JEMPUT JADI PEMBACA SETIA BLOG INI



05 Mac 2012

ISU UMUM : MISTERI IBU KOTA BARU MYANMAR KIAN TERUNGKAI

Oleh Manja Ismail
manja@nstp.com.my


NAYPYIDAW, ibu kota Myanmar yang baru, jika diterjemahkan ke bahasa Melayu membawa maksud tempat bersemayam atau singgahsana diraja. Berdasarkan kemewahan fizikal bandar raya yang terletak kira-kira 350 kilometer ke utara Yangon itu, Naypyidaw memang layak digelar sedemikian. Bezanya, Myanmar sudah lama tidak menggunakan sistem beraja dan sejak hampir setengah abad sehingga tahun lalu, ‘negara seribu pagoda’ itu diperintah oleh rejim tentera.  Walaupun menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Pusat sejak 2005, tidak ramai termasuk rakyat Myanmar sendiri yang mempunyai maklumat sebenar mengenai Naypyidaw, apa lagi mengunjungi bandar itu. Malah, beberapa pegawai kanan kerajaan yang kami temui di sana minggu lalu, saling mengelak mengenai kos sebenar pembinaan ibu kota itu. Namun, mereka menegaskan, kerajaan tidak membuat sebarang pinjaman dalam membina ibu kota yang tersenarai antara sepuluh bandar raya dunia paling pesat membangun itu.

Pemimpin kerajaan tentera Myanmar, Jeneral Than Shwe tidak pernah mengeluarkan kenyataan rasmi kenapa beliau secara tiba-tiba memindahkan pentadbirannya dari Yangon pada November 2005, sehingga menimbulkan pelbagai spekulasi terutama daripada media Barat, yang sejak sekian lama melihat negara itu dan kerajaannya dari sudut negatif. Teori paling popular di sebalik pemindahan pusat pentadbiran yang mula dibina pada 2003 itu ialah nasihat tukang tilik kepada Presiden Shwe kononnya untuk mengelak daripada serangan asing dan kebangkitan rakyat. Ada juga yang menuduh ketua junta itu mahu mengikut jejak raja-raja Burma (nama lama Myanmar) sebelum era penjajahan dulu yang sering memindahkan ibu kota mereka. Walaupun tiada pengesahan rasmi mengenai teori itu, angka yang dipilih sebagai tarikh pemindahan dilihat mempunyai kaitan ramalan astrologi. Pemindahan pertama kakitangan kerajaan ke Naypyidaw dilakukan tepat pada jam 6.37 pagi 6 November. Lima hari selepas itu, pada jam 11 pagi 11 November 2005, konvoi kedua merangkumi 1,100 trak tentera yang membawa 11 batalion askar dan 11 kementerian, meninggalkan Yangon.

Pada akhir Februari 2006, semua kakitangan kerajaan berpindah ke sana walaupun belum membawa keluarga mereka disebabkan banyak kemudahan termasuk sekolah dan rumah kediaman belum siap. Bagaimanapun, seorang pegawai kanan Kementerian Luar Myanmar menjelaskan, langkah memindahkan pusat pentadbiran itu disebabkan Yangon kini terlalu sesak dan padat sehingga sukar membina kompleks pejabat kerajaan bagi menampung keperluan akan datang. Tarikh pemindahan juga, katanya, memang dirancang dan diberitahu kepada kakitangan yang terbabit.  “Lagipun, berbanding Yangon yang jauh di selatan, Naypyidaw terletak di tengah-tengah Myanmar dan dianggap lebih sesuai sebagai ibu kota. Pembinaan dan pemindahan ini memang dirancang teliti, bukannya terburu-buru seperti dilaporkan media Barat,” katanya.  Rakyat Malaysia yang kali pertama ke Naypyidaw tidak dapat mengelak daripada membandingkannya dengan Putrajaya. Malah, tidak keterlaluan jika dikatakan banyak persamaan dari segi landskap, keseragaman bangunan kementerian, perancangan bandar, malah jambatan yang melintasi tasik buatan manusia. Sama seperti Putrajaya yang diletakkan dalam pentadbiran Wilayah Persekutuan, Naypyidaw ditadbir di bawah Wilayah Kesatuan.

Bezanya, kawasan Naypyidaw jauh lebih luas (7,054.37km persegi) yang dibahagikan kepada lapan zon – perumahan, ketenteraan, kementerian, perhotelan, kawasan beli-belah, rekreasi, antarabangsa dan Pagoda Uppatasanti. Selain itu, Naypyidaw mempunyai lapangan terbangnya sendiri, lima padang golf dan sekurang-kurangnya 10 hotel bertaraf empat bintang ke atas, sudah beroperasi.  Kecuali zon ketenteraan yang menjadi kawasan larangan, pihak berkuasa sudah mula membenarkan kunjungan orang awam. Malah, kumpulan wartawan penyiaran dari ASEAN yang mengunjungi Naypyidaw minggu lalu, bebas merakam video termasuk kompleks Parlimen dan bangunan kementerian, sesuatu yang mustahil dilakukan sebelum ini. Berbanding Putrajaya yang semakin sibuk dan sesak sekarang, Naypyidaw, yang menurut statistik 2009, mempunyai 925,000 penghuni, jauh lebih lengang dan sunyi. Walaupun jalannya amat lebar sehingga 10 lorong di sesetengah kawasan, belum banyak kenderaan menggunakannya. Malah, jumlah kenderaan yang memotong atau berselisih dengan bas mini kami boleh dibilang jari sepanjang enam jam perjalanan di lebuh raya empat lorong dari Yangon ke Naypyidaw.

Ketika ini kerja membina kompleks sukan yang merangkumi beberapa stadium sebagai persediaan menganjurkan Sukan Asia Tenggara tahun depan, giat dilaksanakan. Sidang Kemuncak ASEAN juga akan diadakan di sana apabila Myanmar mengambil alih jawatan Pengerusi ASEAN mulai 2014. Barangkali, selepas menerima lebih banyak kunjungan masyarakat antarabangsa nanti, misteri ibu kota moden di negara termundur ini, semakin terungkai.

Sila berikan komen anda. Terima kasih.

SUMBER
BERITA HARIAN
5 MAC 2012

Tiada ulasan: