Amat jarang kita membaca post yang dikongsikan di Facebook berkaitan dengan kejayaan seseorang yang boleh diteladani oleh orang lain. Mereka lebih suka berkongsi tentang berita-berita sedih, meluahkan rasa marah, dan berbohong tentang diri mereka. Mereka menagih simpati dan pujian daripada orang lain. Mereka umpama pengemis kasih sayang dan perhatian.
Saban hari, apabila kita membuka Facebook, kita akan membaca pelbagai luahan perasaan rakan-rakan Facebook kita. Ada yang melucukan. Ada yang menggembirakan. Ada yang membuat kita rasa marah. Ada yang membuat kita rasa jijik dan meluat. Pelbagai perasaan akan muncul di minda kita setelah membaca pelbagai status yang ditulis di Facebook. Seorang pelajar yang dimarahi oleh guru kerana salah faham atau kesilapan yang dilakukan di dalam kelas, apabila balik ke rumah, pelajar tersebut akan meluahkan rasa marahnya sama ada dalam bentuk sindiran atau cacian. Begitu juga dengan seorang pekerja yang tidak puas hati dengan Ketua Jabatan, mereka akan meluahkan semua yang terbuku di hati dengan menulis status di Facebook. Semakin banyak komen yang menyokong diberikan oleh pembaca, makin banyak ‘reply’ yang akan dilakukan oleh yang membuat status. Pembaca pula terlalu percaya dengan perkara yang diulas atau dinyatakan di Facebook.
TAK TAHU MALU
Saya sendiri paling meluat dan
kadang-kadang geli apabila melihat orang selalu menayangkan gambar muka mereka
yang sudah diedit dengan Camera 360. Golongan yang saya gelarkan “Bidadari” di
Facebook tetapi “Pontianak” di alam nyata ini, kadang-kadang tidak sedar diri
wahal mereka ada cermin di hadapan muka. Gambar yang ditayangkan pula, dihiasi
dengan kata-kata yang memuji diri atau menggunakan bahasa sindiran (tetapi
bermaksud memuji diri), kononnya mereka masih muda walaupun sudah berumur 40-an
atau 50-an. Satu lagi perkara yang biasa kita baca di Facebook kawan-kawan kita
ialah mereka menjadikan Facebook sebagai medan untuk melepaskan kemarahan.
Mereka marah sesiapa sahaja, termasuk memarahi ibu bapa dan ahli keluarga,
suami, isteri dan anak-anak mereka sendiri. Kata-kata yang ditulis memang
menyalahkan orang, dia sahaja yang betul! Dia akan semakin riak apabila
statusnya mendapat banyak “like” daripada sekumpulan rakan yang bersetuju
dengan kenyataan mereka itu. Jika ada yang menasihati atau membetulkan, maka
dia akan lawan bersungguh-sungguh. Yang peliknya, apabila berdepan mata, dia
diam 1000 bahasa tetapi di Facebook dialah maharaja, dialah maharani.
Kelahiran generasi ‘tak tahu malu’ ini
semakin hari semakin bertambah populasinya. Mereka ini terdiri daripada pelbagai
lapisan umur dan kedudukan dalam masyarakat. Apabila bergaduh atau bercerai,
Facebook akan dijadikan medan untuk berbalas-balas komen sehingga mengakibatkan
pergaduhan yang maha dahsyat di alam maya. Mereka tidak tahu, mereka sebenarnya
menelanjangi keburukan diri sendiri. Makin banyak ‘like’ makin rendahlah maruah
mereka. Makin banyak komen yang dibalas maka makin banyaklah keburukan yang
ditayangkan kepada umum. Apakah mereka tidak sedar? Pelajar yang memarahi guru,
rakan, atau ibu bapa menggunakan Facebook amatlah berbahaya. Generasi yang ‘pengecut’
sebegini, jika dibiarkan beranak-pinak dalam masyarakat kita, sudah pasti amat
sukar untuk kita mara ke hadapan. Mereka yang suka meluahkan rasa tidak puas
hati di laman Facebook ini sebenarnya tidak tahu kepentingan agama dalam
kehidupan. Mereka melakukannya dengan mengetepikan wujudnya Tuhan.
Golongan yang sebegini sememangnya
tidak berfikir panjang dan tidak matang walaupun sudah berusia. Jika duduk di
kedai makan, andai makanan lewat dihantar, tidak sedap, atau terlalu sedap,
semuanya mesti ditayangkan di Facebook. Apabila hendak melelapkan mata, sebelum
mata terlelap, mereka akan swafoto di atas katil, sehingga menayangkan kepada
umum perkara yang tidak sepatutnya. Ada yang swafoto tanpa baju (lelaki) atau
berpakaian seksi (wanita), tanpa rasa malu mereka akan jadikan gambar-gambar
itu sebagai status di Facebook. Apakah rasa malu itu sudah lenyap dari hati
nurani manusia pada hari ini? Gambar berpeluk dan bercium dengan teman lelaki
yang diselitkan dengan kata-kata cinta seolah-olah dunia ini dia yang punya,
bagaikan satu budaya dalam kalangan masyarakat. Apabila putus cinta pula, habis
semua perkara yang ada di WeChat dan WhatsApp ditayangkan di Facebook.
Video-video yang tidak sepatutnya pula ditayangkan.
MARUAH MANA MARUAH
Jika mereka artis, kita tidak kisah
kerana golongan artis memang menjadikan media sebagai medium untuk mengikis
maruah diri pada setiap hari. Semakin banyak maruah diri dijaja di media,
semakin popularlah mereka. Kejayaan mereka merampas suami atau isteri orang.
Kejayaan mereka menayangkan kemewahan, kecantikan, dan kehebatan diri sentiasa
menjadi paparan yang menghiasi laman Facebook. Sejak akhir-akhir ini pula,
golongan artis (bukan semua) sanggup bergaduh dengan orang awam di Facebook
semata-mata demi meraih populariti. Orang biasa tidak perlu menjadi seperti
mereka. Kita tidak dikenali. Kita bukan orang yang diminati. Kita buat seperti
artis, hidup kita sendiri yang susah. Orang cuma mampu ketawa, kita pula rugi
dan tidak mendapat apa-apa. Orang yang tahu menghargai maruah diri tidak akan
sewenang-wenangnya membuat status di Facebook. Perkara-perkara yang memalukan
tidak akan mereka kongsikan kerana mereka tahu keburukannya. Golongan ini hanya
menggunakan Facebook untuk menayangkan aktiviti terkini yang mereka lakukan.
Mereka mungkin ketagih Facebook tetapi mereka tidak tergamak memalukan diri,
keluarga dan bangsa di Facebook.
Jika kita meniru cara hidup artis,
bahtera kehidupan kita tidak akan jelas haluan
untuk dituju. Akhirnya, bahtera
itu akan karam
di tengah lautan. Hiduplah bersederhana.
Yang baik kita kongsikan di Facebook.
di tengah lautan. Hiduplah bersederhana.
Yang baik kita kongsikan di Facebook.
Yang tidak baik kita kongsikan dengan Allah.
Maruah tidak boleh dipermainkan kerana
maruah merupakan cermin kepada asal usul kita. Maruah mesti dipelihara. Biarpun
kita tidak popular tetapi kita masih ada maruah dan harga diri. Jangan jadi
seperti segelintir manusia, mereka popular, mereka dipuja, dan dikenali ramai,
tetapi maruah mereka sudah lama hancur berderai bagai kaca terhempas ke batu.
Mereka sudah lama hilang nikmat hidup kerana maruah mereka telah lama dilucut
dan disemadikan. Bagi golongan lelaki yang melakukan prodi menyerupai
perempuan, mereka memang tahu perkara yang dilakukan itu berdosa. Dosa itu
melibatkan ibu bapa mereka. Mereka tetap juga melakukannya. Kenapa? Jawapannya,
sebab mereka sudah tiada maruah dan harga diri. Hakikat ini memang payah untuk
ditelan tetapi itulah kenyataan. Walaupun mereka mungkin mendapat ribuan
ringgit kerana dibayar melakukan drama atau prodi sebegitu, maruah mereka
sebenarnya telah lama hilang.
SIAPAKAH YANG BERSALAH?
Jika kita yang memperlakukan diri kita
sebegitu, yang bersalah itu kita sendiri. Mengapakah kita harus menyalahkan
orang lain? Kita yang memviralkan kesilapan diri kita kepada masyarakat umum.
Jika masalah itu tersebar luas, kita terpaksalah menanggung malu atau dikenakan
tindakan (andai kita menghina seseorang sewenang-wenangnya). Ada akal, gunalah
akal. Jangan letak akal di lutut. Semua manusia ditakdirkan boleh berfikir.
Berfikirlah secara matang sebelum menulis sesuatu dalam Facebook. Kita harus
ingat, setiap ciptaan manusia yang mendapat sambutan hangat di seluruh dunia.
Ingatlah, daripada status yang kita tulis, orang boleh tahu siapakah diri kita?
Kadang-kadang perkara yang kita tulis itu menjadikan kita terperangkap di suatu
sudut gelap yang menghalang setiap pandangan kita untuk kembali ke pangkal
jalan. Jangan mencari populariti menggunakan cara yang salah! Tuhan sentiasa
menghakimi dan menghukum. Ingatan pada-Nya, jangan dipersia-siapak.
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan