Oleh Idris Jala
Penulis ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Pegawai Eksekutif PEMANDU. Maklum balas dan komen amat dialu-alukan. idrisjala@pemandu.gov.my
Perjalanan menuju kemakmuran bukannya mudah tetapi dengan usaha dan sikap yang betul, ia boleh dicapai. Saya adalah seorang pemuzik amatur yang dianugerahkan bakat bermain gitar dan menyanyi. Saya suka semua jenis muzik tetapi hanya blues yang bermain di hati. Kita semua tahu apa itu blues – ringkas, telus, muzik yang penuh perasaan dengan rentak dan irama yang tetap, memberikan ruang untuk nyanyian dan solo muzik. Dalam erti kata lain, ia adalah rentak yang sangat menyenangkan. Tetapi bagi saya, menyanyikan irama blues bermakna kita harus lambat laun berganjak daripadanya walaupun anda terpaksa meluahkan segala masalah dan bersedih sementara. Inilah inti pati kolum ini. Saya berasa sangat bertuah kerana terbabit dan mengetuai satu daripada projek paling mengujakan. Apa lagi yang lebih bermakna daripada meningkatkan pendapatan dan kualiti hidup rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa, kepercayaan dan agama?
Sebesar mana pun harapan saya bahawa kita dapat melakukannya, saya tidaklah terlalu naif untuk menyangka bahawa impian ini boleh dicapai tanpa menempuh sebarang masalah dan cabaran. Jadi, benarkanlah saya dendangkan blues transformasi – Di sini, saya akan kemukakan masalah besar yang menghantui program untuk mentransformasikan kita menjadi negara berpendapatan tinggi. Selepas itu kita ikuti dengan apa yang sedang dilakukan sebagai jalan penyelesaian. Satu perkara yang menjadi sebahagian daripadanya ialah untuk kami memberikan penerangan untuk maklumat yang tidak tepat. Pada kami, adalah amat penting bagi anda sebagai rakyat Malaysia untuk memahami apa yang sedang diusahakan di sini dan memaklumkan kami jika ada seba-rang kesilapan serta jalan penyelesaian sebenarnya. Alamat e-mel akan dipaparkan di penghujung kolum. Kami berjanji akan membaca setiap maklum balas dan jika bertepatan, akan menjawab sebahagiannya di sini. Kami cuma memohon tiga perkara daripada anda – apa-apa pun haruslah adil, bertimbang rasa dan realistik.
Perkara pertama yang ingin saya terangkan di sini ialah konsep pendapatan yang adalah ciri utama kepada keseluruhan konsep transformasi ke arah negara berpendapatan tinggi. Pada tahap manakah pendapatan kita perlu capai baru layak digelar negara yang berpendapatan tinggi dan mencapai kemajuan? Bagaimanakah kita dapat mencapainya? Apakah ukurannya dan dapatkah kita mencapainya? Banyak yang telah diperkatakan mengenai cara kami mengukur pendapatan, termasuk tahap pendapatan pada 2020 dan ada kemungkinan yang kami tidak mengambil kira pendekatan yang sepatutnya dalam hal ini. Ada juga yang telah menyatakan bahawa langkah digunakan tidak betul – ini tidak sama sekali. Penggunaan definisi dan metodologi global adalah disengajakan, contohnya pendekatan dan tanda aras Bank Dunia. Sebagai penjelasan yang tidaklah terlalu teknikal, kami menggunakan anggaran nominal pendapatan negara berpendapatan tinggi dan kemudian menggunakan unjuran kadar inflasi, bagi mendapatkan hasil dalam dolar AS pada 2020.
Maka, jumlah lebih kurang AS$15,000 untuk setiap orang telah ditetapkan pada RM48,000, berdasarkan unjuran tukaran wang asing iaitu 3.2 ringgit berbanding dolar AS. Kadar semasa yang hampir mencecah 3.0 bermakna jika kadar ini berterusan, sasaran akan menjadi lebih rendah daripada RM45,000. Pada 2009, pendapatan kita berdasarkan kadar tukaran wang asing perkapita ialah AS$6,700. Sememangnya kita mempunyai perjalanan yang masih jauh tetapi kita sudah pun berada pada landasan betul. Dengan ini, kami unjurkan jumlah penduduk pada 2020 dan gandakannya dengan pendapatan perkapita untuk mengetahui anggaran jumlah pendapatan negara. Ini membolehkan kami membuat unjuran ke belakang bagi mengetahui anggaran kadar pertumbuhan yang diperlukan untuk mencapainya. Unjuran kadar inflasi kemudian ditolak untuk memperoleh kenaikan kadar pendapatan sebenar atau boleh guna yang diperlukan sebuah negara untuk mencapai status negara berpendapatan tinggi – ia dianggar lebih kurang 6 peratus setahun, dengan mengambil kira faktor ini tidak berubah.
‘Pendapatan Boleh Guna’ di sini bermaksud pendapatan yang diselaraskan dengan inflasi dan memaparkan peningkatan sebenar pendapatan walaupun selepas mengambil kira peningkatan harga. Pendapatan kasar negara atau PNK adalah Keluaran Dalam Negeri Kasar sebenar dicampur dengan pendapatan dari luar negara. Kaedah pendekatan kami amat teliti memandangkan pencapaian kami telahpun ditinjau dan disahkan oleh firma akauntan dan panel pakar antarabangsa. Tambahan pula, panel pakar antarabangsa juga berkongsi pandangan dari perspektif luaran untuk memastikan segalanya berpandukan amalan pengurusan terbaik bertaraf global. Tidak langsung menjadi niat kami untuk memperdayakan sesiapa mengenai prestasi kami. Perkara seterusnya ialah mencapai sasaran. Pada asasnya, kita mengenal pasti projek utama yang ada dalam tangan dan menganggarkan sumbangannya terhadap ekonomi, terutama yang mendatangkan peningkatan pendapatan.
Kami tidak sama sekali mengatakan semuanya di sini tepat dan yang paling jitu, tetapi ini adalah unjuran kami yang terbaik dan yang telah tepat tetapi beginilah anggaran terbaik kami buat masa itu. Agak mustahil bagi mana-mana sebuah negara untuk mengukur dan meramalkan pertumbuhan ekonominya dengan tepat. Di samping itu, anggaran ini juga adalah satu sasaran. Pendek kata, jika sasaran ini dapat dicapai setiap tahun, matlamat kita pasti dapat dijayakan. Sasaran ini bersifat dinamik dan sudah tentu akan sentiasa berubah mengikut masa. Jika terdapat kekurangan, ini bermaksud kita perlu lebihkan usaha. Jika hasilnya cemerlang maka kita menadah tangan sebagai tanda kesyukuran kepada Tuhan. Memang benar, ada pelbagai risiko dan cabaran bagi sasaran yang kami tentukan. Tetapi bak kata pepatah, kita hendaklah pecahkan ruyung barulah dapatkan sagunya. Situasi ekonomi dunia yang tidak menentu mungkin akan berlarutan lebih lama daripada jangkaan dan kita tidak terlindung daripada perubahan dunia. Kemungkinan pelaburan daripada sektor swasta tidaklah sebanyak yang dijangka.
Namun, di Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan, kami sedang memudahkan kerajaan menguruskan segala usaha meningkatkan pendapatan, tanpa mengira daripada siapa. Kami juga akan memantau dan apabila diperlukan, mengesyorkan perubahan yang berpatutan untuk meletakkan kita kembali ke landasan sasaran. Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop: “Pada penghujung tahun lalu, pendapatan perkapita Malaysia meningkat lebih daripada RM29,000 (AS$9,400).” Berasaskan harga semasa, ini adalah peningkatan 12 peratus berbanding RM26,174 (AS$7,985) pada 2010 dan RM23,850 (AS$6,677) pada 2009. Ini adalah lonjakan besar jika dibandingkan kepada RM1,070 (AS$347) pada 1970. Laporan penuh mengenai prestasi ETP 2011 akan diterbitkan oleh kerajaan April ini. Peningkatan pendapatan kita dua tahun lalu menunjukkan kita berjaya mencapai sasaran yang kita tetapkan untuk Malaysia. Jika projek di bawah ETP dan beberapa projek lain diterima, kami akan laksanakan. Kami juga mungkin akan melihat penubuhan projek persendirian yang mengambil kesempatan terhadap peluang yang muncul di sini. Ini kami anggap sebagai sesuatu yang positif.
Ini menunjukkan kita telah mencapai kemajuan yang baik sebagai sebuah negara. Di bawah pimpinan Perdana Menteri, kita sedang menuju ke arah mentransformasikan ekonomi Malaysia kepada sebuah ekonomi berpendapatan tinggi. Kerja keras, dedikasi masa dan pendekatan yang fokus sedang dilaksanakan untuk memastikan Malaysia berjaya di arena tempatan dan global. Setiap rakyat Malaysia boleh menyertai perjalanan ini. Hanya dengan berkerja keras dan dengan lebih kebijaksanaan, anda boleh membantu menambahkan keuntungan majikan dan juga dengan harapan mengembangkan diri sendiri. Dengan cara ini, kita semua sebagai rakyat Malaysia boleh terus maju ke hadapan untuk bersama mencapai impian menjadi negara berpendapatan tinggi dan mencipta masa depan lebih baik untuk kita. Itulah inti pati sebenar transformasi.
Bersama kita boleh lakukannya.
Sila berikan komen anda. Terima kasih.
SUMBER
BERITA HARIAN
5 MAC 2012
Tiada ulasan:
Catat Ulasan