Oleh Dr Mohd Yahya Mohamed Ariffin
BERITA HARIAN : 04 MAC 2011
Usaha Yayasan Nurul Yaqeen (YNY) dan Pusat Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia (USM) mewujudkan Anugerah Tesis Terbaik Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat menjadi pendorong kepada pelajar pascaijazah untuk menghasilkan lebih banyak penyelidikan tentang dunia Islam. Malah anugerah itu dilihat pengiktirafan kepada lulusan sarjana dan doktor falsafah (PhD) yang berjaya menghasilkan tesis berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa masyarakat Islam negara ini. Lebih menarik, tesis sarjana dan PhD yang dipilih akan diterbitkan dalam bentuk buku oleh penganjur. Membukukan bahan keilmuan itu dapat memperkaya dan merangsang suasana akademik di negara ini dengan percambahan ilmu, penyaluran idea dan perkongsian maklumat. Langkah itu mampu membawa dan menyebarkan khazanah ilmu dari universiti bagi manfaat dan rujukan umum.
Jika tidak, sesebuah tesis yang dihasilkan bertahun lamanya hanya dibaca beberapa individu iaitu penyelia, pemeriksa dalam dan luar universiti yang dilantik oleh sesebuah universiti. Justeru, ketika menghadiri majlis penyampaian anugerah itu kepada pemenang baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Pengerusi YNY memuji usaha YNY dan ISDEV yang dilihat inisiatif penting menjayakan agenda meningkatkan kualiti penyelidikan dan memartabatkan dunia kesarjanaan khususnya di universiti negara ini. Kategori tesis PhD dimenangi Dr Munif Zarrirudin Fikri Nordin, lulusan Universiti Malaya dengan tajuk Bahasa Kepimpinan Rasulllah SAW: Analisis wacana khutbah Ghazawit al-Rasul. Manakala Radieah Mohd Nor, lulusan USM dengan tesis Prinsip-prinsip Pembangunan Berteraskan Islam dalam Mukadimah Ibn Khaldun dipilih pemenang sarjana. Dr Munif menerima pingat emas, wang tunai, trofi dan sijil bernilai RM15,000 manakala Radieah menerima hadiah sama bernilai RM10,000.
Menurut Pengerusi Panel Penilai Anugerah merangkap Pengarah ISDEV, Profesor Dr Muhammad Syukri Salleh, pencalonan 2010 meningkat tiga kali ganda iaitu 36 tesis (22 PhD dan 14 sarjana). Lebih menarik, pencalonan juga datang daripada warga Malaysia yang belajar di luar negara. Muhammad Syukri berkata, banyak tesis dicalonkan penyelia atau universiti dan dengan sendirinya menunjukkan tesis itu diperakui mutunya. Tesis pemenang melalui proses saringan dan pemilihan ketat serta mencapai kualiti penyelidikan dan penulisan yang amat cemerlang. Penilaian dilakukan pakar akademik pelbagai universiti. Pencalonan untuk anugerah itu tahun ini dibuka sehingga 31 Mei dan calon berminat mendapat maklumat lanjut boleh menghubungi YNY atau ISDEV. Menurut Muhyiddin, anugerah itu menjadi perangsang kepada ilmuwan untuk mempergiatkan usaha penyelidikan ilmiah bagi mengemukakan penyelesaian praktikal terhadap pelbagai perma-salahan kontemporari yang dihadapi masyarakat Islam masa kini.
Pendekatan ilmiah yang menggabungkan analisis ilmu Islam dengan disiplin seperti ekonomi, sains tulen, sains kemanusiaan dan sebagainya bukan saja akan memperkaya khazanah ilmu Islam, malah meningkatkan kefahaman masyarakat tentang Islam yang syumul dan progresif itu. Beliau berharap anugerah itu menjadi antara langkah awal untuk mengembalikan keunggulan keilmuan dan kesarjanaan Islam di Malaysia khasnya dan di negara Islam lain amnya. Usaha seperti itu akan melahirkan lebih ramai sarjana dan ilmuwan muda Islam yang menjadi nadi serta penggerak kemajuan tamadun Islam. Muhyiddin turut menyentuh peranan universiti yang begitu penting dalam merealisasikan matlamat membangun dan memajukan negara. Dalam usaha kerajaan menjayakan Model Baru Ekonomi berasaskan pengetahuan, beliau mengakui peranan universiti sebagai pusat kecemerlangan ilmu, kreativiti dan inovasi yang akan menyediakan landasan kukuh memacu ekonomi negara ke tahap lebih tinggi.
Muhyiddin berkata, universiti adalah medan idea baru bercambah dan penemuan baru terhasil. Oleh itu, dunia akademik perlu dirangsangkan dengan budaya kecemerlangan penyelidikan yang akan menggalakkan percambahan ilmu dan penghasilan pelbagai penemuan baru yang relevan dengan keperluan negara. Tidak dapat dinafikan kecemerlangan universiti bergantung kepada kualiti insan intelektual yang mengisi keperluan akademik universiti dan menentukan darjat kesarjanaannya. Dalam hubungan ini, beliau menekankan ukuran kualiti kesarjanaan tidak boleh dinilai semata-mata dengan jumlah makalah yang diterbitkan dalam jurnal berwasit antarabangsa atau bilangan buku yang diterbitkan penerbit tersohor. “Tetapi yang lebih penting ialah bagaimana insan intelektual di universiti mampu memberi kepemimpinan moral dan intelektual kepada masyarakat; bagaimana dengan kualiti kesarjanaan yang dimiliki dan insan intelektual di universiti mampu menghasilkan penemuan baru, merungkaikan permasalahan kontemporari dan memimpin masyarakat dan negara ke arah kehidupan sejahtera.” Usaha mengiktiraf hasil penyelidikan sarjana seperti dilakukan YNY dan ISDEV mampu mengembalikan keunggulan tamadun keilmuan Islam di Malaysia seperti yang ditekankan Muhyiddin.
Penulis ialah Ketua Jabatan dan Pensyarah Kanan Pengajian Media, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya
Tiada ulasan:
Catat Ulasan