11 September 2012

ISU GURU : GURU AKAN DIJADIKAN PROFESION BERPRESTIJ 2013 - 2025



Guru akan dijadikan profesion berprestij dan bertaraf elit, yang hanya mengambil 30 peratus siswazah paling cemerlang di negara ini, demikian menurut cadangan Rangka Tindakan Pendidikan Malaysia 2013-2025. Dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini, 11 September 2012, laporan awal tentang rangka tindakan itu menyatakan bahawa Kementerian Pelajaran akan melaksanakan dengan ketat standard kemasukan bagi memastikan setiap pengambilan guru pelatih memenuhi kelayakan akademik minimum yang ditetapkan.

Ini sejajar dengan satu daripada 11 anjakan yang digariskan di dalam dokumen ke arah mentransformasikan sistem pendidikan negara – mentransformasikan jawatan guru agar menjadi profesion pilihan utama. Rangka tindakan awal itu menyatakan Kementerian Pelajaran akan berganding bahu dengan Institut Pendidikan Guru dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk memastikan kualiti kurikulum dan pensyarah dinaik taraf bagi melahirkan para guru seperti yang dihasratkan. Ia juga menyatakan bahawa mulai 2013, beban guru dalam bidang pentadbiran akan diringankan bagi membolehkan mereka memberi fokus terhadap tugas mengajar.

“Ini akan dicapai dengan memperkemas dan mempermudahkan proses pengumpulan data dan pengurusan sedia ada. Sesetengah fungsi pentadbiran juga akan dipindah kepada pusat perkhidmatan terpusat atau kepada guru khusus pentadbiran di peringkat sekolah. Malah, guru paling baik mungkin dinaikkan pangkat daripada DG41 kepada DG54 dalam tempoh lebih cepat berbanding tempoh kenaikan pangkat purata sedia ada iaitu 25 tahun,”

Kementerian Pelajaran juga bercadang melaksanakan kemajuan kerja berasaskan kecekapan dan prestasi menjelang 2016, apabila guru diberi penilaian setiap tahun oleh pengetua masing-masing, dengan inputnya mungkin diberi rakan setugas mereka. Laporan itu seterusnya berkata guru yang menghadapi masalah untuk mencapai kualiti minimum pula akan diberi bimbingan sokongan tambahan untuk membantu mereka kembali berada di landasan sewajarnya.

“Guru yang sering mencatat prestasi rendah, 
walaupun sudah menerima sokongan tambahan, 
akan diberi tugas lain yang mempunyai kaitan 
dengan fungsi sekolah seperti pentadbiran, 
pegawai tatatertib atau pengurusan kokurikulum,”

Sumber :
BERNAMA
11 September 2012

ISU UMUM : PERANG APPLE SAMSUNG, KEMANA SUDAHNYA?


Oleh Afiq Hanif


Perang paten antara dua gergasi elektronik popular, Apple dan Samsung berakhir dengan keputusan yang memihak syarikat dari Cupertino, Amerika Syarikat itu apabila menerima ganti rugi lebih RM3 bilion selepas menang dalam kes pelanggaran hak cipta menentang Samsung. Sembilan juri memutuskan kebanyakan ciri telefon pintar dan peranti mudah alih seperti tablet Samsung melanggar hak cipta rekaan Apple seperti inovasi paparan yang membolehkan pengguna memfokus dekat dan jauh apabila menyentuh skrin. Selain itu, juri juga memutuskan pelanggaran paten oleh Samsung yang dikatakan sengaja dilakukan dan mereka memaklumkan saman balas yang dikemukakan syarikat Korea sebanyak RM1 bilion itu disifatkan tanpa merit.

Kes terbabit bermula apabila Apple mendakwa Samsung menciplak telefon mereka dengan pengeluaran Galaxy. Ia menyaksikan Apple dengan nama rasmi syarikat, Apple Corp memfailkan saman pada April 2011 dan membabitkan peguam hak cipta paling mahal untuk menuntut RM8 bilion daripada pesaingnya yang biasa dengan sistem operasi Android. Apple mendakwa Samsung mengakibatkan syarikat Cupertino kerugian jualan apabila pasarannya terpecah kepada dua dengan inovasi Apple. Tindakan itu juga mendorong Samsung di bawah Samsung Electronics Co bertindak balas dengan mengemukakan saman balas. Namun, pertembungan paten itu dijangka tidak akan berakhir dalam hanya selepas Samsung membayar jumlah yang ditetapkan apabila kes terbabit hanya disebut di satu mahkamah di Amerika Syarikat.

Masih ada kira-kira sembilan negara yang terbabit dalam perang paten terbabit termasuk Jepun, Korea Selatan, Perancis, Belanda dan Australia, sekali gus menunjukkan perang paten tidak akan berakhir dengan jalan mudah. Namun, timbul persoalan sama ada perang paten terbabit akan memberi kesan kepada pengguna yang memilih telefon pintar, apatah lagi dua jenama terbabit boleh dikatakan pilihan masyarakat dunia ketika ini. Tanggapan mengenai keputusan kes itu yang akan menjejaskan pasaran komunikasi mudah alih mungkin terlalu awal untuk dijangkakan tetapi ia sedikit sebanyak menggambarkan sekatan atau rangsangan inovasi reka bentuk produk dan ciri baru. Ada yang berpendapat, ia menunjukkan Samsung dan mana-mana syarikat lain yang mahu memasuki pasaran telefon pintar perlukan inovasi baru dan bukannya salinan produk semata-mata.

Secara positifnya, ia menunjukkan pengguna bakal mempunyai rekaan telefon yang berbeza-beza dan tidak terlalu bergantung kepada keupayaan skrin sentuh dan inovasi kreatif daripada pembangun pada masa depan. Tuntutan Samsung bahawa kerugian dalam saman itu hanya akan menyekat persaingan adalah tidak benar. Dalam dunia teknologi, peluang untuk mencipta, berinovasi dan mencipta perisian serta perkakasan baru seharusnya bermula dari awal dan bukan sekadar melihat ‘trend’ saja. Pada masa sama, pengguna mempunyai pilihan yang lebih pada masa depan, mana tidaknya, keputusan terbabit bermakna beberapa syarikat lain mungkin akan lebih berhati-hati dalam mencipta rekaan mereka. Kita boleh melihat pengeluar telefon ‘bermain’ dengan cara selamat atau mengubah rekaan mereka untuk mendapatkan reka bentuk dan paten berlainan daripada Apple.

Bagi kes Samsung pula, tidak perlu menjangkakan perubahan ketara mengenai produk mereka di pasaran walaupun mereka kalah di Amerika Syarikat. Peranti yang melanggar paten reka bentuk mungkin tidak lagi dijual di Amerika Syarikat termasuk beberapa produk Galaxy. Beberapa penganalisis berkata, kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Apple menjelang pelancaran iPhone 5 dan boleh menguasai pasaran sebagai syarikat atau merebut semula pasaran yang dikaut syarikat berasaskan sistem operasi Google Android itu. Malah, mungkin dua pertiga pengeluar telefon di pasaran global terpaksa mempertimbangkan perubahan reka bentuk peranti mereka. Salah seorang juri mengenai kes di Amerika Syarikat, Velvin Hogan, 67, berkata, ia bukan keputusan yang mudah namun selepas meneliti kedua-dua hujah, Apple berhak menang. Beliau juga berkata, testimoni video daripada eksekutif kanan Samsung yang dibuat benar-benar menambah kejelasan kepada mereka bahawa pelanggaran itu dilakukan dengan sengaja.

“Hujah Apple mengenai keperluan untuk 
melindungi inovasi meyakinkan bilik juri. 
Kami tidak mahu memberikan kemenangan 
mudah kepada sebuah syarikat tertentu saja 
walau segah manapun nama mereka daripada 
melanggar harta intelek orang lain,”

Walau bagaimanapun, Hogan berkata, permintaan kerosakan Apple sehingga RM8.3 bilion adalah ‘luar biasa’ kerana masih tidak jelas sama ada Apple mempunyai bekalan komponen yang cukup untuk menjual lebih banyak telefon. Pakar kerosakan Apple memberi keterangan bahawa Samsung memperoleh margin kira-kira 35.5 peratus produknya ketika tuntutan mahkamah menyebabkan kerugian pendapatan kira-kira RM25 bilion. Walau bagaimanapun, Hogan berkata, juri memikirkan peratusan Apple tidak betul-betul tepat. Hogan bekerja sebagai seorang jurutera selama beberapa dekad sebelum beliau bersara. Beliau berkata, juri dapat melengkapkan perbincangan mereka dalam masa kurang tiga hari, lebih cepat daripada yang diramalkan pakar undang-undang. Ia berikutan ada di kalangan mereka mempunyai pengalaman dalam kejuruteraan dan undang-undang yang membantu dengan isu yang kompleks.

“Kami mahu pastikan mesej yang kami hantar 
sebagai satu tamparan kepada mana-mana syarikat 
agar tidak sewenang-wenangnya meniru inovasi 
orang lain. Jangan salah faham, kami tidak 
hanya pergi ke dalam sebuah bilik dan mula memilih secara rambang untuk menentukan siapa yang salah. Kami merasakan keputusan kami adil, saya yakin 
kami sebagai juri tidak akan berat sebelah,”

Ada satu ketika pada hari kedua perbincangan, juri mematikan lampu dalam bilik untuk menyelesaikan perbahasan mengenai pengaruh potensi kecerahan skrin antara Apple dan Samsung dan mengambil keputusan reka bentuk skrin Apple lebih unik. Kes difailkan di Mahkamah Daerah AS, Daerah California Utara, dengan nama kes adalah Apple Inc vs Samsung Electronics Co Ltd et al, No 11-1846. Namun perang paten di Jepun pula menyaksikan Mahkamah Tokyo menolak dakwaan Apple Inc bahawa Samsung melanggar hak ciptanya. Samsung dari Korea Selatan, pengeluar telefon terbesar dunia, mengalu-alukan keputusan Mahkamah Daerah Tokyo bahawa teknologinya untuk menyesuaikan peralatan telefon bimbit dengan komputer tidak melanggar hak cipta Apple.

“Sudah lama kami berpendirian begitu dan 
kami akan terus menawarkan produk inovatif 
kepada pengguna serta meneruskan sumbangan 
kepada pembangunan industri telefon bimbit,”

Dalam sesi yang berlangsung selama beberapa minit, Hakim Tamotsu Shoji berkata, beliau tidak berasa produk Samsung menyamai teknologi Apple dan menolak saman berkenaan, yang difailkan Apple, Ogos tahun lalu. Keputusan itu adalah yang pertama dibuat di Jepun perbalahan perundangan kedua-dua pihak di seluruh dunia, tetapi teknologi lain turut dibawa ke mahkamah oleh kedua-dua syarikat itu dalam kes perundangan berasingan di Jepun. Lain pula kesnya di Korea Selatan apabila mahkamah memutuskan kedua-dua syarikat Apple dan Samsung bersalah menggunakan paten lawan masing-masing dan mengenakan pengharaman terhadap sebahagian produk dua syarikat berkenaan. Mahkamah Daerah Pusat Seoul mengarahkan Apple menarik balik iPhone 3GS, iPhone 4, iPad 1 dan iPad 2 daripada kedai di Korea Selatan manakala produk Samsung yang diharamkan ialah GalaxyS2.

Produk iPhone 4S dan Galaxy S3 boleh terus dijual. Samsung pula diarah membayar kira-kira RM66,000 kepada lawannya manakala Apple diarah membayar pesaingnya, kira-kira RM109,353. Pengeluar produk elektronik seharusnya melindungi hasil ciptaan itu dengan mempatenkannya kerana ada peruntukan undang-undang mengenainya. Bahkan, paten hak eksklusif yang diberikan terhadap suatu reka cipta sama ada suatu produk ataupun proses menghasilkan cara baru bagi membuat sesuatu ataupun untuk penyelesaian teknikal bagi sesuatu masalah. Disifatkan sebagai ‘harta intelek’, ia dapat ditafsirkan sebagai hasil ciptaan minda sama ada dalam bentuk reka cipta dan reka bentuk yang digunakan dalam perdagangan serta ciptaan mahupun teknologi dan dilindungi undang-undang.  Secara jujurnya, perang paten itu dijangka akan terus rancak, namun kita tidak akan menjangkakan Apple menyaman syarikat elektronik lain.

Kesan kepada pengguna?
TIADA!

Sumber
Harian Metro
10 September 2012


Klik pada gambar untuk lebih jelas

ISU PENDIDIKAN : ERA BARU PENDIDIKAN, AMBIL KIRA SUARA RAKYAT


Oleh Ruhaiza Rusmin


Melangkah era baru penuh cabaran, sektor pendidikan negara juga bergerak seiring bagi menjadikannya lebih proaktif, dinamik, profesional serta menepati standard global. Apatah lagi dengan pelbagai sasaran ditetapkan bagi melahirkan pelajar dan institusi yang bukan saja cemerlang akademik malah memenuhi kriteria prestasi tinggi, menjadikan sektor pendidikan negara perlu berdepan perubahan besar. Pengenalan Kajian Semula Pendidikan juga satu cara sektor pendidikan negara melonjakkan lagi tahap sedia ada ke satu peringkat boleh dibanggakan. Justeru, apakah jangkaan terhadap sektor pendidikan negara apabila pengenalan ini dilaksanakan dalam tempoh sasaran?

Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara, Profesor Dr Teo Kok Seong berkata, menerusi Kajian Semula Pendidikan, dunia pendidikan negara dijangka melonjakkan lagi profesionalisme serta pencapaian dalam dua aspek utama iaitu perkembangan kecendekiawanan serta pembangunan insaniah pelajar. Beliau berkata, dua aspek itu nadi terhadap kecemerlangan pelajar, sekali gus melahirkan bangsa yang mempunyai jati diri kukuh. 

“Ini adalah masa paling tepat bagi melakukan perubahan kerana pelajar kita akan berdepan persaingan global serta transformasi alaf baru dunia pendidikan yang serba pantas. Penekanan terhadap dua aspek itu antara paling utama sebagai usaha melahirkan pelajar yang mampu berfikir secara global, berakhlak baik serta bertanggungjawab. Dalam tempoh sasaran ditetapkan selama 15 tahun, diharap negara mampu melahirkan pelajar yang mempunyai daya saing tinggi supaya boleh bersaing di persada dunia antarabangsa,” 

Sistem pendidikan negara juga, katanya, mampu berdiri setanding negara maju seperti Finland, sekali gus meningkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada ke tahap terbaik. “Pelbagai aspek akan diperbaiki dari semasa ke semasa bagi mempertingkatkan lagi kualiti pendidikan sedia ada. Ini membantu melonjak keupayaan negara untuk setanding negara maju dalam sektor pendidikan,” katanya. Kajian Semula Pendidikan yang akan dilancarkan esok antara mekanisme serta transformasi kerajaan bagi melonjakkan lagi pencapaian sektor pendidikan negara ke tahap paling membanggakan. Ini juga bagi menjadikan sektor berkenaan berdaya saing dengan pelbagai visi dan aspirasi baru bagi menjadikan sistem pendidikan lebih kompetitif dan mencapai standard global.

Antara objektif Kajian Semula Pendidikan adalah untuk memahami isu dan cabaran, menjelaskan visi dan aspirasi baru untuk sistem pendidikan negara pada masa depan juga mencetuskan transformasi bagi meningkatkan standard serta merapatkan jurang pencapaian. Pelan ini adalah inklusif dan kolektif merangkumi suara rakyat dengan 156 memorandum, 20 meja bulat, 16 dewan terbuka, 14 negeri dan lima forum murid selain syor daripada 7,757 guru, 2,117 ahli persatuan ibu bapa dan guru dan 1,853 orang awam. Dijangkakan menerusi kajian semula itu, sistem pendidikan negara akan berupaya melonjakkan lagi prestasi pencapaian sedia ada menjelang tempoh sasaran pada 2025 dengan keupayaan melahirkan melahirkan pelajar berkapasiti pendidikan dengan nilai pengalaman selain merapatkan pencapaian jurang yang wujud masa kini.

Diharapkan menjelang tempoh itu, setiap pelajar akan mempunyai kemampuan untuk melaksanakan pelbagai kemahiran seperti kepemimpinan, berpengetahuan, beridentiti nasional juga menguasai bahasa. Malah, profesionalisme guru juga diharap mampu dilonjakkan ke tahap optimum menerusi pelaksanaan suntikan pakej baru dalam kerjaya berkenaan manakala bagi institusi sekolah dapat menganjak pencapaian sedia ada ke tahap lebih baik dengan kadar segera. Naib Canselor UKM, Tan Sri Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin yang juga ahli panel Dialog Nasional Pendidikan Negara (Panel Bebas) juga berpendapat, usaha penambahbaikan yang dilakukan menerusi Kajian Semula Pendidikan itu tepat pada masanya demi kegemilangan dunia pendidikan negara pada masa depan.

“Penambahbaikan ini demi kebaikan bersama terutama dalam mentransformasikan sistem pendidikan negara ke tahap global. Ia dilaksanakan dengan sokongan pendapat semua dan manfaatnya juga akan dapat dinikmati dengan menyeluruh,”

Sumber
Harian Metro
10 September 2012

10 September 2012

ISU SOSIAL : APABILA POLIS BERTINDAK



Betul, pasukan polis yang berfungsi menguatkuasakan undang-undang tidak boleh tergelincir daripada nilai asas, misi dan matlamatnya untuk menjaga keamanan dan keselamatan negara. Dalam keadaan apa juga sekali pun ciri berkenaan perlu dipertahankan. Ini adalah cabaran paling besar dihadapi anggota dan pegawai polis zaman ini kerana tugas mereka untuk menjaga keselamatan rakyat dan negara sering disalahertikan. Hari ini tindakan mereka mententeramkan keadaan, contohnya untuk meleraikan perhimpunan ditakrif sebagai berlaku ganas, tidak berperikemanusiaan, melanggar hak asasi dan sebagainya. Suasana ini memaksa anggota dan pegawai polis membezakan garisan sempadan nipis antara dua kumpulan yang ditakrif melanggar undang-undang – penjenayah dan mereka yang berdemonstrasi dengan niat tertentu, walaupun kedua-duanya boleh menimbulkan ketidakselesaan kepada majoriti rakyat.

Senario ini tetap berlaku walaupun pasukan polis di negara ini sudah melalui proses kemajuan daripada model kepolisian tradisi kepada model kepolisian masyarakat yang sudah tentunya untuk memastikan kesejahteraan rakyat diberi keutamaan. Rakyat juga sepatutnya juga berubah daripada terlalu mengharapkan polis mengawal keselamatan kepada bersama-sama membantu polis untuk menjaga keamanan. Oleh itu, sewajarnya rakyat menjauhkan diri daripada melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan keselamatan negara. Betul, kerajaan tidak mahu pasukan polis bersikap kasar ketika menghadapi rakyat dalam keadaan apa sekali pun. Ini terbukti daripada penegasan Datuk Seri Najib Razak yang meminta Polis Diraja Malaysia (PDRM) menjamin keselamatan awam dan bijak menyeimbangi antara hak asasi individu dengan kepentingan masyarakat. Apa dinyatakan Perdana Menteri itu selari dengan nilai utama bidang kepolisian yang menjadi faktor penting rakyat meletakkan harapan tinggi kepada pasukan polis untuk menjaga keselamatan setiap rakyat.

Rakyat tidur lena tanpa perlu bimbang terhadap keselamatan negara atau mereka bebas ke mana saja kerana yakin keselamatan mereka terjamin. Rakyat yang rasional sepatutnya faham misi polis dan yakin anggota dan pasukan polis bersikap adil kepada semua rakyat tanpa mengira latar belakang asalkan mereka juga akur kepada peraturan dan undang-undang. Bagi polis, mereka tahu kunci mencapai matlamat dan memenuhi misi ialah dengan menyempurnakan hasrat rakyat. Namun, setiap anggota dan pegawai polis juga ada tanggungjawab mereka terhadap golongan yang cuba menggugat keamanan. Mereka juga menilai tindakan individu dan kumpulan yang relevan atau tidak relevan dengan penguatkuasaan undang-undang.

Rakyat perlu faham, di mana-mana negara sekali pun setiap anggota dan pegawai polis dilatih mengenai cara dan taktik penyelesaian masalah ketika menghadapi senario penguatkuasaan undang-undang. Jika ditekan dengan provokasi berterusan hingga menimbulkan ketegangan, penyelesaian perlu dicari. Satu keputusan yang wajar akhirnya terpaksa juga diambil. Walaupun sentiasa mengambil tindakan berhemah, pasukan polis juga perlu menilai keadaan semasa yang boleh berubah pada bila-bila masa. Keadaan ini mungkin memaksa pasukan polis mengikut rentak perubahan berkenaan. Dalam keadaan terdesak, macam-macam boleh berlaku.

Polis bukan saja dilatih menyelesaikan masalah tetapi juga dilatih mempertahan keselamatan diri sendiri. Paling baik. Jauhilah daripada individu atau kumpulan yang boleh mencetuskan ketenteraman awam walau apa pun sekali alasan atau motif sesuatu perhimpunan yang ada kaitannya dengan kepentingan politik. Untuk menjamin kesejahteraan, hubungan polis dan masyarakat amat penting dan perlu wujud semua peringkat. Masing-masing perlu memahami hasrat antara satu dengan lain.

Sumber :
Berita Harian
10 September 2012

ISU SOSIAL : CABARAN KEKALKAN SAHSIAH ANAK


Rencana ini ditulis oleh:
Wan Marzuki Wan Ramli


Budi pekerti adalah perilaku yang terserap dalam jiwa seseorang. Daripada perilaku itulah lahirnya tindakan sementara yang memerlukan kecerdasan kemantapan minda untuk mengawalnya supaya tidak terbabas daripada landasannya. Pepatah Arab ada menyatakan, kecantikan sebenar seseorang itu bukanlah terletak pada rupa paras, bentuk badan atau pakaian, tetapi kecantikan hakiki ialah pada ketinggian ilmu, keunggulan akhlak serta sahsiah diri.  Tugas membentuk sahsiah mulia bukan sesuatu yang mudah kerana ia bermula daripada didikan awal pasangan ibu bapa kepada anak. Menjadi ibu bapa pada zaman pesat berkembang dan sentiasa berubah ini bukan mudah. Ibu bapa menghadapi banyak cabaran dan dugaan dalam usaha membesar, mendidik serta membentuk sahsiah akhlak anak.

Pengaruh luar

Peringkat paling sukar sekali ialah peringkat peralihan daripada zaman kanak-kanak kepada remaja apabila anak mula menunjukkan perubahan tingkah laku, pergaulan, minat, pilihan kawan, peningkatan nafsu syahwat serta gaya berpakaian. Inilah peringkat yang penuh pelbagai pengaruh serta tekanan luar yang kebanyakannya membawa pengaruh tidak baik, melekakan, mengkhayalkan, menyeleweng akidah dan akhirnya merosakkan akhlak hingga menyebabkan jenayah remaja. Pembangunan sosioekonomi yang berlaku begitu pesat, minda, ketahanan iman dan jati diri mudah tergugat akibat pengaruh pemikiran yang diimport, budaya serta nilai luaran mencemari seterusnya menghakis nilai Islam.

Kemewahan cemar budaya

Kemewahan dan kebendaan daripada kekayaan yang dinikmati hasil usaha pembangunan ekonomi sedikit demi sedikit mula menghakis dan mencemari budaya kita. Akhirnya ketahanan diri remaja lentur dan pupus mengakibatkan sebahagian daripada mereka terjebak dalam penagihan dadah, aktiviti jenayah, lepak, pengangguran dan maksiat. Wajarkah kita menyalahkan ibu bapa jika anak tersalah pilih kawan yang mempengaruhi dirinya bertindak di luar batasan. Sukar untuk menangani isu ini kerana tidak tahu ke mana jari hendak dituding. Bagaimanapun, sedikit sebanyak, ibu bapa perlu memikul tanggungjawab jika anak terjebak dalam perkara menyalahi undang-undang serta ajaran agama. Sikap tidak mahu bertegas atau memberi perhatian terhadap perkembangan anak boleh menyebabkan mereka tersalah langkah.

Bina keluarga berpandu ajaran agama

Islam memberi penekanan kepada kepentingan membina keluarga yang sejahtera berpandukan ajaran agama kerana jika ibu bapa mampu menanam keimanan jitu, anak akan dapat membezakan yang baik dengan buruk. Justeru, ibu bapa tidak boleh beranggapan apabila anak sudah dewasa, mereka boleh dibiarkan menentukan cara hidup. Ibu bapa masih perlu memberi pandangan serta panduan terutama apabila melihat anak mula tersasar daripada jalan yang benar.

Sumber :
Berita Harian
9 September 2012

09 September 2012

ISU UMUM : HUKUM DERMA ORGAN


Rencana ini ditulis oleh :
NOOR AINUL YAKIN MOHAMAD ISHAK


Pernahkah terfikir di fikiran masing-masing untuk mendermakan organ kepada pihak yang memerlukan sekiranya anda meninggal dunia ataupun masih hidup? Mungkin ada antara kita, pernah mendengar mengenai pemindahan organ atau derma organ yang kini semakin diperlukan untuk tujuan kesihatan. Namun ada yang masih tertanya-tanya sama ada pemindahan organ atau derma organ tersebut dibolehkan dalam Islam atau tidak kerana ada yang mengatakan ia haram dilakukan dan ada juga yang dibolehkan mengikut beberapa keadaan. Penceramah bebas, Zaharuddin Abd Rahman berkata, bagi menjawab persoalan berkaitan pemindahan organ, berikut disertakan ringkasan Fatwa Majlis Majma Fiqh terhadap isu derma dan pemindahan organ:

1. Pemindahan organ

a) Memindahkan organ seseorang pesakit daripada satu bahagian daripada tubuhnya ke bahagian lain tubuhnya juga.

Hukumnya : Harus, dengan syarat :

Kepastian manfaat yang bakal diperoleh adalah lebih tinggi daripada mudarat yang mungkin menimpa hasil pemindahan.

Pemindahan tersebut tidak menyebabkan mana-mana anggota yang diambil, hilang upaya daripada menjalankan fungsi asalnya.

b) Memindahkan organ seseorang pesakit kepada pesakit lain.

Hukumnya : Harus , dengan syarat :

Ia terdiri daripada anggota yang akan pulih dan boleh tumbuh semula seperti darah dan kulit.

Mestilah penderma mempunyai keahlian dari sudut umur dan akal dalam membuat keputusan tersebut.

c) Memanfaatkan sebahagian anggota yang dipisahkan dari tubuh kerana keperluan akibat sakit tertentu, lalu didermakannya untuk orang lain. Seperti kornea mata

Hukumnya : Harus dengan syarat manfaat melebihi mudarat.

d) Memindahkan organ yang boleh menyebabkan kematian penderma seperti jantung

Hukumnya : Haram

e) Memindahkan organ yang boleh menghilang upayakan fungsi anggota tersebut daripada tugas utamanya dalam keadaan tidak mengancam nyawa penderma. Seperti derma kornea mata kedua-duanya, kedua-dua tangannya.

Hukumnya : Haram, 

sekiranya didermakan hanya sebelah kornea, terdapat khilaf di kalangan fuqaha, yang lebih kuat adalah haram kecuali kiranya tersangat diperlukan.

f) Memindahkan anggota mayat kepada seorang yang hidup yang hidupnya bergantung kepada anggota itu.

Hukumnya : Harus

Dengan syarat mendapat keizinan si mati (sebelum matinya) atau warisnya selepas matinya atau izin pemerintah kiranya si mati tidak diketahui warisnya.

g) Memindahkan organ binatang kepada manusia

Hukumnya : Harus

Dengan syarat haiwan yang halal dimakan dagingnya.

h) Menjual organ-organ yang ingin dipindahkan atau penderma mengambil bayaran yang ditetapkan hasil organnya

Hukumnya : Haram

kecuali jika si penerima atau mana-mana pihak ketiga memberi hadiah secara sumbangan penghargaan tanpa ditetapkan sebelumnya.

Maklumat tambahan:

Organ tisu yang boleh didermakan - Jantung, paru-paru, hati, buah pinggang, pankreas,

Tisu - Injap Jantung, mata, tulang, kulit, usus, membuluh darah, muka

Jenis Penderma/Penderma Hidup

Penderma hidup hanya boleh mendermakan satu buah pinggang atau sebahagian hati dan sum-sum tulang saja.

Terhad kepada  mereka yang mempunyai  pertalian darah atau mereka yang mempunyai hubungan emosi seperti suami isteri saja.

Pendermaan ketika hidup terbahagi kepada dua jenis iaitu:

Pendermaan ada pertalian saudara
Pendermaan tiada talian saudara

Pendermaan kadaverik:

Penderma Kadaverik ialah penderma yang sudah meninggal dunia.
Pendermaan jenis ini amat digalakkan dan diutamakan:
Ia tidak memberikan risiko kepada penderma

Penderma kadaverik terbahagi kepada dua kategori:

Kematian otak penderma adalah penderma yang disahkan meninggal dunia di hospital. Mati otak ialah satu keadaan apabila tiada pengedaran darah dan oksigen ke otak yang menyebabkan keseluruhan otak yang mengawal aktiviti kehidupan seperti pernafasan dan degupan jantung mati.

Ini boleh berlaku akibat kecederaan otak yang menyebabkan otak membengkak ataupun pendarahan dalam kepala yang teruk, pendarahan spontan akibat pecah urat saluran darah yang tidak normal atau tekanan darah yang tinggi, strok yang teruk, barah otak dan seumpamanya. Hanya penderma yang kematian otak boleh mendermakan otak organ dan tisu seperti jantung, paru-paru, hati dan buah pinggang (ginjal), mata (kornea), tulang dan kulit. Kematian normal di mana seseorang itu disahkan mati kerana jantung berhenti berdegup dan penderma ini hanya boleh mendermakan tisu sahaja.

Hanya mereka yang meninggal di hospital boleh mendermakan semua jenis tisu. Bagi mereka yang meninggal di rumah, mereka hanya boleh mendermakan mata (kornea). Pihak keluarga perlu menghubungi hospital kerajaan terdekat bagi tujuan perolehan tisu berkenaan di rumah.

Sumber: 
Pusat Sumber Transplan Nasional
Sinar Harian, 7 September 2012

ISU KENEGARAAN : TANPA 31 OGOS AKAN TIADA 16 SEPTEMBER



Bagaimana agaknya kalau negara kita masih diperintah penjajah dan belum merdeka ? "Kalau begitu, orang Melayu akan hanya masih mengerjakan sawah, orang Cina hanya menguruskan kedai runcit dan orang India terus bekerja di estet getah," jawab pengamal media itu. Perkhidmatan awam pula dikuasai 'Orang Puteh' (penjajah) dan orang macam kita (miskin dan tinggal di luar bandar) serta anak kita tidak akan ada peluang belajar di universiti," sambung seorang lagi teman penulis, Dr Faizul Ismail, yang juga seorang ahli akademik. Sememangnya mencapai kemerdekaan adalah begitu bermakna bagi sesebuah negara dan penduduknya.

"Sebelum Merdeka, penjajah orang puteh pernah berkata orang Melayu akan berpuas hati jika mereka ada beberapa ekar sawah untuk tanam padi (untuk makanan), sungai untuk tangkap ikan (buat lauk) dan kebun getah untuk dapat duit (dari hasil) jual getah. Kita mungkin akan masih seperti itu jika masih belum bebas daripada dijajah,"

Anak kecil

Malaysia berusia 55 tahun pada Jumaat, 31 ogos 2012. Satu usia yang agak 'muda' jika dibandingkan dengan beberapa negara lain di dunia yang telah mencapai kemerdekaan beberapa tahun lebih awal. Sebagai sebuah negara yang muda, Malaysia telah mengambil langkah besar dalam mencapai kemajuan serta kemakmuran.

"Keadaannya (Malaysia) sama dengan anak kecil yang sedang belajar tentang kepandaian yang baru. Kebebasan bermula ketika anak kecil itu kecil. Anak itu merangkak dan membesar, (perkembangan) ini berkesinambungan ke peringkat anak itu meningkat usia, kepada umur belasaan tahun dan seterusnya sehingga mencapai autonomi dan berupaya membuat keputusan sendiri,"

Pensyarah universiti Dr Robert Leong berkata kanak-kanak belajar dengan cara bermain dan mendapat kepandaian dan keupayaan baru. Sebab itulah penting bagi menggalakkan mereka buat apa yang mereka mahu serta mencuba sesuatu benda atau perkara baru.

Keupayaan

"Anak itu mahu tunjuk apa yang dia boleh buat melalui keupayaan diri mereka sendiri," jelas beliau, sambil menambah ini adalah penting untuk memberi keyakinan diri mereka sendiri. Apa yang mereka mahu buat untuk diri mereka, ada kena mengena dengan perkembangan diri anak itu sendiri," jelas beliau lagi. Samalah dengan rakyat Malaysia dalan negara Malaysia yang merdeka serta berdaulat. Itulah apa yang dilalui rakyat Malaysia. Kebebasan daripada belenggu penjajah telah memberikan mereka identiti tersendiri selain daripada kemahuan dan komitmen untuk mencapai kemajuan. Malaysia dan rakyatnya telah mencapai kemajuan yang mendadak dalam hampir semua aspek termasuk dari segi ekonomi, akademik dan pentadbiran.

Hari Merdeka, Hari Malaysia

Malaysia adalah sebuah negara yang unik di mana ia mempunyai dua tarikh 'keramat'. Pada 31 Ogos setiap tahun semenjak 1957, negara merayakan kebebasan daripada penjajahan dan ini dikenali sebagai 'Hari Merdeka' manakala 16 Sept semenjak 1963, ia merayakan ulangtahun pembentukan Malaysia (kemasukan Sabah dan Sarawak) di mana hari ini dikenali sebagai 'Hari Malaysia'. Bagaimanapun masih terdapat perdebatan daripda golongan pihak-pihak tertentu. Dakwa golongan ini, kenapa negara tidak merayakan hanya hari Malaysia sedangkan tarikh 16 Sept adalah lebih penting dan relevan kerana pembetukan Malaysia. Bagaimanapun ramai rakyat Malaysia tidak bersetuju. Jawapannya adalah mudah. Menurut para cendikiawan, gologan akademik dan sejarawan, contoh yang paling menonjol boleh diambil dari Amerika Syarikat yang mengagungkan 4 Julai sebagai 'Independece Day'.

Rakyat bersatu

Amerika Syarikat, sebuah kuasa besar dunia dan pernah dijajah British, merayakan hari kemerdekaannya pada 4 Julai setiap tahun. Menurut seorang pensyarah universiti (yang enggan dinamakan), "Tidak ramai yang tahu bahawa pada tarikh 4 Julai 1796, hanya ada 13 negeri bekas tanah jajahan British di Amerika yang mencapai kemerdekaan sebagai sebuah negara. "Negeri terakhir, Hawaii, hanya bergabung dengan Amerika Syarikat pada 21 Ogos, 1959 menjadikannya negeri ke-50 dalam Amerika Syarikat. "Tetapi rakyat Amerika masih merayakan kemerdekaan mereka pada 4 Julai dan bukannya tarikh 21 Ogos kan? Begitu juga dengan negara kita, tarikh yang dianggap Merdeka adalah 31 Ogos," kata beliau.

Kebebasan

Penjajahan negara ini bermula pada tahun 1511 bila Portugis menawan Melaka. Belanda kemudian mengalahkan Portugis pada 1644 dan meneruskan penjajahan. Perjanjian Inggeris-Belanda pada tahun 1824 telah membuka pintu kepada pihak British untuk bertapak di Tanah Melayu. Jepun menyerang Tanah Melayu pada 1941 dan menyerahkannya kembali kepada British pada tahun 1945, di hujung Perang Dunia Kedua. Jelas pensyarah itu lagi, Hari Kemerdekaan Malaysia adalah untuk memperingati hari di mana semua warga negara ini mencapai kebebasan daripada penjajah. "Dan ia bukan hanya kemerdekaan daripada penjajahan British tetapi kesan daripada penjajahan berkurun lamanya oleh orang asing semenjak zaman penjajahan Portugis, Belanda dan Jepun. Bila negara mencapai kemerdekaan, kita boleh merangka masa depan sendiri berbanding apa yang kita terpaksa buat menurut arahan penjajah," jelas pensyarah itu lagi.

Tanpa 31 Ogos, akan tiada 16 Sept

Katanya, dengan memberi kepentingan yang lebih terhadap tarikh 16 Sept berbanding 31 Ogos, ia akan 'melenyapkan' pengorbanan dan perjuangan serta nilai usaha para pejuang kebebasan negara. 

"Tanpa 31 Ogos, 1957, tidak akan wujud tarikh 16 Sept, 1963. Tanpa pengorbanan serta usaha keras para pejuang kemerdekaan pada masa lampau untuk mencapai kebebasan tahun 1957, tidak akan ada sebuah persekutuan Malaysia yang dibentuk pada tahun 1963. "Inilah yang perlu diberitahu dan diabadikan kepada generasi muda".

Sumber : Bernama
7 September 2012

MOTIVASI : RAHSIA MAHA SINNATHAMBY ANTARA ORANG TERKAYA DI AUSTRALIA



Sifat berwawasan jauh sering dikaitkan dengan 
Maha Sinnathamby, migran dari Malaysia yang kini mencipta nama sebagai antara ahli perniagaan 
paling kaya dan berjaya di Australia. 

Perkara ini tidak menghairankan jika diimbas kembali kejayaan beliau mengubah kawasan hutan tebal seluas 2,860 hektar 23 kilometer di barat Brisbanne, Queensland, yang tidak dipeduli sesiapa hingga menjadi sebuah Bandar raya penuh terancang paling besar milik persendirian di negara ini, yang lengkap dengan kemudahan pendidikan dan kesihatan bertaraf dunia. Dalam tempoh dua dekad, kawasan pembangunan berkenaan yang dikenali sebagai Greater Springfield, melahirkan enam kawasan subbandar yang mempunyai 23,000 penduduk. Kira-kira A$9.6 bilion (RM31 bilion) dibelanjakan untuk membangunkan projek ini -- A$3.5 bilion (RM11.3 bilion) oleh Springfield Land Corporation dan beberapa pihak lain, A$2.5 bilion (RM8.07 bilion) oleh Kerajaan Negeri Queensland dan A$3.6 bilion (RM11.62 bilion) oleh kerajaan tempatan.

Pelaburan ini membawa kepada terdirinya enam sekolah, sebuah universiti, sebuah kolej TAFE, Mater Health Services, sebuah Pusat Data Polaris Peringkat 3+serba canggih, sebuah pusat beli-belah hijau bertaraf enam bintang dikenali sebagai Orion Shopping Centre, projek pembangunan hijau bertaraf empat bintang dikenali sebagai Springfield Tower dan sebuah padang golf hasil reka cipta Greg Norman yang memenangi anugerah antarabangsa.

Semua projek pembangunan ini mendapat pengiktirafan rasmi apabila memenangi FIABCI Prix d' Excellence Awards bagi Komuniti Yang Mempunyai Pelan Induk Terbaik Dunia 2010 setelah bersaing dengan 54 penyertaan lain dari seluruh dunia. Seperkara yang paling mengagumkan tentang Maha ialah segala pencapaian cemerlangnya itu tidak menjejaskan sifat merendah diri yang sentiasa menjadi amalan beliau. Tentu ramai yang ingin tahu rahsia di sebalik kejayaan luar biasa anak kelahiran Malaysia yang berasal daripada sebuah keluarga miskin ini. Rahsianya terkandung dalam sebuah buku tulisan pengarang Scotland bernama Karen McCreadie berjudul "Stop not till the Goal is Reached: The 10 Principles for Fearless Success that Inspired Maha to Build a City".


Ditulis dengan kerjasama penuh Maha serta keluarganya di samping sahabat dan rakan perniagaan beliau, buku ini begitu istimewa kerana ia memberi peluang kepada pembaca untuk mengikuti kisah yang diceritakan sendiri oleh Maha, bukan saja tentang kejayaan, tetapi juga rintangan serta kegagalan yang dialaminya. Buku ini juga unik kerana ia mengandungi biografi, kes kajian perniagaan dan panduan jaya diri. Kunci utama untuk merungkai rahsia di sebalik kejayaan Maha terkandung dalam 10 prinsip yang dirujuk oleh tajuk buku ini. Prinsip ini berasal daripada falsafah silam 'Vedanta', yang menjadi sumber inspirasi dan amalan Maha dalam melayari kehidupannya.

Buku ini merungkai dengan jelas setiap prinsip berkenaan dengan mengabadikan kisah yang diceritakan sendiri oleh Maha dan bagaimana beliau mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Sepuluh prinsip berkenaan ialah: Jadikan idea anda sebagai jalan kehidupan anda; bangkit, berdiri dan jangan berhenti selagi matlamat belum tercapai; bekerjalah dengan tekun; usah gentar – hadapilah semua halangan; malam paling gelita akan berakhir dengan subuh yang terang; ikhlaslah daripada segi pemikiran, kata-kata dan perbuatan; peribadi terbina melalui jatuh bangun dalam kehidupan; setiap orang memiliki kehebatan tersendiri; tetapkan matlamat sendiri; dan semua kuasa ada dalam diri anda.

Bagaimanapun, 10 prinsip tersebut sebenarnya belum mencukupi untuk memahami semangat serta keazaman yang dimiliki ahli perniagaan istimewa ini. Satu lagi rahsia besar yang menjadi kunci kejayaan Maha ialah asal usul beliau yang serba kekurangan. Beliau dilahirkan pada 1939 di Rantau, Negeri Sembilan dan dibesarkan oleh ibu serta bapanya yang amat menitikberatkan nilai pendidikan. Di dalam buku ini, Maha menceritakan bahawa tindakan pertama yang dilakukan bapanya setelah dibebaskan daripada kem tawanan perang tentera Jepun ialah mendaftar Maha serta adik beradiknya untuk bersekolah. Maha bersekolah di St Paul's Institution di Seremban.


Oleh itu, tidak hairanlah apabila bidang pendidikan menjadi tumpuan Maha dalam kehidupannya dan ini terbukti apabila beliau memberi perhatian khusus terhadap pembangunan Springfield. Maha berkata, beliau amat bangga kerana 44.6 peratus daripada penduduk Springfield terdiri daripada pelajar. Kesimpulannya, buku berkenaan berjaya menyingkap dengan cukup menarik kisah kejayaan seorang usahawan paling cemerlang dan dinamik di Australia.

SUMBER
Sinar Harian
9 SEPTEMBER 2012

ISU UMUM : 1 KILOMETER 4 EKOR BUAYA DI SARAWAK



Oswald Braken Tisen termenung seketika apabila diajukan soalan berapakah jumlah buaya yang mendiami semua sungai di Sarawak pada masa ini. "Saya rasa ada kira-kira 10,000 hingga 15,000 ekor buaya di Sarawak, ini anggaran kasar sahaja kerana sukar untuk tentukan jumlah yang tepat,"  Ketua Bahagian Pemuliharaan Kawasan Terlindung dan Biodiversiti, Sarawak Forestry Corporation (SFC) itu berkata, anggaran berkenaan adalah berasaskan data kepadatan relatif buaya di 22 lembangan sungai negeri itu yang menunjukkan peningkatan memberangsangkan. Berdasarkan kajian pertama yang dilakukan di Sarawak pada 1985, hanya terdapat 0.054 ekor buaya kelihatan bagi setiap satu kilometer (km) kawasan sungai yang ditinjau.

"Ini bermakna secara purata hanya terdapat 5.4 ekor buaya dikesan bagi jarak 100 km kawasan sungai,"

Jumlah yang rendah itu berpunca daripada pemburuan dan pembunuh buaya yang tidak terkawal kerana tiadanya undang-undang yang melindungi buaya di Sarawak. Data mengejutkan itu mendorong Kerajaan Negeri Sarawak menyenaraikan buaya sebagai spesies dilindungi di bawah Ordinan Perlindungan Hidupan Liar 1990. Data itu juga menyebabkan buaya di Sarawak tersenarai dalam Apendiks 1, Convention on International Trade in Endangered Species of Wild Fauna and Flora (CITES) yang menyaksikan reptilia itu tidak boleh diperdagangkan di peringkat antarabangsa. Hasil daripada dua perundangan itu menyaksikan populasi buaya mula menunjukkan peningkatan bermula 1995. Kata Oswald Braken, antara sungai yang mencatatkan peningkatan ialah Batang Lupar, Batang Sadong, Sungai Sarawak, Batang Lingga (Seterap dan Klauh), Sungai Seblak, Sungai Niah, Sungai Likau, Sungai Sibuti, Sungai Tinjar dan Sungai Bako.

Memperincikan peningkatan itu, beliau berkata, siri kajian pada 2007 dan 2008 menunjukkan Batang Saribas-Sungai Spaoh mencatatkan kepadatan relatif buaya tertinggi iaitu sebanyak 2.16 ekor buaya (tidak termasuk yang baharu menetas) bagi setiap km sungai. Ia diikuti Sungai Santubong (1.4 ekor/km), Sungai Bako (1.2 ekor/km), Sungai Sibuti (1.13 ekor/km) dan Kuching Wetlands (0.9 ekor/km).

"Secara purata bermula 2003 hingga 2009 pula, kepadatan relatif buaya di seluruh Sarawak berada 
pada kadar 0.09 ekor hingga 4.42 ekor buaya bagi 
setiap satu km kawasan yang ditinjau. Ia tidak 
bermakna semua sungai ada buaya kerana 
habitatnya bertumpu ke arah kawasan pantai,"

Mengulas lanjut, Oswald Braken berkata, data semasa menunjukkan Sarawak kini dalam proses pemulihan populasi buaya dan ia dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh 20 hingga 30 tahun akan datang. Katanya, ia ditunjukkan oleh peningkatan ketara jumlah anak buaya yang baharu menetas melalui satu kajian pada 2008, sebagai contoh di Sungai Bako sebanyak 60 ekor dikesan bagi jarak 12.5km dan 55 ekor bagi jarak 20km (kajian kedua).

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
08 September 2012

ISU SERANTAU : ASEAN HADAPI CABARAN BESAR


Rencana ini ditulis oleh :
NIZAM YATIM


Pada 8 Ogos 2012 yang lalu, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN) merayakan hari ulang tahun ke-45. Sambutan pada tarikh itu diadakan secara berasingan di 10 negara anggota iaitu Brunei, Indonesia, Filipina, Thailand, Singapura, Myanmar, Kemboja, Laos, Vietnam dan Malaysia. Di Malaysia, sambutan diadakan di Dewan Serbaguna Wisma Putra, Putrajaya yang dihadiri oleh Timbalan Menteri Luar, Senator A. Kohilan Pillay dan duta-duta dari negara ASEAN. Sekretariat ASEAN di Jakarta pula mengadakan majlis melepaskan belon yang turut dihadiri oleh Setiausaha Agungnya, Surin Pitsuwan dan program sama turut diadakan di Rumah Tetamu Kerajaan di Hanoi, Vietnam yang dihadiri Menteri Luar negara itu, Pham Binh Minh.

Langkah meraikan ulang tahun itu memang kena pada masanya kerana telah banyak kejayaan dicapai ASEAN termasuk dalam mengukuhkan ekonomi negara anggota dengan pembentukan Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN (AFTA). Pembangunan ekonomi dapat dilaksanakan dengan pesat berikutan wujudnya keamanan dan kestabilan di rantau Asia Tenggara apabila setiap negara anggota berpegang kepada prinsip untuk bersatu dan bersahabat seperti yang diperlihatkan menerusi 10 tangkai padi yang terdapat pada logo rasmi ASEAN. Sebelum ASEAN ditubuhkan, rantau berkenaan agak bergelora dengan pelbagai konflik antaranya konfrontasi antara Indonesia dan Malaysia serta Perang Vietnam pada 1960-an.

Dengan wujudnya ASEAN, hubungan negara-negara di rantau itu semakin baik dan masing-masing cuba memberi sumbangan bagi meningkatkan kerjasama terutama dalam bidang ekonomi, politik dan sosial. Semangat saling bekerjasama itu telah membolehkan konflik sempadan antara Thailand dan Kemboja berhubung kuil Preah Vihear pada 2011 diselesaikan dengan baik. Isu tuntutan bertindih seperti Pulau Sipadan dan Ligitan antara Malaysia dengan Indonesia pada 2002 dan Pulau Batu Putih antara Singapura dan Malaysia pada 2008 juga berjaya diselesaikan secara harmoni dengan masing-masing akur dengan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ). Sikap saling percaya mempercayai juga cukup terserlah apabila Myanmar yang dilanda Taufan Nargis pada 2008 sehingga ratusan ribu nyawa terkorban hanya bersetuju menerima bantuan ASEAN dan menolak bantuan antarabangsa lain.

ASEAN juga berjaya memujuk Myanmar agar melaksanakan reformasi politik sehingga membolehkan pilihan raya awam dilaksanakan dan ikon demokrasi negara itu, Aung San Suu Kyi aktif berpolitik. Berdasarkan sejarah, ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 oleh lima pemimpin iaitu Menteri Luar Indonesia, Adam Malik; Filipina (Narciso R. Ramos); Malaysia (Tun Abdul Razak Hussin); Singapura (S. Rajaratnam) dan Thailand (Thanat Khoman) di Bangkok, Thailand. ASEAN melengkapkan keanggotaannya menjadi 10 negara apabila Brunei menyertainya pada 1984, Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999). Jika Timor Leste menjadi anggota terbaru, maka bilangan keanggotaan ASEAN akan meningkat kepada 11. Namun, setakat ini tiada sebarang kata putus terhadap permohonan dari negara yang merdeka dari Indonesia pada 2002.

Dengan jumlah 10 anggota sekarang, ASEAN mempunyai lebih 558 juta penduduk. Bilangan yang ramai dan ekonomi kukuh sepatutnya membolehkannya mempunyai kuasa tawar-menawar yang tinggi. Bagaimanapun, ketika menyambut usia yang ke-45, ASEAN tidak dapat lari daripada pelbagai cabaran baru antaranya isu status kerakyatan etnik Muslim Rohingya yang tidak diiktiraf kerajaan Myanmar. Jika isu ini tidak ditangani dengan baik, ia sudah pasti merenggangkan hubungan Myanmar dengan negara-negara Islam dalam ASEAN. Cabaran lain adalah penghijrahan pendatang tanpa izin, pemerdagangan manusia, penyeludupan dadah, lanun dan jenayah rentas sempadan. Isu terbesar sudah pasti berkaitan kegagalan ASEAN mencapai kata sepakat berhubung tuntutan pulau-pulau di Laut China Selatan yang melibatkan Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei dengan China.

Sewaktu Persidangan Menteri-Menteri Luar yang diadakan di Phnom Penh, Kemboja pada 6 hingga 13 Julai lalu, tuan rumah yang juga Pengerusi ASEAN mengambil sikap memihak kepada China apabila mahu isu itu diselesaikan secara bilateral dan bukannya melalui platform ASEAN. Ini bermakna Phnom Penh berpendapat negara yang mempunyai isu tuntutan tersebut perlu berunding dengan China secara bersendirian tanpa melibatkan ASEAN. Pendirian Kemboja disanggah oleh Filipina dan Vietnam yang mahukan isu diselesaikan menerusi platform ASEAN sama seperti pertikaian kuil Preah Vihear. Inilah kali pertama sepanjang sejarah 45 tahun penubuhannya, ASEAN gagal mencapai kata sepakat. Sikap berpihak Kemboja dan sikap berdiam diri Myanmar serta Laos yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing berhubung isu itu membuatkan ASEAN berada dalam dilema bagaimana untuk mencapai kata sepakat seperti yang telah diamalkan sekian lama.

Mengulas perkara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman dalam satu kenyataan berkata, kegagalan mencapai kata sepakat itu harus menjadi peringatan kepada ASEAN untuk memperkukuh dan mengekalkan barisan yang bersatu padu demi menghadapi cabaran masa depan. "Tidak ada pilihan lain untuk kita kecuali untuk bersatu," katanya. Oleh itu, untuk kekal relevan sudah sampai masanya negara-negara anggota kembali kepada sikap asal yang cuba diterapkan pemimpin pengasas ASEAN yang berkumpul di Bangkok pada 1967. Sikap itu adalah untuk memberikan keutamaan kepada negara anggota dan tidak membiarkan negara luar campur tangan bagi memporakperandakan perpaduan ASEAN. Negara-negara ASEAN harus sedar bahawa dengan bersatu sahaja mereka dapat berdepan dengan China yang semakin agresif menuntut pulau-pulau yang dianggap miliknya berasaskan faktor sejarah dan bukannya berdasarkan peruntukan undang-undang antarabangsa.

Bahan ini diperoleh daripada :
Akhbar Utusan Malaysia
08 September 2012