07 Mac 2012

ISU EKONOMI : TAHAP PENGETAHUAN PERBANKAN ISLAM PERLU DITINGKATKAN

OLEH
DR. AMIR SHAHARUDDIN
Timbalan Dekan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, USIM
Ahli Jawatankuasa Syariah, RHB Islamik


Institusi perbankan Islam di negara kita sekali lagi menerima kritikan. Kali ini berpunca daripada seorang pelanggan sebuah institusi perbankan Islam cawangan Kuching, Sarawak yang gagal menjelaskan pembiayaan perumahan. Setelah hampir tiga tahun pelanggan tersebut lewat membayar ansuran, maka pihak bank mengambil tindakan undang-undang. Mahkamah memutuskan supaya pelanggan terbabit perlu membayar balik 'hutang' beliau kepada bank sekiranya tidak mahu diisytihar bankrap. Rumah yang dibeli terpaksa dilelong. Disebabkan harga lelongan rumah (RM172,000) tersebut lebih murah dari harga beli (RM260,000), maka wang diperolehi tidak dapat menampung jumlah 'hutang' yang tertunggak. Tambahan pula, tuntutan yang dilakukan oleh bank adalah berdasarkan harga jual rumah iaitu RM633,000 dengan mengambil kira keuntungan dan kos pembiayaan dalam tempoh 30 tahun. Tidak puas hati dengan keputusan mahkamah, pelanggan tersebut mengadu dengan salah seorang Ahli Parlimen DAP. Selepas itu, kes ini diketengahkan dan mula mendapat perhatian lebih luas daripada pihak media.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) campur tangan dengan mendakwa institusi-institusi perbankan Islam mempergunakan perkataan 'Islam' untuk menindas para pelanggan. PPIM turut mendakwa mereka sedang mengurus beribu-ribu kes yang serupa. Penasihat-penasihat Syariah juga dituduh tidak bebas dalam memberi pandangan kerana elaun mereka dibayar oleh pihak bank. Sejak itu, isu ini bertukar menjadi isu industri perbankan Islam di Malaysia. Ia bukan lagi isu yang perlu ditangani oleh institusi perbankan Islam berkenaan secara sendirian. Maka, Persatuan Institusi Perbankan Islam Malaysia (AIBIM) tampil memberikan penjelasan. AIBIM menafikan dakwaan kononnya mereka mempergunakan perkataan 'Islam' untuk mengaut keuntungan. Tegas AIBIM, semua produk perbankan Islam adalah menepati garis panduan yang ditetapkan oleh syarak. Pada hemat saya, isu sebegini menunjukkan bahawa tahap pengetahuan masyarakat tentang konsep dan produk perbankan Islam masih rendah. Dalam kes ini, pembiayaan perumahan dibuat dengan melaksanakan kontrak jual beli.

Pihak bank Islam menyediakan kemudahan pembiayaan perumahan dengan membeli rumah dengan harga RM260,000 secara tunai dan menjualkan semula rumah tersebut kepada pelanggan dengan harga RM633,000 secara ansuran selama 30 tahun. Apabila pelanggan gagal menjelaskan ansuran maka pihak bank berhak membawa kes ini ke mahkamah. Semasa perbicaraan, bank juga pada dasarnya berhak membuat tuntutan ke atas harga jual rumah. Ini kerana pelanggan bersetuju membeli rumah tersebut dengan harga RM633,000 yang akan dilangsaikan dalam tempoh 30 tahun. Namun begitu, apabila berlaku kegagalan pembayaran ansuran, bank-bank Islam akan memberi ibra' (rebate) seperti mana diwajibkan oleh Bank Negara Malaysia. Kerugian pelanggan RHB Islamik di Sarawak ini agak besar kerana nilai hartanah yang dibeli telah merosot. Hasil jualan rumah tidak dapat menampung tunggakan ansuran sekalipun setelah pihak bank memberi ibra'.

Keadaan mungkin berbeza sekiranya hartanah yang dibeli melonjak nilai. Sekiranya pelanggan berjaya memperolehi keuntungan tinggi daripada hasil jualan rumah, kemungkinan besar isu ini tidak akan timbul. Apabila pelanggan tidak rugi apa-apa (walaupun tidak membayar tunggakan ansuran), soal penyelewengan perkataan 'Islam' oleh institusi perbankan Islam tidak akan dibangkitkan. Jadi, wajarkah institusi perbankan Islam dipersalahkan oleh pelanggan hanya apabila mereka mengalami kerugian? Tahap pengetahuan tentang perbankan Islam yang amat rendah di kalangan masyarakat berpunca daripada beberapa faktor. Punca utamanya adalah kakitangan bank-bank Islam sendiri masih kabur dengan produk-produk perbankan Islam yang mereka tawarkan. Apabila ditanya tentang perbezaaan produk perbankan Islam dan konvensional, seringkali jawapan yang diberikan ialah perbezaaan hanya pada warna borang! Justeru, dalam usaha kita meningkatkan pengetahuan masyarakat tentang hal ini, perhatian perlu diberikan oleh institusi-institusi perbankan Islam untuk memastikan semua staf mereka dapat memahami dan menguasai ciri-ciri produk perbankan yang ditawarkan.

Para pelanggan mahukan penjelasan yang jelas tentang kelebihan produk perbankan Islam berbanding dengan produk perbankan konvensional. Selain itu, isu ini juga menggambarkan bahawa penetapan kadar keuntungan yang dilakukan oleh institusi-institusi perbankan Islam sering menjadi persoalan di kalangan para pelanggannya. Bagaimanakah institusi-institusi perbankan Islam menetapkan kadar keuntungan dari pembiayaan perumahan, kereta dan pembiayaan peribadi? Dalam kes ini misalnya, apakah asas timbangan bagi sebuah institusi perbankan Islam yang meletakkan harga jual RM633,000 bagi rumah yang kosnya ialah RM260,000? Saya berpandangan harga yang tinggi ini berpunca kerana institusi-institusi perbankan Islam masih lagi menyandarkan kadar keuntungan mereka kepada interest rate yang diamalkan oleh institusi perbankan konvensional. Oleh itu, setelah lebih 25 tahun beroperasi, sudah sampai masanya institusi-institusi perbankan Islam membangunkan penanda aras harga (pricing benchmark) mereka sendiri.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
UTUSAN MALAYSIA
7 MAC 2012

05 Mac 2012

ISU UMUM : MISTERI IBU KOTA BARU MYANMAR KIAN TERUNGKAI

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


NAYPYIDAW, ibu kota Myanmar yang baru, jika diterjemahkan ke bahasa Melayu membawa maksud tempat bersemayam atau singgahsana diraja. Berdasarkan kemewahan fizikal bandar raya yang terletak kira-kira 350 kilometer ke utara Yangon itu, Naypyidaw memang layak digelar sedemikian. Bezanya, Myanmar sudah lama tidak menggunakan sistem beraja dan sejak hampir setengah abad sehingga tahun lalu, ‘negara seribu pagoda’ itu diperintah oleh rejim tentera.  Walaupun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Pusat sejak 2005, tidak ramai termasuk rakyat Myanmar sendiri yang mempunyai maklumat sebenar mengenai Naypyidaw, apa lagi mengunjungi bandar itu. Malah, beberapa pegawai kanan kerajaan yang kami temui di sana minggu lalu, saling mengelak mengenai kos sebenar pembinaan ibu kota itu. Namun, mereka menegaskan, kerajaan tidak membuat sebarang pinjaman dalam membina ibu kota yang tersenarai antara sepuluh bandar raya dunia paling pesat membangun itu.

Pemimpin kerajaan tentera Myanmar, Jeneral Than Shwe tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi kenapa beliau secara tiba-tiba memindahkan pentadbirannya dari Yangon pada November 2005, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terutama daripada media Barat, yang sejak sekian lama melihat negara itu dan kerajaannya dari sudut negatif. Teori paling popular di sebalik pemindahan pusat pentadbiran yang mula dibina pada 2003 itu ialah nasihat tukang tilik kepada Presiden Shwe kononnya untuk mengelak daripada serangan asing dan kebangkitan rakyat. Ada juga yang menuduh ketua junta itu mahu mengikut jejak raja-raja Burma (nama lama Myanmar) sebelum era penjajahan dulu yang sering memindahkan ibu kota mereka. Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai teori itu, angka yang dipilih sebagai tarikh pemindahan dilihat mempunyai kaitan ramalan astrologi. Pemindahan pertama kakitangan kerajaan ke Naypyidaw dilakukan tepat pada jam 6.37 pagi 6 November. Lima hari selepas itu, pada jam 11 pagi 11 November 2005, konvoi kedua merangkumi 1,100 trak tentera yang membawa 11 batalion askar dan 11 kementerian, meninggalkan Yangon.

Pada akhir Februari 2006, semua kakitangan kerajaan berpindah ke sana walaupun belum membawa keluarga mereka disebabkan banyak kemudahan termasuk sekolah dan rumah kediaman belum siap. Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Myanmar menjelaskan, langkah memindahkan pusat pentadbiran itu disebabkan Yangon kini terlalu sesak dan padat sehingga sukar membina kompleks pejabat kerajaan bagi menampung keperluan akan datang. Tarikh pemindahan juga, katanya, memang dirancang dan diberitahu kepada kakitangan yang terbabit.  “Lagipun, berbanding Yangon yang jauh di selatan, Naypyidaw terletak di tengah-tengah Myanmar dan dianggap lebih sesuai sebagai ibu kota. Pembinaan dan pemindahan ini memang dirancang teliti, bukannya terburu-buru seperti dilaporkan media Barat,” katanya.  Rakyat Malaysia yang kali pertama ke Naypyidaw tidak dapat mengelak daripada membandingkannya dengan Putrajaya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak persamaan dari segi landskap, keseragaman bangunan kementerian, perancangan bandar, malah jambatan yang melintasi tasik buatan manusia. Sama seperti Putrajaya yang diletakkan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan, Naypyidaw ditadbir di bawah Wilayah Kesatuan.

Bezanya, kawasan Naypyidaw jauh lebih luas (7,054.37km persegi) yang dibahagikan kepada lapan zon – perumahan, ketenteraan, kementerian, perhotelan, kawasan beli-belah, rekreasi, antarabangsa dan Pagoda Uppatasanti. Selain itu, Naypyidaw mempunyai lapangan terbangnya sendiri, lima padang golf dan sekurang-kurangnya 10 hotel bertaraf empat bintang ke atas, sudah beroperasi.  Kecuali zon ketenteraan yang menjadi kawasan larangan, pihak berkuasa sudah mula membenarkan kunjungan orang awam. Malah, kumpulan wartawan penyiaran dari ASEAN yang mengunjungi Naypyidaw minggu lalu, bebas merakam video termasuk kompleks Parlimen dan bangunan kementerian, sesuatu yang mustahil dilakukan sebelum ini. Berbanding Putrajaya yang semakin sibuk dan sesak sekarang, Naypyidaw, yang menurut statistik 2009, mempunyai 925,000 penghuni, jauh lebih lengang dan sunyi. Walaupun jalannya amat lebar sehingga 10 lorong di sesetengah kawasan, belum banyak kenderaan menggunakannya. Malah, jumlah kenderaan yang memotong atau berselisih dengan bas mini kami boleh dibilang jari sepanjang enam jam perjalanan di lebuh raya empat lorong dari Yangon ke Naypyidaw.

Ketika ini kerja membina kompleks sukan yang merangkumi beberapa stadium sebagai persediaan menganjurkan Sukan Asia Tenggara tahun depan, giat dilaksanakan. Sidang Kemuncak ASEAN juga akan diadakan di sana apabila Myanmar mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN mulai 2014. Barangkali, selepas menerima lebih banyak kunjungan masyarakat antarabangsa nanti, misteri ibu kota moden di negara termundur ini, semakin terungkai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 MAC 2012

ISU EKONOMI : BLUES TRANSFORMASI

Oleh Idris Jala
Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU. Maklum balas dan komen amat dialu-alukan. idrisjala@pemandu.gov.my


Perjalanan menuju kemakmuran bukannya mudah tetapi dengan usaha dan sikap yang betul, ia boleh dicapai. Saya adalah seorang pemuzik amatur yang dianugerahkan bakat bermain gitar dan menyanyi. Saya suka semua jenis muzik tetapi hanya blues yang bermain di hati. Kita semua tahu apa itu blues – ringkas, telus, muzik yang penuh perasaan dengan rentak dan irama yang tetap, memberikan ruang untuk nyanyian dan solo muzik. Dalam erti kata lain, ia adalah rentak yang sangat menyenangkan. Tetapi bagi saya, menyanyikan irama blues bermakna kita harus lambat laun berganjak daripadanya walaupun anda terpaksa meluahkan segala masalah dan bersedih sementara. Inilah inti pati kolum ini. Saya berasa sangat bertuah kerana terbabit dan mengetuai satu daripada projek paling mengujakan. Apa lagi yang lebih bermakna daripada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan agama?

Sebesar mana pun harapan saya bahawa kita dapat melakukannya, saya tidaklah terlalu naif untuk menyangka bahawa impian ini boleh dicapai tanpa menempuh sebarang masalah dan cabaran.  Jadi, benarkanlah saya dendangkan blues transformasi – Di sini, saya akan kemukakan masalah besar yang menghantui program untuk mentransformasikan kita menjadi negara berpendapatan tinggi. Selepas itu kita ikuti dengan apa yang sedang dilakukan sebagai jalan penyelesaian. Satu perkara yang menjadi sebahagian daripadanya ialah untuk kami memberikan penerangan untuk maklumat yang tidak tepat. Pada kami, adalah amat penting bagi anda sebagai rakyat Malaysia untuk memahami apa yang sedang diusahakan di sini dan memaklumkan kami jika ada seba-rang kesilapan serta jalan penyelesaian sebenarnya. Alamat e-mel akan dipaparkan di penghujung kolum. Kami berjanji akan membaca setiap maklum balas dan jika bertepatan, akan menjawab sebahagiannya di sini. Kami cuma memohon tiga perkara daripada anda – apa-apa pun haruslah adil, bertimbang rasa dan realistik.

Perkara pertama yang ingin saya terangkan di sini ialah konsep pendapatan yang adalah ciri utama kepada keseluruhan konsep transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi. Pada tahap manakah pendapatan kita perlu capai baru layak digelar negara yang berpendapatan tinggi dan mencapai kemajuan? Bagaimanakah kita dapat mencapainya? Apakah ukurannya dan dapatkah kita mencapainya? Banyak yang telah diperkatakan mengenai cara kami mengukur pendapatan, termasuk tahap pendapatan pada 2020 dan ada kemungkinan yang kami tidak mengambil kira pendekatan yang sepatutnya dalam hal ini. Ada juga yang telah menyatakan bahawa langkah digunakan tidak betul – ini tidak sama sekali. Penggunaan definisi dan metodologi global adalah disengajakan, contohnya pendekatan dan tanda aras Bank Dunia. Sebagai penjelasan yang tidaklah terlalu teknikal, kami menggunakan anggaran nominal pendapatan negara berpendapatan tinggi dan kemudian menggunakan unjuran kadar inflasi, bagi mendapatkan hasil dalam dolar AS pada 2020.

Maka, jumlah lebih kurang AS$15,000 untuk setiap orang telah ditetapkan pada RM48,000, berdasarkan unjuran tukaran wang asing iaitu 3.2 ringgit berbanding dolar AS. Kadar semasa yang hampir mencecah 3.0 bermakna jika kadar ini berterusan, sasaran akan menjadi lebih rendah daripada RM45,000. Pada 2009, pendapatan kita berdasarkan kadar tukaran wang asing perkapita ialah AS$6,700. Sememangnya kita mempunyai perjalanan yang masih jauh tetapi kita sudah pun berada pada landasan betul. Dengan ini, kami unjurkan jumlah penduduk pada 2020 dan gandakannya dengan pendapatan perkapita untuk mengetahui anggaran jumlah pendapatan negara. Ini membolehkan kami membuat unjuran ke belakang bagi mengetahui anggaran kadar pertumbuhan yang diperlukan untuk mencapainya. Unjuran kadar inflasi kemudian ditolak untuk memperoleh kenaikan kadar pendapatan sebenar atau boleh guna yang diperlukan sebuah negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi – ia dianggar lebih kurang 6 peratus setahun, dengan mengambil kira faktor ini tidak berubah.

‘Pendapatan Boleh Guna’ di sini bermaksud pendapatan yang diselaraskan dengan inflasi dan memaparkan peningkatan sebenar pendapatan walaupun selepas mengambil kira peningkatan harga. Pendapatan kasar negara atau PNK adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar sebenar dicampur dengan pendapatan dari luar negara. Kaedah pendekatan kami amat teliti memandangkan pencapaian kami telahpun ditinjau dan disahkan oleh firma akauntan dan panel pakar antarabangsa. Tambahan pula, panel pakar antarabangsa juga berkongsi pandangan dari perspektif luaran untuk memastikan segalanya berpandukan amalan pengurusan terbaik bertaraf global. Tidak langsung menjadi niat kami untuk memperdayakan sesiapa mengenai prestasi kami. Perkara seterusnya ialah mencapai sasaran. Pada asasnya, kita mengenal pasti projek utama yang ada dalam tangan dan menganggarkan sumbangannya terhadap ekonomi, terutama yang mendatangkan peningkatan pendapatan.

Kami tidak sama sekali mengatakan semuanya di sini tepat dan yang paling jitu, tetapi ini adalah unjuran kami yang terbaik dan yang telah tepat tetapi beginilah anggaran terbaik kami buat masa itu. Agak mustahil bagi mana-mana sebuah negara untuk mengukur dan meramalkan pertumbuhan ekonominya dengan tepat. Di samping itu, anggaran ini juga adalah satu sasaran. Pendek kata, jika sasaran ini dapat dicapai setiap tahun, matlamat kita pasti dapat dijayakan. Sasaran ini bersifat dinamik dan sudah tentu akan sentiasa berubah mengikut masa. Jika terdapat kekurangan, ini bermaksud kita perlu lebihkan usaha. Jika hasilnya cemerlang maka kita menadah tangan sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan.  Memang benar, ada pelbagai risiko dan cabaran bagi sasaran yang kami tentukan. Tetapi bak kata pepatah, kita hendaklah pecahkan ruyung barulah dapatkan sagunya. Situasi ekonomi dunia yang tidak menentu mungkin akan berlarutan lebih lama daripada jangkaan dan kita tidak terlindung daripada perubahan dunia. Kemungkinan pelaburan daripada sektor swasta tidaklah sebanyak yang dijangka.

Namun, di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, kami sedang memudahkan kerajaan menguruskan segala usaha meningkatkan pendapatan, tanpa mengira daripada siapa. Kami juga akan memantau dan apabila diperlukan, mengesyorkan perubahan yang berpatutan untuk meletakkan kita kembali ke landasan sasaran. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: “Pada penghujung tahun lalu, pendapatan perkapita Malaysia meningkat lebih daripada RM29,000 (AS$9,400).” Berasaskan harga semasa, ini adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM26,174 (AS$7,985) pada 2010 dan RM23,850 (AS$6,677) pada 2009. Ini adalah lonjakan besar jika dibandingkan kepada RM1,070 (AS$347) pada 1970. Laporan penuh mengenai prestasi ETP 2011 akan diterbitkan oleh kerajaan April ini. Peningkatan pendapatan kita dua tahun lalu menunjukkan kita berjaya mencapai sasaran yang kita tetapkan untuk Malaysia. Jika projek di bawah ETP dan beberapa projek lain diterima, kami akan laksanakan. Kami juga mungkin akan melihat penubuhan projek persendirian yang mengambil kesempatan terhadap peluang yang muncul di sini. Ini kami anggap sebagai sesuatu yang positif.

Ini menunjukkan kita telah mencapai kemajuan yang baik sebagai sebuah negara. Di bawah pimpinan Perdana Menteri, kita sedang menuju ke arah mentransformasikan ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Kerja keras, dedikasi masa dan pendekatan yang fokus sedang dilaksanakan untuk memastikan Malaysia berjaya di arena tempatan dan global.  Setiap rakyat Malaysia boleh menyertai perjalanan ini. Hanya dengan berkerja keras dan dengan lebih kebijaksanaan, anda boleh membantu menambahkan keuntungan majikan dan juga dengan harapan mengembangkan diri sendiri. Dengan cara ini, kita semua sebagai rakyat Malaysia boleh terus maju ke hadapan untuk bersama mencapai impian menjadi negara berpendapatan tinggi dan mencipta masa depan lebih baik untuk kita. Itulah inti pati sebenar transformasi.

Bersama kita boleh lakukannya.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 MAC 2012

04 Mac 2012

ISU ANTARABANGSA : GREECE MASIH CARI JALAN PENYELESAIAN ATASI KRISIS EKONOMI

Oleh Jean Pisani-Ferry
Penulis ialah Pengarah Bruegel, sebuah kumpulan pemikir ekonomi antarabangsa; Profesor Ekonomi di Universiti Paris-Dauphine dan anggota Penganalisis Majlis Ekonomi Perdana Menteri Perancis


Tindakan untuk mencari ‘kambing hitam’ atau siapa patut dipersalahkan dalam kes muflis Kerajaan Greece belum lagi bermula dalam kalangan anggota Kesatuan Eropah (EU).  Negara yang dilanda krisis ekonomi terburuk ini masih ‘selamat’ kerana satu perjanjian dimeterai dengan kreditor swasta dan bantuan sektor awam dijangka membolehkan Greece membayar semula pinjaman mengikut jadual pada 20 Mac ini. EU patut dipuji kerana mengakui ia adalah krisis dan mengambil langkah tegas untuk menanganinya. Kreditor swasta sudah menerima hakikat dan bersetuju menuntut 50 peratus daripada jumlah pinjaman dan menurunkan kadar faedah – sekali gus melegakan beban hutang Greece kepada lebih dua pertiga. Ketika langkah penyelesaian ditemui dalam suasana begitu mencengkam, ramai percaya ia sekadar menunda isu sebenar iaitu Greece tidak mungkin mampu menunaikan semua janji dan krisis ini mungkin berakhir sama ada – negara ini membuat keputusan untuk keluar atau disingkir daripada EU.

Sebelum perjanjian terkini dibuat, pemimpin politik di Belanda, Finland serta Jerman, lantang menyuarakan persoalan mengapa Greece patut terus kekal dalam EU.  Di Athens, desakan ini sudah mencapai tahap baru, pertelingkahan merebak dengan kadar semakin berbahaya dan mengingatkan sejarah mengenai ganti rugi perang dari Jerman pada 1920-an.  “Siapa kehilangan China?” soal seorang pakar strategi Amerika pada 1950-an, berikutan kemenangan parti komunis Mao Zedong pada 1949. Negara Eropah mungkin mula bertanya soalan sama tidak lama lagi, tetapi kali ini membabitkan Greece. Pengkhianat utama sudah tentu rakyat Greek sendiri. Kelemahan terutama pemimpin politik yang gagal menentukan hala tuju negara menjerumuskan mereka ke jurang kejatuhan begitu serius - sistem perlindunganlah meracun kerajaan.  Indeks rasuah Transparency International meletakkan Greece di tangga ke-80 dan pada September, 2011, perbendaharaan negara itu menyelesaikan 31 daripada 75 audit cukai individu berpendapatan tinggi.

Amat mudah melihat dari satu sudut, dan meletak kelemahan lain sebagai tanggungjawab Eropah.  Kesilapan pertama EU ialah mereka tidak mengendahkan masalah Greece berbulan-bulan, dengan hanya memberi program bantuan tidak realistik iaitu bagi mengembalikan Greece ke pasaran saham pada 2013. Kini amat jelas langkah untuk memulihkan ekonomi dan membetulkan ketidakseimbangan negara itu akan memakan masa bertahun-tahun, mungkin satu dekad.  Kesilapan kedua Eropah ialah ketidaksungguhan pada peringkat awal untuk menyelesaikan krisis. Dua strategi boleh dilakukan iaitu sama ada mengurangkan hutang kerajaan lebih awal atau menyusun semula hutang Greece atas alasan untuk mempertahankan reputasi kolektif semua negara Eropah.  Satu daripada strategi ini logik, tetapi Jerman dan Perancis menganggap ia tidak boleh digunakan. Jerman dan Perancis sengaja menganggap Greece sudah mencari (solven) dan memberi pinjaman pada kadar faedah begitu tinggi, sekali gus membuatkan keadaan menjadi semakin parah. Greece memerlukan tempoh 18 bulan untuk menghapuskan polisi ini.

Kesilapan ketiga ialah mereka gagal menyenaraikan keperluan dan kepentingan mengikut keutamaan. Dari luar krisis ini, Tabung Mata Wang Antarabangsa (IMF) mengesan dua masalah berkembar – sistem kewangan awam lemah dan kerugian persaingan yang serius.  Malangnya, pembuat dasar hanya memberi fokus pada kelemahan pertama, dan menaruh harapan perubahan struktur akan menyelesaikan isu kedua. Pihak berkuasa Greece melabur kebanyakan modal yang tidak seberapa ke atas penyesuaian belanjawan, bukannya membina ekonomi yang kompetitif.  Program dirancang kini berada di fasa akhir untuk membetulkan landasan semua keperluan dan kepentingan terbabit – meletakkan persaingan dan pertumbuhan mendahului pengukuhan belanjawan. Bagaimanapun, persoalan yang terus bermain di fikiran ialah mengapa keputusan ini perlu menunggu hampir dua tahun untuk dileraikan.  Keempat, tiada tindakan tegas untuk mengukuhkan pertumbuhan. Program penyesuaian penting untuk mengurangkan kemelesetan, tetapi ia memerlukan mekanisme lebih kukuh untuk pemulihan ekonomi.

Secara prinsip, Greece sebenarnya boleh menerima bantuan pembangunan serantau lebih besar daripada EU. Dana ini tidak banyak digunakan kerana kelemahan pembiayaan bersama peringkat tempatan.  Kelemahan ini hanya disedari musim panas lalu – itu pun pada darjah kesedaran sederhana – apabila ada pihak akhirnya menyedari bantuan ini boleh digunakan untuk menyokong usaha pemulihan ekonomi.  Kesilapan terakhir Eropah ialah tidak mengambil berat untuk berkongsi beban antara negara anggota. IMF sebagai institusi teknokrat tidak akan terbabit secara melampau dalam ekonomi makro tetapi EU ialah entiti politik yang menjadikan keadilan sosial sebagai satu daripada matlamat asasnya. Di sebalik kritikan ini, Eropah tidak boleh dipersalahkan kerana tindakan keras ke atas Greece. Peraturan tegas perlu terutama membabitkan bantuan kewangan kepada negara yang mencatat ketidakseimbangan ekonomi yang serius.  Cuma EU boleh ditegur kerana lewat bertindak, mencadangkan program bantuan tidak wajar, tidak seimbang dan tidak membantu. Jika persoalan siapa yang menyebabkan ‘kehilangan’ Greece muncul satu hari nanti, cukup ramai untuk dipersalahkan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
4 MAC 2012

ISU ANTARABANGSA : KAJIAN SEMULA DASAR TERBUKA VISA DAN PAS LAWATAN PELAJAR

Oleh Anwar Patho Rohman
wananwar@bharian.com.my


Laporan  Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), November lalu, mendedahkan kumpulan mafia dadah antarabangsa dari Afrika dan Iran semakin aktif dalam pengedaran methamphetamine di Asia Tenggara hingga ke Asia Timur. Pil rangsangan (ATS) termasuk amphetamine dan methamphetamine atau syabu menjadi dadah pilihan di kebanyakan bahagian di Asia Tenggara dan Asia Timur, khasnya sejak 1990-an, menggantikan dadah berasaskan tumbuhan seperti heroin, candu dan ganja. Ia mudah dihasilkan di mana saja dan memberi keuntungan lumayan menerusi pelaburan kecil. Peningkatan penggunaan dadah itu dilaporkan oleh kebanyakan negara di rantau ini terutama pada 2010 dan tahun lalu.  Penjenayah Afrika yang terbabit dalam jual beli kokain dan heroin beralih kepada penyeludupan ATS, manakala kumpulan Iran dikenal pasti sebagai ancaman besar penyeludupan dadah di rantau ini.

Tidak hairanlah Malaysia berjaya menahan seramai 228 penyeludup dadah dari Iran pada 2009 hingga 2010 kerana menyeludup methamphetamine.  Sepanjang tahun lalu saja, Kastam Diraja Malaysia (KDRM) merampas pelbagai jenis dadah seberat 187.45 kilogram (kg) bernilai lebih RM34 juta selepas mematahkan 39 cubaan menyeludup masuk bahan terlarang itu ke Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang.  Rampasan paling banyak membabitkan dadah jenis methaphetamine atau syabu iaitu 125.2kg (RM31.78 juta), diikuti ketamin 47.55kg (RM666,585); eramin sebanyak 9.5kg (RM958,000); heroin 3.21 kg (RM640,000) dan ganja 1.8 kg (RM4,320).  Sepanjang tahun lalu, KDRM KLIA menahan 30 suspek, sembilan warga Nigeria, enam rakyat Malaysia, lima India, tiga Iran, dua Cyprus dan masing-masing seorang warga Vietnam, Sweden, Pakistan, Sierra Leone serta Azerbaijan kerana disyaki menjadi keldai dadah sindiket penyeludupan dadah antarabangsa.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini saja, ada tiga kes warga asing khasnya dari Iran ditahan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) dan KDRM kerana kesalahan menyeludup dadah di KLIA atau memproses dadah di banglo mewah di ibu negara.  Ada beberapa faktor yang mendorong kepada perkara ini berlaku antaranya, tahap keselamatan di pintu masuk negara yang lemah di samping sikap ‘tidak apa’ di kalangan pegawai yang menjaga keselamatan pintu masuk negara.  Mungkin tidak adil menuduh pegawai jabatan kerajaan bersikap sambil lewa, tetapi penyeludupan dadah boleh dihalang jika semua pihak mempunyai inisiatif untuk mengetatkan pemeriksaan dan pemantauan di setiap pintu masuk negara ini.  Justeru, cadangan KDRM sebelum ini yang mahu menempatkan mesin pengimbas canggih dan berteknologi tinggi amat dialu-alukan bagi mengatasi jenayah penyeludupan dadah berleluasa di lapangan terbang atau pelabuhan di negara ini.

Pada masa sama, pakar kriminologi, Datuk Akhbar Satar, berkata agensi penguatkuasaan mempunyai pelbagai alternatif untuk mengekang jenayah ini seperti menambah pegawai risikan yang cekap dan berpengalaman serta berintegriti tinggi.  Katanya, pegawai risikan ini perlu bertanggungjawab, tidak mudah digoda dengan rasuah sehingga bersikap ‘tutup mata’ dengan tidak memeriksa barang atau bagasi suspek yang disyaki penyeludup dadah.  “Agensi keselamatan perlu memiliki alat pengesan atau pengimbas dadah untuk mengawal kemasukan dadah atau barang larangan lain. Walaupun begitu, kita tahu penjenayah juga bijak. Mereka akan mencari jalan untuk mengatasi masalah ini.  Kita hanya perlu memiliki alat lebih canggih,” katanya.  Beliau mengambil contoh, pihak keselamatan lapangan terbang di luar negara seperti di Melbourne, menempatkan pegawai berserta seekor anjing pengesan untuk menghidu dan memeriksa bagasi yang disyaki mengandungi bahan larangan seperti dadah.

Satu lagi kelemahan yang perlu diambil perhatian sistem saringan dan keselamatan kemasukan warga asing ke Malaysia, kata Akhbar, ialah dasar terlalu terbuka dalam pemberian visa atau pas lawatan pelajar kepada warga asing khasnya dari Iran dan Afrika.  “Ada yang menyalahgunakan pas pelajar untuk menjalankan kegiatan pengedaran dadah. Kementerian Pengajian Tinggi juga perlu membantu pihak penguatkuasa bagi mengatasi masalah ini," katanya.  Beliau juga tidak menolak kebanjiran warga asing ke negara ini seperti Iran di Nilai 3, Negeri Sembilan, mendorong warga negara itu menyeludup dadah ke negara ini bagi memenuhi keperluan rakyat negara itu yang diketahui bebas mengambil dadah di tempat mereka.

Mengulas mengenai kecenderungan warga asing ini menjadikan banglo mewah atau kondominium untuk dijadikan makmal memproses dadah, Akhbar berkata, ia menunjukkan penjenayah asing sudah mengkaji kelemahan sistem keselamatan negara ini.  Justeru, beliau mencadangkan supaya pihak berkuasa di pintu masuk negara supaya membuat laporan profil terhadap warga asing yang disyaki menjadi kumpulan pengedaran dadah ke negara atau rantau ini.  Beliau berpendapat, permintaan dadah methamphetamine yang tinggi di Malaysia dan rantau ini mendorong mafia dadah berlumba-lumba menyeludup dadah menerusi negara ini, yang akhirnya mencemar dan memburukkan nama negara.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA MINGGU
4 MAC 2012

ISU UMUM : 10 CARIAN YOUTUBE TERHANGAT

Oleh KHAIRUNNISA SULAIMAN


YOUTUBE telah menjadi era video atas talian yang banyak mempopularkan penyanyi baru seperti Justin Bieber dan Yuna serta Najwa Latif. Maklumat terkini mendapati Bieber masih menerajui senarai apabila klip video Baby berjaya menarik lebih setengah juta penonton. Muzik video oleh Jennifer Lopez bertajuk On The Floor pula menduduki tangga kedua dengan 500 juta penonton dalam masa 10 bulan. Video pelawak Judson Laipply dengan tajuk Evolution of Dance yang pernah menduduki tempat pertama dengan hampir 56 juta penonton sekarang terkeluar daripada senarai 10 teratas. Pada September 2008, Avril Lavigne dengan video muzik pop Girlfriend pernah berada di tangga teratas dengan 103 juta penonton. Video Charlie bit my finger - again! yang tidak ada kena-mengena dengan artis popular juga pernah berada di tangga teratas dengan 148 juta penonton pada 2010. Namun mulai Januari 2011, Bieber mula menunjukkan penguasaannya di alam maya apabila menguasai tempat teratas dengan lebih 400 juta penonton bagi klip video Baby.

Sehingga artikel ini ditulis, kedudukannya masih tidak berubah dan telah ditonton sebanyak 684,597,595 kali. Youtube telah mempopularkan ramai artis yang sebelum itu tidak mempunyai nama besar pun. Antara yang mencipta fenomena hasil muat naik klip video di Youtube ialah Dhanush. Tidak sah menjadi peminat Youtube jika tidak pernah menonton video Kolaveri Di - soundtrack lagu daripada filem Tamil yang digubah oleh pengarah muzik Anirudh dan ditulis dan dinyanyikan oleh Dhanush. Ia ditonton oleh 18.5 juta penonton dalam masa lapan hari. Kolaveri Di secara rasmi dilancarkan pada 16 November 2011 dan seakan-akan virus yang menyerang laman rangkaian sosial kerana lirik Tanglish (gabungan Tamil dan Inggeris). Senikata lagunya yang lucu dan mencuit hati menjadi kegilaan bukan saja di India bahkan seluruh Asia dan beberapa negara Eropah. Dalam masa seminggu, YouTube menganugerahkan Pingat Emas Paling Popular dan Pingat Perak kerana menerima bilangan hit yang tinggi dalam masa yang singkat.

Fenomena

Bukan saja di peringkat global malah di negara ini, YouTube juga menjadi satu fenomena baru bagi memperkenalkan bakat baru. Imratul Najwa Abdul Latif atau nama glamornya Najwa Latif yang popular dengan lagu Cinta Muka Buku mengembangkan bakat dan minatnya melalui YouTube. Ana Rafali yang tidak asing lagi bagi peminat hiburan tanah air juga bermula dengan video klipnya di YouTube Tampil berbaju kurung memetik gitar dan menyanyi, dia pantas meraih populariti. Bermula dengan memperkenalkan lagu-lagu ciptaan sendiri di laman Youtube, dia akhirnya melebarkan sayap dalam bidang seni sehingga menarik perhatian komposer Aidit Alfian dan mendapat peluang bergandingan dengan nama besar seperti Sohaimi Mior Hasan.

Seorang lagi anak kelahiran Malaysia, Zee Avi atau Izyan Alirahman, juga mula dikenali di YouTube melalui lagu Kantoi dan kini mengukir nama di luar negara. Begitu juga Yuna yang mula dikenali dengan lagu Yang Sebenarnya di YouTube kemudian menjadi artis yang dikagumi di Malaysia dan kini mengembangkan sayapnya ke Amerika Syarikat (AS). Seorang lagi yang mengecapi populariti melalui YouTube ialah Cikgu Shida tetapi bukan mempertaruhkan vokal, sebaliknya menarik perhatian dengan aksi lucunya mengikut gerak bibir (miming) lagu popular. Antaranya lagunya adalah Kalau Berpacaran, Wakakaka Africa Cari Jodoh, Jahat, Yunk dan banyak lagi. Pokoknya, tidak susah hendak popular. Apa yang diperlukan adalah sedikit kreativiti. Bak kata pepatah, di mana ada kemahuan di situ ada jalan!

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012

ISU UMUM : KOPITIAM PUN MILIK MEREKA

Dari Jakarta Saharudin Musthafa
  

Tidak  pasti sama ada mahu ketawa atau marah sebaik mendengar berita seorang pengusaha perniagaan kopitiam tempatan Indonesia, Abdul Alek diberikan hak eksklusif untuk menggunakan perkataan "kopitiam" pada restoran yang diusahakan beliau. Barangkali, kerana menyedari potensi perniagaan kopitiam berkembang luas di Indonesia, Abdul Alek awal-awal lagi membuat keputusan untuk mendaftar perkataan kopitiam pada pihak berwajib pada tahun 1996 sebagai hak miliknya seorang. Tindakan itu sebagai persediaan bahawa jangan ada mana-mana ahli perniagaan lain yang berani menggunakan perkataan kopitiam pada restoran yang diusahakan mereka. Abdul Alek bukan main-main dalam hal itu. Dia berjaya memperoleh hak eksklusif untuk menggunakan perkata kopitiam apabila mahkamah memberi kemenangan kepadanya selepas memfailkan saman ke atas Kopitiam Kok Tong di Medan dua tahun lalu kerana menggunakan kopitiam pada kedainya.

Abdul Alek tentunya boleh meraikan kemenangan itu. Dia berjaya memperoleh apa yang dimahukannya tanpa menyedari tindakan beliau itu bukanlah suatu hal yang bijaksana. Jika diperhalusi dari kaca mata umum, tindakan Abdul Alek mendaftar perkataan kopitiam sebagai harta intelek beliau hanya mengundang rasa kurang senang pengusaha kopitiam bukan sahaja di Indonesia bahkan pengusaha kopitiam di Malaysia dan Singapura juga. Seperti tidak masuk akal sepatah kata yang sudah lama digunapakai oleh masyarakat umum diperjuangkan menjadi hak milik individu. Umum melihat, Abdul Alek terdorong untuk mendaftar kopitiam sebagai hak eksklusifnya kerana enggan perniagaan kedai kopi moden miliknya dibayangi oleh kedai-kedai milik orang lain yang turut menggunakan perkataan kopitiam. Namun, persoalan yang mencetuskan tanda tanya ramai ialah sejak bila pula kopitiam iaitu kata gabungan antara kopi (bahasa Melayu) dan tiam (bahasa Hokkien) diilhamkan oleh Abdul Alek?

Sepengetahuan kita semua, kopitiam sudah lama diguna pakai olah masyarakat serantau baik di Indonesia, Malaysia mahupun Singapura. Justeru, apakah justifikasi yang boleh diguna pakai untuk mendakwa kopitiam milik Abdul Alek seorang? Selepas membaca penerangan di atas, penulis percaya tentu sebilangan besar pembaca artikel ini sudah boleh memahami maksud reaksi bagaimana yang dapat ditunjukkan sebagai respons kepada dakwaan yang kurang berasas ini. Tentu ada yang ketawa dengan berita yang menjadi bahan perdebatan ramai di Indonesia. Tidak kurang pula, ramai yang akan menggeleng kepala memikirkan apa rasional kopitiam didaftar sebagai harta intelek. Secara umumnya, definisi kopitiam membawa maksud kedai kopi yang merupakan kata benda bersifat generik kerana ia membawa pengertian yang meluas seperti juga perkataan restoran atau hotel .

Jenama

Kopitiam bukanlah jenama yang diilhamkan oleh seseorang individu seperti Starbuck, Coffee Bean dan sebagainya. Kopitiam milik masyarakat umum yang mengenalinya sebagai kedai kopi dan tidak ada sebab kenapa ada individu yang boleh mendaftar ia sebagai hak milik peribadi. Sekali lagi ditegaskan, kopitiam bukanlah jenama kerana ia merupakan kata benda yang boleh diguna oleh sesiapa sahaja. Rasa kurang senang dengan tindakan Abdul Alek itu turut mendapat perhatian Persatuan Pengusaha Kopitiam Indonesia (PPKTI) yang berpendapat, kopitiam tidak sewajarnya dimonopoli oleh seseorang atau badan pelaksana undang-undang. "Kopitiam bukan jenama dan bukan juga karakter utama atau faktor dominan sebagai sebuah jenama. Sudah diketahui, definisi kopitiam ialah kedai kopi yang merupakan kata benda," tegas pemimpin PPKTI, Mulyadi Praminta.

Apabila hak eksklusif penggunaan kopitiam diberikan kepada seorang individu di Indonesia, apa yang membimbangkan PPKTI ialah tempias itu turut akan dirasakan oleh pengusaha kopitiam di negara jiran seperti Malaysia dan Indonesia. "Kalau anda ke Malaysia dan Singapura, istilah kopitiam digunakan oleh siapa saja yang memenuhi syarat sebagai tradisional sarapan pagi dan kedai kopi. Kopitiam ialah kedai kopi, ia bukan jenama," sekali lagi Mulyadi memberi penekanan sebagai menyatakan tindakan memberi hak eksklusif penggunaan kopitiam kepada Abdul Alek tidak betul dan wajar diteliti semula. PPKTI tentunya mempunyai sebab untuk berasa bimbang kerana persatuan itu dibentuk oleh sejumlah besar pemilik dan pengendali kopitiam di Indonesia seperti Kiliney's Kopitiam, QQ Kopitiam, Lau's Kopitiam, Bangi Kopitiam, Eastern Kopitiam, Mao Kopitiam dan Kopitiam Oey. Jika ditanya kepada sesiapa sahaja, situasi ini sangat aneh dan memerlukan penelitian dari segenap aspek bagaimana kuasa undang-undang dengan sewenang-wenangnya memberi kemenangan itu ke atas hal yang sangat umum dan menjadi milik masyarakat sejak berdekad-dekad lamanya.

Mengambil tindakan menjenamakan harta rakyat sebagai milik peribadi hanya akan meruntuhkan moral seseorang sahaja kerana usaha itu boleh disamakan sebagai tamak haloba. Secara tidak langsung juga, kemenangan yang diperoleh Abdul Alek ini akan membuka ruang yang lebih luas kepada pihak lain untuk meraih untung atas angin dengan mudah. Agak-agaknya bagaimana reaksi pengusaha nasi padang yang masyhur seperti Garuda dan Sederhana seandainya ada seorang individu lain yang secara tiba-tiba mendapat ilham untuk mendaftar nasi padang sebagai hak eksklusifnya? Kalau sudah kopitiam sudah boleh didaftar sebagai harta intelek tentunya tidak mustahil untuk nasi padang juga akan mendapat pembelaan yang serupa. Lalu apa akan jadi dengan nasib restoran Nasi Padang Garuda yang sangat masyhur selepas itu?

Kalau begitu, nampaknya, selepas ini semua orang harus memikirkan apa lagi perkataan yang boleh didaftarkan sebagai hak eksklusif masing-masing. Mana tahu, kalau bisnes yang diusahakan tidak menjadi, sekurang-kurangnya peluang menyaman pesaing yang berdegil menggunakan kata eksklusif kita mampu menawarkan ganjaran yang cukup besar. Sekalipun sudah gulung tikar, sekurang-kurangnya akaun simpanan sudah penuh kerana mendapat pampasan yang besar hasil daripada menyaman orang lain! Soalnya, apakah sampai hati kita untuk berbuat demikian? Oh, satu lagi soalan yang ingin ditanya, kalau kopitiam pun milik orang Indonesia, nampaknya kita di Malaysia dan Singapura hanya mampu berputih mata sahajalah. Apa lagi yang menjadi milik kita kalau semuanya didakwa milik mereka?

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012

ISU EKONOMI : KEDUDUKAN EKONOMI NEGARA KUKUH

Oleh Dr. Mahani Zainal Abidin


Kebelakangan  ini sering terdengar suara kebimbangan tentang hutang negara yang tinggi yang diuar-uarkan akan membawa padah buruk kepada Malaysia. Malaysia dikatakan tidak dapat menanggung beban hutang yang besar ini. Ada juga yang meramalkan Malaysia akan jadi seperti Greece yang muflis serta terpaksa diselamatkan oleh IMF dan negara-negara lain mengakibatkan rakyatnya menderita kerana syarat-syarat ketat yang dikenakan. Adakah ini benar? Biarlah saya mulakan dengan memberi penjelasan tentang situasi hutang negara. Memang benar hutang negara sampai tahap yang tinggi iaitu telah mencecah RM440.7 bilion atau 53.1 peratus dari Keluaran Domestik Kasar Negara (KDNK) pada suku ketiga 2011. Ramalan jumlah hutang negara boleh menjadi RM495 bilion di akhir tahun 2012, berdasarkan perbelanjaan Bajet 2012. Disamping tahap yang tinggi, mengikut penganalisis ekonomi, kadar kenaikan pantas ini iaitu sebanyak 68 peratus dari tahun 2006 sehingga 2010 jika berterusan boleh menyebabkan hutang negara menjadi sangat besar.

Kadar hutang negara kini dianggap kritikal oleh sesetengah pihak kerana hampir sampai kepada batas maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang. Akta Pembiayaan Kerajaan 1983 dan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 menetapkan had maksimum hutang kerajaan setakat 55 peratus daripada KDNK. Akta Pinjaman Luar 1963 pula membenarkan luar negara hanya sebanyak RM35 bilion. Walaupun kadar hutang ini tinggi (53.1 peratus) tetapi masih belum lagi melanggar had yang ditetapkan oleh kedua-dua akta tadi. Parlimen boleh menaikkan had hutang ini jika perlu, seperti yang dibuat di Amerika Syarikat tahun lalu. Kenaikan hutang yang mendadak ini disebabkan oleh perbelanjaan rangsangan fiskal kerajaan untuk memastikan ekonomi negara tidak terjerumus ke jurang kemelesetan akibat daripada krisis kewangan global bermula pada tahun 2008. Walaupun ekonomi Malaysia pulih dengan cepat pada tahun 2010, ia masih tidak dapat berkembang pantas kerana ekonomi dunia masih lembap. Sebagai negara pengeksport, Malaysia sangat bergantung kepada perdagangan antara bangsa. Kalau perdagangan dunia rancak, permintaan untuk eksport negara turut naik dan pendapatan negara bertambah.

Tetapi, kemelut di Kesatuan Eropah (EU) telah menjadikan prospek pemulihan ekonomi dunia malap. Eksport Malaysia berkembang hanya pada kadar 9.8 peratus dalam tahun 2011. Justeru, pertumbuhan ekonomi perlu datang daripada punca domestik dan tidak hairanlah apabila kerajaan berbelanja lebih supaya ekonomi domestik boleh terus maju. Betulkah kadar hutang ini akan mengheret Malaysia menjadi muflis? Mengimbas kembali sejarah rekod hutang negara, kadar 53.1 peratus ini bukanlah yang tertinggi. Pada tahun 1990 hutang negara adalah 75.5 peratus daripada KNDK. Malah dari tahun 1983 sehingga 1991, kadar hutang negara melebihi 55 peratus. Tahap tertinggi ini telah berjaya diturunkan dan pada tahun 2007 hutang negara hanya 41.5 peratus daripada KDNK. Ini membuktikan Malaysia mempunyai azam dan keupayaan menurunkan hutang ke peringkat yang rendah. Oleh itu, tidak mustahil bagi Malaysia mengulangi langkah ini.
Ditentukan

Hutang negara tinggi tetapi tidak berbahaya. Ini bukan satu keadaan seperti telur di hujung tanduk kerana sebahagian besar dari hutang ini dipinjam dari sumber dalaman bukan dari luar. Komposisi hutang penting untuk menentukan sama ada ia boleh menimbulkan masalah besar atau boleh diselesaikan. Daripada jumlah keseluruhan hutang, 96 peratus (RM422.7) berpunca daripada sumber dalaman sementara hanya 4 peratus (RM 18 bilion) adalah hutang luar. Oleh sebab sebahagian besar hutang daripada punca dalaman ia boleh diselesaikan dan tidak akan memaksa Malaysia mengharap bantuan luar. Hutang negara berlainan daripada hutang oleh rumah-tangga atau syarikat. Keupayaan membayar hutang rumah tangga atau syarikat ditentukan oleh pendapatan atau keuntungan yang diluar kawalan mereka. Bila pendapatan tidak mencukupi, rumah-tangga atau syarikat tidak dapat membayar hutang dan akhirnya menjadi muflis.

Berlainan bagi sebuah negara. Pembayaran hutang boleh ditentukan oleh kerajaan negara sendiri kerana ia boleh menerbitkan wang disebabkan Bank Negara di bawah kawalannya. Hutang daripada sumber dalaman dan dalam mata wang negara itu sendiri boleh dibayar balik dengan mengeluarkan wang tambahan atau mendapat persetujuan pemberi hutang untuk melewatkan pembayaran balik. Tempuh pembayaran balik boleh dipanjangkan dan hutang boleh distrukturkan untuk membolehkan pembayaran balik secara teratur. Kalau kita lihat masalah di Greece ia kerana sebahagian besar hutangnya adalah dari luar. Bank-bank antarabangsa yang memberikan hutang mahu dibayar balik pada waktu yang ditetapkan. Kerajaan Greece tidak boleh membayar dengan mata wang aslinya iaitu drachma kerana setelah menjadi ahli EU mata wang aslinya dihapuskan dan sebaliknya menggunakan mata wang Euro. Bank pusat Greece tidak boleh mengeluarkan Euro dengan mudah untuk melunaskan hutang dan akhirnya Greece menjadi muflis.

Sebagai perbandingan, walaupun hutang negara Jepun melebihi 200 peratus daripada KDNK tetapi negara itu tidak menjadi muflis. Jawapannya ialah kerana hutang Jepun berpunca daripada sumber dalaman dan kerajaan Jepun boleh membayar balik dengan mata wang yen, walaupun akan mengambil masa yang lama. Malaysia tidak akan menerima nasib seperti Greece kerana sebahagian besar hutangnya adalah dari punca dalaman dan hutang luarnya sangat kecil. Mari kita kaji dengan lebih mendalam komposisi hutang ini. Hampir dua pertiga terdiri dari penjualan bon-bon jangka panjang kerajaan (antara empat hingga sepuluh tahun). Hanya 1.1 peratus sahaja yang perlu dibayar balik dalam tempuh satu tahun. Secara tidak langsung, ini bermakna pihak yang memberi pinjaman (dengan membeli bon kerajaan) yakin tentang masa depan ekonomi Malaysia yang dianggap kukuh. Badan-badan penarafan kredit antarabangsa juga mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai mantap.

Kemantapan ekonomi Malaysia diiktiraf oleh IMF dalam laporan penilaiannya yang diumumkan baru-baru ini. IMF berpendapat jika ekonomi dunia terus lembap, Malaysia mungkin dapat tempias. Tetapi, kesan negatif, jika ada, boleh diatasi kerana sektor kewangan mantap, kedudukan kewangan syarikat-syarikat swasta kukuh dan simpanan rizab antara bangsa negara besar. Kadar faedah boleh direndahkan bagi membolehkan syarikat dan individu mendapat pinjaman bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, langkah merancakkan ekonomi melalui perbelanjaan kerajaan mungkin terhad kerana kadar hutang negara yang tinggi. Keadaan hutang tidak membimbangkan dan kita jangan panik. Jangan jadikan isu ini berlebihan dari sepatutnya. Namun, hutang negara sepatutnya diturunkan apabila ekonomi pulih. Untuk ini, Malaysia perlu menjadi lebih kompetitif dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang bermutu tinggi yang menambahkan eksport. Dengan ini, pendapatan Kerajaan bertambah dan hutang boleh diturunkan.

Negara selalunya berhutang . Kalau berhutang, tahap (atau kadar) hutang bukanlah menjadi isu penentu tunggal. Yang pentingnya bagaimanakah dana yang dihasilkan dari hutang itu digunakan. Jika digunakan untuk pelaburan produktif yang boleh menghasilkan pertumbuhan ekonomi tinggi di masa depan, langkah itu adalah strategik. Sesebuah negara mesti menambahkan kapasiti untuk berkembang. Jika tidak, ia tidak dapat menjana pertumbuhan tinggi yang berterusan.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012                                                               

01 Mac 2012

ISU KESIHATAN : GUNA NYAMUK LAWAN NYAMUK

Oleh MEGAT LUTFI MEGAT RAHIM


Malaria merupakan penyakit zaman kuno yang masih bersisa hingga sekarang. Penyakit bawaan nyamuk yang digeruni itu pernah membunuh manusia yang berlagak seperti Tuhan iaitu Firaun Tutankhamun. Jurnal Persatuan Perubatan Amerika dua tahun lalu mendedahkan punca kematian Tutankhamun atau Raja Tut adalah disebabkan oleh malaria berikutan penemuan parasit Plasmodium di dalam darahnya. Tutankhamun meninggal dunia ketika berusia 19 tahun pada tahun 1323 Sebelum Masihi. Pada zaman moden ini, kemuncak kematian akibat malaria adalah pada tahun 2004 apabila ia meragut 1.8 juta nyawa berbanding sejuta mangsa pada tahun 1980. Bagaimanapun, perang manusia menentang malaria menunjukkan kejayaan berikutan penurunan angka kematian tahun demi tahun. Tahun lalu, bilangan korban malaria adalah seramai 1.2 juta orang.

Perkataan malaria berasal daripada bahasa Itali kuno yang bermaksud ‘udara buruk’ kerana penyakit ini dikaitkan dengan kawasan paya dan berair iaitu tempat yang sesuai untuk pembiakan nyamuk. Salah satu kaedah praktikal dalam usaha memerangi malaria adalah penggunaan kelambu yang mencegah nyamuk tiruk itu daripada menggigit mangsa. Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk Malaria, Ray Chambers berkata, walaupun kelambu dilihat sebagai satu kaedah lama, keberkesanannya telah lama diperakui terutamanya di luar bandar.

KELAMBU

Aktiviti nyamuk tiruk amat aktif pada waktu malam dan dengan menggunakan kelambu berubat semasa tidur ia dapat mengelakkan risiko daripada terkena gigitan yang membawa virus malaria. Ujarnya lagi, penggunaan kelambu lebih efektif kerana nyamuk yang terkena pada bahagian kelambu itu akan mati. Di Malaysia, Kementerian Kesihatan menyasarkan penyakit malaria dapat dihapuskan sepenuhnya antara tahun 2015 hingga 2018. Menterinya, Datuk Seri Liow Tiong Lai pada penghujung 2008 memaklumkan ramalan tersebut mungkin dicapai dengan usaha pencegahan yang giat dilakukan. Pemantauan berterusan populasi nyamuk Anopheles dan juga demam malaria di negara ini juga dilihat membantu sehinggakan negara kini dikelaskan sebagai hampir berjaya membasmi sepenuhnya malaria,” katanya. Dari segi ubat-ubatan, sebelum ubat Kuinin dijumpai di Peru dan Equador pada awal 1800-an, tidak banyak ubat lain yang boleh dianggap berjaya melawan malaria. Kuinin berasal daripada kulit kayu cinchona iaitu sejenis tumbuhan daripada keluarga kopi. Penduduk pribumi memanggil ubat itu sebagai quina quina yang bermaksud kulit kayu.

Namun begitu, ia sukar didapati kerana pokok cinchona hanya tumbuh di utara Amerika Selatan. Kemudian sekitar 1940-an, ubat anti-malaria jenis sintetik, Chloroquine, dihasilkan dengan kos lebih murah, senang didapati dan lebih selamat daripada Kuinin. Pada masa itu, Chloroquine memberikan perlindungan yang lebih lama terhadap serangan kesemua parasit Plasmodium. Penemuan kedua yang memberikan impak yang besar terhadap wabak malaria adalah dengan terciptanya Dichloro-Diphenyl-Trichlroethane atau DDT oleh Paul Muller, ahli kimia dari Switzerland yang telah dianugerahkan hadiah Nobel. Beliau mencipta bahan itu pada tahun 1948. DDT berperanan menghapuskan nyamuk Anopheles betina dan kawasan pembiakannya secara besar-besaran. DDT bukan sahaja membunuh nyamuk dewasa tetapi ia juga berkesan membunuh jentik-jentik. Wabak malaria di seluruh dunia mula menurun dan dapat dikawal dengan penggunaan DDT dan ubat antimalaria,” katanya.

Pendekatan lain ialah dengan cara penghapusan besar-besaran vektor penyebar parasit malaria. Penghapusan secara fizikal nyamuk Anopheles dengan menggunakan racun secara amnya agak murah dan berkesan untuk kawasan yang mudah dijelajahi. Idea terbaru dalam proses penghapusan nyamuk Anopheles kini ialah dengan cara menghasilkan banyak nyamuk jantan Anopheles yang mandul. Telur hasil daripada persenyawaan dengan nyamuk jantan tidak akan menetas dan lama-kelamaan populasi nyamuk Anopheles akan pupus dan seterusnya menyebabkan parasit Plasmodium tidak dapat disebarkan lagi.

MANDUL

Nyamuk jantan mandul yang akan dihasilkan melalui proses mutasi gen (kejuruteraan genetik) mungkin menjadi jalan keluar kepada masalah wabak malaria. Demam malaria tersebar kepada manusia oleh nyamuk Anopheles betina yang menghisap darah tetapi sekumpulan saintis Britain menyatakan penyakit maut itu boleh dikekang dengan menggunakan nyamuk jantan tanpa sperma. Kumpulan saintis Kolej Imperial London memberitahu, nyamuk Anopheles betina masih boleh mengawan dengan nyamuk jantan yang tiada sperma kerana ia telah mengalami pengubahsuaian genetik.

Namun, menurut mereka, telur yang dikeluarkan nyamuk betina itu tidak disenyawakan dan ia tidak akan menetas menjadi larva nyamuk. Penemuan itu boleh membawa perubahan besar dalam perang menentang malaria berikutan spesies nyamuk Anopheles gambiae sensu stricto yang menyebarkan malaria di Afrika cuma mengawan sekali dalam seumur hidup. “Kami mendapati nyamuk Anopheles betina tidak dapat membezakan nyamuk Anopheles jantan yang subur atau tanpa sperma,” kata ketua kajian terbabit, Flaminia Catteruccia.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Harian Kosmo
1 Mac 2012

ISU UMUM : SURAT TUN DR MAHATHIR KEPADA BENJAMIN NETANYAHU


Berikut adalah surat yang ditulis oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Benjamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel pada 1997, seperti yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar pada 29 Februari 2012.

PERDANA MENTERI MALAYSIA

14 Mac 1997

Tuan Yang Terutama
Tuan Benjamin Netanyahu
Perdana Menteri Israel
Jerusalem

Surat tuan bertarikh 23 Januari hanya sampai kepada saya semalam. Saya amat menghargai susah payah tuan untuk memaklumkan kepada saya situasi di Palestin dan rantau berkenaan. Malangnya sebahagian besar daripada perkara yang tuan nyatakan itu telahpun berubah dengan begitu pantas. Malaysia percaya kepada keamanan dan penyelesaian masalah antara negara berjiran menerusi rundingan. Sebagai jalan keluar terakhir, kami beralih kepada pihak ketiga. Dalam pertikaian berhubung wilayah antara Malaysia dan Singapura dan Malaysia dan Indonesia kami bersetuju menyerahkan kepada Mahkamah Dunia untuk memutuskannya. Pertikaian antara Malaysia dan Thailand berhubung wilayah perairan diselesaikan dengan persetujuan untuk berkongsi sumber bukan marin dengan saksama.

Di dalam negara, ketidaksamaan dalam pengagihan kekayaan antara penduduk pribumi dan kalangan yang asalnya pendatang diselesaikan menerusi tindakan afirmatif di mana golongan miskin akan memperoleh perkongsian yang lebih besar daripada kek ekonomi yang semakin berkembang tetapi tidak ada tindakan merampas dan mengagihkan semula apa yang telahpun menjadi kepunyaan keturunan kalangan pendatang. Setiap orang menikmati pembahagian yang agak adil sekarang dan setiap orang agak berpuas hati. Hubungan antara kaum yang berbeza di Malaysia adalah baik dan tidak porak-peranda. Perkara penting yang ingin saya tekankan ialah untuk tidak mengambil apa yang telahpun menjadi kepunyaan orang lain sungguhpun daripada segi sejarah, ia mungkin kepunyaan tuan.

Akhir-akhir ini Israel telah merobohkan penempatan Arab dalam usaha mendirikan rumah bagi rakyat Israel. Seluruh dunia, termasuk sekutu tuan, Amerika Syarikat, mengutuk tindakan ini. Namun Israel tetap meneruskan juga. Tuan mengutuk Syria kerana membuat ancaman. Bagaimanapun ancaman mereka adalah respons kepada tindakan tuan sendiri. Jika tuan secara paksa merampas tanah dan harta benda kepunyaan penduduk Palestin, satu-satunya respons sekiranya mereka tidak bertindak secara ganas terhadap tuan, adalah dengan mengancam untuk bertindak menentang tuan. Jika mereka tidak boleh bertinda balas dan mereka tidak boleh menyuarakan tindak balas yang dihasratkan itu, maka mereka terpaksa tunduk kepada semua tindakan tuan tidak kira bagaimana salah sekalipun.

Apa yang tuan lakukan sekarang bertentangan dengan semangat dan surat proses perdamaian yang dipersetujui oleh pendahulu tuan. Bagaimanakah kami boleh mempercayai Israel jika sesuatu perubahan dalam kerajaan menyangkal jaminan yang diberi dengan rasminya oleh sebuah Kerajaan Israel. Tolong pertimbangkan semula keputusan tuan untuk membina penempatan baru Yahudi di tanah Arab. Belia-belia Israel ada di sini. Hasrat kami ialah untuk menunjukkan kepada mereka bahawa umat Islam adalah manusia rasional biasa yang mahu hidup dalam keamanan dan kebebasan. Kami berharap mereka akan mempunyai tanggapan baru terhadap umat Islam dan Islam. Akan berlaku penyimpangan dalam kalangan umat Islam tetapi penyimpangan turut berlaku dalam kalangan Yahudi dan Kristian serta penganut setiap agama. Tiada agama yang seharusnya dihakimi berdasarkan penyimpangan ini.

Kami berharap kalangan belia ini akan memahami umat Islam dengan lebih baik dan akan mahu berbaik-baik dengan mereka. Untuk mengecap keamanan tuan perlu melakukan pengorbanan. Penduduk Palestin tidak lagi mendesak penyingkiran Israel. Mereka malah bersedia untuk berkongsi Jerusalem dengan tuan. Mereka telah melakukan pengorbanan. Kita harus ingat apabila Yahudi diperlakukan dengan kejam di Eropah, mereka seringkali menemui perlindungan dalam kalangan umat Islam di negara-negara Islam. Kami tidak menganggap rakyat Israel sebagai seteru abadi. Namun kami tidak boleh menahan rasa simpati terhadap penduduk Palestin kerana tanah air mereka dirampas daripada mereka sekarang. Ia mungkin menjadi kepunyaan Yahudi tiga ribu tahun yang lalu. Banyak tanah tradisional Melayu yang telah menjadi sebahagian daripada Thailand. Tetapi kami tidak menuntut Selatan Thailand untuk menjadi sebahagian daripada Malaysia.

Jika kita pergi terlalu jauh ke masa lampau, kita tidak boleh hidup bersama jiran-jiran kita. Kami bersedia untuk mengadakan kerjasama ekonomi dan teknologi dengan Israel tetapi kami masih belum boleh berbuat demikian kerana tuan belum memenuhi komitmen yang dibuat oleh Kerajaan Israel yang sah. Kami ingin memikirkan bahawa sebaik sahaja kami mewujudkan hubungan dengan tuan, ia akan hubungan yang menjadi tetap.

DR MAHATHIR BIN MOHAMAD

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
mStar Online
1 Mac 2012

29 Februari 2012

ISU ICT : USM BERJAYA BUAT PENYELIDIKAN TENTANG SISTEM PEMBUKTIAN KES SIBER


Penyelidik Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya membangunkan satu sistem pembuktian jenayah siber dan pengawasan rangkaian lebih efektif serta menjimatkan yang diberi nama, Sistem Analisis dan pencarian Forensik (FADS).  Sistem menggunakan geran penyelidikan universiti sebanyak RM231,000, dihasilkan oleh Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Sains Komputer USM, Dr Aman Jantan, selepas melakukan penyelidikan sejak tiga tahun lalu. Aman berkata, sistem itu yang dibangunkan sepenuhnya Oktober tahun lalu, menggabungkan fungsi pengawasan rangkaian, sistem penganalisis bukti digital dan pemuliharaan bukti digital yang berlainan dengan sistem pengawasan rangkaian sedia ada di dunia. Melalui sistem itu, ia dapat mengenal pasti serangan siber yang berlaku dalam sesebuah rangkaian, menyimpan bukti digital berkaitan serangan terbabit dan menyediakan laporan lengkap untuk mempermudahkan pihak berkuasa melakukan siasatan dan pendakwaan, katanya. Sistem itu apabila dipasang di rangkaian tertentu, ia akan diawasi secara aktif oleh Server FADS dan hasilnya akan disimpan dalam pangkalan data FADS sebelum dianalisis oleh FADS Client dengan mengenal pasti jenis serangan serta puncanya.  

Ia juga mampu melindungi rangkaian daripada diceroboh oleh sebarang kegiatan. Sistem itu hanya akan merekod dan menapis aktiviti mencurigakan tanpa perlu menyimpan kesemua aktiviti aktif, yang boleh menyebabkan kesesakan pangkalan.  Aman berkata, FADS mampu mengumpulkan data dengan tepat dan disimpan lama kerana sebelum ini, apabila sesuatu serangan berlaku, ia tidak disedari dan apabila dikesan, buktinya sudah hilang ataupun tidak kukuh.  Sistem itu mampu memantapkan semua sektor termasuk pertahanan, perbankan dan teknologi maklumat hingga memastikan rangkaian dilindungi, manakala jenayah siber dapat dikurangkan kira-kira 90 peratus.  Saya yang melakukan kajian dengan pelbagai agensi di negara ini, merekodkan sebanyak 30,000 serangan sehari tetapi hanya 1,000 yang berjaya, katanya.  Permohonan paten sistem terbabit sudah dikemukakan kepada Pejabat Inovasi USM dan dijangka dipasarkan akhir tahun ini.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

Sumber
Berita Harian
29 Februari 2012