Penulis ialah Pegawai
Penyelidik Pusat Kajian Ekonomi dan Kemasyarakatan, Institut Kefahaman Islam
Malaysia (IKIM).
Pada awal bulan ini
kerajaan bersetuju menetapkan gaji minimum sektor swasta setelah 10 tahun
tuntutan ini dibuat oleh pihak berkaitan khasnya Kongres Kesatuan Sekerja
Malaysia (MTUC). Gaji minimum di Semenanjung ditetapkan pada RM900 manakala di
Sabah, Sarawak dan Labuan RM800. Apa pun hak mendapat gaji atau upah yang
setimpal di kalangan pekerja telah pun termaktub dalam perundangan Islam. Upah
secara syarak bermaksud balasan yang diterima hasil daripada kerja yang dibuat.
Dalam Surah al-Kahfi ayat 77 menceritakan perihal upah: “Kemudian mereka dapati
di situ sebuah tembok yang hendak runtuh, lalu dia membinanya. Nabi Musa berkata:
Jika engkau mahu, tentulah engkau berhak mengambil upah mengenainya".
Ayat ini menunjukkan
harus mengambil upah di atas pembinaan tembok berkenaan iaitu satu kerja yang
telah dibuat. Ulama Islam telah sepakat bahawa upah daripada kerja wujud dalam
perundangan Islam. Ini disebabkan manusia diciptakan Allah SWT mempunyai
kelebihan dan kepandaian yang berbeza-beza. Sebagai manusia yang hidup
bermasyarakat, mereka akan saling perlu memerlukan kepada yang lain. Kelebihan
dan kepandaian ini dapat diambil manfaat secara baik melalui upah di antara
satu pihak dengan yang lain. Dalam Surah al-Talaq ayat 6, Allah SWT
mengingatkan untuk memberi upah kepada wanita penyusu bayi. Jika harus memberi
upah dalam penyusuan maka sudah tentu dikiaskan juga kepada perkara yang lain
dalam kehidupan manusia. Nabi SAW dan Saidina Abu Bakar pernah bersama-sama
mengupah sorang kafir daripada Bani al-Dail yang mahir tentang jalan menunjuk
arah dalam musafir mereka.
Dalam satu hadis
riwayat Imam Bukhari, Rasullulah SAW menegaskan bahawa salah seorang yang
menjadi musuh baginda pada hari akhirat kelak ialah orang yang mengupah pekerja
dan menggunakan pekerja itu tetapi tidak membayar upahnya. Hadis ini jelas
menunjukkan keharusan mengupah dan satu amaran bahawa adalah melakukan dosa
yang besar jika majikan tidak membayar gaji kepada pekerja mereka yang telah
disuruh melakukan pekerjaan. Ijmak ulama sendiri memperakukan keharusan memberi
gaji atau upah daripada kalangan para sahabat, tabieen, fuqaha termasuk imam
mazhab yang empat Hanafi, Malik, Syafie dan Ahmad. Secara fitrahnya, pemilikan
harta manusia adalah berdasarkan kepada kerja yang mereka lakukan. Keperluan
upah atau gaji yang setimpal ini boleh dilihat dari aspek individu, keluarga
dan juga masyarakat. Daripada individu, manusia membina sesebuah masyarakat
sama ada berjaya atau sebaliknya. Jadi, mereka perlu berdikari mencari kerja
agar mendapat upah sebagai bekalan kemajuan diri.
Dalam hadis riwayat
al-Baihaqi, Nabi SAW telah menyuruh seorang lelaki yang papa mendapatkan kapak
dan keluar bekerja selama beberapa hari. Sebahagian duit upah yang didapati
oleh lelaki berkenaan disuruh untuk membeli makanan untuk ahli keluarganya dan
baginda SAW menyuruh lelaki berkenaan terus bekerja. Akhirnya lelaki itu
berterima kasih kepada Rasulullah dan baginda SAW bersabda ini adalah lebih
baik bagi lelaki itu berbanding nanti beliau datang pada hari kiamat dengan
muka yang berkerut dengan masalah papa. Sunnah Nabi SAW ini memberi pengajaran
kepada kita bahawa pemilikan harta oleh individu akan menyebabkan mereka hidup
tenang. Mereka dituntut untuk mendapatkan segala kekayaan dan kebajikan di atas
muka bumi. Ini tidak dapat dilakukan melainkan dengan bekerja yang akhirnya mendapat
ganjaran dalam bentuk upah.
Upah yang baik dapat
mendorong individu menjadi lebih kreatif, berfikir dan bersungguh-sungguh
bekerja dan akhirnya menambahkan lagi produktiviti mereka. Keperluan yang
pelbagai juga mendesak individu untuk mendapatkan upah setimpal yang dapat
menguruskan keperluan diri dan menjadi ahli masyarakat yang berdikari. Tanpa
upah yang sepadan, sudah tentu mereka akan membawa masalah dalam masyarakat
kerana terpaksa hidup bergantung dengan ihsan orang lain yang sudah tentu akan
mewujudkan ketidakstabilan dan penindasan dalam masyarakat. Dengan upah yang
baik pula, individu akan dapat menjauhi tarikan untuk melakukan jenayah seperti
mencuri, tipu dan menerima rasuah. Mereka boleh mengelakkan diri daripada
berhasad dengki kepada majikan dan akhirnya dapat memenuhi keperluan asas
kehidupan iaitu menjaga agama, jiwa, akal, keturunan dan juga harta.
Memenuhi keperluan
ini adalah wajib dan pihak berkenaan khasnya pemerintah perlu memastikan
keperluan asas manusia ini dapat dipenuhi dengan baik. Sebagai individu yang
berkeluarga, dengan adanya gaji atau upah yang setimpal, maka mereka dapat
memenuhi keperluan tempat tinggal, pakaian, pendidikan, makanan ahli keluarga
di bawah tanggungan dengan baik termasuk ibu bapa yang tua yang tiada sumber
pendapatan lagi. Ini akan memperkasakan lagi tanggungjawab mereka sebagai ketua
keluarga. Apabila wujud kemantapan individu hasil kerja dengan upah yang baik,
maka bukan sahaja keluarga menjadi rukun dan damai bahkan masyarakat sendiri
akan maju ke hadapan hasil sumbangan setiap individu dengan menjadi komponen
masyarakat bekerja yang membawa kepada pemilikan harta melalui gaji yang
diterima dan dapat menjauhi daripada bergantungan kepada orang lain. Dengan
pengumuman kadar gaji minimum ini, ia diharap sebagai antara langkah
berpanjangan pihak kerajaan dalam mewujudkan upah atau gaji yang setimpal
kepada pekerja.
Sila berikan komen
anda. Terima kasih.
Sumber :
Utusan Malaysia
7 Mei 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan