08 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SELAMAT HARI WANITA, ANUGERAH TERINDAH DARI ALLAH UNTUK LELAKI.


Tanggal 8 Mac pada setiap tahun telah diisytiharkan sebagai Hari Wanita Antarabangsa atau Hari Wanita Sedunia. Tema tahun 2017 ialah “Inilah Kuasa Wanita”. Tema ini membawa makna yang sungguh mendalam kepada semua wanita dan kaum adam yang menjadi penghuni bumi ciptaan Allah ini. Wanita merupakan ciptaan Tuhan yang sinonim dengan kelembutan, keayuan, kecantikan, dan keperibadian mulia. Kita tidak boleh membayangkan apa yang akan berlaku jika dunia ini tiada wanita? Keturunan kita mungkin akan pupus. Populasi dunia tidak akan bertambah. Itulah kuasa wanita. Hanya wanita yang boleh mengandung, melahirkan, dan menyusukan anak. Mereka dikurniakan hati yang sungguh suci dan belaian serta sentuhan ajaib yang penuh nikmat dan kasih sayang untuk mendodoikan setiap anak yang dilahirkan. Lelaki tidak mampu menandingi keistimewaan ini. Kini, kuasa wanita semakin hebat menggegar dunia. Pepatah Melayu yang berbunyi, “tangan yang menghayun buaian, boleh menggoncang dunia” memang benar-benar terbukti kerana di era globalisasi ini kuasa wanita begitu meledak melata di bumi ciptaan Ilahi.

IBU WANITA TERHEBAT

Kita dilahirkan ke dunia ini dari rahim seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan kita selama sembilan bulan. Ibulah yang berjaga siang malam tanpa mengenal penat dan jemu. Ibulah penasihat yang terbaik, pendengar yang setia, dan penyembuh yang paling mujarab setiap kali kita memerlukan khidmatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan kata tidak. Dia tidak pernah mengungkapkan kata tiada. Dia akan berusaha untuk memenuhi segala permintaan kita. Walaupun terpaksa bersengkang mata dan bekerja tanpa mengira waktu, dia akan berusaha juga untuk menunaikan keinginan anak-anaknya. Dia tidak pernah menangis walaupun hatinya terguris. Dia tidak pernah luahkan kekecewaan walaupun hatinya kita lukakan. Dia tidak pernah menyesal melahirkan kita ke dunia walau kita lawan arahan dan kata-katanya. Segala susahnya dipendam. Segala marahnya disimpan. Demi anak tersayang, biar jiwanya sengsara, dia sanggup asalkan anaknya tidak menderita. Terima kasih Ibu!

Sebagai anak kita tidak boleh menyakiti hati ibu.
Kita tak boleh ingkar setiap nasihat ibu.
Setitis air mata ibu jatuh membasahi pipi, 
dosanya kita tanggung hingga ke mati. 


Nasib semua ibu di dunia ini tidak sama. Apabila membaca cerita-cerita tentang ibu di laman media sosial dan akhbar hati kita selalu tersentuh. Orang yang masih ada ibu sanggup membuang ibu mereka. Ibu tersayang dibiarkan hidup merempat dan dibalut kemiskinan hingga ke akhir hayat. Ibu yang banyak berjasa dibiarkan hidup sebatang kara, tidak dijaga malah ada yang tergamak menjadikan ibu mereka sebagai orang suruhan yang tidak bergaji. Mereka tidak pernah bertanyakan khabar berita dengan ibu yang jauh. Apabila ibu menelefon, mereka menjawab sekadar berbasa basi, dengan alasan banyak kerja dan sibuk, talian telefon dimatikan tanpa mengakhirinya dengan salam. Itulah nasib segelintir ibu yang disisihkan oleh darah daging sendiri. Terdapat juga anak-anak derhaka yang menyusahkan ibu hingga ke tua. Ibu yang tidak berdaya terpaksa bekerja untuk menyara hidup anak yang diibaratkan bangkai bernyawa. Kasihan sungguh nasib wanita yang bernama ibu.

Saya tumpang gembira melihat ibu-ibu yang menikmati hari-hari tua mereka dengan limpahan kebahagiaan dan kesejahteraan serta kemewahan. Anak-anak yang dilahirkan semuanya berpendidikan dan berjawatan tinggi. Mereka sentiasa menyayangi ibu mereka. Mereka melayan ibu dengan penuh kasih sayang. Segala permintaan ibu ditunaikan. Kebajikan ibu terjaga. Keinginan ibu sentiasa dipenuhi. Setiap waktu dihabiskan bersama ibu tersayang. Ibulah kawan. Ibulah teman. Ibulah kekasih. Mereka sentiasa meletakkan ibu ditakhta teratas dalam hidup mereka. Tahniah ibu! Anak-anakmu sentiasa ingat dan tidak lupa akan jasa-jasamu. Jika diperhatikan, perjalanan hidup anak-anak yang sentiasa memuliakan kehadiran ibu mereka disisi, sentiasa indah. Walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi dan bergaji rendah, rezeki mereka datang bagai air mengalir. Hidup mereka sentiasa bahagia  dan diberkati. Allah tidak pernah biarkan mereka menangis.

Orang yang derhaka kepada ibu mereka lain 
pula ceritanya. Walaupun berpendidikan tinggi, berpangkat, berharta,  dan menjadi sanjungan 
seantero dunia, hidup mereka sentiasa berhadapan dengan masalah. Gaji puluhan ribu tetapi hutang 
keliling pinggang. Segala-galanya 
tidak pernah cukup. Rezeki datang berguni-guni 
tetapi habis tidak sampai sehari. 

SAYANGI WANITA

Hidup kita sentiasa dikelilingi wanita. Kita mempunyai adik beradik wanita. Kita mempunyai rakan sekerja wanita. Kita mempunyai anak-anak wanita. Mereka hadir untuk disayangi. Jangan sesekali dikasari. Jika seorang lelaki sanggup mengasari seorang wanita sehingga luruh air matanya menahan kesakitan dan derita, lelaki itu merupakan lelaki pengecut yang amat berdosa. Saban hari kita selalu melihat pelbagai cerita mengenai wanita yang dirogol, didera, dijadikan hamba seks, pelacur dan sebagainya. Perbuatan kita yang tergamak memperlakukan golongan wanita sebegini wajar dihentikan. Wanita perlukan layanan dan kasih sayang daripada orang yang berada di sekeliling mereka. Janganlah kita menganggap kehadiran mereka menyusahkan. Janganlah kita mempergunakan kelemahan mereka untuk kepentingan diri kita. Hormatilah hak mereka sebagai wanita. Suatu ketika, kita akan diberikan ganjaran dan pahala berganda kerana menjaga maruah dan kehormatan seorang wanita.

Apabila kita sanggup menjadikan seorang wanita
sebagai isteri, kita harus berjanji untuk tidak
menyakitinya hatinya dan menyeksa jiwanya.
Jangan sewenang-wenangnya berlaku curang dan
menduakan kasih sucinya. Poligami memang hak
tetapi hati yang terluka akibat kasih dikhianati
itu bukan hak. Kita harus faham hati dan 
perasaan seorang wanita.


Maruah seorang wanita dalam keluarganya adalah tanggungjawab orang lelaki. Seorang lelaki yang baik akan menjadi pelindung kepada wanita-wanita yang berada disampingnya. Mereka sanggup berkorban demi wanita yang disayangi. Mereka sentiasa memandang tinggi kedudukan wanita di sekeliling mereka. Lelaki yang penyayang akan sentiasa membelai wanita yang disayanginya dengan kata-kata indah dan sentuhan lembut pada setiap masa. Mereka sanggup berkorban untuk memberikan yang terbaik untuk wanita yang disayangi. Mereka akan menyediakan rumah kediaman yang lengkap dan selesa ikut kemampuan demi wanita yang disayangi. Mereka tidak akan biarkan wanita yang mereka kasihi mengeluh kesakitan atau merintih kesengsaraan. Itulah kewajiban bagi golongan lelaki kepada wanita-wanita yang ada disisi mereka.

SELAMAT HARI WANITA

Buat semua wanita, saya ucapkan “Selamat Hari Wanita” terutamanya buat arwah ibu saya yang telah menghadap ilahi dan adik-adik wanita saya yang amat saya sayangi. Salam kasih sayang ini juga istimewa ditujukan buat permaisuri hati dan anak-anak yang amat saya sayangi. Hidup ini penuh dengan ujian. Ada masanya ujian itu sukar untuk dilepasi sehingga terhambur kata-kata yang menyakitkan. Percayalah, tiada niat langsung untuk melukakan. Setiap silap yang berlaku, sesal akan menerjah diruang hatiku. Kemaafan kupohon daripada Allah nan satu. Saya mungkin bukan seorang suami, ayah, abang, atau adik yang terbaik namun sebagai seorang lelaki yang punya perasaan dan impian, saya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terindah sehingga ke akhir hayat saya. Buat semua lelaki, wanita merupakan segala-galanya untuk kita. Jagailah wanita-wanita yang hidup bersama kita. Jangan guris hati mereka. Jangan sakiti mereka. Jangan jadikan mereka hamba abdi. Jangan jadikan mereka mangsa ‘tangan’ dan ‘kaki’. Sekali kita memilih mereka sebagai teman, biarlah hubungan itu terjalin hingga ke hujung nyawa. Langit kehidupan kita bersamanya jangan diwarnai dengan titisan warna gelap dan suram. Sesungguhnya, mereka tidak kuat untuk menghadapi penderitaan dan kesengsaraan. Hadiahkan kebahagiaan dan kesenangan buat mereka. Jadilah lelaki sejati untuk mereka. Jadilah lelaki yang dirindui. Jadilah lelaki yang disayangi. Jadilah lelaki yang dikasihi. Jadilah lelaki yang dirindui. Lelaki yang terbaik ialah lelaki yang tahu hak seorang wanita.

Jika suatu hari kita kehilangan wanita yang paling kita
sayangi, kasihi dan cintai. Kita akan rasa betapa
kosongnya hati dan sunyinya jiwa. Kita akan
merindui saat-saat indah bersamanya tetapi
semua itu tidak bisa berulang kembali
kerana dia telah pergi buat
selama-lamanya. 

Hargailah Wanita selagi hayatnya ada!








Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

07 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : FACEBOOK, MEDAN UNTUK BERLAGAK, MEMALUKAN ORANG, DAN MENELANJANGI MARUAH DIRI


Amat jarang kita membaca post yang dikongsikan di Facebook berkaitan dengan kejayaan seseorang yang boleh diteladani oleh orang lain. Mereka lebih suka berkongsi tentang berita-berita sedih, meluahkan rasa marah, dan berbohong tentang diri mereka. Mereka menagih simpati dan pujian daripada orang lain. Mereka umpama pengemis kasih sayang dan perhatian. 


Saban hari, apabila kita membuka Facebook, kita akan membaca pelbagai luahan perasaan rakan-rakan Facebook kita. Ada yang melucukan. Ada yang menggembirakan. Ada yang membuat kita rasa marah. Ada yang membuat kita rasa jijik dan meluat. Pelbagai perasaan akan muncul di minda kita setelah membaca pelbagai status yang ditulis di Facebook. Seorang pelajar yang dimarahi oleh guru kerana salah faham atau kesilapan yang dilakukan di dalam kelas, apabila balik ke rumah, pelajar tersebut akan meluahkan rasa marahnya sama ada dalam bentuk sindiran atau cacian. Begitu juga dengan seorang pekerja yang tidak puas hati dengan Ketua Jabatan, mereka akan meluahkan semua yang terbuku di hati dengan menulis status di Facebook. Semakin banyak komen yang menyokong diberikan oleh pembaca, makin banyak ‘reply’ yang akan dilakukan oleh yang membuat status. Pembaca pula terlalu percaya dengan perkara yang diulas atau dinyatakan di Facebook.

TAK TAHU MALU

Saya sendiri paling meluat dan kadang-kadang geli apabila melihat orang selalu menayangkan gambar muka mereka yang sudah diedit dengan Camera 360. Golongan yang saya gelarkan “Bidadari” di Facebook tetapi “Pontianak” di alam nyata ini, kadang-kadang tidak sedar diri wahal mereka ada cermin di hadapan muka. Gambar yang ditayangkan pula, dihiasi dengan kata-kata yang memuji diri atau menggunakan bahasa sindiran (tetapi bermaksud memuji diri), kononnya mereka masih muda walaupun sudah berumur 40-an atau 50-an. Satu lagi perkara yang biasa kita baca di Facebook kawan-kawan kita ialah mereka menjadikan Facebook sebagai medan untuk melepaskan kemarahan. Mereka marah sesiapa sahaja, termasuk memarahi ibu bapa dan ahli keluarga, suami, isteri dan anak-anak mereka sendiri. Kata-kata yang ditulis memang menyalahkan orang, dia sahaja yang betul! Dia akan semakin riak apabila statusnya mendapat banyak “like” daripada sekumpulan rakan yang bersetuju dengan kenyataan mereka itu. Jika ada yang menasihati atau membetulkan, maka dia akan lawan bersungguh-sungguh. Yang peliknya, apabila berdepan mata, dia diam 1000 bahasa tetapi di Facebook dialah maharaja, dialah maharani.

Kelahiran generasi ‘tak tahu malu’ ini semakin hari semakin bertambah populasinya. Mereka ini terdiri daripada pelbagai lapisan umur dan kedudukan dalam masyarakat. Apabila bergaduh atau bercerai, Facebook akan dijadikan medan untuk berbalas-balas komen sehingga mengakibatkan pergaduhan yang maha dahsyat di alam maya. Mereka tidak tahu, mereka sebenarnya menelanjangi keburukan diri sendiri. Makin banyak ‘like’ makin rendahlah maruah mereka. Makin banyak komen yang dibalas maka makin banyaklah keburukan yang ditayangkan kepada umum. Apakah mereka tidak sedar? Pelajar yang memarahi guru, rakan, atau ibu bapa menggunakan Facebook amatlah berbahaya. Generasi yang ‘pengecut’ sebegini, jika dibiarkan beranak-pinak dalam masyarakat kita, sudah pasti amat sukar untuk kita mara ke hadapan. Mereka yang suka meluahkan rasa tidak puas hati di laman Facebook ini sebenarnya tidak tahu kepentingan agama dalam kehidupan. Mereka melakukannya dengan mengetepikan wujudnya Tuhan.


Golongan yang sebegini sememangnya tidak berfikir panjang dan tidak matang walaupun sudah berusia. Jika duduk di kedai makan, andai makanan lewat dihantar, tidak sedap, atau terlalu sedap, semuanya mesti ditayangkan di Facebook. Apabila hendak melelapkan mata, sebelum mata terlelap, mereka akan swafoto di atas katil, sehingga menayangkan kepada umum perkara yang tidak sepatutnya. Ada yang swafoto tanpa baju (lelaki) atau berpakaian seksi (wanita), tanpa rasa malu mereka akan jadikan gambar-gambar itu sebagai status di Facebook. Apakah rasa malu itu sudah lenyap dari hati nurani manusia pada hari ini? Gambar berpeluk dan bercium dengan teman lelaki yang diselitkan dengan kata-kata cinta seolah-olah dunia ini dia yang punya, bagaikan satu budaya dalam kalangan masyarakat. Apabila putus cinta pula, habis semua perkara yang ada di WeChat dan WhatsApp ditayangkan di Facebook. Video-video yang tidak sepatutnya pula ditayangkan.

MARUAH MANA MARUAH

Jika mereka artis, kita tidak kisah kerana golongan artis memang menjadikan media sebagai medium untuk mengikis maruah diri pada setiap hari. Semakin banyak maruah diri dijaja di media, semakin popularlah mereka. Kejayaan mereka merampas suami atau isteri orang. Kejayaan mereka menayangkan kemewahan, kecantikan, dan kehebatan diri sentiasa menjadi paparan yang menghiasi laman Facebook. Sejak akhir-akhir ini pula, golongan artis (bukan semua) sanggup bergaduh dengan orang awam di Facebook semata-mata demi meraih populariti. Orang biasa tidak perlu menjadi seperti mereka. Kita tidak dikenali. Kita bukan orang yang diminati. Kita buat seperti artis, hidup kita sendiri yang susah. Orang cuma mampu ketawa, kita pula rugi dan tidak mendapat apa-apa. Orang yang tahu menghargai maruah diri tidak akan sewenang-wenangnya membuat status di Facebook. Perkara-perkara yang memalukan tidak akan mereka kongsikan kerana mereka tahu keburukannya. Golongan ini hanya menggunakan Facebook untuk menayangkan aktiviti terkini yang mereka lakukan. Mereka mungkin ketagih Facebook tetapi mereka tidak tergamak memalukan diri, keluarga dan bangsa di Facebook.


Jika kita meniru cara hidup artis, 
bahtera kehidupan kita tidak akan jelas haluan 
untuk dituju. Akhirnya, bahtera itu akan karam 
di tengah lautan. Hiduplah bersederhana. 
Yang baik kita kongsikan di Facebook. 
Yang tidak baik kita kongsikan dengan Allah.

Maruah tidak boleh dipermainkan kerana maruah merupakan cermin kepada asal usul kita. Maruah mesti dipelihara. Biarpun kita tidak popular tetapi kita masih ada maruah dan harga diri. Jangan jadi seperti segelintir manusia, mereka popular, mereka dipuja, dan dikenali ramai, tetapi maruah mereka sudah lama hancur berderai bagai kaca terhempas ke batu. Mereka sudah lama hilang nikmat hidup kerana maruah mereka telah lama dilucut dan disemadikan. Bagi golongan lelaki yang melakukan prodi menyerupai perempuan, mereka memang tahu perkara yang dilakukan itu berdosa. Dosa itu melibatkan ibu bapa mereka. Mereka tetap juga melakukannya. Kenapa? Jawapannya, sebab mereka sudah tiada maruah dan harga diri. Hakikat ini memang payah untuk ditelan tetapi itulah kenyataan. Walaupun mereka mungkin mendapat ribuan ringgit kerana dibayar melakukan drama atau prodi sebegitu, maruah mereka sebenarnya telah lama hilang.

SIAPAKAH YANG BERSALAH?

Jika kita yang memperlakukan diri kita sebegitu, yang bersalah itu kita sendiri. Mengapakah kita harus menyalahkan orang lain? Kita yang memviralkan kesilapan diri kita kepada masyarakat umum. Jika masalah itu tersebar luas, kita terpaksalah menanggung malu atau dikenakan tindakan (andai kita menghina seseorang sewenang-wenangnya). Ada akal, gunalah akal. Jangan letak akal di lutut. Semua manusia ditakdirkan boleh berfikir. Berfikirlah secara matang sebelum menulis sesuatu dalam Facebook. Kita harus ingat, setiap ciptaan manusia yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia. Ingatlah, daripada status yang kita tulis, orang boleh tahu siapakah diri kita? Kadang-kadang perkara yang kita tulis itu menjadikan kita terperangkap di suatu sudut gelap yang menghalang setiap pandangan kita untuk kembali ke pangkal jalan. Jangan mencari populariti menggunakan cara yang salah! Tuhan sentiasa menghakimi dan menghukum. Ingatan pada-Nya, jangan dipersia-siapak.


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

06 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : SIBU JAYA BE THE BEST, BEAT THE REST. UH HA!


Setiap hari apabila saya menyaksikan para atlit yang akan mewakili sekolah menjalani latihan di padang sukan SMK Sibu Jaya, hati saya selalu tersentuh, saya yakin dan percaya mereka merupakan pelajar-pelajar yang amat berdisiplin dan berkeperbadian mulia. Mereka sentiasa menepati masa. Apabila disuruh berlari, mereka akan berlari. Apabila disuruh rehat mereka rehat. Apabila disuruh panaskan badan mereka pun melakukannya. Mereka patuh kepada semua arahan. Mereka dengar nasihat dan turut segala kemahuan. Para jurulatih yang terdiri daripada guru-guru yang komited tidak pernah jemu memberikan tunjuk ajar demi memastikan mereka mampu bersaing dalam kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sibu Tahun 2017. Hati saya berkata, kalaupun kami bukanlah Juara dalam pertandingan itu nanti, saya dan warga sekolah perlu berbangga kerana kami berjaya membentuk jiwa mereka agar berani dan yakin untuk menghadapi apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang.

Sepanjang berada di SMK Sibu Jaya sedikit demi sedikit tanggapan serong masyarakat yang menusuki telinga mulai lenyap bersama bukti-bukti yang terpatri nyata di tugu realiti. Dalam kalangan 2200 orang pelajar yang menjadikan SMK Sibu Jaya sebagai tempat menimba ilmu, 99% merupakan pelajar-pelajar yang baik dan berkeinginan tinggi untuk maju ke hadapan. Mereka amat menghormati guru dan pentadbir sekolah mahupun saksama mereka. Bibir mereka sentiasa mengukir senyuman dengan lafaz salam “Selamat Pagi” atau “Assalamualaikum”. Mereka sentiasa datang awal ke sekolah. Bagi yang ditugaskan sebagai Pengawas Sekolah, mereka sentiasa amanah dan berhemah dalam menjalankan tugas. Tanggungjawab yang terpikul di bahu sentiasa digalas dengan penuh yakin dan tabah. Mereka kelihatan amat berdikari. Mereka tidak pernah menagih pujian atau sanjungan daripada mana-mana pihak walaupun mereka sewajarnya mendapat pengiktirafan sebegitu ataupun lebih daripada itu. Sikap ringan tulang yang mereka tunjukkan amat membanggakan. Semasa perhimpunan sekolah atau mana-mana acara yang diadakan kerjasama yang diberikan oleh pelajar amat baik. Mereka tidak perlu diarah. Mereka hanya perlu diberitahu. Segalanya beres dilaksanakan. Segalanya selesai dilunaskan.


Hampir keseluruhan pelajar yang menuntut di sekolah ini bukanlah anak orang berada. Mereka datang dari keluarga yang serba kekurangan dan bergelut dengan kemiskinan tetapi mereka mampu datang ke sekolah kerana mereka tahu hanya dengan memilih jalan itu mereka dapat mengubah nasib keluarga. Pelajar yang sedar akan tanggungjawab dan tujuan mereka datang ke sekolah ini, amat berdikari dalam semua perkara. Saya tidak menafikan, sebagai sebuah sekolah yang dihuni oleh 2200 orang pelajar, masalah sentiasa wujud di mana-mana tetapi semuanya dapat diselesaikan dengan jayanya, sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula pelajar yang terpaksa duduk berhimpit-himpit dalam sebuah kelas yang sempit. Pepatah Melayu ada mengatakan, rambut sama hitam, hati lain-lain. Orang dewasa yang sudah beruban di kepala pun masih ada yang tidak patuh kepada undang-undang negara, inikan pula pelajar yang baru berumur setahun jagung, darah masih setampuk pinang! Namun begitu, jangan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman kepada semua orang hanya kerana dua tiga yang telinga lintah di alma meter kami.

SAYA SEPERTI MEREKA

Sewaktu menjejakkan kaki ke sekolah ini, saya bagaikan kembali ke zaman persekolahan saya dahulu. Saya merupakan anak pedalaman yang hidup serba kekurangan dan tidak sedar langsung tentang kepentingan pelajaran serta tidak faham masa depan. Saya hadir ke sekolah tanpa tahu cita-cita dan idola. Saya hadir ke sekolah hanya kerana takut dimarah oleh ayah yang garang dan ibu yang kuat berleter. Apabila bersekolah, saya sering mendapat tempat pertama tetapi sehingga ke tahun enam saya tak pernah rasa gembira. Hadiah pensil dan buku yang saya dapat saya bawa balik ke rumah. Ibu dan ayah tidak pernah mengucapkan tahniah. Hanya sesekali terdengar, perbualan orang-orang tua yang mengatakan saya pandai tetapi saya tidak terpersona dengan pujian itu kerana saya tidak tahu dan tidak mahu datang ke sekolah. Impian saya hanya ingin menjadi petani dan pemburu sehebat ayah. Oleh itu, saya selalu pergi ke hutan dengan ayah. Saya diajar bermacam-macam perkara. Sampai berdarah betis saya dipukul jika tidak tahu memasang jerat dan sebagainya. Kata ayah, nak hidup kena pandai buat semua itu. Kalau tak pandai, saya tak boleh hidup, tak boleh makan. Pernah suatu hari ayah suruh saya tangkap ikan pada waktu malam, saya katakan saya takut dimakan "hantu", ayah marah sungguh, tanpa sedar kepala saya dipukul dengan kayu. Arghhh, sakitnya. Saya menangis dan dihukum balik ke rumah berjalan kaki sejauh 10 kilometer (anggaran). Dengan ayah saya tidak boleh kata tidak. Dia suruh pikul padi seguni, saya kena pikul. Akan tetapi, masa itu saya kuat. Cuma apabila sudah berusia baru nampak kesannya, saya selalu sakit punggung. Saya tidak mahu jadi doktor. Saya tidak mahu jadi lawyer. Sesekali saya memasang angan menjadi penyanyi seperti Jamal Abdillah, lalu saya alunkan lagi “Kau Lupa Janji” dan “Ke mana Ku Bawa Hati Yang Rindu” tetapi suara saya selalu mengundang hujan (kata rakan-rakan), sehingga menyebabkan kami bergaduh angkara keinginan hati yang tak sedar diri itu.

Hidup dalam kemiskinan tidak sesekali membuatkan saya rasa malu dan segan kerana saya tidak pernah ambil tahu kehidupan orang kaya dan berada. Saya pun tidak pernah bercita-cita untuk menjadi orang kaya. Yang saya ingat, apabila saya mahu balik ke sekolah, saya terpaksa memikul seguni atau dua guni lada hitam untuk dijual di pekan Song. Jika harga jualannya RM400 maka jumlah itulah belanja sekolah yang saya bawa. Semasa menuntut di SMK Katibas, saya dan rakan-rakan agak lasak. Kami sanggup menyeberangi "Lubuk" yang dalam untuk mengumpul "buah engkabang". Makin banyak dikumpul makin kami suka sebab makin banyak duit yang kami dapat. Buah itu kami jemur dan setelah kering kami jual. Saya tidak pernah fokus kepada pelajaran tetapi saya punya anugerah Tuhan yang amat istimewa iaitu kebolehan mengingat yang tinggi. Dalam peperiksaan saya selalu berada dalam kelompok 10 pelajar terbaik. Dari dahulu saya memang pandai dalam subjek Bahasa Melayu. Karangan saya selalu dibaca oleh guru untuk dijadikan contoh. Saya suka mengarang bahasa yang indah-indah. Minat mengarang ini makin terserlah semasa berada di Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. Saya mula berani menghantar hasil penulisan saya ke majalah dan akhbar. Ada yang dibayar, ada yang tidak. Dapatlah duit belanja sekolah. Alhamdulillah. 


Apabila memasuki alam sekolah menengah, saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang nakal-nakal. Walaupun saya ditempatkan di kelas yang terbaik tetapi saya selalu ponteng dengan seorang kawan saya. Semasa di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, saya lebih banyak bermain daripada mengulangkaji pelajaran. Ibu bapa saya tidak pernah ambil tahu prestasi dan kebajikan diri saya. Mereka berada di nun jauh di hulu sungai Katibas. Saya pula amat jarang balik ke kampung sebab tidak cukup belanja. Hidup hanya mengharapkan nasi, lauk dan roti di asrama. Saya mula tahu berfikir setelah lulus dalam SPM dan masuk ke Tingkatan Enam. Cita-cita saya hanya satu iaitu mahu menjadi guru. Niat kasihkan keluarga mula menjelma di minda. Saya mahu bantu ibu dan ayah sekolahkan adik beradik yang masih kecil. Alangkah lambatnya saya sedar tentang tujuan saya datang ke sekolah. Mungkin disebabkan asal usul dan persekitaran tempat saya membesar melewatkan kematangan saya untuk berfikir pada ketika itu.

Situasi saya dengan pelajar-pelajar di SMK Sibu Jaya tidak jauh bezanya. Mereka ialah saya. Saya ialah mereka. Mereka perlukan perhatian. Mereka perlukan sokongan. Mereka perlukan kasih sayang. Saya yakin, suatu masa nanti mereka mampu merealisasikan mimpi jadi realiti andai kita tidak terlalu menghukum dan menjatuhkan hukuman terhadap salah dan silap mereka sebagai anak remaja yang adakalanya tersungkur di lembah kedangkalan dek kenakalan. Saya mohon, ibu bapa agar dengarkan luahan hati serta rintihan jiwa anak-anak remaja mereka agar terlepas segala sengsara yang membalut minda muda mereka. Jangan terlalu diberikan kebebasan kerana kebebasan yang melampau akan menghanyutkan anak-anak yang masih di bangku sekolah ke lembah hedonism yang menghayalkan. Perhatian yang terlalu longgar akan menyebabkan mereka tak sedar bahawa keseronokan yang dinikmati dalam seminit dua boleh menghancurleburkan impian mereka selama-lamanya.


Anak-anak seperti saya dan mereka perlukan suntikan semangat berjuta-juta kali kerana ruang kesedaran amat dalam untuk digali. Anak-anak seperti ini, jiwanya terlalu sensitif dengan pelbagai perkara kerana sering kehausan motivasi dan rangsangan daripada insan-insan yang mereka hormati dan kasihi. Mereka mungkin mudah melawan tetapi air mata mereka amat murah jika kata-kata kita meresap ke hati mereka sehingga kita sendiri kadang-kadang tersentuh. Saya percaya, bukan saya dan mereka sahaja yang senasib dan sejiwa sebegini, jutaan lagi yang seperti kami berada di sekeliling masyarakat di segenap empat penjuru negara ini.

SEMUA KITA SAMA

Semua sekolah di Malaysia ini adalah sama. Semua guru di Malaysia ini adalah sama. Semua pelajar di Malaysia ini adalah sama. Kita datang daripada sebuah keluarga yang melahirkan dan membesarkan kita. Cara didikan dan asuhan mungkin berbeza tetapi saya percaya tidak ada ibu bapa yang bercita-cita melahirkan anak-anak yang gagal dalam hidup. Begitulah juga dengan guru. Impian setiap guru adalah sama. Mereka mahu melahirkan generasi yang terbaik untuk Malaysia. Tanggapan bahawa guru sekolah ini malas dan guru sekolah ini rajin merupakan tanggapan yang tidak matang sebab terpengaruh dengan ranking peperiksaan bukannya ranking kemenjadian pelajar selepas menamatkan alam persekolahan. Jangan diukur kejayaan sebuah sekolah berdasarkan jumlah doktor atau peguam yang dihasilkan kerana adakalanya seorang buruh kasar mempunyai hati yang amat suci dan mulia jika dibandingkan dengan pemegang ijazah Doktor Falsafah dari universiti terkemuka. Kadang-kadang kita membuat tanggapan melulu dan tidak berasas kerana kita melihat masa lalu tetapi kita tidak tahu sesuatu yang kita pandang sentiasa berubah dengan sekelip mata. Manusia bukanlah hakim terbaik kerana cara mereka menghakimi terkadang penuh dengan emosi, Allah juga penilai yang sempurna dan penilaian Allah tidak ditunjukkan di alam nyata.


Hidup sebagai orang miskin tidak 
menjadikan saya lemah.
Saya tidak pernah menangis jika 
tiada duit yang banyak.
Saya tidak malu memakai baju yang murah.
Saya sentiasa bahagia dan sejahtera.
Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga
kenapa saya tidak ditakdirkan dilahirkan dalam 
sebuah keluarga yang kaya tetapi
hati saya memarahi, syukurlah
kau ada keluarga, kau ada ayah, kau ada ibu
kau ada adik-adik, kau dilahirkan sempurna
walau tak tampan tetapi kau kena percaya
Tuhan akan keluarkan juga kau dari
sangkar kemiskinan itu. Yang penting, kau
jangan lupakan asal usulmu. 






Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

04 Mac 2017

CATATAN CIKGU ZUL : GURU BANYAK CUTI, TANGGAPAN SALAH MASYARAKAT YANG TAK “SEKOLAH”.



Bersama Jurulatih Utama BM STPM Negeri Johor, 
Cikgu Noraini, Cikgu Siti Ainon, dan Cikgu Zulaika 

Cuti merupakan suatu perkara yang sering dikaitkan dengan golongan guru apabila berbual dengan masyarakat yang bukan guru. Dalam penerbangan dari Sibu ke Kuala Lumpur beberapa minggu yang lepas saya duduk bersama dengan seorang lelaki yang sungguh mesra dan ceria. Saya bukanlah jenis orang yang suka berbual-bual semasa menaiki kapal terbang. Saya lebih suka menggunakan masa yang ada untuk menyiapkan pelbagai perkara yang selalu dilakukan oleh guru-guru. Kalau terlalu letih, saya akan pejamkan mata dan tidur. Walau bagaimanapun, pada hari itu saya terpaksa melayan karenah lelaki yang duduk bersebelahan dengan diri saya. Perbualan kami berlanjutan agak lama sehingga menyentuh tentang kerjaya masing-masing. Sebaik sahaja saya menyebut kerjaya saya “guru” lelaki itu terus berkata, “Cikgu kuat untung, banyak cuti, gaji tinggi, kerja sikit”. Pada masa itu, darah guru yang mengalir dalam tubuh saya tiba-tiba mengeledak panas walaupun suhu dalam kapal terbang pada masa itu dalam lingkungan 23 darjah celsius. Namun begitu, saya tidak marah, saya sambut kata-katanya dengan senyuman kerana saya tahu bukan dia seorang yang bertanggapan sebegitu, ramai lagi masyarakat di luar sana sepertinya.

“Bagi guru yang rajin dan bertanggungjawab, istilah ‘cuti’ memang tiada dalam kamus hidup mereka. Masa mereka dihabiskan untuk melakukan tugas-tugas mendidik dan mengajar sehingga mengabaikan nikmat hidup untuk bersosial”

PERGI SEKOLAH TETAPI BUTA


Lelaki itu merupakan seorang kakitangan awam yang bertugas di ibu kota. Orangnya berpangkat. Beliau datang ke Sibu atas urusan sebagai orang penting di jabatannya. Namun sayang 1000 kali sayang, orang seperti beliau tidak faham tentang tugas seorang guru. Saya anggap golongan seperti beliau ini sebagai orang yang bijaksana tetapi ‘buta’ sebab sepanjang alam persekolahannya dia tidak nampak kerja yang dilakukan oleh guru-gurunya di sekolah. Masyarakat yang beranggapan guru banyak cuti ini merupakan golongan yang tidak pernah membuka mata tentang tugas-tugas seorang guru. Mungkin mata mereka melihat tetapi otak mereka tidak dapat berfungsi dengan baik untuk mentafsir perkara yang guru lakukan semasa mereka berada di alam persekolahan sehinggalah mereka berjaya dan menjawat jawatan tinggi di pelbagai jabatan. Mereka rasa ego dan angkuh. Golongan ini apabila bercakap tentang pelbagai hal dunia memang bijaksana tetapi apabila dibukakan topik tentang guru, yang mereka tahu cuma hal-hal negatif tentang guru. Mereka langsung tiada ilmu atau perkara yang baik-baik tentang guru wahal mereka diasuh dan dididik oleh golongan guru. Golongan yang paling banyak berjaya kepada hidup semua manusia. Arketik yang memanusiakan mereka dari kecil hingga dewasa.

Apabila orang memberikan tanggapan yang salah tentang cuti sekolah dan mengaitkannya dengan guru, saya memang marah kerana selama menjadi guru saya tidak tahu waktu bilakan saya bercuti. Ribuan guru di seluruh Malaysia pun merasai perkara yang sama. Setiap hari, semua guru akan  bangun pada pukul 5:00 pagi dan pada pukul 6:30 pagi mereka kena berada di sekolah untuk melakukan pelbagai perkara bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lancar dan kondusif. Pada ketika itu, masyarakat yang bukan guru kecuali suri rumah masih tidur berdengkur kerana waktu pejabat mereka bermula pada pukul 8:00 pagi. Walaupun sesi persekolahan habis pada pukul 1:45 petang, selepas pelajar-pelajar balik ke rumah, masih ramai lagi guru yang terkejar-kejar waktu untuk melakukan pelbagai perkara. Ada yang perlu mengadakan kelas tambahan, melatih atlit wakil sekolah, menghadiri mesyuarat, menghadiri LADAP, menyelesaikan masalah disiplin pelajar, dan menyemak buku latihan pelajar. Apabila tidak dapat disiapkan disekolah, guru-guru kena membawa kerja-kerja mereka balik ke rumah untuk disiapkan sehingga lewat malam. Apakah ini yang dikatakan oleh masyarakat “guru banyak cuti”?


Bagi golongan guru yang ditugaskan menjadi guru penasihat kepada beberapa program yang dipertandingkan seperti perbahasan, drama, pidato, bicara berirama, tarian, nyanyian, istilah cuti memang tiada dalam kamus hidup mereka. Mereka menghabiskan banyak masa melatih pelajar-pelajar yang bakal mewakili sekolah dari Isnin hingga Ahad. Mereka sanggup mengorbankan hari hujung minggu mereka di sekolah, bahkan ada yang membawa anak-anak mereka sendiri. Bagi golongan guru yang mementingkan pencapaian pelajar dalam subjek yang diajar, mereka menghabiskan masa mengadakan pelbagai kelas tambahan atau “klinik pemulihan dan pengayaan” untuk pelajar-pelajar mereka. Masyarakat nampak semua ini kerana anak mereka selalu sahaja dipanggil ke sekolah oleh guru-guru yang terbabit. Akan tetapi, mereka masih juga mengatakan guru banyak cuti kerana mereka kurang ilmu tentang golongan guru. Yang banyak cuti itu mereka. Mereka cuma bekerja dari pukul 8:00 pagi hingga pukul 5:00 petang. Kerja di pejabat tidak di bawa balik ke rumah. Datang di rumah mereka terkangkang melayang drama di televisyen sehingga ada yang menangis dan ketawa sampai tak ingat dunia. Esok drama hidup mereka berulang begitu lagi tetapi perjalanan hidup insan yang bergelar guru tidak sebegitu.

NIKMAT CUTI TAK PERNAH DIRASAI


Saya akui golongan guru merupakan golongan pejawat awam terbanyak di mana-mana negara sekalipun. Di mana ada sekolah disitulah ada guru. Mungkin ada masyarakat yang terjumpa dengan rakan-rakan mereka yang berjawatan sebagai guru sedang memancing, berjogging, atau shopping itu bukan bermakna mereka banyak cuti. Ramai lagi golongan guru yang bergelut dengan masa untuk menyiapkan pelbagai kerja yang diarahkan oleh pihak atasan sehingga tidak sempat mandi atau berus gigi sebaik sahaja membuka mata pada setiap pagi. Pada cuti sekolah, pelajar memang bercuti tetapi ribuan guru pula terpaksa mengorbankan waktu menjadi pemeriksa kertas peperiksaan atau membawa pelajar menyertai pelbagai kem atau perkhemahan. Itulah nasib seorang guru. Hanya masyarakat yang pernah bersekolah dan betul-betul bersekolah semasa berada di alam persekolahan mereka yang memahami tugas guru. Bagi yang bersekolah, tetapi tidak pernah memandang pengorbanan guru-guru mereka dengan mata hati, sampai ke usia tua pun mereka tidak akan faham tugas guru kerana mereka tidak pernah menyelam istimewanya hidup seorang guru.

“Jika nak tahu guru banyak cuti atau tidak, luangkan masa bersama guru-guru anda selama 48 jam. Perhatikan setiap perkara yang mereka lakukan. Saya percaya, selepas itu anda akan mengubah persepsi tersebut kerana guru sebenarnya tidak pernah bercuti”

Tanggapan negatif masyarakat bahawa guru banyak cuti adalah salah. Sebenarnya bukan guru yang bercuti. Yang bercuti cuma pelajar bukannya guru. Guru masih bergelut dengan pelbagai kerja yang diarahkan oleh pihak atasan sewaktu pelajar bercuti. Walaupun guru mungkin tidak datang ke sekolah tetapi percayalah hampir 95% guru-guru ini terus memberikan komitmen terhadap tugas-tugas mereka di rumah. Dalam hal ini, amatlah tidak adil untuk melabelkan guru banyak cuti. Masyarakat harus faham, dalam setandan pisang tidak semuanya baik untuk dijadikan santapan. Mungkin ada dua hingga tiga biji pisang yang perlu dibuang kerana sudah terlalu masak atau buruk. Pisang yang sebegitu tidak boleh dimakan. Begitulah juga dengan golongan guru, disebabkan golongan ini merupakan bilangan pejawat awam yang teramai, saya tidak menafikan ada guru yang sibuk melakukan kerja-kerja sampingan di luar waktu persekolahan dan pemalas. Akan tetapi, mereka yang bersikap sebegitu amatlah sedikit dan pembawaan mereka tidak melambangkan semua guru sebegitu. Ribuan guru di Malaysia masih memberikan yang terbaik untuk tugas-tugas mereka.

"Orang yang suka bercuti ini terdapat di mana-mana, bukannya golongan guru sahaja. Kebanyakan golongan ini merupakan golongan yang pemalas, sebab itu mereka suka memohon cuti. Dalam kalangan guru pun begitu, mungkin yang kelihatan terlalu senang dan sentiasa berlenggang-lenggang itu guru yang pemalas dan tidak melakukan tugas dengan sempurna. Mereka tidak mewakili semua guru yang lain di bumi Malaysia bertuah ini. Anggap sahaja golongan ini sebagai golongan "sakit" yang perlu dirawat."


Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak

03 Mac 2017

PERTANDINGAN DEBAT GURU DAN DEBAT KOMUNITI TAHUN 2008


Debat Guru 2008
Cikgu Giyong dan Cikgu Zambri Zainal
Wakil Bahagian Sibu

Pada tahun bulan Mac 2008, saya terpilih mewakili Bahagian Sibu untuk mewakili Jabatan Pendidikan Sibu dalam Debat Guru. Pasukan saya terdiri daripada Cikgu Zambri Bin Zainal (SMK Sacred Heart) dan Cikgu Giyong (SMK Bawang Asan). Kemi berjaya melepasi pusingan ketiga dalam pertandingan yang menghimpunkan semua guru yang mahir bebahas di Sarawak. Pertandingan itu berlangsung selama 4 hari di Eastwood Valley Golf & Country Club, Miri. 


Debat Komuniti 2008
Saya pendebat ketiga pasukan pencadang

Pada bulan Ogos pula, saya terpilih sekali lagi mewakili Bahagian Sibu dalam Debat Komuniti anjuran Jabatan Penerangan Malaysia. Saya terpilih mewakili Negeri Sarawak di peringkat kebangsaan yang berlangsung di Kuala Pilah Negeri Sembilan. 




Debat Komuniti Kebangsaan 2008


Saya mewakili Sarawak bersama dua peserta dari Limbang

CATATAN CIKGU ZUL : SESAYUP MATA MEMANDANG, LUAHAN RINDU BUAT PANITIA BAHASA MELAYU DI SMK SACRED HEART


Bersama Chia Wee Lung, Pemidato SMK Sacred Heart yang saya latih.
Pelajar yang pendiam dan amat berdisiplin. Kini, menjadi seorang guru. 
Gambar ini semasa saya masih mengalami masalah obesiti


Selepas 7 bulan  berhijrah ke stesen baharu, ingatan saya terhadap rakan-rakan guru Bahasa Melayu di SMK Sacred Heart masih segar seperti dahulu. Hati dan jiwa saya masih mengingati setiap detik-detik indah sewaktu kami masih bersama sebagai sebuah keluarga besar yang sentiasa mesra dan tidak pernah jemu bekerjasama. Walaupun kami berlainan bangsa, kepercayaan dan agama tetapi jalinan ikatan silaturrahim antara kami amat kukuh tanpa dibayangi oleh rasa curiga yang boleh membunuh impian dan cita-cita kami untuk menaikkan imej Panitia Bahasa Melayu. Jambatan kerjasama yang menghubungkan hati suci kami tidak pernah rapuh biarpun beban yang ditanggung amat berat tetapi kami sama-sama memikulnya tanpa keluhan dan rintihan kesakitan. Saat duka kami menangis bersama. Saat gembira kami ketawa bersama. Seorang hilang semua merindu. Seorang pergi semua menunggu. Rapatnya kami bagai isi dengan kuku. Hari-hari yang kami lalui merupakan hari-hari yang indah kerana kerjasama berpasukan yang kami amalkan sudah sebati di nurani kami.

Bahasa Melayu merupakan subjek yang sentiasa mendapat perhatian di sekolah kami jika dibandingkan dengan subjek-subjek yang lain. Jika di sekolah lain, orang sibuk meningkatkan prestasi dalam subjek Matematik, Sains, Perakaunan, dan sebagainya, di sekolah kami subjek Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris menjadi keutamaan. Pelajar-pelajar sekolah kami lemah dalam subjek ini. Di sekolah kami, pelajar paling lemah pun akan mendapat A+ dalam subjek Matematik tetapi tidak dalam subjek Bahasa Melayu. Mereka inilah yang perlu kami jaga bagai menatang minyak yang penuh. Kami tidak mahu guru subjek lain akan bersedih kerana mereka gagal subjek Bahasa Melayu. Pelajar-pelajar ini kami kumpulkan kepada 4 kelompok utama.

Kelompok 1 : Pelajar cemerlang (70 - 100 markah)
Kelompok 2 : Pelajar Sederhana (50 - 69 markah)
Kelompok 3 : Pelajar lemah (25 - 49 markah)
Kelompok 4 : Pelajar potensi gagal (0 - 24 markah)

Pelajar yang berada dalam kelompok 4 ini kami akan pastikan bilangan mereka tidak akan melebihi 15 orang untuk memastikan peratusan sekolah tidak jatuh daripada 90% dalam peperiksaan awam. Pelajar dalam kelompok 1 pula akan kami bantu untuk mendapatkan Gred A dan A+. Kelompok 2 dan 3 tidak pernah kami anaktirikan, mereka sentiasa diberikan galakkan untuk melonjak masuk ke kelompok 1. Semakin banyak pelajar dalam kelompok 1 semakin lebarlah senyuman kami. Senyuman yang tidak kami tontonkan kepada umum. Kami hanya akan tersenyum sebaik sahaja keputusan peperiksaan diumumkan. 

TUHAN TIDAK AKAN BIARKAN KAMI MENANGIS

Akan tetapi, apabila keputusan peperiksaan awam diumumkan Panitia Bahasa Melayu SMK Sacred Heart tidak pernah menghampakan. Hasil usaha yang padu dan jitu yang kami jalinkan tanpa mengira pangkat dan kedudukan sentiasa membuahkan hasil yang membanggakan. Akan tetapi, segala yang indah hanyalah sementara. Kini, seorang demi seorang kami pergi meninggalkan sekolah itu untuk memulakan hidup baru di sekolah lain. Sesekali teringat, ingin rasanya kaki melangkah masuk semula tetapi apakan daya segala percaturan ini sudah ditentukan oleh-Nya. Hanya doa-doa sahaja yang mampu dikirimkan kepada rakan-rakan yang masih tinggal untuk teruskan perjuangan. Saya percaya, asas fundamental yang terbina sudah terlalu kukuh. Siapa-siapa pun yang tinggal dan siapa-siapa pun yang melangkah pergi Panita Bahasa Melayu SMK Sacred Heart tetap unggul di persada jaya. Jika jatuh, jatuhnya tidaklah di bawah sekali. Jika luka, lukanya tidaklah sampai bernanah. Jika tersadung kaki, tidaklah sampai mencederakan diri sendiri. Mereka sudah lali dengan pelbagai ujian demi ujian yang didepani.

KETUA PANITIA BAHASA MELAYU

Sepanjang berkhidmat di SMK Sacred Heart saya pernah memegang jawatan ini selama beberapa tahun. Saya mengambil alih jawatan ini daripada seorang guru yang amat rajin dan komited iaitu Cikgu Nurul Huda Binti Abdul Wahid. Sekarang beliau mengajar Bahasa Melayu Tingkatan Enam di Negeri Sembilan. Beliau banyak memainkan peranan menyatukan kami. Senyuman manis beliau sentiasa menceriakan hari-hari kami yang indah. Terima kasih Cikgu Nurul Huda!

Walaupun saya merupakan ketua panitia, rakan-rakan guru Bahasa Melayu sentiasa memberikan sokongan dan tunjuk ajar tentang banyak perkara. Saya masih ingat bagaimana kami bersusah payah melatih pelajar dalam pelbagai aktiviti sokongan kokurikulum untuk menaikkan imej Panita Bahasa Melayu. Saya sendiri memegang tanggungjawab sebagai guru yang melatih pelajar dalam Pertandingan Pidato Piala Diraja. Saya latih seorang pelajar pintar bernama Chia Wei Lung, yang merupakan kacukan Cina dan Iban untuk berpidato. Setiap hari saya luangkan masa 1 hingga 2 jam untuk mengajar dia cara-cara menyampaikan pidato dengan betul dan berkesan. Saya habiskan masa berhari-hari untuk membina teks pidato menggunakan bahasa yang indah-indah dan bombastik. Hasilnya, Chia Wei Lung berjaya menjuarai pertandingan Pidato Piala Diraja sepanjang dua tahun berturut-turut di Bahagian Sibu dan negeri Sarawak. Saya sendiri pula diberikan penghargaan dalam Hari Ucapan untuk menerima anugerah Guru Paling Aktif Kokurikulum. Kini, Chia Wei Lung telah menjadi seorang guru dan saya berdoa agar dia jadi seorang guru yang baik dan berwawasan tinggi.


SMK Sacred Heart pernah menggegarkan Daerah Sibu sebagai sebuah sekolah lelaki yang sentiasa beraksi di pentas akhir Pesta Pantun Sekolah Menengah di Bahagian Sibu. Kejayaan ini disebabkan komitmen tinggi Cikgu Zamri bin Zainal yang berasal dari negeri Sembilan. Sikap rajin beliau amat saya kagumi. Beliau tidak pernah jemu melatih pelajar-pelajar beliau dalam berpantun. Sokongan padu daripada pihak sekolah menjadikan kami bertambah bersemangat untuk sama-sama melatih pelajar dalam pertandingan Pesta Pantun. Walau bagaimanapun, pada tahun 2014, Cikgu Zamri telah meninggalkan kami untuk menjawat jawatan baharu sebagai SISC + di Miri sehingga kini. Pemergian beliau ke Miri kami iringi dengan tangisan.

Sebelum saya, Bidang Bahasa diterajui oleh, Cikgu Freddie Anak Benang. Beliau banyak membantu kami dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar agar berminat belajar subjek Bahasa Melayu. Cikgu Freddie merupakan seorang guru disiplin yang amat komited dan dihormati oleh semua pelajar. Jadi, kami meletakkan beliau mengajar subjek Bahasa Melayu di kelas-kelas yang agak mencabar kerana pelajar-pelajar amat takut dengan beliau. Kebanyakan pelajar-pelajar nakal amat menghormati beliau dan sebab itulah peratusan lulus subjek Bahasa Melayu sekolah kami dalam SPM amat baik disebabkan beliau. Saya masih ingat, semasa mesyuarat Panitia Bahasa Melayu, apabila kami umumkan hanya 5 orang sahaja pelajar boleh gagal di kelas beliau, jarang sangat kedengaran runggutan tetapi suara keyakinan yang beliau lontarkan menjadikan kami semakin bersemangat untuk bekerja. Pada tahun 2014, Cikgu Freddie pun pergi meninggalkan kami untuk menjawat jawatan SISC+ di Bintulu. Kami bagaikan patah sayap perjuangan. Panitia Bahasa Melayu bagaikan berkabung seketika. Kini, Cikgu Freddie menjadi Penyelia Petang di SMK Bintulu. Sekolah besar yang ramai pelajar seperti SMK Sibu Jaya. Sesekali kami berjumpa semasa cuti sekolah, ingatan terhadap rakan-rakan yang masih di SMK Sacred Heart sentiasa meniti di bibir kami.

"Sebelum pemergian saya, kami telah kehilangan seorang guru Bahasa Melayu yang saya gelar sebagai "Perempuan Iban Terakhir", Puan Susan Anak Bala yang berpindah ke SMK Bandar Sibu. Beliau merupakan guru yang amat kami sayangi kerana sifat keibuan dan kelembutannya yang menawan hati. Pelajar-pelajar amat menyayangi beliau"

Kami juga cemerlang dalam Pertandingan Bahasa Ala Parlimen. Kumpulan ini diterajui oleh Guru Cemerlang Bahasa Melayu, Puan Norleza Hossen dan Puan Lai Ai Ngiik bersama-sama Cikgu Kong Mee Ling dan Puan Susan Anak Bala. Kami beraksi di pentas akhir selama beberapa kali dalam Pertandingan Bahasa Ala Parlimen. Kerjasama kami amat baik. Kesibukan yang kami lalui tidak pernah merenggangkan hubungan kami malah kami menjadi semakin rapat seperti adik beradik. Kami tidak pernah cemburu dengan kejayaan sesama sendiri. Yang lama sentiasa membimbing yang baharu. Yang baharu pula tidak pernah jemu belajar dan belajar untuk menjadi guru Bahasa Melayu yang baik. Dalam panitia kami terdapat beberapa orang guru cemerlang Bahasa Melayu iaitu, Cikgu Freddie Anak Benang, Puan Norleza Hossen, Puan Lai Ai Ngiik, dan saya sendiri. Semua ini terhasil disebabkan komitmen jitu dan sokongan padu daripada semua ahli panitia dan pihak sekolah. Saya masih ingat, permohonan pertama saya menjadi guru cemerlang pada tahun 2010, semua guru Panitia Bahasa Melayu menghulurkan bantuan bagi memastikan saya berjaya. Kemudian, pada tahun 2012, saya sekali lagi memohon Guru Cemerlang Gred DG48, sokongan mereka tidak pernah menghampakan. Saya amat terharu mempunyai rakan-rakan sekerja seperti mereka.


“Semasa SMK Sacred Heart diumumkan sebagai sekolah terbaik dalam STPM 2016 kategori sekolah Bandar, saya amat gembira walaupun saya sudah tidak berada bersama-sama mereka kerana aura perjuangan bersama mereka masih kukuh di sanubari saya sehingga ke hari ini”

KETUA BIDANG BAHASA

Orang selalu keliru antara saya, Cikgu Freddie dan Cikgu Frankie. Kami bertiga merupakan kawan baik dan sentiasa bersama-sama di mana-mana sahaja. Orang selalu tersilap memanggil nama kami. Apabila mengenangkan hal ini, saya tersenyum sendirian. Kini, mereka tidak akan silap lagi. Yang tinggal di situ hanya Cikgu Frankie. Saya dan Cikgu Freddie sudah mengucapkan "hai-hai, bey-bey uolss"

Selepas Cikgu Freddie meletakkan jawatan daripada Ketua Bidang Bahasa pada tahun 2009 kerana menjawat jawatan Guru Cemerlang tanggungjawab itu diberikan kepada saya. Peranan saya sebagai Ketua Panitia Bahasa Melayu pula diambil alih oleh Puan Norleza, Puan Susan Anak Bala dan Cik Wong Leh Ping. Kami tetap bekerja dalam suasana yang amat harmoni. Saya masih ingat pada tahun 2012, keputusan PMR Bahasa Melayu sekolah kami mencatat keputusan 98% sehingga menjadi perbualan di seluruh negeri. Kami juga mencatat peratusan yang tidak pernah kurang daripada 90% dalam SPM. Dalam peperiksaan STPM, tidak perlu saya ceritakan kerana STPM merupakan kebitaraan sekolah kami, dan keputusan subjek Bahasa Melayu memang yang terbaik. Tahun-tahun berikutnya kami sentiasa fokus kepada prestasi akademik pelajar. Kami tidak pernah jemu mengadakan kelas tambahan dan Latihan Dalam Perkhidmatan (LDP) untuk guru-guru bahasa Melayu. Saya sendiri sentiasa berkongsi strategi pengajaran bahasa Melayu yang terbaik dengan rakan-rakan pada setiap hari Sabtu.Kami saling membimbing antara satu sama lain. Sedikitpun kami tiada perasaan iri terhadap salah seorang antara kami yang berjaya. Bagi kami, sebuah keluarga yang bahagia memerlukan insan yang berfikiran terbuka. Terbuka kepada kritikan dan teguran membina daripada rakan sejawat.

"Saya akui bahawa saya bukan merupakan seorang Ketua Panitia dan Ketua Bidang yang baik buat anda semua tetapi saya dengan jujur mengakui bahawa saya amat bertuah kerana dapat bekerjasama dengan anda semua. Anda semua mungkin boleh mencari sejuta manusia yang hina seperti saya tetapi saya akui untuk menjumpai guru yang komited dan berwawasan seperti anda semua, amat mustahil bagi saya kerana guru seperti guru-guru Bahasa Melayu SMK Sacred Heart hanya satu dalam sejuta"

INOVASI, PENYELIDIKAN DAN KAJIAN TINDAKAN

Semangat kerja berpasukan yang kami bina dalam Panitia Bahasa Melayu menjadi lebih kuat apabila kami sentiasa menghantar penyertaan dalam Pertandingan Anugerah Guru Inovatif semasa perayaan hari guru. Kami memenangi pertandingan tersebut selama beberapa kali. Yang uniknya, kami jarang menghantar penyertaan secara individu. Kami hantar secara berkumpulan kerana kami mahu naikkan imej Panitia Bahasa Melayu sekolah kami. Begitu juga dalam kajian tindakan dan penyelidikan, kami lakukannya secara berkumpulan dengan berfokuskan kepada teknik-teknik mengajar subjek Bahasa Melayu yang kami implementasikan sendiri di sekolah kami. Apabila membuat pembentangan kami naik pentas dan melakukannya bersama-sama. Semasa mengambil hadiah memenangi pertandingan inovasi kami naik ke pentas bersama-sama. Waktu itu amat indah dan manis bagi kami. Setiap waktu yang berlalu kami nikmati bersama-sama tanpa rasa jemu. Duduk di kantin bersama-sama, sambil menikmati hidangan sarapan pagi kami berbincang tentang TOV, ETR, CGPA dan sebagainya yang berkaitan dengan tugas-tugas kami. Tugas yang berat menjadi ringan apabila kami bahagikan secara sama rata. Anda percaya atau tidak, guru Bahasa Melayu di sekolah kami harus tahu mengajar semua tingkatan, dari tingkatan peralihan hingga ke tingkatan enam! Kenapa? Tepuk dada tanya selera. Semakin banyak yang kita tahu, semakin banyak yang boleh kita sumbangkan, semakin banyak yang boleh kita bantu. Itulah kerjasama tulen dalam sesebuah panitia.

SESAYUP MATA MEMANDANG

Khidmat terakhir saya di SMK Sacred Heart sebagai Guru Bahasa Melayu Tingkatan Enam sentiasa terpahat kukuh di takhta ingatan. Buat tiga orang rakan yang masih tinggal di sana, Cikgu Franky Anak Dana, Cikgu Ting Tiu Sing, dan Cikgu Tiong Tuang Ching, yang terbaik itu akan terus mengiringi perjuangan anda bertiga. Tiada yang mustahil. Hilang satu kaki bukan bermaknanya akan cacat seumur hidup. Kita masih boleh melangkah dengan lebih laju daripada mereka yang memiliki dua kaki. Ingatlah cerita kura-kura dengan arnab.  Apabila duduk bersendirian, saya selalu teringatkan masa-masa indah sewaktu kita bersama. Sesekali terlintas sesal di minda kerana tergamak memutuskan ikatan silaturrahim di dunia nyata dengan anda semua yang masih setia kekal di sana, tetapi saya sedar tiada yang akan kekal dalam hidup ini. Hidup harus saya teruskan dengan harapan baharu, tugas baharu, jawatan baharu, dan cabaran baharu di sekolah baharu.


Saya yakin, Tuhan sentiasa merahmati perjalanan hidup saya dan anda semua. Jauh di mata, bukan bermakna kita tidak boleh bekerjasama. Jika diperlu, saya masih sudi membantu kerana terciptanya diri saya merupakan hasil daripada pengalaman yang dikutip semasa 19 tahun lima bulan berada di SMK Sacred Heart. Suatu jangka masa yang bukan singkat bagi seorang guru yang serba kekurangan dan sentiasa belajar dan akan terus belajar seperti saya. Terima kasih atas sokongan. Terima kasih atas kepercayaan. Terima kasih atas segala-galanya. Semuanya tidak mampu saya balas. Sesayup mata memandang, hati saya masih lagi sayang. Saya tidak pernah menyesal menjadi sebahagian daripada ahli keluarga Panitia Bahasa Melayu SMK Sacred Heart. Semoga Allah terus merahmati usaha murni kalian yang masih setia menabur bakti di alma meter tersohor itu. Teruskan “Berdoa dan Berusaha”. Tahniah, tahniah, tahniah!


Di mana pun badan tersadai, nama SMK Sacred Heart tetap melekat di selaput halus minda bestari. Saya bina kerjaya sebagai guru bahasa Melayu di sekolah itu sehingga diberikan kepercayaan oleh pelbagai pihak untuk terlibat dalam beberapa perkara penting di peringkat kebangsaan. Sejarah saya bermula dari sekolah itu. Saya bina impian dengan bertatih sampai luka akibat tersungkur, belum sempat membasahi pipi, air mata kering sendiri, semuanya berlaku di sekolah itu. Tempoh 19 tahun 5 bulan di situ mengajar saya tentang banyak perkara yang akan terpahat di ingatan untuk selama-lamanya. SMK Sacred Heart, 
Syurga yang kurindukan!






Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak