TAN SRI LEE LAM THYE
Ahli Exco Yayasan
Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)
Salah satu isu
masyarakat yang menghantui kita pada hari ini adalah Lesbian, Gay, Biseksual,
Transgender (LGBT) yang membawa budaya songsang melawan arus sistem agama,
kemanusiaan dan keluarga. Mereka yang memilih serta terjebak di dalam budaya
songsang ini dengan jelasnya melakukan sesuatu yang tidak normal dan tidak
menghormati institusi keluarga, agama dan aspek moral. Jika dilihat daripada
perspektif yang lebih besar, budaya ini akan merosakkan sistem sosial dan
sistem keluarga. Budaya songsang ini bukan lahir daripada kehendak yang normal
tetapi dibudayakan melalui cara hidup songsang yang terpesong jauh dari sistem kemanusiaan
sejagat. Akibat daripada pembudayaan negatif ini akan membawa kemusnahan sistem
sosial dengan percanggahan nilai dan perkosaan adat budaya ketimuran.
Ibu bapa adalah
kumpulan pertama yang akan mengalami tekanan daripada perubahan anak mereka kepada
budaya LGBT yang mana ‘stigma vikarius’ akan membuat mereka merasakan anak-anak
mereka akan melalui diskriminasi, penderaan lisan dan kemungkinan serangan
fizikal. Sementara itu, mereka akan mengalami public stigma apabila ahli
keluarga ditekan untuk merasakan mereka yang bertanggungjawab menyebabkan anak
mereka menjadi gay. Ibu bapa kepada gay dan lesbian, terpaksa menghadapi
tekanan yang datang dari pelbagai sudut sama ada keagamaan, kemasyarakatan dan
undang-undang sosial dunia yang berlandaskan nilai murni. Dalam usaha untuk
membangunkan dan mengekalkan nilai diri yang baik, anak-anak yang terjerumus
dalam budaya LGBT perlu melihat tanggungan orang yang menyayangi mereka untuk
sedar bahawa penglibatan mereka dalam budaya LGBT adalah salah.
Institusi keluarga
adalah benteng terakhir untuk melahirkan keluarga dan insan berintegriti
melalui pembinaan keluarga bahagia, peningkatan integriti dalam pengurusan
kesihatan jasmani dan rohani serta pemantapan nilai-nilai murni sebagai asas
pembentukan identiti. LGBT adalah dilihat sebagai salah satu simptom penyakit
sosial yang jika tidak dibendung akan memporak-perandakan sistem budaya bangsa
dan mengikis nilai negara. Isu LGBT harus dilihat dari sudut yang lebih besar
iaitu sudut nilai kenegaraan untuk negara. Ini kerana kita tidak mahu melihat
negara mencapai kemajuan dengan mengorbankan nilai. Maka kita amat perlu
memantau gejala ini dan dalam masa sama satu proses penerangan perlu
dipergiatkan untuk menyedarkan masyarakat terutama golongan muda tentang
mudarat gejala ini.
Di samping itu juga
pendekatan rehabilitasi perlu disediakan untuk membantu mereka yang terjebak
supaya kembali ke landasan yang betul. Saya ingin menyeru semua pihak untuk
turut serta menggalakkan usaha dalam pemupukan nilai murni untuk negara bagi
mempromosikan kesedaran terhadap nilai-nilai kemanusiaan yang murni dalam
masyarakat kita. Semua golongan strata masyarakat hendaklah sama-sama memikul
tanggungjawab ini dan bertindak bersama merealisasikannya demi kesejahteraan
negara. Kini tibalah masanya untuk kita, sebagai sebuah negara meningkatkan
kualiti hidup rakyat Malaysia dan menangani sebarang perkembangan negatif
dengan segera sebelum situasi itu menjadi lebih buruk. Bagi saya isu LGBT
bukanlah isu mengenai hak asasi manusia. Sebaliknya isu tersebut merupakan
suatu amalan yang bercanggah dengan nilai moral masyarakat kita dan tidak
pernah diiktiraf oleh mereka yang waras. Golongan muda adalah tonggak pemimpin
masa depan. Anak-anak kita perlu mencerna satu budaya sendiri yang berlandaskan
nilai-nilai murni.
Janganlah menciplak
ideologi Barat bulat-bulat kerana ia tidak semestinya betul dan sesuai dengan
kepelbagaian bangsa dan budaya kita di sini. Saya menyarankan supaya Dasar
Sosial Negara disemak semula untuk menentukan sejauh mana polisi tersebut
menyumbang dalam mewujudkan masyarakat yang progresif dan berdaya tahan yang
berdasarkan kepada nilai moral dan bagi memperkasakan modal sosial. Semakan
terhadap Dasar Sosial juga adalah perlu untuk menilai semula usaha oleh
kerajaan dalam mewujudkan kestabilan, kesihatan dan keharmonian masyarakat
Malaysia bergantung pada kekuatan asas moral bagi mengimbangi pembangunan
ekonomi yang pantas dengan nilai moral dan kemasyarakatan Dasar Sosial Negara
perlu sentiasa diteliti dan dikaji demi mencapai matlamat “Negara Maju Bernilai
Murni".
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
10 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan