JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



21 November 2015

ISU BAHASA : PEMARTABATAN BAHASA MELAYU PERKUKUH PEMBINAAN NEGARA BANGSA


SAHBULAH DARWI
Pengurus Unit Media dan Penerbitan Universiti Multimedia (MMU)
Utusan Malaysia Online, 17 November 2015

Apakah perbezaan antara bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa negara? Jika soalan ini ditanya secara rambang, mungkin ada dalam kalangan masyarakat kita yang akan menggelengkan kepala kerana tidak pasti apakah perbezaannya atau mungkin memberi jawapan yang keliru atau tersasar. Malah mungkin ada yang menganggap kesemua istilah itu sama sahaja walhal ia memberi perbezaan maksud yang cukup signifikan dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

DEWAN Bahasa dan Pustaka (DBP) mempunyai peranan penting untuk memastikan bahasa Melayu digunakan sepenuhnya di Malaysia selaras dengan kedudukannya sebagai bahasa rasmi negara. GAMBAR HIASAN Hakikatnya, kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi bagi negara ini amat jelas, justeru apabila dua status itu dimiliki maka bahasa Melayu berada dalam kedudukan cukup tinggi iaitu sebagai bahasa negara. Dalam konteks ini, jika ditinjau ke sebuah negara jiran, misalnya memilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tetapi bahasa rasmi bagi republik itu adalah bahasa Inggeris. Jelas termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang menggariskan bahawa bahasa Melayu yang dikenali juga sebagai bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi yang tidak boleh dipertikai fungsi dan peranannya sebagai bahasa kebangsaan. Kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi dimantapkan lagi menerusi Akta Bahasa Kebangsaan 1967.

“Istilah bahasa kebangsaan ertinya ialah penggunaan bahasa Melayu itu tidak wajib, ia sekadar lambang sahaja. Jika berstatus wajib maka negara jiran kita itu tidak sanggup pilih bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. “Sedangkan istilah bahasa rasmi bererti bahasa Melayu wajib digunakan dalam sistem kenegaraan dan sebagai bahasa utama termasuk wajib digunakan dalam sistem pendidikan, perundangan, komunikasi rasmi, naskhah yang sah adalah wajib dalam bahasa Melayu dan sebagainya,” kata Felo Utama Institut Kajian Etnik (Kita), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong semasa menyampaikan ceramah pada Siri Wacana Pemartabatan Bahasa Kebangsaan anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Telekom Malaysia (TM) Berhad di Menara TM baru-baru ini. Wacana yang dirasmikan oleh Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli itu dihadiri oleh kakitangan-kakitangan TM dari seluruh negara. Ia bertujuan meningkatkan kefahaman tentang martabat bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara ini selaras dengan nilai-nilai kristal yang dite-rapkan oleh syarikat milik kerajaan (GLC) itu.

Kok Seong yang juga Ketua Kluster Sejarah, Warisan dan Sosiobudaya Majlis Profesor Negara (MPN) menjelaskan lagi bahawa kuasa sebenar dalam memartabatkan penggunaan bahasa Melayu itu adalah terletak pada istilah bahasa rasmi dan bukannya sekadar bahasa kebangsaan. Memang selayaknya bahasa Melayu dimartabatkan pada kedudukan seperti itu kerana ia adalah bahasa yang terbina sejak zaman berzaman dan berkemampuan mengungkap keseluruhan komunikasi manusia sebagai bahasa ilmu sehingga ke tahap bahasa saintifik moden. Kata beliau, ini kerana bahasa Melayu bukan seperti bahasa sukuan yang tiada terbina seperti di sesetengah bahasa di benua Afrika. Namun begitu, hakikatnya, bahasa Melayu yang korpusnya lengkap, kukuh dan utuh itu tidak terlepas daripada pelbagai cabaran dari semasa ke semasa berikutan peredaran zaman hingga kadang kala kelihatan citranya hilang.

Sebab itu, ketika bersemangat menyampaikan ceramah, wajah Kok Seong tiba-tiba berubah sayu dan muram lalu berkata: “Tapi sayangnya, amat malang bagi bahasa Melayu kadang kala ia seperti melukut di tepi gantang di negara watannya sendiri apabila ia seolah-olah tiada tempat!.” Justeru, dalam soal memartabatkan secara berterusan bahasa Melayu, tidak boleh tidak, beliau menegaskan, terdapat empat aspek perlu diberi penekanan iaitu; Kecekapan berbahasa Melayu dalam kalangan warga Malaysia; Penggunaan bahasa Melayu yang baik dan betul; Memastikan ketulenan bahasa Melayu dalam penggunaan harian rakyat negara ini; Dan orang Melayu perlu menjadi contoh kepada penggunaan bahasa Melayu itu. “Dalam melihat kecekapan berbahasa Melayu oleh warga Malaysia, kita perlu melihat kepada penguasaan berbahasa Melayu dalam kalangan bukan Melayu, kerana orang Melayu tiada masalah dalam berbahasa Melayu.

“Tahniah dan syabas kepada bukan Melayu yang fasih bertutur dalam bahasa Melayu tetapi persoalan besar timbul kerana masih ada bukan Melayu sebagai warganegara, yang sepatah haram tidak tahu menggunakan bahasa Melayu walaupun setelah 58 tahun negara mencapai kemerdekaan,” tegasnya yang menyifatkan dirinya sebagai memegang amanah ilmu dalam memperjuangkan bahasa Melayu walaupun bukan berketurunan Melayu. Dalam aspek penggunaan bahasa yang baik dan betul, ia penting agar citra bahasa negara itu terpelihara. Masih berlaku banyak kesilapan penggunaan perkataan oleh rak-yat negara ini termasuk segelintir para pemimpin. Contohnya, penggunaan perkataan ‘hemah atau hemat’ yang berbeza makna dan sering disalahgunakan. Perkataan ‘taksub’ sepatutnya dieja ‘taasub’, perkataan ‘war-war’ sepatutnya dieja ‘uar-uar’ dan sebagainya. Begitu juga, dalam memastikan ketulenan bahasa Melayu, masyarakat haruslah bersungguh-sungguh menggunakan perkataan asal bahasa Melayu sebagai keutamaan dan janganlah sewenang-wenangnya menggunakan perkataan yang dipinjam daripada bahasa asing.


Beliau berkata, sebagai contoh, perkataan ‘seleksi’ sepatutnya lebih baik digunakan ‘pilihan’, ‘intelektual’ sepatutnya ‘cendekiawan’ dan sebagainya. Dalam aspek keempat pula, Kok Seong memberitahu, orang Melayu mesti meyakinkan dan memandaikan anak bangsa dalam penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa yang tinggi malahan bahasa kelima terbesar dituturkan di dunia. Ia berbalik kepada sikap dan iltizam orang Melayu itu, kerana tidak boleh mereka mempertikaikan kebolehan bahasanya sendiri. Kesimpulannya, usaha berterusan memartabatkan bahasa Melayu bukan sahaja penting malahan amat kritikal dalam menyuburkan jati diri warganegara yang selaras dengan Perlembagaan Persekutuan. Sebagai contoh, penulis berpandangan, jika perkara ini difahami maka tidak timbul lagi soal segelintir pihak mempertikaikan langkah kerajaan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) untuk kemasukkan ke universiti awam memandangkan bahasa Melayu dalam sijil itu tidak setara dengan kehendak kerajaan. Ini mustahak kerana meletakkan bahasa Melayu di tempat tinggi selayaknya adalah usaha ke arah untuk mencapai peranan bahasa itu yang bukan sahaja sebagai alat berkomunikasi tetapi ia adalah alat pemangkin kemajuan, perpaduan kaum, identiti nasional dan pembentukan negara.

Tiada ulasan: