06 Mac 2011

ISU SOSIAL : NASIB ANAK-ANAK JALANAN


Bayangkan  keadaan ini. Seorang anak kecil yang memerlukan perhatian dan kasih sayang ibu dan ayah tiba-tiba hilang daripada pandangan. Bukan kerana kehilangan itu disebabkan oleh kematian, sebaliknya, dilarikan pihak yang tidak bertanggungjawab. Bayangkan pula keadaan ibu dan ayah yang seharusnya membelai, mendidik dan membesarkan mereka dengan penuh kasih dan sayang. Semestinya kes kanak-kanak diculik dan dijadikan hamba selain perdagangan organ mangsa yang tidak berdosa mencetus kebimbangan yang bukan kecil di kalangan ibu bapa di negara ini. Berdasarkan rekod polis, pada 2009 sahaja, rekod penculikan yang dicatatkan sebanyak 77 kes. Sementara laporan kepada Suruhanjaya Perlindungan Anak Nasional pula mencatatkan rekod 67 kes pada 2009 dan 110 kes pada 2010. Pada tahun ini pula, masih lagi berlaku isu penculikan kanak-kanak.

Kes penjualan organ kembali rancak diperkatakan selepas tertangkapnya suspek bernama Sartono yang berusia 33 tahun awal Januari lalu. Entah apa masalah yang dihadapi lelaki itu, dia berjaya memperdaya seramai 96 kanak-kanak dan remaja lelaki untuk mengikutnya dan hilang tanpa sebarang khabar berita. Kesemua 96 mangsa itu diliwat serta dijual kepada mana-mana lelaki yang gemarkan seks sejenis. Daripada jumlah itu juga, hanya seorang yang berjaya menyelamatkan dirinya dan membuat laporan polis yang kemudiannya menyebabkan pihak berkuasa dapat menjejaki Sartono. Bertitik tolak daripada kes Sartono, polis berjaya mengenal pasti kes-kes penculikan lain. Sartono yang sudah berkahwin dan mempunyai empat orang anak sama sekali tidak pernah menyesali tabiat buruknya itu biarpun dia sudah merampas kebahagiaan 96 mangsa yang tidak berdosa.

"Rasanya amat perit sekali. Jangan sampai ada ibu bapa lain merasakan penderitaan yang kami lalui," itulah luahan Suryani, ibu kepada Jefri Ardiansyah yang berusia sembilan tahun diculik lalu dibunuh oleh satu komplot pakatan penculikan pada tahun lepas. Biar hakikatnya Suryani menerima berita sedih kematian anaknya, namun, jauh di sudut hati ibu berusia 36 tahun masih mengharap Jefri akan kembali kepadanya satu hari nanti. Harapan yang sama turut diluahkan Adah, 40, yang kehilangan anaknya, Eviliani di sekitar Grogol, Jakarta Barat sekitar Jun 2007. Sehingga sekarang tidak pernah walau sehari Adah tidak berusaha menjejaki anaknya itu. Biar memiliki 10 anak yang lain, namun harapan yang bersarang di fikirannya ah Eviliani akan segera pulang ke pangkuan keluarga. "Saya sangat yakin Eviliani disuruh mengemis di jalanan. Tapi di mana? Saya tidak tahu," ujar wanita itu penuh sayu.

Kepada ibu bapa yang kehilangan anak, perkara itu bukan satu hal yang remeh dan boleh dilupakan dalam tempoh semalaman. Kesedihan dan tekanan yang dihadapi apabila anak yang ditatang dengan penuh kasih sayang hilang dari pandangan mampu membuat mereka separuh gila. Namun bagi pihak berkuasa khususnya polis, laporan penculikan anak kepada mereka merupakan satu hal biasa kerana hampir setiap hari laporan yang sama diterima. Bagaimanapun, persoalan yang sering didebatkan di dada-dada akhbar dan pakar-pakar psikologi adalah sebelum isu penculikan diberikan perhatian yang teliti, tumpuan pertama yang perlu difokuskan ialah mencari penyelesaian terhadap eksploitasi kanak-kanak Indonesia di jalanan. Senario yang sering dilihat di kota besar seperti Jakarta misalnya adalah kanak-kanak sejak kecil sudah didedahkan kepada alam yang kurang sihat. Demi meneruskan kehidupan, anak-anak kecil sudah mula mengemis, menjual makanan, alat permainan, akhbar bahkan bermain muzik di jalan-jalan raya semata-mata untuk mencari sesuap nasi.

Kepada yang pernah berkunjung ke Jakarta pastinya sering melihat bagaimana mudahnya menemui anak-anak yang seharusnya berada di sekolah menimba ilmu sebaliknya berkeliaran di jalanan. Di stesen-stesen bas atau keretapi, adalah menjadi kebiasaan untuk melihat wajah kanak-kanak yang berusia antara enam hingga 10 tahun yang berkaki ayam, tidur di kaki-kali lima, berpakaian selekeh dan mengemis makanan daripada orang ramai. Kasihan benar dengan anak-anak ini. Entah apa yang akan terjadi pada masa depan mereka kelak. Mahu menyalahkan ibu dan ayah barangkali tidak adil juga kerana mereka juga ibarat kais pagi makan pagi, kais petang makan petang. "Seharusnya pihak polis mengurangi eksploitasi kanak-kanak di jalanan terlebih dahulu. Seandainya usaha itu dapat dikurangkan, sudah tentu kes penculikan kanak-kanak juga akan dapat ditangani," kata pakar psikologi Tika Bisono.

Selain itu anggota masyarakat juga disifatkan Tika, perlu memainkan peranan membantu kerajaan menangani isu yang sama. Pada masa yang sama, polis pula merumuskan peningkatan kes penculikan kanak-kanak disebabkan oleh kurangnya pengawasan oleh ibu bapa. Penculik lazimnya sudah mahir modus operandi yang akan digunakan ketika menyedari ada mangsa potensi di depan mata. "Banyak kes penculikan kanak-kanak terjadi ketika si anak tidak bersama ibu dan bapa mereka. Si anak pergi dan pulang dari sekolah dijemput orang lain atau diculik ketika bermain. Kerana itu, ibu dan ayah harus memberi perhatian dan mengawasi anak-anak mereka," Ketua Jabatan Perhubungan Awa Polis Daerah Metro Jaya, Baharudin Jafar. Melihat apa yang jelas di depan mata. Membaca laporan akhbar dan menonton berita di televisyen sudah cukup untuk membuatkan sesiapa saja yang akan mudah menginsafi setiap kelemahan yang ada pada orang lain. Pada masa yang sama, kita juga seharusnya belajar untuk menghargai kelebihan dan keistimewaan yang ada pada diri.

MINGGUAN MALAYSIA
6 MAC 2011

ISU EKONOMI : INFLASI GLOBAL MELANDA DUNIA

Oleh Zin Mahmud
Mingguan Malaysia, 6 Mac 2011


Harga lebih tinggi untuk minyak, logam dan komoditi lain di seluruh dunia memaksa syarikat-syarikat pembuatan menyerap kos untuk membolehkan pelanggan terus membeli barangan mereka, kata berita Reuters dan Bloomberg. Ini kerana jika dipindahkan kenaikan kos itu kepada pelanggan, maka mungkin mereka akan kehilangan pasaran. Keadaan ini memberi kesan kepada keuntungan mereka. Tetapi berapa lamakah mereka boleh bertahan? Jika harga terus meningkat terutamanya minyak, akhirnya mereka akan memindahkan kos kepada pelanggan dan akhirnya kesannya akan sampai kepada pengguna. Maka berlakulah inflasi di peringkat global. Sepanjang minggu lalu, harga minyak dunia terus naik, dengan memberi kesan kepada kebanyakan negara termasuk Malaysia. Kenaikan ini dikaitkan dengan gelombang kebangkitan di Asia Barat dan Afrika Utara. Jika Revolusi Arab ini berterusan, lebih-lebih lagi di Libya suasananya tidak kelihatan reda, maka harga minyak akan terus naik.

Tetapi keadaan akan lebih teruk lagi jika kekacauan itu merebak ke Arab Saudi. Kesan politiknya amat besar kepada dunia. Tetapi dari segi harga minyak, ia menjadi bencana pada dunia. Jika melihat tindakan Amerika Syarikat menghadapi Revolusi Arab ini, dapat disaksikan bagaimana mereka yang sejak berlakunya kebangkitan di Tunisia dan Mesir telah gagal meletakkan hala tuju ke mana krisis itu, kini cuba membimbingnya ke arah apa yang dikehendakinya. Pertama, ia menyokong perubahan di negara-negara yang bukan sekutunya seperti Libya dan Syria kerana kebangkitan Arab ini memberi peluang kepada AS untuk memperoleh negara-negara sekutu baru, atas nama demokrasi. Tetapi Libya yang kaya minyak mesti distabilkan supaya pengeluarannya minyaknya tidak terjejas. Namun bagi negara-negara yang sememangnya sekutu AS, dan bersifat strategik seperti Bahrain, maka mereka menyebelahi kerajaannya walaupun ditolak rakyat.

Ini kerana majoriti rakyat Bahrain adalah Syiah yang kebangkitannya mungkin boleh menguntungkan Iran, dan selanjutnya merebak ke Arab Saudi, terutamanya di kalangan rakyatnya yang bermazhab Syiah, dan tinggal di wilayah banyak minyak pula. Keadaan inilah yang mahu dipertahankan oleh AS.. Bagaimanapun AS tidak dapat menahan apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia yang Washington menerima dengan harapan ia tidak menjejaskan keadaan Israel. Itu suasana geopolitik yang tidak menentu. Apa akan berlaku, sama ada kehendak rakyat Arab atau Washington tetapi dalam tahun ini, harganya minyak besar kemungkinannya tetap naik. Dunia kelihatan sedang berada di persimpangan dalam hal tenaga minyak. Mungkin akhirnya ia stabil juga. Tetapi harganya tetap akan naik hinggalah ia akhirnya habis dan sumber tenaga dunia digantikan dengan kaedah lain. Apabila harga minyak naik, tentulah berlaku kenaikan pada semua barangan secara keseluruhannya.

Dalam pada itu, sebab sudah ratusan taghun manusia membakar minyak dan manambah karbon ke udara, maka iklim juga berubah menjadi semakin panas. Macam-macam perbahasan mengenai pemanasan global dan perubahan iklim. Ada pihak yang menyatakan ia adalah hasil daripada pelepasan karbon oleh manusia. Ada pula berkata, ia merupakan proses semula jadi yang kurang kaitan dengan pelepasan karbon. Tetapi pemanasan global dan perubahan iklim adalah suatu hakikat. Akibatnya juga telah dijangkakan. Selain daripada berlaku bencana alam di sana-sini, pengeluaran makanan dan komoditi berasaskan tumbuhan juga terjejas. kekurangan akan berlaku, maka tentunya harga makanan dan komoditi sedang dan akan terus naik. Akhirnya pengguna akan merasakan kesannya. Yang susah akan bertambah susah. yang sederhana senang akan menjadi susah. Yang amat senang menjadi kurang senang.

Menurut Reuters dan Bloomberg, harga makanan telah mencapai rekod tertinggi apabila kebanmgkitan di dunia Arab itu memecutrkan harga minyak melepasi AS$100 setong, buat pertama kali sejak kemelestan global bermula pada tahun 2008. Pada waktu yang sama inflasi Eropah meningkat ke 2.4 peratus, menurut pejabat perangkaan Kesatuan Eropah. Ia merupakan kenaikan paling laju dalam masa lebih dua tahun ini. Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) pula, pemuliohan global menghadapi risiko jika harga minyal terus naik ke AS$110 atau AS$120 setong dan berada di situ pada waktu lama. Apa yang berlaku sekatrang ialah dunia yang sedang berada dalam keadaan tidak tenteram. Kebangkitan rakyat Arab yang dikaitkan dengan kenaikan harga minyak ditambah pula dengan kenaikan harga makanan dan komoditi akibat perubahan iklim dan pemanasan global sebenarnya berlaku ketika kemelesetan ekonomi di Amerika dan Eropah yang belum selesai.

Sememangnya benua Asia tidak terjejas dengan kemelesetan di Barat kerana institusi perbankan rantau ini telah diperkukuhkan ekoran krisis kewangan akhir tahun 1990-an, tetapi ia bukannya kebal daripada apa yang berlaku di Barat. Jika kemelesetan di Amerika dan Eropah itu berlanjutan, dan menjadi bertambah lama kerana ketidakstabilan di Asia Barat dan Afrika Utara, maka kesannya akan sampai juga ke Asia, dan juga seluruh dunia. Kemelesetan yang berpanjangan tentu menjejaskan keperluan barangan pengguna kerana masing-masing akan berjimat cermat. Maka apabila import dikurangkan, maka negara pengeksport di Asia juga akan terjejas. Negara-negara besar seperti China dan India akan menggunakan pasaran domestiknya untuk terus tumbuh. Begitu juga negara-negara lain seperti Indonesia dan Malaysia sendiri. negara yang banyak bergantung pada perdagangan dan eksport ke pasaran Barat akan lebih terdedah.

Ekonomi

Namun begitu manusia akan sentiasa mencari jalan supaya keadaan ekonomi dunia menjadi stabil dan ibnflasi global dapat ditangani dengan tidak terlalu menjejaskan kehidupan kebanyakan orang di dunia. Tetapi ketika melihat kemesetan ekonomi di Barat sejak tahun 2008, banyak perbahasan mula tertumpu kembali kepada sistem ekonomi dunia. Gagasan kapitalisme global dan globalisasi ekonomi mendapat perhatian dan kritikan besar. Sememangnya diperhatikan bahawa krisis kewangan Barat yang berlaku sekarang mempunyai asas kepada ketamakan, pelanggaran amanah dan kelemahan bank pusat. Tetapi tidakkah ketamakan dan usaha mencari jalan bagi mengaut keuntungan tanpa mengira nilai etika, asalkan ia dibenarkan undang-undang adalah amalan sistem ekonomi kapitalis? Dalam sistem ini, ia mengutamakan modal dengan mewujudkan pasaran bebas dan terbuka.

Sesiapa boleh berniaga dan berhutang. Sifat tamak itu dilihat sebagai pemacu kepada kemakmuran dunia. Tetapi tidakkah apa yang berlaku di Barat itu adalah seperti skim cepat kaya yang sah dari segi undang-undang? Apa yang jelas ialah sistem ini berasaskan kepada guna dulu bayar kemudian. Maknanya membeli sesuatu dengan wang yang belum dimiliki. Kalau dibuat secara berhemah, maka keadaan adalah terselamat. Maka soalnya berhe mah itu macama mana? Maka akhirnya pada tahun 2008 dan 2009, tercetus krisis subprima di AS yang merebak hingga ke Eropah. Orang yang tidak mampu menjelaskan hutang dibenarkan berhutang, maka akhirnya padahlah yang datang. Maka mengapakah orang yang tidak mampu tetap mahu membeli sesuatu barangan dengan wang yang belum ia miliki? Barangan itu pula besar-besar, khususnya hartanah. tetapi apabila membeli sesuatu yang dianggap mewah, maka tentulah cara hidup keseluruhannya juga adalah secara mewah.

Mereka tentu mahu membeli kereta yang lebih elok dan barang-barang elektronik yang pelbagai, daripada televisyen hinggalah kepada komputer. Barang-barang pengguna alaf baru ini merupakan realiti hidup makmur zaman ini. Ia merupakan hasil sistem pasaran yang bersasaskan revolusi industri dahulu dan revolusi teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) pada zaman ini. Semuanya berkaitan. Maka dengan penduduk terus bertambah, dengan kebanyakannya juga mahu hidup senang dan bermewah seperti yang dinikmati oleh negara-negara maju, seperti di Amerika Utara, Eropah Barat dan juga Jepun, Australia, New Zealand, Israel dan Singapura, maka sudah tentu barangan untuk menghasilkan produk pengguna juga menaikkan harga logam. Justeru apabila dilihat bagaimana kenaikan harga logam, minyak dan komoditi yang berpunca daripada kebangkitan rakyat Arab, perubahan iklim dan amalan kepenggunaan dalam sistem ekonomi kapitalis, maka inflasi global tidak dapat dielakkan.

Orang kata menyebut perkataan kapitalis tidak manis. Ini kerana ia merujuk kepada modal dan pemodal yang dalam sistem ini telah menyumbang kepada kemakmuran dunia. Oleh itu dikatakan sebutlah dengan istilah pasaran bebas. Tetapi apa sebenarnya pasaran? Ia adalah modal dan pengguna yang banyak kali otaknya terpengaruh dengan iklan-iklan yang dirancang begitu teliti untuk menguasai keinginannya. Sememangnya sistem berasaskan modal telah mengalahkan sistem berasaskan sosial sejak 20 tahun lalu. Mesir, Libya, Tunisia, Syria, Sudan dan Yaman adalah negara-negara yang mewarisi suatu sistem berasaskan sosial tetapi ternyata gagal kerana diculik untuk berkhidmat kepada sistem modal antarabangsa. Tetapi kebangkitan rakyat Arab sekarang adalah antara lain akibat sistem modal antarabangsa yang meminggirkan mereka. Kemakmuran berpunca minyak Arab tidak sampai ke orang kebanyakan di tebing Sungai Nil. Sebaliknya ia memberi kemakmuran kepada penduduk negara-negara maju. Lapan peratus penduduk dunia berkorban supaya 20 peratus penduduk dunia di negara maju dapat hidup makmur dan mewah.

05 Mac 2011

ISU PENDIDIKAN : PILIHAN RAYA KAMPUS : PENTAS MAHASISWA PEJUANG IDEALISME


Masih  tidak berubah, segelintir mahasiswa menjadikan pilihan raya kampus tempat meluahkan ketidakpuasan hati dan emosi. Meskipun kebanyakan warga kampus enggan diperguna dan diperkotak-katik, tindakan mereka yang hanya mementingkan diri sendiri bagai menyusahkan orang lain hingga mengganggu kelancaran proses pembelajaran dan ketenteraman. Malah, cukup keterlaluan apabila calon menjadikan kampus landasan mencetuskan konflik dan ketegangan antara pihak pentadbiran dengan mahasiswa serta mahasiswa bersama mahasiswa lain sehingga mewujudkan senario melankolik. Institusi sepatutnya bebas daripada sebarang propaganda dan hanya perlu menjadi tempat mendapatkan ilmu dan pengalaman, bukan medan perjuangan politik bersifat peribadi sehingga menggugat ketenteraman awam. Akhirnya, timbul persoalan apakah mereka tidak memikirkan kesan jangka panjang akibat perbalahan dan pertelingkahan atau hanya hangat sementara.

Calon Fakulti Pendidikan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang bertanding atas tiket Bebas, Nik Muhammad Hanis Nek Rakami, berkata pilihan raya adalah platform mahasiswa memperjuangkan idealisme dan pandangan masing-masing. Menurutnya, sikap pihak atasan yang memandang remeh kehendak atau pandangan mahasiswa menyebabkan mereka mengambil kesempatan mempergunakan pilihan raya sebagai medium melahirkan emosi. Bagi segelintir mahasiswa, pilihan raya kampus amat dinanti-natikan kerana inilah peluang meluahkan emosi serta pandangan tanpa sekatan. Pertembungan pendapat tidak dapat dielakkan. Selalunya mahasiswa lebih berminat melihat isu dan jika calon itu boleh dipercayai, mereka akan memilih. Apakah isu yang sering mendapat tumpuan di kalangan mahasiswa? Katanya, soal kebajikan adalah agenda utama kempen calon perwakilan pelajar.

Kebajikan mewakili skop yang luas. Ada mahu kemudahan kediaman dan biasiswa manakala yang lain berharap hubungan dengan hal ehwal pelajar dan mahasiswa lebih telus serta terbuka. Jika calon pandai mencari peluang, ini akan melonjak saham mereka sebagai pilihan. Bagaimanapun, ada isu nasional sering dibangkitkan atas tujuan tertentu sekali gus menjadikan bahang pilihan raya kampus hangat. Pertembungan pihak yang berjuang menerusi manifesto masing-masing juga menjadikan pilihan raya kampus medan perbalahan menegakkan pendapat. Sama ada calon Pro-Aspirasi (Pro-A), Pro-Mahasiswa (Pro-M) atau Bebas, mereka perlu bijak menggunakan pendekatan ilmiah dan kematangan sebagai pemimpin. Calon Umum Pro-M, Kelvin Tee, berkata walaupun masyarakat melihat pilihan raya kampus pentas politik picisan, ia landasan terbaik menonjolkan kewibawaan masing-masing.

Ada pihak melabelkan kamii kuda tunggangan orang lain tapi adakah mereka faham perjuangan kami yang bangkit atas rasa tertindas dan dinafikan hak? Adakah salah jika mahu mengembalikan kuasa kepada mahasiswa sendiri untuk membuat keputusan. Kehendak kami ialah memberi kebebasan sepenuhnya kepada mahasiswa untuk mencorakkan perjalanan masing-masing tanpa campur tangan pentadbiran. Kami diperlekehkan seolah-olah suara kami tidak laku. Pro-M selalu menekankan isu kebebasan mahasiswa dan pihak pentadbiran tidak boleh campur tangan dalam urusan membabitkan mahasiswa. Inilah yang berlaku apabila hak mahasiswa dicabuli seperti insiden di Universiti Putra Malaysia (UPM) apabila Pro-M bagai mengambil tindakan undang-undang membantah keputusan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UPM, Prof Dr Mohd Fauzi Ramlan membatalkan pencalonan 33 calon Pro-M termasuk 11 daripadanya yang menang pada pemilihan, Isnin lalu.

Mereka mendesak Dr Mohd Fauzi meletak jawatan dan mencabar kewibawaan universiti bagi membuktikan ketelusan dan semangat demokrasi berpolitik. Malah, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta isu itu diselesaikan secara perbincangan antara kedua-dua pihak bagi menyuburkan proses demokrasi. Ketua Jabatan Falsafah dan Kajian Ketamadunan, Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia Universiti Putra Malaysia, Prof Madya Dr Zaid Ahmad, berkata ketaksuban mahasiswa terhadap rencah politik boleh membawa pelbagai definisi berbeza.  Menurutnya, mahasiswa perlu menggunakan pilihan raya kampus sebagai platform menjana proses kematangan, kedewasaan serta keilmuan tinggi untuk membina pengalaman. “Malangnya ini sukar berlaku kerana sejak dulu, pilihan raya kampus sentiasa menjadi medan panas untuk memperjuangkan agenda tertentu yang kadang kala tidak relevan,” katanya.

Beliau mengakui, ada mahasiswa terikut-ikut cara politik di luar sehingga menyimpang kepada isu-isu nasional. “Pilihan raya memang gelanggang berpolitik dan tidak salah jika ingin berkempen tetapi pastikan ia mengikut lunas undang-undang. “Ia bukan tindakan semberono meskipun diperjuangkan atas dasar hak untuk membela nasib mahasiswa lain.  “Jangan samakan politik kampus dengan politik nasional kerana proses, agenda, manifestonya berbeza,” katanya. Beliau turut tidak bersetuju apabila mahasiswa menggunakan pilihan raya sebagai landasan memenuhkan agenda tertentu hingga menyebabkan mereka tidak bersalah menjadi mangsa keadaan. “Masih ada mahasiswa yang taksub dengan perjuangan serta idealisme dibawa kerana mungkin terpengaruh dengan dakyah dicetuskan pemimpin dikagumi.  “Biar apapun matlamat perjuangan, mahasiswa perlu menggunakan kesempatan pilihan raya kampus untuk mencari pengalaman, ilmu dan kemahiran sebelum menyertai pilihan raya sebenar di luar,” katanya.

INFO

Ada tiga parti sewaktu pilihan raya kampus iaitu Pro-A, Pro - M dan Bebas yang bertanding atas tiket individu.  Jika dulu pilihan raya kampus di semua IPT dilaksanakan serentak, namun kini institusi diberi kuasa autonomi untuk menentukan tarikh pilihan raya sendiri selepas tempoh penamaan calon tamat. Pilihan raya kampus diadakan selepas tamat tempoh setahun Majlis Perwakilan Pelajar memegang tampuk pemerintahan. Di kebanyakan IPTA, undi dijalankan melalui e-undi, bagaimanapun Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Malaysia masih menggunakan sistem manual.

Keputusan calon yang bertanding dalam pilihan raya kampus di IPTA:

Universiti Malaya (UM) mempertandingkan 43 dan calon Pro-M memenangi 23 kerusi.

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mempertandingkan 57 kerusi dan calon Evolusi memenangi 42 kerusi.

Universiti Putra Malaysia (UPM) mempertandingkan 42 kerusi dan calon Pro-A memenangi 31 kerusi.

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia ( UIAM) mempertandingkan 31 kerusi dan calon bertanding atas tiket Bebas.

Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mempertandingkan 37 kerusi dan Pro-M memenangi 23 kerusi.

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) 30 kerusi dipertandingkan dan Pro-A memperoleh 17 kerusi.

Oleh Ruhaiza Rusmin
HARIAN METRO ONLINE

ISU PENDIDIKAN : BATAL PEMBERHENTIAN 13,000 GURU SANDARAN TIDAK TERLATIH BUKTI KERAJAAN PRIHATIN


Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran mengumumkan pemberhentian perkhidmatan kira-kira 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), ditarik balik. Seperti dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, surat pemberitahuan akan dikeluarkan kepada semua GSTT terbabit dalam tempoh terdekat. Keputusan itu dibuat tentulah berikutan rungutan dan rayuan guru terbabit serta kewajaran mencari penyelesaian terbaik terhadap isu GSTT. Lagipun, khidmat bakti mereka masih diperlukan bagi mengisi kekosongan di sekolah yang menghadapi kekurangan guru. Masih banyak sekolah mengalami kekurangan guru khasnya untuk mengajar Bahasa Inggeris, malah kekosongan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang kian ketara. Langkah pengambilan semula itu adalah manifestasi pembelaan kerajaan terhadap warga GSTT yang banyak membantu memacu sektor pendidikan.

Kerajaan juga menyelami nurani mereka yang berdepan kesulitan apabila terpaksa menganggur, sekali gus tanpa sumber pendapatan dan perlu mencari kerja baru. Dengan perkembangan ini juga, diharapkan GSTT mempertingkat serta memperkukuhkan komitmen untuk berkhidmat lebih cemerlang bagi mendidik anak bangsa. Apabila GSTT diberi kebebasan memilih tempoh perkhidmatan sama ada untuk dua, tiga atau lima tahun, ini menunjukkan mereka sudah ada satu jaminan mengikut pilihan masing-masing. GSTT juga mesti membuktikan mereka tidak mempertaruhkan tuntutan tertentu sepanjang proses penempatan semula lokasi sekolah selepas ini. Pada masa sama, sejajar semangat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menggariskan pelbagai inisiatif mempertingkatkan pencapaian pelajar dan langkah awal kepada transformasi pendidikan komprehensif, kerajaan wajar memberi fokus bagaimana keseluruhan isu GSTT dapat ditangani.

Usaha dan fokus mesti dilakukan supaya tenaga serta kemahiran mereka turut digembleng bagi memacu sektor pendidikan. kita harus ingat, keseluruhan proses menjayakan transformasi sistem pendidikan negara antaranya memerlukan guru terlatih. Melihat kepada asas dan matlamat itu, maka GSTT wajar dinaiktaraf. Status itu tidak lagi sesuai dengan dasar pendidikan negara sekarang. Prestasi guru berkenaan mesti dipertingkatkan bagi melayakkan mereka menjadi guru sepenuh masa yang terlatih. Hakikatnya, kelompok guru ini memiliki kesungguhan, pengalaman dan kemahiran yang dituntut ada pada setiap guru. GTP mengenai pendidikan menyebut, usaha meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menjadi keutamaan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran. Inisiatif penambahbaikan kualiti bukan saja untuk guru malah pembantu guru prasekolah.

Jadi, usaha untuk menyerapkan GSTT dalam kursus lanjutan dan latihan intensif tertentu memang sudah termaktub dalam GTP. Kita percaya, pendedahan itu sudah cukup untuk membolehkan mereka meningkatkan keupayaan mengajar sekali gus bergelar guru sekali gus menikmati insentif serta tangga gaji lebih baik berbanding sekarang. Persatuan Profesyen Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga boleh memberi input bagi menangani isu GSTT. Sebagai organisasi yang sangat hampir dengan dunia perguruan serta tahu dan memahami masalah malah aspirasi guru, NUTP boleh membantu kementerian menyelesaikan isu dan polemik GSTT.

BERITA HARIAN, 5 MAC 2011

04 Mac 2011

MOTIVASI : TERAP BUDAYA BERTANYA

Oleh Dr Tengku Asmadi Tengku Mohamad (Pengarah Urusann MAP Training & Consultancy Sdn. Bhd/Presiden Pertubuhan Perunding Latihan dan Motivasi Muslim Malaysia (Tamrin)


Malu bertanya sesat jalan, tetapi ia banyak berlaku dalam masyarakat kita. Kita lebih rela membiarkan diri tidak faham dan tidak tahu daripada dilabelkan bodoh serta ditertawakan. Bukan saja anak malu dan takut bertanya, orang dewasa pun sama. Budaya malu dan takut bertanya ini berterusan dari satu generasi ke satu generasi hingga memberikan kesan negatif.  Di sekolah, anak malu bertanya pada guru walaupun tidak faham. Ini memberi kesan dalam pembelajaran dan menjejaskan markah dalam ujian dan peperiksaan.  Akhirnya yang disalahkan bukannya diri sendiri sebaliknya orang lain. Guru didakwa tidak pandai mengajar. Mata pelajaran dikatakan susah atau soalan peperiksaan terlalu tinggi tahapnya. Apabila masuk ke alam pekerjaan, sikap yang sama diamalkan. Kesannya, kerja tidak menepati kehendak majikan, lambat menguasai sesuatu kemahiran atau tidak dinaikkan pangkat.

Secara fitrah kita dilahirkan suka bertanya. Lihat anak kecil apabila mula pandai bercakap, macam-macam yang mereka tanya. Kadangkala penat melayani kerenah mereka malah ada ibu bapa hilang kesabaran. Tetapi, itulah cara mereka belajar iaitu dengan mencuba dan bertanya. Jika sejak kecil setiap pertanyaan anak ini dijawab dengan baik hingga mereka puas dengan jawapan diterima, ia satu ganjaran emosi yang merangsang anak terus bertanya. Lagi banyak yang ditanyakan, mereka cepat belajar malah minda mereka lebih matang berbanding kanak-kanak sebaya usia. Hasilnya bukan saja pencapaian akademik lebih baik, tetapi pelbagai peluang akan diberikan kepada anak menjadi pengawas, ketua kelas atau mewakili sekolah dalam pelbagai aktiviti kokurikulum. Semuanya kerana rajin dan berani bertanya. Mengurus masalah adalah ciri-ciri orang yang cemerlang.

Apabila masalah tidak diuruskan dengan baik, ia menjadi besar dan memberi tekanan kepada pelajar. Sebab itu pelajar perlu menyelesaikan setiap perkara yang tidak difahami itu dengan bertanya. Mereka yang rajin bertanya keyakinan tinggi dan mudah mendapat pekerjaan. Orang yang suka bertanya adalah orang yang mencari jawapan dan penyelesaian bukannya menunggu jawapan dan penyelesaian itu jatuh ke riba. Bertanya itu memerlukan kemahiran. Kita bertanya disebabkan kita tidak faham, tidak tahu, untuk memastikan apa yang kita faham itu benar atau bagi menambah maklumat sedia ada. Kemahiran bertanya ini sesuatu yang boleh dipelajari. Untuk bertanya kita perlu kritis terhadap diri sendiri. Tanyakan diri dengan soalan, Apa? Siapa? Bila? Di mana? Bagaimana? dan Kenapa?  Kemudian setiap soalan yang mahu ditanyakan itu hendaklah ditulis, takut lupa. Apabila guru membuka ruang, rebutlah peluang itu untuk bertanya.

Program Motivasi Alihan pelajar yang dijalankan khusus untuk pelajar ada menekankan ‘kemahiran bertanya’. Malah, kualiti jawapan yang diperoleh banyak bergantung kepada kualiti soalan yang diajukan. Jika pelajar bijak menyusun soalan, mudahlah guru membantu. Pelajar juga ditanamkan dengan keyakinan diri yang tinggi supaya berani bertanya dan jangan takut disindir.  Bertanya itu mudah apabila menjadi kebiasaan. Namun, untuk mencipta kebiasaan itu memerlukan kekuatan. Kekuatan datang apabila kita tahu caranya. Caranya pula perlu dipelajari dari mereka yang mahir. 

ISU UMUM : FAKTOR GAGAL JELAS SAMAN

Oleh ARIF ATAN
UTUSAN MALAYSIA, 4 MAC 2011


Sejumlah 17.3 juta iaitu 35 peratus daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 2001 hingga 28 Februari lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik. Kita bernasib baik kerana kerajaan begitu prihatin apabila melanjutkan tempoh bayaran saman trafik sehingga 10 Mac ini. Jika masih gagal berbuat demikian, maka pengguna kenderaan yang mempunyai saman tertunggak akan berdepan dengan masalah untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan telah disenaraihitamkan. Walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran sejak Ogos tahun lalu untuk mereka menjelaskan saman, namun masih ramai gagal berbuat demikian. Mengapa? Sikap menyelesaikan sesuatu perkara pada saat-saat akhir begitu ketara dalam hidup sebahagian masyarakat kita. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan enam kali ganda daripada hari pembayaran biasa.

Sebanyak 1.5 juta saman telah diselesaikan mulai 21 Februari hingga tengah malam 28 Februari lalu. Tidak hairanlah apabila sistem tergendala kerana penggunaan melampaui keupayaan sistem. Apapun, pelbagai tanggapan timbul terhadap mereka yang mengerumuni kaunter pembayaran saman pada ketika tempoh diberi semakin menghampiri masa tamat. Ada menganggap, mereka yang membayar pada saat akhir itu adalah orang yang tidak bertanggungjawab atau suka membuat kesalahan trafik berulang kali. Namun begitu, kita harus bersikap adil terhadap sebahagian daripada mereka yang melanggar peraturan trafik dan melewatkan pembayaran saman kerana 'terpaksa'. Pertama, majoriti masyarakat kita terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah sebahagian besar yang melanggar peraturan lalu lintas. Sama ada mereka sengaja atau tidak sengaja berbuat demikian, itu soal lain.

Namun, yang nyata adalah mereka terpaksa mengutamakan keperluan diri dan keluarga atau memenuhi keperluan 'perut' terlebih dahulu. Ini kerana pendapatan yang diperoleh lazimnya jarang ada lebihnya. Tambahan pula dengan kenaikan harga barangan mutakhir ini. Hendak menabung pun sukar, apatah lagi hendak menjelaskan saman. Kedua, pengguna kenderaan yang dikenakan saman terdiri daripada pelbagai jenis kategori kesalahan trafik. Ini termasuklah kesalahan meletak kenderaan pada tempat yang bukan sepatutnya. Pada ketika pesalah trafik digesa membayar saman dalam tempoh kurang dua bulan, ada baiknya pihak berkenaan mengambil langkah bagi mengelakkan kesalahan sama diulang oleh individu sama, malah orang lain di tempat yang sama. Paling ketara ialah sejauhmana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memastikan pembangunan di kawasan masing-masing tidak menjejaskan ruang dan kelancaran trafik?

Ini kerana setiap inci tanah terutama di sekitar Lembah Kelang hendak dimajukan dengan bangunan bertingkat sama ada kompleks pejabat atau pusat beli-belah tanpa mengambil kira aspek ruang parkir dan kelancaran trafik. Penduduk semakin padat tetapi ruang yang ada semakin terhad. Tentulah hal ini tidak adil kepada pengguna kenderaan. Oleh itu, pembangunan lestari sesebuah kawasan perlu diberi perhatian. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pengguna kenderaan dikenakan tindakan kesalahan trafik tetapi menjamin setiap rakyat hidup sejahtera tanpa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan.

ISU POLITIK : MENANGANI CABARAN GLOBAL SECARA KOLEKTIF

Oleh Jamhariah Jaafar
BERITA HARIAN,04 MAC 2011


Malaysia, Turki gesa masyarakat kekalkan keamanan, kesederhanaan, tolak tindakan ekstrem. Siapa paling layak menentukan demokrasi? Rakyat, kerajaan atau kumpulan intelektual yang berasa pendapat mereka sentiasa betul? Antara soalan yang diluahkan dalam perdebatan politik dunia yang menyaksikan beberapa kerajaan Asia Barat tumbang akibat kebangkitan rakyat menentang pemerintahan begitu lama sehingga bukan saja menjadi korup, bahkan mewujudkan kerajaan ‘anak beranak’. Persoalan juga ditujukan kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS) yang sering bertindak sebagai polis dunia, sehingga setiap keputusan untuk menentukan pemerintahan seolah-olah perlu mendapat restu daripada mereka.  Krisis politik yang membawa kesan domino – Tunisia, Mesir, Libya dan dijangka berjangkit kepada Iran, Iraq malah Arab Saudi - menjadi perdebatan dunia hari ini. Justeru, apabila Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia menganjurkan Sidang Gerakan Global Untuk Keadilan, Keamanan dan Kemuliaan Insan, di Istanbul, Turki, tidak hairan krisis Asia Barat menjadi fokus, walaupun niat awal untuk mengembangkan idea Malaysia supaya semua negara dunia mengambil sikap sederhana bagi menangani isu pengganas dan keganasan.

Pendirian Malaysia ialah cabaran yang dihadapi masyarakat antarabangsa hari ini perlu ditangani secara kolektif bagi memastikan setiap warga dunia mengecap keadilan, hak yang sama dan keamanan berterusan. “Penting bagi kita untuk berada dalam aman setiap masa, bukan tunduk ketakutan dan terus diselubungi kebimbangan angkara kumpulan fanatik. Kita mesti mencari jalan tengah, laluan ke arah kesederhanaan,” kata Setiausaha Agung Asean, Surin Pitsu-wan yang menyokong usaha Malaysia. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata sebagai negara majmuk yang memerlukan toleransi antara kaum, Malaysia antara negara paling faham erti kesederhanaan dan mencari jalan tengah dalam meleraikan segala isu termasuk membabitkan agama. “Kami faham betapa penting untuk memastikan sistem kepelbagaian berfungsi dengan baik. Malaysia bimbang dengan trend kumpulan dan negara tertentu yang sengaja mencetuskan Islamofobia.

“Usaha memperlekehkan agama Islam yang dianuti lebih 1.5 bilion umat manusia boleh mencipta jurang lebih besar antara dunia Islam dan Barat. Isu sebenar bukan di antara Islam dan bukan Islam, ia antara golongan sederhana dan ektremis semua agama, tidak kira Islam, Kristian atau Yahudi.  “Jika kita terus benarkan suara jahat ini berleluasa, ia akan mempengaruhi dan menenggelamkan suara majoriti manusia yang jauh lebih waras,” kata Perdana Menteri mendesak negara dunia membentuk gerakan global golongan sederhana, menentang dan menangani isu pengganas serta keganasan yang didukung golongan minoriti. Desakan Najib di New York September lalu, dikembangkan di Istanbul sebelum dijadual diperdebat sekali lagi di Universiti Oxford, pertengahan tahun ini. Krisis yang melanda negara Islam di Asia Barat membuatkan desakan ini semakin penting kerana suara rakyat terutama golongan muda tidak lagi boleh dipandang remeh.  

Kejatuhan kerajaan Tunisia dan Mesir, terbaru Libya menghadapi masalah sama menjadikan isu demokrasi dalam pemerintahan Islam, menokok beban kepada dilema yang dihadapi negara Islam. Pengganas, keganasan dan isu pemerintahan kuku besi di beberapa negara Islam, membuka ruang kepada Barat meneruskan serangan terhadap kewibawaan dan maruah kerajaan Islam. Najib dan Timbalan Perdana Menteri Turki, Ali Babakan sependapat sistem pemerintahan kuku besi tidak lagi boleh dilaksanakan pada era moden, ia harus memberi laluan kepada suara majoriti yang mahukan pemerintahan lebih adil dan telus. “Dalam suasana sekular yang melampau pada suatu ketika dulu, rakyat Turki kini mula bersikap sederhana dan menerima nilai Islam. Jika dulu, memakai tudung terutama pegawai kerajaan dilarang, sekarang terserah kepada mereka untuk memilih,” kata Ali Babakan mengenai usaha Perdana Menterinya, Recep Tayyip Erdogan menerapkan nilai Islam, di negara bekas empayar Uthmaniah ini.

Daripada empayar terkenal dengan kehebatan dan keagungan Islam, Turki bertukar menjadi negara sekular apabila diisytihar menjadi republik pada 1923. Pada era sekular, nilai Islam hilang daripada pandangan – azan tidak boleh berkumandang lantang, wanita tidak boleh bertudung, rakyat bebas mengamal gaya hidup tanpa sebarang perlindungan dan garis panduan syariat Islam. “Tetapi sekarang keadaan mula berubah. Turki secara perlahan mula memberi kebebasan kepada rakyatnya,” kata Ali Babakan. Malaysia dan Turki, dua negara yang mengamal sistem pemerintahan demokrasi tetapi dengan cara berbeza. Malaysia, menggandingkan Islam dan demokrasi dalam pemerintahannya, Turki yang 99 peratus rakyatnya beragama Islam memilih sistem sekular. Bagaimanapun, kedua-dua negara berada pada satu titik pertemuan yang sama – negara Islam, mengamal sikap sederhana dan memilih demokrasi yang menjunjung pilihan rakyat.

ISU PENDIDIKAN : ANUGERAH TESIS PENDORONG PENYELIDIKAN KEUNGGULAN TAMADUN

Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
BERITA HARIAN : 04 MAC 2011


Usaha Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Pusat Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) mewujudkan Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menjadi pendorong kepada pelajar pascaijazah untuk menghasilkan lebih banyak penyelidikan tentang dunia Islam. Malah anugerah itu dilihat pengiktirafan kepada lulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang berjaya menghasilkan tesis berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat Islam negara ini.  Lebih menarik, tesis sarjana dan PhD yang dipilih akan diterbitkan dalam bentuk buku oleh penganjur. Membukukan bahan keilmuan itu dapat memperkaya dan merangsang suasana akademik di negara ini dengan percambahan ilmu, penyaluran idea dan perkongsian maklumat. Langkah itu mampu membawa dan menyebarkan khazanah ilmu dari universiti bagi manfaat dan rujukan umum.

Jika tidak, sesebuah tesis yang dihasilkan bertahun lamanya hanya dibaca beberapa individu iaitu penyelia, pemeriksa dalam dan luar universiti yang dilantik oleh sesebuah universiti. Justeru, ketika menghadiri majlis penyampaian anugerah itu kepada pemenang baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YNY memuji usaha YNY dan ISDEV yang dilihat inisiatif penting menjayakan agenda meningkatkan kualiti penyelidikan dan memartabatkan dunia kesarjanaan khususnya di universiti negara ini. Kategori tesis PhD dimenangi Dr Munif Zarrirudin Fikri Nordin, lulusan Universiti Malaya dengan tajuk Bahasa Kepimpinan Rasulllah SAW: Analisis wacana khutbah Ghazawit al-Rasul. Manakala Radieah Mohd Nor, lulusan USM dengan tesis Prinsip-prinsip Pembangunan Berteraskan Islam dalam Mukadimah Ibn Khaldun dipilih pemenang sarjana. Dr Munif menerima pingat emas, wang tunai, trofi dan sijil bernilai RM15,000 manakala Radieah menerima hadiah sama bernilai RM10,000.

Menurut Pengerusi Panel Penilai Anugerah merangkap Pengarah ISDEV, Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh, pencalonan 2010 meningkat tiga kali ganda iaitu 36 tesis (22 PhD dan 14 sarjana). Lebih menarik, pencalonan juga datang daripada warga Malaysia yang belajar di luar negara. Muhammad Syukri berkata, banyak tesis dicalonkan penyelia atau universiti dan dengan sendirinya menunjukkan tesis itu diperakui mutunya. Tesis pemenang melalui proses saringan dan pemilihan ketat serta mencapai kualiti penyelidikan dan penulisan yang amat cemerlang. Penilaian dilakukan pakar akademik pelbagai universiti.  Pencalonan untuk anugerah itu tahun ini dibuka sehingga 31 Mei dan calon berminat mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi YNY atau ISDEV.  Menurut Muhyiddin, anugerah itu menjadi perangsang kepada ilmuwan untuk mempergiatkan usaha penyelidikan ilmiah bagi mengemukakan penyelesaian praktikal terhadap pelbagai perma-salahan kontemporari yang dihadapi masyarakat Islam masa kini.

Pendekatan ilmiah yang menggabungkan analisis ilmu Islam dengan disiplin seperti ekonomi, sains tulen, sains kemanusiaan dan sebagainya bukan saja akan memperkaya khazanah ilmu Islam, malah meningkatkan kefahaman masyarakat tentang Islam yang syumul dan progresif itu.  Beliau berharap anugerah itu menjadi antara langkah awal untuk mengembalikan keunggulan keilmuan dan kesarjanaan Islam di Malaysia khasnya dan di negara Islam lain amnya. Usaha seperti itu akan melahirkan lebih ramai sarjana dan ilmuwan muda Islam yang menjadi nadi serta penggerak kemajuan tamadun Islam. Muhyiddin turut menyentuh peranan universiti yang begitu penting dalam merealisasikan matlamat membangun dan memajukan negara. Dalam usaha kerajaan menjayakan Model Baru Ekonomi berasaskan pengetahuan, beliau mengakui peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu, kreativiti dan inovasi yang akan menyediakan landasan kukuh memacu ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.

Muhyiddin berkata, universiti adalah medan idea baru bercambah dan penemuan baru terhasil. Oleh itu, dunia akademik perlu dirangsangkan dengan budaya kecemerlangan penyelidikan yang akan menggalakkan percambahan ilmu dan penghasilan pelbagai penemuan baru yang relevan dengan keperluan negara. Tidak dapat dinafikan kecemerlangan universiti bergantung kepada kualiti insan intelektual yang mengisi keperluan akademik universiti dan menentukan darjat kesarjanaannya. Dalam hubungan ini, beliau menekankan ukuran kualiti kesarjanaan tidak boleh dinilai semata-mata dengan jumlah makalah yang diterbitkan dalam jurnal berwasit antarabangsa atau bilangan buku yang diterbitkan penerbit tersohor. “Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana insan intelektual di universiti mampu memberi kepemimpinan moral dan intelektual kepada masyarakat; bagaimana dengan kualiti kesarjanaan yang dimiliki dan insan intelektual di universiti mampu menghasilkan penemuan baru, merungkaikan permasalahan kontemporari dan memimpin masyarakat dan negara ke arah kehidupan sejahtera.” Usaha mengiktiraf hasil penyelidikan sarjana seperti dilakukan YNY dan ISDEV mampu mengembalikan keunggulan tamadun keilmuan Islam di Malaysia seperti yang ditekankan Muhyiddin.

Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pensyarah Kanan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya