Oleh REBICCA RIBUT
(Institut Pendidikan Guru Kampus
Sultan Abdul Halim Kedah)
PENULIS ialah pemenang kedua
Pertandingan Menulis Esei Integriti Politik peringkat pengajian tinggi yang
dianjur oleh Institut Integriti Malaysia (IIM) baru-baru ini.
Dalam era globalisasi ini,
kesejahterahan dan keamanan sesebuah negara seringkali digugat oleh pelbagai
anasir negatif sama ada dari dalam atau luar negara. Anasir negatif tersebut
datang dalam pelbagai bentuk seperti hiburan dari Barat dan pengaruh internet.
Oleh demikian, kebijaksanaan dan kecekapan seorang pemimpin adalah penting
dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan negara. Namun, seorang pemimpin
tersebut juga harus menitikberatkan, mengamalkan dan memiliki integriti dalam
dirinya. Integriti dapat ditakrifkan sebagai suatu kualiti unggul yang wujud
secara keseluruhan dan padu pada individu atau organisasi serta berkait rapat
dengan etika. Ia adalah berlandaskan etika dan pencerminan etika dalam
sehari-hari. Dalam Kamus Dewan didefinisikannya sebagai kejujuran dan
ketulusan. Terdapat pelbagai sikap pemimpin yang mencerminkan integriti seperti
bersikap amanah, beriltizam tinggi, berakhlak dan berbudi pekerti mulia serta
dapat memberi teladan yang baik kepada rakyat.
Seseorang pemimpin haruslah
mengamalkan sikap amanah iaitu dapat memikul tanggungjawab sebagai salah
seorang individu yang terpenting dalam tampuk pemerintahan negara. Oleh itu,
seorang pemimpin juga harus mengamalkan sikap amanah dalam menjalankan tugas. Contohnya,
tidak menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri sendiri, keluarga sanak
saudara atau kaum kerabat sendiri. Sebaliknya, seorang pemimpin harus memberi
keutamaan kepada kepentingan awam. Selain itu, tanggungjawab sebagai seorang
pemimpin juga harus dipikul dengan penuh ketelusan dan ketulusan. Hal ini
kerana, sebagai seorang pemimpin yang telah diberi kepercayaan oleh rakyat,
mengamalkan dan memiliki sikap amanah akan menjadikan mereka lebih diyakini
keupayaan dan keikhlasan dalam mentadbir negara oleh golongan marhaen. Seperti
peribahasa Melayu, "Raja adil - raja disembah, Raja zalim - raja
disanggah." Oleh itu, sebarang pemberontakan atau demonstrasi yang
berunsurkan ketidakpuashatian rakyat terhadap kepimpinan seorang pemimpin dapat
dielakkan daripada berlaku.
Jika kita lihat di negara-negara luar
seperti Libya, yang mana telah wujud golongan yang mempertikaikan kepimpinan
serta ingin menggulingkan pemimpin mereka iaitu Muammar Gaddafi sehingga
mewujudkan pergolakan dan suasana kacau-bilau sehingga mengakibatkan
ketidakamanan di negara tersebut. Sekiranya perkara seumpama itu berlaku di
negara kita, sudah tentu keamanan dan kesejahteraan yang kita kecapi sejak
sekian lama akan tergugat dan kita hidup dalam ketakutan. Oleh itu, jelaslah
bahawa bersikap amanah amat penting bagi seorang pemimpin bagi memastikan
kesejahteraan negara. Selain itu, seorang pemimpin juga harus mempunyai iltizam
yang kuat serta bersedia dari segi mental dan fizikal dalam mentadbir negara.
Mempunyai iltizam yang kuat bermaksud memiliki kesungguhan yang jitu dalam
menjalankan tugas yang diamanahkan.
Pemimpin harus memiliki ilmu
pengurusan bagi membolehkannya mentadbir negara dengan cekap dan efektif bagi
menjamin kesejahteraan negara yang ditadbir. Contohnya, seorang pemimpin yang
tidak memiliki iltizam serta ilmu pengurusan akan menjadi seorang pemimpin
serta ketua tanpa persediaan dalam melaksanakan tanggungjawab seperti sekadar
melepaskan batuk di tangga sahaja. Ia akan memberi impak yang buruk kepada
negara iaitu mewujudkan kepincangan dalam pemerintahan. Peristiwa kejatuhan
kesultanan Melayu Melaka pada zaman dahulu yang berpunca daripada kepincangan
dalam pemerintahan harus dijadikan iktibar serta teladan kepada pemimpin. Oleh
itu, seyogia seorang pemimpin harus mendapat latihan kepimpinan serta menimba
ilmu secukupnya sebelum memegang gelaran sebagai pemimpin. Pemimpin sebegini
akan lebih dihormati dan disegani oleh rakyat serta menjadi suri teladan kepada
segenap lapisan masyarakat.
Dalam pada itu, memiliki akhlak dan
berkelakuan mulia juga merupakan salah satu sikap berintegriti yang harus
diamalkan oleh pemimpin. Pemimpin yang berintegriti akan mengamalkan dan
menghayati nilai-nilai moral seperti kepercayaan kepada Tuhan, amanah dan
kejujuran. Nilai moral seumpama ini harus menjadi pegangan pemimpin dalam
mentadbir negara. Oleh itu, kerakusan nafsu dalam diri pemimpin tidak akan
wujud. Nafsu tersebut dapat dilihat apabila seorang pemimpin tidak jujur dalam
menjalankan tanggungjawabnya seperti mengamalkan rasuah. Selain itu, seringkali
kita membaca berita yang terpampang di dada akhbar yang mengatakan tentang
calon-calon pilihan raya yang hanya inginkan populariti untuk meraih undi tanpa
mengambil kira kepentingan negara. Golongan seumpama ini hanya akan bertindak
mengikut nafsunya sendiri tanpa menghayati nilai-nilai moral. Justeru, rakyat
akan kurang berkeyakinan terhadap pemimpin tersebut kerana menganggap pemimpin
seumpama itu adalah gila kuasa.
Sementara itu, seorang pemimpin harus
mengotakan kata dan janji-janji yang telah dibuat kepada rakyat dan bukannya
sekadar pemanis bicara. Mutakhir ini, rakyat seringkali berhadapan dengan
pemimpin yang hanya bijak berpidato dan berhujah tentang integriti di hadapan
rakyat namun terdapat tingkah laku mereka yang tidak mencerminkan mereka
mengamalkan integriti. Misalnya, menyeru rakyat agar menjauhi amalan rasuah
kerana amalan tersebut boleh mendatangkan impak negatif terhadap negara. Namun
dalam masa yang sama, mereka turut mengamalkan dan seolah-olah membenarkan
rasuah terjadi dalam negara. Pemimpin seperti ini boleh dikatakan sebagai
'cakap tidak serupa bikin' oleh masyarakat yang kian bijak menilai baik buruk
peribadi seorang pemimpin. Oleh itu, tidak hairan jika wujudnya golongan yang
mempertikai daya kepimpinan pemimpin tersebut akibat hilang keyakinan.
Bagi mengelakkan perkara ini berlaku,
pemimpin tersebut harus bermuhasabah diri dalam setiap tindak-tanduknya sebagai
seorang pemimpin bagi menjaga hati dan kepentingan rakyat sekali gus menjaga
kesejahteraan negara. Intihanya, seorang pemimpin haruslah mengamalkan sikap
berintegriti dalam diri mereka bagi menjalankan tanggungjawab memimpin negara
dengan lebih baik dan berkesan agar dapat menjadi suri teladan kepada masyarakat.
Jelas, pemimpin yang berintegriti akan lebih disenangi, disegani serta
dihormati oleh rakyat. Malah, rakyat akan lebih berkeyakinan terhadap tampuk
pemerintahan pemimpin yang berintegriti sekali gus dapat mengelakkan timbulnya
kejadian yang tidak diingini seperti tunjuk perasaan dan kekacauan yang mampu
mengganggu gugat ketenteraman, keamanan serta kesejahteraan negara. Oleh itu,
pemimpin yang berintegriti adalah tonggak utama kesejahteraan negara.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
1 MEI 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan