Oleh ARIF ATAN
UTUSAN MALAYSIA, 4 MAC 2011
Sejumlah 17.3 juta iaitu 35 peratus daripada 49.4 juta saman yang dikeluarkan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang 2001 hingga 28 Februari lalu masih belum dijelaskan oleh pesalah trafik. Kita bernasib baik kerana kerajaan begitu prihatin apabila melanjutkan tempoh bayaran saman trafik sehingga 10 Mac ini. Jika masih gagal berbuat demikian, maka pengguna kenderaan yang mempunyai saman tertunggak akan berdepan dengan masalah untuk memperbaharui lesen memandu dan cukai jalan kenderaan berikutan telah disenaraihitamkan. Walaupun kerajaan telah memberi kelonggaran sejak Ogos tahun lalu untuk mereka menjelaskan saman, namun masih ramai gagal berbuat demikian. Mengapa? Sikap menyelesaikan sesuatu perkara pada saat-saat akhir begitu ketara dalam hidup sebahagian masyarakat kita. Hal ini dapat dilihat dengan peningkatan enam kali ganda daripada hari pembayaran biasa.
Sebanyak 1.5 juta saman telah diselesaikan mulai 21 Februari hingga tengah malam 28 Februari lalu. Tidak hairanlah apabila sistem tergendala kerana penggunaan melampaui keupayaan sistem. Apapun, pelbagai tanggapan timbul terhadap mereka yang mengerumuni kaunter pembayaran saman pada ketika tempoh diberi semakin menghampiri masa tamat. Ada menganggap, mereka yang membayar pada saat akhir itu adalah orang yang tidak bertanggungjawab atau suka membuat kesalahan trafik berulang kali. Namun begitu, kita harus bersikap adil terhadap sebahagian daripada mereka yang melanggar peraturan trafik dan melewatkan pembayaran saman kerana 'terpaksa'. Pertama, majoriti masyarakat kita terdiri daripada golongan berpendapatan sederhana dan rendah. Mereka inilah sebahagian besar yang melanggar peraturan lalu lintas. Sama ada mereka sengaja atau tidak sengaja berbuat demikian, itu soal lain.
Namun, yang nyata adalah mereka terpaksa mengutamakan keperluan diri dan keluarga atau memenuhi keperluan 'perut' terlebih dahulu. Ini kerana pendapatan yang diperoleh lazimnya jarang ada lebihnya. Tambahan pula dengan kenaikan harga barangan mutakhir ini. Hendak menabung pun sukar, apatah lagi hendak menjelaskan saman. Kedua, pengguna kenderaan yang dikenakan saman terdiri daripada pelbagai jenis kategori kesalahan trafik. Ini termasuklah kesalahan meletak kenderaan pada tempat yang bukan sepatutnya. Pada ketika pesalah trafik digesa membayar saman dalam tempoh kurang dua bulan, ada baiknya pihak berkenaan mengambil langkah bagi mengelakkan kesalahan sama diulang oleh individu sama, malah orang lain di tempat yang sama. Paling ketara ialah sejauhmana pihak berkuasa tempatan (PBT) telah memastikan pembangunan di kawasan masing-masing tidak menjejaskan ruang dan kelancaran trafik?
Ini kerana setiap inci tanah terutama di sekitar Lembah Kelang hendak dimajukan dengan bangunan bertingkat sama ada kompleks pejabat atau pusat beli-belah tanpa mengambil kira aspek ruang parkir dan kelancaran trafik. Penduduk semakin padat tetapi ruang yang ada semakin terhad. Tentulah hal ini tidak adil kepada pengguna kenderaan. Oleh itu, pembangunan lestari sesebuah kawasan perlu diberi perhatian. Hal ini bukan sahaja dapat mengurangkan risiko pengguna kenderaan dikenakan tindakan kesalahan trafik tetapi menjamin setiap rakyat hidup sejahtera tanpa berdepan dengan pelbagai bentuk tekanan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan