27 Oktober 2010

VARIASI BAHASA

BERDASARKAN FAKTOR PENGGUNA
VARIASI BAHASA DIBAHAGIKAN KEPADA

1. Indolek
2. Dialek daerah

WUJUDNYA INDOLEK DISEBABKAN OLEH

1. Tabiat pertuturan seseorang
2. Alat pertuturan individu yang kurang sempurna

BAHASA FORMAL

1. Wujudnya sekatan sosial
2. Wujudnya rasa tidak selesa

BAHASA CAKAP MULUT

1. Bahasa bersama
2. Bahasa basahan
3. Bahasa kolokial

KATA YANG DIGUNAKAN DALAM BAHASA SLANGA

01. awek
02. brader
03. cintan
04. cun
05. tangkap leleh
06. cinabeng
07. sekeh
08. pakwe
09. makwe
10. mengancam

BAHASA FORMAL

1. Digunakan dalam situasi rasmi seperti seminar atau mesyuarat
2. Menggunakan bahasa terkawal
3. Menggunakan bahasa baku
4. Penyampaian maksudnya jelas
5. Mudah difahami
6. Struktur ayatnya gramatis

BAHASA KASAR

1. Bahasa tidak sesuai dengan konteks atau situasi
2. Kata-kata yang menyinggung perasaan orang

PERBEZAAN ANTARA DIALEK DITENTUKAN OLEH

1. sebutan
2. kata ganti nama diri

BAHASA PASAR

1. Dikenali bahasa pijin
2. Kacukan bahasa Melayu dengan bahasa-bahasa bukan Melayu
3. Kerap menggunakan kata 'punya'
4. Tidak mematuhi hukum D-M (kereta api = api kereta)
5. Mengesampingkan penjodoh bilangan (sebuah kereta = satu keleta)
6. Membezakan kata ganti nama diri  (saya = gua, kamu = lu)
7. Menjadikan kata 'banyak' sebagai kata penguat (banyak cantik)

BAHASA HALUS

1. Mengiaskan ungkapan yang kurang manis
2. Menggunakan sistem ganti nama diri yang betul dan bersopan
3. Nada pengucapannya lembut dan rendah
4. Menimbulkan kemesraan

UNSUR ASING DALAM BAHASA MELAYU

PENGARUH BAHASA ASING PALING KETARA

1. Kosa kata

KATA YANG DIPINJAM DARI BAHASA SANSKRIT

01. agama
02. swasta
03. mahasiswa
04. biduanita
05. rahsia
06. purnama
07. dosa
08. cahaya
09. guru
10. sastera

IMBUHAN PINJAMAN DARIPADA BAHASA ARAB

1. Imbuhan akhiran -in membentuk kata nama jamak lelaki. (muslimin)
2. Imbuhan akhiran -ah membentuk kata nama perempuan. (muslimat)

IMBUHAN PINJAMAN BAHASA PARSI

1. Awalan bi-
2. Contoh perkataan : biadap

SEBAB BAHASA JAWA MERESAP DALAM BAHASA MELAYU

1. Bahasa teras pemerintahan kerajaan Mataram dan Majapahit
2. Kesusasteraan Jawa tersebar luas di kawasan bahasa Melayu
3. Kerjasama kebahasaan antara Indonesia dan Malaysia

KATA PINJAMAN DARIPADA BAHASA CINA
YANG MENGALAMI PERUBAHAN MAKNA

1. Kini - makna asal ialah 'tahun ini'
2. Bohsia - makna asal ialah 'tidak bersuara'
3. Beca - makna asal ialah 'kereta yang ditarik kuda'

KATA YANG DIPINJAM DARIPADA BAHASA PORTUGIS

01. minggu
02. kemeja
03. peluru
04. nanas
05. sekolah
06. tuala
07. tinta
08. kebaya
09. lampu
10. sepatu

KATA YANG DIPINJAM DARIPADA BAHASA CINA

01. cat
02. teh
03. tong
04. pisau
05. sampan
06. kicap
07. kopi o
08. koyok
09. pongkes
10. kung fu

KATA YANG DIPINJAM DARIPADA BAHASA JAWA

01. calon
02. semberono
03. tulen
04. kaget
05. adegan
06. lumayan
07. prihatin
08. perabot
09. bagus
10. waras

KATA YANG DIPINJAM DARIPADA BAHASA ARAB

01. ilmu
02. nafsu
03. sedekah
04. tafsir
05. ziarah
06. haiwan
07. akhirat
08. mustahil
09. haram
10. tahniah

SUSUNAN KEMASUKAN PENGARUH BAHASA ASING KE DALAM BAHASA MELAYU

1. Sanskrit
2. Arab
3. Portugis
4. Inggeris

ISU BAHASA : MENJAGA MARUAH LINGUISTIK NEGARA


BELANJAWAN 2011 mencadangkan peruntukan RM29.3 bilion diagihkan kepada sektor pendidikan. Daripada jumlah besar ini, sebanyak RM213 juta pula dicadangkan digunakan untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Cadangan ini selari dengan Program Memartabatkan Bahasa Melayu-Memperkasakan Bahasa Inggeris (MBM-MBI), yang diperkenalkan selepas Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) diumumkan pemansuhannya pada Julai 2009. Sebenarnya, pelajar kita bukan saja lemah dalam kemahiran berbahasa Inggeris, mereka juga lemah ketika menggunakan bahasa Melayu. Justeru, langkah yang diambil untuk mempertingkatkan penguasaan kedua-dua bahasa pada masa sama, bukan saja menepati semangat Program MBM-MBI. Tetapi yang lebih penting lagi ia menjaga maruah linguistik negara yang antaranya perlu sentiasa wujud dalam bentuk bahasa Melayu sebagai idiom teras kepada jati diri kebangsaan dan nasionaliti Malaysia.

Sehubungan ini, dalam pelaksanaannya, bahasa Melayu selaku bahasa negara perlu sentiasa diutamakan, agar bertepatan dengan hasrat kita untuk memartabatkannya. Manakala bahasa Inggeris selaku bahasa antarabangsa yang penting, perlu dipelajari dengan tekun, supaya kita dapat memanfaatkan ilmu yang diungkapkan di dalamnya. Langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Inggeris akan dimulakan dengan pengambilan 375 orang guru penutur jati bahasa Inggeris dari United Kingdom dan Australia. Penggunaan guru daripada kalangan penutur natif tidak dapat dinafikan adalah antara kaedah berkesan untuk mengajar bahasa. Namun, pendidik tempatan tidak boleh sekali-kali dipinggirkan, yakni dalam erti kata dijadikan pihak yang mempunyai kedudukan yang lebih rendah daripada 375 orang asing itu. Guru bahasa Inggeris tempatan perlu digandingkan dalam rangka kerja bahawa mereka lebih berkuasa, dalam pengendalian usaha peningkatan penguasaan bahasa Inggeris, khususnya pada tahap membuat keputusan. Ini adalah penting kerana mereka lebih mengetahui keadaan tempatan, selain psikologi pelajar Malaysia.

Hal ini juga perlu untuk memastikan penguasaan bahasa Inggeris di negara ini berlaku atas landasan penyebaran bahasa itu dan tidak sekali-kali atas landasan kekuasaan bahasa berkenaan. Atas landasan penyebarannya, bahasa Inggeris akan dipelajari kerana kepentingannya dalam bidang pendidikan dan beberapa yang lain. Orientasi pembelajaran landasan begini bersifat instrumental, yakni bahasa Inggeris dikuasai sebagai alat untuk memperoleh ilmu, yang boleh memajukan rakyat dan negara. Ia tidak boleh diajar dan dipelajari lebih daripada itu, apatah lagi atas landasan kekuasaan bahasa Inggeris, yang didapati boleh meminggirkan bahasa yang kurang berprestij daripadanya. Peminggiran ini boleh mengambil pelbagai bentuk.

Antaranya adalah peranjakan bahasa, yang menjadi fenomena bahasa berprestij mengambil alih peranan yang dimainkan oleh bahasa kurang berprestij dalam bidang penting negara, misalnya sistem pendidikan kebangsaan. Ini pernah berlaku di negara ini apabila PPSMI dilaksanakan pada 2003. Tidak seperti yang berlaku pada bahasa Inggeris, langkah untuk mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu tidak dinyatakan langsung, walaupun secara ringkas, ketika pembentangan Belanjawan 2011 itu. Walaupun tidak disebut, penguasaan bahasa Melayu yang akan dipertingkatkan itu perlu dilakukan melalui pelbagai strategi. Antaranya pedagogi, psikologi, sosiologi dan politik.

Dari segi pedagogi, iaitu bidang perkaedahan mengajar, pelajar perlu diajar mengenai sistem bahasa Melayu agar mereka dapat menggunakan bahasa Melayu dengan baik dan betul. Selain ini, pelajar, khususnya bukan Melayu juga perlu dipastikan menguasai budi bahasa Melayu. Ini adalah penting untuk membolehkan mereka berfungsi dengan baik ketika berada dalam komuniti bahasa Melayu dan tidak dianggap sebagai tidak sopan. Strategi ini akan menghasilkan pelajar yang cekap dari segi sistem dan budi bahasa Melayu dengan menggunakan pelbagai kaedah pendidikan yang menarik lagi berkesan. Penguasaan kedua-dua kecekapan ini secara rentak adalah penting sekali ketika berbahasa Melayu.

Dari segi psikologi, iaitu bidang yang meneliti proses minda dan pemikiran, peningkatan penguasaan bahasa Melayu ini boleh mengambil bentuk perhatian yang lebih mengutamakan pelajar. Ini bermakna kurikulum bahasa Melayu itu perlu berpaksi pelajar. Dengan ini, faktor pelajar yang antaranya merangkumi kebolehan mereka dari segi pemahaman, perasaan dan sikap, diberi perhatian serius. Strategi begini didapati berjaya membantu pengembangan kemahiran berbahasa dalam kalangan pelajar. Ini antaranya adalah kerana kebanyakan keputusan mengenai proses pembelajaran ditentukan pelajar sendiri. Antaranya, termasuk penilaian kendiri serta penggunaan teknik pembelajaran yang digemari mereka.

Dari segi sosiologi, yakni bidang yang meneliti masyarakat dan dalam konteks peningkatan ini, bahasa Melayu perlu diajar sebagai bahasa yang dapat memberi prestij sosial yang tinggi kepada pelajar. Dalam konteks ini, bahasa Melayu perlu dijadikan penanda kecemerlangan, yakni dalam pengertian sebagai bahasa yang paling berpengaruh di negara ini. Faedah sosial ini sudah tentu mempunyai kesan positif kepada pembelajaran bahasa Melayu. Nilai bahasa Melayu yang tinggi, ekoran daripada peranan penting yang dihubungkan dengannya dan/atau persepsi masyarakat yang baik terhadapnya.

Oleh Teo Kok Seong
Felo Penyelidik Utama
Institut Alam dan Tamadun Melayu 
Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

BERITA HARIAN
27 OKTOBER 2010


BAHASA MELAYU KLASIK


1. Abad ke-11 hingga abad ke-14 ialah Zaman Bahasa Melayu Praklasik

2. Bahasa Melayu Klasik bermula pada abad ke-14 hingga abad ke-19

CIRI-CIRI

1. Ditandai penggunaan kata pangkal ayat
2. Pengaruh bahasa Arab sangat ketara
3. Banyak menggunakan ayat pasif
4. Penggunaan ayat songsang amat ketara
5. Banyak menggunakan ayat majmuk yang panjang-panjang
6. Menggunakan Tulisan Jawi
7. Menggunakan partikel -lah, -tah, -kah
8. Penggunaan bahasa Istana

KERAJAAN YANG DIRANGKUMI BAHASA MELAYU KLASIK

1. Kerajaan Melaka
2. Kerajaan Acheh

BUKTI BAHASA MELAYU KLASIK MENERIMA PENGARUH ISLAM

1. Batu Bersurat Sungai Tersat, Kuala Berang, Terengganu
2. Batu Bersurat Minye Tujuh, Acheh

SEBAB BAHASA MELAYU BERKEMBANG PESAT PADA ZAMAN MELAKA

1. Pengaruh politik Melayu
2. Tulisan jawi
3. Penyebaran agama Islam yang tinggi darjah kebudayaannya
4. Pengaruh perbendaharaan kata dari Bahasa Arab

BAHASA MELAYU PADA ZAMAN KEGEMILANGAN ACHEH

1. Karya sastera Islam ditulis dalam Bahasa Melayu
2. Surat-surat sultan Acheh kepada pemerintah Inggeris

BAHASA MELAYU KUNO

BAHASA MELAYU KUNO

1. Berkembang di Nusantara
2. Abad ke-7 hingga abad ke-13
3. Berkembang pada zaman kerajaan Srivijaya
4. Pengaruh bahasa Sanskrit amat ketara

PERBEZAAN BAHASA MELAYU KUNO DAN BAHASA MELAYU PURBA

1. Bahasa Melayu Purba dalam bentuk lisan sahaja
2. Bahasa Melayu Kuno dalam bentuk lisan dan tulisan

PERANAN BAHASA MELAYU KUNO PADA ZAMAN SRIWIJAYA

1. Bahasa rasmi kerajaan Sriwijaya
2. Bahasa perantaraan
3. Bahasa pengantar dalam falsafah Buddha

FONOLOGI BAHASA MELAYU KUNO

1. Penggunaan bunyi separuh vokal bersuara /w/ untuk letupan dua bibir bersuara /b/
2. Tiada bunyi e-pepet atau vokal tengah
3. e-pepet diganti dengan vokal /a/
4. terdapat konsonan yang dihembuskan seperti bh, th, kh, dan dh

MORFOLOGI BAHASA MELAYU KUNO

1. Awalan mar- (awalan ber- dalam bahasa Melayu moden)
2. Awalan ni (awalan di- dalam bahasa Melayu moden)
3. Awalan nipar (awalan diper- dalam bahasa Melayu moden)
4. Apitan par-...-an (apitan per-...-an dalam bahasa Melayu moden)
5. Awalan ma- (awalan me- dalam bahasa Melayu moden)
6. Awalan mang- (awalan meng- dalam bahasa Melayu moden)

ASAL USUL BAHASA MELAYU

BAHAN BUKTI YANG MENGAITKAN
ISTILAH "MELAYU" DENGAN TEMPAT ATAU KERAJAAN.

1. Catatan seorang rahib Buddha bernama I-Tsing
2. Karya Ptolemy yang berjudul Geographike Sintaxis
3. Kitab Hindu purba yang berjudul Purana

ISTILAH YANG DIKAITKAN DENGAN "MELAYU"

1. Geographike Sintaxis = "maleu-kolon"
2. Kitab Purana = "malay dvipa"
3. I-Tsing = "mo-lo-yu"
4. Kesusasteraan Cina = 'kun-lun"

BANGSA MELAYU

1. Beragama Islam
2. Dapat bertutur dalam Bahasa Melayu
3. Mengamalkan adat istiadat Melayu

SUBKELUARGA BAHASA FILIPINA-FORMOSA

1. Bisaya
2. Tagalog
3. Bikul
4. Sulu
5. Tombulu
6. Iloko
7. Pula'u

KELOMPOK MELAYU-DEUTRO

1. Mereka pandai dalam bidang astronomi
2. Merekalah yang menurunkan bangsa Melayu dan bangsa Indonesia
3. Menetap di persisir pantai
4. Bekerja sebagai nelayan
5. Pandai bermasyarakat
6. Nenek moyang kepada orang asli seperti Jakun, Semang, Senoi
7. Dipercayai datang dari Yunan, China
8. Memiliki tamadun yang lebih maju

BAHASA NUSANTARA

1. Dikenali juga sebagai bahasa Hesperanesia
2. Keluarga bahasa yang terbesar
3. Meliputi Formosa, Maluku, Pulau Timor, dan Madagaskar
4. Penutur paling banyak
5. Mempunyai 200 hingga 300 bahasa

RUMPUN AUSTRONESIA

1. Melanesia
2. Mikronesia
3. Nusantara
4. Polinesia

KELOMPOK BAHASA OCEANESIA

1. Melanesia
2. Mikronesia
3. Polinesia

BAHASA MELAYU PURBA

1. Bahasa yang menurunkan Bahasa Melayu Kuno
2. Bahasa yang menurunkan Bahasa Melayu Induk
3. Bentuk bahasa yang paling awal.

ISU SOSIAL : PENINGKATAN KOS HIDUP TIDAK DAPAT DIELAK

Rakyat perlu sedar bahawa peningkatan kos hidup tidak dapat dielakkan apabila Malaysia mencapai sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada masa depan. Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, perkara itu akan berlaku kerana kerajaan tidak dapat berterusan memberi subsidi bagi membolehkan harga barangan dan perkhidmatan terus rendah. "Saya menyokong dasar kerajaan untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi. Cuma saya bimbang rakyat mungkin menjangkakan peningkatan pendapatan ini akan dicapai tanpa disertai kos hidup lebih tinggi. "Oleh itu adalah lebih baik rakyat diberi amaran awal- awal lagi tentang hakikat ini," katanya dalam entri terbaru bertajuk Ekonomi Berpendapatan Tinggi dalam blog http://chedet.co.cc di sini hari ini.

Beliau berkata, rakyat juga harus mengubah persepsi yang menyangka peningkatan pendapatan akan menyebabkan mereka dapat membeli barangan dan perkhidmatan dalam jumlah lebih banyak. "Amerika Syarikat (AS) misalnya sekarang ini mempunyai pendapatan per kapita lima kali ganda lebih tinggi berbanding Malaysia tetapi ini bukan bermakna rakyatnya mempunyai kuasa beli lima kali ganda lebih besar daripada kita. Dalam kes tertentu, kuasa beli mereka sebenarnya adalah sama dengan rakyat Malaysia. Misalnya, berdasarkan Indeks Hamburger McDonald baru-baru ini, nilai seringgit adalah sama dengan satu dolar AS dalam membeli produk berkenaan. Dalam pada itu, beliau berkata, semua pihak tidak harus mengharapkan kerajaan memberi subsidi dengan menggunakan wang hasil minyak bagi mengurangkan kos hidup.

Keuntungan daripada penjualan minyak yang dicari gali dalam negara adalah tidak mencukupi kerana kita hanya menjual satu perempat daripada yang dikeluarkan dan selebihnya digunakan sendiri. Dalam perkembangan berkaitan, Dr. Mahathir yakin kesan buruk daripada peningkatan kos hidup boleh dikurangkan jika kerajaan dapat memastikan peningkatan harga barangan dan perkhidmatan adalah lebih rendah berbanding peningkatan pendapatan. Sementara itu, peningkatan pendapatan memang memberikan kesan positif dalam meningkatkan kuasa beli rakyat untuk membeli barangan dan perkhidmatan yang diimport atau ketika berbelanja di luar negara.

26 Oktober 2010

VARIASI BAHASA : CIRI-CIRI BAHASA BAKU

01. Tidak mempunyai penutur asli
02. Menggunakan nahu yang betul
03. Bahasa yang tersusun
04. Bukan bahasa ibunda penutur
05. Perkataan tepat dan sesuai
06. Sebutan mengikut ejaan
07. Digunakan dalam penyampaian ucapan rasmi
08. Bahasa yang formal dan bersopan
09. Situasi yang formal dan rasmi
10. Tatabahasa tepat dan sesuai
11. Tidak menggunakan unsur kependekan (Singkatan)
12. Dituturkan oleh golongan berpendidikan dalam masyarakat
13. Struktur ayat pasif berbeza

ISU BAHASA : GURU BAHASA INGGERIS DIPANTAU OLEH 370 ORANG PAKAR DARI LUAR NEGARA


Sebanyak 370 orang pakar bahasa Inggeris dari luar negara akan diambil bekerja untuk memantau pengajaran bahasa itu di sekolah-sekolah bagi merealisasikan pelaksanaan dasar memartabatkan Bahasa Melayu dan memperkukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI) mulai tahun 2011. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, semua pakar tersebut akan memantau pengajaran bahasa Inggeris khususnya untuk pelajar tahun satu sekolah rendah di seluruh negara. Pengambilan pakar itu amat penting memandangkan usaha untuk memperkukuhkan bahasa Inggeris agak mencabar dan mereka akan melihat bagaimana guru-guru mendidik anak-anak kita dalam bahasa Inggeris.  MBMMBI diperkenalkan bagi menggantikan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) yang akan dimansuhkan pada 2012.


Sumber
Harian Kosmo
26 Oktober 2010

ISU ALAM SEKITAR : PUNCA-PUNCA PENCEMARAN SUNGAI

Sukar mendapat kerjasama daripada pemilik tanah untuk membina kolam kumbahan menjadi antara masalah yang perlu ditangani oleh penyelenggara sistem pembetungan. Kebanyakan pemilik tanah enggan menjual atau menyewakan tanah mereka menyebabkan beberapa perancangan oleh syarikat gagal dilaksanakan.  Pada masa sama, kerajaan sudah membelanjakan RM1.64 juta untuk tujuan pengambilan balik tanah untuk projek pembetungan di Semenanjung. Itu adalah sebahagian daripada peruntukan 2006 dan proses ini memakan masa dan kos kian meningkat saban tahun. Menyedari pentingnya perkhidmatan pembetungan diswastakan, kerajaan menyerahkan pengurusannya kepada Indah Water Konsortium (IWK) pada 1993. Tugas utama syarikat ini ialah merancang, mereka bentuk, membina dan menyelenggara perkhidmatan pembetungan di kawasan setempat dengan kebenaran mengenakan tarif kepada pengguna.
 
Penswastaan sistem pembetungan negara hampir mengalami kegagalan kerana kebanyakan pengguna enggan membayar bil yang dianggap sebagai satu perkhidmatan yang mereka tidak boleh lihat mahupun rasa. Pada dasarnya, sistem pembetungan seharusnya disatukan dengan kitaran perkhidmatan air. Memisahkan pengurusan merumitkan urusan pentadbiran dan ini adalah antara tugas kerajaan di bawah rejim baru pengurusan air demi memastikan pengguna bakal membayar hanya satu bil saja pada masa depan. Setakat ini, projek Perkhidmatan Pembetungan di bawah RMKe-9 membabitkan 11 projek baru dan 47 projek sambungan dengan kos keseluruhan sebanyak RM3.012 bilion. Pada 2006, sebanyak RM754 juta dibelanjakan daripada peruntukan 2006 yang berjumlah RM759.4 juta iaitu 99 peratus untuk projek pembetungan negara.

Chin Yoong Kheong dalam bukunya, The Water Tablet Malaysian Water Reforms, mendedahkan setakat ini, 65 peratus daripada lima juta meter padu kumbahan yang dihasilkan sehari di Malaysia dihumban ke dalam sungai. Akibatnya 70 peratus daripada pencemaran sungai adalah najis manusia. Menjadi tugas IWK untuk memastikan perkara ini tidak berlaku. Namun kelemahan sistem pentadbirannya jelas apabila timbul tiga masalah utama yang dilihat mengancam kelancaran pengurusan dalam perkhidmatan itu.

Pertama, kegagalan menyedarkan pengguna mengenai pentingnya mereka memahami perkhidmatan pembetungan adalah satu bentuk perkhidmatan yang tidak boleh dilihat atau dirasai. Kedua, kebanyakan pengguna tidak mahu membayar bil perkhidmatan pembetungan hanya kerana mereka berasakan tidak terbabit secara langsung dengan perkhidmatan itu. Kebanyakan pengguna tidak menyedari sistem saluran paip air bawah tanah di rumah mereka sebenarnya berhubung terus ke loji rawatan air. Pengasingan dilakukan antara sisa utama tetapi cecair tetap dialirkan ke loji rawatan air untuk dirawat. Ketiga, tunggakan bil perkhidmatan yang tidak dijelaskan oleh pengguna mengakibatkan IWK berdepan dengan masalah kewangan dan ini membantutkan usaha mereka untuk memberikan perkhidmatan terbaik.

Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Peter Chin Fah Kui, baru-baru ini, berkata IWK sedang menangani masalah itu dan berusaha untuk memulihkan kedudukan kewangan syarikat. Katanya, rakyat sebagai pengguna mempunyai peranan besar dalam memastikan sistem pembetungan ditingkatkan dan menjelaskan bil pembetungan adalah satu kerjasama terbaik, demi memastikan alam sekitar negara tidak tercemar hanya kerana kita gagal mengurus sisa kumbahan sendiri.


Sumber
Berita Harian
26 Oktober 2010





KEPENTINGAN MASYARAKAT PENYAYANG


“Yang tua dihormati, yang muda disayangi”. Ungkapan ini memberikan seribu pengertian dan gambaran yang sangat bererti kepada seluruh insan di dunia ini tentang masyarakat penyayang yang perlu dipupuk dan dibenamkan dalam sanubari kita selagi kita bergelar makhluk berakal yang dianugerahkan oleh Tuhan. Memandangkan dunia sekarang yang semakin penuh pancaroba dan aral melintang, maka masyarakat penyayang inilah yang menjadi tulang belakang negara ke arah merealisasikan visi kudsi yang semakin mendatang kira-kira 11 tahun lagi dari sekarang iaitu wawasan 2020. Lantaran itu, kerajaan telah menggariskan salah satu matlamat dan cabaran wawasan 2020 iaitu melahirkan masyarakat penyayang bagi mewujudkan sebuah negara Malaysia yang benar-benar maju dari pelbagai aspek. Persoalannya, apakah kepentingan masyarakat penyayang kepada masyarakat kita dari dahulu, kini dan selamanya? Persoalan inilah yang perlu dirungkai supaya masing-masing membuka mata agar masyarakat sebegini akan terus menjadi amalan dan berkekalan di negara kita.

Pembentukan masyarakat yang penyayang akan memantapkan perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia. Seperti yang diketahui umum, masyarakat penyayang menggambarkan masyarakat Malaysia yang hidup dengan berlandaskan nilai kasih sayang antara satu sama lain. Mereka saling membantu kerana ikatan ukhuwah sentiasa tertanam dalam naluri dan sanubari mereka. Contohnya, amalan berkunjung ke rumah rakan-rakan berlainan agama pada musim perayaan merupakan salah satu contoh amalan yang berjaya memupuk semangat muhibah dan perpaduan kerana rakyat masing-masing memupuk nilai penyayang. Begitu juga halnya ketika rakan-rakan atau saudara-mara yang mendapat musibah, kita akan memberikan bantuan yang sewajarnya dan berkongsi suka duka dengan mereka kerana masing-masing mengamalkan sikap cubit paha kanan, paha kiri terasa juga. Melalui nilai murni sebegini jelas terlihat mereka mengamalkan hidup sandar-menyandar umpama aur dengan tebing. Jadi, sesuai dengan gagasan Satu Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan cetusan idea Perdana Menteri Ke-6, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak untuk melahirkan masyarakat penyayang yang mengamalkan konsep Satu Malaysia akan terlaksana dengan jayanya.

Selain itu, masyarakat penyayang mampu merobah paradigma masyarakat yang bersikap bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. Kita lihat pada masa ini, kebanyakan warga kita sibuk mengejar kemewahan duniawi kerana bagi mereka hidup yang singkat ini perlu diisi dengan kemewahan. Mereka bekerja siang malam tanpa memikirkan peri pentingnya masyarakat penyayang kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Golongan inilah yang akan membantutkan usaha murni kerajaan ke arah mewujudkan masyakat penyayang secara bersepadu dan menyeluruh. Sebenarnya, melalui masyarakat penyayang kita akan lebih bersikap prihatin dan rasional tentang apa-apa yang berlaku dalam negara mahupun di luar negara. Sebagai tamsilnya, bencana alam yang dahsyat yang berlaku di beberapa buah tempat baru-baru ini seperti gempa bumi di Padang, Indonesia, tsunami di Samoa, dan ribut taufan di Filipina memerlukan belas kasihan daripada rakyat negara kita untuk membantu kerana berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Secara implisit, masyarakat penyayang akan mengamalkan sikap saling menolong kerana tangan yang memberi lebih baik daripada yang menerima.

Di samping itu, masyarakat penyayang mampu membawa perubahan ekonomi negara dan melonjakkan nama Malaysia di persada dunia. Sebenarnya, masyarakat sebegini mampu menarik lebih ramai pelancong untuk datang ke negara kita yang akan membawa pulangan berbilion-bilion ringgit kepada nusa yang tercinta ini. Rakyat Malaysia keseluruhannya diseru agar bersama-sama menunjukkan nilai kasih sayang supaya pelancong berduyun-duyun datang ke negara kita. Segala perkara negatif seperti keganasan, penderaan, dan sikap hidung tinggi perlulah dibuang jauh-jauh. Hakikatnya pelancong-pelancong dari negara atas angin dan bawah angin akan datang ke negara kita untuk melihat panorama indah yang unik di samping melihat rakyatnya yang penyayang. Misalnya, kedatangan pelancong perlu diraikan dengan nilai kasih sayang daripada setiap ahli masyarakat terutamanya pekerja yang terlibat secara langsung menguruskan hal ehwal mereka. Dengan ini, masyarakat penyayang telah membawa Malaysia ke landasan yang betul dengan memberi keuntungan kepada negara dan kita mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan negara-negara membangun malah negara maju yang lain.

Sudah terang lagi bersuluh, kepentingan masyarakat penyayang akan mewujudkan sebuah keluarga yang harmoni seperti yang diidam-idamkan oleh setiap keluarga. Ikatan silaturahim bertambah erat apabila ahli keluarga memainkan peranan terutamanya ibu bapa menjadi suri teladan kepada anak-anak. Hal ini demikian kerana anak-anak diibaratkan sehelai kain putih dan ibu bapalah yang akan mencorakkannya. Lagipun ibu bapa berperanan untuk mendidik anak-anak sejak kecil ibarat melentur buluh biarlah ketika rebung supaya anak-anak akan mengamalkan nilai kasih sayang kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya. Contohnya, amalan gotong-royong dalam sesebuah keluarga, ibu bapa meluangkan masa untuk menemani anak-anak mengulang kaji pelajaran, bermain bersama-sama anak-anak dan sebagainya dapat mempererat hubungan mesra antara ibu bapa dengan anak-anak. Situasi ini mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai, porak-peranda, bergaduh kerana semua ahli keluarga mengamalkan sikap penyayang. Jelaslah bahawa masyarakat penyayang membawa perubahan yang drastik terhadap keluarga kerana keluarga bahagia, negara sejahtera.

Kesimpulannya, masyarakat penyayang banyak memberi manfaat kepada diri, keluarga, masyarakat, dan negara. Usaha mewujudkan masyarakat penyayang dalam negara kita yang terdiri daripada pelbagai ras, budaya, dan agama ini memerlukan kerjasama yang jitu daripada semua pihak kerana hendak seribu daya, tidak hendak seribu dalih. Pembentukan masyarakat penyayang perlulah dilakukan secara bersungguh-sungguh dan bukannya hanya hangat-hangat tahi ayam sahaja. Usaha ini merupakan tanggungjawab kita sebagai rakyat kerana kerbau dipegang pada talinya, manusia dipegang pada janjinya. Dengan ini, saya mencadangkan supaya kita perlu menggembleng tenaga untuk meningkatkan usaha ke arah masyarakat penyayang bagi mewujudkan negara bangsa yang cemerlang, gemilang, dan terbilang.