JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



20 Mac 2012

ISU PENDIDIKAN : KE ARAH SISTEM PENDIDIKAN HOLISTIK

Oleh ROHAMI SHAFIE
PENULIS ialah Pensyarah Kanan
Perakaunan dan Kewangan Pusat Pengajian Perakaunan dan Felo Penyelidik
Institut Penyelidikan Pengurusan dan Perniagaan , Kolej Perniagaan, 
Universiti Utara Malaysia.


Rombakan menyeluruh dasar pendidikan yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini memberi seribu satu makna kepada sistem pendidikan negara pada masa akan datang. Sistem pendidikan negara kita sudah lama tidak dirombak iaitu sejak 1979 lagi. Pada asasnya, sistem pendidikan negara tidak boleh sesekali statik, sebaliknya perlu sentiasa dinamik mengikut keperluan pada masa hadapan. Atas tujuan ini, panel Pelan Pembangunan Pendidikan dan Perancangan Strategik Sistem Pendidikan ditubuhkan bagi mengadakan siri dialog pendidikan nasional yang dijadualkan diadakan bermula bulan depan. Apa yang menarik di sini adalah masih terdapat kelemahan dalam sistem pendidikan negara ketika ini yang perlu ditangani segera. Paling ketara sistem pendidikan negara terlalu menumpukan aspek kejayaan meritokrasi melalui penilaian berasaskan peperiksaan semata-mata dengan meminggirkan aspek akhlak mulia para pelajar.

Penerapan aspek akhlak dan adab mulia sepatutnya menjadi keutamaan tertinggi dalam membentuk karakter para pelajar. Negara kini dibelenggu pelbagai masalah sosial yang melibatkan generasi muda. Mungkin tidak keterlaluan dikatakan salah satu penyebab utama berlakunya kebejatan sosial adalah kerana pendidikan itu sendiri tidak boleh menjaga dan melindungi akhlak generasi muda. Lihatlah di sekeliling kita, bermula daripada kurangnya perasaan hormat generasi muda kepada orang tua sehinggalah jenayah berat seperti samseng jalanan, merompak, penagihan dadah dan memecah masuk rumah. Kebanyakan kes-kes jenayah ini melibatkan generasi muda. Senario ini tidak sepatutnya berlaku dalam suasana negara menuju ke arah negara maju pada tahun 2020. Akhlak dan adab perlu diberi penekanan menyeluruh dalam sistem pendidikan negara. Kejayaan sistem pendidikan yang berasaskan akhlak dan adab akan membentuk sifat-sifat mulia di kalangan generasi akan datang seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, sabar, tabah, cekal, yakin pada diri sendiri, mempunyai jati diri yang tinggi dan berani menyuarakan pendapat dengan cara yang berhemah.

Penulis tidak menafikan kepentingan pendidikan dalam memenuhi keperluan pasaran kerja. Para pelajar juga perlu berkemahiran tinggi dengan menguasai sains dan teknologi dan mempunyai keupayaan berfikir di luar kotak di samping kritis, analitikal, kreatif dan inovasi. Namun, kesemua ini tidak membawa apa-apa manfaat jika generasi muda 'kosong' akhlak dan rendah adabnya. Melalui penekanan akhlak dan adab jugalah kita tidak perlu sesekali sangsi atau ragu-ragu apa akan terjadi pada negara kita pada masa akan datang. Ketika itu, negara kita akan ditadbir oleh para pemimpin yang boleh dipercayai sepenuhnya. Sudah tentu, tiada siapa yang sanggup melihat negara kita berada di tangan para pemimpin yang sanggup menggadaikan masa depan negara demi kepentingan diri sendiri dan keluarga. Apalah gunanya kita melahirkan begitu ramai cerdik pandai yang akan menjadi pemimpin pada masa akan datang tetapi suka menipu, menyalah guna kuasa dan terlibat dengan rasuah.

Begitu juga, apalah gunanya kita berjaya membentuk ilmuwan yang hebat ilmunya, jika sekiranya mereka menggunakan ilmu tersebut untuk tujuan membangga diri, riak dan takbur walhal ilmunya hanya sedikit cuma berbanding ilmu Allah SWT. Tidak ketinggalan, tiada gunanya kita melahirkan ramai golongan yang kaya raya tetapi amat lokek dan tidak sanggup membantu golongan miskin yang memerlukan. Jika ini terjadi, punahlah kehidupan rakyat Malaysia dan negara kita pada masa akan datang. Jika dahulu, sesuatu yang luar biasa dipandang negatif tetapi kini banyak terdapat perkara yang luar biasa menjadi kebiasaan. Puncanya tidak lain tidak bukan kerana kurangnya pemahaman dan penghayatan agama yang akhirnya membentuk akhlak dan adab yang rendah di kalangan generasi muda.

Tanda-tanda kerosakan itu amat jelas sama sekali apabila ada golongan yang bermati-matian mempertahankan kesaksamaan seksual atau lebih dikenali sebagai pendokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transgender (LGBT). Mereka ini golongan cerdik pandai dan professional tetapi menjadi pendokong kuat LGBT. Di manakah silapnya sistem pendidikan negara kita? Perkara inilah yang perlu dikaji sedalam-dalamnya dan bukan sekadar melahirkan generasi muda yang dikatakan amat berjaya mengikut acuan sistem meritokrasi sedia ada. Penulis mengesyorkan agar sistem meritokrasi ini dikaji secara menyeluruh kerana tidak mustahil ia boleh membawa bahana kepada negara. Sebagai contoh, sistem ini telah menyebabkan ketidakseimbangan di antara para pelajar perempuan dan lelaki. Ambil contoh di universiti-universiti tempatan kadar peratusan para pelajar lelaki amat sikit sama sekali.

Maka, golongan perempuan akan mudah mendapat pekerjaan bergaji lumayan manakala lelaki pula sentiasa ketinggalan dan akhirnya ia boleh merosakkan institusi kekeluargaan pada masa akan datang. Kesannya bukan kepalang kerana ia boleh memberi implikasi sosial pada rakyat Malaysia. Justeru, sistem pendidikan negara pada masa akan datang memerlukan idea-idea bernas daripada tokoh-tokoh agama, guru-guru yang berkualiti, sabar dan ikhlas mengajar demi anak bangsa serta ibu bapa yang menaruh kepercayaan sepenuhnya pada sistem pendidikan. Jika ini dapat dilaksanakan dengan baik, tidak syak lagi, negara bakal melahirkan pelajar yang berkualiti dan mempunyai akhlak yang tinggi pada setiap masa.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Utusan Malaysia
20 Mac 2012

Tiada ulasan: