerusi bendalir dalam tubuh.  “Hepatitis C pula penularan begitu meluas di seluruh dunia dan angkanya mencecah sehingga 170 juta. Daripada angka itu, lebih 90,000 penduduk Asia.  Lebih 30 peratus pesakit dijangkiti virus ini berdepan masalah sirosis atau barah hati sepanjang usia mereka kecuali jika mendapatkan rawatan,” katanya.  Jangkitan Hepatitis C antara satu hingga empat peratus di Malaysia. Penularan penyakit ini hanya berada pada dua peratus (53 hingga 3,540 pesakit). Tiga peratus atau 11 daripada 363 kes berpunca daripada penderma darah dan 85 peratus (162 hingga 190) adalah dalam kalangan penagih dadah.  Kedua-dua virus ini juga boleh merebak melalui hubungan seks, luka terkena darah pesakit, perkongsian pisau cukur, berus gigi, bertindik, tatu, kongsi jarum akupuntur dan jangkitan terus ibu kepada bayi dalam dikandung iaitu antara punca jangkitan Hepatitis B yang biasa di rantau Asia Pasifik.

SUMBER
BERITA HARIAN
1 OGOS 2011

ISU BAHASA : KEWIBAWAAN DEWAN BAHASA DAN PUSTAKA (DBP) KIAN HILANG

Oleh Imlan Adabi


Seorang teman berjenaka: “Jika kita baling batu ke kaca jendela bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada dekad 60-an hingga 80-an, serpihan kacanya akan mengena bahu sasterawan dan pemikir budaya. “Hari ini serpihan batu itu sekadar kena tapak kaki birokrasi yang semakin menjauh daripada jiwa bahasa dan sastera.” Jenaka teman itu kerana meyakini DBP atau nama asalnya Balai Pustaka yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bukan lagi dominan untuk sasterawan, ahli bahasa dan pemikir budaya.  Pada era lampau, DBP sinonim sebagai pusat bahasa dan sastera. Ramai sasterawan tersohor pernah bertapak di bangunan lama DBP termasuk Usman Awang, Keris Mas, Kemala, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Shamsuddin Jaafar, Jaafar HS, Johan Jaaffar, Maarof Saad, Sutung Umar RS, Zaen Kasturi, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Yusof, Zakaria Arifin dan Dinsman.  Kini nama sasterawan besar hampir tiada lagi di DBP kerana udara segar di menara yang serba gah itu mungkin tidak sesuai untuk seniman berkarya, apatah lagi menyuarakan idea kesenian dan kebudayaan. Segala-galanya sudah berubah seiring perjalanan waktu.

Jika dulu, masyarakat menganggap DBP milik mereka kerana agensi kerajaan itu mendekati rakyat dengan buku bermutu yang merata di setiap pelosok negara, kini buku terbitan DBP amat sukar ditemui di pasaran.  DBP, dilihat dari sudut mana pun hari ini, masih berkemelut untuk memulihkan reputasi sesuai matlamat asal untuk ‘menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.’  Krisis DBP dengan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd masih belum berkesudahan. Majalah terbitan DBP untuk keluaran Julai menjadi mangsa pergeseran kedua-dua pihak. Pengedaran buku teks untuk murid dan pelajar tahun depan masih rahsia umum. Bayangkan jika sesi persekolahan 2012 bermula tanpa buku teks terbitan DBP?  Isu bahasa, budaya dan sastera yang sering meribut sekarang tidak pernah reda. DBP tiada taring untuk menyuarakan isu penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Ia sekadar membiarkan isu berlalu dan mengharapkan pihak di luar Menara DBP bersuara atau menjerit di jalanan.  

Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein juga menguji kebijaksanaan pentadbir DBP mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya, ia berlanjutan dan dipolitikkan dengan pelbagai versi siasah. DBP sebagai badan budaya, bahasa dan sastera kurang berperanan sebagai pihak yang wajar berada di tengah gelanggang untuk menyelamatkan karya besar Sasterawan Negara kita. Sampai bila harus begini?  Justeru, tidak menghairankan apabila Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan kerugian berterusan.  Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan.  GDB gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan. 



Sejak 2002, DBP dianggarkan kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun. Apakah penswastaan untuk mencapai kerugian berterusan? Bagaimana pula kesudahan krisis DBP dan Dawama?  Sebelum ini ramai yang merungut buku terbitan DBP tidak berada di pasaran. Kolum ini pada 16 November tahun lalu di bawah judul ‘DBP terbit, Dawama simpan buku’ mendedah pengalaman peribadi penulis yang tidak menerima sebarang royalti sejak beberapa tahun kerana buku tidak berada di pasaran.  Keadaan akan berterusan jika kerajaan tidak bertindak pantas menyelamatkan sebuah agensi yang sedang bermasalah itu. Bagi masyarakat terbanyak, buku terbitan DBP sewajarnya merakyat dan mudah diperoleh hatta di kedai mamak sekali pun!

SUMBER
BERITA HARIAN
1 OGOS 2011

ISU ICT : BUKAN SEKADAR ANGKA

Oleh FAUZIAH AROF
rencana@utusan.com.my


Siapa  kata penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman tidak menghargai teknologi maklumat? Hakikatnya mereka lebih menghargainya dan memerlukannya. Mereka menganggap kemudahan itu sebagai satu rahmat yang besar. Melihat kepada riak wajah dan keterujaan pelajar-pelajar sekolah serta penduduk di kawasan terpencil yang bertepuk tangan dan bersorak gembira setiap kali Telekom Malaysia Berhad (TM), syarikat maklumat dan komunikasi bersepadu terkemuka di negara ini membantu kerajaan melancarkan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) berkenaan, ia merupakan satu pengalaman yang amat berharga. Bagi Pengerusinya, Datuk Dr. Halim Shafie, menyaksikan sendiri kegirangan masyarakat pedalaman tersebut dengan sambutan mesra yang diberikan, membuatkan beliau merasa gembira sekali gus terharu. ‘‘Kemudahan ini bukan sekadar angka, tetapi lebih daripada itu. Anda akan merasakan kepuasan dengan melihat reaksi mereka, perjalanan yang jauh dan kepayahan kami untuk sampai ke kawasan-kawasan pedalaman yang terlibat dirasakan amat berbaloi,” kata beliau ketika ditemui di pejabatnya baru-baru ini.

Jelas Halim, ia bukan hanya misi untuk meluaskan kemudahan berkenaan ke kawasan terpencil, tetapi yang lebih utama memberikan perkhidmatan itu kepada masyarakat luar bandar dan pelajar-pelajar sekolah yang memiliki pelbagai potensi yang boleh dikembangkan menerusi kebaikan ICT. Betapa tidak, melalui kemudahan ICT mereka boleh menimba pelbagai ilmu, tidak hanya bergantung kepada buku teks selain meluaskan jaringan komunikasi mereka yang terhad. Bagi penduduk lainnya pula, mereka boleh berhubung dengan anak-anak, saudara-mara, rakan-taulan yang jauhnya beratus-ratus kilometer dari kawasan yang mereka diami. Melalui projek e-Bario, iaitu projek perintis Internet luar bandar yang dimulakan pada 1999 dengan kerjasama Universiti Malaysia Sarawak (Unimas), ia sebenarnya adalah cabaran yang amat besar kepada TM, kerana bukan mudah untuk mengadakan kemudahan berkenaan di kawasan tanah tinggi pedalaman di utara negeri itu yang hanya boleh sampai dengan pengangkutan udara. Projek e-Bario yang pernah memenangi Anugerah e-Asia di Taipei pada 2004 itu membolehkan penduduk di kawasan berkenaan yang rata-ratanya masyarakat Kelabit berhubung dengan dunia luar.

‘‘Dengan kemudahan ini, ada masyarakat Kelabit di sana ada yang singgah dulu ke pusat Internet ini untuk berhubung dengan sanak saudara dan rakan-rakan di luar, sebelum mencari rezeki,” kata Halim yang juga bekas Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2006 hingga 2009 itu. Dalam merapatkan lagi jurang digital antara bandar dan luar bandar, TM juga memainkan peranannya membantu kerajaan menjayakan Program Internet Desa (PID) yang mula dilaksanakan dalam tahun 2000 dengan 14 lokasi perintis di seluruh negara bersama Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi (KTAK) ketika itu dan Pos Malaysia Berhad. ‘‘PID menyediakan infrastruktur ICT termasuk peralatan komputer dan talian Internet, serta penyediaan latihan berterusan yang percuma kepada masyarakat luar bandar. ‘‘Setiap PID diuruskan oleh seorang penyelia dan penolong penyelia yang mempunyai ijazah dan diploma yang dilantik oleh kementerian untuk menyenggara PID,” jelas beliau. Kemudahan yang disediakan di setiap PID melibatkan antara lima hingga sembilan unit komputer, dua unit pencetak, masing-masing satu unit untuk pencetak warna, pengimbas, kamera digital dan talian Internet jalur lebar.

Tambah beliau, TM juga terlibat dalam Rangkaian Penyelidikan dan Pengajaran Kebangsaan (Myren) yang menyediakan jalur lebar khusus berkapasiti tinggi yang menghubungkan 28 institusi pengajian tinggi, masing-masing 20 buah politeknik dan kolej komuniti, institut penyelidikan dan makmal saintifik untuk menjalankan penyelidikan dan pendidikan yang dilancarkan pada 2003. Rangkaian itu berhubung terus dengan komuniti penyelidik dan pendidik yang berada di Asia Pasifik, Australasia, Eropah dan Amerika Utara melalui Trans Eurasian Information Network 3 (TEIN 3). ‘‘Bermula 2004 pula, TM terlibat dalam projek SchoolNet yang ideanya dicetuskan oleh KTAK dan Kementerian Pelajaran. Ia melibatkan penyediaan capaian Internet jalur lebar untuk 10,000 buah sekolah di seluruh negara,” jelas beliau. Dengan SchoolNet, pelajar-pelajar di seluruh negara sama ada di sekolah rendah dan sekolah menengah mendapat faedah daripada akses jalur lebar dan aplikasi-aplikasi Internet. SchoolNet mewujudkan satu persekitaran pembelajaran lebih dinamik yang memberikan akses pantas kepada maklumat pendidikan online serta komunikasi interaktif.

Para pelajar juga boleh bertukar-tukar data dan maklumat dengan pengguna lain menerusi rangkaian tersebut. Bagi memastikan SchoolNet dimanfaatkan sepenuhnya, pada Januari 2008, satu program sekolah angkat yang dikenali sebagai GITN TechnoGogy Learning in Schools (GTL Schools) dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran. Program GTL ini melibatkan sekolah di kawasan pedalaman dan luar bandar di seluruh negara. Sekolah-sekolah ini dipilih berdasarkan kadar penggunaan SchoolNet yang rendah. TM juga, kata Halim, terlibat dalam program Promoting Intelligence, Nurturing Talent and Advocating Responsibility atau PINTAR yang dicetuskan oleh Kementerian Kewangan bersama-sama dengan syarikat-syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Program itu yang bermula pada Januari 2007, menyaksikan TM mengambil dua buah sekolah di Pulau Pinang sebagai sekolah angkatnya iaitu Sekolah Kebangsaan Bukit Indera Muda (SKBIM) dan Sekolah Kebangsaan Seri Penanti (SKSP) di Bukit Mertajam. 


TM memperuntukkan RM400,000 untuk tempoh 3 tahun bagi kedua-dua sekolah tersebut mengadakan pelbagai aktiviti termasuklah latihan dan bengkel peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), bengkel Bahasa Inggeris, bengkel pengurusan dan penyelenggaraan komputer, kursus-kursus motivasi dan lawatan sambil belajar ke Kuala Lumpur. Melalui projek itu, TM melengkapkan sekolah-sekolah berkenaan dengan komputer – komputer yang dilengkapi dengan sambungan jalur lebar untuk akses Internet yang lebih baik. Kelas-kelas Aplikasi Internet dan Penyelenggaraan Komputer serta kursus motivasi turut disediakan untuk manfaat para pelajarnya Pelaksanaan inisiatif-inisiatif ini adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk merapatkan jurang digital dan jurang informasi antara sekolah-sekolah di kawasan bandar dan luar bandar dalam mewujudkan masyarakat berasaskan pengetahuan bagi membawa negara ke peringkat yang lebih tinggi.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OGOS 2011

ISU UMUM : HALA TUJU NEGARA DAN R&D

ROHAMI SHAFIE
Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan
Kolej Perniagaan (COB)
Universiti Utara Malaysia.


Malaysia  masih terlalu jauh ketinggalan berbanding negara-negara maju dari segi membudayakan penyelidikan dan pembangunan (R&D) dalam kehidupan rakyatnya. Dalam banyak proses membuat keputusan, R&D jarang sekali digunapakai. Keputusan lebih banyak dibuat dalam bentuk ad-hoc atau tergesa-gesa yang mana ia jarang sekali berdasarkan suasana sebenar. Sebab itulah, di negara ini kita sering lihat sesuatu perkara berlaku berulang-ulang kali tanpa ada penyelesaian yang jitu. Sebagai contoh, kadar kemalangan terlalu tinggi di Malaysia seringkali diulang tayang dan ditekankan di media massa terutamanya ketika musim perayaan. Penulis percaya terdapat kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di Malaysia tetapi kenapakah kadar kemalangan masih lagi tinggi? Di manakah silapnya? Penulis berpendapat antara punca utamanya adalah tiada penghayatan dan pelaksanaan sepenuhnya berteraskan kajian-kajian yang dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan di negara kita. Kajian-kajian tersebut hanyalah sekadar untuk memenuhi keperluan dunia akademik. Inilah kelemahan yang perlu diperbetulkan segera.

Jika Malaysia ingin menjadi sebuah negara yang maju, hala tuju kita ke arah matlamat itu mestilah berteraskan R&D. Di Amerika Syarikat (AS), umpamanya, banyak keputusan dibuat berdasarkan kajian. Sebab itulah AS cukup hebat dari segi R&D. R&D di sana bukanlah sekadar untuk memenuhi keperluan menamatkan pengajian di universiti, tetapi R&D digunakan untuk membantu membina negara agar lebih kukuh dalam pelbagai segi. R&D juga bukan sahaja bertujuan dibentangkan di seminar atau persidangan kebangsaan mahupun antarabangsa. Sekadar membentangkan di seminar tanpa ada penghayatan dari segi pelaksanaan untuk kebaikan manusia, penyelidik kajian tersebut seolah-olah berada dalam zon syok sendiri. Akhirnya, kajian-kajian ini hanya memenuhi rak-rak di perpustakaan-perpustakaan universiti untuk digunakan oleh penyelidik-penyelidik lain pada masa hadapan. Kalau kajian itu berada dalam kategori bermutu tinggi, maka, ia akan diterbitkan di jurnal-jurnal terkemuka yang dikategorikan sebagai terbaik berstatus A dan diindekskan oleh ISI, Scopus dan sebagainya.

Tujuan utama diterbitkan pula hanyalah untuk mengejar 'rangking' yang dicipta oleh barat seolah-olah kita mengikut telunjuk barat. Sedangkan dunia akademik perlu bebas daripada sebarang telunjuk yang boleh menjumudkan ilmu itu sendiri. Hanya mengejar rangking sedangkan kajian tersebut tidak langsung dipedulikan atau dihargai oleh kebanyakan rakyat, ia umpama ilmu yang terperap. Tidakkah ini menunjukkan kajian hanya untuk 'menggembirakan' segelintir golongan yang rutin hidupnya berada di menara-menara gading? Berapa ramaikah orang biasa yang membaca jurnal-jurnal tersebut? Itu belum diambil kira sejauh manakah mereka memahaminya. Bagi penulis, apalah gunanya ilmu yang dikaji jika tidak disebarkan kepada orang ramai untuk diamalkan. Tidakkah kita mengetahui bahawa terdapat banyak kajian yang dihasilkan oleh penyelidik-penyelidik Malaysia boleh membantu negara menyelesaikan masalah yang menyelubungi rakyat negara ini? Begitu juga terdapat banyak kajian yang boleh membantu kerajaan menjadikan negara ini lebih baik. Lebih-lebih lagi, kini pelbagai transformasi sedang dan akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Dalam konteks ini kajian dalam bidang sains sosial seharusnya ke hadapan. Kajian-kajian dalam bidang sains sosial lebih ke arah untuk membantu pihak atasan dalam pembuatan keputusan. Ramai yang mungkin menyangka kajian yang hebat mestilah sehingga menghasilkan produk yang boleh digunapakai. Produk fizikal yang boleh dilihat dan digunakan dalam kehidupan seharian. Ya, ini hanya sebahagian daripada R&D dalam bidang sains dan teknologi. Untuk menjadi negara maju, kita tidak boleh meminggirkan kajian sains sosial. Sebab itulah, kerajaan bercadang untuk menubuhkan Universiti Penyelidikan Sains Sosial. Sekali lagi, keputusan untuk menubuhkan universiti ini juga sudah tentulah berdasarkan kajian. Jika tidak, implikasi negatif akan dapat dilihat dalam jangka masa panjang. Yang rugi nanti rakyat dan negara. Tetapi jika sudah ada kajian menyeluruh dilakukan dan penubuhan universiti ini benar-benar memberi manfaat kepada rakyat dan negara, maka, teruskanlah niat tersebut.

Dengan kata lain, setiap tindakan yang hendak dilakukan terutamanya untuk mencapai hala tuju dan wawasan negara, kajian adalah perintis kejayaan awal. Maka, tidak menghairankan apabila Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) diperuntukkan sebanyak RM741 juta untuk dana penyelidikan bagi 2011 dan 2012. Ini tidak termasuklah dana penyelidikan yang disediakan oleh kementerian-kementerian lain seperti Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan syarikat berkaitan kerajaan seperti Permodalan Nasional Berhad (PNB). Selain dana penyelidikan yang mencukupi, negara juga memerlukan lebih ramai penyelidik yang mana ketika ini hanyalah dalam sekitar 30,000 orang sahaja. Semuanya ini untuk memastikan budaya R&D dapat dihayati bukan sahaja di kalangan penyelidik tetapi juga untuk agenda yang lebih luas lagi bagi memenuhi keperluan dan hala tuju negara dalam menuju ke arah sebuah negara maju, makmur dan mapan pada 2020.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 OGOS 2011

31 Julai 2011

ISU SOSIAL : GEJALA KEMURUNGAN ISU MASYARAKAT MODEN YANG SEMAKIN SERIUS


Dua bekas presiden Amerika Syarikat, Abraham Lincoln dan Theodore Roosevelt pernah mengalaminya pada suatu ketika. Malah beberapa seniman agung seperti pemuzik Beethoven, penulis Edgar Allen Poe dan Mark Twain serta pelukis Vincent van Gogh turut melalui pengalaman yang sama. Ini membuktikan kemurungan tidak mendiskriminasi sesiapa. Dalam satu kajian, Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati kemurunganklinikal ialah penyakit keempat dalam ranking penyakit penyebab ketidakupayaanpaling teruk dan dijangka akan naik pada kedudukan kedua menjelang 2020. Gejala atau simptom kemurungan berbeza-beza, tetapi secara amnya, mangsamengalami perasaan negatif untuk jangka masa yang panjang seperti kehilanganminat atau kehendak untuk hidup dan anhedonia atau hilang perasaan nikmatkehidupan. Tanda lain termasuk perubahan berat badan dan selera makan secara drastik,gangguan tidur, kesunyian, mudah terasa, mudah cemas, kepenatan, dihantuiperasaan tidak berguna, sering rasa bersalah, kurang bertenaga, hilang tumpuandan rendah diri.

Kemurungan juga boleh termanifestasi dalam pelbagai bentuk masalah fizikalseperti sakit belakang, pening, masalah gastrik dan lain-lain sakit kronik. Presiden Persatuan Psikiatrik Malaysia (MPA), Dr Abdul Kadir Abu Bakarmenjelaskan bahawa kemurungan sebenarnya sangat berbeza dengan kesedihan. Diagnosis kemurungan ialah mempunyai lima atau lebih gejala berkaitanselama sekurang-kurangnya dua minggu yang cukup teruk hingga mengganggu prestasi kerja dan kehidupan sosial. Ia boleh menjadi kronik sehinggakan menjurus kepada membunuh diri. Apapun, kebanyakan kes kemurungan sebenarnya boleh dirawat dengan ubat ataumelalui psikoterapi. Tanpa rawatan sewajarnya, gejala yang dialami pesakit boleh mengambil masasehingga berbulan-bulan atau bertahun-tahun. Pakar bersetuju bahawa sekiranya seseorang itu nekad untuk membunuh diri,tiga jenis perasaan telah terbentuk di dalam dirinya, iaitu - tidak lagi tahanuntuk menanggung azab, tidak lagi mampu melarikan diri dan tidak upaya lagimenghadapi ketentuan.

Rekod Daftar Statistik Bunuh Diri Malaysia mencatatkan seramai 731 (545 lelaki dan 186 wanita) membunuh diri dalam tempoh tiga tahun antara 2007 hingga2010. Daripada angka itu 321 kes melibatkan individu yang berkahwin, 298 bujang, 34 orang balu dan 29 orang yang bercerai. Statistik itu merupakan sebahagian daripada laporan Kabinet yang dibentangkan di Dewan Negara April 2011. Kajian WHO mendapati, penyebab utama kematian akibat bunuh diri adalahkemurungan. WHO turut menganggarkan bahawa di rantau Asia Pasifik, orang yang mati akibat bunuh diri sebenarnya lebih ramai berbanding mati akibat tuberculosis. Senario bunuh diri dijangka akan meningkat sekiranya masyarakat engganbersikap terbuka terhadap isu yang berkaitan dengan masalah sosio-ekomoniyang boleh menjurus kepada isu psikiatrik. Kajian mendedahkan bahawa dalam satu-satu masa, sekitar lima hingga 10peratus anggota masyarakat berdepan dengan episod kemurungan yang memerlukanbantuan psikiatri atau bantuan psikososial. Tetapi, wanita mempunyai kadar risiko yang lebih tinggi berbanding lelakiiaitu sekitar satu nisbah dua kebarangkalian untuk mengalami episod kemurungan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup.

Saintis percaya kekerapan itu berpunca daripada beban mengimbangi pelbagaiperanan sebagai suri rumahtangga, tugas profesional, isteri dan ibu. Berbeza dengan wanita, lelaki sering merawat sendiri kemurungan denganterjebak dalam kegiatan tidak sihat seperti dadah dan arak sekaligusmenyebabkan isu kemurungan sukar dikesan. Kajian juga menunjukkan bahawa penyakit kemurungan ini lebih mudah menyerangpada tempoh paling produktif seseorang individu, iaitu mereka yang berusiakurang 45 tahun, berbanding mereka yang lebih tua. Dr Abdul Kadir menegaskan bahawa kesihatan mental dan kesihatan fizikaladalah dua perkara berbeza tetapi sama penting dan saling berkaitan. Kedua-dua komponen ini mesti seimbang bagi membolehkan seseorang menjalanikehidupan yang lebih sejahtera, memiliki hubungan kekeluargaan yang baik danmenjadi ahli masyarakat yang produktif. Hakikatnya di Malaysia, rakyat yang mengalami kemurungan sebenarnya lebihramai berbanding angka yang telah dikenalpasti mengalami masalah itu. Beliau berkata ramai yang malu tampil mendapatkan bantuan ekoran stigmanegatif masyarakat yang masih mempunyai mentaliti dunia ketiga apabila menyentuhisu berkaitan masalah psikiatrik.

Beliau turut menekankan bahawa ramai dalam kalangan pengidap yang didiagnos tidak menerima rawatan sewajarnya ekoran pelbagai halangan, turutsekaligus menghalang mereka kembali menjadi anggota masyarakat yang produktif. Hanya melalui pendidikan, lebih ramai akan sedar dengan isu ini dan akantampil mendapatkan rawatan sewajarnya atau sekurang-kurangnya berbincang denganpegawai perubatan. Justeru, apa yang boleh dilakukan jika anda mendapati ahli keluarga, rakanatau diri anda sendiri mungkin mengalami tekanan atau kerunsingan sehinggamengganggu urusan harian atau produktiviti kerja? Dr Abdul Kadir menjelaskan bahawa meluahkan perasaan sebenarnya satuperbuatan yang sihat, tetapi sukar dilakukan, ekoran merasa malu dianggapbermasaalah. Justeru, cara yang mungkin lebih berkesan ialah, meluahkan perasaan melaluisaluran yang betul kepada orang yang tidak dikenali iaitu perkhidmatankaunseling yang kini disediakan di banyak hospital. Mereka yang tidak sanggup bersemuka dengan kaunselor dicadangkan menghubungi talian bantuan The Befrienders iaitu 03-79568145 yang dibuka sepanjang hari.

SUMBER
MSTAR ONLINE
25 JULAI 2011

ISU SOSIAL : KEBEBASAN, HAK ASASI AGAMA BARU DUNIA


Enam ratus lima puluh sembilan (659) pasangan dilaporkan telah melangsungkan perkahwinan sejenis di New York pada Ahad lalu, mencatatkan rekod jumlah perkahwinan gay dan lesbian yang terbanyak dalam sehari. New York adalah negeri yang keenam di Amerika Syarikat (AS) yang 'menghalalkan' perkahwinan sejenis. Ini bermakna 44 negeri sahaja lagi di negara pengeskport ideologi demokrasi, kebebasan dan hak asasi itu yang belum mengiktiraf seks dan perkahwinan sejenis. Lambat-laun negeri-negeri lain juga akan mengikut jejak langkah New York. Logiknya hanya masa yang menunda pelaksanaan kebebasan yang amat bertentangan dengan syariat agama Islam ini. Berita ini mungkin dibaca dengan senyum sinis oleh umat Islam di Malaysia. Pada akal kita, tidak mungkin budaya kuning yang Allah kutuk di dalam al-Quran itu akan menular ke Malaysia suatu hari nanti. Persoalannya adakah semua umat Islam benar-benar menjiwai dan beriman dengan al-Quran? Senyumlah atau ketawalah. Syaitan-syaitan juga sedang ketawa. Banyak perkara yang dulu kita ketawakan sudah menjadi budaya tiruan di Malaysia.

Lihatlah betapa ada kumpulan wanita Islam di Malaysia yang mahu menghapuskan poligami walaupun ia dibenarkan Allah SWT. Apabila nilai-nilai budaya itu datangnya dari masyarakat yang lebih maju dari segi keduniaan, akan mudahlah masyarakat yang kurang maju terkeliru dan meniru. Seks sejenis sebenarnya turut diamalkan oleh segelintir kalangan masyarakat Malaysia termasuk mereka yang dilahirkan sebagai orang Islam. Secara senyap-senyap ia mungkin merebak. Cuma mereka yang mengamalkannya masih menyorok daripada pengetahuan umum. Malu kepada manusia atau malu kepada Allah? Bayangkan jika bilangan pengamal seks sejenis bertambah dan turut menular di kalangan yang berpengaruh. Betapa jika terdapat kalangan pemimpin politik yang juga melakukan seks sejenis. Jangan lupa bahawa Malaysia juga mengamalkan demokrasi berpilihan raya sama seperti di AS. Lazimnya dalam pilihan raya, kemenangan ditentukan oleh puak majoriti. Tetapi di Malaysia sendiri kita dapat melihat betapa suara minoriti boleh mempengaruhi suara majoriti apabila kalangan yang bertanding dalam pilihan raya mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada puak majoriti.

Akhirnya satu demi satu kehendak minoriti disuarakan secara terbuka dan lambat-laun terpaksa diterima oleh kalangan ahli politik yang memburu undi sokongan. Itulah yang berlaku di AS. Perebutan kuasa yang sengit antara parti Demokrat yang lebih liberal dengan parti Republikan yang konservatif akhirnya memberikan peluang kepada golongan minoriti untuk bersuara. Tuntutan mereka dipenuhi setelah bilangan mereka bertambah dan suara mereka semakin lantang melalui demonstrasi di jalan raya. Wahai orang-orang yang beriman, berwaspadalah! Allah telah menauliahkan nabi demi nabi dan menurunkan kitab demi kitab untuk membimbing manusia ke jalan yang betul, tetapi manusia mudah lupa, lekas tewas kepada nafsu dan tunduk kepada kemewahan dunia. Nabi yang terakhir ialah Muhammad SAW dan kitab terakhir ialah al-Quran. Tiada lagi pembimbing manusia ke jalan yang lurus selepas Muhammad dan al-Quran. Jika kita tergelincir daripada cara hidup yang Allah perintahkan, rasailah akibatnya di dunia dan akhirat sebagaimana yang menimpa umat-umat dahulu termasuk kaum Nabi Lut, Nabi Nuh, Tsamud, Aad dan Madyan yang dinyatakan dalam al-Quran sebagai peringatan kepada manusia sepanjang zaman.

Berhati-hatilah dengan sebarang nilai yang sedang dieksport dengan agresif dari Amerika Syarikat ke negara-negara yang penduduk majoritinya beragama Islam. Janganlah mudah terperangkap dengan apa jua yang disuakan atas nama kebebasan dan hak asasi manusia. Mereka yang ghairah menerima fahaman ciptaan nafsu manusia ini juga termasuk orang-orang yang dilahirkan beragama Islam. Yang berserban dan menuntut di Universiti Al-Azhar juga sudah terjebak sebelah kaki. Di mana iman mereka? Ini semua adalah gara-gara mahukan kejayaan di dunia, bukan kejayaan di akhirat yang Allah janjikan untuk orang-orang yang beriman. Jika ditanya, mereka akan memberikan dalil yang palsu. Disebabkan mereka ini berkelulusan tinggi agama, ramai yang turut percaya. Dulu ramai yang tertarik dengan fahaman sosialis yang diasaskan oleh Karl Marx dan Friedrich Engels, sekalipun mereka berteori bahawa agama itu adalah candu yang boleh merosakkan kehidupan manusia. Daripada teori mereka lahirlah fahaman komunisme yang menganjurkan keadilan sosial dan ekonomi sama rata untuk semua manusia. Akhirnya komunisme runtuh dan tinggal sisa cebisan di beberapa buah negara sahaja. Bangkit pula demokrasi, kebebasan dan hak asasi.

Apa bezanya fahaman komunisme yang menentang agama dengan fahaman kebebasan bawaan Amerika yang turut mengizinkan seks sejenis? Tidakkah fahaman yang dieksport dari Amerika ini juga menghancurkan institusi agama? Bezanya, hanyalah dari segi pendekatan. Komunis menggunakan pendekatan yang lebih keras, tetapi fahaman kebebasan dan hak asasi dari Amerika menghancurkan agama melalui proses demokrasi yang penuh manipulasi dan penipuan. Betapa ada pemimpin-pemimpin politik yang dulu menganut fahaman sosialisme, sekarang beralih kepada demokrasi, kebebasan dan hak asasi sebagai 'agama baru' mereka. Allah menyuruh orang-orang beriman supaya berdoa memohon kebahagiaan di dunia dan akhirat. Nabi Muhammad juga menyuruh kita bekerja seolah-olah akan hidup selama-lamanya, tetapi beribadatlah seolah-olah akan mati esok. Bagaimanapun, matlamat kebanyakan manusia hanyalah mencari kekayaan dan berseronok dengan kekayaan itu. Budaya kebendaan ini turut meresap ke segenap sendi kehidupan masyarakat Islam. Zahirnya majoriti umat Islam menunaikan solat dengan menghadap ke Mekah, tetapi dalam banyak hal kehidupan kita berkiblat ke Amerika dan Eropah.

Betul tidak semua yang datang dari Barat itu bertentangan dengan nilai Islam, tetapi realitinya semakin ramai umat Islam yang sudah kelabu dan tidak tahu membezakan yang benar dan tidak benar. Puncanya kerana terlalu cintakan kehidupan dan kemajuan dunia. Seolah-olah mahu hidup selama-lamanya dan tidak akan mati. Kejayaan masyarakat dan individu tidak lagi dilihat dari segi pegangan agamanya, tetapi kekuatan ekonominya. Apabila mencapai tahap ekonomi yang dihajati, mereka menuntut pula kebebasan yang dalam beberapa hal sangat bertentangan dengan ajaran agama. Inilah agama baru yang turut diimport ke Malaysia oleh badan-badan dakyah yang menyamar atas nama pelbagai NGO yang sebilangan besar hanya mempunyai beberapa kerat ahli. Malangnya suara mereka sangat mendapat tempat di media. Turut menyokong penyebaran agama baru ini ialah tokoh-tokoh politik yang dilahirkan beragama Islam dan mendakwa berjuang untuk Islam. Maka senyum dan ketawalah membaca laporan perkahwinan sejenis beramai-ramai di Amerika. Dan syaitan-syaitan pun turut ketawa kerana mereka yang berserban juga sudah berjinak-jinak dengan agama baru bertopengkan kebebasan dan hak asasi ini.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
31 JULAI 2011

30 Julai 2011

ISU SOSIAL : MUSIM PERAYAAN DAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Oleh Azman Anuar


Sejak dua dekad lalu, musim perayaan dan kemalangan jalan raya bagaikan dua senario yang tidak boleh dipisahkan. Seolah-olah tidak akan sempurna sesuatu musim perayaan tanpa kemalangan jalan raya. Menjelang tiba bulan Ramadan yang dijangka Isnin ini, kisah empat orang maut manakala dua parah dan tiga cedera ringan apabila sebuah treler terbabas lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kamunting, Perak malam Khamis lalu boleh diibarat pembuka episod kemalangan bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Saya percaya bagaikan rentetan cerita ular menelan manusia pertengahan 1990-an, begitu juga cerita kemalangan melibatkan bas. Tragedi terbaru ini memperlihatkan trend kemalangan maut melibatkan bas mungkin bertambah jika tidak ada langkah pencegahan awal dilakukan. Kenapa mesti berlaku bagai tradisi kemalangan terus meningkat pada musim perayaan? Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Keselamatan Jalan Raya telah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Akan tetapi secara purata 10 hingga 16 kemalangan maut masih berlaku setiap hari pada musim perayaan. Dan mungkin semua orang muak memperkatakan kaedah untuk mengurangkan angka korban jalan raya. Beribu cadangan sudah dilaksanakan dan ada yang masih dalam simpanan pihak berkuasa, tetapi ternyata ia gagal mendidik para pengguna jalan raya menjadi pemandu berhemah. Beratus ribu kali juga dinyatakan faktor kelalaian manusia menjadi punca utama kemalangan baik di kawasan yang dikategorikan sebagai jalan raya selamat ataupun yang kerap berlaku kemalangan. Sudah cukup banyak peringatan diberikan tentang langkah-langkah menjaga keselamatan nyawa pengguna jalan raya. Tetapi apa maknanya jika kita sendiri bagaikan tidak sayangkan nyawa apabila berada di jalan raya. Selagi sikap pemandu kenderaan di negara kita tak berubah, maknanya jumlah kemalangan terutama kemalangan maut tidak akan dapat dikurangkan. Sebenarnya kita boleh mengubah keadaan ini jika setiap pengguna jalan raya boleh memainkan peranan untuk membantu pasukan penguat kuasa.

Tidak sukar untuk kita memberikan maklumat mengenai pemandu cuai kepada pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan awal dapat diambil secepat mungkin sebelum terlewat. Tetapi jangan diulangi langkah hangat-hangat tahi ayam Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dahulu yang hanya mampu menguatkuasakan peraturan supaya semua kenderaan perdagangan dilekatkan stiker yang mempamerkan nombor talian bebas tol LPKP. LPKP pula memberi kepercayaan kepada orang ramai untuk membuat aduan. Tetapi ia gagal kerana kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan menyiasat aduan. Apa pun, langkah PDRM memperkenalkan Sistem Pengaduan Polis (PRS) dilaksanakan pada November depan dialu-alukan. Fungsi PRS adalah untuk membolehkan siasatan awal kemalangan dijalankan di mana-mana balai polis seluruh negara secara dalam talian, tidak seperti sebelum ini aduan dibuat di kawasan berlaku kemalangan. Tetapi lebih ‘cantik’ kalau PDRM dapat melaksanakan sistem ini untuk menerima aduan mengenai pesalah trafik atau pemanduan berbahaya.

Alangkah bagusnya juga, jika sistem ini dimulakan segera pada bulan Ogos ini dan bukan November depan. Jika ia dapat diuruskan dengan pantas, barangkali jumlah kemalangan kecil dan kemalangan maut pada musim perayaan ini dapat dicegah dan bukan selepas berlaku tragedi kemalangan. Kes-kes kemalangan maut membabitkan kenderaan awam terutamanya di musim perayaan amat merisaukan terutamanya bas-bas ekspres dan kenderaan berat yang lain. Jadi, adalah wajar jika sistem ini dilaksana bulan Ogos ini bagi membolehkan segala aduan mengenai pesalah trafik dapat ditangani dengan berkesan. Tidak ada masalah bagi orang awam untuk melaporkan sebarang pemanduan secara berbahaya kepada pihak polis. Nyawa rakyat Malaysia tidak sepatutnya melayang di atas jalan raya atau lebuh raya. Ingat bahawa musim perayaan hampir tiba dan mangsa yang terlibat kemalangan biasanya golongan berumur 18 hingga 50 tahun. Sudah tiada masa lagi. Kita patut menghargai nilai nyawa rakyat Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 JULAI 2011

29 Julai 2011

PANDANGAN PERIBADI CIKGU ZUL TENTANG GURU MEROTAN MURID


Akibat dirotan guru tabika, seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun lebam di kaki, tangan dan badan hingga dimasukkan ke hospital dalam kejadian Khamis, 27 Julai 2011. Difahamkan, mangsa yang dikenali sebagai Nur, 6, kini dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) sejak Isnin lalu akibat kecederaannya selepas dirotan guru terbabit yang mengajar di Taman Pelangi, Sentul. Akibatnya, mangsa trauma dan kini tidak mahu ke sekolah, malah sering meracau pada waktu malam. Menceritakan kejadian itu, Nur berkata, guru terbabit memukulnya dengan rotan panjang beberapa kali dan bukan dia saja yang menjadi mangsa, tetapi beberapa rakannya turut dirotan. Katanya, ini bukan kali pertama dia diperlakukan begitu, malah sudah lebih 10 kali, tetapi dia mendiamkan diri selepas diugut guru itu supaya tidak mengadu kepada keluarga.

“Saya tidak pernah memberitahu nenek kejadian itu kerana takut dirotan,” katanya ketika ditemui di HKL, semalam. Nenek mangsa yang dikenali sebagai, Mastura, 60, berkata dia mengetahui kejadian menimpa cucunya itu kira-kira jam 12 tengah malam pada hari kejadian ketika mahu menyapu losyen di badan cucunya yang dijaga sejak kecil itu. “Saya terkejut selepas mendapati kaki, tangan dan badannya lebam dan cuba bertanyakan hal itu. “Pada mulanya dia enggan menceritakan hal sebenar dan memberitahu digigit nyamuk, selepas dipujuk baru dia memberitahu kerap dirotan guru walaupun tidak melakukan kesalahan,” katanya. Menurutnya, ini bukan kali pertama dia nampak kesan kemerahan di badan cucunya itu, malah sudah beberapa kali sejak dia mula belajar di tabika berkenaan mulai awal tahun ini. “Cucu saya itu juga sudah tidak seceria dulu dan kini semakin murung,” katanya yang membuat laporan di Balai Polis Setapak, Jumaat lalu. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan, ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit dan siasatan lanjut dijalankan.

PENDAPAT CIKGU ZUL

Saban tahun kita akan disajikan dengan berita guru merotan murid sehingga menyebabkan kecederaan dan ada yang dimasukkan ke hospital. Pada pandangan saya, sebagai seorang guru, amalan merotan pelajar yang melakukan kesalahan seharusnya diharamkan di peringkat sekolah taska, tadika, dan sekolah rendah. Hal ini demikian kerana guru yang merotan kadang-kala keterlaluan sehingga menyebabkan kesakitan yang amat sangat kepada kanak-kanak tersebut. Saya tidak menafikan kenakalan dan kedegilan kanak-kanak tersebut kadang-kadang meruntuhkan kesabaran dan mengoyahkan keimanan kita untuk mendidik, namun seboleh-bolennya kita janganlah menggunakan rotan untuk mendisiplinkan mereka. Saya tidak dapat bayangkan betapa sakitnya rasa dirotan oleh guru seusia 5 hingga 6 tahun, sehingga rasa takut dan ngeri sentiasa menerpa apabila berjumpa dengan guru tersebut. Cuba bayangkan, betapa sakitnya apabila budak sekecil itu mandi atau berbaring untuk melelapkan mata pada waktu malam. Bukankah tindakan kita (guru) merotan mereka menjadikan mereka menderita kesakitan dan ketakutan sepanjang masa.

Setiap orang ada pandangannya. Setiap orang juga ada caranya. Walau apapun tanggapan, saya tetap berpendirian bahawa kanak-kanak pada zaman ini tidak sewajarnya dirotan. Cara kita mendidik pelajar harus diubah. Jika kita tidak mahu guru lain merotan anak kita, lebih baik kita jangan memulakannya dengan merotan anak orang lain. Kata-kata ini mungkin pahit untuk ditelan, tetapi inilah hakikat yang harus digenggam oleh setiap pendidik. Jika kita berpendapat kita berjaya menjadi guru, doktor, peguam dan pelbagai lagi kerana guru kita merotan kita, tanggapan itu sewajarnya dilemparkan jauh-jauh kerana zaman sudah berubah dan musim pun sudah berbunga. Pada era ini cara kita mendisiplinkan dan mendidik anak-anak didik hendaklah diubah. Tindakan menggunakan kekerasan seperti merotan mungkin akan memburukkan lagi keadaan. Hal ini demikian kerana kanak-kanak pada era ini terlalu manja dan tidak tahan lasak. Kita harus banyakkan membaca buku-buku yang berkaitan dengan pedagogi untuk menjadi pendidik yang baik, cemerlang dan gemilang di abad ini. Kita tidak lagi boleh berpegang kepada cara lama untuk melahirkan doktor, jurutera mahupun angkasawan yang bakal memacak nama Malaysia di persada dunia pada masa depan. Tebalkan rasa sayang, tebalkan rasa perikemanusiaan, tebalkan kesabaran, demi kesejahteraan dan kebahagiaan anak-anak didik kita.  

Pandangan ini merupakan cetusan minda peribadi yang tidak memihak atau merendah-rendahkan sesiapa. Pandangan ini mungkin ada kelemahannya atau ada biasnya pada orang lain, namun bagi Cikgu Zul sendiri, semua yang terlukis dan tertulis ini adalah lahir dari hati. Jika ada yang tersentuh dengan pandangan ini, maaf dan ampun dipohon. Akan tetapi, jika pendapat ini ada kebaikannya, jadikanlah sebagai panduan kita bersama untuk menaikkan martabat dan darjat profesion perguruan di mata dunia.

SEKIAN
CIKGU ZULKARNAIN FARIHIN

ISU EKONOMI : KERAJAAN PRIHATIN SEDIA PELAN KENAIKAN HARGA BARANG


Sebarang  isu yang berkaitan dengan harga barangan, terutama makanan, adalah sesuatu yang begitu dekat dengan hati rakyat. Setiap keluarga dalam masyarakat perlu berbelanja untuk tujuan membeli barangan keperluan termasuk makanan yang semakin melambung tinggi akibat fenomena global yang kadangkala sukar dikawal. Justeru, jika harga barangan dan makanan naik, ia sudah tentu menimbulkan keresahan rakyat yang menjadi pengguna dan pembeli. Kenaikan harga barangan tertentu mempunyai kesan timbal balik dan akan membabitkan peningkatan dari segi kos untuk barangan lain. Begitulah seterusnya untuk kos penyediaan makanan yang akan memberi kesan kepada harga makanan yang dijual. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh memberi kesan tidak baik dalam kalangan masyarakat. Kenaikan harga barangan juga mendorong kepada peningkatan kadar inflasi dan akibatnya nilai pendapatan merosot dan kuasa membeli menjadi berkurangan. Ketika rakyat berusaha untuk merancang dan berbelanja secara berhemah, kerajaan diharap dapat memainkan peranan utama dalam membendung kenaikan harga barangan.  Justeru, semua pihak sudah tentu lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kelmarin bahawa kerajaan akan menyediakan satu pelan penyelesaian bagi mengurangkan bebanan rakyat ini dalam usaha memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Antara langkah kerajaan ialah dengan menjadikan kenaikan harga barangan itu sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diletakkan di bawah penyeliaan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dan kementerian berkaitan. Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah pun melaksanakan pelbagai program bagi membantu pengguna di negara ini menghadapi masalah kenaikan harga barangan dan kos kehidupan. Antaranya dengan memperkenalkan Menu Rakyat 1Malaysia yang mana program ini menawarkan harga sarapan minimum RM2 dan makan tengah hari pada harga RM4 di 728 premis makanan di seluruh negara.  Selain itu, kerajaan juga mewujudkan Klinik 1Malaysia dengan bayaran RM1 dan Kedai Rakyat 1Malaysia yang mana pengguna mampu membeli barangan harian jauh lebih murah berbanding produk sama di pasaran. Bagi memastikan matlamat NKRA berkenaan tercapai, kerajaan akan meneruskan usaha mengawal harga barang dan mengekalkan subsidi barang keperluan. Segala usaha kerajaan ini bagaimanapun, tidak harus ditafsirkan sebagai langkah untuk memancing undi dalam menghadapi pilihan raya kecuali sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 JULAI 2011