Sumber : Berita Harian Online, 6 Februari 2016
Selepas insiden pengeboman di Istanbul, Jakarta dan Charsadda,
Pakistan, beberapa minggu lalu, berlaku pula letupan bom di Kaherah serta di
Mogadishu, Somalia. Semua kejadian ini tercetus dalam negara Islam. Sedarkah
kita bahawa huru-hara sering terjadi di negara Islam apabila ada anasir yang
melaga-laga dan menyemai sikap kebencian melampau dalam kalangan umat Islam di
dalam negara itu sendiri? Apa yang kita bimbangkan bukan sahaja mereka yang
tidak bersalah akan terbunuh, tetapi nyawa rakyat Malaysia akan terancam di
negaraberisiko berlakunya peristiwa yang tidak diingini. Kita harus berterima
kasih dan bersyukur kerana sehingga hari ini, pasukan keselamatan negara masih
lagi mampu mengekalkan keamanan. Ramai warganegara Malaysia yang berada di
seberang laut seperti pelajar, pelancong, pegawai kedutaan dan peniaga.
Walaupun insiden yang disebutkan tadi berskala kecil, kebarangkalian berlakunya
peperangan besar dalam sesebuah negara atau antara beberapa negara, adalah
tidak mustahil seperti di Yaman.
Suhu politik yang semakin panas di rantau Arab meresahkan umat Islam
memandangkan setiap tahun ramai jemaah Malaysia menunaikan ibadah umrah dan
haji. Dijangkakan lebih banyak konflik akan berlaku pada tahun ini, manakala
konflik sedia ada di beberapa negara tidak menampakkan tanda penyelesaian. Jika
berlaku perkara tidak diingini di negara luar membabitkan warganegara Malaysia,
kita yakin terhadap kemampuan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Majlis
Keselamatan Negara (MKN), Wisma Putra dan lain-lain agensi kerajaan dalam
membawa mereka pulang ke tanah air. Prestasi pasukan keselamatan Prestasi
pasukan keselamatan negara sememangnya terbukti seperti Ops Piramid pada
Februari 2011 yang berjaya membawa keluar pelajar Malaysia dari Mesir
menggunakan pesawat C-130 Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM). Namun pesawat
C-130 yang berenjin Propeller mempunyai kelemahan tertentu walaupun boleh
mendarat di kawasan tidak berturap, mampu membawa muatan pelbagai bentuk selain
penumpang dan boleh terbang dalam jarak yang jauh.
Antara kelemahan pesawat ini ialah kelajuannya rendah berbanding
pesawat berenjin jet. Malaysia khususnya TUDM perlu mempunyai pesawat strategik
berenjin jet supaya boleh diatur gerakan dengan pantas ke mana-mana lokasi
merentas benua untuk menyelamatkan warganegara Malaysia. Kedudukan geografi
Malaysia yang dipisahkan oleh Laut China Selatan juga adalah faktor utama
mengapa pesawat strategik berenjin jet diperlukan apatah lagi keadaan
keselamatan tidak menentu di perairan Timur Sabah yang bersempadan dengan
Selatan Filipina. Negara jiran Malaysia seperti Indonesia mengoperasikan
pesawat pengangkut terpakai berenjin jet, Boeing 737-500 yang dibeli dari
syarikat penerbangan Garuda, manakala Tentera Udara Republik Singapura bakal
menggunakan enam pesawat Airbus 330 MRTT (Multi-Role Transport Tanker).
Kedua-dua jenis pesawat ini asalnya adalah kapal terbang penumpang awam.
Pesawat ini juga boleh diubah untuk kegunaan lain seperti rondaan maritim,
pengisian minyak di udara, hospital bergerak, perisikan, pusat pemerintahan dan
kawalan serta lain-lain fungsi pertahanan.
Tragedi hitam MH17 menjadikan keperluan pesawat strategik sangat
perlu kerana nyawa rakyat Malaysia hilang beribu kilometer jauhnya dan kita
tidak mampu untuk melakukan sesuatu dengan cepat. Begitu juga dengan kehilangan
MH370. Operasi mencari dan menyelamat di laut luas seperti Lautan Hindi
memerlukan pesawat berkemampuan lasak untuk terbang dalam jangka waktu yang
lama. Kapal terbang aset penting Kapal terbang untuk tujuan pertahanan adalah
aset penting bagi sesebuah negara. Selain memantau ancaman musuh di luar
sempadan, pesawat udara strategik menjadi 'jambatan' utama ketika berlakunya
bencana alam yang tidak diduga.
Gempa bumi, banjir besar, tsunami dan tanah runtuh boleh berlaku
dalam sekelip mata serta memerlukan kecekapan pengurusan logistik yang disokong
oleh kepantasan pengangkutan udara. Pada 6 Januari 2016 yang lalu, negara China
menggunakan pesawat penumpang awam, China Southern Airlines (berenjin jet)
untuk mendarat di atas pulau buatan manusia di Fiery Cross Reef yang turut
dituntut oleh Filipina. Lihatlah bagaimana pesawat seperti itu digunakan untuk
tujuan strategik dan pertahanan walaupun mendapat tentangan pelbagai pihak
termasuk dari Amerika Syarikat (AS). Kepulauan Spratly diketahui dunia sebagai
salah satu titik panas yang boleh menimbulkan konflik besar kerana tuntutan
bertindih yang belum dapat diselesaikan sehingga hari ini. Rakyat Malaysia yang
kerap ke luar negara untuk tujuan perniagaan, urusan peribadi dan sebagainya
dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati serta tahu bagaimana hendak berhubung
dengan Kedutaan/Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di seberang laut.
Ini memudahkan urusan komunikasi jika berlaku sesuatu perkara yang
tidak diingini. Bagi warganegara Malaysia yang tidak ke luar negara,
sama-samalah kita menjaga keselamatan tanah air ini dengan tidak mudah melatah
apabila cepat berkongsi maklumat tidak sahih di dalam media sosial.
Keprihatinan Kerajaan Persekutuan mengenai ancaman keselamatan mutakhir ini
diterjemahkan dalam Rang Undang-Undang Majlis Keselamatan Negara 2015. Antara
fungsi utama majlis ini ialah untuk merumuskan dasar dan langkah strategik mengenai
keselamatan negara, termasuk kedaulatan, integriti wilayah, pertahanan,
kestabilan sosiopolitik, kestabilan ekonomi, sumber strategik, perpaduan negara
dan kepentingan lain yang berhubung dengan keselamatan negara. Selain itu,
majlis ini juga akan memantau pelaksanaan dasar dan langkah strategik mengenai
keselamatan negara.
Perkara 149 di dalam Perlembagaan Persekutuan
juga dengan jelas menyatakan mengenai perundangan menentang perbuatan
subversif, tindakan yang memudaratkan ketenteraman awam dan sebagainya. Berita
mengenai 46 rakyat Malaysia termasuk wanita dan kanak-kanak yang menyertai
kumpulan militan Negara Islam (IS) di Syria sangat membimbangkan kita.
Berwaspadalah ketika melayari dan membaca maklumat di dalam media sosial.
Periksa dan teliti terjemahan al-Quran serta hadis Rasulullah SAW dengan pihak
yang berwajib agar kita tidak mudah terpesong dengan bahan tidak tulen yang
mengelirukan. Peliharalah kesejahteraan serta keamanan negara seperti termaktub
pada Perkara 1, Perlembagaan Persekutuan. Setiap minda warganegara Malaysia
adalah barisan hadapan kepada pertahanan negara kerana maklumat yang dibaca di
media sosial adalah 'lautan' yang sarat dengan pelbagai unsur termasuk sampah
dan racun yang boleh menghancurkan kedaulatan tanah air seperti yang berlaku di
Syria serta Iraq.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan