11 Mei 2012

ISU ICT : GUNA MEDIUM SECARA BETUL


Oleh Ruhaiza Rusmin


Siapa sangka komunikasi mahasiswa dengan pengurusan tertinggi universiti hari ini semudah memetik jari. Tiada lagi kerenah birokrasi, kekangan masa atau kesukaran untuk berurusan kerana komunikasi maya sebagai penghubung memudahkan segala urusan. Dengan kewujudan pelbagai laman sembang, komunikasi yang dulunya terhalang kini boleh diakses di hujung jari pada bila-bila masa sekali gus memberi peluang berinteraksi lebih terbuka. Malah, sokongan diberikan pengurusan universiti yang mengikut rentak sama turut memudahkan komunikasi sedia ada. Bagaimanapun, ia tetap mengundang persoalan, sama ada kaedah itu sesuai diaplikasikan bersama pihak pengurusan universiti yang memegang imej profesional. Tidakkah ia melanggar etika, profesionalisme, kredibiliti serta mencalarkan imej disandang?

Naib Canselor Universiti Teknologi Mara, Profesor Datuk Ir Dr Sahol Hamid Abu Bakar menyifatkan komunikasi maya sangat praktikal dan cukup berkesan mendekati atau menyelami kehendak mahasiswa. Sebagai institusi yang dibarisi generasi alaf baru, UiTM perlu mengikuti aliran komunikasi moden terkini sebagai alternatif memahami keperluan mereka. Beliau berkata, usah menimbulkan isu remeh seperti boleh menjatuhkan imej pengurusan tertinggi sebaliknya memperakui ia paling efektif mewujudkan hubungan serta pandangan dua hala. “Cara ini mudah, moden dan praktikal selain berkesan membina hubungan mesra antara pihak pengurusan dan mahasiswa. Pertikaian mengenai isu lain tidak perlu timbul kerana boleh merosakkan manfaat utamanya. Yang penting semua pihak memperoleh kebaikan bersama dengan perkongsian maklumat, informasi juga pengembangan idea. Ini perkembangan positif dalam usaha merealisasikan perkembangan sosial berlandaskan ilmu, komitmen serta tanggungjawab yang seharusnya digembleng bersama tanpa perlu menjadikannya sensasi,” katanya.

Alaf baru ini menyaksikan facebook dan twitter antara medium moden yang menjadi pilihan utama menghubungkan secara terus segala permasalahan atau kemusykilan mahasiswa dan pihak pengurusan universiti. Melaluinya, komunikasi berlangsung mudah biarpun sesekali sekala timbul tanggapan medium berkenaan boleh mencetuskan tindakan luar biasa mahasiswa terhadap kewibawaan pihak universiti. Beliau berkata, masalah itu tidak akan timbul andai kata mahasiswa dan pengurusan universiti tahu mengendalikan emosi, dan status secara berhemah. “Saya percaya mahasiswa yang baik akan menggunakan medium ini dengan betul tanpa meletakkan kepentingan peribadi atau emosi. Mereka golongan intelektual, apa diutarakan pastilah menggambarkan imej yang dibawa. Malah, secara peribadi, saya suka cara ini kerana kami boleh berkongsi pelbagai pandangan dan tidak terikat protokol.

“Zaman tertutup sudah berlalu. Ini juga bakal memberi inspirasi kepada mahasiswa untuk menjadi yang terbaik termasuk berani melahirkan pendapat,” katanya yang masih tetap mewujudkan batas profesionalisme dalam setiap medium digunakan. Saya memang rapat dan bersedia menerima apa jua pandangan namun biarlah masih berlandaskan atas perkongsian bijak dan profesional. Maksudnya, cara berhemah, menghormati, menggunakan kata sopan dan sebagainya. Bagi yang tegar dan tidak pandai membawa diri, saya akan mengabaikan pandangan itu, tidak perlu melayan kerana hanya membuang masa,” katanya. Bagaimanapun, sehingga kini mereka yang berkomunikasi semuanya tertib, beretika dan pandai menjaga pertuturan,” katanya. Medium berkenaan juga, akuinya, menjadi penanda aras mahasiswa menilai keupayaan pensyarah serta memudahkan kerenah birokrasi yang selalu menghimpit golongan terbabit.

“Menerusinya, mahasiswa boleh melaporkan secara terus masalah mereka selain membantu saya memantau pensyarah. Segala tindakan diambil bertujuan meningkatkan lagi imej UiTM di mata dunia dan memudahkan pengurusan mendapat maklumat dan tindakan. UiTM mengiktiraf mahasiswa sebagai aset paling berharga, justeru segala dilakukan adalah demi kebaikan mereka,” katanya yang kini sudah mempunyai 78,000 pengikut di facebook dan 10,000 twiteer sejak memulakannya pada 2010. Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata cara komunikasi alaf baru membuka lebih ruang institusi mengenali potensi dan latar belakang mahasiswa. Menurutnya, pendekatan itu biarpun dilakukan secara rawak, ia boleh dijadikan ukuran asas menilai kebolehan dan semangat mahasiswa untuk menjadi warga UTM.

“Ini pendekatan baru yang sangat efektif untuk menilai peribadi, potensi dan latar belakang mahasiswa selain menjadi budaya generasi Y. Apa salahnya jika pengurusan universiti mengikut langkah sama? Sekurang-kurangnya interaksi dua hala boleh menjadi pemangkin dalam melaksanakan proses pembelajaran. Ini juga proses pembelajaran ilmu secara tidak langsung. Medium maya boleh menjadi tempat meluahkan pandangan juga wacana pengembangan ilmu kritis,” katanya. Beliau juga menolak tanggapan medium berkenaan boleh menjadikan hubungan pengurusan universiti dengan mahasiswa tidak profesional. “Profesional biarlah bertempat. Apa salahnya jika mahasiswa ingin meluahkan pendapat atau mengadu? Sekurang-kurangnya mereka mengadu pada tempat yang betul dan tindakan mengatasinya juga dilakukan mereka yang bertanggungjawab. Ini lebih baik daripada membiarkan mereka memperoleh maklumat salah sekali gus menjurus kepada kekeliruan dan sebagainya. Komunikasi boleh menjadi pemangkin terbaik mendekati mahasiswa biarpun dilakukan secara maya,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
7  Mei 2012

TOKOH PENGGERAK INDUSTRI PERMOTORAN MALAYSIA



KUANTAN - Tun Dr. Mahathir Mohamad yang menjadi tokoh penggerak industri permotoran Malaysia sehingga berjaya menghasilkan kereta nasional Proton sejak 1985 hingga kini akan dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Kejuruteraan Automotif daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP). Penganugerahan akan disempurnakan Canselor UMP, Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pada majlis Konvokesyen Khas UMP pada 17 Mei 2012 di UMP Kampus Gambang. Naib Canselor UMP, Profesor Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, anugerah itu sebagai menghargai jasa Dr. Mahathir atas sumbangan dan usaha berterusan bekas perdana menteri itu dalam pembangunan industri automotif negara.

Sumber :
Harian Kosmo
11 Mei 2012

10 Mei 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : FENOMENA TELEFON PINTAR


Teks dan gambar Oleh Helmy Abd Rahman
(yang berada di London baru-baru ini)
helmy@hmetro.com.my


Sukar untuk membayangkan dunia tanpa penggunaan telefon pintar pada hari ini. Tidak kira di mana jua pun, pasti lebih ramai yang menggunakan telefon pintar berbanding telefon bimbit biasa yang hanya mempunyai fungsi asas iaitu menelefon dan menghantar SMS saja. Jika ada sekalipun, telefon bimbit ‘kuno’ yang digunakan masih mampu mengambil gambar, memainkan lagu dan sesetengahnya boleh melayari internet. Secara ringkasnya, definisi telefon pintar meliputi unit telefon bimbit yang dibina menggunakan landasan perkomputeran dan mempunyai keupayaan serta capaian lebih canggih berbanding telefon bimbit biasa. Pada akhir 90-an, sebahagian besar telefon bimbit hanya mempunyai fungsi asas telefon. Mereka yang memerlukan kegunaan melebihi telefon bimbit biasa sering membawa bersama pembantu digital peribadi (PDA) atau peranti seperti ‘pager’ yang menggunapakai antaranya sistem operasi awal Palm OS, Blackberry OS atau Windows CE dan Pocket PC.

Berikutnya, versi pelbagai sistem operasi ini mula menggabungkan teknologi telefon bimbit dan PDA dilengkapi ciri pesanan serta sokongan aplikasi pihak ketiga. Hari ini, peranti canggih yang menampilkan semua sistem terbabit dikenali sebagai telefon pintar. Terma telefon pintar pertama kali digunakan sejak 1997 apabila syarikat Ericsson memperkenalkan peranti yang dilabelkan sebagai ‘smartphone’. Bagaimanapun, telefon pintar pertama sebenarnya berada di pasaran lebih awal dari itu apabila IBM Simon dilancarkan pada 1993. Telefon bimbit yang diedarkan syarikat Bellsouth itu antaranya mempunyai aplikasi kalendar, buku alamat, jam global, kalkulator, pad nota, permainan video dan mampu menghantar serta menerima pesanan faksimili. Produk itu tidak mempunyai bebutang fizikal, sebaliknya skrin sesentuh untuk pengguna memilih nombor telefon atau menghantar faks dan memo. Huruf boleh ditekan menggunakan papan kekunci unik pada skrin.

Gergasi alat telekomunikasi, Nokia mula memperkenalkan barisan produk telefon pintar menerusi siri Communicator pada 1996 bermula dengan Nokia 9000.  Peranti berkenaan direka hasil usaha kerjasama antara Hewlett-Packard yang mempunyai teknologi PDA yang digabungkan dengan model terlaris Nokia ketika itu. Siri Nokia Communicator yang mempunyai karekter rekaan berbentuk kulit kerang, dilengkapi dengan ciri paparan telefon, papan kekunci dan antara muka pengguna di bahagian atasnya; paparan resolusi tinggi sekurang-kurangnya 640 - 200 piksel dan antara muka PDA di bahagian bawah. Perisian yang digunakan pula berlandaskan sistem operasi GEOS v3.0 dilengkapi pelayar internet berasaskan web serta komunikasi e-mel. Pada 1998, siri itu berkembang dengan pengenalan Nokia 9110 diikuti 9110i yang mempunyai keupayaan pelayar internet lebih baik, dua tahun selepas itu.

Bermula alaf baru juga, Nokia Communicator 9210 diperkenalkan di pasaran. Ia adalah model pertama daripada siri terbabit yang menggunakan skrin berwarna. Pengeluaran siri Communicator diteruskan dengan model 9500 yang dilengkapi kamera dan wifi. Barisan model Nokia Communicator mendapat sambutan baik di seluruh dunia meskipun lebih mahal daripada telefon pintar yang dikeluarkan pesaingnya. Malah ada di antara modelnya yang mencecah sehingga 40 peratus lebih mahal berbanding telefon pintar lain. Tahun 2000 juga menyaksikan Ericsson memperkenalkan telefon pintar R380 yang mempunyai teknologi skrin sesentuh. Ia peranti pertama yang menggunakan sistem operasi terbuka Symbian. Model berkenaan yang mempunyai gabungan telefon bimbit dan PDA, dinobatkan antara antara ciptaan masa depan paling penting dalam sains dan teknologi oleh majalah Popular Magazine pada 1999.

Ericsson R380 disifatkan peranti ‘pecah tanah’ berikutan rekaannya yang kecil dan ringan, sama seperti telefon bimbit biasa. Ericsson kemudiannya mengeluarkan pula P800 pada 2002.  Pada awal 2001, Palm Inc memperkenalkan Kyocera 6035, telefon pintar pertama digunakan secara menyeluruh di Amerika Syarikat. Peranti berkenaan menggabungkan ciri PDA dan dilengkapi telefon tanpa wayar yang beroperasi menggunakan jaringan Verizon Wireless. Produk berkenaan membolehkan pengguna melayari internet secara terhad dan menerima rebiu baik daripada penerbitan berkaitan tekaitan teknologi. Begitu pun, barisan produk ini tidak menembusi pasaran di luar Amerika Utara.  Pada tahun sama, Microsoft mengumumkan produk Windows CE Pocket PC keluarannya, ditawarkan sebagai Microsoft Windows Powered Smartphone 2002.

Awal tahun 2002, Handspring mengeluarkan telefon pintar Palm OS Treo yang mempunyai fungsi papan kekunci penuh yang  digabungkan dengan pelayar internet tanpa wayar, e-mel, kalendar dan penyusun kenalan selain aplikasi pihak ketiga yang boleh dimuat turun atau diselarikan dengan komputer. Tahun sama turut menyaksikan RIM memperkenalkan peranti Blackberry yang digabungkan dengan fungsi telefon sekali gus menganjakkan produk keluaran mereka daripada pager dua hala kepada telefon mudah alih berserta e-mel. Tidak dapat dinafikan, industri telefon pintar mula mendapat impak paling besar apabila Apple memperkenalkan iPhone yang pertama pada 2007. Ia mulanya didatangkan dengan harga agak mahal iaitu serendah AS$499 (RM1,500) dengan kontrak dua tahun. Model iPhone terkenal kerana penggunaan skrin sesentuh lebar menggunakan jari secara terus berbanding pesaingnya yang masih bergantung kepada pena sesentuh, papan atau pad kekunci.

Ia juga menawarkan pelayar internet jauh lebih baik dan maju berbanding pengeluar lain. Biarpun mulanya kurang kemampuan untuk menyokong muat turun aplikasi selain yang dibina untuk sistem operasinya, Apple kemudiannya mengumumkan akan membolehkan penggunaan aplikasi web 2.0 yang berkongsi rupa dan ‘rasa’ seperti antara muka iPhone. Berikutan itu, segelintir penulis berpendapat peranti terawal iPhone menepati definisi telefon pintar mengikut terma konvensional. Proses dikenali ‘jailbreaking’ kemudiannya muncul bagai cendawan selepas hujan dengan menawarkan aplikasi pihak ketiga tidak rasmi. Sistem operasi Android bagi telefon pintar diperkenalkan kepada umum pada 2008. Android ialah landasan sumber terbuka yang disokong Google bersama pembangun perisian dan perkakasan utama antaranya Intel, HTC, ARM, Motorola dan Samsung. Telefon pertama yang menggunakan sistem operasi ini ialah HTC Dream. Perisian yang disertakan meliputi penyepaduan aplikasi Google antaranya Google Maps, Calendar dan Gmail berserta pelayar internet menggunakan HTML keseluruhannya.

Pada Januari 2010, Google melancarkan telefon pintar Nexus One yang menggunakan sistem operasi Android. Sehingga hari ini, pelbagai syarikat berlumba-lumba mengeluarkan telefon pintar penuh dengan ciri menarik dan penuh kegunaan yang dapat membantu kehidupan seharian. Terbaru, Samsung memperkenalkan Galaxy S III, siri telefon pintar generasi ketiga bagi Galaxy S yang memahami pergerakan pengguna sekali gus menawarkan kebolehgunaan secara maksimum. Galaxy S III mempunyai pelbagai ciri menakjubkan antaranya, mengenali suara dan memahami niat serta membolehkan pengguna berkongsi saat menarik secara cepat dan mudah. Berbanding telefon pintar lain, Samsung Galaxy S III menyediakan pengalaman canggih antara peranti dan pengguna. Ia mampu menyesuaikan diri dengan mana-mana individu serta cukup pintar untuk mengesan wajah, suara atau pergerakan pengguna. Peranti serba canggih yang diinspirasikan alam semulajadi itu bukan sekadar telefon pintar yang memahami kehendak pengguna, malah mampu menjadikan kehidupan seharian lebih mudah.

Samsung Galaxy S III juga menampilkan paparan skrin Super Amoled HD 4.8 inci, kamera lapan megapiksel (MP) serta kamera depan 1.9 MP selain sistem operasi Android 4.0 (Ice Cream Sandwich). Pada masa depan, telefon pintar dijangka akan mengambil alih tugas komputer, kamera dan pemain MP3. Antara teknologi baru yang sedang dikaji kini termasuk kamera yang mampu menembusi dinding dan video hologram serta mungkin diperkenalkan kepada pengguna tidak lama lagi. Hakikatnya, telefon pintar mengalami evolusi menakjubkan yang kadangkala tidak langsung terfikir oleh manusia normal terutama sejak lima tahun terakhir ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
10  Mei 2012

ISU SOSIAL : LGBT BUDAYA SONGSANG MEROSAKKAN


TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Exco Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)


Salah satu isu masyarakat yang menghantui kita pada hari ini adalah Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LGBT) yang membawa budaya songsang melawan arus sistem agama, kemanusiaan dan keluarga. Mereka yang memilih serta terjebak di dalam budaya songsang ini dengan jelasnya melakukan sesuatu yang tidak normal dan tidak menghormati institusi keluarga, agama dan aspek moral. Jika dilihat daripada perspektif yang lebih besar, budaya ini akan merosakkan sistem sosial dan sistem keluarga. Budaya songsang ini bukan lahir daripada kehendak yang normal tetapi dibudayakan melalui cara hidup songsang yang terpesong jauh dari sistem kemanusiaan sejagat. Akibat daripada pembudayaan negatif ini akan membawa kemusnahan sistem sosial dengan percanggahan nilai dan perkosaan adat budaya ketimuran.

Ibu bapa adalah kumpulan pertama yang akan mengalami tekanan daripada perubahan anak mereka kepada budaya LGBT yang mana ‘stigma vikarius’ akan membuat mereka merasakan anak-anak mereka akan melalui diskriminasi, penderaan lisan dan kemungkinan serangan fizikal. Sementara itu, mereka akan mengalami public stigma apabila ahli keluarga ditekan untuk merasakan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan anak mereka menjadi gay. Ibu bapa kepada gay dan lesbian, terpaksa menghadapi tekanan yang datang dari pelbagai sudut sama ada keagamaan, kemasyarakatan dan undang-undang sosial dunia yang berlandaskan nilai murni. Dalam usaha untuk membangunkan dan mengekalkan nilai diri yang baik, anak-anak yang terjerumus dalam budaya LGBT perlu melihat tanggungan orang yang menyayangi mereka untuk sedar bahawa penglibatan mereka dalam budaya LGBT adalah salah.

Institusi keluarga adalah benteng terakhir untuk melahirkan keluarga dan insan berintegriti melalui pembinaan keluarga bahagia, peningkatan integriti dalam pengurusan kesihatan jasmani dan rohani serta pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas pembentukan identiti. LGBT adalah dilihat sebagai salah satu simptom penyakit sosial yang jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa dan mengikis nilai negara. Isu LGBT harus dilihat dari sudut yang lebih besar iaitu sudut nilai kenegaraan untuk negara. Ini kerana kita tidak mahu melihat negara mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai. Maka kita amat perlu memantau gejala ini dan dalam masa sama satu proses penerangan perlu dipergiatkan untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan muda tentang mudarat gejala ini.

Di samping itu juga pendekatan rehabilitasi perlu disediakan untuk membantu mereka yang terjebak supaya kembali ke landasan yang betul. Saya ingin menyeru semua pihak untuk turut serta menggalakkan usaha dalam pemupukan nilai murni untuk negara bagi mempromosikan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang murni dalam masyarakat kita. Semua golongan strata masyarakat hendaklah sama-sama memikul tanggungjawab ini dan bertindak bersama merealisasikannya demi kesejahteraan negara. Kini tibalah masanya untuk kita, sebagai sebuah negara meningkatkan kualiti hidup rakyat Malaysia dan menangani sebarang perkembangan negatif dengan segera sebelum situasi itu menjadi lebih buruk. Bagi saya isu LGBT bukanlah isu mengenai hak asasi manusia. Sebaliknya isu tersebut merupakan suatu amalan yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat kita dan tidak pernah diiktiraf oleh mereka yang waras. Golongan muda adalah tonggak pemimpin masa depan. Anak-anak kita perlu mencerna satu budaya sendiri yang berlandaskan nilai-nilai murni.

Janganlah menciplak ideologi Barat bulat-bulat kerana ia tidak semestinya betul dan sesuai dengan kepelbagaian bangsa dan budaya kita di sini. Saya menyarankan supaya Dasar Sosial Negara disemak semula untuk menentukan sejauh mana polisi tersebut menyumbang dalam mewujudkan masyarakat yang progresif dan berdaya tahan yang berdasarkan kepada nilai moral dan bagi memperkasakan modal sosial. Semakan terhadap Dasar Sosial juga adalah perlu untuk menilai semula usaha oleh kerajaan dalam mewujudkan kestabilan, kesihatan dan keharmonian masyarakat Malaysia bergantung pada kekuatan asas moral bagi mengimbangi pembangunan ekonomi yang pantas dengan nilai moral dan kemasyarakatan Dasar Sosial Negara perlu sentiasa diteliti dan dikaji demi mencapai matlamat “Negara Maju Bernilai Murni".

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
10  Mei 2012

09 Mei 2012

ISU PENDIDIKAN : SEBAHAGIAN KOS PENDIDIKAN TINGGI SUDAH DISUBSIDI


Oleh Ruhaiza Rusmin


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) ditubuhkan 15 tahun lalu bagi membantu dan meringankan bebanan ibu bapa membiayai kos pengajian anak mereka. Peningkatan kos pengajian terutama di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) menyebabkan kerajaan berpendapat satu tabung perlu diwujudkan bagi membantu ibu bapa. Sejak itu, PTPTN membantu mahasiswa membiayai pengajian mereka di universiti dan ibu bapa hanya menyediakan duit poket. Hakikatnya, pelajar dan ibu bapa mendapat manfaat tetapi ramai tidak menunaikan janji apabila menamatkan pengajian dan mendapat pekerjaan. Kegagalan pelajar membayar balik pinjaman menyebabkan PTPTN menanggung kerugian kerana terpaksa menambah jumlah pembiayaan setiap tahun. Ketegasan pengurusan PTPTN melarang pelajar yang gagal membayar balik pinjaman meninggalkan negara selain menyiarkan nama mereka di akhbar, sedikit sebanyak membenihkan kemarahan pelajar.

Ada pelajar menggelar PTPTN sebagai ‘along’ kerana mengambil tindakan tegas terhadap mereka padahal sebagai pemilik, mereka berhak berbuat demikian. Akhir-akhir ini apabila ada pihak menyarankan supaya kerajaan memansuhkan pinjaman PTPTN, pelajar mengambil kesempatan daripada isu itu untuk menangguk di air keruh. Mereka begitu drastik mahukan PTPTN dimansuhkan tetapi persoalannya, apakah benar tabung itu menyusahkan atau mahasiswa enggan memikul tanggung jawab? Ketua Jabatan Ekonomi, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Dr Wan Azman Saini Wan Ngah berkata, tindakan keterlaluan itu  mencerminkan sikap sesetengah mahasiswa yang tidak tahu mengenang budi. Baginya, golongan itu hanya mentafsir PTPTN secara luaran yang mengaitkannya sebagai ‘penindas mahasiswa’, namun tidak mengambil kira aspek lain yang turut dijana hasil pemberian badan pinjaman berkenaan.

“Mereka sebenarnya tidak tahu hujung pangkal perjuangan. Mereka hanya sekadar berteriak mahu memansuhkan PTPTN kerana dianggap menindas dan menyusahkan. Hakikatnya, banyak lagi kepentingan PTPTN tidak diketahui. Jika mereka faham mengenai sumbangan PTPTN, pasti tidak akan bertindak begini,” katanya. PTPTN yang ditubuhkan pada 1997 kini melalui saat sukar apabila dituduh penindas mahasiswa termasuk menyenarai hitam peminjam yang culas membayar kembali pinjaman selain menanggung kos pentadbiran satu peratus. Bagaimanapun, beliau menegaskan, apa dianggap membebankan itu nilainya terlalu kecil jika dibandingkan nikmat diperoleh mahasiswa selepas tamat pengajian. “Bayangkan, pinjaman diterima hanya sekitar lima hingga 10 peratus saja daripada seluruh kos pendidikan. Yang lainnya sudah diber subsidi. Dengan pinjaman seperti itu, mereka akhirnya menjadi manusia dengan kerja dan pendapatan yang baik. Jadi mengapa mesti bising dan tidak berpuas hati?

“Adakah nilai itu terlalu besar berbanding nikmat bakal diperoleh pada masa depan? Kadar semasa dikenakan institusi pinjaman seperti bank juga lebih tinggi, nilai satu peratus ditambah pinjaman itu sebenarnya tidak berbaloi,” katanya. Mahasiswa tidak perlu memasang angan-angan inginkan pendidikan percuma kerana harga pendidikan hari ini mahal harganya. “Ya, kita boleh melakukannya seperti negara maju, tapi sanggupkah rakyat negara ini membayar cukai melebihi 26 peratus? Jangan bandingkan dengan negara maju sebab cukai mereka sangat tinggi seperti Jerman sebanyak 46 peratus. United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS) dan Sweden dulunya memberi pendidikan percuma tetapi kini mula mengenakan bayaran pengajian untuk mahasiswa institusi pengajian tinggi (IPT). Di UK dan AS misalnya, mereka juga ada badan pinjaman seperti PTPTN kerana tahu tidak mampu lagi memberi pendidikan percuma kepada rakyatnya,” katanya.

Katanya, jika negara berkenaan sudah melakukannya, apa relevan permintaan seperti itu di negara ini? Melalui PTPTN, jumlah mereka yang mampu memperoleh pendidikan melonjak daripada hanya 27,000 tempat ditawarkan di IPT sekitar 1990-an kepada 381,000 pada 2010. “Lonjakan 14 kali ganda ini membuktikan sumbangan PTPTN untuk membantu masyarakat memperoleh pendidikan sangat besar, sekali gus melonjakkan lagi sektor tenaga kerjaya, ekonomi dan pembangunan. Industri makanan, pembinaan, teknologi dan penerbitan juga memperoleh manfaat kerana adanya permintaan tinggi daripada warga IPT. Bayangkan, jika tiada PTPTN, adakah sektor ini mampu bertahan? Pada saya, mahasiswa ini hanya dipergunakan sedangkan mereka sendiri tidak tahu apakah perjuangan sebenar,” katanya. Menekankan tanggungjawab sebenar mahasiswa adalah belajar hingga tamat pengajian, seterusnya memperoleh pekerjaan baik bagi membayar semula pinjaman diperoleh.

“Mentaliti ini yang perlu disemai kerana hakikatnya mereka masih belajar dan perlu terus belajar hingga berjaya menggenggam ijazah. Ini bukan tanggungjawab mereka. Apa jua kehendak dan keputusan biarlah dibuat berlandaskan hasil perbincangan pihak berkaitan yang lebih berkepentingan serta arif. Mengadili PTPTN dengan cara melancarkan tindakan provokasi bukan penyelesaian terbaik. Ini bukan cara golongan intelektual,” katanya. Menegaskan fungsi PTPTN sebagai institusi pemudah cara sokongan pendidikan masih relevan, beliau percaya jika pendidikan percuma diberikan, pastinya mahasiswa tidak akan menghargai peluang di depan mata. “Rasionalnya, barang percuma, nilainya tidak begitu berharga. Jika sekarang pun mereka tidak pandai menghargai, bayangkan jika diberi pendidikan percuma. Keadaan ini berbeza dengan mahasiswa dulu sebab mereka bersungguh-sungguh menggunakan peluang untuk mengubah nasib manakala ibu bapa sanggup bergolok gadai. Kesukaran dan keperitan menjadikan mereka fokus dan tidak banyak meminta-minta. Malangnya, mahasiswa hari ini mensia-siakan peluang yang diberikan,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
8 Mei 2012

ISU EKONOMI : PROGRAM PUASKAN HATI PENGGUNA, PETANI


Oleh AZMAN ANUAR


Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani terus berusaha untuk meringankan kos sara hidup rakyat dalam menangani harga barangan. Ada dua program khusus untuk membantu meringankan beban rakyat. Dahulu kementerian tersebut telah melancarkan Laman Agro. Melalui program Laman Agro, masyarakat terutama yang tinggal di rumah pangsa dalam bandar digalakkan terbabit dengan kegiatan pertanian. Walaupun kawasan tanah terhad, mereka masih boleh bercucuk tanam. Penduduk boleh menggunakan kaedah sistem fertigasi. Program ini telah pun dilancarkan di Shah Alam, Lembah Subang, Pandan dan Kapar di Selangor. Di Shah Alam melibatkan 800 buah rumah. Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata Laman Agro boleh menarik orang bandar terbabit sama dalam aktiviti pertanian dengan menggalakkan mereka 'tanam apa yang dimakan, makan apa yang ditanam' bagi mengurangkan penggantungan kepada bekalan makanan yang diimport.

"Kita harap melalui konsep Laman Agro ini dapat mengurangkan bebanan kehidupan rakyat terutama yang tinggal di bandar," kata Noh. Konsep kedua yang diperkenalkan oleh kementerian tersebut melalui Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) ialah Jimat Belanja Dapur. Menurut Noh, kementerian mahu menukar suasana 470 pasar tani di seluruh negara bukan sahaja sebagai pasar untuk rakyat mendapatkan sumber makanan segar tetapi juga pada harga yang murah. Untuk program Jimat Belanja Dapur, Noh memberitahu harga barangan di pasar tani ditetapkan mesti 20 hingga 30 peratus lebih murah daripada harga di pasaran. “Untuk memastikan harga tersebut berterusan, setiap pasar tani akan diletak pegawai FAMA untuk memantau harga-harga barangan yang dijual. Jadi peniaga pasar tani digesa meletakkan tanda harga mereka dan harga di pasaran. Di situ rakyat boleh menilai perbezaan harga," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu ketika ditemui di pejabatnya, Putrajaya baru-baru ini.

FAMA menurut Noh juga telah membuat kajian, mendapati secara purata pengunjung pasar tani boleh menjimatkan kira-kira RM100 sebulan jika mereka membeli-belah di pasar tani. “Jika mereka boleh berjimat RM100 sebulan, pasar tani dikunjungi kira-kira 500,000 pengunjung sebulan dan mereka boleh berjimat hingga RM50 juta sebulan,"katanya. FAMA juga telah mengenal pasti 22 jenis barangan terpilih seperti tomato, cili merah, kubis bulat, halia, lobak merah, timun, kacang panjang, sawi, bendi, cili padi dan kelapa untuk diberi potongan harga. FAMA turut memperkenalkan potongan harga istimewa antara lima hingga 10 peratus bagi ayam dan ikan kecuali daging. “Harga daging di pasaran dan pasar tani masih sama. Kita sedang berusaha ke arah menjadikan harga daging juga lebih murah daripada harga di pasaran," kata Noh.

Beliau menjelaskan kedudukan harga di pasar tani dapat dikurangkan kerana kementeriannya melalui FAMA mengamalkan konsep mengumpul barangan dari ladang terus ke pasar dan tidak melalui orang tengah. Melalui konsep ini semua pihak baik petani dan pengguna akan berasa puas hati dengan harga yang ditawarkan. “Kementerian Pertanian ini perlu menjaga dua kumpulan. Satu untuk menjaga kepentingan petani, nelayan dan penternak tetapi pada masa yang sama kami kena menjaga kepentingan pengguna.Kalau terlalu murah yang kita tekankan maka petani akan marah, sebaliknya jika dijual pada harga mahal, petani akan berasa gembira tetapi pengguna pula akan marah. Kita perlu berlaku adil dan seimbang," jelas Noh.

Untuk mencapai matlamat itu kementerian perkenalkan ladang kontrak. Di mana peniaga pasar tani diminta membeli terus daripada petani.“Tugas ‘tauke’ di pasar tani bukan sahaja menjual tetapi juga terlibat dari segi pengeluaran. Tauke ini diminta melantik penanam-penanam keluaran mereka. Untuk permulaan sudah ada 500 orang petani akan terlibat dengan ladang kontrak bersama-sama seramai 3,500 peserta pasar tani," kata beliau. Melalui konsep ladang kontrak ini FAMA bukan sahaja membeli semasa musim menuai tetapi agensi ini akan terlibat membantu petani daripada mula. Menurut Noh, dalam beberapa hari lagi program Jimat Belanja Dapur yang melibatkan 87 tauke pasar tani dan 413 petani akan dilancarkan di Selangor. Tauke pasar tani yang terlebat dalam Jimat Belanja Dapur bagi fasa ketiga diberi insentif berbentuk sewaan lot percuma bagi tempoh tertentu.

Insentif itu merupakan satu pembaharuan yang dilakukan selepas fasa pertama dan kedua pada Oktober 2011 dan 20 Januari hingga 19 April lalu yang memberikan kesan baik kepada peniaga dan pengguna. Untuk pelaksanaan ladang kontrak itu FAMA menyediakan bantuan 50-50 yang mana kementerian membantu separuh daripada kos penanaman yang ditanggung oleh seorang peserta dan belanja separuh lagi disediakan oleh petani berkenaan. Misalnya kata Noh, jika projek tanaman memerlukan RM10,000 maka FAMA akan membantu RM5,000 dan petani akan sediakan RM5,000 lagi. Jika dia tidak mampu menyediakan jumlah itu, FAMA akan bantu petani mendapatkan bantuan Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional.

“Melalui bantuan ini saya harap ia lebih berkesan daripada beri geran penuh. Apa yang tersirat daripada program ini ialah petani dibantu untuk menghasilkan pertanian. Peniaga pasar tani dan petani dapat hasil untuk dijual dan rakyat mendapat barang segar pada harga murah. Jadi kita mewujudkan situasi menang-menang kepada tiga pihak," kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu. Untuk memastikan ladang kontrak ini berterusan, Noj memaklumkan pada 2015 pihaknya akan meminta semua produk di pasar tani menjual produk tempatan sahaja. “Sekarang hampir 40 peratus barang-barang di pasar tani seperti sayur dan cili diambil dari pasar borong kerana alasan mereka tidak cukup bekalan.

“Apabila pasar tani sudah ada pembekal masing-masing, kita harap mereka tidak perlu lagi membeli dari pasar borong tetapi mendapatnya daripada petani yang dilantik. Untuk menjayakan petani-petani ini pula, Jabatan Pertanian dan Insititut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) akan memberi bantuan dari segi nasihat dan bantuan teknikal. Dalam memajukan ladang kontrak ini kerajaan menyediakan peruntukan RM14 juta maka kita mahu rakyat juga menikmatinya dan bukan para petani sahaja," jelas Noh mengakhiri perbualan mengenai usaha kementeriannya membantu meringankan kos sara hidup rakyat.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
8 Mei 2012

08 Mei 2012

ISU SOSIAL : DOSA BESAR JIKA MAJIKAN TIDAK BAYAR GAJI PEKERJA


Penulis ialah Pegawai Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).


Pada awal bulan ini kerajaan bersetuju menetapkan gaji minimum sektor swasta setelah 10 tahun tuntutan ini dibuat oleh pihak berkaitan khasnya Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Gaji minimum di Semenanjung ditetapkan pada RM900 manakala di Sabah, Sarawak dan Labuan RM800. Apa pun hak mendapat gaji atau upah yang setimpal di kalangan pekerja telah pun termaktub dalam perundangan Islam. Upah secara syarak bermaksud balasan yang diterima hasil daripada kerja yang dibuat. Dalam Surah al-Kahfi ayat 77 menceritakan perihal upah: “Kemudian mereka dapati di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata: Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya".

Ayat ini menunjukkan harus mengambil upah di atas pembinaan tembok berkenaan iaitu satu kerja yang telah dibuat. Ulama Islam telah sepakat bahawa upah daripada kerja wujud dalam perundangan Islam. Ini disebabkan manusia diciptakan Allah SWT mempunyai kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza. Sebagai manusia yang hidup bermasyarakat, mereka akan saling perlu memerlukan kepada yang lain. Kelebihan dan kepandaian ini dapat diambil manfaat secara baik melalui upah di antara satu pihak dengan yang lain. Dalam Surah al-Talaq ayat 6, Allah SWT mengingatkan untuk memberi upah kepada wanita penyusu bayi. Jika harus memberi upah dalam penyusuan maka sudah tentu dikiaskan juga kepada perkara yang lain dalam kehidupan manusia. Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar pernah bersama-sama mengupah sorang kafir daripada Bani al-Dail yang mahir tentang jalan menunjuk arah dalam musafir mereka.

Dalam satu hadis riwayat Imam Bukhari, Rasullulah SAW menegaskan bahawa salah seorang yang menjadi musuh baginda pada hari akhirat kelak ialah orang yang mengupah pekerja dan menggunakan pekerja itu tetapi tidak membayar upahnya. Hadis ini jelas menunjukkan keharusan mengupah dan satu amaran bahawa adalah melakukan dosa yang besar jika majikan tidak membayar gaji kepada pekerja mereka yang telah disuruh melakukan pekerjaan. Ijmak ulama sendiri memperakukan keharusan memberi gaji atau upah daripada kalangan para sahabat, tabieen, fuqaha termasuk imam mazhab yang empat Hanafi, Malik, Syafie dan Ahmad. Secara fitrahnya, pemilikan harta manusia adalah berdasarkan kepada kerja yang mereka lakukan. Keperluan upah atau gaji yang setimpal ini boleh dilihat dari aspek individu, keluarga dan juga masyarakat. Daripada individu, manusia membina sesebuah masyarakat sama ada berjaya atau sebaliknya. Jadi, mereka perlu berdikari mencari kerja agar mendapat upah sebagai bekalan kemajuan diri.

Dalam hadis riwayat al-Baihaqi, Nabi SAW telah menyuruh seorang lelaki yang papa mendapatkan kapak dan keluar bekerja selama beberapa hari. Sebahagian duit upah yang didapati oleh lelaki berkenaan disuruh untuk membeli makanan untuk ahli keluarganya dan baginda SAW menyuruh lelaki berkenaan terus bekerja. Akhirnya lelaki itu berterima kasih kepada Rasulullah dan baginda SAW bersabda ini adalah lebih baik bagi lelaki itu berbanding nanti beliau datang pada hari kiamat dengan muka yang berkerut dengan masalah papa. Sunnah Nabi SAW ini memberi pengajaran kepada kita bahawa pemilikan harta oleh individu akan menyebabkan mereka hidup tenang. Mereka dituntut untuk mendapatkan segala kekayaan dan kebajikan di atas muka bumi. Ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan bekerja yang akhirnya mendapat ganjaran dalam bentuk upah.

Upah yang baik dapat mendorong individu menjadi lebih kreatif, berfikir dan bersungguh-sungguh bekerja dan akhirnya menambahkan lagi produktiviti mereka. Keperluan yang pelbagai juga mendesak individu untuk mendapatkan upah setimpal yang dapat menguruskan keperluan diri dan menjadi ahli masyarakat yang berdikari. Tanpa upah yang sepadan, sudah tentu mereka akan membawa masalah dalam masyarakat kerana terpaksa hidup bergantung dengan ihsan orang lain yang sudah tentu akan mewujudkan ketidakstabilan dan penindasan dalam masyarakat. Dengan upah yang baik pula, individu akan dapat menjauhi tarikan untuk melakukan jenayah seperti mencuri, tipu dan menerima rasuah. Mereka boleh mengelakkan diri daripada berhasad dengki kepada majikan dan akhirnya dapat memenuhi keperluan asas kehidupan iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta.

Memenuhi keperluan ini adalah wajib dan pihak berkenaan khasnya pemerintah perlu memastikan keperluan asas manusia ini dapat dipenuhi dengan baik. Sebagai individu yang berkeluarga, dengan adanya gaji atau upah yang setimpal, maka mereka dapat memenuhi keperluan tempat tinggal, pakaian, pendidikan, makanan ahli keluarga di bawah tanggungan dengan baik termasuk ibu bapa yang tua yang tiada sumber pendapatan lagi. Ini akan memperkasakan lagi tanggungjawab mereka sebagai ketua keluarga. Apabila wujud kemantapan individu hasil kerja dengan upah yang baik, maka bukan sahaja keluarga menjadi rukun dan damai bahkan masyarakat sendiri akan maju ke hadapan hasil sumbangan setiap individu dengan menjadi komponen masyarakat bekerja yang membawa kepada pemilikan harta melalui gaji yang diterima dan dapat menjauhi daripada bergantungan kepada orang lain. Dengan pengumuman kadar gaji minimum ini, ia diharap sebagai antara langkah berpanjangan pihak kerajaan dalam mewujudkan upah atau gaji yang setimpal kepada pekerja.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
7 Mei 2012

03 Mei 2012

ISU SAINS DAN TEKNOLOGI : ROBOT CIPTAAN MANUSIA KINI SEMAKIN HAMPIR


Johardy Ibrahim


Satu faktor filem Hollywood sentiasa memukau imaginasi penonton ialah kemahirannya mengadunkan elemen realiti dengan fantasi, terutama yang berkaitan dengan status sebenar teknologi yang dimiliki manusia hari ini. Filem Terminator lakonan Arnold Schwarzenegger contohnya, mengisahkan robot yang direka menyerupai manusia atau separuh manusia, separuh robot Robocop lakonan Peter Weller. Ketahuilah bahawa ia bukan khayalan semata-mata tetapi ratusan saintis di seluruh dunia sedang berusaha membina robot seumpamanya. Seorang daripada saintis itu ialah Henrik Scharfe, seorang profesor di Universiti Aalborg di Denmark. Tatkala saintis-saintis lain memperkenalkan robot manusia sama ada berbentuk wanita atau haiwan, Scharfe membina robot yang menyerupai dirinya sendiri! Beliau menamakannya sebagai Geminoid-DK.

Scharfe asalnya tidak dikenali di luar pagar universitinya tetapi dengan penyiaran ciptaannya dalam YouTube serta penampilan di sidang-sidang sains dan teknologi, beliau dan Geminoid-DK semakin menarik perhatian. Dalam bahasa Jerman, media menggelarkan robotnya itu sebagai doppelgänger, bermaksud 'orang yang dilihat berada di dua tempat pada waktu yang sama secara paranormal'. Namun Geminoid-DK ini tiada kaitan langsung dengan paranormal, atau normal sekali pun. Robot ini sebenarnya dibangunkan oleh saintis Jepun, Hiroshi Ishiguro. Diistilahkan sebagai robot siri Geminoid menjadi perhatian kerana ia direka dengan kulit menyerupai manusia. Robot Scharfe itu mungkin telah memajukan lagi teknologi ciptaan Ishiguro tersebut. Berdasarkan video, pergerakan robot tersebut dengan Scharfe yang sebenar, ia benar-benar mengagumkan.

Robot Geminoid-DK ini dibina menyerupai Scharfe dari segi gaya rambut dan warna, pandangan mata dan gaya bahunya digerakkan. Ia dikawal menerusi kendalian kawalan jauh secara komputer (buat masa ini, sebelum teknologi mengizinkan ia berfungsi secara sendirian suatu masa nanti). Persoalan apakah robot ini boleh menggantikan manusia suatu masa nanti, telah menjadi isu yang dibahas hangat oleh saintis dan pemikir sejagat. Konsepnya dipaparkan dengan ketara dalam filem Terminator apabila watak Sarah Connors mahu membunuh saintis asal yang mencipta robot itu, yang datang dari masa depan untuk memusnahkan Bumi.

Palsu

Inilah yang dilakukan oleh Scharfe. Sebagai pengarah Pusat Computer-Mediated Epistemology di Universiti Aalborg, beliau mengkaji falsafah pengetahuan teknologi robot, memusat kepada persoalan apakah pengetahuan 'sebenar' berbanding pengetahuan 'palsu' atau 'tidak mencukupi'. Scharfe berhasrat untuk menggunakan robot tersebut bagi mengkaji 'keupayaan emosi yang ditanggung; antara robot dan manusia, selain 'kewujudan bercampur' iaitu kaedah separuh digital, separuh realistik bagi manusia untuk menjadikan robot sebagai wakilnya (ingat filem Surrogate lakonan Bruce Willis).

Robot Scharfe ini juga akan mengkaji bagaimana perbezaan budaya dalam cara manusia berinteraksi dengan robot, misalnya di Amerika Syarikat (AS), robot dianggap sebagai berpotensi mengancam (mungkin dipengaruhi filem Terminator) atau semata-mata satu lagi alat yang akan membantu kehidupan manusia, sebagaimana ciptaan komputer atau peti ais. Hakikat itu berbeza dengan Jepun, yang semakin menerima kewujudannya sebagai sebahagian daripada masyarakat. Kajian saintifik yang sedang dijalankan oleh Scharfe ini mendorong pemilihannya dalam senarai 100 orang paling berpengaruh majalah Time bagi 2012. Felo IBM, David Ferrucci yang mengulas mengenai robot Scharfe ini menyifatkan ia membolehkan manusia memikirkan peranan teknologi dalam kehidupan mereka dan sempadan antara manusia dengan mesin-mesin.

Ferrucci ialah ketua kumpulan yang mereka cipta komputer super Watson, iaitu sistem komputer yang boleh menjawab soalan secara langsung secara suara. Beliau mengaitkan robot Scharfe dengan Watson yang namanya diambil sempena Presiden IBM, Thomas J. Watson. ''Apabila kami membangunkan komputer Watson yang bertanding dalam program Jeopardy!, kami memikirkan secara mendalam sama ada hendak melakukan anthropomorphize atau memasukkan ciri-ciri manusia pada sesuatu yang bukan manusia. Akhirnya, kami memasukkan suara dan muka padanya. Keputusan itu mendatangkan reaksi kuat daripada penonton, reaksi berbentuk positif dan juga negatif. Bagi Ferrucci, pengalaman Watson dan robot Scharfe adalah pernyataan bagaimana kuatnya rasa ingin tahu manusia mengenai diri mereka sendiri dan dalaman mereka sendiri.

''Berikan sesuatu objek suatu wajah atau suara dan kita paparkan ciri kemanusiaan kita padanya. Tetapi mesin bukan musuh atau kawan. Ia adalah alat. Mengkaji dan memikirkannya secara teliti membantu kita mempelajari lebih lagi mengenai diri kita sendiri dan cara terbaik untuk membentuk masa depan kita," kata Ferrucci. Di Malaysia, secara umumnya minat terhadap sains robotik kian meningkat dan ia boleh dilihat pada penyertaan pelbagai peringkat dalam pertandingan mereka cipta robot. Ia wajar diberi dorongan lebih kuat oleh pihak berwajib. Siswa-siswi harus mengambil kesempatan daripada penekanan yang diberikan oleh kerajaan menerusi pelbagai bentuk insentif dan geran penyelidikan termasuk agensi-agensi berwenang seperti SIRIM. Kita memerlukan lebih ramai saintis, pakar teknologi dan sesungguhnya kita sudah terlalu ramai ahli politik di kalangan mahasiswa-mahasiswi. Cukuplah.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
6 Mei 2012

02 Mei 2012

ISU POLITIK : PEMIMPIN BERINTEGRITI TONGGAK NEGARA SEJAHTERA


Oleh REBICCA RIBUT
(Institut Pendidikan Guru Kampus Sultan Abdul Halim Kedah)
PENULIS ialah pemenang kedua Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.


Dalam era globalisasi ini, kesejahterahan dan keamanan sesebuah negara seringkali digugat oleh pelbagai anasir negatif sama ada dari dalam atau luar negara. Anasir negatif tersebut datang dalam pelbagai bentuk seperti hiburan dari Barat dan pengaruh internet. Oleh demikian, kebijaksanaan dan kecekapan seorang pemimpin adalah penting dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Namun, seorang pemimpin tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan dan memiliki integriti dalam dirinya. Integriti dapat ditakrifkan sebagai suatu kualiti unggul yang wujud secara keseluruhan dan padu pada individu atau organisasi serta berkait rapat dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam sehari-hari. Dalam Kamus Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan ketulusan. Terdapat pelbagai sikap pemimpin yang mencerminkan integriti seperti bersikap amanah, beriltizam tinggi, berakhlak dan berbudi pekerti mulia serta dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat.

Seseorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap amanah iaitu dapat memikul tanggungjawab sebagai salah seorang individu yang terpenting dalam tampuk pemerintahan negara. Oleh itu, seorang pemimpin juga harus mengamalkan sikap amanah dalam menjalankan tugas. Contohnya, tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, keluarga sanak saudara atau kaum kerabat sendiri. Sebaliknya, seorang pemimpin harus memberi keutamaan kepada kepentingan awam. Selain itu, tanggungjawab sebagai seorang pemimpin juga harus dipikul dengan penuh ketelusan dan ketulusan. Hal ini kerana, sebagai seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat, mengamalkan dan memiliki sikap amanah akan menjadikan mereka lebih diyakini keupayaan dan keikhlasan dalam mentadbir negara oleh golongan marhaen. Seperti peribahasa Melayu, "Raja adil - raja disembah, Raja zalim - raja disanggah." Oleh itu, sebarang pemberontakan atau demonstrasi yang berunsurkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kepimpinan seorang pemimpin dapat dielakkan daripada berlaku.

Jika kita lihat di negara-negara luar seperti Libya, yang mana telah wujud golongan yang mempertikaikan kepimpinan serta ingin menggulingkan pemimpin mereka iaitu Muammar Gaddafi sehingga mewujudkan pergolakan dan suasana kacau-bilau sehingga mengakibatkan ketidakamanan di negara tersebut. Sekiranya perkara seumpama itu berlaku di negara kita, sudah tentu keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak sekian lama akan tergugat dan kita hidup dalam ketakutan. Oleh itu, jelaslah bahawa bersikap amanah amat penting bagi seorang pemimpin bagi memastikan kesejahteraan negara. Selain itu, seorang pemimpin juga harus mempunyai iltizam yang kuat serta bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mentadbir negara. Mempunyai iltizam yang kuat bermaksud memiliki kesungguhan yang jitu dalam menjalankan tugas yang diamanahkan.

Pemimpin harus memiliki ilmu pengurusan bagi membolehkannya mentadbir negara dengan cekap dan efektif bagi menjamin kesejahteraan negara yang ditadbir. Contohnya, seorang pemimpin yang tidak memiliki iltizam serta ilmu pengurusan akan menjadi seorang pemimpin serta ketua tanpa persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab seperti sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia akan memberi impak yang buruk kepada negara iaitu mewujudkan kepincangan dalam pemerintahan. Peristiwa kejatuhan kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu yang berpunca daripada kepincangan dalam pemerintahan harus dijadikan iktibar serta teladan kepada pemimpin. Oleh itu, seyogia seorang pemimpin harus mendapat latihan kepimpinan serta menimba ilmu secukupnya sebelum memegang gelaran sebagai pemimpin. Pemimpin sebegini akan lebih dihormati dan disegani oleh rakyat serta menjadi suri teladan kepada segenap lapisan masyarakat.

Dalam pada itu, memiliki akhlak dan berkelakuan mulia juga merupakan salah satu sikap berintegriti yang harus diamalkan oleh pemimpin. Pemimpin yang berintegriti akan mengamalkan dan menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan kejujuran. Nilai moral seumpama ini harus menjadi pegangan pemimpin dalam mentadbir negara. Oleh itu, kerakusan nafsu dalam diri pemimpin tidak akan wujud. Nafsu tersebut dapat dilihat apabila seorang pemimpin tidak jujur dalam menjalankan tanggungjawabnya seperti mengamalkan rasuah. Selain itu, seringkali kita membaca berita yang terpampang di dada akhbar yang mengatakan tentang calon-calon pilihan raya yang hanya inginkan populariti untuk meraih undi tanpa mengambil kira kepentingan negara. Golongan seumpama ini hanya akan bertindak mengikut nafsunya sendiri tanpa menghayati nilai-nilai moral. Justeru, rakyat akan kurang berkeyakinan terhadap pemimpin tersebut kerana menganggap pemimpin seumpama itu adalah gila kuasa.

Sementara itu, seorang pemimpin harus mengotakan kata dan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat dan bukannya sekadar pemanis bicara. Mutakhir ini, rakyat seringkali berhadapan dengan pemimpin yang hanya bijak berpidato dan berhujah tentang integriti di hadapan rakyat namun terdapat tingkah laku mereka yang tidak mencerminkan mereka mengamalkan integriti. Misalnya, menyeru rakyat agar menjauhi amalan rasuah kerana amalan tersebut boleh mendatangkan impak negatif terhadap negara. Namun dalam masa yang sama, mereka turut mengamalkan dan seolah-olah membenarkan rasuah terjadi dalam negara. Pemimpin seperti ini boleh dikatakan sebagai 'cakap tidak serupa bikin' oleh masyarakat yang kian bijak menilai baik buruk peribadi seorang pemimpin. Oleh itu, tidak hairan jika wujudnya golongan yang mempertikai daya kepimpinan pemimpin tersebut akibat hilang keyakinan.

Bagi mengelakkan perkara ini berlaku, pemimpin tersebut harus bermuhasabah diri dalam setiap tindak-tanduknya sebagai seorang pemimpin bagi menjaga hati dan kepentingan rakyat sekali gus menjaga kesejahteraan negara. Intihanya, seorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap berintegriti dalam diri mereka bagi menjalankan tanggungjawab memimpin negara dengan lebih baik dan berkesan agar dapat menjadi suri teladan kepada masyarakat. Jelas, pemimpin yang berintegriti akan lebih disenangi, disegani serta dihormati oleh rakyat. Malah, rakyat akan lebih berkeyakinan terhadap tampuk pemerintahan pemimpin yang berintegriti sekali gus dapat mengelakkan timbulnya kejadian yang tidak diingini seperti tunjuk perasaan dan kekacauan yang mampu mengganggu gugat ketenteraman, keamanan serta kesejahteraan negara. Oleh itu, pemimpin yang berintegriti adalah tonggak utama kesejahteraan negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 MEI 2012

ISU SOSIAL : PULANGKAN NAYATI KE PANGKUAN KELUARGANYA


Oleh Fauziah Arof


Satu lagi berita kehilangan kanak-kanak dilaporkan pada 27 April lalu. Nayati Shamelin Moodliar, warga negara Belanda yang berusia 12 tahun dipercayai diculik pada pukul 7 pagi ketika dalam perjalanan ke sekolahnya berhampiran Mont Kiara International School (MKIS), di ibu negara. Ketika kejadian tersebut, kanak-kanak lelaki ini, memakai uniform sekolah, iaitu berkemeja T Polo dan berseluar hijau. Dia dikatakan diculik ketika berjalan kaki seorang diri kira-kira 300 meter dari rumahnya. Semoga kehilangan yang kali ini berkesudahan dengan berita gembira. Kita berharap agar anak kecil ini akan dikembalikan ke pangkuan keluarganya dengan selamat. Berita mengenai Nayati tersebar luas beberapa jam selepas kehilangannya di Facebook, Twitter dan Youtube di seluruh negara. Sistem amaran awal bagi kehilangan kanak-kanak atau NUR Alert (National Urgent Response Alert) turut menyebarkan berita kanak-kanak ini.

Dalam pada itu, pengendali khidmat selular turut menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenainya kepada pelanggan- pelanggannya. Risalah-risalah juga diagih dan ditampal di tempat-tempat awam termasuk di beberapa buah tol. Rakyat negara ini tanpa mengira agama, bangsa dan peringkat umur bersama-sama berusaha untuk mengesan ke mana perginya Nayati dan pada masa sama juga mendoakan keselamatan kanak-kanak itu. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang meletakkan dirinya sebagai seorang bapa, turut merayu di dalam Twitternya agar Nayati tidak diapa-apakan dan meminta orang ramai supaya memperluaskan pencarian kanak-kanak malang berkenaan melalui media sosial. Semoga kehilangan Nayati tidak lama. Kita berharap agar anak kecil ini yang amat berharga sekali kepada ibu bapanya diberi peluang untuk bersama keluarganya semula.

Kehilangan Nayati mengusik lagi kerisauan kita. Betapa ibu bapa perlu sentiasa lebih berhati-hati dengan persekitaran kita. Penjenayah di luar sana sentiasa mencari ruang dan menunggu peluang untuk melakukannya. Soal aspek keselamatan, kekerapan pihak polis melakukan rondaan, betapa perlunya pihak sekolah mengadakan ceramah mengenai bagaimana anak-anak menghadapi situasi seperti ini, turut disentuh semula bila berlaku saja kejadian seperti ini. Tidak perlulah kita menuding jari siapa yang perlu buat kerja lebih untuk menangani jenayah culik kanak-kanak ini. Ini semua adalah tanggungjawab kita bersama, sebagai pelindung kepada mereka. Rakyat Malaysia telah menunjukkan betapa kita semuanya bersatu dalam menyebarkan maklumat mengenai kehilangan kanak- kanak ini. Apa yang penting semangat seperti ini ada dalam diri kita semua dalam menangani jenayah penculikan kanak-kanak ini.

Sikap peka dan mengambil berat setiap lapisan masyarakat mengenai aspek keselamatan kanak-kanak di sekeliling kita, jauh lebih baik daripada mengharapkan kekerapan pihak berkuasa melakukan rondaan. Tiada salahnya, bertanyakan dan menemankan kanak-kanak yang berjalan berseorangan di mana-mana jua, sampai ke tempat yang ditujunya. Tragedi yang menimpa beberapa kanak- kanak yang diculik sebelum ini sudah terlalu pahit untuk kita semua menerimanya. Episod-episod sedih itu amat menyentuh sanubari kemanusiaan kita semua. Dan kita juga mengetahui, masih ramai lagi kanak-kanak dan remaja yang hilang di negara ini belum ditemui. Namun, ibu bapa mangsa yang terlibat terus berdoa dan menaruh harapan yang menggunung agar anak mereka dipulangkan jua satu masa nanti. Semoga dengan penyebaran maklumat yang menyeluruh ini Nayati dapat segera dikesan dan ditemui dengan keadaan selamat serta dapat menjalani semula kehidupannya seperti kanak-kanak lain. Dan semoga ibu bapa Nayati dan ahli keluarganya diberikan lebih kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan ini.


Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
2 MEI 2012


27 April 2012

ISU GURU : GURU JADI SASARAN LEPAS GERAM


Oleh Mohd Rifaat Abd Hamid


Jika disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua golongan itu ibarat bermusuhan kini. Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya kerana dihukum. Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak masing-masing. Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri ‘memalukan’ guru. Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar juga hak pelajar di sisi guru? Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?

Mantan Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu. Malah, lebih mendukacitakan apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi. “Inilah hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru. Malah, ada yang menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam.  Semakin moden cara berfikir, semakin kecil peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya.  Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum. “Dulu, rasa takut dan hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin kecil dengan peranan yang terbatas. Kuasa guru juga semakin terikat seperti tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak mereka ‘disentuh’,” katanya.

Beliau berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu. Manakala guru pula dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut perintah. Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan penggunaan fizikal. Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga paling bawah,” katanya. Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung. Guru mahupun pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak menyelesaikan masalah. Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,” katanya.

Deretan isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian dunia pendidikan negara. Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi. Sikap saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya, menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil. “Ada segelintir guru atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai. Sepatutnya kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah masing-masing,” katanya. Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar dikenakan tindakan tegas. “Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya pelajar sesuka hati. Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.

Katanya, bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan tanggungjawab itu pada guru. “Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya.  Beliau yakin insiden buruk membabitkan guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki. “Guru, ibu bapa dan pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni bagi menjamin hak semua. “Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Harian Metro
23 April 2012