Bersama Jurulatih Utama BM STPM Negeri Johor,
Cikgu Noraini, Cikgu Siti Ainon, dan Cikgu Zulaika
Cuti merupakan suatu perkara yang
sering dikaitkan dengan golongan guru apabila berbual dengan masyarakat yang
bukan guru. Dalam penerbangan dari Sibu ke Kuala Lumpur beberapa minggu yang
lepas saya duduk bersama dengan seorang lelaki yang sungguh mesra dan ceria.
Saya bukanlah jenis orang yang suka berbual-bual semasa menaiki kapal terbang.
Saya lebih suka menggunakan masa yang ada untuk menyiapkan pelbagai perkara
yang selalu dilakukan oleh guru-guru. Kalau terlalu letih, saya akan pejamkan
mata dan tidur. Walau bagaimanapun, pada hari itu saya terpaksa melayan karenah
lelaki yang duduk bersebelahan dengan diri saya. Perbualan kami berlanjutan
agak lama sehingga menyentuh tentang kerjaya masing-masing. Sebaik sahaja saya
menyebut kerjaya saya “guru” lelaki itu terus berkata, “Cikgu kuat untung,
banyak cuti, gaji tinggi, kerja sikit”. Pada masa itu, darah guru yang mengalir
dalam tubuh saya tiba-tiba mengeledak panas walaupun suhu dalam kapal terbang
pada masa itu dalam lingkungan 23 darjah celsius. Namun begitu, saya tidak
marah, saya sambut kata-katanya dengan senyuman kerana saya tahu bukan dia
seorang yang bertanggapan sebegitu, ramai lagi masyarakat di luar sana
sepertinya.
“Bagi guru yang rajin dan
bertanggungjawab, istilah ‘cuti’ memang tiada dalam kamus hidup mereka. Masa
mereka dihabiskan untuk melakukan tugas-tugas mendidik dan mengajar sehingga
mengabaikan nikmat hidup untuk bersosial”
PERGI SEKOLAH TETAPI BUTA
Lelaki itu merupakan seorang
kakitangan awam yang bertugas di ibu kota. Orangnya berpangkat. Beliau datang
ke Sibu atas urusan sebagai orang penting di jabatannya. Namun sayang 1000 kali
sayang, orang seperti beliau tidak faham tentang tugas seorang guru. Saya anggap
golongan seperti beliau ini sebagai orang yang bijaksana tetapi ‘buta’ sebab
sepanjang alam persekolahannya dia tidak nampak kerja yang dilakukan oleh
guru-gurunya di sekolah. Masyarakat yang beranggapan guru banyak cuti ini
merupakan golongan yang tidak pernah membuka mata tentang tugas-tugas seorang
guru. Mungkin mata mereka melihat tetapi otak mereka tidak dapat berfungsi
dengan baik untuk mentafsir perkara yang guru lakukan semasa mereka berada di
alam persekolahan sehinggalah mereka berjaya dan menjawat jawatan tinggi di
pelbagai jabatan. Mereka rasa ego dan angkuh. Golongan ini apabila bercakap
tentang pelbagai hal dunia memang bijaksana tetapi apabila dibukakan topik tentang
guru, yang mereka tahu cuma hal-hal negatif tentang guru. Mereka langsung tiada
ilmu atau perkara yang baik-baik tentang guru wahal mereka diasuh dan dididik
oleh golongan guru. Golongan yang paling banyak berjaya kepada hidup semua
manusia. Arketik yang memanusiakan mereka dari kecil hingga dewasa.
Apabila orang memberikan tanggapan
yang salah tentang cuti sekolah dan mengaitkannya dengan guru, saya memang marah
kerana selama menjadi guru saya tidak tahu waktu bilakan saya bercuti. Ribuan
guru di seluruh Malaysia pun merasai perkara yang sama. Setiap hari, semua guru
akan bangun pada pukul 5:00 pagi dan
pada pukul 6:30 pagi mereka kena berada di sekolah untuk melakukan pelbagai
perkara bagi memastikan proses pengajaran dan pembelajaran lancar dan kondusif.
Pada ketika itu, masyarakat yang bukan guru kecuali suri rumah masih tidur
berdengkur kerana waktu pejabat mereka bermula pada pukul 8:00 pagi. Walaupun
sesi persekolahan habis pada pukul 1:45 petang, selepas pelajar-pelajar balik
ke rumah, masih ramai lagi guru yang terkejar-kejar waktu untuk melakukan
pelbagai perkara. Ada yang perlu mengadakan kelas tambahan, melatih atlit wakil
sekolah, menghadiri mesyuarat, menghadiri LADAP, menyelesaikan masalah disiplin
pelajar, dan menyemak buku latihan pelajar. Apabila tidak dapat disiapkan
disekolah, guru-guru kena membawa kerja-kerja mereka balik ke rumah untuk
disiapkan sehingga lewat malam. Apakah ini yang dikatakan oleh masyarakat “guru
banyak cuti”?
Bagi golongan guru yang ditugaskan
menjadi guru penasihat kepada beberapa program yang dipertandingkan seperti
perbahasan, drama, pidato, bicara berirama, tarian, nyanyian, istilah cuti
memang tiada dalam kamus hidup mereka. Mereka menghabiskan banyak masa melatih
pelajar-pelajar yang bakal mewakili sekolah dari Isnin hingga Ahad. Mereka
sanggup mengorbankan hari hujung minggu mereka di sekolah, bahkan ada yang
membawa anak-anak mereka sendiri. Bagi golongan guru yang mementingkan
pencapaian pelajar dalam subjek yang diajar, mereka menghabiskan masa
mengadakan pelbagai kelas tambahan atau “klinik pemulihan dan pengayaan” untuk
pelajar-pelajar mereka. Masyarakat nampak semua ini kerana anak mereka selalu
sahaja dipanggil ke sekolah oleh guru-guru yang terbabit. Akan tetapi, mereka
masih juga mengatakan guru banyak cuti kerana mereka kurang ilmu tentang
golongan guru. Yang banyak cuti itu mereka. Mereka cuma bekerja dari pukul 8:00
pagi hingga pukul 5:00 petang. Kerja di pejabat tidak di bawa balik ke rumah.
Datang di rumah mereka terkangkang melayang drama di televisyen sehingga ada
yang menangis dan ketawa sampai tak ingat dunia. Esok drama hidup mereka
berulang begitu lagi tetapi perjalanan hidup insan yang bergelar guru tidak
sebegitu.
NIKMAT CUTI TAK PERNAH DIRASAI
Saya akui golongan guru merupakan
golongan pejawat awam terbanyak di mana-mana negara sekalipun. Di mana ada
sekolah disitulah ada guru. Mungkin ada masyarakat yang terjumpa dengan rakan-rakan
mereka yang berjawatan sebagai guru sedang memancing, berjogging, atau shopping
itu bukan bermakna mereka banyak cuti. Ramai lagi golongan guru yang bergelut
dengan masa untuk menyiapkan pelbagai kerja yang diarahkan oleh pihak atasan
sehingga tidak sempat mandi atau berus gigi sebaik sahaja membuka mata pada
setiap pagi. Pada cuti sekolah, pelajar memang bercuti tetapi ribuan guru pula
terpaksa mengorbankan waktu menjadi pemeriksa kertas peperiksaan atau membawa
pelajar menyertai pelbagai kem atau perkhemahan. Itulah nasib seorang guru.
Hanya masyarakat yang pernah bersekolah dan betul-betul bersekolah semasa
berada di alam persekolahan mereka yang memahami tugas guru. Bagi yang bersekolah,
tetapi tidak pernah memandang pengorbanan guru-guru mereka dengan mata hati,
sampai ke usia tua pun mereka tidak akan faham tugas guru kerana mereka tidak
pernah menyelam istimewanya hidup seorang guru.
“Jika nak tahu guru banyak cuti atau
tidak, luangkan masa bersama guru-guru anda selama 48 jam. Perhatikan setiap
perkara yang mereka lakukan. Saya percaya, selepas itu anda akan mengubah
persepsi tersebut kerana guru sebenarnya tidak pernah bercuti”
Tanggapan negatif masyarakat bahawa
guru banyak cuti adalah salah. Sebenarnya bukan guru yang bercuti. Yang bercuti
cuma pelajar bukannya guru. Guru masih bergelut dengan pelbagai kerja yang
diarahkan oleh pihak atasan sewaktu pelajar bercuti. Walaupun guru mungkin
tidak datang ke sekolah tetapi percayalah hampir 95% guru-guru ini terus
memberikan komitmen terhadap tugas-tugas mereka di rumah. Dalam hal ini,
amatlah tidak adil untuk melabelkan guru banyak cuti. Masyarakat harus faham,
dalam setandan pisang tidak semuanya baik untuk dijadikan santapan. Mungkin ada
dua hingga tiga biji pisang yang perlu dibuang kerana sudah terlalu masak atau
buruk. Pisang yang sebegitu tidak boleh dimakan. Begitulah juga dengan golongan
guru, disebabkan golongan ini merupakan bilangan pejawat awam yang teramai,
saya tidak menafikan ada guru yang sibuk melakukan kerja-kerja sampingan di
luar waktu persekolahan dan pemalas. Akan tetapi, mereka yang bersikap sebegitu
amatlah sedikit dan pembawaan mereka tidak melambangkan semua guru sebegitu.
Ribuan guru di Malaysia masih memberikan yang terbaik untuk tugas-tugas mereka.
"Orang yang suka bercuti ini terdapat di mana-mana, bukannya golongan guru sahaja. Kebanyakan golongan ini merupakan golongan yang pemalas, sebab itu mereka suka memohon cuti. Dalam kalangan guru pun begitu, mungkin yang kelihatan terlalu senang dan sentiasa berlenggang-lenggang itu guru yang pemalas dan tidak melakukan tugas dengan sempurna. Mereka tidak mewakili semua guru yang lain di bumi Malaysia bertuah ini. Anggap sahaja golongan ini sebagai golongan "sakit" yang perlu dirawat."
Cikgu Zulkarnain Farihin
SMK Sibu Jaya
Sibu Sarawak
Tiada ulasan:
Catat Ulasan