09 Februari 2016

NYAMUK AEDES MEMBIAK CEPAT SEMASA CUACA PANAS

Oleh: Mohd Zin Ali, 4 Februari 2016, Berita Harian Online


Cuaca panas, kering dan suhu tinggi akibat fenomena El Nino yang melanda negara sehingga Mac ini dikatakan menyumbang kepada peningkatan kes demam denggi sehingga sebanyak 50 peratus. Kitaran hidup nyamuk aedes daripada telur ke peringkat nyamuk dewasa menjadi semakin singkat, iaitu kurang daripada tujuh hari menyebabkan populasi nyamuk meningkat. Cuaca panas turut menjadikan nyamuk lebih aktif dan meningkatkan frekuensinya untuk menggigit mangsa selain penyebaran virus denggi menjadi lebih luas. Kemarau akibat El Nino pula memaksa masyarakat menakung air bagi menampung bekalan air harian, sekali gus meningkatkan tempat pembiakan nyamuk aedes.

Salah faham punca kes meningkat Berikutan peningkatan kes demam denggi akhir-akhir ini, kerajaan dan masyarakat saling menyalahkan antara satu sama lain sebagai punca kes demam denggi meningkat di negara ini. Masyarakat dikatakan gagal menjaga kebersihan, enggan bergotong-royong memusnahkan tempat pembiakan nyamuk dan gagal memberi kerjasama ketika aktiviti semburan kabus, manakala kerajaan didakwa gagal melakukan semburan lebih kerap untuk mengawal nyamuk aedes. Bagaimanapun, salah faham itu sebenarnya berpunca daripada kurangnya pengetahuan masyarakat mengenai cara menangani nyamuk aedes.

Pensyarah Entemologi Perubatan di Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr Hidayatulfathi Othman, berkata pengetahuan mengenai nyamuk aedes adalah sangat penting untuk orang ramai mencegah demam denggi. Beliau yang mempunyai kepakaran dalam bidang nyamuk aedes dan mobilisasi masyarakat terhadap denggi berkata, kajian mendapati hanya 50 peratus masyarakat mengetahui mengenai nyamuk aedes berbanding 75 peratus masyarakat tahu mengenai demam denggi. "Kita sedar mencegah adalah lebih baik daripada berubat. Oleh itu, untuk mencegah demam denggi, kita sepatutnya mengenali dengan lebih baik nyamuk aedes ini," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Dr Hidayatulfathi berkata, nyamuk aedes terdiri daripada dua jenis, iaitu aedes aegypti dan aedes albopictus yang sama kuat membawa virus denggi dengan kedua-duanya menggigit pada siang hari. Aedes aegypti sangat domestik kerana tinggal dalam rumah bersama manusia, membiak di bawah bumbung, anjung atau tempat letak kereta serta hinggap di celah langsir dan gantungan baju, manakala aedes albopictus tinggal di luar rumah dengan membiak di lubang pokok atau bekas sampah yang tidak diurus baik. Nyamuk aedes perlu menghisap darah untuk mendapatkan protein dan zat besi bagi menghasilkan telur dengan seekor nyamuk aedes aegypti boleh bertelur antara 80 dan 200 biji, manakala aedes albopictus boleh bertelur antara 40 dan 80 biji.

Kitar hidup nyamuk aedes dalam air adalah antara tujuh hingga lapan hari, manakala jangka hayat nyamuk dewasa ialah antara tiga dan empat minggu dengan seekor nyamuk mampu bertelur sebanyak lima atau enam kali. Sebenarnya, sukar untuk mengelak daripada digigit nyamuk aedes kerana ia menggigit pada siang hari berbanding nyamuk lain yang aktif pada waktu malam dengan orang ramai boleh berlindung hanya menggunakan kelambu. Dr Hidayatulfathi berkata, waktu aktif nyamuk aedes ialah antara jam 6.30 pagi hingga 8.30 pagi serta antara jam 5.30 petang dan 8.30 malam, tetapi ia juga boleh aktif menggigit pada waktu lain sekiranya cuaca persekitaran menyamai waktu aktifnya iaitu suhu kurang daripada 28 darjah Celsius. Boleh bertelur dalam bekas sebesar syiling 20 sen Beliau berkata, nyamuk aedes boleh bertelur dalam bekas sebesar syiling 20 sen yang mengandungi air bersih dengan telur akan melekat pada dinding bekas di sekeliling gigi air.

Untuk membersihkan bekas pembiakan nyamuk, kita tidak boleh hanya membuang airnya sahaja, tetapi perlu memberus dinding bekas untuk membuang telur atau menyiram dengan air panas yang suhunya lebih 80 darjah Celsius untuk membunuh telur. Tanpa memberus atau membunuhnya dengan air panas, telur yang kelihatan seperti bintik tahi lalat itu boleh hidup dalam keadaan kering selama enam hingga sembilan bulan dan boleh menetas menjadi jejentik hanya dalam masa setengah hingga satu jam apabila terkena air.


Selain itu, Dr Hidayatulfathi berkata, nyamuk aedes mempunyai kelebihan unik, iaitu boleh melakukan jangkitan secara transovarial selama lima keturunan. Ia adalah keadaan di mana nyamuk dewasa akan menyimpan virus denggi dalam ovari selepas menggigit pesakit denggi dengan setiap kali telur yang dihasilkan akan mempunyai virus di dalamnya. Apabila telur menetas, jejentik yang dihasilkan akan sedia ada dengan virus berkenaan dan apabila menjadi nyamuk dewasa, ia boleh menularkan virus kepada orang lain yang sihat tanpa perlu hisap darah orang berpenyakit dengan virus ini boleh bertahan sehingga lima keturunan.


PERGOLAKAN DI LUAR NEGARA BERI KESAN KEPADA MALAYSIA

Sumber : Berita Harian Online, 6 Februari 2016


Selepas insiden pengeboman di Istanbul, Jakarta dan Charsadda, Pakistan, beberapa minggu lalu, berlaku pula letupan bom di Kaherah serta di Mogadishu, Somalia. Semua kejadian ini tercetus dalam negara Islam. Sedarkah kita bahawa huru-hara sering terjadi di negara Islam apabila ada anasir yang melaga-laga dan menyemai sikap kebencian melampau dalam kalangan umat Islam di dalam negara itu sendiri? Apa yang kita bimbangkan bukan sahaja mereka yang tidak bersalah akan terbunuh, tetapi nyawa rakyat Malaysia akan terancam di negaraberisiko berlakunya peristiwa yang tidak diingini. Kita harus berterima kasih dan bersyukur kerana sehingga hari ini, pasukan keselamatan negara masih lagi mampu mengekalkan keamanan. Ramai warganegara Malaysia yang berada di seberang laut seperti pelajar, pelancong, pegawai kedutaan dan peniaga. Walaupun insiden yang disebutkan tadi berskala kecil, kebarangkalian berlakunya peperangan besar dalam sesebuah negara atau antara beberapa negara, adalah tidak mustahil seperti di Yaman.

Suhu politik yang semakin panas di rantau Arab meresahkan umat Islam memandangkan setiap tahun ramai jemaah Malaysia menunaikan ibadah umrah dan haji. Dijangkakan lebih banyak konflik akan berlaku pada tahun ini, manakala konflik sedia ada di beberapa negara tidak menampakkan tanda penyelesaian. Jika berlaku perkara tidak diingini di negara luar membabitkan warganegara Malaysia, kita yakin terhadap kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Wisma Putra dan lain-lain agensi kerajaan dalam membawa mereka pulang ke tanah air. Prestasi pasukan keselamatan Prestasi pasukan keselamatan negara sememangnya terbukti seperti Ops Piramid pada Februari 2011 yang berjaya membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Namun pesawat C-130 yang berenjin Propeller mempunyai kelemahan tertentu walaupun boleh mendarat di kawasan tidak berturap, mampu membawa muatan pelbagai bentuk selain penumpang dan boleh terbang dalam jarak yang jauh.

Antara kelemahan pesawat ini ialah kelajuannya rendah berbanding pesawat berenjin jet. Malaysia khususnya TUDM perlu mempunyai pesawat strategik berenjin jet supaya boleh diatur gerakan dengan pantas ke mana-mana lokasi merentas benua untuk menyelamatkan warganegara Malaysia. Kedudukan geografi Malaysia yang dipisahkan oleh Laut China Selatan juga adalah faktor utama mengapa pesawat strategik berenjin jet diperlukan apatah lagi keadaan keselamatan tidak menentu di perairan Timur Sabah yang bersempadan dengan Selatan Filipina. Negara jiran Malaysia seperti Indonesia mengoperasikan pesawat pengangkut terpakai berenjin jet, Boeing 737-500 yang dibeli dari syarikat penerbangan Garuda, manakala Tentera Udara Republik Singapura bakal menggunakan enam pesawat Airbus 330 MRTT (Multi-Role Transport Tanker). Kedua-dua jenis pesawat ini asalnya adalah kapal terbang penumpang awam. Pesawat ini juga boleh diubah untuk kegunaan lain seperti rondaan maritim, pengisian minyak di udara, hospital bergerak, perisikan, pusat pemerintahan dan kawalan serta lain-lain fungsi pertahanan.

Tragedi hitam MH17 menjadikan keperluan pesawat strategik sangat perlu kerana nyawa rakyat Malaysia hilang beribu kilometer jauhnya dan kita tidak mampu untuk melakukan sesuatu dengan cepat. Begitu juga dengan kehilangan MH370. Operasi mencari dan menyelamat di laut luas seperti Lautan Hindi memerlukan pesawat berkemampuan lasak untuk terbang dalam jangka waktu yang lama. Kapal terbang aset penting Kapal terbang untuk tujuan pertahanan adalah aset penting bagi sesebuah negara. Selain memantau ancaman musuh di luar sempadan, pesawat udara strategik menjadi 'jambatan' utama ketika berlakunya bencana alam yang tidak diduga.

Gempa bumi, banjir besar, tsunami dan tanah runtuh boleh berlaku dalam sekelip mata serta memerlukan kecekapan pengurusan logistik yang disokong oleh kepantasan pengangkutan udara. Pada 6 Januari 2016 yang lalu, negara China menggunakan pesawat penumpang awam, China Southern Airlines (berenjin jet) untuk mendarat di atas pulau buatan manusia di Fiery Cross Reef yang turut dituntut oleh Filipina. Lihatlah bagaimana pesawat seperti itu digunakan untuk tujuan strategik dan pertahanan walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak termasuk dari Amerika Syarikat (AS). Kepulauan Spratly diketahui dunia sebagai salah satu titik panas yang boleh menimbulkan konflik besar kerana tuntutan bertindih yang belum dapat diselesaikan sehingga hari ini. Rakyat Malaysia yang kerap ke luar negara untuk tujuan perniagaan, urusan peribadi dan sebagainya dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta tahu bagaimana hendak berhubung dengan Kedutaan/Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di seberang laut.

Ini memudahkan urusan komunikasi jika berlaku sesuatu perkara yang tidak diingini. Bagi warganegara Malaysia yang tidak ke luar negara, sama-samalah kita menjaga keselamatan tanah air ini dengan tidak mudah melatah apabila cepat berkongsi maklumat tidak sahih di dalam media sosial. Keprihatinan Kerajaan Persekutuan mengenai ancaman keselamatan mutakhir ini diterjemahkan dalam Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015. Antara fungsi utama majlis ini ialah untuk merumuskan dasar dan langkah strategik mengenai keselamatan negara, termasuk kedaulatan, integriti wilayah, pertahanan, kestabilan sosiopolitik, kestabilan ekonomi, sumber strategik, perpaduan negara dan kepentingan lain yang berhubung dengan keselamatan negara. Selain itu, majlis ini juga akan memantau pelaksanaan dasar dan langkah strategik mengenai keselamatan negara.

Perkara 149 di dalam Perlembagaan Persekutuan juga dengan jelas menyatakan mengenai perundangan menentang perbuatan subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Berita mengenai 46 rakyat Malaysia termasuk wanita dan kanak-kanak yang menyertai kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria sangat membimbangkan kita. Berwaspadalah ketika melayari dan membaca maklumat di dalam media sosial. Periksa dan teliti terjemahan al-Quran serta hadis Rasulullah SAW dengan pihak yang berwajib agar kita tidak mudah terpesong dengan bahan tidak tulen yang mengelirukan. Peliharalah kesejahteraan serta keamanan negara seperti termaktub pada Perkara 1, Perlembagaan Persekutuan. Setiap minda warganegara Malaysia adalah barisan hadapan kepada pertahanan negara kerana maklumat yang dibaca di media sosial adalah 'lautan' yang sarat dengan pelbagai unsur termasuk sampah dan racun yang boleh menghancurkan kedaulatan tanah air seperti yang berlaku di Syria serta Iraq.



ANCAMAN VIRUS ZIKA - MOHON BERJAGA-JAGA


Virus Zika yang disebabkan oleh nyamuk Aedes merebak di sebahagian Amerika Latin dan Caribbean telah menimbulkan kebimbangan malah ia dikatakan penyebab bayi yang dilahirkan berkepala kecil di Brazil dan berkemungkinan turut menyebabkan beberapa isu kesihatan yang lain. Memetik laporan AP, virus Zika (ZEE-ka) ditemui kali pertama pada monyet di Uganda pada tahun 1947. Namanya diambil dari sebuah hutan Zika iaitu lokasi virus itu ditemui. Ia berasal terutamanya dari tropika Afrika dengan wabak di Asia Tenggara dan Kepulauan Pasifik dan muncul di Brazil tahun lalu dan sejak itu telah dilihat di banyak negara-negara Amerika Latin dan kepulauan Caribbean.

Virus Zika disebarkan melalui gigitan dari nyamuk dari jenis yang sama yang menyebarkan penyakit tropika yang lain seperti demam denggi, chikungunya dan demam kuning. Ia bagaimanapun masih tidak diketahui sama ada ia merebak dari individu ke individu yang lain. Pengkaji sedang mengkaji kemungkinan virus tersebut boleh dijangkiti melalui seks. Ia ditemui di dalam air mani seorang lelaki di Tahiti dan terdapat satu lagi laporan mengenai kemungkinan penyebaran virus melalui hubungan seks. Pertubuhan Kesihatan Dunia berkata, virus Zika cepat merebak di Amerika kerana ia adalah sesuatu yang baru di rantau itu. Orang ramai masih tidak kebal (imun) kepada virus itu dan nyamuk Aedes aegypti (Aedes) ada dimana sahaja termasuklah sepanjang selatan Amerika Syarikat. Hanya Kanada dan Chile yang tidak mempunyai nyamuk jenis ini.

SIMPTOM

Pakar berpendapat, orang yang dijangkiti virus Zika ini tidak jatuh sakit. Biasanya mereka hanya mengalami gejala ringgan seperti deman, ruam, sakit sendi dan mata merah yang hanya untuk tidak kurang dari seminggu. Tiada ubat yang khusus dan tiada vaksin yang dibangunkan untuk itu yang berlaku untuk beberapa penyakit tropika lain yang menyebabkan wabak berkala.

APA YANG MENJADI KEBIMBANGAN SEKARANG

Di Brazil, ada bukti yang mengaitkan virus Zika yang menjangkiti wanita hamil akan menyebabkan kecacatan kelahiran yang dipanggil microcephaly di mana kepala bayi yang baru lahir adalah lebih kecil daripada biasa dan otak bayi mungkin tidak berkembang dengan baik. Pegawai kesihatan Brazil Oktober lalu menyedari peningkatan yang mendadak dalam kes-kes microcephaly seiring dengan wabak Zika itu. Bagaimanapun kaitan virus Zika masih dalam siasatan dan pegawai maklum bahawa banyak sebab keadaan tu. Hampir 4,000 kes yang berkemungkinan mempunyai kaitan. Sementara itu, doktor juga mengambil perhatian kepada peningkatan laporan terhadap penyakit keadaan saraf yang dipanggil Guillain-Barre (gee-YAHN'-bah-RAY) yang boleh menyebabkan lumpuh. Namun  kaitan penyakit itu kepada virus Zika masih tidak jelas.

ADAKAH JANGKITAN DAPAT DIHENTIKAN

Individu boleh melindungi diri mereka daripada gigitan nyamuk dengan menggunakan penghalau serangga dan memakai baju serta seluar lengan panjang terutama pada waktu siang, apabila nyamuk cenderung untuk menjadi yang paling aktif. Pegawai kesihatan berkata, menghapuskan tempat pembiakan dan mengawal populasi nyamuk boleh membantu mencegah penyebaran virus.

NASIHAT PERJALANAN

Pegawai kesihatan AS mengesyorkan bahawa wanita hamil perlu mengambil kira untuk menangguhkan perjalanan ke 22 destinasi di Amerika Latin iaitu Bolivia, Brazil, Colombia, Ecuador, El Salvador, French Guiana, Guatemala, Guyana, Honduras, Mexico, Panama, Paraguay, Suriname dan Venezuela. Di Caribbean: Barbados, Guadeloupe, Haiti, Martinique, St. Martin dan Puerto Rico, Cape Verde, di luar pantai barat Afrika dan Samoa di Pasifik Selatan. Di Brazil, kebanyakan ibu yang mempunyai bayi microcephaly telah dijangkiti semasa trimester yang pertama tetapi terdapat beberapa bukti kecacatan kelahiran boleh berlaku di peringkat akhir kehamilan. Amaran perjalanan dikeluarkan kepada wanita di semua peringkat kehamilan.




21 November 2015

ISU BAHASA : PEMARTABATAN BAHASA MELAYU PERKUKUH PEMBINAAN NEGARA BANGSA


SAHBULAH DARWI
Pengurus Unit Media dan Penerbitan Universiti Multimedia (MMU)
Utusan Malaysia Online, 17 November 2015

Apakah perbezaan antara bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa negara? Jika soalan ini ditanya secara rambang, mungkin ada dalam kalangan masyarakat kita yang akan menggelengkan kepala kerana tidak pasti apakah perbezaannya atau mungkin memberi jawapan yang keliru atau tersasar. Malah mungkin ada yang menganggap kesemua istilah itu sama sahaja walhal ia memberi perbezaan maksud yang cukup signifikan dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan penting untuk memastikan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di Malaysia selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. GAMBAR HIASAN Hakikatnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara ini amat jelas, justeru apabila dua status itu dimiliki maka bahasa Melayu berada dalam kedudukan cukup tinggi iaitu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, jika ditinjau ke sebuah negara jiran, misalnya memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa rasmi bagi republik itu adalah bahasa Inggeris. Jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Istilah bahasa kebangsaan ertinya ialah penggunaan bahasa Melayu itu tidak wajib, ia sekadar lambang sahaja. Jika berstatus wajib maka negara jiran kita itu tidak sanggup pilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. “Sedangkan istilah bahasa rasmi bererti bahasa Melayu wajib digunakan dalam sistem kenegaraan dan sebagai bahasa utama termasuk wajib digunakan dalam sistem pendidikan, perundangan, komunikasi rasmi, naskhah yang sah adalah wajib dalam bahasa Melayu dan sebagainya,” kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong semasa menyampaikan ceramah pada Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) Berhad di Menara TM baru-baru ini. Wacana yang dirasmikan oleh Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli itu dihadiri oleh kakitangan-kakitangan TM dari seluruh negara. Ia bertujuan meningkatkan kefahaman tentang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini selaras dengan nilai-nilai kristal yang dite-rapkan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

Kok Seong yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) menjelaskan lagi bahawa kuasa sebenar dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu itu adalah terletak pada istilah bahasa rasmi dan bukannya sekadar bahasa kebangsaan. Memang selayaknya bahasa Melayu dimartabatkan pada kedudukan seperti itu kerana ia adalah bahasa yang terbina sejak zaman berzaman dan berkemampuan mengungkap keseluruhan komunikasi manusia sebagai bahasa ilmu sehingga ke tahap bahasa saintifik moden. Kata beliau, ini kerana bahasa Melayu bukan seperti bahasa sukuan yang tiada terbina seperti di sesetengah bahasa di benua Afrika. Namun begitu, hakikatnya, bahasa Melayu yang korpusnya lengkap, kukuh dan utuh itu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dari semasa ke semasa berikutan peredaran zaman hingga kadang kala kelihatan citranya hilang.

Sebab itu, ketika bersemangat menyampaikan ceramah, wajah Kok Seong tiba-tiba berubah sayu dan muram lalu berkata: “Tapi sayangnya, amat malang bagi bahasa Melayu kadang kala ia seperti melukut di tepi gantang di negara watannya sendiri apabila ia seolah-olah tiada tempat!.” Justeru, dalam soal memartabatkan secara berterusan bahasa Melayu, tidak boleh tidak, beliau menegaskan, terdapat empat aspek perlu diberi penekanan iaitu; Kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan warga Malaysia; Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul; Memastikan ketulenan bahasa Melayu dalam penggunaan harian rakyat negara ini; Dan orang Melayu perlu menjadi contoh kepada penggunaan bahasa Melayu itu. “Dalam melihat kecekapan berbahasa Melayu oleh warga Malaysia, kita perlu melihat kepada penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu, kerana orang Melayu tiada masalah dalam berbahasa Melayu.

“Tahniah dan syabas kepada bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu tetapi persoalan besar timbul kerana masih ada bukan Melayu sebagai warganegara, yang sepatah haram tidak tahu menggunakan bahasa Melayu walaupun setelah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan,” tegasnya yang menyifatkan dirinya sebagai memegang amanah ilmu dalam memperjuangkan bahasa Melayu walaupun bukan berketurunan Melayu. Dalam aspek penggunaan bahasa yang baik dan betul, ia penting agar citra bahasa negara itu terpelihara. Masih berlaku banyak kesilapan penggunaan perkataan oleh rak-yat negara ini termasuk segelintir para pemimpin. Contohnya, penggunaan perkataan ‘hemah atau hemat’ yang berbeza makna dan sering disalahgunakan. Perkataan ‘taksub’ sepatutnya dieja ‘taasub’, perkataan ‘war-war’ sepatutnya dieja ‘uar-uar’ dan sebagainya. Begitu juga, dalam memastikan ketulenan bahasa Melayu, masyarakat haruslah bersungguh-sungguh menggunakan perkataan asal bahasa Melayu sebagai keutamaan dan janganlah sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing.


Beliau berkata, sebagai contoh, perkataan ‘seleksi’ sepatutnya lebih baik digunakan ‘pilihan’, ‘intelektual’ sepatutnya ‘cendekiawan’ dan sebagainya. Dalam aspek keempat pula, Kok Seong memberitahu, orang Melayu mesti meyakinkan dan memandaikan anak bangsa dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tinggi malahan bahasa kelima terbesar dituturkan di dunia. Ia berbalik kepada sikap dan iltizam orang Melayu itu, kerana tidak boleh mereka mempertikaikan kebolehan bahasanya sendiri. Kesimpulannya, usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja penting malahan amat kritikal dalam menyuburkan jati diri warganegara yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, penulis berpandangan, jika perkara ini difahami maka tidak timbul lagi soal segelintir pihak mempertikaikan langkah kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukkan ke universiti awam memandangkan bahasa Melayu dalam sijil itu tidak setara dengan kehendak kerajaan. Ini mustahak kerana meletakkan bahasa Melayu di tempat tinggi selayaknya adalah usaha ke arah untuk mencapai peranan bahasa itu yang bukan sahaja sebagai alat berkomunikasi tetapi ia adalah alat pemangkin kemajuan, perpaduan kaum, identiti nasional dan pembentukan negara.

ISU KEGANASAN PERSEPSI


NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Universiti Putra Malaysia (UPM).
Utusan Malaysia, 18 November 2015

Ini adalah zaman persepsi. Masyarakat melihat semua perkara dalam persepsi masing-masing lantas membuat rumusan dan keputusan yang lebih banyak dipengaruhi oleh elemen emosi berbanding fikiran yang waras dan adil. Akibatnya keadaan menjadi kelam kabut dan mencetuskan pelbagai situasi panik. Hakikatnya, sama ada persepsi baik mahupun negatif ia perlu melalui satu proses pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya agar kita tidak membuat keputusan yang terburu-buru mahupun salah. Apa yang dimaksudkan keganasan persepsi? Keganasan persepsi sering dirujuk kepada tindak tanduk pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menaburkan pelbagai fitnah terutamanya dalam media baharu seperti media sosial yang lebih banyak menjurus kepada unsur negatif terhadap sesuatu isu, sesebuah organisasi mahupun individu seperti pemimpin negara.

Ringkasnya, ia membabitkan usaha untuk memburukkan, mencemarkan atau menjatuhkan seseorang individu, kumpulan ataupun sesebuah organisasi untuk tujuan tertentu dengan mencetuskan persepsi negatif dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab media sosial seperti Facebook, Twitter, Instagram dan blog mula menjadi medium utama masyarakat dewasa ini maka pihak yang melakukan keganasan persepsi ini menggunakan media baharu ini untuk melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini dan percayalah mereka berjaya melakukannya kerana pengaruh media sosial yang cukup kuat. Pelbagai berita, maklumat, gambar, data dan fakta yang berbentuk andaian mahupun fitnah yang jelas belum tentu kesahihannya disebarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi dan meracuni pemikiran dan minda masyarakat kita secara keseluruhannya.

Keadaan menjadi semakin parah dan kritikal apabila pengguna media sosial dengan pantas menyebarkan ataupun viralkan maklumat yang mereka terima itu tanpa usul periksa. Ini menyebabkan fitnah yang dicetuskan itu tersebar luas dan menjadi viral dalam kalangan pengguna media sosial. Oleh kerana ia tersebar luas akhirnya pengguna media sosial merumuskan fitnah ataupun maklumat palsu tersebut adalah benar dan sahih. Keganasan persepsi seperti ini jelas boleh merosakkan dan menghancurkan negara dan masyarakat kita. Ia membuka peluang untuk kita memandang serong kepada semua perkara tanpa menilai dengan sewajarnya.

Pertimbangan akal yang longgar dari pengguna media sosial terutamanya golongan muda cukup merisaukan dan memudaratkan. Buktinya pada hari ini kita boleh melihat dalam media sosial yang popular seperti Facebook betapa pengguna media sosial berdebat, menzahirkan pandangan dan pendapat masing-masing mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berdasarkan persepsi masing-masing. Rata-rata menjatuhkan hukuman sebelum sesuatu isu mahupun individu itu dibuktikan benar mahupun bersalah. Akibatnya perasaan benci dan marah yang dicetuskan oleh emosi yang terganggu mula mengambil tempat. Kalau kita mengkaji secara mendalam seolah-olah dewasa ini wujud satu sindiket yang menangguk di air yang keruh apabila dengan mudah mengambil kesempatan untuk meraih populariti serta sentiasa berusaha untuk menanamkan persepsi yang buruk terhadap sesuatu perkara dalam kalangan masyarakat.

Ini dapat dilihat apabila satu demi satu isu dibangkitkan seolah-olah membabitkan suatu perancangan yang cukup teliti bagi memburukkan seseorang individu mahupun organisasi.
Hakikatnya kita tidak boleh lari dari kenyataan betapa kebanyakan daripada keganasan persepsi yang berlaku adalah bermotifkan kepentingan politik. Ini jelas dapat dilihat apabila adanya usaha-usaha untuk membunuh karakter mahupun memburukkan imej individu tertentu. Malah mutakhir ini kita dapat lihat betapa organisasi tertentu juga terus menjadi mangsa keganasan persepsi ini. Jelas keganasan persepsi mula mencetuskan keadaan panik dan huru hara dalam kalangan masyarakat. Masyarakat pada hari ini serba salah sama ada mahu percaya ataupun tidak apa yang disebarkan dan diperdebatkan secara meluas dalam media sosial. Kepercayaan dan keyakinan masyarakat terhadap seseorang individu mahupun organisasi juga dilihat semakin terhakis yang sekali gus membuktikan keganasan persepsi berjaya memainkan peranan yang efektif dalam mempengaruhi minda, emosi dan pemikiran masyarakat.

Maka berdasarkan kerosakan yang dicetuskan oleh keganasan persepsi ini adakah wajar perkara seumpama ini dibiarkan terus berleluasa? Apakah ini kos yang perlu dibayar untuk menikmati kebebasan bersuara? Atau adakah ini ciri-ciri masyarakat negara maju yang kita idamkan selama ini? Walau apapun jawapannya keganasan persepsi mesti ditangani secara berhemah supaya tidak terus menjadi duri dalam daging mahupun menjadi racun dan virus yang sukar diubati kelak. Kita mungkin sukar untuk menghukum pengganas moden dan bijak ini kerana mereka mudah berselindung dan pandai menyembunyikan diri di sebalik kecanggihan teknologi maklumat yang ada. Namun satu perkara yang boleh kita lakukan ialah mendidik dan menyedarkan masyarakat tentang sindrom keganasan persepsi ini. Masyarakat perlu disedarkan betapa bahayanya keganasan persepsi sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat, mencetuskan huru hara, mengganggu gugat kestabilan, keamanan dan keselamatan negara.


Untuk itu, masyarakat perlu dididik untuk menilai sesuatu maklumat itu secara bijak, profesional, waras dan adil sebelum membuat keputusan mahupun menjatuhkan hukuman. Masyarakat juga perlu dididik bagaimana untuk mengurus dan mengawal persepsi dan emosi masing-masing. Benar kita sedang menuju untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi namun itu bukanlah alasan untuk kita menaburkan pelbagai fitnah dan persepsi yang boleh menghancurkan negara secara keseluruhannya. Kebebasan bersuara juga ada had dan batas-batasnya. Negara ini ada undang-undang dan kita perlu akur dan mematuhi undang-undang tersebut supaya keamanan, kestabilan dan keselamatan yang sedia ada dapat terus diperkukuhkan dan dipertahankan. Walaupun keganasan persepsi dilihat satu terminologi baharu dalam kamus hidup masyarakat kita namun percayalah ia sudah lama bertapak dan cuma mutakhir ini dilihat semakin mengganas untuk tujuan dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang jelas ada agenda tersembunyi. Maka penulis sangat berharap agar pihak berwajib dapat memikirkan kaedah yang bersesuaian untuk menangani isu keganasan persepsi secara berhemah sebelum keadaan menjadi semakin parah dan sukar dikawal.

26 April 2015

PhD PALSU CUMA BERHARGA RM10,500 SAHAJA.

Akhbar Satar
Presiden Transparensi International Malaysia
Berita Harian Online, 23 April 2015

Beberapa hari lalu, Majlis Profesor Negara (MPN) melancarkan buku Garis Panduan Penggunaan Gelaran Profesor bagi mengangkat kredibiliti profesion dan imej ahli akademik di Malaysia bertujuan menjelaskan penyalahgunaan gelaran profesor pada pangkal nama atau kad nama. Bahkan sudah ramai menyalahgunakan ijazah Sarjana Kedoktoran (PhD) sama ada dibeli menerusi online, diplagiat atau mengupah orang menyediakan tesis bagi tujuan penipuan dan komersial. Banyak kes seperti ini sama ada di Malaysia ataupun luar negara termasuk negara maju yang menjadi hab pengajian tinggi.


Beberapa tahun lalu, bekas Pengarah Kanan dan Ketua Pegawai Maklumat, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Amerika Syarikat (AS), Laura Callahan meletak jawatan selepas didapati membeli Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan PhD secara dalam talian. Kes ini menggegarkan keselamatan Rumah Putih kerana dilihat seolah-olah tidak menyemak latar belakang sebelum mengambil beliau bertugas. AS mengeluarkan 50,000 ijazah PhD seluruh dunia, bernilai RM3.6 bilion (AS$1 bilion) setahun. Di Pakistan pula ada banyak universiti melantik profesor kelulusan PhD palsu dan ia menjejaskan kredibiliti universitinya. Pembabitan 'profesor segera' ini merosakkan imej dan mutu pengajian terutama bidang perubatan. Di Russia, ijazah palsu dapat dibeli dengan harga RM3,000.

Ada juga sindiket mengeluarkan ijazah palsu atas nama Universiti Harvard - pusat pengajian tinggi terbaik di dunia, dengan harga RM120,000. Sedia khidmat ijazah palsu Malah, sebuah laman sesawang menyediakan perkhidmatan mengeluarkan ijazah palsu, termasuk PhD dari pusat pengajian tinggi dengan bayaran RM240. Tawaran ini jadi lebih menarik apabila mereka bebas memilih apa sahaja bidang dikehendaki atau mana-mana universiti untuk diisi dalam ijazah palsu itu. Ijazah palsu membabitkan universiti Malaysia mula dikesan susulan kes penipuan untuk mendapat kelulusan Universiti Sains Malaysia (USM) beberapa tahun lalu.

Selain kes sijil palsu USM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penjualan sijil palsu lebih RM5 juta, kononnya daripada lima universiti luar negara. Pembelinya terdiri daripada kalangan ahli politik dan individu bergelar Tan Sri. Syarikat mengenakan harga RM6,500 bagi ijazah Sarjana Muda, RM8,500 (Sarjana) dan RM10,500 (PhD) dalam pelbagai jurusan kononnya diiktiraf lima universiti luar negara, antaranya Universiti Rockhampton, Universiti Harvey International, Universiti Cannington Brook dan Universiti Charles Molnar. Ramai orang 'sakit jiwa', pemalas dan suka menipu mencari jalan pintas, cepat, tidak perlu belajar untuk mendapatkan ijazah secara mudah, dalam tujuh hari sedangkan pelajar universiti menghabiskan tiga hingga enam tahun untuk mendapatkan diploma dan ijazah. Bukan mudah untuk mendapat PhD kerana memakan masa lama. Perlu berkorban wang ringgit, keluarga dan masa.

Perbuatan segelintir mereka ini adalah tidak adil kepada pemilik ijazah sebenar. Mereka yang terbabit dalam kes pemalsuan ijazah, biasanya bijak bercakap tetapi isinya kosong dan hanya boleh dikesan sesetengah pakar apabila dibandingkan dengan kelulusan diperoleh. Selalunya orang yang gagal dalam pelajaran dahagakan pengiktirafan, lebih-lebih lagi orang yang baru dikenali. Mereka mahu dipandang tinggi, berilmu, berkebolehan dan boleh dijadikan pakar rujuk. Perdaya orang Mereka bangga memperkenalkan diri sebagai 'Dr' dan profesor memperdayakan orang sedangkan hanya tamat Tingkatan Tiga ataupun Tingkatan Lima. Kadangkala dengan gelaran 'Dr' dan profesor yang dijaja sebagai pakar motivasi, MLM, penjual produk kosmetik dan ahli perniagaan, mereka dapat lebih peluang dan keutamaan menjawat jawatan penting seperti pengarah dan perunding dalam organisasi serta senang mendapat kontrak projek. Ditambah pula dengan sikap orang ramai mudah percaya dengan kepetahan bercakap tanpa meneliti latar belakang pengajiannya, selain kelemahan majikan di Malaysia yang hanya melihat rekod jenayah pemohon pekerjaan tanpa menitikberatkan status pendidikan menyebabkan kegiatan membeli ijazah sarjana dan PhD palsu semakin berleluasa.


Satu pusat menyimpan data graduan mesti ditubuhkan untuk mengelak kes pemalsuan ijazah dan semua sijil dicetak Percetakan Nasional yang mempunyai tahap sekuriti tinggi. Seseorang bergelar Tan Sri, Datuk, ahli perniagaan dan pakar motivasi tidak berintegriti dan patut merasa jijik memiliki ijazah palsu serta sanggup menggunakan gelaran doktor atau profesor. Mereka patut malu kepada masyarakat bahkan kepada ahli keluarga yang mengetahui taraf pendidikan dimiliki. Adalah wajar sesiapa yang menggunakan sijil palsu dihukum mengikut Seksyen 471 dan 468 Kanun Keseksaan. Jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak lebih daripada tujuh tahun atau didenda atau kedua-duanya. Penipuan sijil palsu perlu dibendung agar tidak merebak dan kelak disalah guna warga asing ketika Malaysia mengambil pelbagai usaha menjadikan negara sebagai hab pengajian tinggi. 

07 April 2015

MELONJAK PRESTASI TAHAP GLOBAL : SEMPENA PELANCARAN PPPM (PT) 2015-2025 OLEH PERDANA MENTERI

NORIZAN ABDUL MUHID

Utusan Malaysia Online, 7 April 2015


Tanggal 7 April 2015 mencatat satu lagi sejarah dalam transformasi pendidikan negara apabila pelan induk pembangunan pendidikan peringkat pengajian tinggi dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) Pendidikan Tinggi (PT) 2015-2025 itu membawa hasrat untuk meningkatkan kecemerlangan bidang pendidikan tinggi sekali gus memperkukuh kewujudan Malaysia di pentas du­nia. Pelan induk ini juga dijangka mampu menarik minat pelajar, penyelidik serta organisasi berkaitan untuk menyertai sektor pendidikan tinggi yang di tawarkan di dalam negara kita. Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Mahasiswa dan Alumni) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Dr. Mohd. Ismail Abdul Aziz berkata, kecemerlangan dalam bidang pendidikan tinggi penting demi memperkukuh kewujudan Malaysia sebagai hab pendidikan dunia seterusnya menjadi destinasi tumpuan pelajar dan golongan akademik untuk melanjutkan pengajian mahupun menjalankan penyelidikan mereka.

Pada masa ini, Malaysia menduduki tangga kesembilan sebagai destinasi dunia yang menjadi tumpuan pelajar antarabangsa menimba ilmu di menara gading. “Di bawah lonjakan kelapan PPPM (PT) iaitu Kesohoran Global, kita akan kembangkan perkara ini antaranya termasuklah meningkatkan hasil penyelidikan di lima buah universiti penyelidikan di samping memperkenalkan program pengajian baharu,” katanya ketika ditemui baru-baru ini. PPPM (PT) menyenaraikan 10 lonjakan untuk menyaksikan transformasi pendidikan dalam tempoh 10 tahun. Sembilan lonjakan lain ialah Graduan Holistik, Keusahawanan dan Seimbang; Kecemerlangan Bakat; Masyarakat Yang Belajar Sepanjang Hayat; Graduan TVET (Latihan Pendidikan Teknikal dan Vokasional) Berkualiti; Kelestarian Kewangan; Tadbir Urus Perkasa; Ekosistem Inovasi; Pembelajaran Dalam Talian Secara Global, dan; Penyampaian Pendidikan Tinggi yang Ditransformasi.

Kesohoran Global yang merupakan lonjakan kelapan bertujuan melonjakkan institusi pengajian tinggi (IPT) negara ke tahap tertinggi, dihormati masyarakat antarabangsa dan diiktiraf terbaik di peringkat antarabangsa. Menurut Mohd. Ismail, terdapat lebih 30 pelan strategik yang di­rangka bagi pelaksanaan PPPM (PT) ini namun tiga dianggap penting dan perlukan tindakan segera di bawah Agenda Kesohoran Global. “Tiga pelan strategik itu adalah menarik minat lebih banyak pelajar asing menimba ilmu dengan mengikuti pengajian di Malaysia, penjenamaan sistem pengajian tinggi negara dan meningkatkan pa­saran baharu antarabangsa,” katanya. Bagi memenuhi hasrat itu, ujarnya, usaha yang berterusan perlu digerakkan bagi mengubah pembangunan pendidikan tinggi melalui peningkatan kemahiran, kerjasama dengan universiti luar negara dan mempelbagaikan hasil penyelidikan universiti. “Pada masa sama, universiti melalui komuniti alumni perlu menjalin hubungan kerjasama akademik atau penyelidikan antarabangsa, mewujudkan rakan kongsi industri atau perkongsian kemahiran sama ada pelajar ataupun tenaga kerja dengan universiti luar,” katanya.

Bagi tujuan itu, katanya, di UTM sendiri, pelbagai usaha kerjasama strategik sudah lama digerakkan dengan universiti luar negara dalam bidang pendidikan dan penyelidikan dengan universiti tersohor dunia antaranya University of Cambridge, United Kingdom; University de Nantes, Perancis; Harvard University, Ohio State University, Amerika Syarikat; University of Bologna, Itali dan Meiji University, Jepun. Beliau yang terlibat merangka PPPM (PT) iaitu bertindak sebagai Pengerusi Kritikal Agenda Projek (Pengantarabangsa) Sektor Pengajian Tinggi Kementerian Pendidikan memberitahu, usaha menarik minat pelajar antarabangsa ke negara ini boleh dilakukan melalui pengalaman yang positif pelajar terdahulu. “Strategi kita adalah untuk mencipta pengalaman belajar yang menyeronokkan dalam kalangan pelajar asing yang datang ke negara ini kerana kita mahu kesinambungan pengajian dan jangka panjang dengan memastikan pelajar akan datang semula menyambung pengajian di negara ini pada masa depan,” ujarnya.



Bagaimanapun, katanya, uru­san berkaitan imigresen perlu di­tambah baik agar lebih mudah dan selamat untuk menarik lebih ramai pelajar antarabangsa menyambung pengajian di negara ini. “Daripada aspek pembiayaan pengajian, Malaysia masih menyediakan kemudahan universiti yang menawarkan yuran pengajian pada harga berpatutan berbanding negara maju,” katanya. Tambah beliau, pelaksanaan PPPM (PT) penting untuk direalisasikan demi memastikan sasaran mencapai 200,000 pelajar antarabangsa me­ngikuti pengajian di negara ini menjelang tahun 2020 dan 250,000 pada 2025 menjadi kenyataan. “Di samping itu, pengajian ting­­gi negara perlu membina masyarakat yang berpengetahuan dan menyokong pembangunan ekonomi dengan mewujudkan banyak peluang perniagaan domestik sekali gus memberi keuntungan kepada masyarakat setempat,” katanya.

02 April 2015

KE MANA MEDIA SOSIAL BAWA KITA?

Profesor Madya Dr. Sivamurugan Pandian
Penganalisis politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan,
Universiti Sains Malaysia.

Utusan Malaysia Online, 2 April 2015


Media sosial kini menjadi tarikan utama untuk menyalurkan, menyampai dan mempengaruhi kepercayaan dan keyakinan serta persepsi terhadap pelayar alam maya ini. Namun, ada juga yang menyoal sejauh manakah ‘agenda setting’ media ini bertanggungjawab ke atas lontaran idea, isu mahupun berita yang mahu diketengahkan atau disensasikan serta menerokai penanda aras untuk menilai potensi kepercayaan dan keyakinan ke atas apa sahaja yang dimuat naik di alam maya ini.


Pengaruh media sosial amat besar dan tiada sesiapa yang mampu menyatakan bahawa dalam dunia tanpa sempadan ini, media ini tidak relevan ataupun perlu sekatan. Adakah pengendali media bertanggungjawab atau pengamal media terutama mereka yang aktif menggunakan platform media sosial menggunakannya dengan tujuan dan matlamat yang mempunyai kecenderungan untuk meningkatkan fahaman ke atas sesuatu isu atau landasan untuk menyebar, mendekati dan menanam nilai-nilai songsang yang boleh mengganggu keselamatan, kesejahteraan dan kehidupan berukun terbina sekian lama dalam kalangan sesetengah daripada kita, sebagaimana kritikan ke atas media ini.

Sejarah media sosial menunjukkan tidak bermula dengan Facebook walaupun ramai mengandaikan sedemikian. Media ini sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat moden sejak lewat 1970-an dengan penggunaan ‘usernets’ terutama untuk menghantar artikel atau berita ke ‘newsgroups’. Selepas itu, kita melihat berbagai inovasi dan reformasi industri teknologi media sosial sehingga lahirnya perbualan di alam maya melalui IRC (Internet Relay Chat) serta instant messaging, melayari halaman untuk mencari pasangan dan forum online yang dianggap antara evolusi jaringan sosial.

Pada awal tahun 2000, pembangunan besar di dalam jaringan sosial dan media sosial menjadi semakin ketara. Lahir Friendster, Hi5, Linkedln, MySpace dan pada 2008, Facebook menjadi yang paling popular sebagai halaman jaringan sosial untuk pelajar, ahli perniagaan dan akhirnya untuk semua. Media sosial tidak terhenti sekadar untuk perkongsian jaringan hubungan sosial kerana kemudiannya sudah menjadi tempat perkongsian gambar, video dan kandungan multimedia lain yang dianggap sebagai antara aktiviti yang sangat digemari dalam amalan pengamalnya. Ini termasuk Photobucket, Flickr, Instagram dan pada 2005,

YouTube menjadi halaman yang popular untuk berkongsi video. Revolusi media sosial tidak terhenti di sini kerana pada 2006, muncul Twitter yang diguna untuk mengemaskini berita terkini yang menjadi norma baru media sosial. Ada pelbagai aplikasi muncul dan sama ada menjadi popular atau sebaliknya, namun media sosial kini dianggap mempunyai pengaruh yang cukup besar dalam kebanyakan aktiviti sehingga memadam ruang peribadi dan memperluaskan ruang awam.

Persekitaran, pendidikan dan rasa tanggungjawab memberi makna ke atas pengaruh media sosial ini. Dalam berhadapan persekitaran yang berubah, media sosial berhadapan dengan dilema keadaan di luar kawalan ruang yang bersifat peribadi kerana andaiannya adalah bebas digunapakai untuk sebarang berita. Kebebasan mutlak sukar untuk media sosial walaupun itu adalah realiti sebagaimana dalam lingkungan Malaysia melainkan wujud etika saringan sendiri tanpa menggunakan elemen keselesaan sendiri sebagai penanda aras.

Mereka yang melakukan kajian bersifat etnografi barangkali faham bagaimana untuk meneliti sesuatu nilai atau norma dari sudut pandangan kumpulan sasar yang dikaji dan bukan dari sudut pengamatan pengkaji semata-mata; sepatutnya itu juga menjadi asas amalan pengamal media sosial. Ilmu dan pembinaan tanggungjawab akan mendasari perkembangan media sosial ini. Ini kerana pengaruh media sosial semakin hari semakin kuat dan dikhuatiri satu hari nanti kita tidak dapat mengawalnya terutama dari sudut apa yang dilontarkan dan reaksi dalam ruangan-ruangan yang tidak membina tetapi melahirkan kebimbangan ke manakah arah tuju pengaruh media sosial ini? Ada kumpulan ditugaskan untuk bertanggungjawab dalam membina dan mempengaruhi persepsi sebagaimana pendekatan ‘cybertroopers’ ataupun ‘keyboard warriors’; nama jolokan yang diberi oleh mereka yang melihat tindakan dan gerak balas kumpulan ini.

Tidak dinafikan media sosial merupakan antara mekanisme atau alat yang terbaik untuk mendalami ilmu, melayari pelbagai tuntutan persekitaran serta rutin harian kita, namun ia tidak boleh menggadai maruah, jati diri dan identiti seseorang. Pembunuhan karakter, kritikan ke atas agama dan etnik, sifat perjuangan songsang dan lebih daripada itu kesediaan untuk meninggalkan fitrah manusia dilahirkan untuk saling kenal, hormat dan faham seolah-olah semakin luntur akibat desakan persekitaran yang bertujuan membentuk apa yang dinamakan oleh Benedict Anderson sebagai ‘imagined community’ tetapi kini di alam maya. Ada yang mahu menukar identiti diri yang tidak dapat dinikmati di alam realiti sebagaimana ada yang menunjukkan keberanian luar biasa di alam maya dari alam sebenar.

Sebagai pelayar atau pengamal media sosial, kita harus boleh melakukan yang terbaik demi mempertahankan kesejahteraan dan kehidupan berukun terutama dalam konteks masyarakat rencam Malaysia. Kita harus boleh bersama dalam pelbagai isu termasuk isu bagaimana media sosial diguna untuk berkomunikasi dan akhirnya wujud pelbagai salahlaku seperti penipuan mencari pasangan, pemerdagangan, amalan songsang, pengambilan anggota ajaran radikal dan ekstremis, urus-niaga dadah dan barangan haram, pengkaderan anggota geng, kegiatan jenayah walaupun waktu yang sama, media sosial membolehkan pelbagai aktiviti sihat dalam pembentukan jaringan perniagaan dan perhubungan serta perkongsian maklumat.

Lihat apa yang berlaku kepada beberapa berita yang tidak mendapat kesahihannya terlebih dahulu seperti pembunuhan karakter ke atas Perdana Menteri dan keluarga; pemimpin parti pemerintah mahupun pembangkang dan terbaru berita kematian bekas Perdana Menteri Singapura yang didahulukan dari tarikh sebenar kematian beliau. Terlalu banyak untuk disenaraikan terutama tatkala pilihan raya dan kini seolah-olah sudah menjadi rutin biasa di mana yang benar boleh menjadi palsu dan yang palsu boleh menjadi benar dari kreativiti pemikiran dan cara pengolahan.

Begitu juga dengan apa yang sedang dilalui oleh watak dalam video pendek keluaran BFM berhubung dengan hukum hudud serta penggunaan semula beberapa video dari ceramah lama politik untuk sama ada mengaibkan pemimpin ataupun parti politik. Jika semuanya dibuat dari garis mata politik, maka di manakah hala tuju sebenar negara bangsa ini? Apakah kita masih menguji kematangan walaupun tahu sebenarnya isu berkaitan agama dan etnik tidak akan dikompromi.

Alam maya boleh mempengaruhi kehidupan dan keputusan yang seringkali kita buat; tetapi biar alam realiti mendahului alam maya kerana pembentukan komuniti alam maya juga perlu memahami nilai sebenar alam di luar media sosial supaya kita boleh bertanggungjawab bersama ke arah pembinaan negara bangsa yang dihuni oleh masyarakat kelas satu di negara kelas pertama yakni dengan kemudahan dan infrastruktur sebagaimana negara maju termasuk peralatan canggih komunikasi dan teknologi; masyarakat kelas satu dirujuk kepada masyarakat yang ada ilmu, kemahiran dan kebolehan tetapi kesemuanya diselaputi dengan nilai karakter mulia.



ROTAN SEBAGAI ALAT PENCEGAHAN

OLEH SITI AIRUNNISA ALAUI
Utusan Malaysia Online, 2 April 2015

Satu masa dahulu, jika gagal menyiapkan kerja sekolah, pasti tapak tangan merah dirotan guru, di rumah pula, jika culas bersolat, punggung atau betis pasti disinggah sebatan sama ada menggunakan rotan, penyangkut baju, tali pinggang dan dawai sebagai satu cara guru dan ibu bapa memberi pengajaran atas kesalahan yang dilakukan. Namun begitu, pada era ini, soal hak asasi manusia pula hebat diperdebatkan bukan sahaja di negara yang sangat mengutamakan hak asasi manusia seperti Sweeden, malah turut memberi tempias kepada negara ini. Ini kerana, baru-baru ini, tatkala isu pasangan suami isteri rakyat Malaysia, Azizul Raheem Awalludin dan Shalwati Norshal yang telah dihadapkan ke mahkamah di Sweden kerana merotan anak mereka yang tidak menunaikan sembahyang hangat diperkatakan.


Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim memaklumkan kementerian itu pula mahu tindakan merotan anak oleh ibu bapa dianggap menjadi satu kesalahan jenayah. Natijahnya, kementerian itu dikritik pelbagai pihak, malah cadangan itu seolah-olah menyimbah api pada minyak apabila masyarakat pula memberi komen dan pandangan negatif. Hakikatnya, masyarakat tidak sedar bahawa telah termaktub peruntukan sedia ada, iaitu di bawah seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001 menjadikan memukul dan merotan itu satu kesalahan. Jika menilai dari pandangan dan sudut agama Islam pula, tidak salah merotan anak-anak untuk tujuan mendidik atau sebagai memberi pengajaran.

Namun, ada beberapa perkara yang perlu dititikberatkan pada istilah merotan kerana dibimbangi ada ibu bapa mengambil kesempatan menggunakan rotan sebagai alat untuk mendera. Hakikatnya, fungsi sebenar merotan adalah sangat pelbagai, tetapi dalam konteks mendidik, rotan hanya merupakan satu alat pencegahan, peringatan dan pengajaran kepada pesalah dan keberkesanannya bergantung kepada si perotan. Mengulas perkara itu, Ketua Jabatan Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti, Fakulti Pendidikan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Dr. Zuria Mahmud beranggapan, dalam konteks kekeluargaan, tiada salah menggunakan rotan dalam mendidik anak-anak bagi mengelakkan mereka melakukan kesalahan.

Namun, mekanisme terbaik adalah melalui interaksi dua hala yang berkesan antara ibu bapa dan anak-anak. Katanya, pendekatan merotan tidak harus menjadi kaedah pertama dalam mendidik anak-anak kerana dikhuatiri memberi kesan psikologi kepada mereka pada masa depan. Pun begitu, beliau tidak menolak merotan mampu mendidik anak-anak untuk peringkat awal seperti mana yang disarankan agama Islam. Hakikatnya, pendidikan terbaik 12 tahun pertama anak-anak ialah melalui contoh yang baik dan didikan yang betul ibu bapa di rumah kerana ketika itu kanak-kanak seusia berkenaan akan mencontohi apa sahaja perlakuan ibu bapa mereka. Jadi, jika didikan dan pembentukan sahsiah diri yang diterapkan ibu bapa pada jalan yang betul, adalah mustahil anak-anak akan berperangai buruk dan penggunaan rotan perlu dalam mendidik anak-anak.

Ibu bapa harus menyelami jiwa dan perasaan anak-anak agar melalui perkongsian itu mereka dapat mengetahui keinginan atau perasaan anak mereka,” katanya dalam Bicara Persada bertajuk Rotan: Mendidik atau Mendera? di UKM, Bangi, baru-baru ini. Antara ahli panel lain yang terlibat ialah Pengerusi Pertubuhan Sukarelawan Peguam Malaysia (SukaGuam), Datuk Khairul Anwar Rahmat dan pengasas Kompleks Darul Thibbun Nabawi, Ahmad Dusuki Abdul Rani. Tambah Dr. Zuria, setiap peraturan termasuk penggunaan rotan perlu dilaksanakan selepas melalui fasa perbincangan bersama-sama anak-anak agar setiap hukuman yang dilaksanakan itu akan difahami anak-anak bagi mengelakkan salah faham dan fobia kepada mereka. “Jika perlu rotan, ibu bapa harus menerangkan kepada anak-anak mengapa mereka perlu dirotan, barulah anak-anak tidak salah faham dan tindakan merotan atau sebarang hukuman yang dikenakan perlu adil iaitu dilaksanakan kepada semua anak-anak dan bukan memilih bulu,” ujarnya.

Dalam pada itu, Khairul Anwar menyifatkan penggunaan rotan perlu dikekalkan sebagai bentuk pengajaran kepada anak-anak dalam proses mendidik kerana merupakan satu elemen penting untuk mendisiplinkan anak-anak. Katanya, penggunaan rotan sebagai mendisiplinkan diri telah menjadi tradisi dalam mendidik anak-anak sejak dahulu lagi dan tiada salahnya elemen itu dikekalkan pada era ini. “Pada saya, merotan tidak perlu dibicarakan atas nama hak asasi kemanusiaan seperti mana yang dilaksanakan di sesetengah negara kerana apa yang penting ibu bapa perlu bijak dan tahu bila masa untuk menggunakan rotan pada anak-anak. “Penggunaan juga rotan tidak boleh digunakan ketika penuh emosi dan amarah. Seharusnya rotan hanya sebagai alat untuk mendidik kerana jika merotan tidak membantu, ibu bapa tidak lagi boleh terus-menerus merotan sehingga anak-anak itu cedera kerana itu adalah salah dari sudut undang-undang dan agama,” jelasnya.

Dalam konteks agama Islam pula, merotan merupakan satu kaedah dalam mendidik anak-anak yang disarankan, malah riwayat Abu Daud menyatakan, Rasulullah bersabda: “Ajar anak kamu solat ketika umurnya 7 tahun, dan (sekiranya mereka enggan) pukul mereka apabila mencecah 10 tahun.” Menurut Ahmad Dusuki, setiap apa yang disarankan Islam, sudah pasti ada hikmah di sebalik pelaksanaannya, namun setiap tindakan yang dilaksanakan perlu ada batas dan perkiraannya. Katanya, keberkesanan penggunaan rotan bergantung kepada siapa yang memegang rotan itu. Jika yang memegangnya adalah pendidik, maka alat itu digunakan dengan betul, namun jika yang memegangnya adalah pendera, maka sebaliknya berlaku.


Ketika ini, terlalu banyak pertembungan berlaku di antara perintah syariat dan kehendak manusia yang menyebabkan masyarakat mula mendidik anak-anak tidak berdasarkan atur cara yang dikehendaki agama Islam tetapi lebih gemar merujuk kepada pandangan orang. “Sebagai hamba, kita perlu akur dengan perintah Allah, jika Allah minta kita rotan anak-anak pada usia tertentu, maka kita kena buat kerana kesannya dapat kita lihat selepas kita laksanakannya. Selagi mana kita tidak buat, maka tidak ada kesan yang dapat dilihat. “Hukuman rotan bukan disarankan untuk anak-anak sahaja kerana suami boleh merotan isteri yang berbuat dosa. “Rotan adalah perkara sunnah dan sebagai umat Nabi Muhammad kita perlu laksanakannya, malah menggantung rotan dalam rumah juga mendapat pahala. Begitu indah ajaran Islam pada manusia dan paling penting bagaimana kita melaksanakannya. “Biarlah dengan merotan itu kita mendapat ganjaran pahala dan jangan pula menyebabkan kita ke neraka,” jelas beliau.