JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



29 Julai 2011

ISU EKONOMI : KERAJAAN PRIHATIN SEDIA PELAN KENAIKAN HARGA BARANG


Sebarang  isu yang berkaitan dengan harga barangan, terutama makanan, adalah sesuatu yang begitu dekat dengan hati rakyat. Setiap keluarga dalam masyarakat perlu berbelanja untuk tujuan membeli barangan keperluan termasuk makanan yang semakin melambung tinggi akibat fenomena global yang kadangkala sukar dikawal. Justeru, jika harga barangan dan makanan naik, ia sudah tentu menimbulkan keresahan rakyat yang menjadi pengguna dan pembeli. Kenaikan harga barangan tertentu mempunyai kesan timbal balik dan akan membabitkan peningkatan dari segi kos untuk barangan lain. Begitulah seterusnya untuk kos penyediaan makanan yang akan memberi kesan kepada harga makanan yang dijual. Keadaan ini jika tidak dikawal boleh memberi kesan tidak baik dalam kalangan masyarakat. Kenaikan harga barangan juga mendorong kepada peningkatan kadar inflasi dan akibatnya nilai pendapatan merosot dan kuasa membeli menjadi berkurangan. Ketika rakyat berusaha untuk merancang dan berbelanja secara berhemah, kerajaan diharap dapat memainkan peranan utama dalam membendung kenaikan harga barangan.  Justeru, semua pihak sudah tentu lega apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan kelmarin bahawa kerajaan akan menyediakan satu pelan penyelesaian bagi mengurangkan bebanan rakyat ini dalam usaha memerangi kos kehidupan yang semakin meningkat.

Antara langkah kerajaan ialah dengan menjadikan kenaikan harga barangan itu sebagai satu lagi Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) yang diletakkan di bawah penyeliaan Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU) dan kementerian berkaitan. Sebelum ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) sudah pun melaksanakan pelbagai program bagi membantu pengguna di negara ini menghadapi masalah kenaikan harga barangan dan kos kehidupan. Antaranya dengan memperkenalkan Menu Rakyat 1Malaysia yang mana program ini menawarkan harga sarapan minimum RM2 dan makan tengah hari pada harga RM4 di 728 premis makanan di seluruh negara.  Selain itu, kerajaan juga mewujudkan Klinik 1Malaysia dengan bayaran RM1 dan Kedai Rakyat 1Malaysia yang mana pengguna mampu membeli barangan harian jauh lebih murah berbanding produk sama di pasaran. Bagi memastikan matlamat NKRA berkenaan tercapai, kerajaan akan meneruskan usaha mengawal harga barang dan mengekalkan subsidi barang keperluan. Segala usaha kerajaan ini bagaimanapun, tidak harus ditafsirkan sebagai langkah untuk memancing undi dalam menghadapi pilihan raya kecuali sebagai satu tanggungjawab yang perlu dilaksanakan untuk manfaat rakyat.

SUMBER
BERITA HARIAN
29 JULAI 2011

Tiada ulasan: