Setiap hari apabila saya menyaksikan
para atlit yang akan mewakili sekolah menjalani latihan di padang sukan SMK
Sibu Jaya, hati saya selalu tersentuh, saya yakin dan percaya mereka merupakan
pelajar-pelajar yang amat berdisiplin dan berkeperbadian mulia. Mereka sentiasa
menepati masa. Apabila disuruh berlari, mereka akan berlari. Apabila disuruh
rehat mereka rehat. Apabila disuruh panaskan badan mereka pun melakukannya.
Mereka patuh kepada semua arahan. Mereka dengar nasihat dan turut segala
kemahuan. Para jurulatih yang terdiri daripada guru-guru yang komited tidak
pernah jemu memberikan tunjuk ajar demi memastikan mereka mampu bersaing dalam
kejohanan Majlis Sukan Sekolah Sibu Tahun 2017. Hati saya berkata, kalaupun
kami bukanlah Juara dalam pertandingan itu nanti, saya dan warga sekolah perlu
berbangga kerana kami berjaya membentuk jiwa mereka agar berani dan yakin untuk
menghadapi apa jua cabaran dan rintangan yang mendatang.
Sepanjang berada di SMK Sibu Jaya
sedikit demi sedikit tanggapan serong masyarakat yang menusuki telinga mulai
lenyap bersama bukti-bukti yang terpatri nyata di tugu realiti. Dalam kalangan
2200 orang pelajar yang menjadikan SMK Sibu Jaya sebagai tempat menimba ilmu,
99% merupakan pelajar-pelajar yang baik dan berkeinginan tinggi untuk maju ke
hadapan. Mereka amat menghormati guru dan pentadbir sekolah mahupun saksama
mereka. Bibir mereka sentiasa mengukir senyuman dengan lafaz salam “Selamat
Pagi” atau “Assalamualaikum”. Mereka sentiasa datang awal ke sekolah. Bagi yang
ditugaskan sebagai Pengawas Sekolah, mereka sentiasa amanah dan berhemah dalam
menjalankan tugas. Tanggungjawab yang terpikul di bahu sentiasa digalas dengan
penuh yakin dan tabah. Mereka kelihatan amat berdikari. Mereka tidak pernah
menagih pujian atau sanjungan daripada mana-mana pihak walaupun mereka
sewajarnya mendapat pengiktirafan sebegitu ataupun lebih daripada itu. Sikap
ringan tulang yang mereka tunjukkan amat membanggakan. Semasa perhimpunan
sekolah atau mana-mana acara yang diadakan kerjasama yang diberikan oleh
pelajar amat baik. Mereka tidak perlu diarah. Mereka hanya perlu diberitahu.
Segalanya beres dilaksanakan. Segalanya selesai dilunaskan.
Hampir keseluruhan pelajar yang
menuntut di sekolah ini bukanlah anak orang berada. Mereka datang dari keluarga
yang serba kekurangan dan bergelut dengan kemiskinan tetapi mereka mampu datang
ke sekolah kerana mereka tahu hanya dengan memilih jalan itu mereka dapat
mengubah nasib keluarga. Pelajar yang sedar akan tanggungjawab dan tujuan
mereka datang ke sekolah ini, amat berdikari dalam semua perkara. Saya tidak
menafikan, sebagai sebuah sekolah yang dihuni oleh 2200 orang pelajar, masalah
sentiasa wujud di mana-mana tetapi semuanya dapat diselesaikan dengan jayanya,
sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula pelajar yang terpaksa duduk
berhimpit-himpit dalam sebuah kelas yang sempit. Pepatah Melayu ada mengatakan,
rambut sama hitam, hati lain-lain. Orang dewasa yang sudah beruban di kepala
pun masih ada yang tidak patuh kepada undang-undang negara, inikan pula pelajar
yang baru berumur setahun jagung, darah masih setampuk pinang! Namun begitu,
jangan sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman kepada semua orang hanya kerana
dua tiga yang telinga lintah di alma meter kami.
SAYA SEPERTI MEREKA
Sewaktu menjejakkan kaki ke sekolah
ini, saya bagaikan kembali ke zaman persekolahan saya dahulu. Saya merupakan
anak pedalaman yang hidup serba kekurangan dan tidak sedar langsung tentang
kepentingan pelajaran serta tidak faham masa depan. Saya hadir ke sekolah tanpa
tahu cita-cita dan idola. Saya hadir ke sekolah hanya kerana takut dimarah oleh
ayah yang garang dan ibu yang kuat berleter. Apabila bersekolah, saya sering
mendapat tempat pertama tetapi sehingga ke tahun enam saya tak pernah rasa
gembira. Hadiah pensil dan buku yang saya dapat saya bawa balik ke rumah. Ibu
dan ayah tidak pernah mengucapkan tahniah. Hanya sesekali terdengar, perbualan
orang-orang tua yang mengatakan saya pandai tetapi saya tidak terpersona dengan
pujian itu kerana saya tidak tahu dan tidak mahu datang ke sekolah. Impian saya
hanya ingin menjadi petani dan pemburu sehebat ayah. Oleh itu, saya selalu pergi ke hutan dengan ayah. Saya diajar bermacam-macam perkara. Sampai berdarah betis saya dipukul jika tidak tahu memasang jerat dan sebagainya. Kata ayah, nak hidup kena pandai buat semua itu. Kalau tak pandai, saya tak boleh hidup, tak boleh makan. Pernah suatu hari ayah suruh saya tangkap ikan pada waktu malam, saya katakan saya takut dimakan "hantu", ayah marah sungguh, tanpa sedar kepala saya dipukul dengan kayu. Arghhh, sakitnya. Saya menangis dan dihukum balik ke rumah berjalan kaki sejauh 10 kilometer (anggaran). Dengan ayah saya tidak boleh kata tidak. Dia suruh pikul padi seguni, saya kena pikul. Akan tetapi, masa itu saya kuat. Cuma apabila sudah berusia baru nampak kesannya, saya selalu sakit punggung. Saya tidak mahu jadi doktor.
Saya tidak mahu jadi lawyer. Sesekali saya memasang angan menjadi penyanyi
seperti Jamal Abdillah, lalu saya alunkan lagi “Kau Lupa Janji” dan “Ke mana Ku
Bawa Hati Yang Rindu” tetapi suara saya selalu mengundang hujan (kata
rakan-rakan), sehingga menyebabkan kami bergaduh angkara keinginan hati yang
tak sedar diri itu.
Hidup dalam kemiskinan tidak sesekali membuatkan saya rasa malu dan segan kerana saya tidak pernah ambil tahu kehidupan orang kaya dan berada. Saya pun tidak pernah bercita-cita untuk menjadi orang kaya. Yang saya ingat, apabila saya mahu balik ke sekolah, saya terpaksa memikul seguni atau dua guni lada hitam untuk dijual di pekan Song. Jika harga jualannya RM400 maka jumlah itulah belanja sekolah yang saya bawa. Semasa menuntut di SMK Katibas, saya dan rakan-rakan agak lasak. Kami sanggup menyeberangi "Lubuk" yang dalam untuk mengumpul "buah engkabang". Makin banyak dikumpul makin kami suka sebab makin banyak duit yang kami dapat. Buah itu kami jemur dan setelah kering kami jual. Saya tidak pernah fokus kepada pelajaran tetapi saya punya anugerah Tuhan yang amat istimewa iaitu kebolehan mengingat yang tinggi. Dalam peperiksaan saya selalu berada dalam kelompok 10 pelajar terbaik. Dari dahulu saya memang pandai dalam subjek Bahasa Melayu. Karangan saya selalu dibaca oleh guru untuk dijadikan contoh. Saya suka mengarang bahasa yang indah-indah. Minat mengarang ini makin terserlah semasa berada di Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. Saya mula berani menghantar hasil penulisan saya ke majalah dan akhbar. Ada yang dibayar, ada yang tidak. Dapatlah duit belanja sekolah. Alhamdulillah.
Hidup dalam kemiskinan tidak sesekali membuatkan saya rasa malu dan segan kerana saya tidak pernah ambil tahu kehidupan orang kaya dan berada. Saya pun tidak pernah bercita-cita untuk menjadi orang kaya. Yang saya ingat, apabila saya mahu balik ke sekolah, saya terpaksa memikul seguni atau dua guni lada hitam untuk dijual di pekan Song. Jika harga jualannya RM400 maka jumlah itulah belanja sekolah yang saya bawa. Semasa menuntut di SMK Katibas, saya dan rakan-rakan agak lasak. Kami sanggup menyeberangi "Lubuk" yang dalam untuk mengumpul "buah engkabang". Makin banyak dikumpul makin kami suka sebab makin banyak duit yang kami dapat. Buah itu kami jemur dan setelah kering kami jual. Saya tidak pernah fokus kepada pelajaran tetapi saya punya anugerah Tuhan yang amat istimewa iaitu kebolehan mengingat yang tinggi. Dalam peperiksaan saya selalu berada dalam kelompok 10 pelajar terbaik. Dari dahulu saya memang pandai dalam subjek Bahasa Melayu. Karangan saya selalu dibaca oleh guru untuk dijadikan contoh. Saya suka mengarang bahasa yang indah-indah. Minat mengarang ini makin terserlah semasa berada di Tingkatan Lima dan Tingkatan Enam. Saya mula berani menghantar hasil penulisan saya ke majalah dan akhbar. Ada yang dibayar, ada yang tidak. Dapatlah duit belanja sekolah. Alhamdulillah.
Apabila memasuki alam sekolah
menengah, saya dikelilingi oleh rakan-rakan yang nakal-nakal. Walaupun saya
ditempatkan di kelas yang terbaik tetapi saya selalu ponteng dengan seorang
kawan saya. Semasa di Tingkatan 4 dan Tingkatan 5, saya lebih banyak bermain
daripada mengulangkaji pelajaran. Ibu bapa saya tidak pernah ambil tahu
prestasi dan kebajikan diri saya. Mereka berada di nun jauh di hulu sungai
Katibas. Saya pula amat jarang balik ke kampung sebab tidak cukup belanja.
Hidup hanya mengharapkan nasi, lauk dan roti di asrama. Saya mula tahu berfikir
setelah lulus dalam SPM dan masuk ke Tingkatan Enam. Cita-cita saya hanya satu
iaitu mahu menjadi guru. Niat kasihkan keluarga mula menjelma di minda. Saya
mahu bantu ibu dan ayah sekolahkan adik beradik yang masih kecil. Alangkah
lambatnya saya sedar tentang tujuan saya datang ke sekolah. Mungkin disebabkan
asal usul dan persekitaran tempat saya membesar melewatkan kematangan saya
untuk berfikir pada ketika itu.
Situasi saya dengan pelajar-pelajar di
SMK Sibu Jaya tidak jauh bezanya. Mereka ialah saya. Saya ialah mereka. Mereka
perlukan perhatian. Mereka perlukan sokongan. Mereka perlukan kasih sayang.
Saya yakin, suatu masa nanti mereka mampu merealisasikan mimpi jadi realiti
andai kita tidak terlalu menghukum dan menjatuhkan hukuman terhadap salah dan
silap mereka sebagai anak remaja yang adakalanya tersungkur di lembah
kedangkalan dek kenakalan. Saya mohon, ibu bapa agar dengarkan luahan hati
serta rintihan jiwa anak-anak remaja mereka agar terlepas segala sengsara yang
membalut minda muda mereka. Jangan terlalu diberikan kebebasan kerana kebebasan
yang melampau akan menghanyutkan anak-anak yang masih di bangku sekolah ke
lembah hedonism yang menghayalkan. Perhatian yang terlalu longgar akan
menyebabkan mereka tak sedar bahawa keseronokan yang dinikmati dalam seminit
dua boleh menghancurleburkan impian mereka selama-lamanya.
Anak-anak seperti saya dan mereka
perlukan suntikan semangat berjuta-juta kali kerana ruang kesedaran amat dalam
untuk digali. Anak-anak seperti ini, jiwanya terlalu sensitif dengan pelbagai
perkara kerana sering kehausan motivasi dan rangsangan daripada insan-insan
yang mereka hormati dan kasihi. Mereka mungkin mudah melawan tetapi air mata
mereka amat murah jika kata-kata kita meresap ke hati mereka sehingga kita
sendiri kadang-kadang tersentuh. Saya percaya, bukan saya dan mereka sahaja
yang senasib dan sejiwa sebegini, jutaan lagi yang seperti kami berada di
sekeliling masyarakat di segenap empat penjuru negara ini.
SEMUA KITA SAMA
Semua sekolah di Malaysia ini adalah
sama. Semua guru di Malaysia ini adalah sama. Semua pelajar di Malaysia ini
adalah sama. Kita datang daripada sebuah keluarga yang melahirkan dan
membesarkan kita. Cara didikan dan asuhan mungkin berbeza tetapi saya percaya
tidak ada ibu bapa yang bercita-cita melahirkan anak-anak yang gagal dalam
hidup. Begitulah juga dengan guru. Impian setiap guru adalah sama. Mereka mahu
melahirkan generasi yang terbaik untuk Malaysia. Tanggapan bahawa guru sekolah ini
malas dan guru sekolah ini rajin merupakan tanggapan yang tidak matang sebab
terpengaruh dengan ranking peperiksaan bukannya ranking kemenjadian pelajar
selepas menamatkan alam persekolahan. Jangan diukur kejayaan sebuah sekolah
berdasarkan jumlah doktor atau peguam yang dihasilkan kerana adakalanya seorang
buruh kasar mempunyai hati yang amat suci dan mulia jika dibandingkan dengan
pemegang ijazah Doktor Falsafah dari universiti terkemuka. Kadang-kadang kita
membuat tanggapan melulu dan tidak berasas kerana kita melihat masa lalu tetapi
kita tidak tahu sesuatu yang kita pandang sentiasa berubah dengan sekelip mata.
Manusia bukanlah hakim terbaik kerana cara mereka menghakimi terkadang penuh
dengan emosi, Allah juga penilai yang sempurna dan penilaian Allah tidak
ditunjukkan di alam nyata.
Hidup sebagai orang miskin tidak
menjadikan saya lemah.
Saya tidak pernah menangis jika
tiada duit yang banyak.
Saya tidak malu memakai baju yang murah.
Saya sentiasa bahagia dan sejahtera.
Kadang-kadang saya tertanya-tanya juga
kenapa saya tidak ditakdirkan dilahirkan dalam
sebuah keluarga yang kaya tetapi
hati saya memarahi, syukurlah
kau ada keluarga, kau ada ayah, kau ada ibu
kau ada adik-adik, kau dilahirkan sempurna
walau tak tampan tetapi kau kena percaya
Tuhan akan keluarkan juga kau dari
sangkar kemiskinan itu. Yang penting, kau
jangan lupakan asal usulmu.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan