Oleh Imlan Adabi
Seorang teman berjenaka: “Jika kita baling batu ke kaca jendela bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada dekad 60-an hingga 80-an, serpihan kacanya akan mengena bahu sasterawan dan pemikir budaya. “Hari ini serpihan batu itu sekadar kena tapak kaki birokrasi yang semakin menjauh daripada jiwa bahasa dan sastera.” Jenaka teman itu kerana meyakini DBP atau nama asalnya Balai Pustaka yang ditubuhkan pada 22 Jun 1956 bukan lagi dominan untuk sasterawan, ahli bahasa dan pemikir budaya. Pada era lampau, DBP sinonim sebagai pusat bahasa dan sastera. Ramai sasterawan tersohor pernah bertapak di bangunan lama DBP termasuk Usman Awang, Keris Mas, Kemala, Baha Zain, Anwar Ridhwan, Shamsuddin Jaafar, Jaafar HS, Johan Jaaffar, Maarof Saad, Sutung Umar RS, Zaen Kasturi, Suhaimi Haji Muhammad, Ahmad Razali Yusof, Zakaria Arifin dan Dinsman. Kini nama sasterawan besar hampir tiada lagi di DBP kerana udara segar di menara yang serba gah itu mungkin tidak sesuai untuk seniman berkarya, apatah lagi menyuarakan idea kesenian dan kebudayaan. Segala-galanya sudah berubah seiring perjalanan waktu.
Jika dulu, masyarakat menganggap DBP milik mereka kerana agensi kerajaan itu mendekati rakyat dengan buku bermutu yang merata di setiap pelosok negara, kini buku terbitan DBP amat sukar ditemui di pasaran. DBP, dilihat dari sudut mana pun hari ini, masih berkemelut untuk memulihkan reputasi sesuai matlamat asal untuk ‘menggerak dan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.’ Krisis DBP dengan syarikat pencetak dan pengedar buku dan majalahnya, Dawama Sdn Bhd masih belum berkesudahan. Majalah terbitan DBP untuk keluaran Julai menjadi mangsa pergeseran kedua-dua pihak. Pengedaran buku teks untuk murid dan pelajar tahun depan masih rahsia umum. Bayangkan jika sesi persekolahan 2012 bermula tanpa buku teks terbitan DBP? Isu bahasa, budaya dan sastera yang sering meribut sekarang tidak pernah reda. DBP tiada taring untuk menyuarakan isu penggunaan bahasa Inggeris bagi subjek Sains dan Matematik sebelum ini. Ia sekadar membiarkan isu berlalu dan mengharapkan pihak di luar Menara DBP bersuara atau menjerit di jalanan.
Isu novel Interlok karya Sasterawan Negara, Datuk Abdullah Hussein juga menguji kebijaksanaan pentadbir DBP mencari jalan penyelesaiannya. Malangnya, ia berlanjutan dan dipolitikkan dengan pelbagai versi siasah. DBP sebagai badan budaya, bahasa dan sastera kurang berperanan sebagai pihak yang wajar berada di tengah gelanggang untuk menyelamatkan karya besar Sasterawan Negara kita. Sampai bila harus begini? Justeru, tidak menghairankan apabila Gerakan Darurat Bahasa (GDB) menggesa Putrajaya bertindak mengatasi masalah yang membelenggu DBP termasuk dakwaan kerugian berterusan. Gerakan itu mengemukakan memorandum menyentuh isu penswastaan lima bahagian penting dalam DBP, pelantikan jawatan Ketua Pengarah, rasional penstrukturan semula Jabatan Sastera dan Bahagian Agama Falsafah dan Tamadun Islam dan pelantikan ahli Lembaga Pengelola DBP yang perlu memenuhi kriteria kepakaran dalam bidang bahasa dan kesusasteraan. GDB gabungan 60 badan bukan kerajaan menggesa kerajaan mengkaji semula kedudukan DBP sesuai dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Sejak 2002, DBP dianggarkan kerugian antara RM20 juta hingga RM40 juta setiap tahun. Sebelum penswastaan, DBP memperoleh keuntungan sekitar RM20 juta setahun. Apakah penswastaan untuk mencapai kerugian berterusan? Bagaimana pula kesudahan krisis DBP dan Dawama? Sebelum ini ramai yang merungut buku terbitan DBP tidak berada di pasaran. Kolum ini pada 16 November tahun lalu di bawah judul ‘DBP terbit, Dawama simpan buku’ mendedah pengalaman peribadi penulis yang tidak menerima sebarang royalti sejak beberapa tahun kerana buku tidak berada di pasaran. Keadaan akan berterusan jika kerajaan tidak bertindak pantas menyelamatkan sebuah agensi yang sedang bermasalah itu. Bagi masyarakat terbanyak, buku terbitan DBP sewajarnya merakyat dan mudah diperoleh hatta di kedai mamak sekali pun!

SUMBER
BERITA HARIAN
1 OGOS 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan