Tanggal 8 Mac pada setiap tahun telah
diisytiharkan sebagai Hari Wanita Antarabangsa atau Hari Wanita Sedunia. Tema
tahun 2017 ialah “Inilah Kuasa Wanita”. Tema ini membawa makna yang sungguh
mendalam kepada semua wanita dan kaum adam yang menjadi penghuni bumi ciptaan
Allah ini. Wanita merupakan ciptaan Tuhan yang sinonim dengan kelembutan,
keayuan, kecantikan, dan keperibadian mulia. Kita tidak boleh membayangkan apa
yang akan berlaku jika dunia ini tiada wanita? Keturunan kita mungkin akan
pupus. Populasi dunia tidak akan bertambah. Itulah kuasa wanita. Hanya wanita
yang boleh mengandung, melahirkan, dan menyusukan anak. Mereka dikurniakan hati
yang sungguh suci dan belaian serta sentuhan ajaib yang penuh nikmat dan kasih sayang
untuk mendodoikan setiap anak yang dilahirkan. Lelaki tidak mampu menandingi
keistimewaan ini. Kini, kuasa wanita semakin hebat menggegar dunia. Pepatah
Melayu yang berbunyi, “tangan yang menghayun buaian, boleh menggoncang dunia”
memang benar-benar terbukti kerana di era globalisasi ini kuasa wanita begitu
meledak melata di bumi ciptaan Ilahi.
IBU WANITA TERHEBAT
Kita dilahirkan ke dunia ini dari rahim
seorang ibu. Ibulah yang mengandungkan kita selama sembilan bulan. Ibulah yang
berjaga siang malam tanpa mengenal penat dan jemu. Ibulah penasihat yang
terbaik, pendengar yang setia, dan penyembuh yang paling mujarab setiap kali
kita memerlukan khidmatnya. Dia tidak pernah mengungkapkan kata tidak. Dia tidak
pernah mengungkapkan kata tiada. Dia akan berusaha untuk memenuhi segala
permintaan kita. Walaupun terpaksa bersengkang mata dan bekerja tanpa mengira
waktu, dia akan berusaha juga untuk menunaikan keinginan anak-anaknya. Dia
tidak pernah menangis walaupun hatinya terguris. Dia tidak pernah luahkan
kekecewaan walaupun hatinya kita lukakan. Dia tidak pernah menyesal melahirkan
kita ke dunia walau kita lawan arahan dan kata-katanya. Segala susahnya
dipendam. Segala marahnya disimpan. Demi anak tersayang, biar jiwanya sengsara,
dia sanggup asalkan anaknya tidak menderita. Terima kasih Ibu!
Sebagai anak kita tidak boleh menyakiti hati ibu.
Kita tak boleh ingkar setiap nasihat ibu.
Setitis air mata ibu jatuh membasahi pipi,
dosanya kita tanggung hingga ke mati.
Nasib semua ibu di dunia ini tidak
sama. Apabila membaca cerita-cerita tentang ibu di laman media sosial dan
akhbar hati kita selalu tersentuh. Orang yang masih ada ibu sanggup membuang
ibu mereka. Ibu tersayang dibiarkan hidup merempat dan dibalut kemiskinan
hingga ke akhir hayat. Ibu yang banyak berjasa dibiarkan hidup sebatang kara,
tidak dijaga malah ada yang tergamak menjadikan ibu mereka sebagai orang suruhan
yang tidak bergaji. Mereka tidak pernah bertanyakan khabar berita dengan ibu
yang jauh. Apabila ibu menelefon, mereka menjawab sekadar berbasa basi, dengan alasan
banyak kerja dan sibuk, talian telefon dimatikan tanpa mengakhirinya dengan
salam. Itulah nasib segelintir ibu yang disisihkan oleh darah daging sendiri.
Terdapat juga anak-anak derhaka yang menyusahkan ibu hingga ke tua. Ibu yang
tidak berdaya terpaksa bekerja untuk menyara hidup anak yang diibaratkan
bangkai bernyawa. Kasihan sungguh nasib wanita yang bernama ibu.
Saya tumpang gembira melihat ibu-ibu
yang menikmati hari-hari tua mereka dengan limpahan kebahagiaan dan
kesejahteraan serta kemewahan. Anak-anak yang dilahirkan semuanya berpendidikan
dan berjawatan tinggi. Mereka sentiasa menyayangi ibu mereka. Mereka melayan
ibu dengan penuh kasih sayang. Segala permintaan ibu ditunaikan. Kebajikan ibu
terjaga. Keinginan ibu sentiasa dipenuhi. Setiap waktu dihabiskan bersama ibu
tersayang. Ibulah kawan. Ibulah teman. Ibulah kekasih. Mereka sentiasa
meletakkan ibu ditakhta teratas dalam hidup mereka. Tahniah ibu! Anak-anakmu
sentiasa ingat dan tidak lupa akan jasa-jasamu. Jika diperhatikan, perjalanan
hidup anak-anak yang sentiasa memuliakan kehadiran ibu mereka disisi, sentiasa
indah. Walaupun mereka tidak berpendidikan tinggi dan bergaji rendah, rezeki
mereka datang bagai air mengalir. Hidup mereka sentiasa bahagia dan diberkati. Allah tidak pernah biarkan
mereka menangis.
Orang yang derhaka kepada ibu mereka
lain
pula ceritanya. Walaupun berpendidikan tinggi, berpangkat, berharta, dan menjadi sanjungan
seantero dunia, hidup
mereka sentiasa berhadapan dengan masalah. Gaji puluhan ribu tetapi hutang
keliling pinggang. Segala-galanya
tidak pernah cukup. Rezeki datang berguni-guni
tetapi habis tidak sampai sehari.
keliling pinggang. Segala-galanya
tidak pernah cukup. Rezeki datang berguni-guni
tetapi habis tidak sampai sehari.
SAYANGI WANITA
Hidup kita sentiasa dikelilingi
wanita. Kita mempunyai adik beradik wanita. Kita mempunyai rakan sekerja wanita.
Kita mempunyai anak-anak wanita. Mereka hadir untuk disayangi. Jangan sesekali
dikasari. Jika seorang lelaki sanggup mengasari seorang wanita sehingga luruh
air matanya menahan kesakitan dan derita, lelaki itu merupakan lelaki pengecut
yang amat berdosa. Saban hari kita selalu melihat pelbagai cerita mengenai
wanita yang dirogol, didera, dijadikan hamba seks, pelacur dan sebagainya.
Perbuatan kita yang tergamak memperlakukan golongan wanita sebegini wajar
dihentikan. Wanita perlukan layanan dan kasih sayang daripada orang yang berada
di sekeliling mereka. Janganlah kita menganggap kehadiran mereka menyusahkan.
Janganlah kita mempergunakan kelemahan mereka untuk kepentingan diri kita.
Hormatilah hak mereka sebagai wanita. Suatu ketika, kita akan diberikan
ganjaran dan pahala berganda kerana menjaga maruah dan kehormatan seorang
wanita.
Apabila kita sanggup menjadikan seorang wanita
sebagai isteri, kita harus berjanji untuk tidak
menyakitinya hatinya dan menyeksa jiwanya.
Jangan sewenang-wenangnya berlaku curang dan
menduakan kasih sucinya. Poligami memang hak
tetapi hati yang terluka akibat kasih dikhianati
itu bukan hak. Kita harus faham hati dan
perasaan seorang wanita.
Maruah seorang wanita dalam
keluarganya adalah tanggungjawab orang lelaki. Seorang lelaki yang baik akan
menjadi pelindung kepada wanita-wanita yang berada disampingnya. Mereka sanggup
berkorban demi wanita yang disayangi. Mereka sentiasa memandang tinggi
kedudukan wanita di sekeliling mereka. Lelaki yang penyayang akan sentiasa
membelai wanita yang disayanginya dengan kata-kata indah dan sentuhan lembut
pada setiap masa. Mereka sanggup berkorban untuk memberikan yang terbaik untuk
wanita yang disayangi. Mereka akan menyediakan rumah kediaman yang lengkap dan
selesa ikut kemampuan demi wanita yang disayangi. Mereka tidak akan biarkan
wanita yang mereka kasihi mengeluh kesakitan atau merintih kesengsaraan. Itulah
kewajiban bagi golongan lelaki kepada wanita-wanita yang ada disisi mereka.
SELAMAT HARI WANITA
Buat semua wanita, saya ucapkan “Selamat
Hari Wanita” terutamanya buat arwah ibu saya yang telah menghadap ilahi dan
adik-adik wanita saya yang amat saya sayangi. Salam kasih sayang ini juga
istimewa ditujukan buat permaisuri hati dan anak-anak yang amat saya sayangi. Hidup
ini penuh dengan ujian. Ada masanya ujian itu sukar untuk dilepasi sehingga
terhambur kata-kata yang menyakitkan. Percayalah, tiada niat langsung untuk
melukakan. Setiap silap yang berlaku, sesal akan menerjah diruang hatiku.
Kemaafan kupohon daripada Allah nan satu. Saya mungkin bukan seorang suami,
ayah, abang, atau adik yang terbaik namun sebagai seorang lelaki yang punya
perasaan dan impian, saya sentiasa berusaha untuk memberikan yang terindah
sehingga ke akhir hayat saya. Buat semua lelaki, wanita merupakan
segala-galanya untuk kita. Jagailah wanita-wanita yang hidup bersama kita.
Jangan guris hati mereka. Jangan sakiti mereka. Jangan jadikan mereka hamba
abdi. Jangan jadikan mereka mangsa ‘tangan’ dan ‘kaki’. Sekali kita memilih
mereka sebagai teman, biarlah hubungan itu terjalin hingga ke hujung nyawa.
Langit kehidupan kita bersamanya jangan diwarnai dengan titisan warna gelap dan
suram. Sesungguhnya, mereka tidak kuat untuk menghadapi penderitaan dan
kesengsaraan. Hadiahkan kebahagiaan dan kesenangan buat mereka. Jadilah lelaki
sejati untuk mereka. Jadilah lelaki yang dirindui. Jadilah lelaki yang
disayangi. Jadilah lelaki yang dikasihi. Jadilah lelaki yang dirindui. Lelaki
yang terbaik ialah lelaki yang tahu hak seorang wanita.
Jika suatu hari kita kehilangan wanita yang paling kita
sayangi, kasihi dan cintai. Kita akan rasa betapa
kosongnya hati dan sunyinya jiwa. Kita akan
merindui saat-saat indah bersamanya tetapi
semua itu tidak bisa berulang kembali
kerana dia telah pergi buat
selama-lamanya.
Hargailah Wanita selagi hayatnya ada!
Catatan Pendidik Bangsa
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan