Kerajaan menerusi Kementerian Pelajaran mengumumkan pemberhentian perkhidmatan kira-kira 13,000 Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT), ditarik balik. Seperti dijelaskan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, surat pemberitahuan akan dikeluarkan kepada semua GSTT terbabit dalam tempoh terdekat. Keputusan itu dibuat tentulah berikutan rungutan dan rayuan guru terbabit serta kewajaran mencari penyelesaian terbaik terhadap isu GSTT. Lagipun, khidmat bakti mereka masih diperlukan bagi mengisi kekosongan di sekolah yang menghadapi kekurangan guru. Masih banyak sekolah mengalami kekurangan guru khasnya untuk mengajar Bahasa Inggeris, malah kekosongan guru mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang kian ketara. Langkah pengambilan semula itu adalah manifestasi pembelaan kerajaan terhadap warga GSTT yang banyak membantu memacu sektor pendidikan.
Kerajaan juga menyelami nurani mereka yang berdepan kesulitan apabila terpaksa menganggur, sekali gus tanpa sumber pendapatan dan perlu mencari kerja baru. Dengan perkembangan ini juga, diharapkan GSTT mempertingkat serta memperkukuhkan komitmen untuk berkhidmat lebih cemerlang bagi mendidik anak bangsa. Apabila GSTT diberi kebebasan memilih tempoh perkhidmatan sama ada untuk dua, tiga atau lima tahun, ini menunjukkan mereka sudah ada satu jaminan mengikut pilihan masing-masing. GSTT juga mesti membuktikan mereka tidak mempertaruhkan tuntutan tertentu sepanjang proses penempatan semula lokasi sekolah selepas ini. Pada masa sama, sejajar semangat Program Transformasi Kerajaan (GTP) yang menggariskan pelbagai inisiatif mempertingkatkan pencapaian pelajar dan langkah awal kepada transformasi pendidikan komprehensif, kerajaan wajar memberi fokus bagaimana keseluruhan isu GSTT dapat ditangani.
Usaha dan fokus mesti dilakukan supaya tenaga serta kemahiran mereka turut digembleng bagi memacu sektor pendidikan. kita harus ingat, keseluruhan proses menjayakan transformasi sistem pendidikan negara antaranya memerlukan guru terlatih. Melihat kepada asas dan matlamat itu, maka GSTT wajar dinaiktaraf. Status itu tidak lagi sesuai dengan dasar pendidikan negara sekarang. Prestasi guru berkenaan mesti dipertingkatkan bagi melayakkan mereka menjadi guru sepenuh masa yang terlatih. Hakikatnya, kelompok guru ini memiliki kesungguhan, pengalaman dan kemahiran yang dituntut ada pada setiap guru. GTP mengenai pendidikan menyebut, usaha meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan menjadi keutamaan kerajaan khususnya Kementerian Pelajaran. Inisiatif penambahbaikan kualiti bukan saja untuk guru malah pembantu guru prasekolah.
Jadi, usaha untuk menyerapkan GSTT dalam kursus lanjutan dan latihan intensif tertentu memang sudah termaktub dalam GTP. Kita percaya, pendedahan itu sudah cukup untuk membolehkan mereka meningkatkan keupayaan mengajar sekali gus bergelar guru sekali gus menikmati insentif serta tangga gaji lebih baik berbanding sekarang. Persatuan Profesyen Perguruan Kebangsaan (NUTP) juga boleh memberi input bagi menangani isu GSTT. Sebagai organisasi yang sangat hampir dengan dunia perguruan serta tahu dan memahami masalah malah aspirasi guru, NUTP boleh membantu kementerian menyelesaikan isu dan polemik GSTT.
BERITA HARIAN, 5 MAC 2011
Tiada ulasan:
Catat Ulasan