JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



30 Julai 2011

ISU SOSIAL : MUSIM PERAYAAN DAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Oleh Azman Anuar


Sejak dua dekad lalu, musim perayaan dan kemalangan jalan raya bagaikan dua senario yang tidak boleh dipisahkan. Seolah-olah tidak akan sempurna sesuatu musim perayaan tanpa kemalangan jalan raya. Menjelang tiba bulan Ramadan yang dijangka Isnin ini, kisah empat orang maut manakala dua parah dan tiga cedera ringan apabila sebuah treler terbabas lalu bertembung dengan sebuah bas ekspres di Lebuh Raya Utara-Selatan arah utara dekat Kamunting, Perak malam Khamis lalu boleh diibarat pembuka episod kemalangan bagi musim perayaan Hari Raya Aidilfitri tahun ini. Saya percaya bagaikan rentetan cerita ular menelan manusia pertengahan 1990-an, begitu juga cerita kemalangan melibatkan bas. Tragedi terbaru ini memperlihatkan trend kemalangan maut melibatkan bas mungkin bertambah jika tidak ada langkah pencegahan awal dilakukan. Kenapa mesti berlaku bagai tradisi kemalangan terus meningkat pada musim perayaan? Pihak berkuasa seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Pengangkutan Jalan dan Majlis Keselamatan Jalan Raya telah melakukan yang terbaik untuk mengurangkan kadar kemalangan di jalan raya.

Akan tetapi secara purata 10 hingga 16 kemalangan maut masih berlaku setiap hari pada musim perayaan. Dan mungkin semua orang muak memperkatakan kaedah untuk mengurangkan angka korban jalan raya. Beribu cadangan sudah dilaksanakan dan ada yang masih dalam simpanan pihak berkuasa, tetapi ternyata ia gagal mendidik para pengguna jalan raya menjadi pemandu berhemah. Beratus ribu kali juga dinyatakan faktor kelalaian manusia menjadi punca utama kemalangan baik di kawasan yang dikategorikan sebagai jalan raya selamat ataupun yang kerap berlaku kemalangan. Sudah cukup banyak peringatan diberikan tentang langkah-langkah menjaga keselamatan nyawa pengguna jalan raya. Tetapi apa maknanya jika kita sendiri bagaikan tidak sayangkan nyawa apabila berada di jalan raya. Selagi sikap pemandu kenderaan di negara kita tak berubah, maknanya jumlah kemalangan terutama kemalangan maut tidak akan dapat dikurangkan. Sebenarnya kita boleh mengubah keadaan ini jika setiap pengguna jalan raya boleh memainkan peranan untuk membantu pasukan penguat kuasa.

Tidak sukar untuk kita memberikan maklumat mengenai pemandu cuai kepada pihak berkuasa supaya tindakan pencegahan awal dapat diambil secepat mungkin sebelum terlewat. Tetapi jangan diulangi langkah hangat-hangat tahi ayam Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) dahulu yang hanya mampu menguatkuasakan peraturan supaya semua kenderaan perdagangan dilekatkan stiker yang mempamerkan nombor talian bebas tol LPKP. LPKP pula memberi kepercayaan kepada orang ramai untuk membuat aduan. Tetapi ia gagal kerana kelemahan dari sudut penguatkuasaan dan menyiasat aduan. Apa pun, langkah PDRM memperkenalkan Sistem Pengaduan Polis (PRS) dilaksanakan pada November depan dialu-alukan. Fungsi PRS adalah untuk membolehkan siasatan awal kemalangan dijalankan di mana-mana balai polis seluruh negara secara dalam talian, tidak seperti sebelum ini aduan dibuat di kawasan berlaku kemalangan. Tetapi lebih ‘cantik’ kalau PDRM dapat melaksanakan sistem ini untuk menerima aduan mengenai pesalah trafik atau pemanduan berbahaya.

Alangkah bagusnya juga, jika sistem ini dimulakan segera pada bulan Ogos ini dan bukan November depan. Jika ia dapat diuruskan dengan pantas, barangkali jumlah kemalangan kecil dan kemalangan maut pada musim perayaan ini dapat dicegah dan bukan selepas berlaku tragedi kemalangan. Kes-kes kemalangan maut membabitkan kenderaan awam terutamanya di musim perayaan amat merisaukan terutamanya bas-bas ekspres dan kenderaan berat yang lain. Jadi, adalah wajar jika sistem ini dilaksana bulan Ogos ini bagi membolehkan segala aduan mengenai pesalah trafik dapat ditangani dengan berkesan. Tidak ada masalah bagi orang awam untuk melaporkan sebarang pemanduan secara berbahaya kepada pihak polis. Nyawa rakyat Malaysia tidak sepatutnya melayang di atas jalan raya atau lebuh raya. Ingat bahawa musim perayaan hampir tiba dan mangsa yang terlibat kemalangan biasanya golongan berumur 18 hingga 50 tahun. Sudah tiada masa lagi. Kita patut menghargai nilai nyawa rakyat Malaysia.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
30 JULAI 2011

Tiada ulasan: