Oleh Dr. Mahani Zainal Abidin
Kebelakangan ini sering terdengar suara kebimbangan tentang hutang negara yang tinggi yang diuar-uarkan akan membawa padah buruk kepada Malaysia. Malaysia dikatakan tidak dapat menanggung beban hutang yang besar ini. Ada juga yang meramalkan Malaysia akan jadi seperti Greece yang muflis serta terpaksa diselamatkan oleh IMF dan negara-negara lain mengakibatkan rakyatnya menderita kerana syarat-syarat ketat yang dikenakan. Adakah ini benar? Biarlah saya mulakan dengan memberi penjelasan tentang situasi hutang negara. Memang benar hutang negara sampai tahap yang tinggi iaitu telah mencecah RM440.7 bilion atau 53.1 peratus dari Keluaran Domestik Kasar Negara (KDNK) pada suku ketiga 2011. Ramalan jumlah hutang negara boleh menjadi RM495 bilion di akhir tahun 2012, berdasarkan perbelanjaan Bajet 2012. Disamping tahap yang tinggi, mengikut penganalisis ekonomi, kadar kenaikan pantas ini iaitu sebanyak 68 peratus dari tahun 2006 sehingga 2010 jika berterusan boleh menyebabkan hutang negara menjadi sangat besar.
Kadar hutang negara kini dianggap kritikal oleh sesetengah pihak kerana hampir sampai kepada batas maksimum yang dibenarkan oleh undang-undang. Akta Pembiayaan Kerajaan 1983 dan Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 menetapkan had maksimum hutang kerajaan setakat 55 peratus daripada KDNK. Akta Pinjaman Luar 1963 pula membenarkan luar negara hanya sebanyak RM35 bilion. Walaupun kadar hutang ini tinggi (53.1 peratus) tetapi masih belum lagi melanggar had yang ditetapkan oleh kedua-dua akta tadi. Parlimen boleh menaikkan had hutang ini jika perlu, seperti yang dibuat di Amerika Syarikat tahun lalu. Kenaikan hutang yang mendadak ini disebabkan oleh perbelanjaan rangsangan fiskal kerajaan untuk memastikan ekonomi negara tidak terjerumus ke jurang kemelesetan akibat daripada krisis kewangan global bermula pada tahun 2008. Walaupun ekonomi Malaysia pulih dengan cepat pada tahun 2010, ia masih tidak dapat berkembang pantas kerana ekonomi dunia masih lembap. Sebagai negara pengeksport, Malaysia sangat bergantung kepada perdagangan antara bangsa. Kalau perdagangan dunia rancak, permintaan untuk eksport negara turut naik dan pendapatan negara bertambah.
Tetapi, kemelut di Kesatuan Eropah (EU) telah menjadikan prospek pemulihan ekonomi dunia malap. Eksport Malaysia berkembang hanya pada kadar 9.8 peratus dalam tahun 2011. Justeru, pertumbuhan ekonomi perlu datang daripada punca domestik dan tidak hairanlah apabila kerajaan berbelanja lebih supaya ekonomi domestik boleh terus maju. Betulkah kadar hutang ini akan mengheret Malaysia menjadi muflis? Mengimbas kembali sejarah rekod hutang negara, kadar 53.1 peratus ini bukanlah yang tertinggi. Pada tahun 1990 hutang negara adalah 75.5 peratus daripada KNDK. Malah dari tahun 1983 sehingga 1991, kadar hutang negara melebihi 55 peratus. Tahap tertinggi ini telah berjaya diturunkan dan pada tahun 2007 hutang negara hanya 41.5 peratus daripada KDNK. Ini membuktikan Malaysia mempunyai azam dan keupayaan menurunkan hutang ke peringkat yang rendah. Oleh itu, tidak mustahil bagi Malaysia mengulangi langkah ini.
Ditentukan
Hutang negara tinggi tetapi tidak berbahaya. Ini bukan satu keadaan seperti telur di hujung tanduk kerana sebahagian besar dari hutang ini dipinjam dari sumber dalaman bukan dari luar. Komposisi hutang penting untuk menentukan sama ada ia boleh menimbulkan masalah besar atau boleh diselesaikan. Daripada jumlah keseluruhan hutang, 96 peratus (RM422.7) berpunca daripada sumber dalaman sementara hanya 4 peratus (RM 18 bilion) adalah hutang luar. Oleh sebab sebahagian besar hutang daripada punca dalaman ia boleh diselesaikan dan tidak akan memaksa Malaysia mengharap bantuan luar. Hutang negara berlainan daripada hutang oleh rumah-tangga atau syarikat. Keupayaan membayar hutang rumah tangga atau syarikat ditentukan oleh pendapatan atau keuntungan yang diluar kawalan mereka. Bila pendapatan tidak mencukupi, rumah-tangga atau syarikat tidak dapat membayar hutang dan akhirnya menjadi muflis.
Berlainan bagi sebuah negara. Pembayaran hutang boleh ditentukan oleh kerajaan negara sendiri kerana ia boleh menerbitkan wang disebabkan Bank Negara di bawah kawalannya. Hutang daripada sumber dalaman dan dalam mata wang negara itu sendiri boleh dibayar balik dengan mengeluarkan wang tambahan atau mendapat persetujuan pemberi hutang untuk melewatkan pembayaran balik. Tempuh pembayaran balik boleh dipanjangkan dan hutang boleh distrukturkan untuk membolehkan pembayaran balik secara teratur. Kalau kita lihat masalah di Greece ia kerana sebahagian besar hutangnya adalah dari luar. Bank-bank antarabangsa yang memberikan hutang mahu dibayar balik pada waktu yang ditetapkan. Kerajaan Greece tidak boleh membayar dengan mata wang aslinya iaitu drachma kerana setelah menjadi ahli EU mata wang aslinya dihapuskan dan sebaliknya menggunakan mata wang Euro. Bank pusat Greece tidak boleh mengeluarkan Euro dengan mudah untuk melunaskan hutang dan akhirnya Greece menjadi muflis.
Sebagai perbandingan, walaupun hutang negara Jepun melebihi 200 peratus daripada KDNK tetapi negara itu tidak menjadi muflis. Jawapannya ialah kerana hutang Jepun berpunca daripada sumber dalaman dan kerajaan Jepun boleh membayar balik dengan mata wang yen, walaupun akan mengambil masa yang lama. Malaysia tidak akan menerima nasib seperti Greece kerana sebahagian besar hutangnya adalah dari punca dalaman dan hutang luarnya sangat kecil. Mari kita kaji dengan lebih mendalam komposisi hutang ini. Hampir dua pertiga terdiri dari penjualan bon-bon jangka panjang kerajaan (antara empat hingga sepuluh tahun). Hanya 1.1 peratus sahaja yang perlu dibayar balik dalam tempuh satu tahun. Secara tidak langsung, ini bermakna pihak yang memberi pinjaman (dengan membeli bon kerajaan) yakin tentang masa depan ekonomi Malaysia yang dianggap kukuh. Badan-badan penarafan kredit antarabangsa juga mengiktiraf ekonomi Malaysia sebagai mantap.
Kemantapan ekonomi Malaysia diiktiraf oleh IMF dalam laporan penilaiannya yang diumumkan baru-baru ini. IMF berpendapat jika ekonomi dunia terus lembap, Malaysia mungkin dapat tempias. Tetapi, kesan negatif, jika ada, boleh diatasi kerana sektor kewangan mantap, kedudukan kewangan syarikat-syarikat swasta kukuh dan simpanan rizab antara bangsa negara besar. Kadar faedah boleh direndahkan bagi membolehkan syarikat dan individu mendapat pinjaman bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi. Walau bagaimanapun, langkah merancakkan ekonomi melalui perbelanjaan kerajaan mungkin terhad kerana kadar hutang negara yang tinggi. Keadaan hutang tidak membimbangkan dan kita jangan panik. Jangan jadikan isu ini berlebihan dari sepatutnya. Namun, hutang negara sepatutnya diturunkan apabila ekonomi pulih. Untuk ini, Malaysia perlu menjadi lebih kompetitif dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi dengan mengeluarkan barangan dan perkhidmatan yang bermutu tinggi yang menambahkan eksport. Dengan ini, pendapatan Kerajaan bertambah dan hutang boleh diturunkan.
Negara selalunya berhutang . Kalau berhutang, tahap (atau kadar) hutang bukanlah menjadi isu penentu tunggal. Yang pentingnya bagaimanakah dana yang dihasilkan dari hutang itu digunakan. Jika digunakan untuk pelaburan produktif yang boleh menghasilkan pertumbuhan ekonomi tinggi di masa depan, langkah itu adalah strategik. Sesebuah negara mesti menambahkan kapasiti untuk berkembang. Jika tidak, ia tidak dapat menjana pertumbuhan tinggi yang berterusan.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
MINGGUAN MALAYSIA
4 MAC 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan