26 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : DIALOG PENDIDIKAN BAWA PERUBAHAN HOLISTIK

DATUK DR. AZIZ JAMALUDIN MHD TAHIR
Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)


Baru-baru ini, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan satu siri dialog pendidikan akan diadakan di seluruh negara bagi membolehkan Kementerian Pelajaran mengumpul pelbagai pandangan dan cadangan daripada setiap lapisan masyarakat untuk menjadikan sistem pendidikan pada masa depan lebih dinamik dan menepati keperluan semasa. Ini sebenarnya satu langkah terbaik dalam sebuah masyarakat demokrasi yang semakin berkembang dan turut bertanggungjawab dalam mencorakkan sistem pendidikan, kerana merekalah yang sebenarnya berhak menilai sejauh manakah kesannya.

Pada masa kini, masyarakat juga khuatir bahawa sistem pendidikan hanya berjaya melahirkan lebih ramai cerdik pandai tetapi tidak dapat mengekang masalah sosial. Masyarakat sudah menuding jari bahawa sistem pendidikan yang terlalu mementingkan kecemerlangan akademik melahirkan lebih ramai pelajar pintar tetapi kurang cerdas emosi, sosial dan nilai-nilai keagamaan. Ramai yang melakukan jenayah kolar putih berpendidikan tinggi manakala sebahagian kecil yang gagal dalam peperiksaan awam turut menyumbang kepada gejala sosial. Kecerdikan seseorang itu dalam bidang pendidikan tidak banyak membangkitkan semangat sayangkan orang lain, dan kerana itulah pendidikan dilihat sebagai sesuatu yang gagal dalam membentuk diri seseorang sehingga menjadi manusia berguna. Konsep pendidikan yang dibentuk pada asalnya adalah untuk memberikan pengetahuan dan dengan pengetahuan itu seseorang mampu membentuk peribadi unggul serta menyumbangkan kepada masyarakat di sekelilingnya.

Dalam hubungan itu, seseorang yang berilmu bukan dilihat sebagai yang mempunyai kedudukan material yang banyak, bahkan dalam sesetengah keadaan ia amat daif sehingga terpaksa melakukan pelbagai bidang pekerjaan untuk menyara kehidupan. Tetapi mereka ini berjiwa kental dan sanggup mengembara untuk menambahkan ilmu pengetahuan tanpa memikirkan pangkat yang mampu diraih. Imam Al-Ghazali ( 1058-1111M) merupakan seorang yang amat mencintai ilmu dan memahami bahawa tujuan pendidikan adalah 'membuka ufuk baru dalam pemikiran' kerana melihat bahawa ilmu kalam lebih banyak menimbulkan mudarat berbanding manfaat. Beliau yang berasal dari keluarga miskin di sebuah kampung di pinggir kota kecil bernama Tus, berhampiran bandar Meshad, dalam wilayah Khurasan membahagikan ilmu kepada dua, iaitu ilmu zahir dan ilmu batin.

Ilmu zahir meliputi ibadah dan muamalah manakala ilmu batin pula ialah ilmu yang boleh digunakan untuk membersihkan hati dari sifat tercela. Kemuncaknya ialah hati dihiasi dengan sifat terpuji. Berasaskan kepada pembahagian tersebutlah Al-Ghazali mengkritik keras mengenai ilmu kalam yang sedang berkembang pada zamannya. Pada dasarnya, ahli ilmu kalam ialah tokoh agama yang mencorakkan ajarannya dengan acuan akal dan cuba mengukuhkan akidah agama berdasarkan akal atau rasional. Corak pendidikan berdasarkan ilmu kalam itu semakin berkembang sehingga melahirkan persoalan rasionalisme melampau dalam pelbagai bidang sehingga Al-Ghazali melihatnya sebagai suatu kekalutan falsafah yang berpotensi membawa manusia kepada kesesatan. Golongan ini sentiasa bersandarkan kepada ilmiah dengan berbingkaikan kaedah penyelidikan berdasarkan akal sehingga membawa kepada lahirnya kumpulan yang tidak lagi mempercayai tuhan. Bagi golongan ini, Tuhan tiada kaitan dengan penentuan kehidupan, kerana itulah tuhan tidak wujud dalam diri manusia. Kumpulan ini sebenarnya semakin membesar dan masih wujud hingga kini.

Malaysia turut menerima kesan daripada perkembangan itu apabila ada segelintir mereka yang berpendidikan tinggi begitu taksub dengan idea kebebasan dan liberalisme. Fahaman berkenaan diserap ke dalam pelbagai bentuk kehidupan sehingga ada seseorang pernah mendakwa "apa salahnya dengan mereka yang atheis'' - atas alasan mereka yang beragama turut melakukan jenayah seperti menipu, salah guna kuasa, rasuah dan adakalanya sanggup membunuh. Atas kesedaran itulah juga mungkin mendorong perombakan semula sistem pendidikan Malaysia secara lebih holistik, bukan sekadar memadankan keperluan semasa bahkan membolehkan setiap mereka yang melaluinya mampu membezakan corak kehidupan yang lebih baik dan boleh membina manusia yang baik.

Dalam sistem pendidikan sekarang, meskipun tertera Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang cuba menghubung-jalinkan keseimbangan jasmani, emosi, rohani dan intelektual, disebabkan sistemnya lebih terarah kepada pencapaian keputusan peperiksaan yang cemerlang, maka nilai emosi dan rohani semakin terpinggir. Nilai-nilai emosi yang boleh melahirkan rasa bersalah apabila melakukan sesuatu tindakan semakin berjauhan sehingga melahirkan segelintir mereka yang berpendidikan tinggi sanggup menipu demi mendapatkan kenaikan pangkat atau menjadikan sindrom penafian bagi menutupi setiap tindakan tidak bermoral dan beretika.

Kekontangan rohani turut membawa manusia kehilangan kasih sayang antara sesama manusia dan kerana itulah ada kalanya mereka sanggup melakukan tindakan merasuah demi mencapai sesuatu tujuan. Dari segi politik pula, golongan inilah yang sebenarnya sanggup melakukan apa sahaja bagi memperoleh kuasa dan mengekalkan kuasa. Perkembangan ilmu yang tidak berasaskan nilai-nilai rohani dan penghayatan agama inilah yang amat kita khuatir. Maka, siri dialog pendidikan yang dijangka bermula pada April nanti dan kemuncaknya lahir satu blueprint pada akhir tahun ini akan dapat mengatasi kesan sampingan yang menghalang terbentuknya masyarakat beradab atau manusia yang berguna.

Peranan pendidikan bukan sekadar memindahkan ilmu pengetahuan, bahkan memupuk jiwa yang beradab dan nilai-nilai rohani yang segar dalam naungan kebesaran Ilahi. Pendidikan bukan untuk membolehkan seseorang itu menjadi lebih bijak menipu, menyalahguna kuasa, merintis kaedah licik merasuah dan mengkhianati manusia lain. Pengajaran daripada peradaban Barat yang telah memisahkan nilai-nilai spiritual menjadikan manusia maju dengan teknologi tetapi semakin kehilangan kesempurnaan sahsiah. Inilah yang sedang berlaku sehingga keruntuhan institusi yang mereka bangunkan dan banggakan sebagai sistem yang terbaik tersembam dengan noda dan keserakahan matlamat, jiwa dan emosi semakin kacau dan kecamuk.

Bahkan, ada benarnya apabila seorang sejarahwan Amerika Syarikat Ethan Watter, menilai peradaban yang berjaya mereka bangunkan itu sedang tenat dan sedang menanti kehancurannya, kerana sistem pendidikan mereka semakin kehilangan pegangan moral dan agama. Tentunya kita berbeza daripada mereka. Pendekatan dan sistem kita lebih mengakar; naluri yang memiliki nurani.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
23 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : KOREA SELATAN BERJAYA KERANA KEJUJURAN DAN AMANAH

Oleh Borhan Abu Samah


Baru-baru ini Malaysia menyambut ulang tahun ke-30 Dasar Pandang Ke Timur, iaitu dasar bagi mempelajari bagaimana negara Jepun boleh mencapai kejayaan dan menjadi salah satu gergasi ekonomi dunia, walaupun negara Matahari Terbit itu pernah dilanda malapetaka angkara dua butir bom atom yang dijatuhkan bumi berkenaan sehingga luluh segalanya umpama ‘Padang jarak, padang terkukur’. Selepas Jepun, negara Asia lain dikagumi kerana mampu bangkit dan berada setaraf dengan negara maju lain dalam pelbagai bidang seperti sukan dan ekonomi ialah Korea Selatan. Barangan elektrik dan kenderaan yang dikeluarkan negara berkenaan kini telah menembusi pasaran seluruh pelosok dunia. Ahli-ahli sukannya pula seperti K.J Choi di dalam bidang Golf, Park Ji Sung dalam sukan bola sepak telah mencapai tahap dunia.

Jika dahulu pertumbuhan ekonomi Korea Selatan mungkin tidak jauh berbeza dengan Malaysia, begitu juga dengan prestasi pasukan bola sepak mereka, tetapi kini jurangnya ibarat langit dengan bumi. Tiada lagi jejantas atau jejambat, semuanya melalui bawah tanah. Jika dilihat bandar Seoul dari segi luaran memang agak bosan kerana hanya dipenuhi bangunan korporat, pasar raya besar dan hotel. Namun apabila kita melangkah ke dalam terowong bawah tanah yang menghubungkan kereta apinya, di dalamnya penuh dengan gerai yang menjual pelbagai produk dan restoran yang menghidangkan daripada makanan Korea hinggalah makanan Jepun dan Barat. Pada pandangan penulis Korea Selatan menjadi maju pada hari ini kerana rakyatnya amanah dan jujur. Mereka tidak cuba menipu pelancong.

Gaji tukang sapu sampah pun hampir sama dengan gaji pegawai kerajaan di Malaysia. Bagi pegawai kerajaan tentulah lebih hebat dan laporan terbaru mencatatkan 60 peratus pegawai tinggi kerajaan Korea Selatan merekodkan kenaikan kekayaan berikutan peningkatan hartanah milik mereka. Laporan tahunan yang dikeluarkan Jumaat lalu menunjukkan 60.1 peratus atau 2,329 pegawai kerajaan dalam bidang pentadbiran, perundangan dan kehakiman telah bertambah kaya kerana harta milik mereka meningkat harganya, kata laporan Kementerian Pentadbiran Awam dan Keselamatan Korea Selatan. Inilah yang mahu dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Malaysia muncul sebagai negara maju dan penduduknya pula berpendapatan tinggi, berbanding pada masa ini kos sara hidup tinggi sedangkan majoriti penduduk berpendapatan rendah. Dasar itu hanya akan tercapai jika rakyat faham dan menyokong dasar itu.

Sikap amanah dan jujur orang Korea Selatan dapat dilihat melalui peniaga di pinggir jalan yang memberi potongan harga sama tidak kira orang tempatan ataupun pelancong. Mereka tidak melihat pelancong sebagai peluang untuk mengaut keuntungan berlebihan. Dari segi bekerja pula mereka tidak merungut atau cuba ‘mencuri tulang’. Sebaliknya sentiasa bersemangat, tidak kira yang muda mahupun yang tua. Ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri, beliau turut melancarkan kempen Bersih, Cekap, Amanah. Kerana itulah Malaysia dengan pantas maju berbanding kebanyakan negara ASEAN yang lain. Namun kini nilai-nilai itu yang telah dipupuk mulai pudar kerana masyarakat Malaysia semakin tamak dan terlalu mengejar kebendaan hingga sanggup melakukan apa sahaja demi mengaut keuntungan yang banyak. Kebanyakan tenaga kerja tidak digunakan sepenuhnya untuk memajukan syarikat atau institusi tempat bekerja.

Politik Korea Selatan juga telah jauh matang jika dibandingkan dengan Malaysia. Walaupun bulan hadapan Korea Selatan akan mengadakan pilihan raya, tetapi ia tidak kecoh seperti di Malaysia yang belum pasti lagi tarikh pilihan rayanya. Malah seorang pemimpin kanan pembangkang dari Parti Bersatu Progresif (UPP) Lee Jung-hee menarik diri daripada bertanding pada pilihan raya 14 April ini, kerana dia malu dan menganggap dirinya sebagai beban kepada parti. Jung-hee dikaitkan dengan skandal penipuan, tetapi beliau menafikannya. Di Malaysia kita mungkin boleh lupakan sahaja jika mahu melihat pemimpin pembangkang menarik diri daripada pilihan raya kerana sentiasa menganggap mereka yang paling hebat dan tidak mempunyai pengganti yang sesuai, walaupun terpalit dengan pelbagai skandal seks dan rasuah.

Pembangkang kita terlalu terbawa-bawa dengan model ekonomi dan politik negara jiran yang ternyata lebih mundur berbanding Malaysia. Sedangkan negara jiran berkenaan sejak sekian lama kagum dengan negara kita dan kadangkala membangkitkan rasa cemburu. Satu lagi perubahan di Korea Selatan, jika sedekad lalu amat sukar untuk menemui mereka yang faham bahasa Inggeris, tetapi kini keadaannya telah berbeza. Jika dahulu bahasa menjadi penghalang untuk pelancong berkomunikasi, tetapi kini tidak lagi. Tidak ada peniaga yang penulis temui tidak memahami bahasa Inggeris, walaupun mereka bercakap tunggang terbalik.

Mereka sedar untuk lebih maju dan menarik pelancong asing, mereka perlu sekurang-kurangnya memahami bahasa pertuturan antarabangsa iaitu bahasa Inggeris. Apatah lagi tahun 2010 hingga 2012 telah diisytihar sebagai Tahun Melawat Korea. Melihat kepada situasi semasa di negara kita, mungkin kerajaan perlu memberi penekanan semula kepada kempen Bersih, Cekap dan Amanah – supaya negara kita tidak terjerumus ke lembah rasuah yang merosakkan cita-cita untuk menjadikan Malaysia negara maju menjelang tahun 2020.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
26 Mac 2012

ISU KEWANGAN : LEPASKAN PENUNTUT ILMU DARI IKATAN PENGHUTANG MUDA

Pandangan IKIM
PENULIS ialah Felo Pusat Kajian Sains dan Alam Sekitar,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)


Baru-baru ini, penulis menyertai bengkel pengurusan wang dan hutang. Oleh itu, penulis mahu berkongsi perkara menarik yang mungkin boleh membuka mata kita mengenai hakikat kehidupan masa kini dan peranan yang boleh dimainkan umat Islam, atau lebih khusus, institusi sosioekonomi Islam dalam membantu meningkatkan mutu hidup umat Islam di negara ini. Salah seorang peserta bengkel ini berkongsi pengalamannya yang menghadapi bebanan hutang, atau lebih khususnya, hutang pendidikan. Peserta itu melanjutkan pengajiannya di peringkat diploma di salah sebuah pusat pengajian tinggi negara. Oleh sebab dia datang dari keluarga yang tidak berada, maka dia tidak mempunyai pilihan selain memohon pinjaman pengajian dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bagi membiayai pengajiannya.

Apabila pengajian tamat, dia dikehendaki membayar semula pinjaman. Dalam hal ini, jumlah yang perlu dibayar adalah RM60,000 dan apabila faedah dikenakan maka jumlah bayaran keseluruhan mencecah RM72,000! Ini merupakan satu jumlah yang sangat besar. Ia merupakan satu hutang besar yang perlu ditanggung peserta itu yang usianya mungkin sekitar 23 hingga 25 tahun. Usia ini pastinya terlalu muda menanggung hutang sebanyak RM72,000 itu. Berdasarkan kisah ini, kita semua pasti berasa simpati dengan nasib anak muda lepasan pusat pengajian tinggi kini yang sudah pun menanggung hutang tatkala tamat pengajian mereka. Jika dulu, graduan menerima bantuan pendidikan daripada kerajaan (misalnya melalui biasiswa JPA). Ketika itu, apabila tamat pengajian, mereka masih perlu membayar semula bantuan itu namun jumlahnya tidak banyak kerana bantuan asal telah mendapat diskaun berdasarkan keputusan peperiksaan.

Malah, ada di antara graduan yang tidak perlu membayar sesen pun kerana keputusan cemerlang. Bagi yang perlu membayar, jumlah pinjaman itu tidak dikenakan apa-apa kadar faedah. Namun, keadaan kini nyata berbeza. Kisah yang dipaparkan tadi membawa kita kepada beberapa persoalan dan pengajaran yang boleh dijadikan panduan. Merujuk kepada persoalan, kita tertanya-tanya, kenapa sistem bantuan pendidikan kini akhirnya menjadikan para graduan itu ‘penghutang muda’. Kita mahu melihat malah menggalakkan anak-anak kita melanjutkan pengajian mereka. Namun, apabila tamat pengajian dan memperoleh ijazah yang belum tentu menjamin mendapat pekerjaan dengan gaji lumayan – mereka pula perlu menanggung hutang untuk puluhan tahun kemudiannya.

Kasihan, itulah perkataan yang boleh menggambarkan nasib mereka ini! Untuk pengetahuan pembaca, dari pandangan hidup Islam, para pelajar boleh dikelaskan dalam golongan fisabilillah. Fisabilillah lazimnya difahami sebagai golongan yang berjuang atau berperang di jalan Allah SWT. Bagaimanapun, ada segelintir fuqaha’ yang memberikan pengertian yang lebih luas terhadap makna fisabillah iaitu meliputi semua bentuk kebajikan yang dilakukan untuk meninggikan agama Allah SWT. Oleh itu, terdapat segolongan fuqaha’, misalnya segelintir dari mazhab Hanafi, yang mengkelaskan penuntut ilmu sebagai tergolong dalam kumpulan fisabilillah. Ini kerana, matlamat menuntut ilmu itu boleh dikira sebagai satu fardu kifayah demi meninggikan agama. Dalam konteks ini, para penuntut ilmu atau pelajar, tidak kira dia kaya atau miskin, dianggap sebagai sebahagian daripada golongan fisabilillah.

Untuk pengetahuan pembaca, pemerintah mempunyai tanggungjawab tertentu untuk membantu golongan fisabilillah ini. Bantuan yang diberikan itu adalah dalam bentuk pemberian zakat. Zakat itu hendaklah digunakan bagi tujuan meneruskan usaha golongan fisabillah tadi dan memenuhi keperluan kehidupan yang umum. Sebagai contoh, bagi penuntut ilmu, wang zakat yang diterima hendaklah digunakan untuk menuntut ilmu kerana Allah SWT dan seterusnya bagi memenuhi keperluan umum penuntut ilmu itu. Berdasarkan penjelasan di atas, maka para fisabillah pelajar ini perlu dibantu oleh pemerintah. Untuk itu, pelajar, tidak kira dalam kategori mana pun, perlu mendapat bantuan sepenuhnya daripada pemerintah untuk meneruskan pengajian mereka. Jika hal ini benar-benar boleh berlaku maka tidak akan timbul isu graduan menjadi penghutang muda.

Dengan itu, perlulah difikirkan kaedah bantuan oleh pemerintah kepada golongan pelajar ini. Jika bantuan secara percuma tidak mampu diberikan kepada semua pelajar maka perlulah difikirkan satu sistem bantuan pendidikan lain. Dalam hal ini, sistem bantuan pendidikan itu hendaklah sistem yang mesra pelajar. Mesra bermaksud, tidak menzalimi. Namun begitu, jika sistem sudah wujud dan dilihat seperti ada yang tidak kena maka penilaian semula kepada sistem itu perlu dilakukan agar ia bebas dari menzalimi para graduan. Dalam masa sama, apakah pula peranan institusi sosioekonomi Islam dalam hal ini? Untuk pengetahuan pembaca, institusi sosioekonomi Islam ini merujuk kepada pusat zakat, wakaf, baitulmal dan sebagainya. Seperti yang disebutkan tadi, tidak dapat dinafikan bahawa bantuan telah diberikan kepada beberapa golongan pelajar namun bantuan ini amat terhad.

Terhad yang dimaksudkan itu ialah ia tidak merangkumi semua pelajar. Namun, melihatkan keadaan graduan Muslim kini yang terpaksa meminjam dan kemudiannya menanggung hutang, maka tidakkah terfikir oleh mereka bantuan yang boleh diberikan untuk membantu golongan tersebut? Sesungguhnya, amat mulia jika kita dapat diberikan bantuan kepada penuntut ilmu untuk melanjutkan pengajian dan seterusnya mengelakkan beban hutang. Kisah yang dipaparkan tadi juga memberikan kita beberapa pengajaran. Paling penting, sebagai ibu bapa masa kini, kita harus sedar bahawa jika mahu anak-anak melanjutkan pengajian, maka soal kos juga perlu dipertimbangkan, bukan semata-mata kursus apa yang hendak dipelajari.

Dalam hal ini, kos pendidikan akan sentiasa meningkat naik. Oleh itu, aspek tabungan perlulah diambil kira. Sedarkah kita bahawa masyarakat Melayu selalu dikaitkan dengan amalan menabung yang rendah? Tidak kira sama ada ini satu hakikat atau andaian, soal tabungan masa hadapan tidak boleh dipandang remeh. Usaha membuat tabungan ini merupakan satu persediaan menghadapi sesuatu kemungkinan pada masa hadapan. Di dalam al-Quran, kisah Nabi Yusuf mentafsir mimpi Raja Mesir boleh dijadikan panduan. Nabi Yusuf a.s. menasihati sang Raja bercucuk tanam secara bersungguh-sungguh selama tujuh tahun bagi menghadapi tujuh tahun kemarau kemudiannya (Surah Yusuf, 12:47-49). Kisah ini wujud bukan semata-mata untuk menunjukkan mukjizat Nabi Yusuf mentafsir mimpi tetapi kisah ini juga penting bagi membuktikan kepada kita bahawa aspek persediaan menghadapi sesuatu perubahan dalam hidup juga harus diberikan perhatian.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber :
Utusan Malaysia
26 Mac 2012

21 Mac 2012

ISU SOSIAL : KEPERLUAN, TERLEBIH ATAU MEMBAZIR?

Oleh Fauziah Arof


Malaysia yang cukup makmur ini adalah sebuah negara yang kecil. Kita ada lebih 28 juta penduduk. Tetapi pada masa sama, kita juga ada lebih 2 juta pekerja asing. Itu belum masuk pendatang asing tanpa izin lagi. Kebanjiran mereka ini dikira bukan jumlah biasa. Memang luar biasa. Kita menjadi ‘lubuk atau hujan emas’ kepada pekerja asing dari negara-negara jiran yang kurang makmur. Suatu ketika dulu, pengambilan mereka ini hanya pada sektor perladangan dan pembinaan. Alasannya, tidak ramai rakyat kita mahu bekerja di sektor itu – pendapatan tidak menarik, tidak selesa, kerja penat dan dalam keadaan tertentu risiko kemalangan agak tinggi. Namun sekarang, dalam kebanyakan sektor, ada pekerja asing. Dari peringkat skil bawahan sehingga ke tahap pengurus besar dalam sesetengah syarikat, majikannya mengutamakan pekerja asing, sedangkan rakyat kita ramai yang masih tercari-cari pekerjaan.

Benarkah rakyat kita yang memilih kerja? Atau alasan ini sekadar muslihat majikan yang sengaja mahu mengambil pekerja asing kerana boleh membayar gaji rendah, tidak perlu mencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain kemudahan. Tidak salah menggaji pekerja asing. Tetapi kalau sudah melebihi keperluan dan mengekang potensi tenaga kerja di negara ini, itu yang jadi masalahnya. Kita lihat sahaja di restoran-restoran besar seperti rangkaian kopitiam atau hotel-hotel, mereka menggunakan khidmat pekerja asing. Kebanyakannya tidak tahu berbahasa Malaysia, apatah lagi berbahasa Inggeris. Itu yang timbul, kita pesan lain, lain yang dapat. Ini secara langsung menjejaskan perkhidmatan dan imej sektor ini.

Sedangkan jika menggaji rakyat tempatan, komunikasi jadi mudah. Lihat sahaja restoran makanan segera seperti McDonald dan Kentucky Fried Chicken, berapa ramai anak-anak muda kita bekerja di situ. Ada lepasan sekolah, ada yang sedang menunggu keputusan peperiksaan, mereka ini tahan lasak, bekerja secara shift. Boleh pula restoran ini beroperasi dengan lancar, ada yang dibuka 24 jam tanpa pekerja asing. Begitu juga dengan rangkaian pasar mini atau supermarket, stesen minyak dan kilang-kilang di negara ini sudah ramai terlalu pekerja asing. Itu belum masuk lagi warga asing yang dengan mudah dapat permit untuk berniaga. Soalnya, di mana rakyat kita yang berpendidikan sekadar sekolah menengah ini mahu bekerja? Di mana mereka sekarang? Bukan semua rakyat kita lulusan universiti atau kolej. Dan adalah sesuatu yang tidak wajar, sekiranya majikan memberhentikan pekerja-pekerja tempatan semata-mata untuk mengambil sekumpulan pekerja asing dengan alasan pekerja tempatan tidak produktif.

Yang jadi mangsa, rakyat kita. Macam mana mahu hidup, mahu menyara keluarga dan diri sendiri? Akibat sikap majikan yang mahu untung lebih ini, rakyat kita yang susah manakala rakyat asing dapat menghantar duit ‘berkepuk’ kepada keluarga di negara masing-masing. Pergantungan terhadap khidmat pekerja asing dalam satu-satu sektor, seperti pembantu rumah juga boleh mewujudkan keadaan seperti kita ‘dibuli’ oleh negara pengeksport pekerja asing ini. Satu amah, satu kerja dengan pendapatan RM700, itu contoh permintaan yang sangat tidak munasabah dan ‘mengada-ngada’. Adakah kita terdesak sehingga mampu menggaji dengan pendapatan tinggi seperti itu? Dan saya pasti, akan ada lagi permintaan-permintaan ‘tidak masuk akal’ timbul sekiranya kita terlalu bergantung dengan pekerja asing. Kebanjiran pekerja asing ini juga menimbulkan suasana tidak selesa dan kurang selamat, di kawasan-kawasan tertentu di negara ini, kita seolah-olah berada di negara mereka pula. Ini kerana mereka yang menguasai kawasan itu.

Akhirnya, kita pula terpaksa mengelak atau menghindari kawasan berkenaan kerana rasa ‘sense of belonging’ itu tiada. Sepatutnya mereka yang datang ke negara inilah yang perlu menyesuaikan diri dengan cara hidup dan budaya kita, tetapi sudah terbalik, kita pula yang perlu mengalah. Semua juga maklum dengan masalah-masalah sosial yang diwujudkan oleh pendatang asing ini. Mereka ini ramai yang terlibat dengan kes-kes jenayah seperti bunuh, pergaduhan, rompak, samun dan rogol. Dan tidak mustahil, banyak kes pembuangan bayi ketika ini turut disumbangkan oleh pekerja asing ini. Kita juga masih ingat, kerajaan pernah membekukan seketika pengambilan pekerja asing dari Bangladesh pada awal tahun 2002 kerana masalah moral mereka. Mereka menganggu isteri orang dan anak gadis di khalayak ramai tanpa rasa takut. Perangai buruk ini mengakibatkan pergaduhan dengan orang tempatan. Kalau kemasukan pekerja asing tidak dikawal, tidak mustahil suasana dan peristiwa ini berulang.

Kita berharap agar di masa akan datang kerajaan memikirkan dan mengkaji gesaan dan desakan majikan-majikan ini yang sering mengadu tidak cukup pekerja. Memang bagi sesetengah sektor, pekerja asing dan tenaga pakar dari luar ini perlu untuk membangunkan ekonomi negara, tetapi jika sudah melebihi keperluan, sekat sahaja. Dalam sektor-sektor tertentu, utamakanlah rakyat kita. Dalam kita mahu mencapai status negara maju, kita sedar atau tidak, kita terpaksa berkompromi pula dengan segelintir pekerja-pekerja asing dari negara yang kurang membangun ini yang membawa sekali budaya, nilai dan watak-watak yang bercirikan mentaliti kelas ketiga ini ke negara ini. Majikan pula janganlah menyimpan persepsi bahawa rakyat tempatan tidak bekerja kuat. Selain kemampuan pekerja itu sendiri, majikan juga perlu mewujudkan suasana kerja yang baik dan gaji yang sesuai dengan kerja serta kelulusan, baru datang semangat untuk bekerja keras.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
21 Mac 2012

ISU SOSIAL : BAGAIMANA MEWUJUDKAN MASYARAKAT "SELAMAT"!

TAN SRI LEE LAM THYE
Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF)


Tragedi yang berlaku ke atas adik Nurul Nadirah Abdullah, 5, mengejutkan seluruh negara kerana satu lagi nyawa anak kecil yang tidak berdosa hilang dalam sekelip mata. Fakta pembunuhan kanak-kanak ini menyebabkan kita tertanya-tanya, bilakah jenayah kejam ini akan dapat dibendung dan dihentikan? Bukanlah tujuan saya menyalahkan mana-mana pihak. Hakikatnya, kanak-kanak hilang adalah satu masalah yang serius dan perlu ditangani segera oleh semua pihak. Tanggungjawab keselamatan anak-anak adalah bermula dari ibu bapa serta keprihatinan masyarakat. Memandangkan kejadian kehilangan kanak-kanak terus menjadi perkara yang membimbangkan di dalam masyarakat kita pada hari ini, kita harus mengambil tindakan sewajarnya bagi memberikan perlindungan kepada anak-anak kita.

Kehilangan adik Sharlinie Mohd. Nashar, Nisha Chandramohan, Lee Xin Ru dan kanak-kanak lain termasuk pembunuhan kejam adik Nurin Jazlin Jazimin adalah peringatan jelas bahawa jenayah tidak mengenal kaum atau agama dan rakyat Malaysia tidak seharusnya menganggap keselamatan anak-anak sebagai perkara mudah. Ekoran perbuatan jenayah zalim terhadap kanak-kanak seperti penculikan, serangan, penganiayaan, liwat, rogol dan pembunuhan, kita kini perlu lebih mendidik anak-anak bagaimana untuk melindungi diri mereka sendiri. Perlindungan ke atas anak-anak harus dimulakan oleh ibu bapa dan dari rumah. Ibu bapa perlu tahu di mana anak mereka berada sepanjang masa. Mereka perlu mendidik anak-anak bagaimana untuk respons kepada sebarang situasi yang berbahaya.

Sekolah boleh memainkan peranan penting dalam hal ini. Saya mencadangkan pendidikan keselamatan kanak-kanak diperhebatkan di sekolah-sekolah rendah kerana mereka terdedah kepada banyak risiko terutamanya apabila tidak dibekalkan dengan pendidikan tentang keselamatan. Memandangkan kadar jenayah masih serius dan kekerapan kebimbangan orang awam terhadap isu keselamatan, saya ingin menegaskan keperluan untuk mewujudkan konsep 'Masyarakat Selamat'. Definisi 'Masyarakat Selamat' adalah tempat di mana orang ramai tinggal, bekerja dan berekreasi dengan selamat dan sihat. Selain memperbaiki kehidupan individu, masyarakat selamat dapat mewujudkan banyak manfaat bersama seperti jaminan keselamatan untuk orang ramai, mengurangkan kadar jenayah, meningkatkan produktiviti serta persaingan, mengurangkan kos penjagaan kesihatan dan mengurangkan lain- lain perbelanjaan sosial.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
21 Mac 2012

20 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : STPM BAHARU : MAMPUKAH MENARIK RAMAI PELAJAR?

Allmuddin Mohd. Dom
PENULIS ialah Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad.


Transformasi pendidikan melalui pelaksanaan sistem pentaksiran baharu Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dilihat seperti serampang dua mata iaitu ingin menarik lebih ramai pelajar untuk menduduki peperiksaan tersebut kerana jumlahnya semakin berkurangan tahun demi tahun. Keduanya untuk menyesuaikan dengan perkembangan baru dalam dunia pendidikan pra universiti iaitu berasaskan 'outcome based education' bertujuan melahirkan modal insan cemerlang yang menekankan 'character building' dan memiliki kemahiran insaniah atau 'soft skills.' Pendekatan dan kaedah ini telah pun diamalkan dalam kurikulum dan peperiksaan peringkat antara bangsa iaitu 'A Level' dan 'International Baccalaureate' (IB). Seperti biasa selepas keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diumumkan hampir setengah juta pelajar akan mengikut haluan sendiri untuk mengejar cita-cita masing-masing. Nampaknya mereka mempunyai pilihan yang terbuka luas sama ada ingin mengikuti pengajian di peringkat diploma, mengambil sijil kemahiran, mengikuti kelas matrikulasi atau memasuki tingkatan enam bagi mengambil STPM.

Bagi mereka yang tidak berminat melanjutkan pelajaran boleh saja memohon pekerjaan di sektor awam atau swasta. Atau yang memiliki bakat keusahawanan mungkin akan melakukan kerja sendiri sama ada berniaga, bertani dan sebagainya. Sementara itu, mereka yang ingin melanjutkan pelajaran di seberang laut boleh mengambil peperiksaan 'A Level' atau 'IB' yang ditawarkan di kolej-kolej swasta tertentu. Sesungguhnya tidak sukar melanjutkan pelajaran tinggi di negara kita. Terdapat ratusan institusi pendidikan tinggi awam dan swasta di seluruh negara yang menawarkan ratusan jenis kursus. Pilihlah mana yang sesuai dengan minat dan keupayaan sendiri atau seperti kata pepatah 'tepuk dada tanya selera.' Jangan lupa bidang yang dipilih mestilah mempunyai nilai dan permintaan tinggi di pasaran pekerjaan jika tidak mungkin akan menimbulkan masalah selepas bergraduat nanti. Dari segi kewangan pula jangan bimbang, kita ada Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Negara (PTPTN) atau Pinjaman Pelajaran MARA yang sedia membiayai pengajian secara pinjaman bagi mereka yang memenuhi syarat.

Beruntunglah mereka yang mendapat keputusan cemerlang dalam SPM kerana Jabatan Perkhidmatan Awam, Bank Negara dan banyak lagi institusi awam, swasta dan badan-badan persendirian yang sudi membiayai pengajian mereka sama ada di dalam atau luar negara. Bagi tujuan menarik minat lebih ramai pelajar untuk memasuki tingkatan 6, Majlis Peperiksaan Negara (MPM) akan memperkenalkan peperiksaan STPM baharu yang diluluskan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada pada 4 Januari 2012. Perubahan ini akan dimulakan kepada pelajar tingkatan 6 bawah yang akan mendaftar mulai Mei 2012 ini. Mereka merupakan pelajar kohort pertama yang akan mengambil peperiksaan STPM baharu yang akan diduduki pada akhir tahun 2013 nanti. STPM dulunya dikenali sebagai High School Certificate (HSC) telah dimulakan sejak 1950an yang merupakan satu-satunya peperiksaan untuk membolehkan seseorang diterima masuki universiti. Apabila Dasar Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan mulai 1970 maka secara beransur-ansur peperiksaan STPM menggantikan HSC.

STPM mempunyai kelebihan kerana kurikulumnya berbentuk umum. Misalnya pelajar aliran kemanusiaan akan mengambil subjek Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Ekonomi, Sejarah dan Pengajian Am di mana mereka boleh memilih untuk memasuki sama ada fakulti Ekonomi, Undang-Undang, Pengajian Perniagaan, Sastera atau Sains Sosial apabila memasuki universiti nanti. Ini berbeza dengan pelajar yang mengambil diploma atau matrikulasi di mana bidangnya lebih menjurus kepada pengkhususan. Misalnya, bagi mereka yang mengambil Diploma Pendidikan akan mengikuti Ijazah Pendidikan apabila memasuki universiti. Demikian juga aliran matrikulasi yang kebiasaan akan mengikuti ijazah dalam sains tulen. Bagi melaksanakan transformasi ini kajian dan projek rintis telah dilaksanakan sejak beberapa tahun lepas. Ini bagi memastikan supaya perubahan ini dapat dilaksanakan dengan lancar seperti yang dirancangkan. Bermula pengambilan pelajar tahun ini mereka akan mengikuti pengajian berbentuk penggal iaitu setiap hujung penggal akan diadakan peperiksaan.

Ini bermakna pelajar tidak lagi dibebankan dengan peperiksaan di akhir tahun. Peperiksaan setiap penggal akan diberikan wajaran iaitu 20% hingga 40% dan dikendalikan secara Penilaian Berasaskan Sekolah (PBS). Sementara itu, peperiksaan akhir wajarannya sebanyak 60% hingga 80% adalah peperiksaan berpusat yang dikendalikan oleh MPM. Ini bermakna kandungan kurikulum menjadi lebih ringan kerana dibahagi kepada tiga penggal. Pelajar-pelajar akan mempunyai masa lebih untuk membahagikan aktiviti pembelajaran mereka. Apa yang menarik dengan kaedah baru ini sekiranya pelajar mendapat keputusan yang tidak memuaskan bagi setiap akhir penggal mereka boleh mengulang semula subjek berkenaan di penggal seterusnya. Pelajar yang tidak mencapai keputusan yang baik bagi penggal 3 boleh juga menduduki semula peperiksaan akhir penggal 3 sahaja pada Mac/April tahun berikutnya. Keputusan keseluruhan peperiksaan STPM Baharu ini adalah berdasarkan gabungan keputusan terbaik bagi ketiga-tiga penggal. Dengan cara ini memberi peluang kepada pelajar untuk memperbaiki keputusan peperiksaan supaya ia benar-benar terbaik. Keputusan ini dijangkakan memberi peluang lebih besar kepada pelajar untuk terpilih memasuki universiti nanti.

STPM baharu ini disediakan agar selari dengan perkembangan penilaian dan peperiksaan di peringkat antarabangsa. Misalnya kurikulum 'A Level' dan 'IB' bukan lagi menekankan peperiksaan bertulis semata-mata tetapi turut menilai pelajar melalui tugasan dan kerja kursus seperti penyediaan kertas projek, kertas seminar dan kajian luar. Bagi melahirkan modal insan cemerlang ditekankan pula kemahiran insaniah atau 'soft skills' seperti menggalakkan aktiviti secara berkumpulan, kemahiran berkomunikasi, membina asas kepimpinan dan menggalakkan mereka sentiasa berfikir secara kritis. Dalam STPM baharu ini semua kaedah tersebut diterapkan dengan memberikan markah kepada gerak kerja dan aktiviti tersebut melalui PBS. Penyebaran maklumat tentang STPM baharu ini perlu dilakukan secara meluas kepada pelajar dan ibu bapa agar lebih ramai pelajar memasuki tingkatan 6 dan menduduki peperiksaan STPM. Moga-moga kita akan dapat melahirkan lebih ramai pelajar yang berketerampilan dan berdaya saing sebelum mereka menjejakkan kaki ke universiti nanti. Walau apa pun tahniah dan syabas kepada MPM.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mac 2012

ISU UMUM : KEMELUT MAS DAN AIR ASIA, JANGAN BENARKAN ULAR LIDI MENJADI NAGA

Oleh NORAINI ABD. RAZAK


''Sekarang ular lidi percaya dirinya naga, manakala naga pula sangka dirinya dah jadi ular lidi,'' kata Profesor Salleh Buang mengamati kemelut antara MAS dan AirAsia yang hangat diperkatakan sekarang ini. Analogi ular lidi dan naga memang tepat untuk menggambarkan natijah perjanjian pertukaran saham antara Malaysia Airline System Bhd. (MAS) dan AirAsia Bhd. (AirAsia). MAS yang pernah menerima gelaran syarikat gergasi penerbangan umpama naga tertelan bola api apabila terpaksa 'tunduk' dan 'mengalah' dengan syarikat yang baru 11 tahun di langit biru. Memulakan penerbangan komersial pertama pada 2 April 1947 atas nama Malaysia Airlines Limited (MAL), sejarah MAS terlalu panjang untuk dibenarkan tenggelam oleh permainan syarikat penerbangan swasta. Biarpun bertukar nama, logo dan pengurusan, namun MAS yang beroperasi secara solo pada tahun 1973 selepas syarikat penerbangan Singapura menarik diri mencatat rekod tersendiri. Ratusan anugerah diterima mengiktiraf kebolehupayaan syarikat itu dalam pelbagai kategori sehingga rakyat Malaysia menumpang bangga.

Ramai yang bertanya di mana hilangnya taring MAS? Siapa yang membunuh kehebatan MAS? Adakah masalah dalaman terutama beban hutang dan kelemahan pengurusan menjadikan MAS begitu? Atau ada pihak yang mengambil kesempatan daripada 'kesempitan' MAS supaya sayapnya patah lantas tidak boleh lagi terbang bersaing dengan penerbangan-penerbangan lain di dunia? Rakyat jelata, orang awam yang tidak faham permainan untung rugi atau istilah bombastik ekonomi hanya mahu satu perkara - MAS syarikat penerbangan negara kembali menjadi naga. Waima apa pun masalah dalaman MAS, ia tidak boleh merasakan dirinya ular lidi sehingga menyerah nasib sedemikian rupa. Tentu ada caranya dan semestinya banyak kaedah untuk 'memulihkan' MAS lantaran syarikat itu adalah milik negara. Masalah dalaman MAS semenangnya telah lama. Bukan tujuh bulan sebelum ini yang membawa kepada perjanjian pertukaran saham dengan AirAsia. Baik orang dalam MAS mahupun orang luar yang sayangkan aset negara itu tahu apa sebenarnya yang menjadi punca. Sebab itu pemeteraian perjanjian pertukaran saham dilihat banyak pihak satu lagi kesilapan yang memburukkan lagi keadaan dan jika tidak segera ditangani padahnya amat besar.

Membenarkan persaingan antara MAS dan AirAsia tanpa kawal selia menyebabkan padang permainan tidak rata sehinggakan siapa yang tidak bijak boleh tersungkur. Perjanjian pertukaran saham itu adalah contoh paling nyata bagaimana persaingan berat sebelah sehingga mewujudkan situasi menang-kalah atau kalah mati. Sedangkan persaingan dalam dunia perniagaan yang kini dikawal selia oleh Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) amat molek - mewujudkan daya saing yang sihat supaya para pelanggan mendapat perkhidmatan yang terbaik selain meningkatkan kecekapan syarikat-syarikat yang bersaing. Tetapi apa yang terjadi dalam persaingan MAS dan AirAsia sebaik perjanjian pertukaran saham itu dimeterai? MAS semakin menanggung beban, laluan menguntungkan diberi kepada AirAsia, semangat serta moral kakitangannya semakin merudum manakala krisis dalaman tidak diketahui di peringkat mana jalan penyelesaiannya.

Tentunya perkembangan tersebut menarik perhatian banyak pihak yang menjadi pemerhati persaingan MAS dan AirAsia sejak 2001 apabila syarikat penerbangan tambang murah itu memecah monopoli MAS. Persaingan yang pada mulanya dilihat amat sihat kerana memberi pilihan kepada pengguna akhirnya mencetuskan kontroversi apabila monopoli yang dipecahkan cuba diwujudkan semula dalam bentuk yang sedikit berbeza. Sedangkan persaingan tidak sepatutnya menghalalkan pesaing meraih kelebihan secara tidak adil apatah lagi jika terlintas niat mahu menguburkan pesaing dengan strategi yang licik. Sebab itu apabila Malaysia mengorak langkah menggubal Akta Persaingan biar pun agak terlewat berbanding dasar penswastaan dan pengkorporatan yang telah mengambil tempat lebih awal, maka kawal selia hendaklah dilaksanakan supaya akta tersebut benar-benar menepati fungsinya.

Dasar penswastaan sememangnya menuntut kawal selia bukan sekadar penubuhan suruhanjaya yang berkaitan seperti Suruhanjaya Tenaga, Suruhanjaya Multimedia dan Komunikasi dan banyak lagi suruhanjaya lain, tetapi juga satu akta yang boleh memastikan segala persaingan berlangsung secara sihat. Persaingan tidak boleh dibuat-buat - umpamanya mewujudkan perjanjian tertentu yang di atas kertas terlihat untung bagi syarikat bersaing tetapi realitinya tidak begitu. Dalam kes perjanjian pertukaran saham MAS dan AirAsia, biarpun banyak pihak melihatnya sebagai permulaan kepada kerjasama namun perkembangan sepanjang tujuh bulan pelaksanaannya tidak menampakkan begitu. Kedua-dua syarikat dilihat bekerjasama tetapi pada masa yang sama masing-masing mencari peluang untuk bersaing malah ada kalanya dilihat dengan cara yang amat tidak sihat kerana hanya satu pihak mendapat manfaat.

Mungkin lebih elok seperti pandangan kebanyakan penganalisis, perjanjian pertukaran saham itu dibatalkan sementelah Akta Persaingan pada dasarnya tidak membenarkan kerjasama tetapi pada masa yang sama semacam ada elemen persaingan. Tidak juga perjanjian tersebut adil kepada kedua-dua pihak apabila kebanyakan yang bersuara membangkitkan soal rugi di pihak MAS selain tiada perubahan yang dilihat memihak kepada syarikat penerbangan negara sejak perjanjian tersebut dipersetujui. Apa pun juga kemelut MAS dan AirAsia mesti segera diselesaikan. Jika pada peringkat permulaan perang harga antara kedua-dua syarikat dilihat oleh kerajaan sebagai satu persaingan yang sihat, namun pertukaran saham MAS dan AirAsia pula menimbulkan pandangan sebaliknya. Sama ada mengembalikan operasi asal MAS dan AirAsia atau meneruskan perjanjian pertukaran saham, paling penting pengguna khidmat penerbangan tidak menjadi mangsa.

Yang pasti rungutan terhadap khidmat yang ditawarkan MAS semakin kuat berbunyi. Begitu juga apa yang disediakan AirAsia - berbanding ketika masing-masing bergantung kepada kekuatan sendiri biarpun ada kekangan lain yang terpaksa diatasi. Justeru, apa yang menjadi harapan rakyat keindahan Akta Persaingan 2011 yang berkuatkuasa 1 Januari lalu dapat diserlahkan dalam menyelesaikan kemelut MAS dan AirAsia. Jika objektif akta tersebut untuk manfaat semua pihak iaitu rakyat sebagai pengguna dan syarikat yang bersaing, maka tugas pertama Suruhanjaya Persaingan Malaysia yang diterajui bekas hakim tersohor, Tan Sri Siti Norma Yaakob untuk membuktikan bahawa perjanjian pertukaran saham MAS dan AirAsia memenuhi objektif tersebut dan bukan sebaliknya. Jika yang terbukti adalah sebaliknya, maka sejauh mana relevannya perjanjian tersebut untuk kekal diguna pakai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : KE ARAH SISTEM PENDIDIKAN HOLISTIK

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik
Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan , Kolej Perniagaan, 
Universiti Utara Malaysia.


Rombakan menyeluruh dasar pendidikan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi seribu satu makna kepada sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Sistem pendidikan negara kita sudah lama tidak dirombak iaitu sejak 1979 lagi. Pada asasnya, sistem pendidikan negara tidak boleh sesekali statik, sebaliknya perlu sentiasa dinamik mengikut keperluan pada masa hadapan. Atas tujuan ini, panel Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik Sistem Pendidikan ditubuhkan bagi mengadakan siri dialog pendidikan nasional yang dijadualkan diadakan bermula bulan depan. Apa yang menarik di sini adalah masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara ketika ini yang perlu ditangani segera. Paling ketara sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar.

Penerapan aspek akhlak dan adab mulia sepatutnya menjadi keutamaan tertinggi dalam membentuk karakter para pelajar. Negara kini dibelenggu pelbagai masalah sosial yang melibatkan generasi muda. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda. Lihatlah di sekeliling kita, bermula daripada kurangnya perasaan hormat generasi muda kepada orang tua sehinggalah jenayah berat seperti samseng jalanan, merompak, penagihan dadah dan memecah masuk rumah. Kebanyakan kes-kes jenayah ini melibatkan generasi muda. Senario ini tidak sepatutnya berlaku dalam suasana negara menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Akhlak dan adab perlu diberi penekanan menyeluruh dalam sistem pendidikan negara. Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia di kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara yang berhemah.

Penulis tidak menafikan kepentingan pendidikan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja. Para pelajar juga perlu berkemahiran tinggi dengan menguasai sains dan teknologi dan mempunyai keupayaan berfikir di luar kotak di samping kritis, analitikal, kreatif dan inovasi. Namun, kesemua ini tidak membawa apa-apa manfaat jika generasi muda 'kosong' akhlak dan rendah adabnya. Melalui penekanan akhlak dan adab jugalah kita tidak perlu sesekali sangsi atau ragu-ragu apa akan terjadi pada negara kita pada masa akan datang. Ketika itu, negara kita akan ditadbir oleh para pemimpin yang boleh dipercayai sepenuhnya. Sudah tentu, tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga. Apalah gunanya kita melahirkan begitu ramai cerdik pandai yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang tetapi suka menipu, menyalah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah.

Begitu juga, apalah gunanya kita berjaya membentuk ilmuwan yang hebat ilmunya, jika sekiranya mereka menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan membangga diri, riak dan takbur walhal ilmunya hanya sedikit cuma berbanding ilmu Allah SWT. Tidak ketinggalan, tiada gunanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan. Jika ini terjadi, punahlah kehidupan rakyat Malaysia dan negara kita pada masa akan datang. Jika dahulu, sesuatu yang luar biasa dipandang negatif tetapi kini banyak terdapat perkara yang luar biasa menjadi kebiasaan. Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah di kalangan generasi muda.

Tanda-tanda kerosakan itu amat jelas sama sekali apabila ada golongan yang bermati-matian mempertahankan kesaksamaan seksual atau lebih dikenali sebagai pendokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Mereka ini golongan cerdik pandai dan professional tetapi menjadi pendokong kuat LGBT. Di manakah silapnya sistem pendidikan negara kita? Perkara inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya dan bukan sekadar melahirkan generasi muda yang dikatakan amat berjaya mengikut acuan sistem meritokrasi sedia ada. Penulis mengesyorkan agar sistem meritokrasi ini dikaji secara menyeluruh kerana tidak mustahil ia boleh membawa bahana kepada negara. Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan ketidakseimbangan di antara para pelajar perempuan dan lelaki. Ambil contoh di universiti-universiti tempatan kadar peratusan para pelajar lelaki amat sikit sama sekali.

Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Kesannya bukan kepalang kerana ia boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia. Justeru, sistem pendidikan negara pada masa akan datang memerlukan idea-idea bernas daripada tokoh-tokoh agama, guru-guru yang berkualiti, sabar dan ikhlas mengajar demi anak bangsa serta ibu bapa yang menaruh kepercayaan sepenuhnya pada sistem pendidikan. Jika ini dapat dilaksanakan dengan baik, tidak syak lagi, negara bakal melahirkan pelajar yang berkualiti dan mempunyai akhlak yang tinggi pada setiap masa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mac 2012

ISU SUKAN : TEGAS BIAR BERTEMPAT DEMI KEMAJUAN BOLA SEPAK NEGARA

Oleh Azrul Affandi Sobry
azr@bharian.com.my


Tidak akan maju sesebuah persatuan jika enggan menerima teguran. Sukar juga untuk bersaing di pentas antarabangsa jika apa yang hendak dilakukan disekat di sana sini, ditambah kerenah birokrasi yang menjadi penghalang. Bak kata bidalan, ditelan mati emak, diluah mati bapa. Mahu dicakap salah, dipendam pun rasa bersalah. Jika diluah, boleh dikenakan tindakan tetapi jika didiamkan berasa seperti tidak menjalankan diamanahkan, apatah lagi kalau memegang jawatan penting dalam persatuan. Senario itu merujuk situasi yang sedang dihadapi Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tan Sri Annuar Musa yang didakwa melanggar peraturan badan induk itu kerana mengeluarkan kenyataan media berhubung prestasi ketika skuad kebangsaan di bawah kendalian Datuk K Rajagobal.

Saya sendiri ketika itu hanya memegang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Perak. Begitu juga dengan Ahmad Basri, kedua-dua kami hanya di peringkat negeri. Sudah tentu kami tidak ada ruang untuk bercakap dalam mesyuarat FAM. Namun, saya pelik kenapa orang penting dalam FAM tidak boleh gunakan mesyuarat sedangkan ruang itu ada. Kenapa perlu bercakap di luar? - Raja Ahmad Zainuddin Mungkin dalam fikiran Annuar, komen itu lebih bersifat pandangan peribadi selepas ditanya media dan tidak berniat mengkritik sesiapa tetapi tanpa sedar ia dilihat berlawanan dengan dasar FAM iaitu membuat kenyataan akhbar hanya Presiden FAM, Sultan Ahmad Shah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan.

Beliau juga dituduh melanggar titah Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah ketika mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM, 4 Februari lalu iaitu hal FAM tidak wajar disebar kepada media dan patut dibawa berbincang dengan jawatankuasa berkenaan. Merujuk situasi ini, dapat dilihat ada sisi positif dan negatif tindakan Annuar, meskipun peluang mengemukakan sebab masih terbuka. Berdasarkan kaca mata orang ramai yang tidak jemu menilai tindakan serta perancangan FAM, ia seperti mengongkong individu seperti Annuar menyatakan pandangan secara jujur. Adakah individu seperti beliau yang jelas menunjukkan komitmen dan perjuangan dalam bola sepak dengan memimpin pasukan negeri dikuasai pembangkang, tidak wajar meluahkan pandangan, sedangkan beliau bukan orang baru dalam sukan nombor satu di negara ini. Bagaimana pula tanggapan orang ramai yang melihat FAM terlalu bertegas dalam hal sebegitu, sedangkan komen dilemparkan seseorang mungkin berniat untuk membina kualiti sukan bola sepak negara. Adakah wajar pula semua orang dalam FAM tutup mulut dan mengiyakan saja apa yang dilaksanakan dan melihat pencapaian di takuk sama.

Logiknya, sudah terlalu lama pengurusan dan pegawai kejurulatihan FAM memberi alasan sama iaitu mahu mencuba pemain bagi mempersiapkan pasukan lebih mantap dan mahu menimba pengalaman. Persoalannya, sampai bila kita didendangkan ketua jurulatih dengan alasan sama? “Bukan tidak boleh komen tetapi saya pelik kenapa perlu diluahkan di luar. Kenapa tidak digunakan ruang yang ada dan luahkan dalam mesyuarat. Sepanjang saya mengenali Tuanku (Presiden), baginda tidak pernah menghalang mana-mana jawatankuasa memberikan pandangannya ketika mesyuarat.” Itu antara kenyataan bekas Naib Presiden FAM, Datuk Seri Raja Ahmad Zainuddin Raja Omar, ketika diminta mengulas isu terbaru yang melanda pengurusan badan induk itu ketika ini. Komen beliau itu berlandaskan pengalamannya sepanjang memimpin pasukan bola sepak Perak dan berada dalam FAM.

Mengikut rekod Raja Ahmad Zainuddin pernah juga digantung selama tiga tahun pada 1991 selain Allahyarham Datuk Paduka Ahmad Basri Mohd Akil yang digantung dua kali pada 2001 (empat tahun) dan 2006 (setahun) kerana mengkritik FAM. “Ada beza kes yang kami hadapi dengan apa yang dibincangkan sekarang. Kami dulu digantung kerana memberi kritikan terhadap pengurusan dan kualiti bola sepak Malaysia. Ketika itu, memanglah kami hanya mampu luahkan kepada media kerana kami orang luar, bukan dalam FAM. “Saya sendiri ketika itu hanya memegang jawatan dalam Persatuan Bola Sepak Perak. Begitu juga dengan Ahmad Basri, kedua-dua kami hanya di peringkat negeri. Sudah tentu kami tidak ada ruang untuk bercakap dalam mesyuarat FAM. Namun, saya pelik kenapa orang penting dalam FAM tidak boleh gunakan mesyuarat sedangkan ruang itu ada. Kenapa perlu bercakap di luar?” katanya.

Raja Ahmad Zainuddin turut mencadangkan supaya tidak dibenarkan seseorang yang memegang jawatan dalam FAM turut memegang jawatan dalam persatuan negeri. Ia akan menimbulkan konflik ketika menjalankan tugas. Apapun, sewajarnya Annuar tidak dikenakan tindakan keras oleh FAM kerana beliau mengkritik atas dasar rasa tanggungjawab, apatah lagi beliau yang juga Presiden Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) sudah membuktikan kemampuannya membangkitkan ‘demam’ bola sepak di Kelantan.  Beliau sudah membuktikan kemampuannya di luar padang, bila pula ketua jurulatih dan jurulatih di padang mahu membuktikannya pula?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
20 Mac 2012

19 Mac 2012

ISU SOSIAL : BELAJAR HIDUP TANPA KHIDMAT WARGA ASING

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


Kekecohan  yang timbul ekoran syarat baru Indonesia supaya pembantu rumah dari republik itu hanya menjalankan satu tugas khusus dengan gaji minimum RM700, seharusnya membuka mata kita, bukan saja dari segi rundingan dan perjanjian dengan pihak berkuasa di sana tetapi kepada soalan paling asas – selama mana kita mahu bergantung kepada khidmat rakyat asing? Walaupun syarat dinyatakan Ketua Pengarah Bahagian Pembinaan Penempatan Tenaga Kerja, Kementerian Tenaga Kerja dan Transmigrasi Indonesia, Dr Reyna Usman, itu dianggap keterlaluan, malah tidak masuk akal, ia dilaporkan hasil rundingan Pasukan Petugas Khas Bersama (JTF) antara Kerajaan Indonesia dan Malaysia. Keputusan rundingan itu antara lain menetapkan penghantaran pembantu rumah Indonesia akan mengikut kemahiran masing-masing dalam empat bidang tertentu iaitu memasak, mengasuh bayi, menjaga orang tua dan mengemas rumah.  Penetapan empat bidang khusus itu kononnya sebagai langkah memastikan amah yang dihantar ke Malaysia benar-benar terlatih dan bagi memudahkan majikan di negara ini.

“Seorang tenaga kerja Indonesia (TKI) yang dihantar ke Malaysia akan menjalankan satu tanggungjawab saja. Jika dia diperlukan untuk menjaga anak, maka jaga anak sajalah. Tetapi jika majikan mahukan TKI melakukan semua empat tugas khusus itu, maka mereka harus mengambil empat TKI melakukan kerja itu,” kata Dr Reyna seperti dipetik dalam laporan itu. Ini bermakna jika seorang pembantu rumah itu digajikan untuk memasak, tugasnya hanyalah memasak dan tidak melakukan tugas lain seperti mengemas rumah dan mengasuh. Bagaimanapun, tidak dinyatakan sama ada amah yang sama, perlu dibayar RM700 lagi jika dia diminta mengemas rumah, menjadikan gajinya RM1,400 sebulan. Dan jika dia diminta mengasuh anak pula, maka gaji bulanannya ialah RM2,100.  Jika benar seperti dilaporkan bahawa keputusan itu adalah hasil rundingan JTF, timbul tanya apakah pegawai yang mewakili Malaysia dalam rundingan itu hanya mengiyakan? Apakah mereka tidak bertanya apakah syarat yang sama dikenakan kepada majikan di negara lain yang mengambil amah Indonesia?

Atau adakah pihak Malaysia dalam rundingan itu menerima syarat sedemikian kerana mahu isu kemasukan pembantu rumah Indonesia yang berlarutan hampir tiga tahun ini diselesai segera? Hakikat bahawa belum ada seorang pun pembantu rumah Indonesia dihantar secara rasmi ke Malaysia sejak Indonesia menarik balik pembekuan penghantaran pada 1 Disember lalu, jelas menunjukkan mereka tidak lagi berminat berbuat demikian.  Indonesia melaksanakan pembekuan sementara itu pada 26 Jun 2009 berikutan beberapa kejadian penderaan terhadap pembantu rumah Indonesia oleh majikan di negara ini. Pada 30 Mei tahun lalu, kedua-dua negara menandatangani protokol bagi meminda MoU Mengenai Pengambilan dan Penempatan Pembantu Rumah Indonesia 2006, dengan memperkemaskan beberapa peruntukan, terutama berkaitan perlindungan dan kesejahteraan untuk pekerja dan majikan.

Pembekuan sementara penghantaran pembantu rumah ditarik balik berikutan kesepakatan dicapai oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono pada pertemuan di Lombok, Nusa Tenggara Barat pada Oktober dan di Bali pada November tahun lalu.  Bagaimanapun penghantaran pertama pembantu rumah Indonesia tertunda beberapa kali sehingga ke hari ini. Perdana Menteri, yang turut terkejut dengan keputusan terbaru Indonesia itu kerana ia bercanggah dengan persefahaman yang dicapainya dengan Presiden Susilo, kelmarin berkata kerajaan akan cuba mencari jalan penyelesaian terbaik mengenai perkara itu. Sementara kita menyambut baik kesungguhan kerajaan menyelesaikan isu ini, kita juga berharap pihak berkuasa segera merangka strategi jangka panjang, bukan saja untuk menamatkan kemelut ini tetapi lebih penting lagi mengurangkan kebergantungan negara kepada tenaga kerja Indonesia bukan saja untuk pembantu rumah tetapi dalam semua sektor pekerjaan.

Selagi kita dilihat terlalu bergantung kepada Jakarta, selagi itulah mereka mengenakan pelbagai syarat sehingga kita perlu berlutut mengharapkan ihsan.  Pengalaman kita dalam pelbagai bidang dengan Indonesia, walaupun diberi jolokan saudara serumpun, cukup untuk membuktikan hakikat ini.  Yang jelas, kesepakatan dicapai pada peringkat tertinggi kerap dikusutkan pada peringkat pelaksana seperti yang berlaku pada isu penghantaran pembantu rumah ini. Begitupun, kita tidak boleh menyalahkan Indonesia semata-mata selagi kita sendiri tidak berusaha untuk tidak mengharapkan khidmat mereka. Kekukuhan ekonomi republik itu dan kemampuan menyediakan pekerjaan pada gaji lebih lumayan dengan sendiri mengurangkan minat rakyatnya bekerja di luar negara.  Kerana itu, sama ada suka atau tidak, kita perlu belajar hidup tanpa khidmat rakyat asing. Langkah pertama ialah melaksanakan pelbagai cadangan sebelum ini untuk kurangkan kebergantungan itu.

Dalam soal pembantu rumah misalnya, pelbagai cadangan dan kertas kerja sudah dikemukakan seperti pusat asuhan di tempat kerja, wanita bekerja dari rumah, khidmat amah tempatan dengan bayaran berdasarkan jam bekerja dan pelbagai cadangan lagi. Dalam soal pembantu rumah ini, kita seharusnya mengikut cara hidup rakyat di negara maju di mana golongan yang benar-benar berkemampuan mempunyai pembantu rumah sepenuh masa. Majoriti rakyat mereka, termasuk golongan menengah hanya menggunakan khidmat pembantu sambilan sama ada sebagai pengasuh atau mengemas rumah. Namun bayarannya agak lumayan sehingga mendorong anak gadis dan pelajar bekerja.  Kita juga harus mencari jawapan benarkah rakyat di negara ini ‘malas’ melakukan kerja yang dilakukan oleh tenaga asing sekarang baik dalam sektor pembantu rumah, pembinaan, perladangan, perkhidmatan dan perniagaan.  Atau adakah itu hanya helah majikan yang sememangnya mahukan pekerja asing kerana mahu mengelak daripada membayar lebih dan melakukan tanggungjawab sosial mereka?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
19 Mac 2012

ISU SOSIAL : SATU AMAH SATU TUGAS : JENAKA BANGSAWAN MODEN

Oleh
PROF. DR. MOHAMED YUSOFF ISMAIL
Perunding Antropologi dan bekas Dekan di Fakulti Sains Sosial Gunaan,
Open University Malaysia.


Dari sudut pengajian antropologi sosial, kemelut orang gaji 'satu amah, satu tugas' merupakan satu perkembangan yang agak 'menakjubkan' dalam pentafsiran semula konsep 'pembantu rumah' yang biasa kita fahami. Apakah sebenarnya konsep pembantu rumah itu? Pemerihalan kerja (job description) yang sering difahami agak berbeza-beza tetapi sudah tentulah ia merangkumi perkara asas seperti mengemas rumah, mencuci kain baju, memasak dan menjaga anak-anak. Lain orang lain pula keperluan kepada tugas yang diperlukan daripada seorang pembantu rumah. Konsep asas ini diamalkan biarpun di Indonesia sekalipun. Bahkan tugas pembantu rumah di Indonesia adalah lebih banyak dan lebih menekan daripada itu.

Kerja-kerja tambahan seperti mencuci kereta, mengurut badan dan kaki majikan, menjaga kedai majikan, membersih rumah ibu mertua dan kakak majikan, memberi makan dan memandikan anjing majikan, dan menjadi orang suruhan bagi saudara mara majikan yang datang bertandang ke rumahnya, adalah antara pemerihalan kerja tambahan yang membuka ruang untuk orang gaji ditindas secukup-cukupnya. Isu yang hangat sekarang menjurus kepada perlindungan hak orang gaji, dengan pentakrifan semula tugas hakikinya sehingga menimbulkan kesan negatif dan menekan pihak majikan. Kalau satu tugas, memasak sahaja misalnya, maka ini bukan merangkumi konsep 'pembantu rumah' yang menyeluruh, tetapi lebih mirip kepada kerja separuh masa atau tugasan khusus, kerana memasak bukan tugas 24 jam.

Kalau mencuci kain baju sahaja, ini pun bukan kerja sepenuh masa, sepanjang hari. Mungkin tugasannya melibatkan tiga atau empat jam sehari termasuk menyidai, menggosok dan melipat kain baju. Bebannya mungkin dapat diringankan lagi dengan adanya mesin basuh dan pengering kain - jika kita tidak mahu orang gaji kita terkena sinaran panas terik sang matahari. Selepas itu apa kerjanya lagi melainkan bersantai di rumah majikan sambil menonton program teledrama Indonesia di saluran-saluran TV Malaysia? Kalau menjaga kanak-kanak, ini pun mungkin dilakukan sewaktu kedua-dua ibu bapa keluar bekerja. Tugasnya selesai apabila ibu bapa pulang dari kerja. Semua tugas di atas bukan bersifat sepenuh masa, justeru pembantu tersebut tidak perlu tinggal dan menetap di rumah majikannya. Maka dia boleh tinggal di rumah sendiri (yang disewa dengan duit gajinya), makan minum ditanggung sendiri, tambang pergi-balik ke rumah majikan juga ditanggung olehnya, samalah seperti mereka yang bekerja di kedai dobi, di restoran dan di rumah asuhan kanak-kanak.

Persoalannya, dengan kerja separuh masa satu jenis ini berbaloikah majikan membayar RM700 sebulan? Terlalu tinggi jika kita mengambil kira bahawa majikan juga terpaksa menyediakan tempat tinggal dan menanggung kos makan minum amahnya. Apa penyelesaiannya? Baik kita hantar kain baju yang kotor ke kedai dobi - tak akan habis RM700 sebulan bagi satu keluarga kecil tujuh atau lapan orang. Pakaian dalam dan benda-benda kecil boleh dicuci sendiri. Cuma penatnya adalah dari segi menghantar longgokan kain kotor ke kedai dobi, tetapi ini boleh diatur dari segi urusan masa dan logistik seharian. Kalau dari segi keperluan memasak kita kena ubah paradigma sedikit, sama ada pesan makanan dari kedai (home delivery), bungkus bawa balik lauknya, nasinya masak sendiri. Sudah adapun khidmat seperti ini dalam konteks tiffin delivery (atau penghantaran "mangkuk lonjok") secara tetap.

Ramai orang Cina sudah lama berbuat demikian. Atau masak sendiri ala kadar, dengan suami sama-sama membantu. Lagipun terdapat banyak jenis bahan makanan yang separuh siap yang cuma memerlukan dibuka paketnya dan dicampak ke dalam kuali bersama sedikit air atau minyak. Bagi penjagaan kanak-kanak pula kita boleh gunakan khidmat taska atau hantar ke rumah jiran yang boleh dipercayai dengan bayaran yang berpatutan. Mengemas rumah sebenarnya bukan masalah besar. Yang bermasalah ialah kita yang tidak sanggup mengubah sikap atau paradigma tersebut. Kita kena sanggup membuat kerja mengemas rumah terutama pada hujung minggu (kita ada dua hari untuk berbuat demikian). Libatkan penyertaan anak-anak sebagai latihan untuk lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan bilik masing-masing, termasuk bilik air.

Cuba lihat dan bandingkan bagaimanakah pengurusan domestik di negara maju dan di Barat dilakukan. Kebanyakan kerja-kerja domestik dikongsi dan dilakukan bersama oleh suami isteri biarpun kedua-duanya bekerja dan mempunyai profesion masing-masing. Masalahnya di Malaysia, budayanya terlalu menjaga ego orang lelaki yang pantang masuk ke dapur, membantu isteri memasak atau memegang penyapu membersih rumah, apa lagi menyidai kain yang baru keluar dari mesin basuh. Kalau dia buat juga si suami jiran sebelah akan menyindirnya! Orang perempuan pula tidak mahu masuk ke dapur atau melakukan kerja-kerja domestik atas alasan dia juga bekerja untuk menjana pendapatan isi rumah. Yang lucunya ialah ada orang perempuan yang tak mahu mencuci pinggan, menyiang ikan dan sebagainya takut kalau-kalau kukunya yang siap digilap dan di sapu cutex itu patah! Kalau pemikiran seperti di atas dapat diubah, maka keperluan kepada orang gaji mungkin tidaklah begitu mendesak.

Bahkan di Barat masalah orang gaji tidak menjadi isu besar kerana terdapat pembahagian tugas yang sangat jelas dalam kerja-kerja domestik antara suami isteri. Hanya orang yang kaya melampau atau super-rich sahaja yang mampu menggunakan khidmat pembantu rumah, tetapi kebanyakannya tidak tinggal bersama di rumah majikan mereka. Mereka mempunyai jam dan waktu bekerja yang sudah ditetapkan. Selesai kerja, mereka pulang ke rumah masing-masing. Persoalan pokoknya, adakah kita benar-benar memerlukan orang gaji, tambah-tambah bagi wanita yang tidak bekerja dan menjadi suri rumah tangga sepenuh masa? Bahkan yang bermasalah sekarang ialah kita semua yang memaksa diri kita sendiri terlalu bergantung kepada orang gaji. Apabila permintaan kepada orang gaji terlalu mendesak, maka inilah peluang bagi Indonesia menekan kita dengan syarat-syarat yang tidakpun diguna pakai di seberang sana. Kita bukan lagi hidup dalam zaman batu. Kerja rumah banyak dipermudahkah dengan pelbagai peralatan untuk tugasan domestik-dari mesin basuh kain baju, mesin basuh pinggan mangkuk, penyedut hampa gas, pengilap lantai sehinggalah kepada pengisar dan pengadun, dapur gelombang mikro dan periuk nasi automatik. Maka tidak perlu lagi kita bergantung kepada lesung batu dan orang gaji berkepala batu.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
19 Mac 2012