NOOR MOHAMAD SHAKIL HAMEED
Ketua Bahagian Hal Ehwal Pelajar,
Universiti Putra Malaysia (UPM).
Utusan Malaysia, 18 November 2015
Ini adalah zaman persepsi. Masyarakat
melihat semua perkara dalam persepsi masing-masing lantas membuat rumusan dan
keputusan yang lebih banyak dipengaruhi oleh elemen emosi berbanding fikiran
yang waras dan adil. Akibatnya keadaan menjadi kelam kabut dan mencetuskan
pelbagai situasi panik. Hakikatnya, sama ada persepsi baik mahupun negatif ia
perlu melalui satu proses pertimbangan dan penilaian yang sewajarnya agar kita
tidak membuat keputusan yang terburu-buru mahupun salah. Apa yang dimaksudkan
keganasan persepsi? Keganasan persepsi sering dirujuk kepada tindak tanduk
pihak yang tidak bertanggungjawab dalam menaburkan pelbagai fitnah terutamanya
dalam media baharu seperti media sosial yang lebih banyak menjurus kepada unsur
negatif terhadap sesuatu isu, sesebuah organisasi mahupun individu seperti
pemimpin negara.
Ringkasnya, ia membabitkan usaha untuk
memburukkan, mencemarkan atau menjatuhkan seseorang individu, kumpulan ataupun
sesebuah organisasi untuk tujuan tertentu dengan mencetuskan persepsi negatif
dalam kalangan masyarakat. Oleh sebab media sosial seperti Facebook, Twitter,
Instagram dan blog mula menjadi medium utama masyarakat dewasa ini maka pihak
yang melakukan keganasan persepsi ini menggunakan media baharu ini untuk
melakukan aktiviti tidak bermoral seperti ini dan percayalah mereka berjaya
melakukannya kerana pengaruh media sosial yang cukup kuat. Pelbagai berita,
maklumat, gambar, data dan fakta yang berbentuk andaian mahupun fitnah yang
jelas belum tentu kesahihannya disebarkan dalam media sosial untuk mempengaruhi
dan meracuni pemikiran dan minda masyarakat kita secara keseluruhannya.
Keadaan menjadi semakin parah dan
kritikal apabila pengguna media sosial dengan pantas menyebarkan ataupun
viralkan maklumat yang mereka terima itu tanpa usul periksa. Ini menyebabkan fitnah
yang dicetuskan itu tersebar luas dan menjadi viral dalam kalangan pengguna
media sosial. Oleh kerana ia tersebar luas akhirnya pengguna media sosial
merumuskan fitnah ataupun maklumat palsu tersebut adalah benar dan sahih.
Keganasan persepsi seperti ini jelas boleh merosakkan dan menghancurkan negara
dan masyarakat kita. Ia membuka peluang untuk kita memandang serong kepada
semua perkara tanpa menilai dengan sewajarnya.
Pertimbangan akal yang longgar dari
pengguna media sosial terutamanya golongan muda cukup merisaukan dan
memudaratkan. Buktinya pada hari ini kita boleh melihat dalam media sosial yang
popular seperti Facebook betapa pengguna media sosial berdebat, menzahirkan
pandangan dan pendapat masing-masing mengenai sesuatu isu yang dibangkitkan berdasarkan
persepsi masing-masing. Rata-rata menjatuhkan hukuman sebelum sesuatu isu
mahupun individu itu dibuktikan benar mahupun bersalah. Akibatnya perasaan
benci dan marah yang dicetuskan oleh emosi yang terganggu mula mengambil
tempat. Kalau kita mengkaji secara mendalam seolah-olah dewasa ini wujud satu
sindiket yang menangguk di air yang keruh apabila dengan mudah mengambil
kesempatan untuk meraih populariti serta sentiasa berusaha untuk menanamkan
persepsi yang buruk terhadap sesuatu perkara dalam kalangan masyarakat.
Ini dapat dilihat apabila satu demi
satu isu dibangkitkan seolah-olah membabitkan suatu perancangan yang cukup
teliti bagi memburukkan seseorang individu mahupun organisasi.
Hakikatnya kita tidak boleh lari dari
kenyataan betapa kebanyakan daripada keganasan persepsi yang berlaku adalah
bermotifkan kepentingan politik. Ini jelas dapat dilihat apabila adanya
usaha-usaha untuk membunuh karakter mahupun memburukkan imej individu tertentu.
Malah mutakhir ini kita dapat lihat betapa organisasi tertentu juga terus
menjadi mangsa keganasan persepsi ini. Jelas keganasan persepsi mula
mencetuskan keadaan panik dan huru hara dalam kalangan masyarakat. Masyarakat
pada hari ini serba salah sama ada mahu percaya ataupun tidak apa yang
disebarkan dan diperdebatkan secara meluas dalam media sosial. Kepercayaan dan
keyakinan masyarakat terhadap seseorang individu mahupun organisasi juga
dilihat semakin terhakis yang sekali gus membuktikan keganasan persepsi berjaya
memainkan peranan yang efektif dalam mempengaruhi minda, emosi dan pemikiran
masyarakat.
Maka berdasarkan kerosakan yang
dicetuskan oleh keganasan persepsi ini adakah wajar perkara seumpama ini
dibiarkan terus berleluasa? Apakah ini kos yang perlu dibayar untuk menikmati
kebebasan bersuara? Atau adakah ini ciri-ciri masyarakat negara maju yang kita
idamkan selama ini? Walau apapun jawapannya keganasan persepsi mesti ditangani
secara berhemah supaya tidak terus menjadi duri dalam daging mahupun menjadi
racun dan virus yang sukar diubati kelak. Kita mungkin sukar untuk menghukum
pengganas moden dan bijak ini kerana mereka mudah berselindung dan pandai
menyembunyikan diri di sebalik kecanggihan teknologi maklumat yang ada. Namun
satu perkara yang boleh kita lakukan ialah mendidik dan menyedarkan masyarakat
tentang sindrom keganasan persepsi ini. Masyarakat perlu disedarkan betapa
bahayanya keganasan persepsi sehingga boleh memecahbelahkan perpaduan rakyat,
mencetuskan huru hara, mengganggu gugat kestabilan, keamanan dan keselamatan
negara.
Untuk itu, masyarakat perlu dididik
untuk menilai sesuatu maklumat itu secara bijak, profesional, waras dan adil
sebelum membuat keputusan mahupun menjatuhkan hukuman. Masyarakat juga perlu
dididik bagaimana untuk mengurus dan mengawal persepsi dan emosi masing-masing.
Benar kita sedang menuju untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi
namun itu bukanlah alasan untuk kita menaburkan pelbagai fitnah dan persepsi
yang boleh menghancurkan negara secara keseluruhannya. Kebebasan bersuara juga
ada had dan batas-batasnya. Negara ini ada undang-undang dan kita perlu akur
dan mematuhi undang-undang tersebut supaya keamanan, kestabilan dan keselamatan
yang sedia ada dapat terus diperkukuhkan dan dipertahankan. Walaupun keganasan
persepsi dilihat satu terminologi baharu dalam kamus hidup masyarakat kita
namun percayalah ia sudah lama bertapak dan cuma mutakhir ini dilihat semakin
mengganas untuk tujuan dan kepentingan pihak-pihak tertentu yang jelas ada
agenda tersembunyi. Maka penulis sangat berharap agar pihak berwajib dapat
memikirkan kaedah yang bersesuaian untuk menangani isu keganasan persepsi
secara berhemah sebelum keadaan menjadi semakin parah dan sukar dikawal.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan