Oleh
Mohd Rifaat Abd Hamid
Jika
disoroti kisah guru dan pelajar dulu, wujud persoalan mengapa kedua-dua
golongan itu ibarat bermusuhan kini. Biarpun terkenal tegas dan garang, rasa
hormat pelajar pada guru masih tinggi dan tidak tergamak bersengketa hanya
kerana dihukum. Malangnya, zaman kini berbeza kerana pantang dicuit, kedua-dua
pihak pasti berbalah dan bertegang urat mempertahankan pandangan serta hak
masing-masing. Guru juga dikatakan sudah berani bertindak di luar batas
profesionalisme manakala pelajar semakin galak mengambil tindakan sendiri
‘memalukan’ guru. Persoalannya, di manakah nilai kedudukan guru di mata pelajar
juga hak pelajar di sisi guru? Adakah pelajar sengaja mencipta masalah dan
masihkah guru menjadi golongan dihormati atau sebaliknya?
Mantan
Pengerusi Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) cawangan Kedah, Zuraidi
Rahim, berkata sukar mentafsirkan taraf kedudukan guru hari ini kerana pelajar
tidak mempunyai rasa hormat kepada golongan itu. Malah, lebih mendukacitakan
apabila mereka menjadikan guru sebagai musuh yang perlu diperangi. “Inilah
hakikat terpaksa ditelan guru hari ini. Mereka terpaksa berdepan pelajar yang
tidak langsung mahu mengiktiraf jasa dan pengorbanan guru. Malah, ada yang
menjadikan guru sebagai golongan sasaran untuk melepaskan dendam. Semakin moden cara berfikir, semakin kecil
peranan guru di mata pelajar hingga hilang rasa hormat,” katanya. Akuinya, pelajar hari ini sudah semakin berani
dan nekad mengambil tindakan sendiri sekiranya dihukum. “Dulu, rasa takut dan
hormat pelajar pada guru menggunung tinggi. Sekarang mereka lihat guru semakin
kecil dengan peranan yang terbatas. Kuasa guru juga semakin terikat seperti
tidak boleh merotan sesuka hati dan ibu bapa juga mudah melenting jika anak
mereka ‘disentuh’,” katanya.
Beliau
berkata, pelajar hari ini tidak memahami hasrat murni guru apabila dikenakan
hukuman dan menganggapnya mencabul hak asasi individu. Manakala guru pula
dianggap menggunakan status dan kuasa untuk ‘mengikat’ pelajar bagi menurut
perintah. Keadaan ini menimbulkan kerumitan kerana masing-masing ada hujah
untuk menegakkan pendirian. Isu kecil menjadi besar terutama jika membabitkan
penggunaan fizikal. Ditambah lagi sikap kedua-dua pihak yang tidak sebulu
menjadikan pertelingkahan semakin serius dan meletakkan nilai murni di tangga
paling bawah,” katanya. Keadaan ini menunjukkan betapa kroniknya konflik
hubungan kedua-dua pihak biarpun berada di bawah satu bumbung. Guru mahupun
pelajar seharusnya perlu bijak menilai dan jangan babitkan emosi kerana tidak
menyelesaikan masalah. Juga, usah menyalahkan antara satu sama lain kerana
masing-masing ada kelemahan dan berhak menerima teguran demi kebaikan bersama,”
katanya.
Deretan
isu panas membabitkan guru dan pelajar kini mengundang pelbagai persepsi kerana
kedua-duanya tidak pernah berhenti bertingkah, sekali gus menggugat keharmonian
dunia pendidikan negara. Pertelingkahan itu turut menimbulkan pertanyaan
mengapa mereka ibarat seteru dan begitu kontras hingga dihambat kontroversi. Sikap
saling tidak memahami juga penggunaan simbolik ‘perintah dan menurut’, katanya,
menjadi punca mereka bermusuhan walaupun hanya isu kecil. “Ada segelintir guru
atau pelajar lebih suka ia menjadi sensasi supaya boleh diketahui ramai. Sepatutnya
kedua-dua pihak perlu hormat antara satu sama lain, bukan merendahkan maruah
masing-masing,” katanya. Beliau bagaimanapun bersetuju tindakan guru yang
merotan, menghukum atau melakukan perkara di luar batas kemanusiaan wajar
dikenakan tindakan tegas. “Jika guru memang bersalah wajar tindakan tegas
diambil. Status disandang bukan bermaksud boleh menghukum atau menganiaya
pelajar sesuka hati. Pelajar yang melanggar peraturan dan tidak berdisiplin
juga wajar dikenakan hukuman. Jangan ada sikap pilih kasih,” katanya.
Katanya,
bukan mahu menyalahkan, namun ramai ibu bapa lebih mementingkan kerjaya
berbanding mengambil tahu persekolahan anak sebaliknya menyerahkan
tanggungjawab itu pada guru. “Apabila anak mengadu, mereka drastik mengambil
tindakan tanpa menyelidik lebih lanjut,” katanya. Beliau yakin insiden buruk membabitkan
guru-pelajar hanya kes terpencil yang boleh diperbaiki. “Guru, ibu bapa dan
pelajar juga perlu bersikap lebih terbuka, realistik, saling mempercayai dan
menyokong antara satu sama lain. Pendidikan perlu berlangsung secara harmoni
bagi menjamin hak semua. “Jangan kerana persengketaan, hubungan renggang. Kita
akan rugi dan menanggung sesalan kelak,” katanya.
Sila
berikan komen anda. Terima kasih.
Sumber
:
Harian
Metro
23
April 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan